.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Sunday, April 25, 2010

0 111 Kali. Mendaki Tanpa Henti. Apa kuasa dalaman yang mendorongnya?

Mohd. Noor memang 'gila'

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
lutfi.abdulrahim@kosmo.com.my

Keupayaan kardiovaskular Mohd. Noor dianggap pelik dan luar biasa semasa beliau menjayakan misi menakluk Gunung Kinabalu sebanyak 111 kali dalam masa 111 hari.


MISINYA selepas ini ialah mendaki Menara Kuala Lumpur sebanyak 111 kali dalam masa 168 jam.


KAKINYA hitam dan melecet, tumitnya pula pecah, manakala mukanya gelap dek menadah panas terik matahari yang adakalanya mencecah suhu 43 darjah Celsius.

Malah ada nada sinis daripada pendaki lain yang mengatakan beliau melakukan kerja gila namun semua itu tidak diambil pusing.

Beliau ialah Mohd. Noor Mat Amin, 43, pendaki solo yang melakar sejarah menjadi manusia pertama menakluk Gunung Kinabalu sebanyak 111 kali dalam tempoh 111 hari Selasa lalu.

“Jika orang kata saya gila memang saya gila. Tetapi gila saya adalah untuk mencapai matlamat yang baik dan menjadi ikutan kepada individu lain.

“Saya ingin membuktikan seseorang mampu mencapai impian jika diselarikan dengan usaha dan tawakal pada Allah,” ujar Mohd. Nor merendah diri.

Semasa beliau bertekad merealisasikan impian, ramai pendaki dari China, Thailand, Brunei, Jepun dan beberapa negara Eropah memandang rendah usaha beliau.

Tetapi semua itu tidak menghalang cita-cita Mohd. Noor.

Beliau memulakan misi menawan puncak Gunung Kinabalu, iaitu gunung tertinggi di Asia Tenggara (4,095 meter) sebanyak 111 kali bermula 31 Disember lalu. Jarak perjalanan dari kaki gunung ke puncak ialah 8.7 kilometer

Berbicara soal cabaran, bukan calang-calang yang beliau tempuhi. Namun, diberi kebenaran mendaki pada waktu malam oleh pihak Taman Kinabalu merupakan suatu keistimewaan yang jarang diperoleh pendaki lain.

“Hujan lebat telah saya redah, begitu juga kabus tebal dan angin kuat. Ia cukup getir bagi saya. Malah hujan lebat yang membentuk air terjun yang turun dari puncak gunung cukup menggentarkan.

“Mujurlah tiada istilah putus asa kerana misi 111 kali pendakian belum tercapai ketika itu,” ujar Mohd. Noor jujur.



MOHD. NOOR membuktikan keazaman yang kuat menjadi kunci kejayaan.


Selipar

Pernah melihat kelibat rusa, Mohd. Noor menceritakan pada pendakian ke-70 hingga 111 beliau terpaksa memakai selipar sahaja ekoran tumitnya yang merekah teruk dan melecet sehingga menyukarkan beliau memakai kasut.

“Saya tidak henti-henti berdoa supaya dipermudahkan usaha saya,” ujarnya.




--------------------------------------------------------------------------------



Akhirnya setelah bersusah payah, beliau berjaya menamatkan pendakian terakhir tepat pukul 11.50 pagi (Selasa) di Timpohon Gate selepas memulakan pendakian bersama jurupandu, Safrey Sumping pada pukul 12 tengah malam sebelumnya.

Namun, tidak semuanya sukar bagi jurugambar Utusan Malaysia ini.

“Saya dapat menyambut hari lahir saya pada 3 Februari lalu di puncak gunung di samping penghargaan daripada isteri dan anak yang turut serta pada pendakian ke-49.

“Saya juga sering menerima panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada isteri yang memberi kata-kata semangat.

“Ia menjadi tonik berharga untuk saya meneruskan perjuangan,” katanya.

Menurut Mohd. Noor, beliau turut mengambil makanan tambahan untuk tulang iaitu Triflex dan power gel bagi menambah tenaga sepanjang Projek Pendakian Solo 1Malaysia itu.

Adakah kegilaan lelaki ini terhenti selepas mencatat rekod pendakian 111 kali itu? Tidak sama sekali.

Selepas ini beliau mahu mendaki Menara Kuala Lumpur pula, juga sebanyak 111 kali dalam tempoh 168 jam. Projek itu akan dilakukan dari 8 hingga 14 Mei ini bagi melayakkan dirinya melakar nama dalam Guinness World of Records.

Tidur

Fisioterapi Mohd. Noor, S. Mohd. Salim S. Ibrahim ketika dihubungi Jurnal memberitahu, ada masanya beliau berasa kasihan dengan Mohd. Noor yang pada pendapatnya sering memendam rasa sakit.

“Kerana itu saya kadangkala membenarkan kata orang lain yang dia seorang yang gila.

“Tapi Mohd. Noor begitu berdisiplin. Apa yang kita larang dia daripada melakukannya akan dipatuhi.

“Semangatnya cukup tinggi malah dia tidur empat jam sahaja demi merealisasikan impiannya,” katanya.

Ujar Salim lagi, beliau akan mengurut seluruh badan Mohd. Noor selama lebih dua jam setiap sesi bagi memastikan ‘pelanggannya’ itu berada dalam keadaan baik untuk pendakian seterusnya.

“Memang dia gila - tetapi daripada kegilaannya itu tercetusnya idea dan benda baru dalam hidup. Hidup kita memerlukan sesuatu yang baru dari semasa ke semasa,” katanya berfalsafah.

Adik Mohd Noor, Alias Mat Amin, 33, pula berkata beliau akan terus memberikan sokongan kepada abangnya itu jika beliau ingin mencipta rekod lagi selepas ini.

“Semangatnya sangat kuat. Sejak kecil lagi dia gemar mendaki. Kami bukan daripada keluarga mewah, jadi kami perlu membantu ibu bapa menoreh getah untuk menambah pendapatan.

Luar biasa

“Menoreh getah memerlukan kami menyelusuri bukit yang agak curam. Cuma dia (Mohd. Noor) lebih ke hadapan hingga dapat menyertai ekspedisi mendaki gunung tertinggi di dunia iaitu Gunung Everest pada 1997,” katanya ketawa.

Tambah beliau, orang yang tidak mengenali Mohd. Noor mungkin akan mengatakan abangnya itu seorang yang gila kerana sering melakukan perkara yang tidak terlintas dalam fikiran orang lain.

“Tetapi semua yang dilakukannya adalah untuk membuktikan bahawa kejayaan itu pasti datang jika kita menetapkan sasaran dari awal,” katanya.

Bagi pegawai perubatan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menjadi ketua projek pendakian solo Mohd. Noor itu, Dr. Dayang Maryama Awang Daud, ketahanan mental yang tinggi dan sifat tidak berputus asa menjadi kunci kejayaannya.


MOHD. NOOR diurut selama dua jam setiap sesi bagi membolehkannya melakukan pendakian seterusnya.



“Tubuhnya dalam keadaan normal semasa diperiksa malah kesihatannya bertambah baik. Struktur otot beliau lebih mantap berbanding sebelum ini.

“Malah, keupayaan kardiovaskular beliau (kecekapan sistem peredaran dan sistem pernafasan untuk membekalkan oksigen kepada otot secara berterusan) meningkat lebih-lebih lagi semasa berada di paras yang tinggi itu. Itu yang agak pelik.

“Biasanya selepas melakukan aktiviti lasak, daya tahan seseorang akan berkurangan tetapi beliau (Mohd. Noor) sebaliknya pula.

“Namun, banyak lagi yang belum habis dikaji tetapi itulah Mohd. Noor – manusia luar biasa,” kata Dayang jujur.