.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Friday, December 17, 2010

0 Tambah penerbitan buku sebanyak 90%! 28,000 buah buku setahun!

Malaysia mampu hasil 28,000 buku




Rosmah Mansor menyampaikan Anugerah Perdana Tun Sri Lanang kepada Rais Yatim di Kuala Lumpur, malam tadi.



KUALA LUMPUR 16 Dis. - Negara sepatutnya mampu menghasilkan 28,000 judul buku baru setiap tahun berdasarkan nisbah kepadatan penduduknya kini yang mencecah 28 juta orang.

Penaung Anugerah Buku Negara 2010, Datin Seri Rosmah Mansor bagaimanapun berkata, Malaysia ketika ini hanya mampu menghasilkan sekitar 15,000 judul buku baru setahun iaitu 50 peratus sahaja jika dibandingkan dengan nisbah negara maju.

"Saya melihat Malaysia masih kurang menghasilkan novel atau karya agung yang dapat menyerlahkan citra bangsa dan tamadun negara pada ketika ini.

"Justeru, saya menggesa para ilmuwan dan pemikir kita untuk menghasilkan pelbagai jenis buku sama ada fiksyen atau bukan fiksyen yang bermutu tinggi dan bertaraf dunia selain menggalakkan penulisan buku sejarah, budaya tempatan serta pengalaman dan pandangan kita tentang sesuatu subjek atau isu global untuk dikongsikan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Buku Negara 2010 dan Pelancaran Tabung Buku Negara di sini, malam ini.

Hadir sama Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Anugerah Buku Negara 2010 terbahagi kepada dua kategori utama iaitu Anugerah Perdana dan Anugerah Industri yang mengandungi keseluruhan sebanyak 33 anugerah.

Rais telah dianugerahkan Anugerah Perdana iaitu Anugerah Tokoh Buku Negara yang dikenali sebagai Anugerah Perdana Tun Sri Lanang.

Dalam majlis ini, dua buah buku iaitu Permainanku, Warisanku dan Serama Malaysia: Ayam Terkecil Dunia dilancarkan.





Artikel berkaitan:


Ilmuwan, penulis digesa hasil pelbagai karya
Oleh Sophia Ahmad

2010/12/17
Elak khazanah buku negara tidak tandus

KUALA LUMPUR: Golongan ilmuan termasuk penulis tanah air diminta menghasilkan pelbagai karya fiksyen dan bukan fiksyen supaya khazanah buku negara tidak lagi ketandusan karya berkualiti.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata Malaysia pada ketika ini hanya mampu menghasilkan sekitar 15,000 judul baru setiap tahun, jauh ketinggalan berbanding negara maju lain. “Di setiap negara maju, setiap sejuta penduduknya akan menghasilkan 1,000 judul buku baru setiap tahun. Dengan kepadatan 28 juta penduduk Malaysia hari ini, maka nisbahnya harus 28,000 judul baru setiap tahun,” katanya ketika berucap di Majlis Anugerah Buku Negara 2010 di sini malam tadi. Turut hadir, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim; Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek.

Rosmah berkata, sifat suka membaca menuntut penghasilan karya bacaan yang bermutu tinggi dan menarik untuk memenuhi keperluan pembacaan masyarakat.

“Bahan bacaan yang dicetak seharusnya menepati minat pelbagai segmen masyarakat dari peringkat kanak-kanak, murid sekolah dan pelajar universiti, hinggalah ke ahli profesional, pentadbir, pekerja dan warga tua,” katanya.

Katanya, usaha membudayakan amalan membaca diakui bukan mudah, justeru Kempen Jom Baca dan Program Wakaf Buku anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) akan dapat membantu usaha yang dilaksanakan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan melalui Jabatan Perpustakaan Negara.
“Dalam usaha mempertingkatkan pemikiran dan perkembangan ilmu masyarakat sesebuah negara, perkara penting yang perlu diberi penekanan membudayakan tabiat membaca.

“Kemajuan sesebuah negara adalah bersandarkan kepada ilmu pengetahuan serta penghasilan inovasi tinggi rakyatnya,” katanya.

Pada majlis itu Rosmah turut melancarkan Tabung Buku Negara iaitu kumpulan dana yang disumbangkan oleh sektor korporat dan kerajaan secara berterusan bagi membantu menggerakkan pelbagai aktiviti yang disusun oleh YPBN.



Artikel berkaitan:

Rais Yatim Tokoh Buku Negara 2010
17/12/2010 11:45am


KUALA LUMPUR 17 Dis. - Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Buku Negara 2010, pada majlis Anugerah Buku Negara di sini malam tadi.

Anugerah yang disampaikan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor itu sebagai menghargai jasa beliau yang berjuang dalam bidang penulisan dan penerbitan buku.


Ketika ditemui pemberita, Rais berkata, perjuangan dalam bidang penulisan dan penerbitan buku merupakan perjuangan tamadun yang perlu dilaksanakan secara berterusan.


Beliau berkata, ini kerana buku merupakan elemen penting dalam pembinaan tamadun dan negara bangsa yang berilmu dalam negara ini.


"Justeru industri penulisan perlu diperkasakan, agar bolehlah kita menanam semangat itu dalam membina negara bangsa kita," katanya. - Bernama

0 comments: