.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Tuesday, August 03, 2010

0 'Berikan saya satu cerita tentang kehidupan' trademark cerita screenplay yang saya minati. Ada sesiapa berminat?

Filem, drama medan perpaduan

Oleh Nurul Farina Nazlan
nfarina@bharian.com.my
2010/08/03

Aspek bahasa kebangsaan jangan dilihat dari sudut terpencil

FILEM dan drama mampu dijadikan landasan menyemai perpaduan kaum di negara ini dengan mengangkat bahasa Melayu di samping menampilkan gabungan pelakon pelbagai bangsa, sekali gus bertepatan dengan gagasan 1Malaysia yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Aspek bahasa kebangsaan yang dituturkan pelakon pelbagai kaum itu menterjemahkan gagasan yang memperlihatkan keiltizaman dan kesungguhan kerajaan untuk menyatupadukan rakyat ke arah kehidupan yang lebih harmoni serta saling memahami. Malangnya, unsur perpaduan itu kurang sempurna pada sebahagian drama yang menggunakan bahasa Melayu, tetapi tidak menampilkan pelakon berbangsa Melayu sehingga menimbulkan tanda tanya apakah ada segelintir penerbit dan pengarah bukan Melayu yang tidak mengiktiraf kewujudan pelakon Melayu dalam drama atau filem terbitan mereka.

Bagaimanapun, pandangan itu disangkal penerbit filem terkenal tanah air, David Teo yang meminta semua pihak untuk faham terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang tidak dikhususkan kepada satu kaum saja.

“Penerbit dan pengarah menyesuaikan karya mereka dengan persekitaran masyarakat serta mengakui orang Melayu ialah majoriti masyarakat di negara ini, tetapi pada masa sama, mereka juga tidak boleh menafikan cita rasa masyarakat bukan Melayu dalam berhibur.

“Saya rasa penerbit bukan Melayu yang tidak mengambil pelakon Melayu dalam drama terbitan mereka bukanlah kerana masalah perkauman, tetapi suasana dan persekitaran lakonan yang tidak sesuai, “ katanya kepada Sastera ketika ditemui di pejabatnya di Subang Mewah, baru-baru ini.
David mengambil contoh drama Cina atau Tamil yang menggunakan seratus peratus bahasa Melayu, tetapi persekitaran yang digambarkan dalam drama itu tidak membabitkan orang Melayu sehingga mereka tidak mengambil pelakon dalam bangsa itu untuk tidak mencacatkan plot dan jalan cerita.

Pada masa sama, David turut menyatakan ketidaksetujuan sekiranya pengarah atau penerbit bukan Melayu diminta menghasilkan drama yang keseluruhannya menggunakan bahasa kebangsaan, sekiranya latar cerita adalah berdasarkan persekitaran sesuatu kaum tertentu.

“Cuba kita bayangkan kalau dari awal hingga akhir cerita mengisahkan kehidupan keluarga Cina atau India di kawasan yang majoritinya masyarakat itu sendiri, tetapi mereka menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya, saya rasa ia tidak sesuai dan menafikan hak dan kebiasaan masyarakat itu.

“Mereka wajar diberi kelonggaran untuk menggunakan bahasa ibunda masing-masing, jika jalan ceritanya memang membabitkan sesuatu kaum, tetapi saya sendiri lebih selesa menghasilkan filem berbahasa Melayu yang menampilkan pelakon pelbagai bangsa kerana bersesuaian dengan jalan cerita dan persekitaran masyarakat pelbagai bangsa,” katanya.

Pandangan David turut disokong pelakon dan penerbit drama, Sheila Rusli yang menganggap dakwaan pelakon Melayu dianaktirikan oleh penerbit atau pengarah bukan Melayu tidak menuding jari, sebaliknya meminta masyarakat menilai sebab pelakon Melayu tidak diambil berlakon dalam drama atau filem yang menggunakan bahasa Melayu dan pelakon bukan Melayu.

“Tidak wujud sebarang diskriminasi, cuma kadang-kadang penerbit dan pengarah bukan Melayu tidak ada watak dan jalan cerita yang sesuai untuk diberikan kepada pelakon Melayu. Kita juga kena lihat dalam industri hiburan tanah air, pelakon Melayu memonopoli industri ini. Tidak salah sekiranya pelakon bukan Melayu diberi peluang,” katanya.

Demi menjayakan gagasan 1Malaysia dalam filem dan drama, Sheila berharap semua pihak membuang segala prasangka yang ada dalam diri kerana industri hiburan sebenarnya antara landasan utama yang boleh menyatupadukan rakyat pelbagai kaum.

“Selain itu, kita perlu saling menyokong antara satu sama lain, iaitu antara penonton dan mereka yang terbabit dengan industri hiburan kerana filem mahupun drama 1Malaysia akan dapat diterbitkan secara berterusan dengan kerjasama semua pihak di negara ini,” katanya.

0 comments: