.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Thursday, March 29, 2012

0 Kalau tidak sehebat Jamal Abdilah dan M Nasir, sorry to say, banyaklah berlatih dulu!

Industri kita banyak sampah

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

USAHA Zainal Abidin memupuk kecintaan terhadap alam sekitar dalam kalangan peminat dan masyarakat bukan sedikit. Menerusi lagu Hijau lebih 20 tahun lalu, yang kini masih ‘hijau’ pada deria pendengaran kita hinggalah yang terbaru, Alam ciptaan sepenuhnya oleh Ajai.

Bagi Zainal, 53, itu antara sumbangannya sebagai penyanyi kepada komuniti selain menghiburkan mereka. Muziknya dijadikan kenderaan atau medium dalam usaha menyampaikan maklumat berkaitan khabar berita alam kita yang semakin menipis ozonnya.

Sebagaimana juga nipisnya industri muzik hari ini yang bukan saja disebabkan lanun cetak rompak, malah disokong oleh pelbagai faktor termasuk sikap seseorang artis itu sendiri terhadap karier yang diceburinya. Menurut Zainal, industri hiburan kita semakin banyak sampah yang mencemar nama baik bidang seni.

Penolong Pengarang Hiburan Harian Metro, ABIE ABDULLAH ada cerita lagi mengenai bintang ini ketika ditemui di The Andaman, A Luxury Collection Resort, Langkawi minggu lalu.
Click Here


RAP: Selepas Hijau, kini anda tampilkan Alam meneruskan kempen alam sekitar. Sejauh mana Alam kali ini?

Zainal: Kalau Hijau, ramai tertarik kepada dialek liriknya tetapi Alam lebih kepada irama di mana Ajai menggunakan muzik reggae yang mudah ditangkap halwa telinga. Daripada muzik inilah saya sampaikan liriknya mengenai alam sekitar. Mungkin Hijau tiada ganti tetapi Alam meneruskan usaha saya untuk kempen ini.

Bagaimanapun CD lagu ini hanya dijual di lokasi yang saya pergi saja, selain melalui muat turun. Sekarang caranya lain dan saya tiada cara lain untuk melawan cetak rompak. Kalau cetak rompak jual RM5, saya akan turunkan RM2.50.
Saya bukannya bergantung kepada jualan album tetapi album ini perlu diedarkan untuk kempen alam sekitar.

Terus terang, saya sebenarnya tidak mahu lagi buat album. Kali akhir, enam tahun lalu dengan Puteri. Kalau fikirkan, dalam usia begini saya rasa tua sangat untuk buat album (tergelak). Saya sudah 53 tahun, bila sampai usia 50-an di dalam industri hiburan, terasa nak tutup dan buka pintu kepada orang muda.

Namun muzik meneruskan ‘nafas’ saya, macam dilahirkan semula setiap kali ada album atau lagu baru. Muzik medium terbaik untuk kempen saya. Dengan adanya twitter, facebook dan Youtube, lebih mudah untuk kita promosi atau sampaikan apa yang ingin disampaikan seperti Legendary Concert yang sudah ada dua juta orang ‘bercakap’ pasal itu. Sama juga dengan single Kamu saya sebelum ini, letak saja 15 minit, sudah ada 500 ‘Likes’. Sekali gus ia menunjukkan peminat masih menyokong muzik saya. Tetapi kalau fikirkan untuk berhenti menyanyi, mungkin saya akan ‘sakit’. Apapun saya menyanyi kerana peminat yang sentiasa menyokong.


RAP: Tetapi ramai artis terutama yang baru, ‘sakit’ untuk bertahan seperti anda?

Zainal: Ramai artis baru yang silap definisi terhadap dunia artis itu sendiri. Artis adalah mereka yang mempunyai daya kreativiti yang tinggi baik menyanyi, berlakon mahupun melukis di mana bakatnya diperakui oleh masyarakat penonton. Kalau tiada kreativiti, mana kualitinya? Bukan hanya yang cantik, tampan atau kaya saja yang masuk TV tetapi yang buta macam Stevie Wonder.
Stevie menjual bakat, bukan rupa.

Satu lagi, apabila seseorang itu dipanggil profesional, penyanyi misalnya dan kalau mereka berbakat dalam nyanyian, mereka tidak akan berlakon atau mencuba bidang seni lain kerana ia menunjukkan mereka tidak mempunyai keyakinan terhadap bakat atau kebolehan yang mereka lakukan. Kalau tukar karier saja kepada pengacaraan atau apa saja, sekali gus ia menggambarkan karier mereka semakin menurun. Mereka tiada keyakinan kerana tidak fokus. Kenapa saya, Datuk Sheila Majid atau Datuk M Nasir boleh?


RAP: Bukankah hari ini, penonton hanya mahu lihat yang cantik saja?

Zainal: Itulah silapnya artis baru hari ini. Saya tidak nafikan ‘sex sell’ tetapi itu semua untuk keuntungan jangka masa pendek semata-mata. Kalau mereka boleh kaut untung atau buat duit dengan kecantikan tanpa bakat sejati, percayalah ia tidak lama di dalam industri. Memang masyarakat kita menerima tetapi itu dalam jangka masa pendek. Pun begitu, itu bukan salah masyarakat tetapi artis yang silap definisi. Kalau formula Siti Nurhaliza berjaya, maka ramailah nak jadi macam Siti. Salah! Mustahil untuk kita ada dua Siti, untuk ada dua Michael Jackson. Sepatutnya seseorang artis ada konsep seni masing-masing dan fokus serta persembahkan yang terbaik, barulah peminat ‘beli’.

Mereka yang jual muka tanpa bakat itu, tolong keluar dari industri. Jangan jadi sampah, rosakkan industri. Jika mereka tidak sehebat Jamal Abdillah, Amy Search umpamanya, lebih baik buat latihan banyak-banyak. Inilah masalahnya kalau mereka pilih untuk jangka pendek. Maaf cakap, kita makin banyak sampah!

Kita sudah lama tiada fenomena muzik seperti zaman RAP (Roslan Aziz’s Productions) di mana syarikat yang kecil tetapi mendominasi 30% pasaran muzik tempatan. Kalau ada pun fenomena, itupun ketika Mawi menang AF (Akademi Fantasia). Tetapi naiknya mendadak, hilangnya juga mendadak.


RAP: Habis itu, macam mana nak jadi penyanyi yang baik di Malaysia?

Zainal: Banyak caranya tetapi perlu tembusi pasaran Melayu, Cina dan India barulah ruangnya luas. Kenapa penyanyi atau komposer kita tidak buat lagu macam Bollywood, Afrika atau sekarang K-Pop yang berfokuskan global. Kita banyak buat untuk pasaran dalam negara saja, itupun hanya untuk satu kaum saja. Sudah lama sepatutnya kita memikirkan global dan dengan adanya kapasiti teknologi hari ini, ia lebih mudah sebagaimana Yuna. Kenapa Yuna diterima ramai? Sebabnya dia lain daripada yang lain dan dia fikir global.


RAP: Bagaimana pula dengan sesetengah artis yang suka menyalahkan media?

Zainal: Selama lebih 30 tahun menyanyi, sumbangan media bukan kecil anak. Bukan untuk mengangkat tetapi hakikatnya begitu. Cuma satu yang boleh saya katakan, sebagai selebriti, tidak perlu pun untuk menyembunyikan kisah peribadi macam kahwin dua, janda duda atau sebagainya. Lambat-laun orang akan tahu juga dan lebih teruk kalau membiarkan orang berteka-teki. Memang pengakuan benar itu suatu kesakitan tetapi ia lebih baik. Baik berterus terang dan sepanjang saya mengenali media, mereka antara manusia yang bertoleransi dan memahami kedudukan artis sebagaimana artis perlu memahami kerja wartawan.

Ada yang kata wartawan terlalu penyibuk tetapi memang tugasnya untuk mencari berita, sama juga dengan penyanyi yang kerjanya menyanyi. Takkan nak suruh penyanyi mencari berita?

Seperkara lagi mengenai artis yang mudah melenting dengan komen negatif. Selagi ia tidak mengaibkan, saya rasa tidak perlu untuk panas badan sebab kalau betul terima sajalah dengan terbuka demi kebaikan kita sendiri. Kalau tidak kena mengena dengan kita, kenapa perlu kita marah?


RAP: Betulkah wujud diskriminasi dalam kalangan pengendali stesen radio berkaitan penyiaran lagu?

Zainal: Kalau tengok senario hari ini, ada penyanyi baru atau belum dikenali mendapat peluang lagu disiarkan berlebihan di radio tetapi penyanyi lama seperti Jamal, Ramli Sarip misalnya, walaupun mempunyai lagu bagus, bagaimanapun kurang siarannya. Saya tidak kata ia membabitkan rasuah namun kemungkinan itu boleh berlaku. Lagipun isu rasuah dan radio ini sudah lama diperkatakan dan ia masih terus dibualkan. Saya tidak berani menuduh kerana kita tiada bukti kukuh, tetapi sepanjang 30 tahun menyanyi, pengalaman seumpama itu pernah saya lalui.

Rambut sama hitam, hati lain-lain. Sebenarnya kalau ia wujud, ia memang membimbangkan. Bukan bimbangkan periuk nasi saya tetapi industri muzik Malaysia secara amnya. Bagaimana muzik kita nak berkembang?