.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Wednesday, June 30, 2010

0 10 Artis terkaya Amerika pada pertengahan tahun 2010 didahului Oprah dan tangga ke-10 ialah Madonna

Oprah dinobat artis berpengaruh


2010/06/30
WASHINGTON: Pengacara rancangan bual bicara popular Amerika Syarikat, Oprah Winfrey dinobatkan sebagai selebriti paling berpengaruh dunia, kali keempat beliau memenangi gelaran itu.

Menurut tinjauan majalah Forbes, Oprah, 56, yang akan melancarkan rangkaian televisyen sendiri tahun depan mencatatkan pendapatan AS$315 juta (RM1 bilion) tahun lalu, menyingkirkan Angelina Jolie yang menduduki tangga teratas pada 2009 dan kini merosot ke tangga ke-18. Di tempat kedua di belakang diva rancangan bual bicara itu ialah penyanyi popular Beyonce Knowles yang meraih pendapatan AS$87 juta (RM278 juta), berikutan pendapatan yang diraihnya melalui hiburan dan empayar fesyen. Pengarah James Cameron, yang meraih pendapatan daripada filem Avatar yang memecah rekod menduduki tempat ketiga dengan pendapatan AS$210 juta (RM672 juta).

Kedudukan selebriti yang terbabit dalam tinjauan itu berdasarkan pendapatan mereka sejak 12 bulan lalu selain pertimbangan diberi kepada rujukan, keratan akhbar, siaran media elektronik dan liputan majalah utama yang diterima mereka, kata Forbes.

Di kedudukan keempat ialah penyanyi baru yang sensasi serta seorang wanita gilakan fesyen, Lady Gaga.

Dengan pencapaian cemerlang dalam muzik dan jelajah terbesar, penghibur kelahiran New York itu memperoleh AS$62 juta (RM198 juta) sepanjang tahun lalu.
Pemain golf, Tiger Woods terus mengekalkan kedudukan beliau walaupun laporan sensasi mengenai hubungan luar biasa beliau bersama belasan wanita, dengan berada di kedudukan kelima atas perolehannya AS$105 juta (RM336 juta) tahun lalu, walaupun menarik diri daripada perlawanan selama enam bulan.

Menduduki senarai 10 teratas termasuk penyanyi Britney Spears yang berada di tempat keenam dan penyanyi rock Ireland, U2 di tempat ketujuh.

Aktres yang memenangi hadiah Oscar, Sandra Bullock yang turut mendapat perhatian berikutan kecurangan suaminya, berada di tempat ke lapan tahun ini berbanding tempat ke-92 tahun lalu dengan meraih pendapatan AS$56 juta dolar (RM180 juta).

Aktor Johnny Depp berada di tempat kesembilan manakala penyanyi Madonna jatuh dari tangga ketujuh pada 2009 dan berada di tempat ke-10 dengan pendapatan AS$58 juta (RM185 juta). – AFP

0 Modernisasi menyumbang kepada kemerosotan nilai diri dan agama. Strategi menangani masalah ini harus relevan seiring perubahan budaya masyarakat

81,000 anak luar nikah berdaftar membimbangkan - IIM

IPOH 29 Jun - Angka yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bahawa terdapat 81,000 anak luar nikah berdaftar ketika ini merupakan perkembangan yang membimbangkan.

Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh berkata, antara punca yang menyumbang kepada peningkatan gejala sosial tersebut ialah penyaluran maklumat tanpa batasan dan perubahan budaya masyarakat.

Menurutnya, sebanyak 55 peratus rakyat Malaysia dilaporkan oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) sebagai 'gila Internet' dan mereka mempunyai akses terhadap penyaluran maklumat melalui alam maya yang begitu luas.

''Perkenalan melalui Facebook dan laman sosial lain akhirnya mengundang kepada pergaulan bebas sehingga membawa kepada keterlanjuran dan sebagainya.

''Ini berlaku jika kita tidak memiliki benteng dan integriti diri yang kuat dalam era globalisasi kini,'' katanya pada Seminar Pengukuhan Integriti Pemimpin Masyarakat Peringkat Negeri Perak di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Sektor Sosio Budaya IIM, Hamilye Sham Harun.

Seminar sehari tersebut dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Hashim.

Menurut Mohd. Tap, penyaluran maklumat secara berleluasa menyebabkan masyarakat terutama golongan muda lebih terdedah kepada budaya yang bertentangan dengan amalan masyarakat di negara ini dan tanpa disedari ia meresap ke dalam diri mereka.

Dalam hal itu, katanya, semua pemimpin masyarakat perlu memberi tumpuan dalam melaksanakan usaha pengukuhan integriti golongan belia yang merangkumi 11.8 juta atau 42 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia.

Sementara itu Abdul Rahman berkata, pemimpin masyarakat perlu mempamerkan nilai-nilai integriti yang tinggi terlebih dahulu agar mereka dapat menjadi contoh kepada masyarakat.

''Sebagai 'duta integriti' dalam masyarakat, mereka harus terlebih dahulu menanamkan nilai-nilai terpuji dalam kehidupan seharian seperti mengamalkan budi bahasa yang baik, berakhlak mulia, amanah dan tinggi tahap akauntabiliti masing-masing,'' katanya.

0 Bidang kelulusan kurang mendapat permintaan majikan, faktor lain ialah penawaran banyak, permintaan kurang. Ambil iktibar untuk BLUE OCEAN STRATEGY

32,000 graduan masih menganggur

KUALA LUMPUR 29 Jun - Seramai 32,000 graduan gagal mendapatkan pekerjaan selepas enam bulan menamatkan pengajian dari institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, statistik Kementerian Pengajian Tinggi itu menunjukkan graduan wanita lebih ramai gagal mendapat pekerjaan iaitu sebanyak 21,760 berbanding lelaki seramai 10,240 orang.

"Antara sebab graduan gagal mendapat pekerjaan adalah kerana bidang kelulusan mereka kurang mendapat permintaan daripada pihak majikan," katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan William Leong Jee Keen (PKR-Selayang) yang mahu kerajaan menyatakan jumlah graduan menganggur, peratusan mereka mengikut jantina, kumpulan pendapatan keluarga rendah dan jumlah peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta sebab mereka tidak diambil bekerja serta cadangan untuk mengatasi masalah itu.

Subramaniam berkata, Kementerian Pengajian Tinggi telah meluluskan pembiayaan untuk pinjaman PTPTN kepada 1.5 juta pelajar dengan jumlah RM32.62 bilion sehingga 30 April lalu.

Dalam pada itu katanya, trend pengambilan pekerja masa kini yang tidak menumpukan perhatian kepada kelulusan calon semata-mata boleh membantu mengatasi masalah pengangguran di kalangan graduan di negara ini.

0 Budaya sudah terhantuk baru tergadah oleh FIFA. Nilai inovasi sangat penting dalam kehidupan

Bos FIFA minta maaf




JOHANNESBURG - Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Sepp Blatter (gambar) telah meminta maaf kepada England dan Mexico yang menjadi mangsa kesilapan pengadil perlawanan sehingga menyebabkan keduadua negara itu tersingkir awal daripada saingan Piala Dunia 2010.

Blatter juga menjelaskan bahawa FIFA bersedia membuka semula proses perdebatan mengenai isu penggunaan tekno- logi video dalam kempen Piala Dunia akan datang.

"Biasanya kita akan akan mengecam sekiranya ada bukti jelas mengenai kesila- pan yang dilakukan pengadil," kata Blatter kelmarin.

Beliau juga menjelaskan, kredibiliti FIFA akan terjejas sekiranya tidak mempertim- bangkan semula cadangan penggunaan teknologi tersebut pada mesyuarat panel badan induk itu di Wales bulan depan.

"Selepas menyaksikan semula beberapa insiden yang berlaku membabitkan perlawanan antara England dan Jerman serta Argentina dan Mexico, kami akan membuka semula isu mengenai penggunaan teknologi ini. Itu sudah pasti," katanya lagi.

Blatter menambah, beliau telah meminta maaf kepada pegawai pasukan England dan Mexico selepas perlawanan tersebut.

"Pegawai pasukan England hanya berkata terima kasih manakala pegawai pasu- kan Mexico pula hanya menganggukkan kepala sahaja.

"Saya faham mereka tidak gembira dengan situasi itu. Ia bukanlah satu pengadi- lan yang bertaraf lima bintang."

Terdahulu, perdebatan mengenai penggunaan teknologi dalam bola sepak kembali hangat diperkatakan.

Semuanya gara-gara kesilapan pengadil ketika perlawanan antara England dan Jerman serta Argentina dan Mexico pada aksi pusingan kedua.

Carlos Tevez dilihat berada dalam kedu- dukan ofsaid ketika menjaringkan gol pertama Argentina sewaktu menewaskan Mexico 3-1 kelmarin.

Gol penyamaan Frank Lampard ketika England tewas 1-4 kepada Jerman, Ahad lalu pula tidak dikira biarpun bola sudah melepasi garisan gol. - AP

Thursday, June 24, 2010

2 Apabila muda-mudi Sabah mahu ke Semenanjung (KL) mencari kerja. Bukan senang jika tiada kawan, tidak cukup wang saku

Rakyat Sabah merempat di ibu negara
Christine Chan

Jun 23, 10
3:53pm

Dianggarkan kira-kira 100,000 rakyat Sabah menetap di lembah Klang. Bagaimanapun kebanyakan golongan muda itu kini hidup merempat.


Menurut Hiew King Cheu (DAP-Kota Kinabalu), sesetengah rakyat Sabah itu tidak berpendidikan dan hidup mengemis bagi mendapatkan makanan di belakang restoran seperti KFC dan McDonald, manakala wanitanya ada yang terjebak dalam lembah pelacuran.

"Mereka ke mari dengan harapan mencari pekerjaan. Bagaimanapun sesetengah mereka ditipu oleh agensi pekerjaan dan terbiar tanpa sebarang wang untuk pulang. Ada juga yang malu untuk pulang semula.

“Kerajaan Sabah cuba mengaturkan supaya sesetengah mereka dihantar pulang dengan membayar tambang penerbangan dan memberi mereka wang saku, tetapi ini tidak membantu. Situasi semakin buruk apabila semakin ramai yang datang,” katanya.

Justeru, kata Hiew Pakatan Rakyat akan menganjurkan sebuah forum pada 4 Julai ini di Perpustakaan awam Petaling Jaya bagi menjemput rakyat Sabah datang dan meluahkan masalah mereka.

"Kami berharap ramai yang akan datang dan memberitahu kami masalah dan situasi sebenar mereka. Pemimpin utama Pakatan seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang and Tan Sri Khalid Ibrahim akan juga datang bagi berjumpa dengan mereka.

"Kami melihat tindakan itu sebagai tanggungjawab Pakatan kerana Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia dan menjadi tugas kita membantu mereka,” katanya.

Beliau juga mencadangkan sebuah jawatankuasa atau pertubuhan diadakan bagi membantu rakyat Sabah di Lembah Kelang dan juga seluruh semenanjung.

Kata Hiew, rakyat Sabah merantau mencari pekerjaan di semenanjung kerana kurangnya peluang pekerjaan di negeri itu.

"Gaji dan jawatan bagi golongan muda di Sabah, lazimnya dibolot oleh orang asing. Adalah lebih murah menggajikan pekerja asing di Sabah. Saya tidak menyalahkan majikan. Ada pendatang asing tanpa izin juga bekerja di sektor perladangan dan perkilangan.

“Kerajaan berjanji akan mewujudkan ribuan pekerjaan tetapi ia tidak berlaku. Ini adalah bukti kerajaan negeri gagal mencarikan pekerjaan untuk golongan muda di Sabah,” katanya.

0 Ketahui 10 kriteria apabila menerbitkan atau menterjemah buku untuk pasaran Malaysia

Laporan Khas: 10 kriteria tentukan kedudukan bahan penerbitan berunsur Islam

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my
2010/06/24

KDN bekerjasama dengan JAKIM sentiasa memantau elak orang ramai keliru, amal ajaran bertentangan agama

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) mengenakan Perintah Larangan terhadap 25 judul buku serta penerbitan mengenai agama Islam pada 2008 dan 2009 kerana didapati mempunyai fakta menyeleweng serta boleh menjejaskan akidah umat Islam. Daripada jumlah itu, 19 judul dalam bahasa Inggeris yang diterbitkan di Amerika Syarikat dan India, manakala enam tajuk lagi dalam bahasa Melayu yang dikeluarkan penerbit tempatan serta dari Indonesia. Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran KDN, Abdul Razak Latif, berkata penerbitan itu dikenakan Perintah Larangan mengikut Seksyen 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (AMCP 1984).

Katanya, Perintah Larangan itu diwartakan kepada penerbitan yang mengandungi penulisan menyentuh kesucian agama Islam, penyelewengan fakta dan ajaran Islam sebenar atau mempunyai unsur yang menyesatkan akidah serta menghina nabi dan rasul.

“Menjadi kesalahan mengikut Subseksyen 2 Seksyen 8 AMCP 1984 jika mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau memiliki bahan penerbitan larangan.

“Apatah lagi penerbitan mengenai agama kerana kita tidak mahu umat Islam keliru atau mengamalkan ajaran yang pada fikiran mereka betul mengikut apa diperoleh dalam penulisan tetapi hakikatnya menyalahi hukum syarak,” katanya.
Katanya, bagi penerbitan berunsurkan Islam atau membahaskan perkara berkaitan agama Islam, KDN mendapat kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk meneliti serta memastikan fakta dikemukakan adalah benar.

Antara tajuk buku bahasa Inggeris dikenakan Perintah Larangan ialah The Importance of Muhammad, Muslim Women and The Challenge of Islam, The Jewel of Medina dan Qabil and Habil. Sebahagian buku bahasa Melayu pula ialah Amalan Kemurahan Rezeki, Rahsia Jalan Yang Lurus, Pelik Tapi Benar Dalam Solat, Allah Paling Hebat dan Hamka Bercerita Kisah Nabi dan Rasul.

KDN menetapkan tujuh perkara mudarat memberi kesan kepada Hasil Penerbitan Tidak Diingini mengikut seksyen 7 (1) AMCP 1984 iaitu memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan, kemoralan, kepentingan awam, kepentingan negara, menggemparkan fikiran orang ramai dan berlawanan mana-mana undang-undang.

Hasil Penerbitan Tidak Diingini juga termasuk menyebarkan ajaran salah menyeleweng atau mempersendakan agama Islam bagi bahan penerbitan berunsur agama. Semua penerbitan hendaklah mematuhi garis panduan dikeluarkan JAKIM.

Garis Panduan Penapisan Bahan Penerbitan Berunsur Islam menetapkan 10 kriteria utama menentukan kedudukan bahan penerbitan berunsur Islam antaranya tidak mengandungi perkara menyentuh kesucian Islam, tidak mempropagandakan akidah, hukum dan ajaran bercanggah mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Buku tulisan isteri kedua bekas pemimpin al-Arqam, Asaari Muhammad, Hatijah Aam bertajuk Tsunami: Bukti Abuya Putra Bani Tamin, adalah contoh terkini dilihat melanggar garis panduan penerbitan ditetapkan KDN dan JAKIM.

Hatijah dalam bab tiga buku dilancarkan di Jakarta, Indonesia April lalu menulis: “Abuya Asaari itu ‘power’ yang mampu mengangkat air satu lautan sebesar gunung dan menerbangkan secepat kapal terbang Boeing ketika ketinggian 30,000 kaki iaitu 700km sejam. Senjata tsunami keajaiban ciptaan Abuya Asaari untuk memerangi orang yang gila berperang di Aceh agar kemudian tidak sanggup berperang lagi di bumi milik Abuya Asaari itu.”

Ketua Penolong Pengarah Cawangan Kawalan Media JAKIM, Mazlan Abdullah, berkata sebagai bahan media menyebarkan maklumat dan ilmu mengenai Islam, maklumat yang disampaikan hendaklah tidak menyimpang daripada ajaran sebenar.

Selain itu katanya, penjual pula jangan terlalu mengejar keuntungan hingga sanggup membiarkan orang ramai membeli buku berunsur agama yang sudah difatwakan haram oleh pihak berkuasa.

“Kita tidak mahu orang ramai terbeli buku yang sudah diharamkan pihak berkuasa. Ada antara mereka memang cetek ilmu. Bayangkan jika dapat buku mengandungi maklumat serta ilmu salah dan kemudian diamalkan pula.

“Jangan disebabkan tidak mahu menanggung rugi, buku yang sudah difatwakan haram terus dijual. Penjual perlu memikul tanggungjawab memastikan pembeli tidak mendapat bacaan yang salah kerana ini boleh memudaratkan mereka,” katanya.

Mazlan berkata, JAKIM dengan kerjasama KDN sentiasa melakukan pemantauan berkala terhadap premis menjual bahan bercetak khususnya buku berunsur agama bagi memastikan buku yang sudah difatwakan haram tidak lagi berada di pasaran.


Artikel berkaitan:

KDN, JAKIM kena profesional perjelas kesilapan penerbit


2010/06/24
PERINTAH larangan terhadap penerbitan buku berunsur Islam oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu dilakukan secara profesional, termasuk mengadakan perbincangan dengan syarikat penerbitan supaya pembetulan dapat dilakukan dan mengelak kesilapan sama berulang.

Pengarah Eksekutif Telaga Biru Sdn Bhd, Zahazan Mohamed, berkata adalah tidak adil apabila pihak penerbitan atau penulis tidak dimaklumkan mengenai perintah larangan dan tidak dipanggil mendapat penjelasan berhubung tindakan itu. Katanya, sudah pasti syarikat penerbitan serta penulis ingin mengetahui bentuk kesilapan dilakukan dan mungkin ada cara bagaimana kesilapan dapat diperbetulkan tanpa menjejaskan penerbitan serta penjualan bahan bacaan berkenaan. “Bagi Telaga Biru sendiri, kami kecewa kerana pengharaman buku Pelik Tapi Benar Dalam Solat hanya diketahui melalui RTM1 pada 2008 dan hingga kini belum menerima surat memaklumkan perkara itu.

“Kami sudah menghantar surat untuk mendapat penjelasan kepada KDN, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Fatwa Kebangsaan tetapi tiada balasan. Sudah pasti kami ingin tahu bentuk kesilapan dilakukan supaya dapat diperbetulkan,” katanya.

Beliau berkata, walaupun tidak ada hitam putih mengenai perintah larangan penerbitan buku Pelik Tapi Benar Dalam Solat itu, Telaga Biru mengambil tindakan menarik balik jualan serta melupuskan stok yang berbaki.

Bagaimanapun, sebahagiannya dikembalikan kepada penulis yang berasal dari Singapura kerana buku itu tidak diharamkan di negara berkenaan.
Katanya, Telaga Biru sentiasa berfikiran terbuka termasuk berdepan tindakan pengharaman atau perintah larangan tetapi berharap tindakan dilakukan secara profesional melalui surat serta disusuli perbincangan.

Disebabkan tiada maklum balas diterima daripada pihak berkaitan, Telaga Biru membuat kesimpulan, buku Pelik Tapi Benar Dalam Solat diharamkan kerana mengemukakan pandangan mazhab lain mengenai perkara berkaitan solat.

Zahazan berkata, kesalahan atau kesilapan berlaku perlu dinyatakan dengan cara terbaik kerana sebagai penulis pastinya tidak mahu menyampaikan maklumat salah dan menyebarkan ilmu tidak benar kepada masyarakat.

0 Tindak balas aktivis agama kepada kes Luna Maya, Cut Tari dan Ariel

Polis mahu tahan Luna Maya




JAKARTA 23 Jun - Polis Indonesia mahu 'menahan' dua bintang televisyen wanita yang didakwa terlibat dalam skandal seks dengan vokalis Peterpan, Ariel, berikutan ancaman kumpulan tertentu yang akan berbuat demikian jika pihak berkuasa berdiam diri.
Walaupun sepatutnya polis mengawal kediaman mereka atau menangkap individu yang membuat ancaman tersebut, polis berkata mereka akan menahan Luna Maya, 29, dan Cut Tari, 32, untuk 'keselamatan diri mereka sendiri'.

''Alasannya bukan sekadar untuk menahan mereka tetapi juga melindungi mereka daripada kumpulan-kumpulan yang marah terhadap skandal itu,'' kata ketua detektif, Ito Sumardi.

Kedua-dua mereka, yang merupakan model dan penyampai televisyen, didakwa sebagai pasangan Ariel atau nama sebenarnya, Nazril Ariel, 28, dalam video seks yang dirakam sendiri.

Ariel menyerah diri kepada polis semalam, dan berdepan dengan hukuman penjara maksimum 12 tahun jika didapati bersalah melanggar akta anti-pornografi 2008. Dia menafikan dirinya memuat naik video itu ke Internet.

Video tersebut telah tersebar luas kepada 40 juta pengguna Internet di Indonesia, mengundang perdebatan mengenai kebebasan Internet dan seruan supaya kawalan lebih ketat ke atas teknologi maklumat di negara paling ramai umat Islam itu.

Kontroversi itu memuncak semalam apabila kira-kira 1,000 penunjuk perasaan berarak di tengah Jakarta menuntut supaya mereka disebat di khalayak ramai atau direjam sampai mati kerana berzina.

Hari ini, sebuah kumpulan Barisan Pertahanan Islam yang diketahui pernah menyerang golongan liberal, pondan dan kelab malam, mengancam untuk menyerang Maya dan Tari jika mereka tidak ditangkap dalam tempoh tiga hari. - AFP

Wednesday, June 23, 2010

1 Kekangan babak asmara dalam filem membuatkan pembikinnya kreatif, ibarat jambatan dengan sungai, udara dengan kapal terbang. So, ini berita baik

ARKIB : 22/06/2010
Buat filem juga dakwah

Oleh Mohd. Radzi Mohd. Zin
Gambar Saiful Bahari Ashaari



Sebahagian peserta Bengkel Fiqh Penyiaran di Institut Latihan Islam Malaysia, Bangi, Selangor, Ahad lalu.




FILEM atau drama sudah menjadi sebati dalam kehidupan seharian kita. (Filem dan drama tidak asing bagi kita, kita pasti tidak sukar untuk mengenalinya). Pengaruhnya dan kesannya melangkaui budaya, jantina, umur, status sosial dan lokasi.

Sebagai salah satu cabang seni, filem menjadi antara elemen berhibur masyarakat sejak dulu hingga kini.

Cuma, hal yang sering menjadi perdebatan adalah hiburan bagaimana yang dibenarkan dalam Islam. Demikian juga, selama mana lagi kita perlu menghasilkan filem yang stereotaip berlatar belakang persoalan cinta muda-mudi yang di luar batasan atau pun golongan korporat yang sombong dan suka berfoya-foya.

Oleh yang demikian, timbul istilah filem berunsur Islam. Ia semakin diperkatakan mutakhir ini lebih-lebih lagi disokong dengan adanya permintaan filem-filem berunsur Islam dalam pasaran.

Mantan Profesor Komunikasi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Naim Ahmad berkata, pokok pengertian filem Islam adalah maksud Islam itu yang antara lainnya selamat, aman, tenteram, patuh dan bersih daripada segala sesuatu.

Oleh itu, filem Islam dan filem berunsur Islam adalah dua ungkapan yang berbeza.

Katanya, filem berunsur Islam merujuk kepada filem yang antara paparannya mengandungi beberapa unsur yang selaras dengan tuntutan Islam.

“Namun, tidak keseluruhan filem tersebut ‘islamik’. Mungkin daripada aspek naratif, dramatik, sinematografi, semiotik, aplikasi, teknikal dan kontektualnya,” kata beliau.

Dr. Naim berkata demikian dalam kertas kerja bertajuk ‘Drama/Filem Berunsur Islam’ pada Bengkel Fiqh Penyiaran di Institut Latihan Islam Malaysia, Bangi, Selangor, kelmarin.

Dua lagi ahli panel ialah Mufti Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman dan Pengerusi Biro Akademik dan Latihan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Syed Zulkifli Syed Masir.

Bengkel sehari anjuran bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), TV Al-Hijrah dan FDAM itu disertai oleh kira-kira 250 peserta.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim dan Pengarah ILIM, Paimuzi Yahya.

Dr. Naim berkata, asasnya filem Islam merangsang kepada keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan.

Ia juga menganjurkan keamanan, ketenteraman, kedamaian dan kebersihan daripada segala yang negatif.

Pendek kata, jelas beliau, filem Islam membawa mesej penyerahan diri, tunduk, patuh dan bertauhid kepada Allah Yang Maha Pencipta.

“Hasil garapan inti-inti pembicaraan tentang seni dalam Islam, maka filem Islam diungkapkan sebagai sebuah hasil seni, berbentuk ‘produk halal’, pra dan pasca penerbitan dengan pengisian dan garapan bersandarkan kod etika dan nilai Islam sehinggalah kepada proses edaran, tayangan dan tontonan khalayak.

“Tujuannya menyebar dakwah, menerap nilai murni dan menegakkan amar makruf nahi mungkar,” jelas Dr. Naim.

Sementara itu, Abdul Rahman dalam mukadimah kertas kerjanya ‘Perspektif Hiburan Dalam Islam’ memberikan definisi hiburan daripada segi bahasa sebagai menenangkan jiwa daripada kesempitan.

Dalam bahasa Arab ia disebut sama ada tarfiah, tasliah, lahhu, laab dan tarwih.

Semua itu, katanya, terangkum dalam erti memasukkan kegembiraan ke dalam jiwa bagi membangkitkan kecergasan fikiran atau badan yang bukan tujuan bersungguh-sungguh.

“Hiburan diharuskan dalam Islam selagi tidak ada pergaulan bebas lelaki dan perempuan yang bukan mahram, tidak melalaikan pemain dan pendengarnya daripada mengingati Allah dan lain-lain hal yang bercanggah dengan Islam,” tegas beliau.

Abdul Rahman berkata, manusia dijadikan bukan sebagai malaikat kerana manusia sifatnya ada waktu perlu kepada makan dan minum, berkahwin, mencari rezeki, berhibur dan melakukan lain-lain sifat manusia.

Fitrah manusia, katanya, memerlukan hiburan atau sesuatu yang boleh menenangkan jiwa seperti nyanyian dan selainnya.

Beliau menambah, hiburan adakalanya menjadi sunat jika tujuannya untuk melapangkan hati, agar selepas itu akan menimbulkan sebab-sebab yang mencergaskan dirinya untuk beribadat.

“Menghibur diri atau orang lain amat digalakkan dalam urusan agama. Apabila seseorang benar-benar terhibur dengan agama dia akan melaksanakan perintah Allah dengan bersungguh-sungguh,” katanya.

Menurut Abdul Rahman, antara hiburan yang paling disukai adalah nyanyian dan ia dibolehkan oleh syarak selama tidak dicampuri kata-kata kotor, lucah atau mengarah kepada perbuatan dosa.

Katanya, nyanyian tidak salah jika disertai muzik yang tidak membangkitkan nafsu.

“Bahkan dalam situasi gembira seperti hari raya, majlis perkahwinan dan akikah nyanyian dibenarkan sebagai mana hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ibn Majah di mana baginda menyuruh agar dijemput seorang yang boleh menyanyikan ahlan wasahlan (selamat datang),” jelas beliau.

Seorang lagi ahli panel, Syed Zulkifli berkata, Islam perlu menguasai filem dan TV untuk menghasilkan filem yang mematuhi prinsip syariah kerana ia adalah medium yang penting.

Katanya, Islam juga perlu bercerita tentang apa sahaja dengan cara yang dibenarkan oleh agama.

“Kalau kita boleh membuat produk filem dan TV yang baik serta mampu menyisipkan nilai-nilai Islam di dalamnya, bahan yang kita pilih akan menjadi pilihan penonton,” katanya.

Beliau membentangkan kertas kerja ‘Melahirkan Strategi Kerja Kreatif Filem dan TV Pematuhan Syariah’.

Syed Zulkifli berkata, hal ini munasabah dicapai. Syaratnya adalah perlu meyakinkan diktator iaitu pembikin filem atau pengarahnya.

Pembikin filem memilih, memanipulasi dan menentukan apa yang harus ditonton oleh mereka yang telah membuat keputusan untuk menonton.

“Jika stesen tv yang menggelarkan diri mereka TV Islam menjadikan ciri-ciri syariah sebagai polisi penyiarannya, maka produk filem dan tv yang mematuhi syariah akan menjadi munasabah,” jelas beliau.

Mengenai kekangan melahirkan filem Islam, Syed Zulkifli berkata, kekangan menjadikan manusia lebih kreatif.

Katanya, manusia mencipta daripada ‘tiada’ kepada ‘ada’ bagi menyelesaikan masalah.

Contohnya, sungai mengekang manusia untuk bergerak. Maka, manusia mencipta sampan, perahu dan jambatan untuk menyelesaikannya.

“Memanglah sukar mendapat idea tetapi itulah proses kreatif. Proses kreatif filem adalah proses penciptaan, mewujudkan perkara baru yang melibatkan imaginasi dan kebarangkalian dalam menghantar makna.

“Jika seseorang itu benar-benar kreatif, kekangan untuk menghasilkan produk filem dan TV yang mematuhi syariah akan membuatkannya sentiasa hidup dalam budaya kreatif kerana dia akan terus mencari penyelesaian setiap masa,” jelasnya.

Antara kertas kerja lain adalah ‘TV Al-Hijrah sebagai sebuah stesen Islamik’ oleh Ketua Pegawai Eksekutif TV Al-Hijrah, Bukhari Che Muda dan ‘Garis Panduan Tetap’ oleh wakil Kementerian Dalam Negeri, Datuk Mohd. Hussain Shafie.

Tuesday, June 22, 2010

0 Tidak sabar menanti VCD Kiss Me Again untuk belajar menulis skrip

Kiss Me Again menang filem terbaik

SHANGHAI 21 Jun – Filem komedi Kiss Me Again arahan Gabriele Muccino dari Itali, diangkat sebagai filem terbaik pada Festival Filem Antarabangsa Shanghai, selain memenangi dua lagi anugerah bagi kategori pelakon wanita terbaik dan lakon layar terbaik.

Filem tersebut merupakan susulan kepada filem Itali, The Last Kiss yang mendapat kutipan tinggi, yang mengisahkan kehidupan beberapa individu selepas satu dekad, yang cuba ‘memanjangkan’ kehidupan remaja mereka, diselangi dengan konflik yang melanda ketika mereka mencecah usia 40 tahun.

Anugerah tertinggi Golden Goblet itu menandakan kebangkitan filem berbahasa Itali arahan Muccino selepas dia bekerjasama dengan Will Smith menerbitkan filem Hollywood The Pursuit of Happyness dan Seven Pounds.

“Pengiktirafan ini membuatkan saya percaya betapa universalnya sesebuah filem,” kata Muccino dalam satu mesej bertulis.

Pengarah itu turut memenangi anugerah bagi lakon layar terbaik sementara aktres Vittoria Puccini dipilih sebagai pelakon wanita terbaik menerusi lakonannya dalam Kiss Me Again.

Filem arahan pengarah filem China, Liu Jie, Deep in the Clouds, sebuah filem cinta berlainan etnik yang berlatar belakangkan suasana kampung di pedalaman di barat daya China, memenangi anugerah utama juri, kategori penerbit terbaik dan kategori muzik terbaik.

Penerbit Christopher Doyle dinamakan sebagai pemenang kategori seni perfileman terbaik bagi filem Ireland Ondine, sementara Christian Ulmen dipilih sebagai pelakon lelaki terbaik menerusi penampilannya dalam filem terbitan Jerman, Wedding Fever in Campobello.

Penerbit filem Hong Kong, John Woo mengetuai barisan juri pada festival filem kali ini.

Festival filem selama sembilan hari yang berakhir semalam itu, merupakan satu peluang yang jarang diperolehi rakyat republik ini untuk menyaksikan filem-filem antarabangsa yang biasanya tidak ditayangkan di tanah besar China ekoran peraturan ketat yang mengehadkan tayangan 20 filem asing setahun. – AFP

0 Semasa menulis novel, pertimbangkan tentang drama tv supaya kelak ianya tidak sulit untuk proses adaptasi. Novel dan drama tv 95% persamaan, best

Kau Laksana Bulan
Oleh Nurul Farina Nazlan

2010/06/21
NOVEL popular, Kau Laksana Bulan karya novelis terkenal tanah air, Aina Emir yang pertama kali diterbitkan pada 2006 dan sudah diulang cetak 18 kali, diadaptasi ke drama bersiri 13 episod ditayangkan di TV2 setiap Isnin, jam 8.30 malam, sejak 31 Mei lalu.

Drama terbitan Gama Taktik Sdn Bhd, arahan Mohd Azhar Khalid menampilkan Ayu Raudhah sebagai watak utama di samping beberapa dramatis popular lain seperti Zulhuzaimy, Fizow Omar, Ashraff Muslim, Bienda, Marisa Yasmin, Kenchana Dewi, Dian P Ramlee, Fadilah Mansor dan Aznah Hamid. Proses memindahkan novel terbabit ke skrip drama ditangani sepenuhnya dalam tempoh lebih dua bulan oleh Aina bagi memastikan suasana dan perasaan asal yang diterap dalam naskhah asalnya terpelihara apabila diterjemahkan ke drama. “Kau Laksana Bulan ada kekuatan tersendiri dalam bentuk teks melalui kesan perincian perasaan watak utama iaitu Adrianna, Firas, Razif dan Syafik sehingga memberi kesan mendalam kepada pembaca terutama remaja serta memungkinkkannya ia dicetak ulang 18 kali," katanya ketika dihubungi Sastera, baru-baru ini.

Kelebihan drama berkenaan ialah dari aspek perincian dan watak yang menuntut Aina memperbanyakkan dialog mahupun aksi yang menyebabkan Kau Laksana Bulan tidak mudah dipindahkan ke skrip kerana tindakan memindahkannya secara bulat-bulat akan akan menggagalkan aspek visual.

Dalam memindahkannya ke drama, Aina menggabungkan unsur lucu dan menambah watak bagi menghidupkan drama berkenaan, sesuai dengan latar dan visual yang ingin digunakan penerbit.

“Saya yakin penggemar novel saya dan penonton drama Melayu pasti akan lebih tertarik untuk menyaksikan watak Adrianna dan Firas yang diterjemahkan ke dalam drama. Mereka yang pernah membaca Kau Laksana Bulan pasti dapat mengesan perbezaan antara novel dan drama ini.
“Saya berharap mereka dapat menerimanya dengan hati terbuka meskipun perbezaannya ketara kerana ia dilakukan bagi menghidupkan watak dan jalan cerita dalam medium drama yang tentunya berbeza daripada novel,” katanya yang turut meletakkan watak Adrianna oleh Ayu Raudhah dan Firas (Zulhuzaimy) kerana mereka mampu menghayatinya.

Meskipun ada perbezaan di antara drama dan novel, Aina yakin skripnya itu banyak memaparkan mesej positif kepada penonton dan antaranya persepsi masyarakat terhadap mereka yang minat dalam bidang seni penulisan serta masalah Adrianna sebagai penulis sehingga mengambil keputusan meletakkan jawatan.

“Drama ini bagi saya sebenarnya menarik kerana ia tidak hanya berfokus pada unsur drama semata-mata, sebaliknya ada juga suntikan romantik, aksi dan persoalan misteri melalui watak Razif dan Eizlan,” ujarnya.

Aina turut mengakui ramai novelis yang kurang senang jika naskhah mereka diadaptasi dalam bentuk drama kerana berlaku perbezaan dari segi pemikiran dan perasaan watak, malahan ada penerbit drama yang mengubah jalan cerita dan watak.

“Bagi saya, pengarang perlu sedar untuk mengadaptasi sesebuah novel dalam bentuk drama bukan suatu yang mudah kerana jika dialog, emosi dan watak tidak disesuaikan dengan jalan cerita, pasti visual drama akan membosankan serta tidak diterima penonton,” jelasnya.

Selain Kau Laksana Bulan, novel popular, Tangisan Bulan Madu karya Samsiah Mohd Nor yang pertama kali diterbitkan pada 1991 dan sudah diulang cetak 13 kali, pernah diangkat ke drama untuk slot Astaka Perdana dan Lepaskan Aku Kembali Ke Laut (Dr Shaari Isa).

Monday, June 21, 2010

0 Satu kajian kes bagaimana anak bangsa yahudi diasuh. Kajian phD selama 8 tahun

Sumber: www.mahmudshah.wordpress.com

Mengapa Yahudi Bijak?

Catatan kajian daripada Thesis Dr. Stephen Carr Leon mengungkaikan misteri tentang bangsa terpilih ini. Kita selidiki sama-sama, dan tidak menjadi salah untuk kita praktikkan di dalam kehidupan kita.

Kenapakah Yahudi Bijak ?? Setelah berada 3 tahun di Israel kerana menjalani housemanship dibeberapa hospital di sana, ada beberapa perkara yang menarik dapat saya perhatikan untuk dijadikan tesis ini, iaitu “Mengapa Yahudi Bijak?”. Memang tidak dapat dinafikan ramai cendikiawan berbangsa Yahudi, dari segala bidang, kejuruteraan, muzik, saintis dan yang paling hebat ialah bidang perniagaan, dimana ia memang paling tersohor. Hampir 70% perniagaan di dunia dikuasai oleh kaum Yahudi, dari kosmetik, pakaian, pemakanan, senjata, perhotelan, perfileman di Hollywood dan sebagainya. Ketika tahun kedua, akhir bulan December 1980 dan sedang saya menghitung hari untuk pulang ke California saya terfikir, apakah sebabnya kaum Yahudi begitu pintar? Kenapa tuhan memberi kelebihan kepada mereka? Apakah ini suatu kebetulan? Atau olah manusia sendiri? Adakah bijak boleh dijana? Seperti kilang pengeluaran? Maka saya pun tergerak membuat tesis untuk Phd saya, disamping kebaikan untuk umat sejagat dan dapat hidup secara harmoni.

Untuk pengetahuan anda tesis yang saya lakukan ini mengambil masa hampir lapan tahun, ini kerana untuk mengumpulkan data-data yang setepat mungkin. Antara data-data yang saya kumpulkan ialah pemakanan, adab resam, agama, persiapan awal untuk melahirkan zuriat dan sebagainya dan data-data tadi saya cuba bandingkan dengan bangsa dan kaum kaum lain. Marilah kita mulakan dengan persiapan awal melahirkan zuriat. Di Israel, setelah mengetahui yang si ibu sedang mengandung, pertama kali saya perhatikan ialah, si ibu akan sering menyanyi dan bermain piano dan si ibu dan bapa akan membeli buku matematik dan menyelesaikan masalah metamatik bersama suami, saya sungguh hairan kerana teman saya yang mengandung sering membawa buku matematik dan bertanya kepada saya beberapa soalan yang beliau tak dapat menyelesaikanya, oleh kerana saya memang minat tentang matematik, tentu saja dengan senang saya bantu beliau.

Saya bertanya kepada beliau, adakah ini untuk anak kamu? Beliau menjawab, “ya, ini untuk anak saya yang masih di dalam kandungan, saya sedang melatih otak beliau, semuga dia menjadi genius apabila dewasa kelak” Perkara ini membuat saya tertarik untuk mengikut perkembangan beliau seterusnya. Berbalik kepada matematik tadi, tanpa merasa jenuh beliau membuat latihan matematik sehingga beliau melahirkan anak. Seperkara lagi yang saya perhatikan ialah pemakanan beliau, sejak awal mengandung beliau gemar sekali memakan kacang badam dan kurma bersama susu, dan untuk tengah hari makan utama beliau ialah roti dan ikan tanpa kepala bersama salad yang digaul dengan badam dan berbagai jenis kekacang, menurut beliau daging ikan sungguh baik untuk perkembangan otak dan kepala ikan mengandungi kimia yang tidak baik yang dapat merosakkan pengembangan dan penumbuhan otak anak di dalam kandungan.

Menurut beliau ini adalah adat orang orang Yahudi ketika mengandung dan ianya menjadi semacam kewajipan untuk ibu-ibu yang sedang mengandung mengambil pil minyak ikan. Ketika saya diundang untuk makan malam bersama orang orang Yahudi, perkara pertama yang saya perhatikan ialah menu mereka. Setiap undangan yang sama perhatikan ialah mereka gemar sekali memakan ikan (hanya isi atau fillet) dan biasanya daging tidak akan ada bersama dimeja jika ada ikan, menurut mereka, campuran daging dan ikan tak elok dimakan bersama. Salad dan kacang adalah suatu kemestian, terutama badam. Seperkara yang pelik ialah mereka akan memakan buah-buahan dahulu sebelum memakan hidangan utama. Jangan terperanjat jika anda diundang kerumah Yahudi anda akan dihidangkan buah-buahan dahulu.

Menurut mereka, dengan memakan hidangan kabohidrat (nasi atau roti) dahulu kemudian buah-buahan, ini akan menyebabkan kita merasa mengantuk dan lemah dan payah untuk memahami pelajaran disekolah. Di Israel, merokok adalah taboo, apabila anda diundang makan dirumah Yahudi, jangan sekali kali merokok, dan tanpa malu mereka akan menyuruh anda keluar dari rumah mereka dan merokok di luar rumah mereka. Menurut saintis di Universiti Israel, siasatan menunjukkan nikotin dapat merosakkan sel utama pada otak manusia dan akan melekat pada gen, ini bermakna keturunan perokok bakal membawa generasi yang cacat otak (bodoh atau lembab). Suatu penemuan yang dahsyat ditemui oleh saintis yang mendalami bidang gen dan DNA. Para perokok harap ambil perhatian. (Ironinya, pemilik pengeluar rokok terbesar adalah .. tekalah sendiri..!)

Perhatian saya selanjutnya ialah melawati tadika mereka, Pemakanan anak anak tadi cukup dikawal, makanan awal ialah buah-buahan bersama kacang badam, diikuti dengan menelan pil minyak ikan (code oil lever) Didalam pengamatan saya, kanak Yahudi sungguh bijak dan rata-rata mereka memahami 3 bahasa iaitu Hebrew, Arab dan Inggeris dan sedari awal lagi mereka telah dilatih bermain piano dan violin, ini adalah suatu kewajipan. Menurut mereka bermain muzik dan memahami nota-notanya dapat meningkatkan lagi IQ kanak-kanak dan sudah tentu bakal menjadikan budak itu bijak. Ini menurut saintis Yahudi, gegaran muzik dapat stimulate (semacam senaman untuk otak) maka itu terdapat ramai sekali genius muzik terdiri daripada kaum Yahudi.

Seterusnya ke darjah 1 hingga 6, anak-anak Yahudi akan diajar metamatik berkonsepkan perniagaan dan pelajaran sains amatlah diberi keutamaan. Di dalam perhatian peribadi saya, perbandingan dengan anak-anak di California, ianya jauh berbeza tentang IQ dan boleh saya katakan 6 tahun kebelakang!! !. Segala pelajaran akan dengan mudah di tangkap oleh anak Yahudi. Selain dari pelajaran tadi sukan juga menjadi kewajipan bagi mereka dan sukan yang diberi keutamaan ialah memanah, menembak dan berlari, menurut teman saya ini, memanah dan menembak dapat melatih otak memfokus sesuatu perkara disamping mempermudahkan persiapan untuk perhidmatan negara. Selanjutnya pemerhatian saya menuju ke sekolah tinggi (menengah) disini murid-murid ditekan dengan pelajaran mata sains dan mereka digalakkan mencipta produk, segala projek mereka walaupun kadangkala kelihatannya lucu dan mengarut, tetap diteliti dengan serius apatah lagi ianya berupa senjata, perubatan dan kejuruteraan, idea itu akan dibawa ke institut tinggi di Politeknik dan Universiti.

Satu lagi yang diberi keutamaan ialah fakulti perniagaan. Saya sungguh terperanjat melihat mereka begitu agresif dan seriusnya mereka tentang perniagaan. Di akhir tahun di universiti, para penuntut di bidang niaga dikehendaki melakukan projek dan memperaktikkanya dan anda hanya akan lulus jika kumpulan anda (10 pelajar setiap kumpulan) dapat keuntungan sebanyak $US1juta! Anda terperanjat? Itulah kenyataan, dengan rangkaian seluruh dunia dan ditaja sepenuhnya oleh syarikat milik Yahudi, maka tidak hairanlah mereka dapat menguasai ? perniagaan di dunia! Siapakah yang mencipta design Levis yang terkini? Ianya dicipta di Universiti Israel oleh fakulti bisnes dan fesyen.

Pernahkah anda melihat cara orang Yahudi melakukan ibadah mereka? Salah satu caranya ialah dengan menggoyangkan kepala mereka, menurut mereka ini dapat mengaktifkan otak mereka dan menambahkan oksigen di kepala, banyak agama lain di Timur Tengah, seperti Islam juga ada menyuruh umatnya menunduk atau menggoyangkan kepala, ini guna dapat mensimulasikan otak kita supaya bertambah aktif. Lihat orang-orang Jepun, mereka sering menunduk-nundukkan kepala dan ianya sebagai adat. Ramai orang orang Jepun yang pandai? Adakah ianya sebagai kebetulan? Kegemaran mereka ialah sushi (ikan mentah). Adakah ini kebetulan? Fikirkanlah!

Berpusat di New York, Dewan perniagaan Yahudi bersedia membantu mereka yang berminat untuk melakukan bisnes (sudah tentu untuk Yahudi sahaja) jika mereka ada idea yang bernas, jawatankuasa akan memberi pinjaman tanpa faedah dan pentadbir dari jawatankuasa tadi akan bekerjasama dengan anda untuk memastikan yang perniagaan mereka menurut landasan yang betul. Maka itu lahirlah Starbuck, Dell Computer, Cocacola, DKNY, Oracle, Perfileman di Hollywood, Levis, Dunkin Donut dan ada beratus kedai ternama dibawah naungan dewan perniagaan Yahudi di New York. Graduan Yahudi dari fakulti perubatan New York akan disarankan untuk mendaftar dipersatuan ini dan digalakkan memulakan klinik mereka sendiri dengan bantuan wang tanpa faedah, barulah saya tahu mengapa hospital di New York dan California sentiasa kekurangan doktor pakar.

Kesimpulanya, pada teori saya, melahirkan anak dan keturunan yang bijak boleh dilaksanakan dan tentunya bukan semalaman, ianya memerlukan masa, beberapa generasi mungkin? Persiapan awal adalah ketika si ibu mengandung, galakkanlah si ibu melakukan latihan metamatik yang mudah tetapi konsisten disamping mendengar muzik klasik. Seterusnya ubahlah cara pemakanan, makanlah makanan yang elok dan berhasiat yang baik untuk otak, menghayati muzik sejak kecil adalah baik sekali untuk penumbuhan otak kanak-kanak, dengan bermain piano dan violin sudah tentu dapat melatih anak-anak mencerdaskan otak mereka demikian juga sukan yang memerlukan konsentrasi yang tinggi, seperti memanah, bola keranjang, dart dan menembak.

Merokok menjanjikan generasi yang moron dan sudah tentu gen bodoh akan mengikut ke generasi si perokok. Lawatan saya ke Singapura pada tahun 2005 amat memeranjatkan sekali, di sini perokok seperti dianak tirikan dan begitu susah sekali untuk perokok dan anda tahu berapa harga sekotak rokok? US$ 7 !!! Ini bersamaan perbelanjaan sehari untuk makan anda!! Saya puji sekali sikap pemerintah Singapura dan menakjubkan sekali!!! Dan seperti Israel ianya begitu taboo dan cara pentadbiran dan segi pembelajaran mereka hampir serupa dengan Israel, maka itu saya lihat banyak institusi pelajaran mereka bertaraf dunia walaupun hakikatnya negeri Singapura hanyalah sebuah pulau sebesar Manhattan!!

Anda mungkin musykil, benarkah merokok dapat melahirkan generasi kurang bijak? Saya telah menemui beberapa bukti menyokong teori ini. Lihat saja Indonesia, jika anda ke Jakarta, di mana saja anda berada, dari restoran, teater, kebun bunga hingga ke muzium hidung anda akan segera terbau asak rokok! Dan harga rokok? Cuma US$ .70cts !!! Dan hasilnya? Dengan penduduknya berjumlah jutaan orang berapa banyakkah universiti terdapat di sana? Hasil apakah yang dapat dibanggakan? Teknologi? Jauh sekali. Adakah mereka dapat berbahasa selain dari bahasa mereka sendiri? Mengapamereka begitu sukar sekali menguasai bahasa Inggeris? Di tangga berapakah kedudukan mereka dipertandingan matematik sedunia? Adakah ini bukan akibat merokok? Anda fikirlah sendiri.

Di tesis saya ini, saya tidak akan menimbulkan soal agama atau bangsa, adakah Yahudi itu zalim sehingga diusir dari semenjak zaman Firaun hingga ke Hitler, bagi saya itu isu politik dan survival, yang ingin saya ketengahkan ialah, mampukah kita dapat melahirkan generasi yang bijak seperti Yahudi? Jawapannya ialah mungkin dan tidak mustahil dan ianya memerlukan perubahan, dari segi pemakanan dan cara mendididik anak dan saya kira hanya memerlukan 3 generasi sahaja. Ini dapat saya lihat sendiri tentang cucu saya, ini setelah saya mengajar anak saya melalui program yang telah saya nyatakan diatas tadi, pada umur 9 tahun (cucu saya) dia dapat menulis karangan sepanjang 5 muka surat penuh. Karangannya hanyalah mengenai Mengapa saya gemarkan tomato! Selamat sejahtera dan semoga kita dapat melahirkan manusia yang bijak dan bersifat mulia untuk kebaikan manusia sejagat tanpa mengenal batasan bangsa.

Semoga bermanfaat.

0 Memahami asas golongan sunnah dan syiah dalam islam

Persoalan Agama: Perbezaan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah, Syiah


2010/06/20

Soalan:

SAYA kurang faham apakah sebenarnya perbezaan antara Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Syiah. SAIFUDDIN, Sri Damansara.

Jawapan:

ISTILAH Ahli Sunnah Wal Jamaah tidak asing lagi bagi masyarakat awam. Namun istilah ini di kalangan ulama, ada yang menyempitkan dan ada yang meluaskan. Pengarang al-Farqu baina al-Firaq yang beraliran Sunnah, Abdul Qahir bin Tahir al-Baghdadi, menerangkan bahawa ada lapan macam golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan ada 15 prinsip pokok yang wajib dipenuhi. Prinsip p itu pun belum tentu dipersetujui lapan golongan berkenaan. Namun demikian, mereka tidak saling mengkafirkan atau menyesatkan.

Dalam surat Syeikh al-Azhar Salim al-Bisyri kepada seorang tokoh Syiah, Syaraf ad-Din al-Musawi, difahami bahawa tokoh Sunnah itu berpendapat bahawa Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah golongan terbesar kaum Muslim yang mengikuti fahaman atau aliran Asy’ari dalam akidah salah satu daripada empat mazhab (Malik, Syafi’i, Hanafi, dan Hambali) dalam syariah.
Pengarang al-Faruq baina al-Firaq , pula menyatakan dengan pasti bahawa “Termasuk pula dalam kelompok Ahli Sunnah Wal Jamaah itu pengikut al-Auza’i, ats-Tsauri, Ibnu Abi Lailah, dan Ahl azh-Zhahir (al-Farqu, hlm 314).

Kelompok Syiah juga terbahagi, bahkan dalam puluhan kelompok. Pengarang al-Farqu baina al-Firaq membahagi kelompok Syiah menjadi empat kelompok besar yang setiap kelompok pula masing-masing terbahagi kepada sekian banyak kelompok kecil. Menurutnya, hanya dua daripada kelompok besar itu yang dapat dimasukkan ke dalam umat Islam, iaitu kelompok Imamiyah dan kelompok Zaidiyah.

Walaupun mereka ini berbeza-beza, ada prinsip dasar yang mesti diyakini semua kelompok Syiah sebagai mana yang ditulis oleh Muhammad Jawad Mughniyah (salah seorang ulama Syiah) iaitu keyakinan bahawa Nabi Muhammad SAW menetapkan dengan pernyataan yang tegas mengenai khalifah sesudahnya, iaitu Imam Ali.

Benih kelahiran kelompok Syiah adalah persoalan khilafah. Maka benarlah sebagai mana yang dijelaskan oleh Syeikh Abdul Halim Mahmud dalam bukunya at-Takfir al-Falsafi fi al-Islam, yang menyatakan bahawa pada hakikatnya, Syiah adalah aliran politik. Ini berbeza dengan Ahl-Sunnah wal Jamaah yang kelahirannya dimulai dengan persoalan akidah.

Sebenarnya kelompok Syiah sebagai mana dikemukakan diatas cukup banyak, namun sebahagian kelompok berkenaan sudah punah. Yang bertahan hingga kini dalam jumlah besar adalah Syiah Imamiyah Itsna ‘Asyariyah iaitu penganutnya sekitar 90 peratus rakyat Iran, 50 peratus rakyat Iraq, sebahagian penduduk Afghanistan, Syria, Pakistan dan beberapa juga negara lain. Kelompok Syi’ah Zaidiyah yang secara umumnya bertempat di Yaman.

Antara perbezaan atau perkara yang tidak dapat diterima oleh Ahl-Sunnah wal Jama’ah iaitu:


Nabi SAW belum menyampaikan seluruh ajaran, ada yang disembunyikan untuk kalangan imam, padahal secara tegas al-Quran dalam surah Ma’idah ayat 67 menyatakan: “Sampaikanlah apa yang diturunkan oleh Tuhanmu kepadamu, kalau tidak maka engkau belum menyampaikan risalah-Nya.”


Kalangan imam mempunyai hak untuk mengecualikan apa yang sudah disampaikan oleh Nabi SAW.


Kalangan imam juga mempunyai kedudukan yang sama dengan Nabi SAW dari segi maksum (terpelihara mereka daripada berbuat salah atau dosa).

Menurut pandangan Syiah Imamiyah, mereka meyakini bahawa Ali bin Abi Talib adalah imam dan khalifah yang ditunjuk oleh Nabi. Namun, apa yang berlaku kalangan sahabat Nabi baiat Abu Bakar kemudian Umar dan Usman, dan diikuti Ali bin Abi Talib.

Sikap tiga khalifah menerima pelantikan berkenaan dan sikap majoriti sahabat merestui mereka sebagai khalifah, dinilai oleh kelompok Syiah sebagai sesuatu yang menyalahi petunjuk Nabi SAW. Dari sinilah lahirnya sikap mereka yang antisahabat sehingga membenci dan mengutuk sahabat-sahabat Nabi SAW.

0 Isteri berleter berkenaan rutin harian sedangkan suami tidak mengakuinya malah anggap mereka betul

Isteri berleter 6 hari setahun


2010/06/20

LONDON: Satu kajian terbaru mendapati isteri tidak merasa bersalah berleter terhadap suami mereka manakala si suami secara rahsia merasakan bahawa mereka sentiasa betul.

Golongan isteri juga dianggarkan menghabiskan kira-kira 7,920 minit setahun untuk berleter kepada suaminya mengenai rutin rumah tangga, tabiat minum dan kesihatan mereka. Ia bersamaan dengan dua jam setengah setiap minggu atau keseluruhan 11 jam sebulan atau hampir enam hari setahun. Satu kajian membabitkan lebih 3,000 orang dijalankan kumpulan kempen kesihatan Everyman merumuskan, perkara biasa yang dileteri wanita mengenai pasangan mereka adalah tidak membantu mengemas rumah. Aduan lain termasuk tidak membantu membersihkan pinggan mangkuk, terlalu banyak minum dan tidak mendapatkan rawatan doktor.

Majoriti wanita tidak berasa malu suka berleter dengan 87 peratus mengakui sukar untuk memastikan pasangan melakukan sesuatu.

Manakala lelaki berkata, mereka tidak mengakui perkara itu dengan 83 peratus merasakan mereka sentiasa betul.

Walaupun berleter adalah satu perkara yang tidak disukai dalam satu perhubungan, strategi berkenaan kadang kala dilihat lebih efektif berdasarkan kepada kajian. – Agensi

0 Kes Ariel Peterpan. Kes hilang laptop 1 hal, kes rakam sampai 32 pasangan 1 hal

Vokalis Peterpan rakam seks bersama 32 artis


2010/06/20



Polis sahkan penyanyi, aktres Indonesia dalam klip asmara

JAKARTA: Kes bekas penyanyi kumpulan Peterpan, Ariel bersama aktres Luna Maya dan Cut Tari bertambah mengejutkan dengan pendedahan sekurang-kurangnya 32 lagi artis didakwa terbabit manakala polis mengesahkan vokalis dan dua pelakon berkenaan adalah pelaku seks membabitkan klip video lucah yang tersebar luas di Indonesia. Ariel kini berhadapan dengan tuduhan merakamkan perbuatan seks bersama dua aktres berkenaan. Sebahagian besar wanita yang ditiduri Ariel itu adalah artis dan selebriti Indonesia, lapor laman web inilah.com yang memetik sumber. “Ada 32 wanita terbabit merakamkan hubungan mereka dengan Ariel dan mirip selebriti terkenal termasuk Ratu Felisha, Aura Kasih, Andhara Early dan vokalis band SHE, Melly Herlina," kata sumber terbabit.

Maklumat kebanyakan media Indonesia juga menyebut, sebanyak 32 fail membabitkan 23 rakaman video lucah dan sembilan gambar foto Ariel didapati bersama dengan sekumpulan wanita.

Daripada 32 rakaman video terbabit serta lima gambar foto menunjukkan gambar Ariel bersama pasangan yang belum diketahui identiti mereka dan selebihnya adalah adegan Ariel dengan beberapa wanita mirip artis Indonesia dengan pangkal nama bermula dengan huruf RF, AK, AE, MH, KD dan BC.

Pihak polis ketika diminta mengesahkan sama ada sedang menyiasat perkara itu berkata: “Kata siapa? Kami masih menyelidik yang sedang beredar sekarang. Dari situ kita akan selidik dulu,” kata Pengarah Mabes Polri di Jakarta, Brigadier Jeneral Saud Usman Nasution.
Katanya, polis masih meneliti kes terbabit. Hingga kini polis sedang cuba mencari bukti. “Siapa yang menyebarkan itu perkara pertama yang akan kita bertindak terlebih dulu,” katanya.

Polis meminta mereka yang memiliki video atau gambar porno segera menyerahkan kepada pihak berkuasa.

Khabar angin tersebar di internet mengatakan Ariel suka mengabadikan adegan seksnya dan menyimpan dalam komputernya. Malang sekali komputer terbabit hilang dan disebarkan mereka tidak bertanggungjawab.

Malah khabar angin turut tersebar kononnya ada 23 rakaman video seks Ariel bersama beberapa selebriti wanita Indonesia akan disebarkan satu persatu.

Mengulas pengesahan Ariel, Luna Maya dan Cut Tari dalam klip video diedarkan, Ketua Cawangan Hubungan Masyarakat Ibu Pejabat Polis Republik Indonesia, Jeneral Edward Aritonang berkata, polis membuat kesimpulan selepas selesai menyiasat ke atas ketiga-tiganya. – Agensi


Artikel berkaitan:

Jurutera bunyi didakwa curi video seks Ariel


Ariel Peterpan

--------------------------------------------------------------------------------



JAKARTA - Polis akan menangkap jurutera bunyi kumpulan Peterpan, RJ yang didakwa mencuri dan menyebarkan rakaman video seks penyanyi terkenal Indonesia, Ariel Peterpan, lapor sebuah akhbar semalam.

RJ ketika ini sedang disiasat oleh pihak polis wilayah Bandung membabitkan penyebaran rakaman video seks Nazriel Irham atau Ariel Peterpan bersama wanita seriras wajah pengacara Luna Maya dan Cut Tari baru-baru ini.

Ketua Divisyen Bahagian Perhubungan Awam Ibu Pejabat Polis Indonesia, Edward Aritonang berkata, RJ dipanggil pihak polis di sini untuk menjalani siasatan lanjut.

Menurutnya, pihak polis telah membawa RJ berjumpa penyiasat polis di Bandung semalam.

Bagaimanapun, suspek tidak akan ditahan sehingga siasatan selesai dilakukan. - Agensi

0 Setuju PMR dimansuhkan dan UPSR diubahsuai supaya relevan. Berorientasi peperiksaan banyak menghalang kreativiti dan inovatif pelajar

Ramai setuju UPSR, PMR dimansuhkan


2010/06/20
KUALA LUMPUR: Beberapa pihak berkaitan hari ini bersetuju dengan cadangan Kementerian Pelajaran untuk memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi mengelakkan sistem pendidikan negara daripada terus berorientasikan peperiksaan.

Masing-masing juga berpendapat pemansuhan kedua-dua peperiksaan itu akan membolehkan pelajar menumpukan kepada peperiksaan yang lebih penting dalam menentukan hala tuju mereka. Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim, berkata langkah itu akan dapat memantapkan sistem pendidikan dan seterusnya melahirkan pelajar yang lebih fokus dan tenang. "Sistem kita hari ini terlalu berorientasikan peperiksaan dan ini memberi tekanan kepada pelajar dan mereka belajar secara membuta tuli semata-mata untuk lulus peperiksaan tanpa memikirkan sama ada ilmu yang diperolehi boleh digunakan pada masa-masa akan datang," katanya.

Pemansuhan itu juga, katanya, akan memberi lebih banyak masa kepada guru untuk mengajar secara lebih berkesan dan tidak terikat dengan jadual peperiksaan.

Bagaimanapun, katanya, pada masa sama kementerian wajar mencari kaedah lain yang lebih sesuai untuk mengukur pencapaian pelajar.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini berkata kementerian itu mungkin memansuhkan dua peperiksaan berkenaan.
Katanya, ini kerana aspek pembelajaran ketika ini dilihat lebih berorientasikan kepada peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak dapat dilakukan sepenuhnya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, berkata pemansuhan PMR wajar dilaksana kerana peranan peperiksaan tingkatan tiga itu hanya untuk menentukan aliran yang akan diikuti mereka ketika tingkatan empat.

"Akan tetapi UPSR wajar dikekalkan kerana masih relevan sebagai penarafan pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh dan lebih bersedia sebelum memasuki sekolah menengah," katanya.

Pegawai Perhubungan Pesatuan Bekas Perkhidmatan Pendidikan Malaysia, Abdul Karim Abdullah, pula berkata pemansuhan kedua-dua peperiksaan itu akan membolehkan pelajar dan guru menumpukan perhatian kepada kegiatan kokurikulum dan sukan.

"Sebelum ini mereka anggap kegiatan sukan dan kokurikulum mengganggu masa pembelajaran kerana pelajar harus bersedia hadapi peperiksaan, tetapi apabila peperiksaan dimansuhkan kelak pelajar akan ada lebih masa untuk fokus kepada kegiatan kokurikulum dan sukan," katanya. - BERNAMA

Sunday, June 20, 2010

0 Program cari jodoh, idea bisnes program realiti tv yang best

100 wanita mohon jadi pemburu cinta


SEORANG calon menunggu giliran sebelum dipanggil untuk temu duga di Beijing kelmarin.


BEIJING – Sejumlah 100 wanita muda China bersaing daripada lebih 2,000 pemohon untuk mendapatkan kerja sebagai pencari jodoh dalam sesi temu duga di sini kelmarin yang menawarkan gaji tahunan 250,000 yuan (RM119,150).

Pekerjaan itu diberi nama sebagai pemburu cinta diuruskan firma terkenal Golden Bachelor Matchmakers berpusat di Shanghai yang mengkehendaki mereka untuk memadankan wanita bujang bertemu dengan lelaki yang sesuai.

Pengerusi firma itu, Xu Tianli berkata, calon mestilah memiliki ketinggian kurang 173 sentimeter dan berusia bawah 28 tahun manakala pemohon yang berjaya akan mendapat sebuah kereta Mini Cooper yang juga berharga 250,000 yuan.

Syarikat itu yang ditubuhkan pada 2005 kini mempunyai jutaan data individu bujang dari seluruh China dan pemburu yang berjaya mencari pasangan sehingga berkahwin akan menerima bonus sejuta yuan (RM476,600). – Agensi

Saturday, June 19, 2010

0 Ahmad Idham pertaruhkan filem seram untuk menembusi pasaran dunia. Bagaimana buat filem 1Malaysia?

18 Mei 2010
AHMAD IDHAM TERUS MELAKAR SEJARAH


‘Untung sabut timbul, untung batu tenggelam’. Percaturan Ahmad Idham (IDHAM) dalam industri perfileman ini telah membawa penubuhan Excellent Picture Sdn. Bhd. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, UiTM Shah Alam ini, beliau mula mengorak langkah sebagai pelakon pembantu namun kini beliau boleh berbangga dengan kecemerlangan yang dicapai pada hari ini. Anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini terus melakar kejayaan sebagai pengarah dalam menyemarakkan industri perfileman negara. SINEMA MALAYSIA (SM) berpeluang berkongsi pengalaman dengannya dalam menempatkan diri sebagai seorang pengarah filem yang berjaya.

SM Nama Ahmad Idham mula dikenali sebagai pelakon pembantu melalui filem Kuala Lumpur Universiti pada tahun 1995. Bagaimana En. Ahmad Idham boleh mula terlibat dalam industri filem ini.

