.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Friday, January 07, 2011

0 Lingkaran Api Pasifik menjadikan Indonesia negara paling tidak selamat diduduki?

Lingkaran musibah

Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my
2010/10/31




Gempa bumi, tsunami dan letusan Merapi melanda Indonesia hampir serentak

ANDAI mahu diukur dari segi kedudukan, kestabilan muka bumi dan kekerapan ditimpa bencana alam, Indonesia mungkin paling layak berada di tempat teratas senarai negara paling tidak selamat untuk diduduki. Jika diteliti, sukar rasanya untuk republik itu melepasi tempoh setahun tanpa ada satu pun bencana mencelah. Namun apa yang dihadapi negara jiran itu kali ini sesuatu yang jauh berbeza daripada kebiasaan kerana tiga musibah datang hampir serentak. Semuanya kerana kedudukan republik berkenaan dalam Lingkaran Api Pasifik. Isnin lalu, Indonesia dikejutkan dengan gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter di Sumatera, sekali gus mencetuskan tsunami dan keesokannya pula, Gunung Merapi di Balerante, Jawa Tengah menyemburkan awan panas dan menurunkan hujan abu volkanik bersuhu 600 darjah Celsius.

Setakat Khamis lalu, bencana tsunami yang melanda Kepulauan Mentawai dan mencipta ombak besar setinggi tiga meter dilapor melenyapkan beberapa kampung dan mengorbankan hampir 300 nyawa manakala angka korban angkara gunung berapi Merapi mencecah puluhan orang.

Pakar gunung berapi berkata, ketika mereka tidak boleh menidakkan letusan lebih ganas, ia mungkin berterusan sebagai siri letupan kecil seperti yang berlaku Selasa lalu.

“Jika keadaan berterusan seperti ini untuk beberapa waktu, kita akan melihat letusan yang perlahan dan panjang,” kata penyelidik gunung berapi, Gede Suantika.
Seperti Kepulauan Aleutian di Alaska yang bertaburan dengan gunung berapi, kepulauan Indonesia juga terletak di sempadan bawah laut antara dua plat paling besar dalam kerak bumi.

Dalam kes Indonesia, kerak plat Australia terletak di bawah kerak plat Eurasia yang membentuk kubu Sunda. Pergeseran kedua-dua plat memanaskan batu ke tahap cair, membekalkan magma yang membesar untuk membentuk gunung berapi serta mencetuskan gempa bumi.

Zon sama mengeliling Pasifik, mewujudkan rangkaian gunung berapi yang memanjang dari Andes sehingga Pasifik Barat, lalu membentuk Lingkaran Api.

Risiko keseluruhan rantau itu membuatkan sebahagian pakar gempa bumi berjaga sepanjang malam kerana ia juga mengandungi sebahagian zon yang membentuk ketegangan selama lebih 200 tahun. Jika ia dibebaskan dalam satu keadaan, gempa boleh mencecah 8.5 pada skala Richter yang boleh mencetuskan gempa bumi amat kuat.

Bahagian itu berpusat di bawah Pulau Siberut di Padang. Pada September 2009, gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter melanda persisiran pantai Padang.

Sekali pandang, ia menepati corak gempa bumi pada ukuran sama yang berlaku sepanjang bahagian lain di pantai itu sejak 2004 apabila gempa bumi berukuran 9.1 pada skala Richter menggegarkan utara Sumatera, menyebabkan anggaran 231,000 kematian secara langsung atau tidak langsung kerana tsunami yang merebak ke seluruh Lautan Hindi.

Sebahagian penyelidik berkata, mereka mengesyaki siri apa yang dikatakan gempa bumi lemah yang mewakili zon berkenaan sekadar menyesuaikan diri untuk berubah dalam corak tekanan yang disebabkan gegaran pada 2004.

Bagaimanapun, menurut sepasukan pakar gempa bumi yang berada di situ, gegaran pada 2009 tidak memberi kesan dalam mengurangkan ketegangan yang sudah terbina selama 200 tahun.

Menulis dalam jurnal Nature Geoscience, Januari lalu, pasukan berkenaan memberi amaran bahaya gempa bumi berukuran lebih 8.5 pada skala Richter masih ada di sepanjang segmen di Padang.

Sebarang harapan gempa bumi Isnin lalu mungkin mengurangkan ketegangan, nyata tersasar. Berdasarkan maklumat awal mengenai lokasi dan kedalaman pecahan, gempa itu berlaku amat jauh daripada ketegangan yang tercetus berhampiran Padang.

