.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Saturday, June 19, 2010

0 Ahmad Idham pertaruhkan filem seram untuk menembusi pasaran dunia. Bagaimana buat filem 1Malaysia?

18 Mei 2010
AHMAD IDHAM TERUS MELAKAR SEJARAH


‘Untung sabut timbul, untung batu tenggelam’. Percaturan Ahmad Idham (IDHAM) dalam industri perfileman ini telah membawa penubuhan Excellent Picture Sdn. Bhd. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, UiTM Shah Alam ini, beliau mula mengorak langkah sebagai pelakon pembantu namun kini beliau boleh berbangga dengan kecemerlangan yang dicapai pada hari ini. Anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini terus melakar kejayaan sebagai pengarah dalam menyemarakkan industri perfileman negara. SINEMA MALAYSIA (SM) berpeluang berkongsi pengalaman dengannya dalam menempatkan diri sebagai seorang pengarah filem yang berjaya.

SM Nama Ahmad Idham mula dikenali sebagai pelakon pembantu melalui filem Kuala Lumpur Universiti pada tahun 1995. Bagaimana En. Ahmad Idham boleh mula terlibat dalam industri filem ini.

IDHAM : Saya mula terlibat dalam industri ini hanya secara kebetulan. Ketika itu saya sedang belajar di UiTM dalam bidang akaun. Kebetulan saya mengenali Riezman Khuzaimi dan Azhar Sulaiman dan selalu mengikuti dan melihat mereka shooting filem. Kemudian saya dipelawa sebagai pelakon extra dan mendapat bayaran RM50.00 sehari. Ketika itu,masih student dan bayaran ini sudah dikira ok. Sementara menunggu peluang kerja, tawaran berlakon tiba-tiba muncul dan ini adalah satu peluang yang baik. Apabila telah berlakon dan mendapat banyak tawaran menyebabkan saya rasa seronok dan ingin lari dari dunia akaun yang dipelajari selama 6 tahun di UiTM. Ketika itu saya mula kenal dengan Md Noor Kadir yang berkelulusan Engineer Electrical yang telah berjaya sebagai produser dan mempunyai syarikat sendiri atas nama Kuasatek Pictures. Semua ini membuatkan saya menyedari yang industri perfileman ini tidak hanya untuk mereka yang belajar filem. Saya melihat peluang pernigaan dan potensi dalam industri ini. Ketika masih tiada nama, saya mendapat peluang sebagai pelakon dalam telemovie ‘Cinta Antara Benua’. Drama tersebut menjadi hit dan secara tidak langsung nama saya mulai dikenali ramai. Selepas itu saya mendapat peluang berlakon drama ‘Cinderella’ dan drama tersebut telah menaikkan nama saya dan mendapat perhatian industri. Md Noor Kadir merupakan orang yang telah membawa saya kepada industri ini dan dia telah memberi peluang untuk saya bekerja di belakang kamera. Dari situ saya mula menimba pengalaman dari Md Noor Kadir melalui Kuasatek Pictures yang terus memberi peluang kepada saya untuk mengarah drama. Selepas itu saya mula menang beberapa anugerah dan di sini saya merasa yakin untuk terlibat secara serius dalam industri ini. Saya bersama Kuasatek Pictures sehingga tahun 1999 dan tahun 2000 saya telah membuka syarikat sendiri atas nama Exellent Pictures Sdn. Bhd.Tahun 2004 baru syarikat saya mendapat projek drama dan alhamdullillah selepas itu saya terus mendapat peluang membuat drama dan mengarah filem sehinggalah ke hari ini.

SM Kemunculan Excellent Pictures Sdn. Bhd. telah menyemarakkan lagi industri perfileman negara. Bagaimana En. Ahmad Idham melihat perkara ini. Adakah Excellent Pictures mampu bersaing dengan syarikat yang ada?



IDHAM : Bagi saya Excellent Pictures itu adalah wajah saya. Excellent Pictures adalah syarikat dan saya adalah individu dalam company tersebut. Jika saya mampu menonjol dalam industri bermakna Excellent Pictures tetap berpeluang untuk bersaing walaupun hari ini nampak seperti kolaborasi saya banyak dengan Metrowealth tapi semuanya smart partnership. Saya bukannya datang dari keluarga kaya yang boleh mendapat modal serta merta jadi saya memerlukan investor. Jika saya mempunyai modal yang besar anytime boleh buat filem. Tapi kita akur, modal kita tidak besar tapi tetap ada progress. Saya mula dengan drama dan saya percaya jika terlalu cepat naik sesebuah syarikat itu akan cepat jatuh. Jika syarikat saya mempunyai modal yang besar, pasti Excellent Pictures mampu bersaing. Walaupun begitu Excellent Pictures tetap progress secara perlahan. Peningkatan nama syarikat saya tidaklah seagresif peningkatan nama dan kerjaya saya sebagai pengarah. Tahun ini diharap saya dapat mencari modal yang besar untuk disuntik ke dalam Excellent Pictures dan ini adalah cabaran kedua saya sebagai penerbit filem. Sehingga hari ini saya telah mengarah 17 filem dan esok filem ke-18. Saya telah mengarah 1 filem untuk Kuasatek Pictures, 3 untuk Excellent Pictures dan 14 untuk Metrowealth.

SM : Ketokohan En. Ahmad Idham dalam mengarah pelbagai genre filem seperti seram, komedi, kekeluargaan, muzikal dan aksi telah membuktikan kemampuan En. Ahmad Idham. Genre filem yang bagaimanakah dapat memberi kesan yang hebat kepada En.Ahmad Idham sebagai pengarah filem.

IDHAM : Hari ini saya melihat filem seram mempunyai potensi dalam industri filem negara. Filem seram berjaya membuat kutipan paling box-office di Malaysia. Genre ini juga telah berjaya membawa nama saya ke luar Malaysia seperti Singapura, Brunei dan Filipina. Jika sebelum ini orang kata, filem kita berjaya ditayang di Singapura, tetapi filem saya berjaya ditayang sehingga 12 print di sana. Filem terbaru Excellent Pictures, Niyang Rapik juga telah mendapat tempahan di sana dan ini adalah sesuatu yang membanggakan. Kebiasaannya filem lain hanya 1 atau 2 print sahaja. Kini kita cuba untuk ke negara lain pula.

Apa yang saya nampak sekarang ini genre seram berbeza dengan filem aksi. Filem aksi kita masih tidak dapat menandingi filem aksi luar kerana kita kekurangan modal yang besar. Filem aksi terlibat secara langsung dengan kos, lagi tinggi kos, lagi bagus aksi dapat dibuat. Jadi filem aksi kita hanya untuk pasaran Malaysia sahaja. Untuk bersaing dengan negara luar, kita tiada kapisiti sebab kos. Berbeza dengan filem seram, kita ada khazanah kita. Filem seram Malaysia tidak akan sama dengan filem seram Korea, Thailand dan Jepun. Negara kita ada originality seperti cara ustaz kita dalam menghadapi makhluk halus dan juga cerita seperti ini tidak terdapat dalam filem Hollywood dan negara lain. Ini menyebabkan orang luar berminat untuk menonton filem yang berbeza dengan negara mereka.

Filem seram saya juga sudah ditayangkan di London, Australia dan lain-lain untuk warga Malaysia di sana. Sambutannya sangat menggalakkan dan pawagam sentiasa penuh. Ketika Malaysian Film Week di Singapura berlaku kekecohan apabila penontonnya bergaduh kerana tidak mendapat tempat di pawagam. Ini sesuatu yang membanggakan namun begitu filem seram saya sahaja yang mendapat sambutan tetapi filem lain tidak begitu berjaya.

SM : Bagaimanakah En. Ahmad Idham melihat potensi filem kita untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

IDHAM : Secara umumnya memang susah untuk kita bersaing di peringkat antarabangsa kerana kita banyak limitation. Kita kena cari kelebihan filem kita, kita tidak boleh pasarkan filem secara general macam tu sahaja. Kita perlu khususkan dulu genrenya dan paling penting pilih untuk pasaran mana dahulu. Kita ada banyak pasaran, negara dunia pertama hingga dunia ketiga. Setiap negara itu berbeza dari segi tahap ekonomi, sosial dan politiknya. Filem untuk pasaran Amerika dan Afghanistan berbeza. Peluang untuk memasarkan di luar negara memang ada tapi kita perlu tentukan pasaran yang mana dan kita perlu ada target. Bagi saya filem seram menjadi pilihan kerana filem seram ada bahasa yang sama di seluruh dunia. Tanpa dialog, penonton seluruh dunia faham ekspresi dan jalan cerita filem seram tersebut. Oleh sebab itu juga beberapa buah filem seram berjaya menembusi pasaran antarabangsa seperti Nang Nak dari Thailand, Ju-On dari Korea dan mampu menandingi Hollywood.



Jika mahu membawa filem kita ke luar saya berani mempertaruhkan filem seram. Pelaburan yang besar untuk filem seram mampu membawa Malaysia ke persada dunia dan saya dah melaluinya dengan filem seram saya telah berjaya ke luar negara dalam open market. Itu penentu hala tuju industri filem kita di luar negara. Saya dah berjaya di Brunei, Singapura dan Filipina dan sekarang ini saya tengah cuba untuk menembusi pasaran Indonesia dan Thailand. Walaupun susah saya percaya genre seram tetap boleh menembusi pasaran antarabangsa.

SM : En. Ahmad Idham terus diberi kepercayaan oleh Metrowealth Movie Production dalam mengarah pelbagai genre filem kebelakangan ini. Apakah pandangan En. Ahmad Idham tentang perkara ini.

IDHAM : Saya selalu melihat ini sebagai satu business, satu perkara yang selalu ada dalam diri saya, hormat duit orang. Bila kita diberi peluang dan kepercayaan, orang berani invest atas kemampuan kerja kita sampai berjuta-juta ringgit, bermakna kita perlu memberi yang terbaik. Untung banyak atau sikit itu hak produser dan jika produser tiada duit, kitapun tidak boleh direct. Pengarah memang perlu kayakan produser supaya kita boleh mendapat peluang kedua dan seterusnya. Selagi Metrowealth perlukan khidmat saya sebagai pengarah, saya akan terus memberikan perkhidmatan yang terbaik. Bila saya bersungguh menghasilkan produk, Metrowealth membuat pasaran dan promosi filem dengan bersungguh-sungguh dan ini membuatkan saya yakin dengan Metrowealth. Apa yang penting kerjasama antara kami. Jika David Teo berjaya sebagai produser, Ahmad Idham berjaya berjaya sebagai pengarah. Nama saya naik sebagai pengarah, Excellent Picture juga akan dikenali dan dari situ syarikat saya akan bergerak atas kredibiliti nama kita. Bila kita telah ada nama ia akan menjadi penentu kita mendapat peluang job dari stesyen TV.

SM : Apakah pandangan En. Ahmad Idham tentang konsep 1Malaysia yang telah dilancarkan baru-baru ini. Adakah melalui filem konsep tersebut dapat diterapkan dalam memaparkan perpaduan masyarakat Malaysia.

IDHAM : Saya telah diberi satu amanah untuk membuat dokumentari 1Malaysia. Kita jangan sempitkan pemikiran tentang pengertian tentang 1Malaysia. Apabila sebut 1Malaysia kita terus nampak perkauman sahaja. Terlalu cetek dan pendek tahap pemikiran pembikin filem kalau mentafsir 1Malaysia sekadar tentang Melayu, Cina dan India. Sekadar memenuhi kuota untuk filem mengangkat filem mereka filem 1Malaysia. Bagi saya itu pandangan yang terlalu sempit. 1Malaysia bagi saya adalah sebuah filem yang mempunyai roh dan spirit Malaysia yang membuatkan penonton proud to be Malaysian dan Malaysia tetap nombor satu.



Sebuah filem 1Malaysia sepatutnya memberi impak kepada penonton bahawa saya bangga menjadi warga Malaysia. Bagaimana pelaksanaan itu yang perlu dikupas. Sekarang ini saya sedang membuat dokumentari yang menggambarkan how lucky i am that i was born in Malaysia. Syukur. Ke mana saya pergi saya akan kata Malaysia the best. Kita lihat kejayaan angkasawan kita. Kita tidak kata angkasawan pertama adalah orang Melayu tetapi kita akan sebut orang Malaysia. Nicol David diiktiraf sebagai pemain tenis nombor satu dunia, kita tidak sebut orang Serani tetapi kita akan sebut orang Malaysia. Di mana kita ingin membawa wajah Malaysia kerana ketika zaman P.Ramlee lagi konsep 1Malaysia telah diguna pakai untuk filem-filem terbitannya. Dengan mengaku kita hidup dalam perpaduan kaum yang berpaksikan lima rukun negara kita perlu menghormati antara kaum yang ada. Dalam konteks filem kita kena cari pendekatan yang sesuai. Bukan sekadar mencampak watak Melayu, Cina dan India dalam satu filem. Bagaimana dengan kaum Kadazan, Bajau dan lain-lain etnik yang terdapat di Sabah. Bukankah mereka juga orang Malaysia?

SM : Tahniah kepada En. Ahmad Idham yang dilantik sebagai Ahli Perbadanan FINAS. Sebagai Ahli Perbadanan FINAS yang baru bagimanakah En. Ahmad Idham melihat senario industri perfileman negara ketika ini.

IDHAM : Terima kasih, pada mulanya saya juga terkejut apabila dilantik menjadi ahli Perbadanan FINAS. Sebelum ini saya hanya melihat sebagai practitioner yang melihat FINAS dari luar dan jauh. Apabila menjadi ahli Perbadanan FINAS saya melihat banyak orang luar tidak tahu tentang FINAS dan FINAS tidak nampak apa yang orang industri perlukan. Saya menjadi jambatan untuk merapatkan jurang antara FINAS dan penggiat filem dari peringkat akar umbi. Saya sebagai ahli Perbadanan lebih khusus kepada technicality untuk unit produksi dalam Skim Pinjaman Filem Cereka (SPFC). Saya menjadi pemaklum kepada gambaran sebenar senario industri hari ini yang patut FINAS tahu dan apa pula yang FINAS lakukan yang patut orang industri tahu dan sokong. FINAS dan orang industri perlu dirapatkan bagi menjelaskan sesuatu dasar yang ditetapkan dan cara perlaksanaannya.

0 comments: