.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Thursday, February 21, 2013

0 Kalau P Ramlee masih hidup sekarang?

Berkarya bukan kerana duit SEKIRANYA masih hidup, arwah Tan Sri P. Ramlee yang lahir pada 22 Mac 1929 kini sepatutnya sudah berusia 84 tahun - empat tahun lebih muda daripada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, 88, yang masih kelihatan kacak dan sihat. Andai juga seniman agung itu masih hidup, sudah tentu Kosmo! berusaha bertemu dan menemu bual serta mendengar sendiri daripada mulutnya tentang kisah hidup dan bagaimana karya-karya hebatnya dihasilkan. Hakikatnya, itu hanyalah harapan dan impian yang tidak akan kesampaian kerana pada hakikatnya beliau sudah lama meninggal dunia iaitu sejak 29 Mei, 1973. P. Ramlee akan terus hidup dalam jiwa kita dan mereka yang tidak pernah kenal mahupun yang lahir selepas kematiannya juga boleh menjadi peminatnya menerusi filem-filem lakonannya. Sememangnya, P. Ramlee meninggalkan legasi seni yang tidak akan padam dan terus diperkatakan sampai bila-bila. Pujian terhadap karya P. Ramlee itu bukan sekadar retorik sebaliknya beliau adalah insan genius anugerah Allah dalam bidang seni dan budaya kepada rakyat Malaysia. Kehebatan dan karya-karya P. Ramlee akan sentiasa ditonton dan diperkatakan tanpa rasa jemu apatah lagi membuatkan penonton kering gusi menontonnya. Begitu juga dialog dan telatahnya dalam filem juga sering diajuk dan ditiru oleh peminatnya. Sehingga kini, filem-filemnya seperti Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok, Labu Labi, Ibu Mertuaku, Do Re Mi, Anak Bapak, Tiga Abdul dan banyak lagi masih ditayang di kaca TV. Biarpun sudah 40 tahun P. Ramlee meninggal dunia, generasi baharu termasuk dalam kalangan kanak-kanak kecil mengenali P Ramlee. Mereka hanya mengenali fizikal serta gelagat P. Ramlee menerusi lakonan tetapi mungkin tidak mengetahui akan kisah hidup dan pemikiran seniman agung tersebut. Justeru, menerusi teman-teman seangkatan dengannya sahaja kisah hidup penyanyi, penggubah lagu, pemuzik, pelakon, pengarah dan penerbit filem yang tiada penggantinya itu dikupas buat bacaan para peminatnya. Dia seorang pemikir dan pemerhati - Sarimah Mengenalinya sebagai teman lakonan dan juga pengarah, menurut Datuk Sarimah Ahmad, 71, P. Ramlee adalah seorang yang ikhlas dalam bekerja dan melakukan sesuatu kerja bukan kerana duit tetapi kerana cintanya yang begitu kuat terhadap seni. NOSTALGIA. P. Ramlee (tengah) bergandingan dengan S. Samsudin (kanan) dan Aziz Satar dalam filem Seniman Bujang Lapok. "Dia ada banyak kelebihan yang Allah berikan dan paling penting, dia buat sesuatu benda seperti filem atau lagu kerana perasaan cintanya terhadap seni. "Dia ikhlas menghasilkan karya bukan semata-mata untuk mendapatkan duit, disebabkan itu karyanya bermutu dan kekal sehingga kini," jelas Sarimah mengenai rahsia di sebalik ingatan yang tidak pernah padam terhadap karya-karya ciptaan P. Ramlee. Mengulas lanjut, kata Sarimah, P. Ramlee adalah seorang pemikir dan pemerhati, malah seorang yang berfikiran melangkaui masa depan. Kata Sarimah, karya-karya P. Ramlee juga meliputi kisah benar yang berlaku terhadap masyarakat. "Dia banyak bergaul dan banyak melakukan kajian. Dia hasilkan filem melalui kisah masyarakat yang berlaku di sekelilingnya," ujarnya yang memberitahu, P. Ramlee juga pandai mengambil hati penonton melalui karya-karyanya. Memberi beberapa contoh, Sarimah memberitahu, filem-filem P. Ramlee juga banyak diselitkan dengan mesej-mesej berguna. Antara filem yang terselit mesej bagi Sarimah adalah Anakku Sazali. Katanya, filem yang menyaksikan P. Ramlee membawakan dua watak iaitu bapa dan anak derhaka itu mempunyai banyak mesej dan pengajaran. Begitu juga filem Antara Dua Darjat yang membawa mesej manusia dari dahulu sememangnya mementingkan darjat sedangkan budi bahasa sepatutnya diberi keutamaan dulu. "Semua filem-filem P. Ramlee dibuat ada mesej, bukan kosong. Dia juga bijak menggunakan dialog-dialog yang menarik sehingga menbuatkan orang ingat sehingga kini. "Contoh dialog filem yang masih orang cakap kepada saya sampai sekarang adalah yang terdapat dalam filem Tiga Abdul," jelasnya. Menurut Sarimah, P. Ramlee juga seorang pengarah yang lain daripada lain. "Dia seorang pengarah yang serius. Dia tidak suka pada pelakon yang tidak buat homework sebelum memulakan penggambaran," ujarnya. Begitupun, dedah pelakon filem Madu Tiga itu, di luar bidang pengarahannya, P. Ramlee merupakan seorang teman yang sangat merendah diri dan suka berjenaka. Ujar Sarimah, P. Ramlee juga tidak pernah merendah-rendahkan orang lain. "Jika ada pelakon yang lupa dialog berkali-kali dia tidak pernah memaki hamun pelakon tersebut, sebaliknya dia akan hentikan penggambaran dan menyambungnya pada keesokan harinya," jata Sarimah yang mengakui pernah menangis kerana usikan P. Ramlee. Sarimah mendedahkan lagi, P. Ramlee merupakan seorang yang suka mengusik tetapi usikannya terkandung kata-kata nasihat. Sarimah turut bercerita tentang pengalaman dirinya sendiri bersama P. Ramlee ketika mula berjinak-jinak dengan dunia lakonan. "Ketika mula berlakon pada usia 17 tahun saya masih lagi tidak pandai bergaya. Ketika itulah, P. Ramlee sering menggelarkan saya sebagai 'Sarimah Kayu' berdasarkan penampilan saya ini. SARIMAH pernah melalui pengalaman pahit semasa mula-mula berlakon di bawah arahan P. Ramlee. "Saya pula terasa hati dan menangis. S. Sudarmaji yang banyak memujuk dan memberitahu saya, sebenarnya usikan P. Ramlee itu untuk memberi kesedaran agar mengubah penampilan saya itu," ceritanya. P. Ramlee tidak tamak - Aziz Satar Menurut Datuk Aziz Satar, 88, pula, semasa zaman kegemilangan P. Ramlee, dia pernah menasihati sahabatnya itu agar mengambil peluang untuk membuat duit lebih banyak. Namun, P. Ramlee memberikan jawapan yang tersendiri. "Dia (P. Ramlee) cakap, 'Seni bukan untuk duit tetapi untuk masyarakat'," ujar Aziz mengenai kata-kata P. Ramlee yang diulang semula kepada dirinya sebelum seniman agung itu meninggal dunia. Mengulas lanjut, kata Aziz, walaupun P. Ramlee mendapat bayaran sedikit hasil lakonan atau arahannya, dia tidak mempedulikannya kerana apa yang penting baginya, karya yang terhasil adalah bermutu. Tambah Aziz, sifat diri P. Ramlee yang tidak ingin menjadi bagus seorang diri juga menjadikan dia istimewa dan lain daripada lain. "P. Ramlee kalau berlakon atau mengarah dia tidak mahu bagus seorang diri. Sebaliknya, dia mahu semua orang bagus. Walaupun ada sebilangan pelakon pada masa dulu yang sukar menghafal dialog tetapi P. Ramlee sanggup menunggu dan mendidik sehingga pelakon tersebut menjadi bagus. P. Ramlee juga tidak mengajar setiap pelakonnya separuh jalan tetapi memberi tunjuk ajar secara menyeluruh. "Disebabkan itu, pelakon-pelakon dahulu bagus daripada segi mutu lakonan," jelasnya ketika dihubungi Kosmo!. Mengulas mengenai karya P. Ramlee, kata Aziz, P. Ramlee adalah seorang yang sangat teliti dalam menghasilkan karya. Ujar Aziz, P. Ramlee akan menjaga daripada segala aspek sama ada dari segi skrip, jalan cerita termasuklah pakaian setiap pelakonnya. Ujarnya, P. Ramlee juga boleh berfikir sehingga ke 40 tahun akan datang melangkaui zamannya. "P. Ramlee menghasilkan karya yang tidak ditelan zaman. Walaupun sudah 40 atau 50 tahun, nilai karyanya masih dihargai. Buktinya, adalah menerusi filem-filem dan lagu-lagu ciptaannya yang masih ditonton dan didengar tanpa rasa jemu sehingga kini." "Dia menghasilkan karya yang dekat dengan masyarakat. Benda yang berlaku dan diamalkan oleh masyarakat sehingga kini diselitkan dalam karyanya. "Ceritanya juga mengandungi macam-macam. Hiburan ada. Sindiran ada. Mesej ada. Semuanya ada. Dengan segala ramuan tersebut filem-filemnya bermutu dan menarik," jelas Aziz. Tegas Aziz: "Jika generasi sekarang mahu menghasilkan karya bermutu seperti P. Ramlee, contohilah cara kerjanya. Dia begitu teliti dan mengambil kira semua aspek dalam menghasilkan karya." Bercerita mengenai pengalaman dirinya bekerja dengan P. Ramlee, akui Aziz, hanya kenangan manis yang terpahat dalam memori dirinya. "P. Ramlee merupakan seorang teman yang sangat merendah diri. Saya banyak belajar cara-cara mengarah, menyanyi dan menulis skrip daripada dia. Tetapi kalau dari segi membuat pertunjukan di pentas, dia hormat pada saya. "Sebabnya, saya lebih berpengalaman daripada dia. Kalau saya suruh dia buat apa sahaja, dia akan ikut, "jelasnya yang ketika dahulu mengadakan pertunjukan pentas di merata negeri bersama P. Ramlee, Saloma dan Norizan. Tidak sempat kenali P. Ramlee - Najua Tidak lengkap kalau tidak menemu bual individu yang mempunyai perkaitan darah dengan P. Ramlee. Cucu P. Ramlee, Najua Mohd. Nasir, 27, dikatakan antara yang paling mirip dengan seniman agung itu. Menurut Najua, walaupun dia tidak sempat mengenali P. Ramlee semasa hayatnya dan juga tidak pernah diberi apa-apa pendedahan mengenai datuknya itu oleh bapanya, Nasir P. Ramlee, dia bersyukur kerana mengenali karya-karya seniman agung itu. Ujarnya, melalui karya-karya P. Ramlee itu dia dapat mengetahui bahawa datuknya adalah seorang pengkarya yang sangat hebat. "Saya tidak diberi apa-apa pendedahan mengenai P. Ramlee oleh bapa saya tetapi kawan-kawannya seperti Datuk Aziz (Satar) dan nenek Mariani (Ismail) banyak bercerita tentang dia (P. Ramlee) kepada saya. Daripada situ, saya mengenalinya. "Saya juga bersyukur kerana berpeluang melihat karya-karyanya. Bagi saya, karya-karya yang dihasilkan dia sangat hebat," ujarnya. Jelasnya, filem-filem P. Ramlee juga banyak dihasilkan berkisar kisah hidupnya dan juga masyarakat di sekelilingnya. Itu menyebabkan karya-karyanya hebat dan masih diterima sehingga kini. Kata Najua lagi, lagu-lagu ciptaan P. Ramlee juga tidak hanya menjurus kepada cinta semata-mata sebaliknya menjurus tentang seluruh aspek. Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0221&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2LTq4SMVH Hakcipta terpelihara

Saturday, February 16, 2013

0 Serpihan tahi bintang di Rusia

Hujan meteor di Rusia, 950 cedera Gambar yang disediakan www.chelyabinsk.ru menunjukkan dengan jelas hujan meteor yang melanda bandar Ural, di Chelyabinks semalam menyebabkan sekurang-kurang 950 penduduk cedera. Sementara gambar bawah pekerja-pekerja sedang membaiki talian elektrik yang rosak akibat gegaran daripada meteor itu di bandar Urals, Chelyabinsk, semalam. - REUTERS/AFP MOSCOW 15 Feb. - Kira-kira 950 penduduk tempatan cedera apabila hujan meteor melanda bahagian tengah Rusia, sebelum ia meletup, hari ini. Satu rakaman televisyen menunjukkan lalu lintas tergendala pagi ini di bandar Urals, Chelyabinsk, ketika kejadian itu, menyebabkan orang ramai berlari menyelamatkan diri untuk berlindung di dalam bangunan. Sumber perubatan berkata, kira-kira 750 penduduk mendapatkan rawatan, sementera Kementerian Bencana pula mengesahkan perkhidmatan komunikasi telefon selular tergendala buat sementara. "Ketulan meteor tersebut bersepai di atas kawasan pergunungan tengah Rusia, Urals, dengan separuh daripadanya terbakar pada bahagian atmosfera. "Serpihan meteor itu jatuh ke Bumi, di kawasan yang kurang penduduk di wilayah Chelyabinsk," kata pejabat kementerian itu melalui satu kenyataan. Tingkap-tingkap bangunan pecah akibat gegaran yang berlaku dengan kira-kira 300 bangunan dilaporkan rosak, termasuk sekolah, hospital dan bangunan kilang serta stadium hoki ais. "Pada kira-kira pukul 9.20 pagi (0320 GMT) satu objek kelihatan di ruang udara pekan Chelyabinsk yang terbang dengan kelajuan yang kuat dan membentuk ekor asap. Selang beberapa minit kedengaran bunyi dua letupan," kata seorang pegawai kecemasan, Yuri Burenko dalam satu kenyataan. Pegawai-pegawai kementerian berkata, sebahagian meteor itu jatuh 80 kilometer dari pekan Satki, kira-kira 100 kilometer dari barat bandar wilayah itu. Sekolah-sekolah ditutup sepanjang hari di wilayah itu, selepas serpihan tersebut menyebabkan cermin bangunan pecah dan suhu di bahagian tengah Rusia jatuh kepada -18 celsius. Jabatan polis tempatan berkata, kebanyakan mangsa yang cedera mengalami luka kecil dan lebam akibat terkena kaca yang pecah. Wilayah Chelyabinsk merupakan kawasan industri utama di tengah Rusia, dipenuhi dengan kilang-kilang dan kemudahan lain termasuk loji kuasa nuklear serta pusat penyimpanan dan merawat sisa atom Mayak. Sementara itu, jurucakap Rosatom, syarikat tenaga nuklear Rusia berkata, operasi loji mereka tidak terjejas dengan kejadian itu. - AFP Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130216/lu_01/Hujan-meteor-di-Rusia-950-cedera#ixzz2L0XpTNWy © Utusan Melayu (M) Bhd

Sunday, February 03, 2013

1 Transisi Aktor Ben Affleck Menjadi Sutradara Piala

Ben, aktor nakal jadi sutradara piala MENJULANG piala kemenangan bergelar Sutradara Terbaik di Anugerah Golden Globe. RESAH gelisah menyelubungi diri Ben Affleck sewaktu filem ketiga arahannya, Argo mahu dipertontonkan kepada umum. Dia mengaku perasaan itu bermain-main dalam benaknya. Dahulu, dia tidak tahu kepentingan untuk turun promosi sewaktu bergelar pelakon tetapi dia sanggup berbuat apa sahaja. Ben Affleck yang awalnya seorang aktor kini sutradara filem Argo yang tidak mendapat pencalonan untuk Anugerah Academy tahun ini. Namun filem itu mengalami pemulihan nama baik dengan meraih dua piala Anugerah Golden Globe dalam kategori Pengarah Terbaik dan Filem Terbaik (Drama). Begitu juga kemenangan di Anugerah SAG dan Critics' Choice Awards. "Saya tidak peduli dengan penghargaan," terang Ben saat menerima piala sebagai sutradara terbaik. Keresahannya ternyata berhujung apabila filem itu mendapat bukan sahaja tempat dalam hati para peminat tetapi akademi penganugerahan dan pengkritik filem. Minta maaf daripada JLo Untuk seorang lelaki yang berumur 40 tahun, Ben sudah memiliki sebuah kehidupan yang sempurna. Isteri yang cantik, tiga orang cahaya mata yang membesar, filem yang mendapat penghargaan serta cerita nakalnya yang luput dalam ingatan khalayak. "Saya berasa seperti kerja saya dinilai atas sebab yang betul. Itu merupakan perasaan yang yang baik, itu yang saya mahukan. Apabila khalayak mula melihat apa yang kamu lakukan malah memberi merit ke atasnya. Saya bekerja sangat kuat dan saya sangat mengambil peduli. Sebuah penghargaan buat saya untuk melakukan apa yang saya lakukan sekarang. "Ramai orang mahu membuat sesuatu. Saya mahu pastikan apabila saya menoleh semula, 15 tahun daripada sekarang dan berkata, 'saya menyukai filem yang saya buat. Saya bersyukur membuat filem-filem ini'. Saya sudah berada dalam fasa di mana saya tidak perlu sembunyikan apa-apa. Apa yang saya tahu, saya sangat bahagia. Saya suka filem yang saya buat. Malah saya gemarkan peluang dapat membuat filem. Itu sebuah kemenangan, di Hollywood," katanya tentang kehidupannya sekarang yang dilihat lancar. Aktor filem Armageddon, Chasing Amy dan Dogma ini dahulunya dilihat sebagai selebriti parti. Kini seiring usia dan benang hidup yang mula tersusun cantik, dia merupakan seorang bapa yang bangun seawal pukul 6 pagi dan masuk tidur pukul 9 malam. Usia perkahwinan yang mencapai angka tujuh beserta kehidupan harmoni bersama Violet, 8, Seraphina, 4, dan Samuel, 1, menunjukkan transisi hidup Ben. Sifat kebapaan mengubah haluan hidupnya. "Benar. Saya juga mula tidak pedulikan perkara-perkara remeh yang saya tidak perlu ambil tahu. Bagi saya, kemaafan adalah satu hal yang sihat. Saya pernah menjadi bahan berita muka hadapan tetapi biarlah kerana lelaki ini ada pekerjaan yang harus dilaksanakan. Saya juga ada tanggungjawab terhadap diri sendiri," luahnya. Ben mengaku pernah berasa dia perlu meminta maaf daripada bekas kekasih, Jennifer Lopez (JLo), tentang filemnya yang tidak menjadi dan berasa bertanggungjawab akan hal itu. Kisah dirinya dan Jennifer pernah menjadi fenomena hingga mereka diberi jolokan 'Bennifer'. Ben mendakwa, dia masih berhubungan dengan JLo atas tali persahabatan. Mereka mengutus e-mel dan mengucapkan tahniah atas kerja masing-masing. Sewaktu JLo menjadi juri untuk American Idol, Ben mengutus kata-kata semangat buat bekas tunangnya itu. BEN (kiri) mengaku Jennifer (kanan) mengubah hidupnya menjadi lebih baik. Puncak kerjaya Argo bukan filem pertama arahan Ben. Terdahulu dia pernah mengarahkan filem Gone Baby Gone (2007) dan The Town (2010). Hasil kejayaan yang ditempa Argo, Ben telah dipilih untuk menggantikan David Yates sebagai sutradara filem adaptasi novel Stephen King, The Stand. Pihak Warner Bros juga dikatakan mengintai Ben untuk mengarahkan filem Justice League namun pelawaan itu ditolak Ben. "Saya suka bertindak sebagai pengarah. Saya bertindak dan saya tahu bahawa saya berpeluang untuk mempunyai ruang untuk memberi pendapat. Saya cuba untuk mewujudkan persekitaran yang merehatkan untuk para pelakon. Anda boleh melakukan apa sahaja yang anda mahu. Anda boleh berjalan di luar kamera dan tidak mengapa. Apa-apa sahaja yang mungkin menjadi baik," ujar seorang pengarah yang fleksibel. Sebagai seorang teman rapat yang paling mengerti perjalanan hidup Ben, aktor Matt Damon yang dikenali sejak usia 8 tahun nampak transisi tersebut. Kata Matt: Ben pernah berada di puncak dan di bawah. Kini dia melihat Ben sedang berada di puncak kembali. "Dia mendapat pengiraan penuh tentang apa kehidupan di Hollywood boleh tawarkan. Kini, dia selesa berada di situ." Kini dalam setiap kata-kata dan gerak nafas Ben, turun naiknya banyak berbunyi semangat sutradara. Dia berasa penuh tanggungjawab membawa predikat tersebut. "Saya mengambil rasa tanggungjawab untuk mengarah dan benar-benar daripada hati. Inilah tempatnya di mana saya boleh mengawal semua aspek yang berbeza dan bukan cuma sekadar kotak persembahan anda. "Saya cuba untuk melakukan perkara yang berbeza dan saya membuat kesilapan. Saya melakukan beberapa perkara yang betul dan kemudian saya berkahwin dan mempunyai anak-anak dan yang ia banyak membantu. Kemudian saya memutuskan untuk hanya melakukan filem yang saya percaya," jujur penerangan lelaki yang pernah berpacaran dengan Gywneth Paltrow ini. Suami Jennifer Garner ini merangkumi kehidupan yang dilaluinya kini. Dia pernah dilihat sebagai salah seorang pelakon Hollywood yang kacak dan dikelilingi wanita hebat. Dia kemudian pada satu takuk tampil dengan sisi serius sebagai pelakon dan sutradara yang berjuang untuk sisi kreatif dan perjuangan seninya. Garner yang dijodohkan dengannya dalam filem Daredevil menyumbang kepada pemikiran ini. "Jennifer memainkan peranan yang mendalam dalam menjadikan saya seorang yang lebih baik. "Kami tidak mempunyai perkahwinan yang sempurna, tetapi dia inspirasi saya. Mencari diri dalam perkahwinan dan mempunyai anak semakin menjadikan diri saya lebih matang," kata Ben . "Bertuahnya, pada fasa ini saya berasa bebas daripada perkara-perkara negatif. Akhirnya, satu hari, saya akan ditemu ramah dengan perkara-perkara yang tidak melibatkan cerita-cerita tabloid 2003," ujar Ben menutup tirai gosip dan pada satu sisi lain membuka pintu jayanya. Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0203&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm#ixzz2JmPfyORN Hakcipta terpelihara

0 Filem, Aswara dan P Ramlee

Kekalkan mesej filem P. Ramlee Oleh IKHWAN IDERIS ikhwan.ideris@kosmo.com.my KUALA LUMPUR - Filem arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee mempunyai mesej tersendiri untuk menjana pemikiran penonton dan elemen tersebut sepatutnya menjadi fokus utama Pertandingan Filem Pendek Inspirasi P. Ramlee. Rakan seperjuangan P. Ramlee, Datuk Sarimah Ahmad berkata, elemen-elemen itu penting kerana ia menjadi ramuan utama kenapa mesej filem P. Ramlee terus kekal dihayati walaupun selepas 39 tahun Allahyarham meninggal dunia. "Penonton boleh mengambil iktibar dan pengajaran daripada setiap filem arahan P. Ramlee, misalnya dalam filem Anakku Sazali yang menceritakan kasih sayang seorang bapa yang terlalu memanjakan anaknya. "P. Ramlee merupakan seorang yang mendahului zamannya. Jadi, pengarah filem muda sekarang perlu rajin buat kerja rumah, memerhatikan alam sekeliling dan mendalami hubungan sesama manusia bagi menghasilkan filem yang mengandungi mesej dan erti tersendiri," katanya ketika dihubungi di sini semalam. Mengulas mengenai elemen dan ciri yang perlu ada pada karya Pertandingan Filem Pendek Inspirasi P. Ramlee yang dianjurkan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Sarimah berkata, semuanya terserah kepada kreativiti peserta. "Saya akui arwah merupakan seorang yang genius dalam bidangnya dan tidak ramai manusia yang mempunyai bakat yang sama. "Bagaimanapun, sekiranya arwah masih hidup sekarang, kita tidak mengetahui bagaimana corak pemikiran beliau, jadi terserah kepada kreativiti pengarah sekarang untuk menghasilkan sesuatu filem," katanya. Sementara itu, anak P. Ramlee, Sazali menyokong penuh usaha untuk menghasilkan semula filem-filem P. Ramlee supaya ia terus kekal dalam ingatan peminat pada masa depan. "Bagi saya, tidak mengapa sekiranya karya tersebut dilihat terkeluar sedikit daripada filem asal, biarlah ia dihasilkan dengan idea dan gaya tersendiri," katanya. Pertandingan Filem Pendek Inspirasi P. Ramlee menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM70,000 iaitu RM20,000 kepada juara, RM15,000 untuk tempat kedua dan tempat ketiga RM10,000 selain lima hadiah penghargaan RM5,000 setiap satu. Maklumat lanjut dan borang penyertaan boleh didapati di laman sesawang www.aswara.edu.my. Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0203&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz2JmKfrPWa Hakcipta terpelihara Artikel berkaitan: Pelbagai aktiviti dianjurkan sempena Festival P. Ramlee bermula bulan ini Dec 04, 2012 KUALA LUMPUR, 4 Dis – Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dalam usahanya menyemarakkan lagi kenangan, sanjungan dan penelitian terhadap seniman negara Allahyarham Tan Sri P.Ramlee menganjurkan Festival P. Ramlee yang berisi dengan pelbagai aktiviti. Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) Prof Dr Mohamad Hatta Azad Khan berkata mulai bulan ini pelbagai aktiviti diadakan oleh pelbagai jabatan dan agensi kementerian itu termasuk penganjuran pertandingan Bintang P. Ramlee semalam di Auditorium RTM, yang disertai peserta dari Singapura, Indonesia dan Brunei. “Pertandingan ini akan diadakan setiap tahun oleh RTM,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Mohamad Hatta berkata RTM juga sedang menyiarkan 10 telemovie melalui slot ‘Tribute P. Ramlee’ dengan mengguna pakai tajuk lagu-lagu P. Ramlee. “Telemovie ini ditayangkan setiap malam Ahad sejak awal November lalu. Antara tajuk-tajuknya ialah ‘Getaran Jiwa’, ‘Tunggu Sekejap’, ‘Di Manakan Ku Cari Ganti’, ‘Hanya Dikau’, ‘Titisan Kasih’ dan lain-lain,” katanya. Beliau berkata Istana Budaya pula akan mementaskan Muzikal Ali Baba pada 21-29 Disember ini. “Pementasan teater tersebut pernah diangkat pada tahun 2006 dengan berkonsepkan teater muzikal kanak-kanak. Pada tahun ini, bersempena Festival P.Ramlee, ia diangkat semula buat kali kedua berkonsep remaja dan dibintangi oleh Aznil Haji Nawawi, Fizo Omar, Elfira Roy dan ramai lagi,” katanya. Mohamad Hatta berkata Festival P.Ramlee yang bertajuk ‘Dari Masa Hingga Masa’ merupakan lanjutan dari pelancaran Kursi P.Ramlee selaras dengan harapan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim yang menyuarakan selain melibatkan bidang penyelidikan mengenai P. Ramlee, pelbagai aktiviti perlu diadakan seperti teater, pertandingan gubahan lagu dan sebagainya, bagi mengangkat kejayaan dan kecemerlangan seniman agung negara itu. Beliau berkata untuk itu, pada 1 Januari tahun depan, Aswara dengan kerjasama Finas dan RTM akan melancarkan Pertandingan Filem Pendek Inspirasi P. Ramlee, yang terbuka kepada karyawan amatur berumur antara 18 hingga 40 tahun. Pertandingan filem yang memakan masa lima hingga tujuh minit itu perlu menggunakan tajuk filem P. Ramlee, satu watak dan sebaris dari watak filem-filemnya, kata beliau. Tarikh tutup pertandingan pada 28 Februari dengan keputusan akan diumumkan pada Mei depan, tambahnya. Beliau berkata: “Filem pendek yang melepasi saringan awal akan disiarkan melalui youtube dan RTM selama sebulan mulai 22 Mac 2013 Sempena Hari Ulang Tahun Kelahiran P.Ramlee. Siaran ini membolehkan penonton untuk menilai dan membuat pilihan”. Mohamad Hatta berkata Aswara pada Februari 2012, akan mengadakan program ‘P.Ramlee Dari Desa’ yang merupakan program bagi mencungkil bakat-bakat seni yang berada khususnya di luar bandar. “Program ini akan dijalankan oleh ASWARA dengan kerjasam