Indonesia dikelilingi pulau yang dianggarkan berjumlah 17,504 buah dan dengan kedudukan geografi yang meletakkan republik itu di titik pertembungan tiga plat yang mempunyai pergerakan tersendiri dengan arah bertentangan, lalu menyebabkan kumpulan tenaga tidak boleh dibendung, sekali gus mencetuskan gempa bumi.

INFO: Tragedi bencana alam paling dahsyat dalam sejarah Indonesia


Gempa bumi Toba di Sumatera Utara
Gempa bumi gunung berapi yang dianggap terbesar dalam sejarah dunia berlaku kira-kira 450,000 tahun lalu. Ia disebabkan aktiviti magma yang selalunya berlaku sebelum letusan gunung berapi. Aktiviti yang semakin memuncak akan menyebabkan letupan yang juga mengakibatkan gempa bumi. Kesan gempa bumi itu membentuk Danau Toba yang kini terkenal sebagai destinasi pelancongan.


Gempa bumi di Jawa
Juga gempa bumi gunung berapi yang berlaku di pergunungan Jawa Timur dengan ukuran 6 hingga 6.8 pada skala Richter, kira-kira 1,770 tahun lalu. Gegaran menyebabkan letusan Gunung Sumeru dan tragedi ini meragut 6,000 nyawa serta menghasilkan hujan debu selama empat hari di seluruh kawasan tengah hingga Jawa Timur. Gunung Sumeru dianggap gunung berapi paling aktif sehingga sekarang.


Gempa bumi 25 November 1833
Ia menyebabkan wujudnya segmen Kubu Sumatera di sepanjang 1,000 kilometer di tenggara. Perkara sama berlaku dalam gempa bumi pada 26 Disember 2004. Ia mencetuskan tsunami yang melanda pantai barat Sumatera, kawasan paling hampir dengan pusat gegaran ialah Pariaman hingga Bengkulu.


Letusan gunung berapi Krakatoa
Apabila Krakatoa meletup pada Ogos 1883, ia menyamai kuasa bom atom. Letusan dapat didengar sehingga beribu kilometer, menggegarkan seluruh Lautan Pasifik, menyebabkan seluruh ‘pulau Krakatau’ tenggelam dan turut membawa bersama 100 pulau sekitarnya. Bencana itu membunuh 36,000 orang, kebanyakannya disebabkan tsunami. Debu letusan sampai hingga ke New York, menyebabkan penurunan suhu seluruh dunia untuk tempoh hingga setahun.

0 Planet kembar bumi yang boleh didiami manusia. Jarak 20 tahun cahaya

Bumi baru

Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my
2010/10/10
Saintis temui planet miliki banyak persamaan

ANDAI bumi semakin tidak selamat diduduki berikutan pencemaran manusia daripada peperangan hingga pencemaran, mungkin penemuan baru sekumpulan pakar astronomi boleh dijadikan alternatif untuk didiami - andai ada syarat teknologi untuk sampai ke sana. Pakar astronomi, baru-baru ini, mengumumkan penemuan planet yang disifatkan kembar bumi kerana miliki banyak persamaan tetapi bersaiz tiga kali ganda lebih besar dan mengelilingi bintang terletak 20 tahun cahaya. Planet berkenaan terletak dalam ‘zon Goldilocks’ bintang itu - rantau di angkasa lepas yang menyaksikan keadaannya sama ada terlalu panas atau terlalu sejuk untuk membentuk lautan, tasik dan sungai.

Ia bagaimanapun, dikatakan memiliki atmosfera dan graviti seperti di bumi yang menjadikannya kemungkinan besar boleh didiami.

Penemuan itu berlaku tiga tahun selepas pakar astronomi menemui planet sama tetapi tidak sesuai diduduki di sekitar bintang sama. Penyelidik mendapati pertemuan itu menunjukkan alam semesta dipenuhi dunia seperti bumi.

“Jika tidak, kita tidak sepatutnya menemui satu planet lain begitu cepat dan amat hampir. Bilangan sistem dengan potensi planet boleh diduduki berkemungkinan cuma 10 atau 20 peratus, dan apabila menggandakannya dengan beratus bilion bintang di Milky Way atau Bima Sakti, ia satu jumlah besar.
“Besar kemungkinan berpuluh bilion sistem ini dalam galaksi kita,” kata Dr Steven Vogt yang mengetuai kajian berkenaan di Universiti California, Santa Cruz.

Keputusan itu dihasilkan 11 tahun selepas pemerhatian di Pusat Pemerhatian W M Keck di Hawaii. Planet berkenaan beredar mengelilingi bintang kecil berwarna mereka dinamakan Gliese 581 di buruj Libra. Ia yang dinamakan Glieseg, terletak pada jarak 189,902,592,000,000 kilometer dari bumi - kedudukan yang amat jauh sehingga cahaya daripadanya mengambil masa 20 tahun untuk tiba di bumi!

Ia cuma mengambil masa 37 hari untuk mengelilingi matahari yang bermakna setiap musim, planet berkenaan cuma bertahan beberapa hari. Separuh planet berkenaan sentiasa mengadap bintangnya dan berpanas sepanjang siang manakala separuh lagi sentiasa dalam kegelapan - menyamai bumi ketika malam.

Tempat paling sesuai untuk kehidupan atau manusia pada masa depan terletak di zon antara kegelapan dan cahaya yang mengelilingi planet berkenaan.

Jika Gliese 581g mempunyai kandungan berbatu yang serupa dengan bumi, keluasannya garis pusatnya kira-kira 1.2 hingga 1.4 kali ganda lebih luas daripada bumi. Graviti pula berkemungkinan serupa yang membolehkan angkasawan berjalan di permukaan tanpa sebarang kesukaran.

Pakar astronomi kini menemui enam planet dalam orbit di sekeliling Gliese 581 - paling banyak ditemui dalam sistem planet berbanding sistem solar bumi. Dua daripada planetnya yang dikesan sebelum ini dicadangkan sebagai planet yang boleh diduduki. Bagaimanapun, ia terletak di kawasan melampau Zon Goldilocks - satu di bahagian panas dan satu di bahagian sejuk manakala Gliese 581g, sebaliknya, terletak di tengah-tengah.

Bintang itu belum diberikan nama rasmi. Ia muncul dalam katalog bintang yang disusun oleh pakar astronomi Jerman, William Gliese, yang kemudian diberi nombor rujukan 581.

Pakar menamakan planet yang didapati mengelilingi bintang dengan huruf. Lima planet yang ditemui sekitar Gliese 581 sebelum ini dinamakan daripada b hingga f, menjadikan penemuan terbaru sebagai Gliese 581g.

Fakta
Gliese 581g


Purata suhu permukaan: antara -31 darjah Celsius dan -12 darjah Celsius


Jarak dari Bumi - 20 tahun cahaya atau 189,902,592,000,000 kilometer


Masa diperlukan untuk mengembara ke Gliese 581g dalam roket yang berkelajuan satu persepuluh kelajuan cahaya atau 30,577.536 kilometer sesaat - 200 tahun


Panjang tahun - 37 hari (berbanding bumi 365 hari)


Jarak daripada matahari - kira-kira sembilan juta kilometer

0 Top 10 Personaliti sepanjang tahun 2010

Impak 10 personaliti

Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my
2011/01/02




Kisah yang berlaku dalam dunia kerjaya, peribadi mereka warnai suasana sepanjang tahun lalu

TAHUN 2010 yang baru berlalu meninggalkan kesan yang bukan sedikit kepada dunia. Ia juga pergi dengan mencatatkan pelbagai peristiwa, baik dan tidak, kepada penghuni dunia untuk dikenang atau mungkin dijadikan pengajaran dalam meniti kehidupan tahun baru. Selain bencana, malapetaka dan peperangan yang seakan tidak berkesudahan, tindak-tindak manusia turut mewarnai setiap saat yang berlalu pada tahun 2010. Malah ada di antaranya mendominasi berita utama media antarabangsa dengan penonjolan masing-masing sama ada diiringi kontroversi, membangkitkan nostalgia lama, mencipta sejarah dan tidak kurang yang pelik.
Mungkin terlalu banyak peristiwa yang berlaku sepanjang tahun lalu untuk diimbas kembali tetapi cuma segelintir yang benar-benar meninggalkan kesan di hati ramai orang.

Skandal seks pemain golf terkemuka dunia, Tiger Woods, tidak terhenti dengan berakhirnya tahun 2009 sebaliknya terus berlanjutan sepanjang tahun lalu dengan berita perceraiannya yang disahkan pada 23 Ogos lalu.

Bekas isteri ahli sukan bertaraf hartawan itu, Elin Nordegren, berkeras untuk bercerai selepas menyatakan dia hilang semua kepercayaan terhadap Woods yang menjalin hubungan sulit dengan berbelas-belas wanita.
Walaupun jumlah yang diperoleh Nordegren tidak dinyatakan, perceraian mereka disifatkan antara yang termahal dalam sejarah. Pasangan berkenaan berkongsi hak penjagaan ke atas dua anak mereka, Sam dan Charlie.

Suasana politik dunia pula sedikit berseri dengan tindakan junta Myanmar membebaskan tokoh demokrasi negara itu, Aung San Suu Kyi, daripada tahanan dalam rumah sejak 15 tahun lalu pada 13 November lalu.

Pembebasan itu disambut baik ramai pemimpin dunia dengan harapan ia menjadi titik tolak kepada amalan demokrasi sepenuhnya di negara itu. Ketokohan pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu turut menarik minat penerbit filem memindahkan kisah hidupnya ke layar perak dan pelakon kelahiran Ipoh, Datuk Michelle Yeoh, disebut-sebut sebagai calon terbaik memegang watak itu.

Lawatan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, ke Indonesia pada 9 November lalu pastinya membangkitkan nostalgia lama. Obama pernah tinggal di negara itu selama empat tahun ketika usia kanak-kanaknya selepas ibunya mengahwini lelaki Indonesia.

Obama memuji perkembangan ekonomi di Indonesia serta perkembangan demokratik negara itu dalam pertemuannya dengan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.
Bagaimanapun, persediaan besar-besaran menyambut Obama menimbulkan rasa tidak puas hati sebahagian rakyat yang berasakan kerajaan perlu memberi perhatian lebih kepada mangsa gunung berapi Merapi yang meletus ketika itu.

Politik Malaysia turut mencipta sejarah dengan kedatangan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton dalam lawatan rasminya selama tiga hari bermula 1 November lalu.

Ia adalah lawatan rasmi pertama Setiausaha Negara Amerika sejak Warren Christopher pada tahun 1995. Dalam lawatan itu, Clinton berkata Malaysia boleh menjadi pengaruh besar kepada dunia Islam dan komuniti antarabangsa yang lebih luas. Beliau turut memuji usaha negara membendung persengketaan berdasarkan agama.

Politik Britain sekali lagi mencipta sejarah apabila Perdana Menteri barunya, David Cameron, yang dilantik 11 Mei lalu menjadi pemimpin termuda pada usia 44 tahun.

Cameron, pemimpin muda yang memodenkan parti berhaluan kanan yang pernah dipimpin ikon politik Britain, Margaret Thatcher, dilantik Perdana Menteri kelmarin berikutan peletakan jawatan Gordon Brown, sekali gus menamatkan kemelut pilihan raya yang menyaksikan kembalinya parti Konservatif mengetuai kerajaan campuran selepas 13 tahun di bawah pemerintahan Parti Buruh.

Pemimpin Parti Liberal Demokrat, Nick Clegg kemudian diumumkan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Cameron dan Clegg bersetuju mewujudkan kerajaan campuran selepas parti Konservatif menang kerusi terbanyak dalam pilihan raya nasional Britain pada 6 Mei lalu, tetapi tidak memperoleh majoriti di Parlimen. Persetujuan itu dicapai berikutan rundingan tegang sebanyak lima kali, berjaya menghasilkan kerajaan campuran penuh pertama di Britain sejak Perang Dunia Kedua.

Nama Julian Assange tiba-tiba menjadi popular kerana laman web yang diasaskannya, WikiLeaks, menyiarkan berita mengenai pembabitan Amerika dalam perang di Afghanistan dan Iraq.

Pada 28 November lalu, WikiLeaks dan lima rakan medianya menyiarkan mengenai kabel rahsia diplomatik Amerika dan Rumah Putih segera menyifatkan pendedahan itu sebagai ‘membahayakan.’

Assange nyata membuatkan Amerika tidak senang duduk dengan Jabatan Kehakiman negara itu mengkaji tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadapnya.
Naib Presiden Joe Biden, pula menyifatkan pengasas WikiLeaks itu sebagai `pengganas berteknologi tinggi' yang berbahaya.

Mark Zuckerberg mungkin menjadi tokoh paling dicemburui dalam dunia teknologi maklumat kerana pada usia 26 tahun, dia boleh tidur dalam timbunan wang. Semuanya hasil laman web yang diasaskan, Facebook.

Memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden, Zuckerberg mengasaskan rangkaian laman web sosial itu pada tahun 2004, dengan tiga lagi rakannya, Dustin Moskovitz, Eduardo Saverin dan Chris Hughes, ketika masih bergelar penuntut Universiti Harvard. Zuckerberg dipilih sebagai Tokoh Tahun Ini oleh majalah Time.

Dalam dunia hiburan, nama Lady Gaga, yang kerap muncul dengan penampilan pelik dan tidak masuk akal sudah mampu berada sebaris dengan nama besar seperti kumpulan rock Bon Jovi, U2 dan AC/DC biarpun masih setahun jagung dalam industri itu.

Dia berada di tangga keempat selepas Bon Jovi, U2 dan AC/DC sebagai penghibur yang menerima pendapatan paling lumayan menerusi konsert selain mencatatkan penjualan album paling laris.

Konsert Monster Ball berjaya memperoleh AS$133.6 juta (RM412 juta) daripada 138 pertunjukan sepanjang 2010.

Selepas lebih sedekad menunggu, rakyat Britain hampir pasti mendapat pengganti Puteri Diana apabila anak sulung puteri itu, William, mengumumkan pertunangan dengan kekasihnya, Kate Middleton, pada 16 November lalu selepas lapan tahun bercinta.

Pertunangan itu amat dinanti-nantikan selepas oleh rakyat Britain yang masih menyalahkan istana di atas kematian puteri kesayangan mereka pada 31 Ogos 1997. Malah segelintir rakyat negara itu menyifatkan William bakal menjadi Raja yang jauh lebih baik berbanding bapanya, Putera Charles.

Media Britain yang obses dengan kehidupan kerabat diraja mula membandingkan Kate dan Diana tetapi rata-ratanya berpendapat gadis itu berupaya mengisi kekosongan yang ditinggalkan Diana.

Sementara di tanah air, kelibat gadis berusia 27 tahun, Datuk Nicol Ann David, dalam gelanggang skuasy sentiasa ditunggu peminat sukan tempatan kerana ia jarang sekali mengecewakan.

Memegang gelaran pemain skuasy wanita nombor satu dunia dan sudah menyandang gelaran juara pelbagai kejohanan, Nicol wajar sekali menjadi contoh kepada anak muda Malaysia.

Nicol juga menaikkan nama negara kerana menjadi wanita Asia pertama memenangi gelaran juara Kejohanan Dunia, bukan sekali sebaliknya empat kali iaitu pada tahun 2005, 2006, 2008 dan 2009.

0 Apabila rintihan kemiskinan anda didengari

Pengemis bakal jadi jutawan kerana suara emas





COLUMBUS, Amerika Syarikat (AS) - Seorang pengemis yang tidak berumah di sini, Ted Williams dihujani tawaran lumayan yang membolehkan dia bakal menjadi jutawan selepas permintaannya untuk diberi kerja dengan menggunakan suaranya disiarkan di Twitter dan laman YouTube, lapor sebuah akhbar semalam.

Nasibnya itu berubah selepas seorang jurugambar akhbar Columbus Dispatch merakamkan video yang menunjukkan pengemis tersebut memegang cebisan kertas kotak yang mengandungi tulisan:

"Saya mempunyai suara dianugerahkan Tuhan. Saya seorang bekas penyampai radio yang jatuh ke dalam masa sukar. Tolonglah! sebarang bantuan akan amat dihargai. Terima kasih dan semoga anda dirahmati Tuhan."

Pengemis itu turut bercakap dengan gaya seorang penyampai radio yang mempunyai suara unik semasa gelagatnya dirakamkan oleh jurugambar tersebut dari dalam keretanya di Houston Street, Columbus.

Klip video selama 90 saat itu yang dihantarnya ke laman Twitter kemudian menjadi popular dan pengemis itu kemudian menerima tawaran daripada beberapa stesen penyiaran termasuk stesen rangkaian muzik MTV, stesen Liga Bola Sepak Nasional (NFL) dan Rangkaian Hiburan dan Sukan (ESPN).

Seorang pengarah filem untuk NFL, Keviv McLoughlin berkata, bosnya mengarahkan pengemis itu diambil bekerja jika dia tidak mahu dipecat.

Dia juga mendapat tawaran berjumlah AS$10,000 (RM30,725) untuk menyumbang suara untuk sebuah persatuan perniagaan, Liga Kesatuan Kredit Ohio.

Sementara itu, seorang ejen pencari bakat di bidang penyiaran di Los Angeles, Shane Cormier berkata, Williams memiliki bakat yang amat unik.

"Kami boleh menjadikan Williams seorang jutawan," katanya.

Williams pernah bekerja sebagai seorang penyampai radio sebelum dia hilang pekerjaan kerana masalah ketagihan alkohol dan dadah.

"Namun, kini saya telah sembuh dan tidak mengambil dadah atau alkohol selama dua tahun. Saya berusaha bersungguh-sungguh untuk mengubah kehidupan saya," katanya. - Agensi