.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Tuesday, August 03, 2010

0 Double Killer lebih menarik, jika sistem 1, 2, 3 adalah cara Brazil, double killer adalah cara Jerman di piala dunia bola sepak

'Sistem apit kiri sudah ketinggalan'

Oleh Hussain Said
hussain@bharian.com.my
2010/08/03
Cara terbaik ialah guna ‘double killer’: Hassan

SUDAH tiba masanya perubahan dilakukan dalam sistem permainan skuad sepak takraw negara andai tidak mahu terus diaibkan. Itu saranan bekas ketua jurulatih, Hassan Sulaiman yang menyarankan penggunaan perejam berkembar atau ‘double killer’ seperti yang dipraktikkan seteru utama Thailand, jika Malaysia mahu kekal menjadi kuasa takraw dunia bersama-sama negara Gajah Putih itu. “Sistem permainan menggunakan pengumpan (apit kiri) atau kiraan satu, dua, tiga, sudah tidak lagi sesuai ketika ini. Ia sudah ketinggalan zaman. Sebaliknya, corak permainan perlu pantas dan menggerunkan lawan.

“Jadi, sistem permainan terbaik ialah menggunakan ‘double killer’. Tiada lagi pengumpan. Kedua-dua apit perlu berkeupayaan dan berkemahiran membuat libasan dan rejaman,” katanya.

Menurutnya, permainan menggunakan ‘double killer’ ini sudah diperkenalkan dan dipraktikkan ketika dia mengendalikan skuad negara pada era ‘Raja Sepak Takraw’ Adnan Saidin dan Raziman Hassan, tetapi peliknya sistem itu tidak lagi diamalkan skuad negara.

Sebaliknya ia digunakan Thailand yang berjaya membantu mereka mengekalkan penguasaan, dan kini turut diamalkan Korea Selatan yang menewaskan Malaysia 2-1 pada peringkat separuh akhir Piala Raja Thai, kelmarin.
Hassan berkata, dia pernah mengemukakan cadangan untuk meningkatkan prestasi skuad negara tetapi kecewa kerana Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) tidak bersikap terbuka dan enggan menerima pandangan orang lama sepertinya.

“Saya tidak mengharapkan jawatan, saya sudah tua. Saya sekadar mahu membantu dan berkongsi kepakaran kerana apa yang lebih penting adalah maruah kita selaku pencipta sukan tradisi ini,” katanya.

0 Liverpool diibaratkan TITANIC yang mustahil tenggelam

Jutawan China mahu sambar Liverpool


2010/08/03

KHABAR angin bertiup kencang di kalangan media Inggeris kononnya jutawan China, Kenny Huang (gambar) sedang mengadakan rundingan untuk mengambil alih kelab gergasi, Liverpool.

Huang, ketua eksekutif syarikat pelaburan sukan China, QSL, dikatakan sudah mengemukakan tawaran kepada Royal Bank of Scotland (RBS) yang mungkin menyebabkan pemilik ketika ini, Tom Hicks dan George Gillett, tanpa sebarang keuntungan. Hicks dan Gillett dikatakan sedang mencari dana berjumlah kira-kira £600 juta (RM2.88 bilion) – tetapi selepas rundingan pembiayaan semula awal tahun ini - RBS mampu mengambil inisiatif penjualannya jika beranggapan ia mampu menawarkan pembayaran pinjaman yang terbaik. Huang dikatakan membuat tawaran secara terus untuk membayar £237 juta (RM1.14 bilion).

Akhbar Daily Telegraph mendakwa, berikutan penilaian Huang itu, Gillet memberitahu RBS bahawa dia juga sudah memulakan rundingan dengan ahli perniagaan Syria, Yahya Kirdi supaya menangguhkan penjualan.

Hicks dan Gillett mahu menjual Liverpool April lalu tetapi tidak mendapat sambutan yang baik, malah cubaan sebuah syarikat ekuiti New York untuk membeli 40 peratus pegangan juga ditolak.

Kedua-duanya membeli Liverpool dengan harga £219 juta (RM1.05 bilion) pada 2007 dan pernah berkata April lalu bahawa: “Liverpool menjadi pelaburan paling menguntungkan pernah saya buat. Saya mungkin mendapat empat kali ganda keuntungan.” – Agensi

0 Drama dan filem Malaysia memerlukan screenplay yang menarik. Siapa memerlukan cerita skrip yang menarik, hubungi saya

Permata Hati: Drama Melayu semakin menakutkan?

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
afzan@bharian.com.my
2010/08/03

Adegan berbaur seks, jenayah boleh pengaruh kanak-kanak

SAYA membesar bersama drama Opah. Hingga ke hari ini, seingat saya drama itu menyajikan banyak unsur positif dalam masyarakat Melayu. Walaupun ada konflik timbul dalam keluarga Opah, misalnya perkahwinan campur, ia perencah menyedapkan jalan cerita. Seingat saya juga, tidak ada insiden ganas di dalamnya, walaupun drama itu sudah pun berakhir tayangannya lebih 20 tahun lalu, ia tetap indah dalam ingatan saya. Membandingkan dengan cerita Opah, hari ini, adegan rogol ke atas wanita dewasa atau kanak-kanak kecil, hubungan bebas antara lelaki dan wanita serta tengking-menengking dalam ahli keluarga, antara adegan popular menjadi rencah dalam drama Melayu. Tidak perlu saya sebutkan nama drama secara khusus, kerana sekiranya anda menonton televisyen, pasti ada sekurang-kurangnya satu daripada benda negatif itu dipaparkan. Sebagai ibu, saya cukup sedih dengan perkara ini, malah tidak faham kenapa ia dipaparkan, kerana drama seharusnya mempertontonkan nilai murni untuk dijadikan teladan, serta mendidik masyarakat.

Tetapi apabila menonton adegan begitu, menjadikan saya tertanya-tanya, adakah teruk sangat keluarga Melayu di Malaysia? Hari ini paparan cerita hidup aman harmoni, boleh dikira dengan jari, itupun apabila tiba Ramadan, tetapi apabila tiba Syawal, kisah gelap seperti mat motor menjadi hidangan?

Saya masih ingat satu surat pembaca disiarkan dalam Berita Harian sedikit masa lalu, memberikan komen mengenai sebuah filem berkisar lumba haram. Bapa itu meluahkan rasa kesalnya apabila adegan sumbang dimuatkan ke dalam filem itu.

Lebih mengejutkan kata bapa itu, anaknya tiba-tiba bertanya kepadanya, ‘Ayah, kenapa lelaki tu buka seluar kakak tu,?” Sebagai ibu bapa, berapa ramai di antara kita yang tahu memberikan jawapan sempurna, supaya si kecil tidak tertanya-tanya? Dan saya pasti ramai antara ibu bapa yang akan menjawab ‘orang jahat tu’ atau ‘berlakon aje tu’.
Polis Kuala Lumpur mendedahkan, seramai 3,263 pelajar sekolah ditahan tahun lalu kerana terbabit dalam 2,003 kes salah laku. Pelajar berusia antara 13 dan 18 tahun dilaporkan turut terbabit dalam kes seks bebas, kehamilan, pembuangan bayi, rogol, samun dan mencuri motosikal.

Statistik ini dikatakan semakin meningkat tiap tahun cukup untuk membuktikan tahap masalah sosial remaja kita. Golongan yang sepatutnya menjadi harapan masa depan negara ini dilihat semakin hanyut dek dunia bebas tanpa sempadan.

Antara punca masalah sosial melanda remaja dan belia ialah pengaruh negatif rancangan televisyen yang boleh dikategori sebagai kurang sihat. Televisyen yang sentiasa menjadi medium panduan dan pendidikan mula menguasai minda dan pemikiran anak kita dengan nilai yang jauh bertentangan dengan adat ketimuran yang kemudian mempengaruhi segala tingkah laku dalam kehidupan seharian.

Adegan pergaulan tanpa batasan dan seks bebas serta perlakuan ganas seperti gengsterisme dipaparkan dalam televisyen sama ada menerusi drama dan filem tempatan mahupun Barat boleh diibaratkan menjadi ‘guru’ kepada remaja. Itulah yang sedang menjadi gaya dan trend ikutan muda-mudi zaman sekarang.

Mereka mencontohi semua perlakuan dan gelagat yang ditonjolkan secara bulat-bulat dan sering menjadikannya sebagai panduan dalam hidup. Perbuatan yang dimulakan atas dasar ingin mencuba sesuatu yang baru akhirnya menjadi ketagih dan budaya yang sukar untuk ditinggalkan.

Fenomena ini sebenarnya adalah selaras dengan pandangan sarjana komunikasi yang bersetuju bahawa media seperti televisyen mempunyai pengaruh cukup kuat terhadap penonton. Ia dibuktikan melalui beberapa teori komunikasi terkenal.

Magic Bullet Theory yang diperkenalkan Katz dan Lazarsfeld pada 1955 misalnya mengandaikan bahawa televisyen memberikan kesan negatif kepada penonton secara langsung dan segera seperti peluru dengan penonton cenderung untuk percaya semua perkara dilihat, sekali gus boleh mempengaruhi tingkah laku mereka.

Sememangnya pakar psikologi menyatakan ibu bapa perlu memantau apa yang ditonton oleh anak-anak, tetapi cuba anda bertanyakan kepada diri sendiri, berapa ramai daripada kita yang melakukan tugas sebegitu? Dan adakah kita sendiri tahu bentuk nasihat yang sepatutnya diberikan kepada anak-anak kecil yang menonton itu?

Belum habis kita lontarkan nasihat, mereka akan bertanya kembali, seperti pernah anak saya, Najah bertanya kembali kepada saya, “Mama, kalau salah kenapa disiarkan di televisyen,?” Mati kutu juga kita dibuatnya.

Penyelesaian mudah ialah menutup televisyen. Tetapi berapa ramai yang sudah melakukannya? Hari ini kita perlu akur televisyen yang mendidik kanak-kanak dan bukannya ibu bapa. Televisyen melayani dengan tekun dan memberi layanan memuaskan hati kanak-kanak tanpa berasa gusar atau bosan walau sesaat. Kepada pihak berkaitan, cubalah menghasilkan drama Melayu yang boleh membina pemikiran generasi muda, bukan sekadar hiburan ringan yang tidak memberikan sebarang input.

Memang tidak dapat dinafikan kepentingan televisyen dalam hidup sebagai sumber maklumat, tetapi ia banyak bergantung kepada rancangan apa yang menjadi bahan tontonan seisi keluarga. Dalam hal ini, diharapkan kementerian dan Lembaga Penapisan Filem memainkan peranan lebih efektif untuk membendung penularan filem dan drama kurang sihat di negara ini.

INFO

NEGATIF


Ibrahim M Hefzallah dalam bukunya, Critical Viewing of Television menyatakan, televisyen memaparkan hubungan seks yang berulang kali. Seks yang biasa ditunjukkan bukan hanya dalam cerita kartun, tetapi cerita realiti juga sehingga ada unsur cinta si hero dan heroin berakhir di ranjang katil bagi menunjukkan bahawa itu adalah tanda cinta sejati. Perkara itu jika sentiasa berulang dalam kehidupan si cilik, mereka akan menganggap ia adalah perkara lumrah atau biasa.


Akademi Pediatrik Amerika menyarankan supaya televisyen diharamkan bagi kanak-kanak di bawah usia dua tahun. Rasionalnya, dalam tempoh dua tahun pertama bayi memerlukan sentuhan manusia dan bukan didikan imej di televisyen.


Pakar Perkembangan Hemisfera Otak Universiti Chicago, Dr Jerre Levy, berkata kemahiran bahasa boleh dirangsang melalui pembacaan dan juga perhubungan dua hala lebih-lebih lagi keluarga iaitu ibu bapa dan bukannya menonton televisyen. Ini kerana menonton televisyen adalah proses interaksi sehala saja iaitu televisyen menayangkan rancangan, manakala si cilik sibuk menonton tanpa berfikir dan tidak kreatif.

0 'Berikan saya satu cerita tentang kehidupan' trademark cerita screenplay yang saya minati. Ada sesiapa berminat?

Filem, drama medan perpaduan

Oleh Nurul Farina Nazlan
nfarina@bharian.com.my
2010/08/03

Aspek bahasa kebangsaan jangan dilihat dari sudut terpencil

FILEM dan drama mampu dijadikan landasan menyemai perpaduan kaum di negara ini dengan mengangkat bahasa Melayu di samping menampilkan gabungan pelakon pelbagai bangsa, sekali gus bertepatan dengan gagasan 1Malaysia yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Aspek bahasa kebangsaan yang dituturkan pelakon pelbagai kaum itu menterjemahkan gagasan yang memperlihatkan keiltizaman dan kesungguhan kerajaan untuk menyatupadukan rakyat ke arah kehidupan yang lebih harmoni serta saling memahami. Malangnya, unsur perpaduan itu kurang sempurna pada sebahagian drama yang menggunakan bahasa Melayu, tetapi tidak menampilkan pelakon berbangsa Melayu sehingga menimbulkan tanda tanya apakah ada segelintir penerbit dan pengarah bukan Melayu yang tidak mengiktiraf kewujudan pelakon Melayu dalam drama atau filem terbitan mereka.

Bagaimanapun, pandangan itu disangkal penerbit filem terkenal tanah air, David Teo yang meminta semua pihak untuk faham terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang tidak dikhususkan kepada satu kaum saja.

“Penerbit dan pengarah menyesuaikan karya mereka dengan persekitaran masyarakat serta mengakui orang Melayu ialah majoriti masyarakat di negara ini, tetapi pada masa sama, mereka juga tidak boleh menafikan cita rasa masyarakat bukan Melayu dalam berhibur.

“Saya rasa penerbit bukan Melayu yang tidak mengambil pelakon Melayu dalam drama terbitan mereka bukanlah kerana masalah perkauman, tetapi suasana dan persekitaran lakonan yang tidak sesuai, “ katanya kepada Sastera ketika ditemui di pejabatnya di Subang Mewah, baru-baru ini.
David mengambil contoh drama Cina atau Tamil yang menggunakan seratus peratus bahasa Melayu, tetapi persekitaran yang digambarkan dalam drama itu tidak membabitkan orang Melayu sehingga mereka tidak mengambil pelakon dalam bangsa itu untuk tidak mencacatkan plot dan jalan cerita.

Pada masa sama, David turut menyatakan ketidaksetujuan sekiranya pengarah atau penerbit bukan Melayu diminta menghasilkan drama yang keseluruhannya menggunakan bahasa kebangsaan, sekiranya latar cerita adalah berdasarkan persekitaran sesuatu kaum tertentu.

“Cuba kita bayangkan kalau dari awal hingga akhir cerita mengisahkan kehidupan keluarga Cina atau India di kawasan yang majoritinya masyarakat itu sendiri, tetapi mereka menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya, saya rasa ia tidak sesuai dan menafikan hak dan kebiasaan masyarakat itu.

“Mereka wajar diberi kelonggaran untuk menggunakan bahasa ibunda masing-masing, jika jalan ceritanya memang membabitkan sesuatu kaum, tetapi saya sendiri lebih selesa menghasilkan filem berbahasa Melayu yang menampilkan pelakon pelbagai bangsa kerana bersesuaian dengan jalan cerita dan persekitaran masyarakat pelbagai bangsa,” katanya.

Pandangan David turut disokong pelakon dan penerbit drama, Sheila Rusli yang menganggap dakwaan pelakon Melayu dianaktirikan oleh penerbit atau pengarah bukan Melayu tidak menuding jari, sebaliknya meminta masyarakat menilai sebab pelakon Melayu tidak diambil berlakon dalam drama atau filem yang menggunakan bahasa Melayu dan pelakon bukan Melayu.

“Tidak wujud sebarang diskriminasi, cuma kadang-kadang penerbit dan pengarah bukan Melayu tidak ada watak dan jalan cerita yang sesuai untuk diberikan kepada pelakon Melayu. Kita juga kena lihat dalam industri hiburan tanah air, pelakon Melayu memonopoli industri ini. Tidak salah sekiranya pelakon bukan Melayu diberi peluang,” katanya.

Demi menjayakan gagasan 1Malaysia dalam filem dan drama, Sheila berharap semua pihak membuang segala prasangka yang ada dalam diri kerana industri hiburan sebenarnya antara landasan utama yang boleh menyatupadukan rakyat pelbagai kaum.

“Selain itu, kita perlu saling menyokong antara satu sama lain, iaitu antara penonton dan mereka yang terbabit dengan industri hiburan kerana filem mahupun drama 1Malaysia akan dapat diterbitkan secara berterusan dengan kerjasama semua pihak di negara ini,” katanya.

0 Cerita apabila di puncak jaya

Bijak bahagi masa belajar penting
Oleh Nik Sukry Ramli
niksukry@bharian.com.my
2010/08/03
Nurrashidah hadiah anugerah UM kepada ibu bapa

KUALA LUMPUR: “Anugerah ini adalah untuk kedua ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan dan motivasi,” demikian luahan pelajar Ijazah Sarjana Muda Syariah, Nur-rashidah Arifin, 25, yang dipilih pemenang Anugerah Pelajaran Diraja pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) ke-40, semalam. Beliau yang ditemani ibu bapanya, Arifin Sardomo, 53 dan Siti Khatijah Jenan, 48, mengakui terharu dipilih sebagai penerima, apatah lagi anugerah itu disampaikan sendiri Canselor UM, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. “Tiada rahsia bagi kejayaan ini. Asalkan dapat mendisiplinkan diri, bijak membahagikan masa dan tahu apa yang perlu diberi keutamaan, saya yakin boleh berjaya,” katanya selepas majlis itu, semalam.

Arifin, yang bertugas di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) cawangan Banting, berkata beliau tidak mengenakan sebarang paksaan kepada anak sulungnya itu untuk membahagikan masa dalam pengajiannya.

“Saya tidak memaksa dia terlalu menumpukan kepada pengajian. Bila dia mahu menonton televisyen, atau berehat bersama rakan-rakannya, tidak menjadi masalah. Dia pandai mengatur sendiri (jadual) ulang kaji, mengikut keselesaannya.

“Begitu juga dengan adik-adiknya tiga orang, mereka juga bebas mengatur sendiri jadual harian mereka. Saya cuma nasihatkan mereka, agar melakukan yang terbaik untuk diri mereka, demi kehidupan masa depan mereka,” katanya.
Seorang lagi pemenang, Benjamin Ong Jia Ming, 23, pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains (Ekologi dan Biodiversiti) menyifatkan pemilihannya sebagai penerima anugerah itu adalah sesuatu yang amat mengejutkan.

Katanya, anugerah itu memberikan suntikan semangat kepadanya untuk sentiasa berusaha memberikan yang terbaik, terutama untuk ibu bapanya, Ong Eng Guan dan Chew Peck See.

Pensyarah Jabatan Pengajian Media, Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM, Prof Madya Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin yang menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), berkata tesis beliau bertajuk ‘Perhubungan Media: Polisi, Etika dan Amalan di Malaysia’ banyak mengupas isu hubungan dan peranan pegawai perhubungan awam (PRO) sektor awam dan swasta apabila berdepan dengan pengamal media.

“Bentuk hubungan sedia ada antara media dan PRO boleh diperbaiki. PRO yang bagus sudah pasti memiliki kemahiran (menulis) seperti seorang wartawan, serta boleh bersikap profesional,” katanya.

Beliau yang juga kolumnis sisipan Varsiti Berita Harian berkata, dua elemen penting bagi mewujudkan suasana lebih rapat dikenal pasti melalui kajiannya, iaitu cara PRO mengendalikan bahan bagi rujukan media dan hubungan peribadi antara PRO dan media sendiri.

0 Pengertian konsep 1Malaysia tidak sama dari rakyat

Kerajaan perlu elak 1Malaysia disalah tafsir


2010/08/03
GEORGETOWN: Kerajaan perlu menyatakan pendirian dan memberi penjelasan berhubung slogan 1Malaysia bagi mengelakkan pandangan berbeza di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata langkah itu amat penting bagi memastikan konsep berkenaan tidak disalah tafsir dan dieksploitasi untuk kepentingan pihak tertentu sehingga menimbulkan suasana tidak harmoni di dalam negara. Katanya, semua kaum mempunyai tafsiran sendiri sehingga menimbulkan banyak kekeliruan kepada mereka, terutama mengenai maksud sebenar konsep itu yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. “Saya bercakap dengan orang Cina, Melayu dan India, masing-masing ada pendapat berbeza dan tidak boleh disatukan. Jadi, saya berpendapat satu penjelasan perlu dibuat kerajaan.

“Mereka (rakyat) tidak tahu yang mana satu untuk orang Cina dan yang mana untuk orang Melayu. Kalau suruh saya buat penjelasan, mana saya tahu, bukan saya yang buat slogan itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama pada Multaqa Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) bersama guru Pendidikan Islam dan ahlinya peringkat Zon utara di Kompleks Tabung Haji di sini, semalam.

Sementara itu, ketika diminta mengulas kes pendakwaan ke atas bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Dr Mahathir berkata, tiada sesiapa boleh terlepas daripada undang-undang.
“Itu baru dakwaan, sama ada benar atau tidak, terpulang kepada pihak bertanggungjawab menjelaskannya. Jika dia tidak salah, harap peguamnya dapat membuktikannya,” katanya.

Kepada soalan lain, Dr Mahathir berkata, kerajaan wajar mempertimbangkan penggubalan undang-undang baru berhubung hukuman kepada pesalah rogol membabitkan kanak-kanak dengan mengenakan hukuman lebih berat.

Katanya, undang-undang sedia ada sudah begitu lama dan keadaan sekarang ini pula jauh berbeza dari dulu, termasuk gambar lucah mudah didapati.

"Sekarang banyak pornografi dan gambar lucah mudah didapati tanpa kawalan kerana internet tidak boleh dikawal,” katanya.

Beliau diminta mengulas cadangan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang meminta kerajaan meminda Seksyen 376 Kanun Keseksaan supaya perogol kanak-kanak boleh dikenakan hukuman mati.

Mengikut Seksyen 376 (2) (e) Kanun Keseksaan, hukuman bagi kesalahan merogol kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah ialah penjara tidak melebihi 30 tahun dan sebatan.

Terdahulu, dalam ucaptama di majlis itu, Dr Mahathir yang juga Yang Dipertua PERKIM berkata, kerajaan juga boleh mengambil tindakan dengan membuat sekatan terhadap kemasukan laman lucah yang semakin banyak.

"Dulu kita larang, walaupun kita tiada kuasa undang-undang di internet tetapi dari segi teknologi masa kini, kita boleh padam dan sekat semua bahan seperti itu,” katanya.

0 Pengantin Muda, 17 dan 19

'Mereka dah berkenan'

Oleh Rashidi Karim

2010/08/02
KANGAR: “Saya mengesahkan bahawa saya menikahkan sendiri Mohd Firdaus Mohd Zain dengan anak gadis saya (Zuraida) semalam (kelmarin), dengan mas kahwin hanya RM50 tanpa belanja lain sehari lebih awal dari tarikh ditetapkan hari ini (semalam).

“Malah, saya juga melakukan pernikahan sama menyatukan anak keenam saya, Zakira, 17, dengan pasangannya, Bunyamin Abbas, 19, pada tarikh sama bersama hantaran mas kahwin sama iaitu RM50,” kata guru silat, Zubir Mat Isa, 47, semalam.

Katanya, pernikahan dua anak gadisnya itu disaksikan Imam I Masjid Ngulang di masjid berkenaan di Mata Ayer, dekat sini, kira-kira jam 6.30 petang, kelmarin.


Bagaimanapun, berlaku kontroversi baru apabila bapa Bunyamin juga membuat laporan di Balai Polis Padang Besar jam 12.30 tengahari semalam selepas tidak memaklumkan mengenai perkahwinan rahsia itu.


Zubir menafikan melarikan Mohd Firdaus, pelajar jurusan Usulludin dari Universiti Al-Azhar, Mesir, atau memaksanya berkahwin dengan anak gadisnya itu kerana mereka sudah lama ‘berkenan’.


“Jika perkahwinan ini terbatal, saya ada calon menantu untuk Zuraida iaitu seorang mualaf berbangsa Cina tetapi saya bersyukur berlangsung seperti dirancang,” katanya ketika ditemui di Pejabat Pertubuhan Darul Islah, Mata Ayer, dekat sini, semalam.


Katanya, dia terpaksa mempercepatkan pernikahan Mohd Firdaus yang sedang belajar di Mesir kerana bimbang perkahwinan yang dirancang tidak menjadi kenyataan selepas kes itu disiarkan secara meluas di akhbar.


Selain itu, katanya, dia tidak mengenakan perbelanjaan besar cukup sekadar mas kahwin RM50 kerana didakwa itu sunnah Nabi Muhammad dan dituntut Islam.


Kelmarin, muka depan akhbar ini melaporkan Mohd Fuzi dari Taman Melati, Setapak, Kuala Lumpur, mendakwa anak sulungnya dibawa lari untuk dipaksa berkahwin dengan anak gadis seorang guru silat di sini.


Mohd Firdaus yang bercuti di Perlis dilaporkan hilang sejak 16 Julai lalu, selepas bertemu seorang guru silat di pejabat Pertubuhan Darul Islah, di sini.


Difahamkan, dua laporan polis di Balai Polis Arau dibuat selepas usaha menemui dan menghubungi Mohd Firdaus gagal pada 27 dan 30 Julai lalu.



Zubir berkata, hasrat berkahwin terdetik dari hati Firdaus sendiri, tanpa dipaksa mana-mana pihak seperti didakwa keluarga pelajar itu.


“Saya tidak pernah memaksa Firdaus menikahi Zuraida, kerana dia sendiri menyuarakan hasrat itu.


“Malah, dakwaan saya melarikan Firdaus dari keluarganya tidak benar sama sekali,” katanya.


Ditanya kedudukan Mohd Firdaus sekarang, katanya: “Mohd Firdaus dan isterinya berbulan madu di Langkawi dan menetap di sebuah chalet di sini,” katanya.



Sementara itu, Mohd Firdaus tidak menjangka bertemu dengan bapanya ketika mereka hadir ke Balai Polis Padang Besar, namun enggan memberi komen.


Dia yang hadir tanpa isterinya dilihat terkejut apabila terserempak dengan bapanya sebelum berbincang untuk menyelesaikan isu itu.