.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Friday, December 17, 2010

0 Projek telefilem RM1/2j dari Primeworks Studios. Untuk orang kuat di belakang tabir

Cungkil pengarah muda

BERMULA tahun depan, syarikat penerbitan dan pengedaran filem milik penuh konglomerat media, Media Prima berhad, Primeworks Studios akan membuka ruang kepada pengarah dan penulis skrip berbakat mengikuti program khas Layar Baru dan bekerjasama menghasilkan filem berkualiti, inovatif dan dapat memenuhi kehendak masyarakat.

Ketika menghadiri majlis sidang akhbar Layar Baru bagi memperkenalkan tiga filem baru yang diarahkan pengarah muda berbakat, di Panggung Cathay, The Curve, Damansara, Pengarah Urusan Primeworks Studios Sdn Bhd, Ahmad Puad Onah berkata, antara syarat ditetapkan bagi mereka yang berminat, karya bakal dihasilkan mereka harus menarik dan asli, kali pertama menghasilkan skrip atau mengarah filem dan mampu berkarya dengan modal RM500,000.


Melihat kepada modal bakal dibekalkan kepada mereka yang layak, timbul persoalan mampukah pengarah muda terpilih nanti menghasilkan filem cereka. Seperti diketahui, untuk menghasilkan filem bagi pasaran tempatan, paling rendah belanja diperlukan RM800,000.


"Ada pengkarya muda yang tamat pengajian di universiti sering memberitahu kami, mereka mampu menghasilkan sebuah filem dengan modal RM50,000. Justeru, dengan kreativiti dimiliki bakal pengarah yang akan dipilih bekerjasama dengan Primeworks Studios, sebanyak RM500,000 bakal dibekalkan adalah satu jumlah cukup besar," katanya.


Menerangkan lebih lanjut mengenai program dijalankan Ahmad Puad, pihaknya terlebih dulu meminta mereka yang berminat menghantar kertas cadangan dan skrip. Dari situ, mereka akan menilai sama ada ia layak untuk dijadikan filem atau telefilem saja. Turut diberitahu mereka yang dipilih hanya akan bekerja berdasarkan projek.


"Semua penggiat filem baru menjalani penggambaran dalam bentuk High Definition (HD) dan bayaran akan diberikan separuh terlebih dulu. Sekiranya kami berasakan ia sesuai untuk ditayangkan di pawagam bayaran sekali ganda akan diberikan kemudian," jelasnya. Pada majlis itu, Ahmad Puad turut memperkenalkan tiga pengarah muda yang dipilih bagi mengikuti program Layar Baru dan mengumumkan mengenai filem dihasilkan iaitu Sesuatu Yang Tertinggal, Klip 3GP dan Penunggu Istana.




"Setakat ini, ada beberapa pengkarya muda sudah pun kita ambil untuk bekerja. Tiga filem ini kini sedang menjalani proses akhir. Insyaallah sekiranya proses berjalan lancar ia akan mula ditayangkan bermula Mac depan," katanya.


Tiga filem dihasilkan ini, dua daripadanya bertemakan seram dan satu lagi tampil berbeza apabila menyentuh mengenai isu semasa. Melihat daripada sedutan filem dihasilkan, nampak pengarah muda terbabit iaitu Aidilfitri Mohd Yunos mengarahkan Klip 3GP, Azli Hisham atau Black (Sesuatu Yang Tertinggal) dan Wan Asliza Wan Zainuddin (Penunggu Istana) agak berani. Beberapa babak panas dan cukup memberahikan terdapat dalam filem terbabit turut ditayangkan. Timbul kebimbangan, filem dihasilkan itu bakal dicincang pihak Penapisan Lembaga Filem Malaysia (LPF) atau langsung tidak boleh ditayangkan.



Bagaimana pengarah baru ini berkarya dalam berdepan dengan syarat ditetapkan pihak LPF dan adakah pihak Primeworks Studios sendiri campur tangan sepanjang proses penggambaran dijalankan? Mengulas mengenai perkara terbabit, tambah Ahmad Puad, Primeworks Studios percaya pihak LPF sudah semakin terbuka dan klasifikasi filem memudahkan mereka untuk menjalankan tugas.


"Kalau filem yang bakal ditayangkan nanti tidak sesuai untuk tontonan mereka di bawah umur, LPF akan mengklasifikasikan ia sebagai 13PG atau 18SX. "Begitupun, sebagai penerbit sudah tentu kalau boleh kami mahu filem dihasilkan ditonton semua pihak. Dalam melaksanakan kerja penggambaran, Primeworks Studios akan terbabit dari mula hingga penggambaran tamat. Kami akan memberi khidmat nasihat diperlukan dan sudah tentu kami akan mengawasi setiap produksi sedang berjalan," katanya.



Artikel berkaitan:


Ruang buat pengkarya baru

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

2010/12/17
Primeworks terus beri peluang kepada pengarah muda menerusi program Layar Baru

SEJAK penubuhannya pada 1994, Primeworks Studios atau lebih dikenali sebagai Grand Brilliance sebelum ini, sudah pun menghasilkan hampir 100 filem, sama ada secara penerbitan sendiri, secara usaha sama dengan penerbit tempatan lain mahupun pembelian melalui kontrak penerbitan.

