.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Monday, September 20, 2010

0 Angelina Jolie diyakini boleh hasilkan filem karya agung

Jolie dinasihat tidur lebih


2010/09/20
Eastwood beri panduan kepada pelakon jadi pengarah berjaya

LOS ANGELES: Pelakon veteran yang juga pengarah filem, Clint Eastwood menasihatkan rakan artisnya Angelina Jolie agar memantapkan kemahiran pengurusan jika mahu jadi pengarah filem berjaya.

Jolie diberitakan bakal mengarah filem pertamanya percintaan ketika perang Bosnia di samping bertindak sebagai produser dan penulis lakon layar filem itu. Eastwood, 80, memberitahu majalah People ketika tayangan perdana filem terbarunya, Hereafter di Pesta Filem Antarabangsa Toronto, baru-baru ini, Jolie harus mengetahui apa yang beliau mahu dan cari sebagai pengarah filem.
Nasihat saya untuknya banyak tidur berbanding pelakon lelaki, katanya.

Walaupun banyak cabaran dan halangan, Eastwood berkata, beliau tidak ragu-ragu
Jolie akan berjaya menghasilkan satu karya agung.

Beliau amat pintar. Saya tahu beliau akan melakukan yang terhebat.
Saya masih belum membincangkan perkara ini dengan Jolie, namun tahu beliau sukar mengaku kalah, selain memiliki etika kerja yang hebat. Agensi

0 Sediakan skrip untuk setiap perayaan besar di Malaysia terutama Hari Raya, Hari Kemerdekaan, Tahun Baru, Dan Lain-Lain

Tak perlu filem raya?


2010/09/18
ASSALAMUALAIKUM! Bukan sekali kisah ketandusan filem bertemakan Aidilfitri dibangkitkan. Bukan isu pun, tetapi ia menarik perhatian saya yang bukan pertama kali. Sama ada karyawan filem kita sememangnya tidak dikurniakan ilham yang baik mahupun gangguan persekitaran yang membantut kemungkinan hasrat menghasilkan filem sedemikian, saya kurang pasti.

Namun sebagai pemerhati, lebih-lebih lagi yang meneruskan kelangsungan hidup di atas landasan kewartawanan hiburan ini, saya melihat ada kewajarannya penerbitan tema seumpama itu di kelir lebar.

Selain membesarkan Aidilfitri setahun sekali, yakni hari kemenangan umat Islam, suasana sambutannya mempunyai warna tersendiri yang menggambarkan wajah kita.

Bukankah filem kita mencari wajah kita untuk ditempatkan di dalam peta perfileman dunia? Biarpun slogan bertukar kepada ‘era globalisasi’ yang sehingga kini belum menampakkan pencapaian itu, rasanya ‘filem kita, wajah kita’ masih relevan untuk diletakkan di pasaran dunia global seperti dicanangkan.

Barangkali produser atau pengarah filem masih mempunyai ketakutan untuk mengeluarkan filem bertemakan Hari Raya, takut ia tidak dapat ditayangkan pada musim perayaan sepatutnya kerana perlu bersaing dengan filem lawak ‘slapstik’ yang menjadi tradisi sebagai umpan masyarakat mengunjung panggung wayang.

Pun begitu, tema Hari Raya tidak semestinya terikat dengan kisah air mata sebagaimana menjadi pilihan pengarah drama atau pengendali stesen televisyen.

I Know What You Did Last Raya yang ditayangkan kira-kira enam tahun lalu, sekurang-kurangnya menjadi contoh dalam menjana transformasi paradigma perfileman Melayu kita.

Barangkali juga karyawan kita bimbang syarat wajib tayang sebagaimana ditetapkan Finas. Namun saya yakin, jika bijak menyusun masa dan kerja serta melalui budi bicara di meja rundingan, ia bukan kekangan kerana orang Finas kerjanya untuk memudahkan pihak pembikin filem.

Tiba masanya untuk kita beralih seperti yang boleh saya kaitkan dengan perutusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sempena sambutan kemerdekaan Malaysia ke-53, Selasa lalu, yang menekankan soal penjanaan transformasi.

Cuba tengok sepanjang tiga Hari Raya pertama ini, semua filem yang ditayangkan di TV tiada langsung bertemakan Aidilfitri. Ini kerana kita tidak mempunyai filem yang sesuai untuk sambutan itu, jadi langsung, mana filem yang ada, ditayangkan saja. Tiada masalah. Lagipun, orang kita mana nak kisah pasal tema ini kerana yang penting ‘masyuk’ perlu diutamakan.

Ahhh... lupakan saja hasrat untuk tengok karyawan kita buat filem raya sebab tema atau konsep begitu hanya sesuai untuk tayangan di kaca TV.

Sejak dulu lagi, kita terbiasa dengan kisah anak lupakan ibu, menantu dari bandar yang janggal beraya di kampung dan sebagainya sudah kita saksikan di TV.

Tiga raya pertama ini pun kita jenuh dihidangkan dengan drama yang saya maksudkan. Jadi apa nak kisah kalau filem raya tidak wujud di panggung? Dalam pada itu saya sokong hasrat A Razak Mohaideen untuk sekali lagi mengambil tema Hari Raya. Difahamkan Razak yang juga pengarah filem 4 Madu yang ditayangkan di pawagam seluruh negara ini akan mengarah Raya Tak Jadi pada 2011. Moleklah, sekurang-kurangnya kita nampak juga usaha beliau yang sensitif dengan keperluan semasa.

Bercakap mengenai tema sedemikian, tema Hari Raya kalau diamati lebih mendalam, ia besar maknanya. Kita sedia tahu Hari Raya adalah hari kemenangan umat Islam, jadi apa salahnya kita jadikan tema kemenangan dalam perjuangan misalnya sebagai filem keraian merayakan apa yang patut dirayakan.

Entahlah, saya cuma tahu berkata melalui ayat-ayat ini kerana yang membuatnya tentu lebih pening. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Bagaimanapun, situasi sambutan Ramadan dan Syawal di negara kita jauh berbeza. Tidak perlu jauh ke negara Islam di Timur Tengah hingga ke Makkah serta Madinah, cukuplah negara jiran kita Indonesia sebagai contoh.

Ya, sekarang hubungan diplomatik dua negara ini kurang mudah tetapi saya melihatnya untuk kita teladani sambutan dua bulan mulia itu di kalangan umat Islam di sana. Tidak hanya drama bercorakkan sambutannya, malah iklan juga bagai meraikan kedatangan bulan-bulan itu, terutama Ramadan.

Pengalaman berpuasa dan beraya di Makkah tahun lalu mengukuhkan lagi keterbukaan minda saya terhadap sambutan Ramadan dan Syawal di kalangan umat Nabi Muhammad SAW. Mereka membesar-besarkan Ramadan, meraikannya dengan penuh takwa.

Cuba cermin kembali diri kita hari ini, menjelangnya Ramadan hanya bagai petanda bagi sesetengah orang yang kita perlu buat persiapan Hari Raya.

Pakaian, perabot, langsir dan benda duniawi yang sewaktu dengannya yang menjadi keutamaan di dalam kotak fikiran masing-masing. Namun lain orang lain padang, jadi pandang-pandang dan jeling-jelinglah mana yang berkenan.

Wassalam!

0 Paderi yang timbulkan krisis diminta bayar kos keselamatan polis

Paderi Terry Jones tanggung kos AS$180,000

ORLANDO, Amerika Syarikat 19 Sept. - Pihak berkuasa bandar raya Gainesville di Florida akan menghantar bil berjumlah lebih AS$180,000 (RM576,000) kepada paderi Terry Jones bagi kos keselamatan yang ditanggung berhubung ugutannya untuk membakar al-Quran sempena hari ulang tahun memperingati serangan 11 September, 2001, baru-baru ini.

Agensi-agensi polis menghabiskan masa lebih sebulan untuk menyediakan pelan keselamatan bagi memastikan keselamatan komuniti di sekitar gereja Jones, Dove World Outreach Center iaitu lokasi yang dirancang bagi membakar lebih 200 naskhah al-Quran, kata jurucakap polis Gainesville, Korperal Tscharna Senn kelmarin.

Jones juga memberitahu pihak berkuasa bahawa dia menerima banyak ugutan bunuh berikutan rancangannya untuk membakar al-Quran, yang akhirnya dibatalkannya ekoran tekanan hebat daripada para pemimpin dunia.

Jabatan Polis Gainesville membelanjakan lebih AS$100,000 (RM320,000), manakala Pejabat Syerif Daerah Alachua menghabiskan kira-kira AS$80,000 (RM256,000) untuk langkah-langkah keselamatan pada hujung minggu lepas, iaitu hari yang dijadualkan bagi pembakaran tersebut.

"Kami ada 286 anggota beruniform dan hampir setiap orang bertugas sama ada di Dove Center atau di tempat lain yang boleh menjadi sasaran serangan.

"Melainkan seseorang anggota itu sakit atau cedera, mereka semua bekerja pada hari pembakaran itu dijadualkan," kata Senn.

Anggota polis memperketatkan kawalan keselamatan di gedung-gedung membeli-belah di kawasan berhampiran, stadium bola sepak Universiti Florida serta di kawasan sekitar gereja pada hari-hari sebelum pembakaran itu dijadualkan.

Jones kelmarin berkata, pihak gereja 'tidak menyedari mereka akan dikehendaki membayar bil keselamatan'.

"Jika kami mengetahui perkara ini awal-awal lagi, sudah tentu kami tidak mahu kawalan keselamatan disediakan," katanya.

Beberapa pihak menuduh pihak berkuasa melakukan persiapan keselamatan yang keterlaluan.

"Memang mudah untuk mendakwa kami membuat persiapan keterlaluan, tetapi jika sesuatu yang tidak diingini berlaku, kami akan dituduh kurang bersedia," kata Senn. - CNN

0 Bagaimana buat duit dengan Nuffnang?

Pendapatan lumayan dengan Nuffnang

Oleh ROSMALINA ABD. KADIR
rosmalina.kadir@kosmo.com.my







SEBUT sahaja Nuffnang, mustahil jenama komuniti pengiklanan blog itu tidak dikenali oleh blogger-blogger di seluruh Malaysia. Tidak hairan juga, jenama itu amat dikenali di negara-negara jiran terutama Singapura, Australia dan Filipina.

Sumbangan Nuffnang amat besar buat komuniti blogger yang menjadikan jenama itu sebagai platform untuk menjana pendapatan sampingan yang lumayan. Tidak keterlaluan jika dikatakan pendapatan yang diperoleh daripada Nuffnang adakalanya melebihi pendapatan pekerjaan tetap.

Iklan-iklan daripada Nuffnang yang merupakan komuniti pengiklanan blog pertama Asia Pasifik kini boleh dilihat di lebih 100,000 buah blog oleh lebih tiga juta orang setiap hari.

Ia membenarkan pengiklan untuk memaparkan iklan grafik dan video di blog-blog dalam pelbagai genre. Kejayaan Nuffnang kini dapat dilihat melalui pembangunan pejabatnya di empat buah negara iaitu Malaysia, Singapura, Filipina dan Australia.

Menarik tentang syarikat Nuffnang Sdn. Bhd. yang terletak di Kuala Lumpur, ia diteraju jejaka yang baru berusia 26 tahun. Timothy Tiah, sebagai pengarah urusan, turut meneraju cawangan Nuffnang bersama pengasas bersama, Cheo Ming Shen yang kini menguruskan pejabat di Singapura.

Menurut Timothy, blogger mampu menjana pendapatan lumayan berdasarkan jumlah pelawat blog. Semakin tinggi jumlah pelawat semakin tinggi pendapatan sehingga mampu mencapai puluhan ribu ringgit dalam masa sebulan.

"Kami menguruskan iklan-iklan yang akan dipaparkan dalam blog yang berdaftar tanpa mengenakan bayaran kepada blogger. Blogger hanya perlu menjalankan kerja editorial untuk iklan masing-masing bagi menjana pendapatan.

"Selain itu, kami juga menganjurkan majlis-majlis untuk blogger seperti tayangan filem, seminar, bengkel, parti dan sebagainya untuk merapatkan hubungan sesama komuniti blogger di bawah Nuffnang," katanya.


TIMOTHY merintis idea kewujudan Nuffnang bersama rakannya, Ming Shen sewaktu belajar di London.

--------------------------------------------------------------------------------


Menceritakan kewujudkan Nuffnang, Timothy memberitahu idea itu timbul di London ketika dia dan Ming Shen berbual mengenai pelan perniagaan mereka apabila pulang ke tanah air. Kedua-dua mereka adalah pelajar jurusan perniagaan dan bermula sebagai blogger.

"Kami berbincang mengenai perniagaan yang ingin kami jalankan selepas pulang ke Malaysia dan Singapura. Kemudian timbul idea untuk berkolaborasi mewujudkan Nuffnang selepas mempertimbangkan populariti blog yang semakin meningkat.

"Kami melakukan sesuatu yang belum pernah dilakukan oleh orang lain dan ia mendapat sambutan yang memberangsangkan hanya selepas beberapa tahun syarikat itu ditubuhkan," katanya mengenai syarikat itu yang memulakan pejabat pertamanya di Pulau Pinang pada tahun 2006.

Katanya, pada akhir tahun pertama Nuffnang ditubuhkan iaitu pada tahun 2007 mereka berjaya mengumpulkan sebanyak 7,523 orang blogger dan ia meningkat kepada 30,708 pada tahun 2008. Tahun 2009 pula jumlahnya meningkat kepada 68,455 orang, manakala sehingga Ogos lalu jumlahnya ialah 105,464 orang blogger.

"Komuniti blogger Nuffnang meningkat dengan pantas dan ini menunjukkan blog menjadi medium pengiklanan yang mendapat sambutan hangat daripada klien pengiklan. Ia menjadi pilihan baru selain medium utama iaitu media cetak dan elektronik.

"Bagaimanapun, untuk berjaya sebagai blogger yang berpendapatan tinggi, seseorang itu mestilah bekerja keras dan mewujudkan blog atas sebab yang betul. Ini kerana sekiranya blog diwujudkan semata-mata untuk mencari keuntungan, ia tidak akan berjaya," katanya.


KOMUNITI Nuffnang menjadi medium penting kepada blogger yang ingin menjana pendapatan sampingan.

--------------------------------------------------------------------------------


Menjana pendapatan

Selepas lima tahun menceburkan diri sebagai penulis blog, Mira Abu Bakar, 35, mempunyai pemerhati blog mencecah empat juta orang. Justeru, dia mampu menjana pendapatan sehingga RM100,000 setahun melalui iklan-iklan yang dipaparkan di blognya iaitu www.redmummy.com.

Mira yang mesra disapa sebagai Kak Red memberitahu, sebab utama dia mewujudkan blog tersebut bukanlah untuk mencari keuntungan kerana ia wujud sebelum Nuffnang beroperasi iaitu pada tahun 2005.

"Ketika mula-mula mendaftar dengan Nuffnang dan membuat editorial untuk iklan pertama, saya hanya memperoleh pendapatan RM90 tetapi jumlah itu meningkat sehingga RM5,000 sehingga RM10,000 sebulan kini.

"Pendapatan lumayan yang saya peroleh daripada blog menyebabkan saya menulis dengan serius dan memperuntukkan sehingga lima jam sehari untuk menguruskan blog saya. Tetapi saya juga dibantu suami yang bertindak sebagai jurugambar untuk menguruskan blog ini," katanya.

Katanya lagi, untuk berjaya melalui blog memerlukan usaha yang keras, sebagaimana dia yang sanggup duduk di hadapan komputer setiap malam bermula pukul 9 malam hingga 2 pagi semata-mata untuk memastikan blognya sentiasa update.

"Pendapatan yang saya peroleh kini tidak didapati dalam sekelip mata. Saya bermula dari bawah dan sesiapa sahaja perlu melalui jalan yang sama untuk berjaya. Jangan cuba meniru gaya blogger lain kerana ia tidak akan berjaya," katanya.

Vivy Sofinas, 23, pula mewujudkan blog sejak dua tahun lalu. Selepas mendaftar dengan Nuffnang dan mempunyai pembaca blog sehingga 7,000 orang sehari, dia memiliki iklan pertama hanya selepas empat bulan blog itu diwujudkan.

"Saya menyertai Nuffnang sejak Oktober tahun lalu dan sehingga kini saya memperoleh pendapatan mencecah RM10,000. Antara pengiklan tersebut ialah Astro, Dell, Lip Ice, Xpax dan Mamee.

"Blog saya banyak berkisar kehidupan peribadi terutama kisah mengenai opah saya yang mendapat sambutan ramai. Saya tidak sangka akan mempunyai ramai pengikut dan pembaca blog," katanya yang tidak pernah menyangka akan memperoleh pendapatan melalui blognya iaitu www.proudduck.com.

Sementara itu, Nor Izdyani Musawir, 20, turut gembira memperoleh pendapatan daripada iklan-iklan yang dipaparkan di blognya iaitu sayesayangiz.blogspot.com. Bagaimanpun, dia tidak dapat melupakan pengalaman perlu membuat rakaman video yang diminta pengiklan.


LAYARI laman web Nuffnang untuk mengetahui lebih banyak maklumat mengenai platform menjana pendapatan itu.

--------------------------------------------------------------------------------


"Saya terpaksa merakam diri sendiri dan menyanyi untuk iklan Munchy's. Perasaan ketika itu sungguh malu tetapi lama-kelamaan saya sudah terbiasa dan tidak kekok lagi untuk melakukan kerja-kerja editorial bagi iklan-iklan yang saya peroleh.

"Tetapi blog ini masih baru dan mempunyai pengikut lebih 2,000 orang. Sejak ditubuhkan tahun lalu, saya memperoleh pendapatan sampingan kira-kira RM2,000," katanya yang menjalankan perniagaan selendang pada awal kewujudan blognya untuk meningkatkan trafik pembaca.

0 Keghairahaan kembar 8 menjerat diri sendiri hingga hidup melarat. Mari ambil pengajaran

Ibu lahir kembar lapan ditawar bintangi filem lucah




NEW YORK - Seorang ibu tunggal yang melahirkan kembar lapan, Nadya Suleman (gambar) ditawarkan wang sebanyak AS$500,000 (RM1.6 juta) oleh pihak pengurusan syarikat Vivid Entertainment untuk membintangi sebuah filem lucah berdurasi satu jam, lapor sebuah akhbar semalam.

Laman web berita hiburan TMZ melaporkan, jika Nadya menerimanya, Vivid boleh menguruskan pembayaran pendahuluan dalam tempoh segera sebelum penggambaran pada bulan Oktober depan.

Sebelum ini, laman berita hiburan Radaronline.com melaporkan Nadya yang berumur 35 tahun telah melupakan hasratnya untuk muncul dalam program realiti televisyen dan terpaksa menerima wang kebajikan.

"Nadya perlu mengupah beberapa orang penjaga, selain perbelanjaan yang kian meningkat untuk membesarkan 14 orang anaknya.

"Dia memerlukan banyak wang hanya untuk memenuhi keperluan asas. Kini, pendapatannya semakin sedikit dan tidak lagi mencukupi sejak tahun lalu," kata satu sumber kepada Radaronline.com.

Sumber itu turut menyatakan bahawa Nadya sebelum ini menerima bantuan orang ramai untuk membiayai anaknya.

Nadya dikatakan sering gagal membayar pinjaman dan proses menarik balik rumahnya mungkin berlaku tidak lama lagi.

Pada awal tahun ini, Nadya bergambar dengan memakai bikini untuk majalah Star, kurang setahun selepas dia melahirkan kembar lapannya pada Januari 2009.

Nadya hamil kembar itu menggunakan sperma seorang lelaki. - Agensi