.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Saturday, November 06, 2010

0 Gunung Merapi meletus enam kali ganda kuat pada waktu orang nyenyak tidur

Gunung Merapi mengganas



GAMBAR menunjukkan satu mayat diliputi debu dari Gunung Merapi bergelimpangan di sebatang jalan di Argomulyo,Yogyakarta semalam.



YOGYAKARTA - Angka korban Gunung Merapi di Pulau Jawa, Indonesia melepasi angka 122 orang manakala berpuluh-puluh lagi sesak nafas dan melecur selepas ia meletus semalam, kata beberapa pegawai.

Letusan kuat pada tengah malam Khamis lalu adalah enam kali ganda lebih kuat daripada letusan pertama pada 26 Oktober lalu dengan angka kematian keseluruhan setakat ini 122 orang.

Semalam, lebih 70 orang terbunuh selepas Gunung Merapi mengganas dengan menghamburkan awan panas.

Sebahagian mangsa terbaru yang mati itu ditemui anggota penyelamat sedang tidur dan bercakap menggunakan telefon.

Gunung Merapi yang terletak kira-kira 30 kilometer dari sini adalah gunung berapi paling aktif di Indonesia dan ia menghamburkan awan setinggi 8,000 meter.

Jurucakap Hospital Sarjito, Banu Hermawan berkata: "Kami khuatir angka kematian akan terus meningkat kerana terdapat beberapa lokasi yang masih belum dapat dilawati kerana abu panas dan bahang gunung berapi."

Kebanyakan mangsa yang mati adalah kanak-kanak dari Kampung Argomulyo yang terletak sekitar 18 kilometer dari kawah gunung berkenaan.

Letusan semalam dan kelmarin turut mengeluarkan awan panas yang menyebabkan sejumlah rumah di zon bahaya musnah.

Di Brongang iaitu kira-kira 15 kilometer dari kawah Gunung Merapi, askar-askar mengeluarkan sejumlah mayat dari rumah-rumah yang hangus dilitupi abu setebal lima sentimeter sebelum mengumpulkannya di atas beberapa buah trak.

Berpuluh-puluh mangsa yang cedera dibawa keluar dengan menggunakan pengusung.

Keadaan mereka sangat mengerikan dengan baju dan selimut hangus melekat pada kulit selepas dibakar awan panas dikenali sebagai awan piroklas dengan suhu setinggi 750 darjah Celsius yang membakar paru-paru manusia.

Seorang penduduk kampung, Niti Raharjo, 47, yang dirawat di hospital kerana melecur di kaki berkata, dia bangun dan menghidupkan enjin motosikal untuk melarikan diri bersama anak lelakinya selepas mereka dikejutkan oleh gegaran kuat semasa sedang tidur pada tengah malam kelmarin.

"Kami diselubungi hawa panas dan terdapat asap putih di merata-rata tempat. Saya melihat orang ramai bertempiaran lari manakala beberapa wanita pengsan akibat terlalu takut," ceritanya.

Gunung Merapi kerap meletus sepanjang abad lepas.

Pada tahun 1994, 60 orang terbunuh dalam tempoh beberapa hari manakala pada 1930, 12 penduduk kampung terbakar hangus dengan kematian keseluruhan mencecah 1,300 orang.



WAJAH beberapa penduduk sekitar Gunung Merapi dipenuhi dengan debu semasa mereka melarikan diri di Klaten awal pagi semalam.


Bahaya paling dahsyat adalah awan piroklas yang bergerak di cerun selatan Gunung Merapi sejurus sebelum tengah malam semalam pada kelajuan 100 kilometer sejam.

Haba panas yang dibawa awan itu seperti pembunuh senyap yang meragut nyawa penduduk kampung ketika mereka sedang nyenyak tidur.

"Saya menemui tiga mayat iaitu seorang kanak-kanak dan bapanya yang masih terbaring di katil mereka. Mereka sedang tidur apabila awan panas melanda rumah mereka," kata seorang anggota penyelamat, Utha.

Dia menghantar 10 mayat ke sebuah hospital di sini.

"Mayat-mayat mereka melecur teruk. Kami turut menemui satu mayat seorang lelaki yang masih memegang gagang telefon," tambahnya lagi.

Setiap kali meletus, Gunung Merapi mengeluarkan abu yang melitupi setiap benda termasuk haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Abu Gunung Merapi melitupi kawasan sejauh 30 kilometer dan menghalang sinaran matahari sekali gus memaksa para pemandu memasang lampu kenderaan mereka pada waktu siang.

Seorang ahli vulkanologi yang mengkaji Gunung Merapi selama beberapa tahun berkata, beliau kini keliru untuk meramalkan aktiviti gunung berkenaan yang seterusnya.

Menurutnya, beliau tidak pernah melihat gunung berapi setinggi 2,914 meter itu begitu aktif seperti yang berlaku sekarang. - Agensi


Artikel berkaitan:

Mati dalam keadaan tragis
YOGYAKARTA 5 Nov. -Kebanyakan korban terbaru Gunung Merapi hari ini maut dalam keadaan tragis, apabila mereka ditemui mati di atas katil atau semasa berbual di telefon akibat terkena lahar panas gunung berapi mencecah suhu 1,000 darjah Celcius yang terhambur dari kawah gunung itu hari ini.

Pasukan mencari dan menyelamat berjaya mengeluarkan 31 mayat daripada rumah-rumah yang hangus di Argomulyo, pagi ini, namun masih belum dapat pergi ke bahagian lain di kampung tersebut yang terletak kira-kira 18 kilometer dari Merapi, kerana keadaan yang terlalu panas.

"Saya menemui tiga mayat terdiri daripada seorang kanak-kanak, ibu dan bapanya yang masih berada di atas katil. Mereka mungkin sedang tidur semasa debu panas Merapi mengganas.

"Mayat mereka melecur teruk. Kami juga menemui satu mayat lelaki dengan telefon bimbit masih berada di tangannya," kata pekerja penyelamat, Utha. - AFP


Artikel berkaitan:

Letusan paling dahsyat sejak 1930

Daripada BORHAN ABU SAMAH
borhan.samah@utusan.com.my


YOGYAKARTA 5 Nov. - Gunung Merapi meletus lagi malam tadi, letusan paling dahsyat sejak ia mula meletus pada 26 Oktober lalu mengakibatkan 77 orang lagi maut.

Letusan kali ini bukan sahaja menyebabkan korban yang lebih besar tetapi ramai mangsa yang maut, mati dalam keadaan tragis, selain turut menyebabkan banyak rumah hangus, kampung lenyap ditimbus lahar dan debu panas, beribu-ribu penduduk hilang rumah kediaman dan terpaksa dipindahkan serta banyak penerbangan terpaksa dibatalkan.

Letusan kali ini menghamburkan debu dan awan panas setinggi 8,000 meter serta sejauh 28 kilometer dan memuntahkan lahar serta lumpur bara dan batu-batu yang mengalir menuruni gunung itu menyapu apa sahaja yang merintanginya sepanjang malam tadi sehingga pagi ini mencetuskan keadaan panik dan kelam kabut.

Ramai penduduk yang tinggal di kawasan sekitar gunung itu bertempiaran lari menyelamatkan diri dalam keadaan gelap malam serta awan pekat menuju ke jalan-jalan raya untuk mencari perlindungan.

Dengan angka terbaru itu, jumlah korban Gunung Merapi sejak ia mula meletus 26 Oktober lalu, sehari selepas kejadian tsunami di Kepulauan Mentawai di Sumatera Barat akibat gempa bumi, kini meningkat kepada 113 orang.

Jumlah mereka yang telah dipindahkan kini lebih 100,000 orang, dengan 30,000 ditempatkan di stadium sukan kira-kira 25 kilometer dari gunung itu.

Lapangan Terbang Antarabangsa Adi Sutjipto di Yogyakarta ditutup berikutan diselubungi debu panas setinggi 2,914 meter yang berbahaya kepada pesawat.

"Berdasarkan letusan hari ini, letupan yang dicetuskan oleh Gunung Merapi kali ini lebih dahsyat daripada letusan pada 1930,'' kata pakar gunung berapi, Subandrio.

Pada 1930, kira-kira 1,300 orang maut apabila gunung itu meletus yang dianggap paling besar sejak 1872.

Zon berbahaya telah diperluaskan dari 15 kilometer hingga 20 kilometer sekitar gunung itu dan mereka yang tinggal dalam radius itu telah diarah berpindah segera, katanya.

Menteri Pengangkutan Indonesia telah mengarahkan juruterbang supaya menjauhkan pesawat mereka kira-kira 12 kilometer dari debu panas gunung berapi itu dan beberapa penerbangan menghubungkan Jawa Tengah dengan Singapura dan Malaysia minggu ini telah dibatalkan.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono telah mengumumkan penghantaran satu briged tentera bagi membantu kerja-kerja menyelamat di wilayah Jawa Tengah ekoran tragedi itu. - UTUSAN

0 comments: