.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Thursday, January 28, 2010

0 Robot Spirit direka untuk bertahan selama 3 bulan namun terperangkap selama 6 tahun di Marikh

Sumber: UM:

Robot Spirit akhiri misi di Planet Marikh

LOS ANGELES 27 Jan. - Robot penjelajah Rover Spirit di planet Marikh mencatatkan jarak perjalanan hampir lapan kilometer dalam tempoh enam tahun menjelajah planet merah itu.

Ia telah bergerak ke depan, ke belakang dan mendaki ke atas dataran berbukit dan kawasan gunung setinggi Statue of Liberty.

Namun, kini tidak lagi.

Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) semalam, mengisytiharkan tamatnya karier penjelajahan Rover Spirit selepas usaha-usaha untuk mengeluarkannya daripada lubang pasir menemui kegagalan sejak ia terperangkap sembilan bulan lalu.

Dengan kedatangan musim sejuk di Marikh, tumpuan diberi kepada usaha memperbaiki kedudukan Rover Spirit yang senget supaya panel solarnya mampu menerima cahaya matahari yang maksimum.

"Meskipun pelbagai usaha dilakukan, namun kami masih gagal mengeluarkan Rover Spirit daripada lubang pasir itu," kata Doug McCuistion, yang mengetuai misi penjelajahan Marikh di ibu pejabat NASA.

Di sebalik itu NASA berkata, Rover Spirit masih boleh menjalankan kajian walaupun tersekat di situ.

Rover Spirit dan kembarnya, Opportunity telah diterbangkan ke kawasan bertentangan di hujung khatulistiwa planet Marikh pada tahun 2004.

Dengan mengorek ke dalam kawah, menggerudi ke dalam batu dan bergerak di atas permukaan berlekuk, mereka berjaya menemui bukti-bukti geologi bahawa air telah mengalir di permukaan Marikh suatu masa dahulu.

Direka untuk bertahan selama tiga bulan, kedua-duanya telah mengejutkan para saintis dan orang ramai dengan bekerja melebihi tahap yang dijangkakan. - AP

0 Sabah dan Sarawak terdedah gempa bumi??? Mari kita gandakan doa kepada Tuhan Yang Maha Besar

Sumber: UM:

Utara Sarawak terdedah gempa bumi

KUCHING 27 Jan. - Beberapa kawasan di bahagian utara negeri ini didapati terdedah kepada risiko gempa bumi berukuran sederhana pada masa depan, kata Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof.

Beliau berkata, beberapa tempat di bahagian utara Sarawak iaitu Bintulu, Batu Niah, Suai, Miri, Limbang dan Lawas dikesan berada di garisan sesar utama gempa bumi oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM).

Namun katanya, penduduk di kawasan terlibat diminta supaya tidak panik dan bimbang dengan situasi berkenaan kerana secara relatifnya, Sarawak masih stabil dari segi seismotektonik.

Katanya lagi, gegaran kecil berukuran 3.2 pada skala Richter yang dilaporkan berlaku di Batu Niah dan Suai Isnin lalu adalah tidak begitu membimbangkan.

''Bagaimanapun keadaan agak berisiko di Sarawak dan Sabah kerana kedua-duanya termasuk dalam kawasan berisiko gempa bumi sederhana.

''Di Sarawak, kekerapannya ialah sekali bagi setiap enam hingga tujuh tahun tetapi di Sabah khususnya di Kota Belud, berlaku sekali dalam setahun," katanya di sini semalam.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau tapak projek pembangunan Kerajaan Pusat di Kampung Wawasan Jaya, di sini.

0 Topik apakah yang boleh menarik 10K seminggu pengunjung ke blog ini? Berikan saya pendapat anda

Sumber: BH:

Istiadat pemakaman Berita Harian Online catat 20,000 pengunjung



VIDEO BH Online di Youtube boleh dicapai dengan carian di www.youtube.com/BHonline1.


KUALA LUMPUR: Berita Harian Online melakar sejarah apabila liputan khas Video@BH bagi Istiadat Pemakaman Sultan Johor, Almarhum Sultan Iskandar mendapat sambutan lebih 20,000 pengunjung untuk tempoh empat hari sejak dimuat naik 24 Januari lalu menerusi laman web perkongsian video, YouTube.

Sehingga jam 5 petang semalam, jumlah pengunjung bagi tiga paparan klip video khusus bagi upacara berkenaan mencecah 19,786 pengunjung yang dilayari

menerusi www.youtube.com/BHonline1 dan laman web Berita Harian (www.bharian.com.my).



Bagi klip video bertajuk Orang kenamaan, rakyat jelata beri penghormatan terakhir jumlah pengunjung seramai 8,043 orang manakala klip video 'Almarhum Sultan Iskandar selamat dimakamkan Bahagian 1 dan 2, masing-masing mencatatkan 6,780 dan 4,963 pengunjung sehingga semalam.

Menerusi klip video Almarhum Sultan Iskandar selamat dimakamkan - Bahagian 1 dan 2, ia memberi peluang kepada pengunjung laman web Berita Harian dan YouTube menyaksikan sendiri istiadat pemakaman Almarhum Sultan Iskandar yang mangkat jam 7.15 malam, 22 Januari lalu.

Krew video Berita Harian Online yang berada di lokasi di Makam Diraja, Kawasan Perkuburan Islam Bukit Mahmoodiah, Johor Bahru sejak jam 2 petang hingga 5 petang, Sabtu lalu, memaparkan suasana, perjalanan dan upacara pemakaman Almarhum Sultan Iskandar.

Selain itu, menerusi rangkaian sosial Berita Harian Online on Facebook, sejumlah 744 komen diterima khusus bagi orang ramai menyampaikan pandangan atau memberi ucapan takziah kepada kerabat diraja Johor sepanjang tiga hari.

0 Masa yang sesuai untuk kreatif dan inovasi untuk pembangunan negara bangsa dan diri

Sumber: BH:

PM lancar Malaysia Inovatif 2010

Oleh Johari Ibrahim dan Haika Khazi
bhnews@bharian.com.my

Usaha memperkasakan lonjakan ekonomi negara berpaksikan inovasi, kreativiti

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak malam tadi melancarkan Malaysia Inovatif 2010 sebagai titik permulaan kepada usaha melonjakkan ekonomi negara berpaksikan kepada inovasi dan kreativiti dalam sektor awam serta swasta.

Serentak itu, Perdana Menteri mencadangkan setiap individu, kumpulan, kementerian atau agensi kerajaan yang berjaya membawa inovasi diberikan ganjaran lumayan setimpal dengan hasil yang diperoleh.



Bagi memperkasakan usaha ke arah penjanaan inovasi dalam perkhidmatan awam, beliau turut mencadangkan supaya setiap kementerian dan agensi kerajaan menubuhkan satu unit inovasi khas yang bertanggungjawab terhadap pelbagai kegiatan dan program inovasi yang dijalankan dari semasa ke semasa.

Katanya, inisiatif itu pula perlu dilaporkan secara berkala kepada Majlis Inovasi Negara.

Bagi sektor swasta pula, katanya, kerajaan berhasrat untuk merangsangkan lagi pertumbuhan firma khususnya yang memiliki komponen Hak Harta Intelek (IP) yang dijanakan oleh anak tempatan.

“Dalam masa yang sama, sistem perolehan kerajaan akan terus memberikan keutamaan kepada keluaran tempatan dalam pembelian produk, perkhidmatan dan sebagainya,” katanya berucap merasmikan Malaysia Inovatif 2010, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Maximus Ongkili dan menteri-menteri Kabinet.

Beliau berkata konsep inovasi dan kreativiti juga bermaksud berani membawa perubahan secara terancang dan bukan hanya ‘terjah’.

Perdana Menteri berkata proses inovasi perlu diarusperdanakan membabitkan semua lapisan masyarakat sehingga ke peringkat akar umbi.

Beliau berkata inovasi bukan saja bertumpu kepada bidang sains tetapi juga turut mencakupi pelbagai disiplin lain termasuk pengurusan saintifik dan kewangan.

“Dalam menghala ke arah model ekonomi baru dan maklumat yang berpaksikan kepada pengetahuan dan inovasi, kita perlu sentiasa ingat bahawa hanya negara yang memiliki perisian intelek dan berteknologi canggih serta terkini dapat berada di barisan hadapan.

“Inovasi bukan lagi milik sesiapa, bukan milik mana-mana negara atau bangsa. Ia boleh dimiliki oleh semua dan jika ia dijadikan amalan budaya dan hidup, ia boleh memperkasakan sesebuah bangsa," katanya yang turut mencadangkan supaya Hari Kualiti Perkhidmatan Awam digantikan dengan Hari Inovasi.

Sementara itu Perdana Menteri berkata, usaha juga perlu dilakukan untuk membangunkan lebih banyak modal intelektual selaras dengan keperluan tenaga mahir negara.

Pada masa ini, katanya nisbah saintis dan jurutera bagi setiap 10,000 pekerja adalah 18 dan ia adalah rendah.