.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Thursday, May 10, 2012

0 jangan Pandang Enteng Hak Anda Pada Karya Seni Anda

Kemelut hak cipta Oleh Latifah Arifin latifah@bharian.com.my 2012/05/10 SEMINAR Hak Cipta 'Adaptasi daripada Buku kepada Skrin' di PWTC sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012. Pengarang perlu tahu dan sedar kepentingan melindungi karya KECUAIAN penulis terutama dalam memahami, meneliti dan menganalisis butiran dalam kontrak perjanjian sama ada bagi kebenaran mengadaptasi, pindah milik dan pelesenan karya dikenal pasti sebagai punca utama hak mereka sewenang-wenangnya dieksploitasi. Pensyarah Fakulti Undang-undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Rohazar Wati Zuallcobley, menasihatkan penulis yang mahu menuntut hak mereka agar tidak dibayangi kes mengenai pelanggaran hak cipta di Malaysia yang sedikit berbanding negara luar. “Penulis yang mahu menuntut hak mereka tidak boleh menjadikan perkara ini sebagai penghalang kerana Malaysia mempunyai Akta Hak Cipta 1987 dan jenis karya yang menerima perlindungannya, selain mereka juga boleh merujuk kes sama yang berlaku di luar negara,” katanya pada Seminar Hak Cipta - Adaptasi Daripada Buku kepada Skrin bersempena Pesta Buku Kuala Lumpur Antarabangsa 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini. Beliau mengambil inisiatif menjelaskan keraguan mengenai perlindungan undang-undang yang termaktub dalam Akta Hak Cipta 1987 sama ada ia setanding dengan perundangan hak cipta peringkat antarabangsa. “Akta Hak Cipta 1987 sememangnya setanding dengan undang-undang antarabangsa, apatah lagi Malaysia turut menjadi ahli kepada Konvensyen Berne yang memperkenalkan Perlindungan Karya Sastera dan Seni 1971. Rohazar turut berkongsi definisi hak cipta dengan peserta sebagai hak eksklusif yang diberikan oleh undang-undang bagi suatu jangka masa tertentu kepada penulis dan pengubah untuk mencetak, menerbitkan atau menjual salinan karya asal mereka. “Antara karya dilindungi termasuk penulisan sastera, seni, muzik, rakaman bunyi, filem, siaran dan karya terbitan termasuk terjemahan, data dan adaptasi. Bagaimanapun, idea dalam menghasilkan sesebuah karya tidak dilindungi di bawah akta ini,” katanya. Beliau yang juga penulis buku, Hak Cipta dan Hak Berkaitan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 2010 itu menambah, kebanyakan penulis masih belum sedar hak mereka dan kerugian timbul kerana pengabaian terhadap undang-undang yang sedia melindungi pemegang hak cipta. “Di bawah seksyen 8 (2), Akta Hak Cipta 1987 dengan jelas menerangkan, karya yang diadaptasi hendaklah tidak menjejaskan isi kandungan asal milik pengarang. Bagaimanapun, masalah timbul kerana penulis tidak menyedari hak mutlak berpihak kepada mereka. “Keadaan ini berterusan sehingga mereka menjadi mangsa keadaan apabila ada penerbit filem yang bertindak lebih bijak dengan memasukkan tambahan klausa dalam perjanjian yang menyatakan hak cipta keseluruhan automatik menjadi milik mereka,” tegasnya. Seminar berkenaan turut dihangatkan dengan persoalan penyertaan dalam sayembara, kadangkala mengakibatkan penafian hak terhadap pemilikan hak cipta yang dihadapi penulis asal tanpa mereka sedari. Prof Madya Rozahar Wati menasihati penulis agar meneliti dan memahami terma dan syarat penganjur termasuk sama ada semua hak cipta dipegang sepenuhnya penganjur sama ada karya menang atau kalah. “Jika penganjur menyatakan hanya karya yang menang saja dipegang hak ciptanya, secara automatik penulis yang gagal memenangi sebarang tempat dalam peraduan memiliki sepenuhnya hak cipta terhadap karya sendiri, “Bagaimanapun, jika syarat peraduan tidak menyatakan apa-apa mengenai hak cipta, berasaskan seksyen 10, Akta Hak Cipta 1987 tentunya penulis asal menjadi pemilik hakiki hak cipta bagi karyanya itu,” ujarnya. Seminar anjuran Bahagian Harta Intelek, Jabatan Penerbitan DBP bertambah hangat apabila penggiat filem yang juga Pensyarah Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik, UiTM, Dr Mahadi J Murat merungkai dilema perlindungan hak cipta daripada kaca mata pembuat filem. “Memahami sempadan hak dan tanggungjawab di antara penulis asal dan penerbit filem sewajarnya menjadi asas untuk merundingkan suatu kaedah menang-menang dalam kalangan mereka yang terbabit dalam perkara ini. “Bagaimana kita mencari titik pertemuan di antara penulis asal, penulis skrip dan penerbit filem adalah kunci bagi mengelakkan isu tidak puas hati terhadap hak masing-masing timbul. Apa yang saya lihat, pergelutan terjadi kerana penulis sendiri gagal memahami dan menyedari hak mereka,” katanya yang pernah menghasilkan filem sejak era 1980-an merangkumi Sayang Salmah yang memenangi beberapa anugerah. Seminar berkenaan turut dihantui soalan panas daripada peserta yang mempersoalkan hak penulis asal novel, Ombak Rindu, Fauziah Ashari yang mendakwa tidak mendapat hak sewajarnya apabila filem adaptasi novel itu pecah panggung dan meraih keuntungan jutaan ringgit. Dr Mahadi menjawab persoalan itu dengan kenyataan sektor perfileman sudah mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dan sentiasa ada perjanjian membabitkan keseluruhan produksi termasuk pelakon, penulis skrip dan pekerja di belakang tabir termasuk sumber karya yang diadaptasi. “Dalam kes Ombak Rindu, penulis buku berkenaan ada menyuarakan perasaan tidak puas hati terhadap royalti yang diperuntukkan dan saya nasihatkan penulis menjadikan isu itu sebagai pengajaran sebelum membenarkan karya diadaptasi. “Jangan lupa novel Ombak Rindu menerima banyak manfaat selepas diadaptasi. Bayangkan naskhah itu laris seperti pisang goreng panas sehingga mencecahkan cetak ulang ke-23. Penulis dan syarikat penerbitan novel itu turut mendapat habuan lumayan gara-gara filem Ombak Rindu meletup. “Masyarakat perlu sedar, filem yang baik bukan saja bergantung kepada skrip atau jalan cerita semata-mata, tetapi turut dibantu skor muzik menarik, pelakon popular dan sinematografi indah,” ujarnya. Seminarnya ini tentunya tidak sia-sia bagi karyawan sastera memandangkan ia menjelaskan beberapa dimensi berhubung Akta Hak Cipta 1987 yang hakikatnya menjadi kepentingan pengkarya, tetapi mereka perlu ada kesedaran mengenai demi menjaga kepentingan diri.