Sepanjang tempoh itu juga, Primeworks membuka ruang buat muka baru dalam dunia pengarahan sehingga mereka kemudiannya muncul sebagai pembikin filem dihormati ramai. Antaranya termasuk Mahadi J Murat, Prof Madya A Razak Mohaiddeen, Erma Fatima, Raja Ahmad Alauddin, Aziz M Osman, Bade Hj Azmi, Mamat Khalid, Afdlin Shauki dan Allahyarham Yasmin Ahmad. Turut bekerjasama dengan mereka ialah Adman Salleh, Kamal Ishak, Sahib Selamat, Nahar Akhbar Khan, Zulkeflie M Osman, Kabir Bhatia, Ming Jin, Sandosh Kesavan, Yeop Hitler Zami, Amir Muhammad, Naiem Ghalili, Wan Azli, Azizi Chunk Adnan, Bernard Chauly dan Dhojee. Menurut Pengurus Besar Filem dan Drama syarikat berkenaan, Ahmad Puad Onah, melalui peluang yang diberikan itu, sebahagiannya pernah memenangi anugerah pengarah terbaik, sama ada menerusi filem yang diterbitkan oleh Primeworks, atau melalui usaha mereka seterusnya dengan syarikat penerbitan lain mahupun syarikat mereka sendiri.

Tidak terhenti setakat itu, usaha Primeworks melahirkan lebih ramai pengarah diteruskan, sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial mereka. Terbaru, program Layar Baru diperkenalkan, bagi membolehkan ramai lagi sutradara muda berbakat mengetengahkan keupayaan mereka seterusnya meningkatkan lagi martabat industri perfileman tanah air.

Baru-baru ini, bertempat di Mutiara Damansara, syarikat berkenaan memperkenalkan tiga pengarah baru yang terbabit dalam program itu. Mereka terdiri daripada Aidilfitri Yunos yang mengarahkan filem Klip 3GP, hasil tulisan Sofea Aliza, Asrulhisyam Ahmad atau Black yang mengarahkan filem Sesuatu Yang Tertinggal, tulisan Eanas Mokhtar, dan Wan Hazliza Wan Zainuddin yang menulis serta mengarahkan filem Penunggu Istana.

Kesemua judul berkenaan akan menemui penonton di pawagam pada tahun depan. Penunggu Istana yang bersifat seram dijangka ditayangkan sekitar April, manakala Sesuatu Yang Tertinggal (seram) dan Klip 3GP (thriller) secepat-cepatnya September.
"Penggiat filem ini kami temui daripada projek yang dimulakan sekitar September tahun lalu. Kita bermula dengan lima judul, dengan tiga daripadanya sudah pun dilaksanakan, manakala dua lagi akan hanya bermula pada Januari depan. Pada awal-awal dulu, kami menerima sekitar 20 judul, namun hanya lima yang dirasakan terbaik dan mampu menarik penonton ke panggung yang seterusnya diberikan peluang untuk diketengahkan ke layar.

"Kami juga membuka peluang kepada penggiat filem baru untuk menyertai sesi pitching bersama kami pada satu tarikh yang akan diumumkan nanti," kata Puad.
Katanya, setiap projek terbabit menggunakan peruntukan kira-kira RM500,000 dengan bayaran pelakon dan kru adalah berdasarkan bayaran projek telefilem.

"Primeworks tentunya mengambil risiko apabila memberikan peluang kepada bakat baru untuk menghasilkan filem. Begitupun, kami juga berhati-hati, dan atas alasan itu kami tidak terus membiarkan penggiat filem yang baru ini tampil bersama filem berbelanja besar seperti filem aksi ataupun judul yang memerlukan teknologi CGI," katanya.

Tegasnya lagi, berbekalkan kepakaran, kreativiti serta bakat yang mereka ada, filem ini diyakini dapat membuka selera baru kepada penggemar filem tempatan dengan kelainan yang mereka cuba ketengahkan.

"Walaupun nama mereka kelihatan masih segar namun hakikatnya kesemuanya sudah lama berkecimpung di dalam industri seni dengan menimba pengalaman yang berbeza, iaitu lebih kepada kerja ’di sebalik tabir’. Hari ini cita-cita dan semangat mereka untuk menjadi muka depan dalam penghasilan filem tercapai dengan pelancaran ketiga-tiga filem ini.

"Diharapkan usaha ini bakal menjadi landasan utama bagi mereka untuk terus mencipta nama sebagai seorang pengarah dan penulis yang berjaya pada masa hadapan dan menjadi sumber inspirasi kepada golongan muda yang lain untuk menceburi bidang perfileman ini," ujarnya.

Pada pertanyaan, apakah keutamaan lebih diberikan kepada filem bercorak seram, memandangkan dua daripada judul yang diperkenalkan hari itu termasuk dalam genre berkenaan, Puad menegaskan, konsep filem yang ingin dipersembahkan kepada mereka tidaklah terhad, asalkan ia cerita asal yang menarik daripada pengarah itu sendiri (ataupun daripada seorang penulis skrip), serta mampu direalisasikan dengan bajet setengah juta ringgit, maka pihaknya tentu memberikan perhatian kepada projek terbabit.

Ditanya apakah Primeworks ingin lebih berjimat cermat pada 2011 dengan memperkenalkan program itu, Puad berkata, projek filem biasa yang menggunakan peruntukan lebih tinggi, seperti usaha sama dengan syarikat lain, tetap diteruskan. Manakala Layar Baru lebih berupa tanggungjawab sosial mereka untuk melahirkan lebih ramai pengarah dan penulis dalam industri perfileman tanah air.

0 comments: