.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Saturday, November 06, 2010

0 Ubah isi kandungan (periodisasi) mata pelajaran sejarah untuk buku teks untuk elak ahli politik melatah kata Datuk Dr. FA?

Kenapa melatah terhadap subjek Sejarah?

Oleh Datuk Dr. Firdaus Abdullah

MENYEDARI kuantiti tidak semestinya menggambarkan kualiti, dengan segala rendah hati, saya ingin mencatatkan di sini bahawa sejak saya di bangku sekolah menengah iaitu hampir 50 tahun lalu, kira-kira 500 judul tulisan saya telah disiarkan di akhbar-akhbar dan majalah tempatan. Ia termasuklah untuk ruangan ‘Hati dan Nadi Dunia Pelajar’ dalam akhbar Berita Minggu (1962–1966) yang sehingga beberapa hari lalu, ruangan itu masih diingat (disebut) oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Tun Abdullah menyebut itu sewaktu saya menyertai satu rombongan Badan Penasihat dan Jawatankuasa Pusat GPMS melakukan kunjungan hormat ke pejabat beliau di Putrajaya pada Selasa lalu. Kebetulan ruangan itu banyak melaporkan kegiatan-kegiatan GPMS semasa beliau menjadi presiden.

Di luar negara, tulisan saya juga pernah disiarkan di dalam akhbar kampus Northern Illinois University, Amerika Syarikat, selain jurnal-jurnal akademik di Indonesia, Jepun dan Sri Lanka.

Saya menyebut semuanya itu kerana daripada sekian banyak tulisan saya yang pernah disiarkan, barulah pada minggu lalu, saya mendapat respons bertulis yang paling banyak daripada pembaca.

Tulisan saya pada minggu lalu berjudul Kenapa DAP bimbang subjek Sejarah? telah disiarkan kembali oleh portal berita The Malaysian Insider. Berikutan penyiaran kembali oleh portal berita itu, para pembacanya telah memberi respons sebanyak 39 kali dalam masa tidak sampai 30 jam. Keseluruhan respons itu memperlihatkan ‘sikap melatah’ sesetengah pihak apabila berhadapan dengan realiti tentang keperluan mewajibkan subjek Sejarah sebagai salah satu syarat untuk lulus SPM.

Saya tidak menyangka bahawa tulisan tersebut akan mendapat respons sedemikian banyak daripada pembaca The Malaysian Insider walaupun sebelumnya saya telah mendapat beberapa respons lisan daripada rakan-rakan yang saya kenal secara peribadi dan para pembaca lain melalui SMS dan e-mel.

Seperti dapat diduga, respons melalui SMS dan e-mel bernada positif, bersetuju dan memuji. Saya juga dapat menduga bahawa respons yang tersiar dalam portal The Malaysian Insider bernada negatif, mengutuk dan menyindir. Malah ada yang kurang adab dan bersikap kebudak-budakan.

Berikutan itu, dua soalan bermain di kepala saya iaitu, pertama, apakah maksud tersirat The Malaysian Insider menyiarkan kembali artikel tersebut dan kedua, kenapakah pembaca portal itu begitu ghairah memberi respons yang rata-rata bernada negatif.

Saya tertanya-tanya apakah maksud The Malaysian Insider menyiarkan kembali artikel saya itu, sedangkan ada beberapa artikel tertentu dalam Utusan Malaysia yang lebih wajar dan lebih patut disiarkan kembali, tetapi diabaikan sahaja oleh portal berita tersebut.

Umpamanya, pada Isnin (1 November), Utusan Malaysia menyiarkan artikel oleh Profesor Datuk Dr. Zainal Kling berjudul Hak Sama Rata Ekonomi yang antara lain berhujah bahawa “80 peratus perbelanjaan dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) membawa keuntungan (monopoli) kepada bukan bumiputera melalui penguasaan dan hegemoni mereka dalam struktur ekonomi negara.”

Pada keseluruhannya, artikel Zainal itu cukup padat isinya dan cukup bernas hujahnya, menghuraikan bahawa DEB yang dikutuk oleh pihak-pihak tertentu dan dituduh hanya menguntungkan Melayu/Bumiputera, sebenarnya lebih banyak memberi manfaat kepada kaum bukan Melayu, terutama orang Cina. Kecuali saya terlepas pandang, saya tak nampak artikel tersebut disiarkan kembali oleh The Malaysian Insider. Saya teringat satu bidalan lama: Tiba di mata dipicingkan, tiba di perut dikempiskan.

Sehubungan itu, dapatlah disimpulkan bahawa The Malaysian Insider hanya akan menyiarkan atau menyiarkan kembali dari sumber yang memberi peluang kepada pembacanya ‘menggodam Melayu’ (indulging in Malay bashing) atau mengutuk parti-parti kerajaan terutama UMNO.

Pengalaman dan pemerhatian saya ini, rupanya pernah dilalui (dan dirasakan) oleh Datuk Rejal Arbee, mantan ketua pengarang (sekarang kolumnis) akhbar Berita Harian. Menurut Rejal, tulisan-tulisannya yang disiarkan kembali oleh The Malaysian Insider hanyalah yang akan mendapat reaksi negatif dan kutukan kasar daripada pembacanya.

Seterusnya, saya ingin menanyakan kembali kenapakah pembaca portal The Malaysian Insider itu begitu ghairah memberi respons yang rata-rata bernada negatif terhadap hasrat Kementerian Pelajaran hendak menjadikan subjek Sejarah sebagai wajib lulus untuk memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), di samping menjadikan sebagai pelajaran teras dalam sistem persekolahan mulai 2014.

Justeru, saya teringat dua perkara iaitu pertama, pendapat yang pernah disuarakan oleh seorang ahli sejarah A Malik Munip (mantan pensyarah di Jabatan Sejarah Universiti Malaya) yang menegaskan bahawa sejarah adalah satu-satunya asas kekuatan tuntutan Melayu ke atas negara Malaysia. Malik sekali gus menyarankan bahawa pengetahuan, pemahaman dan penghayatan sejarah negara ini sejak era Kesultanan Melaka yang gemilang membawa kepada era DEB di bawah kepimpinan Tun Abdul Razak, akan membangkitkan harga diri dalam memberi keyakinan baru kepada bangsa Melayu.

Kebangkitan harga diri dan keyakinan baru bangsa Melayu adalah sesuatu yang tidak disenangi oleh penganut fahaman Malaysian Malaysia yang diwariskan oleh Lee Kuan Yew, khususnya DAP.

Selain itu, yang mereka bimbangkan ialah sekiranya sukatan baru subjek Sejarah itu nanti akan tertumpu hanya kepada kehadiran dan kedaulatan Melayu dalam proses sejarah negara ini dan mengabaikan sumbangan masyarakat Cina serta India dalam proses pembangunan sosio-ekonomi negara ini.

Saya sendiri merasakan sumbangan masyarakat Cina dan India dalam proses pembangunan sosial ekonomi negara ini memang tidak dapat dinafikan. Apabila pelajaran dan pengajaran sejarah menghuraikan kemaraan kuasa kolonial Inggeris dan pembangunan Negeri-Negeri Selat (Singapura, Melaka dan Pulau Pinang) antara tahun 1818 hingga 1942, kita tidak dapat memejamkan mata terhadap sumbangan masyarakat Cina dan India dalam pembangunan ekonomi Semenanjung Tanah Melayu.

Sehubungan itu, yang patut diberi perhatian ialah periodisasi (periodization) atau pembatasan masa (penahapan zaman) proses negara Malaysia sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka membawa kepada Wawasan 2020. Jika ini dapat dilakukan secara jujur dan objektif, tidak ada yang perlu dibimbangkan.

Saya ingin mencadangkan periodisasi itu seperti berikut: Tahap I (Pra-Melaka), Tahap II (Era Kesultanan Melayu Melaka 1400– 1511), Tahap III (Persaingan Kuasa-kuasa Eropah 1511–1786), Tahap IV (Kemaraan Inggeris dan Pembangunan Negeri-negeri Selat 1818–1856), Tahap V (Kemantapan Kuasa Kolonial Inggeris 1874–1942). Tahap VI (Pendudukan Jepun 1942–1945) Tahap VI (Perundingan Kemerdekaan dan Permulaan Kerjasama Politik Antara Kaum 1946–1957), Tahap VII (Tahun-tahun Awal Kemerdekaan 1957–1969), Tahap VIII (Pelaksanaan DEB 1970–1990). Tahap IX (Menuju Wawasan 2020 dan Gagasan 1Malaysia)

Saya akhiri dengan petikan pendapat seorang pemikir Barat J. W. Goethe (1749-1832), “Perkara terbaik yang kita peroleh daripada sejarah ialah minat dan semangat yang digelorakannya dalam diri kita”.

Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah

Pakar Rujuk di Akademi Pengajian Melayu,

Universiti Malaya.

0 comments: