.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Tuesday, October 12, 2010

0 Bayi angka 10.10.10.10.10.10

Bayi 10.10.10.10:10:10



KEELIE HEARNE dan Dean Bond bersama anak mereka, Nianh Bond di Hospital Good Hope di Sutton Coldfield kelmarin.



SUTTON COLDFIELD, Britain - Seorang ibu melahirkan bayi perempuan pada pukul 10 pagi 10 minit dan 10 saat pada 10 Oktober 2010 di Hospital Good Hope di Sutton Coldfield, Britain, lapor sebuah akhbar semalam.

Ibu itu, Keelie Hearne melahirkan anak perempuannya itu seberat 1.68 kilogram yang diberi nama Niamh Bond.

Sebuah jam digital mencatatkan masa kelahiran bayi itu dengan tepat.

Hearne yang berusia 20 tahun berkata:"Apabila saya merenung ke arah jam dan melihat sepuluh saat, saya berasa terkejut besar."

Menurutnya, tarikh lahir anaknya dianggap terlalu istimewa kerana kelahiran itu merupakan yang pertama buat dirinya.

"Dia (anaknya) amat kecil dan mempunyai jari-jari yang halus. Dia amat cantik," katanya.

Bayi itu dilahirkan lapan minggu lebih awal daripada jangkaan asal.

Namun, air ketubannya pecah semasa dia bekerja sebagai pelayan pub menyebabkan dia dihantar ke hospital itu pada malam Sabtu lalu.

Pada pukul 9.40 pagi kelmarin, dia mula menunjukkan tanda-tanda akan melahirkan anak.

Pasangan hidup Hearne, Dean Bond yang berumur 22 tahun yang masih belajar cara-cara menurap bata di sebuah kolej menganggap kelahiran anaknya itu merupakan hari yang paling bertuah dalam abad ini.

Bond berharap kelahiran anaknya itu akan memberi tuah untuk keluarganya. - Agensi

0 Cerita sebenar mangsa yang terselamat dalam kemalangan ngeri 10.10.10

Bas cuba potong kenderaan tetapi gagal: Penumpang


2010/10/11
SEREMBAN: Seorang penumpang bas ekspres Delima yang terselamat dalam kemalangan maut yang mengorbankan 12 nyawa petang semalam, mendakwa dia melihat pemandu bas cuba memotong sebuah kenderaan, tetapi gagal dan bas itu mula terhoyong-hayang menyebabkan ia melanggar pembahagi lebuh raya sebelum melambung ke laluan bertentangan.

Tew Chi Ling, 18, pelajar Kolej Bandar Utama, berkata dia kini berada dalam keadaan trauma dan terkejut kerana dapat menyaksikan keseluruhan detik cemas, ketika kemalangan itu berlaku. "Saya tengok, ramai penumpang bergelimpangan di atas jalan raya dan ada juga yang tersepit di dalam bas. Saya lihat, bas itu sudah dipenuhi darah manusia. Ada yang mengeluh kesakitan, ada yang sudah tidak bersuara lagi. Ada pula yang patah, cedera di kepala. Saya cuba membantu, tetapi tidak berdaya," katanya. Dia sedih kerana banyak suara yang meminta tolong dari dalam bas yang remuk itu, apatah lagi terkejut dengan jeritan tanpa henti penumpang yang terbabit dalam kemalangan maut itu.

"Saya bernasib baik kerana selamat bersama seorang rakan kolej. Saya masih dirawat, tetapi rakan telah dibenarkan balik. Saya cuma mengalami cedera ringan dan luka di beberapa bahagian badan," katanya ketika ditemui di wad Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di sini hari ini.

Sebahagian besar penumpang bas ekspres Delima itu sedang tidur ketika kenderaan itu melambung, terhempas dan melanggar beberapa kenderaan lain di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, di Rembau.

Menurut beberapa penumpang yang terselamat, mereka melihat penumpang lain yang ketika itu ramai yang tidur melambung keluar dari bumbung bas yang pecah, selain beberapa lagi tersepit apabila bas itu terhempas di atas jalan raya.
Seorang lagi penumpang, Liow Sin Ren, 23, berkata dia tidak sedar apa yang berlaku kerana tidur dan hanya menyedari apabila bas sudah terbalik.

"Bila saya sedar seluruh badan terasa sakit. Saya buka mata perlahan-lahan dan terkejut apabila bumbung bas sudah tercabut," katanya yang mengalami keretakan pada tulang hidung dan pipi.

Katanya, doktor terpaksa menyedut serpihan kaca yang masuk ke dalam telinganya.

Seorang lagi mangsa yang selamat, Nur Najlaa Aquilah Mohd Ghazali, 19, yang kehilangan sebahagian kulit dan daging di pergelangan tangan kirinya berkata dia berada dalam keadaan separuh sedar dan pening kerana bas itu berpusing dan terhoyong-hayang.

"Saya terhantuk dan kepala pening sebaik sahaja bas yang dinaiki terbabit dalam kemalangan. Apabila saya sedar, saya lihat pakaian saya dibasahi dengan darah," katanya.

Beliau berkata, ramai penumpang yang mengerang kesakitan dan ada juga yang merangkak keluar dari bas yang sudah remuk.

"Saya menangis apabila melihat darah banyak mengalir dari pergelangan tangan dan dimaklumkan ia terkoyak semasa kemalangan itu berlaku," kata pelajar Universiti Malaya itu.

Sementara itu, beberapa lagi mangsa yang cedera tidak dapat ditemubual kerana masih berada dalam keadaan lemah dan trauma berikutan kejadian itu.

Turut kelihatan beberapa ahli keluarga mangsa yang terselamat di bilik wad berkenaan dan perkarangan menunggu di luar wad terbabit.

Sehingga kini, HTJ telah menerima 24 mangsa yang cedera di tiga wad iaitu wad pembedahan, wad Unit Rawatan Rapi (ICU) dan wad "High Dispency" (HDW) dan semua mangsa dilaporkan stabil serta diberi perhatian sebaik mungkin oleh doktor yang bertugas.

Seramai 12 orang terbunuh manakala lebih 40 dilaporkan cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah bas, sebuah van dan dua kereta dalam pada 6.40 petang semalam.

Nahas itu berlaku apabila bas ekspres Delima yang dipandu laju, gagal dikawal dan terbabas dan melanggar pembahagi lebuh raya sebelum melambung ke laluan bertentangan dan melanggar van, bas sebelum menghempap dua kereta. - BERNAMA



Artikel berkaitan:

‘Objek hitam menerpa saya’
MELAKA 11 Okt. – Seorang pemandu bas memaklumkan dia ternampak satu objek hitam seperti menerpa di hadapannya sebelum merempuh bas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang sedang dipandunya.

Umar Yusop, 31, bagaimanapun terselamat dalam kemalangan ngeri yang meragut nyawa 12 orang itu berkata, selepas itu dia tidak sedar apa-apa lagi sehingga dimaklumkan bahawa objek itu adalah bas Ekspres Delima yang terbabas dan melambung dari laluan bertentangan.

“Ketika itu cuaca amat baik. Sebaik sahaja ternampak objek hitam itu, saya segera menekan brek sebelum ia terus merempuh bas yang saya pandu,” katanya.

Umar adalah antara lebih 40 penumpang yang cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah bas, tiga buah kereta dan sebuah van di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara Selatan berdekatan Plaza Tol Simpang Ampat dekat Rembau, petang semalam.

Nahas pada pukul 6.50 petang itu berlaku apabila sebuah bas Ekspres Delima yang dipercayai dipandu laju dari arah selatan gagal dikawal lalu terbabas dan melanggar pembahagi lebuh raya sebelum melambung ke laluan bertentangan.

Bas ekspres itu yang dalam perjalanan dari Melaka ke Kuala Lumpur kemudian melanggar sebuah van dan kereta sebelum menghempap dua buah kereta lain.

Ia kemudian bertembung dengan bas dipandu Umar yang ketika itu membawa 36 peserta yang menghadiri Perhimpunan Raksasa ahli Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) di Bukit Jalil.

Bagaimanapun, kesemua 36 penumpang itu dilaporkan selamat.

Mengimbas kembali detik kemalangan ngeri itu, Umar yang telah empat tahun memandu bas JKM berkata, pemanduannya berjalan lancar seperti biasa namun kemalangan itu berlaku begitu pantas.

“Ketika itu, saya memandu seperti biasa dan tidak berasa apa-apa yang pelik sehinggalah kemalangan itu berlaku dalam sekelip mata.

“Walaupun saya cedera di muka, patah tangan kanan dan tulang rusuk, saya bersyukur kerana terselamat dan semua penumpang saya juga tidak mengalami kecederaan,” katanya yang ditempatkan di Wad 1-3 Hospital Melaka di sini.



Artikel berkaitan:

Senarai mangsa terbunuh dalam nahas ngeri


2010/10/11
MELAKA: Berikut adalah nama 12 mangsa yang terbunuh dalam kemalangan membabitkan dua bas, sebuah van dan tiga kereta di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat dekat Rembau, petang semalam.

Polis menyatakan mereka terdiri daripada sembilan rakyat tempatan dan tiga warga Myanmar. Mangsa ialah pemandu bas ekspres R Ramachandra, 52, dari Kampung Tengah, Klebang Besar; penumpang bas ekspres Muhammad Farizuddin Talib, 19, dari Balai Panjang, Malim; Azizi Ajis, 19, dari Kampung Japis, Nyalas; Norazmi Abdul Karim, 24, dari Kampung Pondok Kempas, Selandar; Sharene Sofia Fadzry Tan, 18, dari Semabok Perdana; dan Nur Shafika Baba, 29, dari Pokok Mangga di sini. Tiga lelaki warga Myanmar itu ialah Pau Khan Tual, 21; Kam Khaw Tual, 28; dan Cin Thawa Tuang, (umur tidak diketahui, kenderaan yang mereka naiki belum disahkan).

Pemandu van, Goo Chuan Heng, 34, dari Taman Maju, Batu Pahat; Pang Shi Moei dari Taman Segar, Segamat, 57, dan Eng Sok Kuan dari Kuala Lumpur, 52 (belum disahkan kenderaan yang dinaiki). - BERNAMA

0 Idea KIK untuk membasmi demam denggi

Kaedah inovatif basmi denggi akan diperkenal: Najib

2010/10/11
PUTRAJAYA: Kerajaan akan terus mengenal pasti kaedah yang inovatif dan kreatif bagi membasmi demam denggi, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, usaha itu adalah perlu kerana kerjasama orang ramai bagi membasmi demam denggi daripada merebak dianggap rendah. "Denggi adalah masalah serius, jadi kita perlu tanganinya. Kita perlu mencari cara yang inovatif dan kreatif (bagi membasmi demam denggi). "Ini kerana jika anda tanya orang ramai supaya lebih bertanggungjawab bagi kawasan tertentu mereka sendiri agar tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk, ia nampaknya tidak menjadi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sesi ke-61 Jawatankuasa Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Pasifik Barat di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai. - BERNAMA

0 Perkahwinan Dr Syeikh Muszaphar Shukor, angkasawan Malaysia pada 10.10.10

1,000 saksikan akad nikah angkasawan negara


2010/10/11


DR SHEIKH Muszaphar menyarungkan cincin ke jari isterinya, Dr Halina selepas majlis pernikahan mereka di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, semalam.PUTRAJAYA: Angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Dr Halina Mohd Yunos dengan sekali lafaz, di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, semalam.

Dr Sheikh Muszaphar, 38, dan Dr Halina, 30, dinikahkan bapa pengantin perempuan, Lt Kol (B) Mohd Yunos Mohd Ali sambil disaksikan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali, dengan mas kahwin RM80 pada jam 11.40 pagi. Dr Sheikh Muszaphar tiba kira-kira jam 11 pagi bersama sembilan dulang hantaran, manakala Dr Halina tiba 10 minit kemudian diiringi 11 dulang hantaran untuk pihak lelaki. Kedua-dua pengantin kelihatan anggun mengenakan busana berwarna putih pada majlis akad nikah yang dihadiri lebih 1,000 tetamu.

Turut sama memberi restu ialah ibu Dr Halina, Habibah Endan, ibu bapa Sheikh Muszaphar, Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Abdul Shukor dan Datin Zuraida Datuk Sheikh Ahmad.

Lebih menarik, pernikahan itu turut dihadiri beberapa angkasawan luar negara yang secara kebetulan berada di ibu negara sempena Kongres Planetary Association of Space Explorers (ASE) Ke-10 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini.

Pasangan Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Halina yang bertunang awal tahun ini memilih 10 Oktober 2010 sempena ulang tahun ketiga mempelai lelaki ke angkasa lepas.
Dr Sheikh Muszaphar, ketika ditemui pemberita berkata, beliau gembira dan bersyukur kerana majlis itu berjalan lancar.

“Walaupun saya sudah berkahwin, saya masih Dr Sheikh Muszaphar yang sama dan akan terus mencurahkan bakti kepada negara dan memberikan ceramah kepada pelajar.

Dr Halina pula berharap rakyat Malaysia mendoakan kebahagiaan mereka sehingga ke akhir hayat.

“Saya gembira dan berterima kasih kepada mereka yang menjayakan majlis ini dan semua pihak yang banyak menyokong suami saya selama ini,” katanya.

Sementara itu, kira-kira 1,500 jemputan menghadiri majlis makan malam sempena perkahwinan Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Halina yang bertemakan Pahlawan Melayu Di Istana Kayangan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, malam tadi.

Turut hadir, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Syed Sirajuddin Jamalullail dan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.