Jabatan Kebudayan dan Kesenian Negara (JKKN) dan RTM, dan melibatkan beberapa kategori yang relevan dengan bakat P.Ramlee seperti nyanyian, bermain alat muzik dan lakonan,” katanya. Beliau berkata Aswara juga akan menganjurkan syarahan Perdana P. Ramlee yang berbentuk siri syarahan tiga kali dalam setahun oleh tokoh penyelidik dalam bidang seni, muzik, teater dan filem, yang akan bermula pada Februari tahun depan. Dalam bidang penyelidikan pula, Aswara akan melancarkan Pengajian Pasca Siswazah dan Penganugerahan Zamallah P. Ramlee, di mana sesi pengajian 2013-2014 akan bermula pada Jun tahun depan. “Butiran lanjut mengenai Zamallah ini akan diiklan dalam akhbar tempatan pada Mac 2013,” katanya. Beliau berkata segala aktiviti yang dianjurkan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan adalah antara usaha yang dijalankan untuk menghargai jasa P.Ramlee yang telah mencipta nama di persada negara dan antarabangsa sebagai pelakon, pengarah, penyanyi dan penggubah lagu. – Bernama Artikel berkaitan: UiTM, UMK janji hantar 20 filem Oleh ZULKIFLI MANZOR zulkifli.manzor@kosmo.com.my KUALA LUMPUR - Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengesahkan akan menghantar 20 penyertaan pada Pertandingan Filem Pendek Inspirasi P. Ramlee yang bermula semalam hingga 2 Mac depan. Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan UMK, Prof. Dr. Abu Hassan Hasbullah berkata, UMK tidak akan melepaskan kesempatan menyertai pertandingan yang dapat memberi peluang kepada pelajarnya menimba pelbagai pengalaman berguna. "UMK akan menghantar sekurang-kurangnya 10 karya ke pertandingan itu memandangkan universiti ini antara hab pengajian bidang kreatif di negara ini. "Kemenangan pastinya akan dapat memberi galakan kepada pelajar untuk menyelami bidang perfileman dengan lebih mendalam," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam. Sehubungan itu, Abu Hassan menyeru para pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta lain supaya mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut supaya dapat mengetengahkan kreativiti masing-masing. Katanya, pertandingan anjuran Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu merupakan plat form terbaik untuk pelajar memperoleh pendedahan dalam industri perfileman sebenar. Sementara itu, Pensyarah Fakulti Filem, Teater dan Animasi UiTM, Aminah Rhapor memuji penganjuran Pertandingan Filem Pendek Inspirasi P. Ramlee kerana ia bertepatan dengan matlamat memartabatkan industri perfileman di negara ini. Beliau percaya penganjuran pertandingan seperti itu akan dapat meningkatkan minat golongan pelajar dalam bidang perfileman bagi menghasilkan karya yang menarik dan bermutu untuk dipertontonkan kepada umum. Beliau yakin UiTM akan menghantar sebanyak 10 filem pendek kerana pihaknya memang mengalu-alukan penglibatan pelajar dalam pertandingan seumpama itu. "Sudah tentu kami akan memastikan pelajar kami menghantar karya mereka. UiTM sentiasa menyokong dan akan memberi kerjasama kepada pelajar dalam penghasilan filem pendek yang terbaik," katanya. Pertandingan Filem Pendek Inspirasi P. Ramlee menawarkan hadiah wang tunai RM20,000 kepada juara, tempat kedua (RM15,000), ketiga (RM10,000) dan lima hadiah penghargaan RM5,000 setiap satu. Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dan borang penyertaan menerusi laman web www.aswara.edu.my. Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0202&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz2JmTB7Oyn Hakcipta terpelihara