IDHAM : Saya mula terlibat dalam industri ini hanya secara kebetulan. Ketika itu saya sedang belajar di UiTM dalam bidang akaun. Kebetulan saya mengenali Riezman Khuzaimi dan Azhar Sulaiman dan selalu mengikuti dan melihat mereka shooting filem. Kemudian saya dipelawa sebagai pelakon extra dan mendapat bayaran RM50.00 sehari. Ketika itu,masih student dan bayaran ini sudah dikira ok. Sementara menunggu peluang kerja, tawaran berlakon tiba-tiba muncul dan ini adalah satu peluang yang baik. Apabila telah berlakon dan mendapat banyak tawaran menyebabkan saya rasa seronok dan ingin lari dari dunia akaun yang dipelajari selama 6 tahun di UiTM. Ketika itu saya mula kenal dengan Md Noor Kadir yang berkelulusan Engineer Electrical yang telah berjaya sebagai produser dan mempunyai syarikat sendiri atas nama Kuasatek Pictures. Semua ini membuatkan saya menyedari yang industri perfileman ini tidak hanya untuk mereka yang belajar filem. Saya melihat peluang pernigaan dan potensi dalam industri ini. Ketika masih tiada nama, saya mendapat peluang sebagai pelakon dalam telemovie ‘Cinta Antara Benua’. Drama tersebut menjadi hit dan secara tidak langsung nama saya mulai dikenali ramai. Selepas itu saya mendapat peluang berlakon drama ‘Cinderella’ dan drama tersebut telah menaikkan nama saya dan mendapat perhatian industri. Md Noor Kadir merupakan orang yang telah membawa saya kepada industri ini dan dia telah memberi peluang untuk saya bekerja di belakang kamera. Dari situ saya mula menimba pengalaman dari Md Noor Kadir melalui Kuasatek Pictures yang terus memberi peluang kepada saya untuk mengarah drama. Selepas itu saya mula menang beberapa anugerah dan di sini saya merasa yakin untuk terlibat secara serius dalam industri ini. Saya bersama Kuasatek Pictures sehingga tahun 1999 dan tahun 2000 saya telah membuka syarikat sendiri atas nama Exellent Pictures Sdn. Bhd.Tahun 2004 baru syarikat saya mendapat projek drama dan alhamdullillah selepas itu saya terus mendapat peluang membuat drama dan mengarah filem sehinggalah ke hari ini.

SM Kemunculan Excellent Pictures Sdn. Bhd. telah menyemarakkan lagi industri perfileman negara. Bagaimana En. Ahmad Idham melihat perkara ini. Adakah Excellent Pictures mampu bersaing dengan syarikat yang ada?



IDHAM : Bagi saya Excellent Pictures itu adalah wajah saya. Excellent Pictures adalah syarikat dan saya adalah individu dalam company tersebut. Jika saya mampu menonjol dalam industri bermakna Excellent Pictures tetap berpeluang untuk bersaing walaupun hari ini nampak seperti kolaborasi saya banyak dengan Metrowealth tapi semuanya smart partnership. Saya bukannya datang dari keluarga kaya yang boleh mendapat modal serta merta jadi saya memerlukan investor. Jika saya mempunyai modal yang besar anytime boleh buat filem. Tapi kita akur, modal kita tidak besar tapi tetap ada progress. Saya mula dengan drama dan saya percaya jika terlalu cepat naik sesebuah syarikat itu akan cepat jatuh. Jika syarikat saya mempunyai modal yang besar, pasti Excellent Pictures mampu bersaing. Walaupun begitu Excellent Pictures tetap progress secara perlahan. Peningkatan nama syarikat saya tidaklah seagresif peningkatan nama dan kerjaya saya sebagai pengarah. Tahun ini diharap saya dapat mencari modal yang besar untuk disuntik ke dalam Excellent Pictures dan ini adalah cabaran kedua saya sebagai penerbit filem. Sehingga hari ini saya telah mengarah 17 filem dan esok filem ke-18. Saya telah mengarah 1 filem untuk Kuasatek Pictures, 3 untuk Excellent Pictures dan 14 untuk Metrowealth.

SM : Ketokohan En. Ahmad Idham dalam mengarah pelbagai genre filem seperti seram, komedi, kekeluargaan, muzikal dan aksi telah membuktikan kemampuan En. Ahmad Idham. Genre filem yang bagaimanakah dapat memberi kesan yang hebat kepada En.Ahmad Idham sebagai pengarah filem.

IDHAM : Hari ini saya melihat filem seram mempunyai potensi dalam industri filem negara. Filem seram berjaya membuat kutipan paling box-office di Malaysia. Genre ini juga telah berjaya membawa nama saya ke luar Malaysia seperti Singapura, Brunei dan Filipina. Jika sebelum ini orang kata, filem kita berjaya ditayang di Singapura, tetapi filem saya berjaya ditayang sehingga 12 print di sana. Filem terbaru Excellent Pictures, Niyang Rapik juga telah mendapat tempahan di sana dan ini adalah sesuatu yang membanggakan. Kebiasaannya filem lain hanya 1 atau 2 print sahaja. Kini kita cuba untuk ke negara lain pula.

Apa yang saya nampak sekarang ini genre seram berbeza dengan filem aksi. Filem aksi kita masih tidak dapat menandingi filem aksi luar kerana kita kekurangan modal yang besar. Filem aksi terlibat secara langsung dengan kos, lagi tinggi kos, lagi bagus aksi dapat dibuat. Jadi filem aksi kita hanya untuk pasaran Malaysia sahaja. Untuk bersaing dengan negara luar, kita tiada kapisiti sebab kos. Berbeza dengan filem seram, kita ada khazanah kita. Filem seram Malaysia tidak akan sama dengan filem seram Korea, Thailand dan Jepun. Negara kita ada originality seperti cara ustaz kita dalam menghadapi makhluk halus dan juga cerita seperti ini tidak terdapat dalam filem Hollywood dan negara lain. Ini menyebabkan orang luar berminat untuk menonton filem yang berbeza dengan negara mereka.

Filem seram saya juga sudah ditayangkan di London, Australia dan lain-lain untuk warga Malaysia di sana. Sambutannya sangat menggalakkan dan pawagam sentiasa penuh. Ketika Malaysian Film Week di Singapura berlaku kekecohan apabila penontonnya bergaduh kerana tidak mendapat tempat di pawagam. Ini sesuatu yang membanggakan namun begitu filem seram saya sahaja yang mendapat sambutan tetapi filem lain tidak begitu berjaya.

SM : Bagaimanakah En. Ahmad Idham melihat potensi filem kita untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

IDHAM : Secara umumnya memang susah untuk kita bersaing di peringkat antarabangsa kerana kita banyak limitation. Kita kena cari kelebihan filem kita, kita tidak boleh pasarkan filem secara general macam tu sahaja. Kita perlu khususkan dulu genrenya dan paling penting pilih untuk pasaran mana dahulu. Kita ada banyak pasaran, negara dunia pertama hingga dunia ketiga. Setiap negara itu berbeza dari segi tahap ekonomi, sosial dan politiknya. Filem untuk pasaran Amerika dan Afghanistan berbeza. Peluang untuk memasarkan di luar negara memang ada tapi kita perlu tentukan pasaran yang mana dan kita perlu ada target. Bagi saya filem seram menjadi pilihan kerana filem seram ada bahasa yang sama di seluruh dunia. Tanpa dialog, penonton seluruh dunia faham ekspresi dan jalan cerita filem seram tersebut. Oleh sebab itu juga beberapa buah filem seram berjaya menembusi pasaran antarabangsa seperti Nang Nak dari Thailand, Ju-On dari Korea dan mampu menandingi Hollywood.



Jika mahu membawa filem kita ke luar saya berani mempertaruhkan filem seram. Pelaburan yang besar untuk filem seram mampu membawa Malaysia ke persada dunia dan saya dah melaluinya dengan filem seram saya telah berjaya ke luar negara dalam open market. Itu penentu hala tuju industri filem kita di luar negara. Saya dah berjaya di Brunei, Singapura dan Filipina dan sekarang ini saya tengah cuba untuk menembusi pasaran Indonesia dan Thailand. Walaupun susah saya percaya genre seram tetap boleh menembusi pasaran antarabangsa.

SM : En. Ahmad Idham terus diberi kepercayaan oleh Metrowealth Movie Production dalam mengarah pelbagai genre filem kebelakangan ini. Apakah pandangan En. Ahmad Idham tentang perkara ini.

IDHAM : Saya selalu melihat ini sebagai satu business, satu perkara yang selalu ada dalam diri saya, hormat duit orang. Bila kita diberi peluang dan kepercayaan, orang berani invest atas kemampuan kerja kita sampai berjuta-juta ringgit, bermakna kita perlu memberi yang terbaik. Untung banyak atau sikit itu hak produser dan jika produser tiada duit, kitapun tidak boleh direct. Pengarah memang perlu kayakan produser supaya kita boleh mendapat peluang kedua dan seterusnya. Selagi Metrowealth perlukan khidmat saya sebagai pengarah, saya akan terus memberikan perkhidmatan yang terbaik. Bila saya bersungguh menghasilkan produk, Metrowealth membuat pasaran dan promosi filem dengan bersungguh-sungguh dan ini membuatkan saya yakin dengan Metrowealth. Apa yang penting kerjasama antara kami. Jika David Teo berjaya sebagai produser, Ahmad Idham berjaya berjaya sebagai pengarah. Nama saya naik sebagai pengarah, Excellent Picture juga akan dikenali dan dari situ syarikat saya akan bergerak atas kredibiliti nama kita. Bila kita telah ada nama ia akan menjadi penentu kita mendapat peluang job dari stesyen TV.

SM : Apakah pandangan En. Ahmad Idham tentang konsep 1Malaysia yang telah dilancarkan baru-baru ini. Adakah melalui filem konsep tersebut dapat diterapkan dalam memaparkan perpaduan masyarakat Malaysia.

IDHAM : Saya telah diberi satu amanah untuk membuat dokumentari 1Malaysia. Kita jangan sempitkan pemikiran tentang pengertian tentang 1Malaysia. Apabila sebut 1Malaysia kita terus nampak perkauman sahaja. Terlalu cetek dan pendek tahap pemikiran pembikin filem kalau mentafsir 1Malaysia sekadar tentang Melayu, Cina dan India. Sekadar memenuhi kuota untuk filem mengangkat filem mereka filem 1Malaysia. Bagi saya itu pandangan yang terlalu sempit. 1Malaysia bagi saya adalah sebuah filem yang mempunyai roh dan spirit Malaysia yang membuatkan penonton proud to be Malaysian dan Malaysia tetap nombor satu.



Sebuah filem 1Malaysia sepatutnya memberi impak kepada penonton bahawa saya bangga menjadi warga Malaysia. Bagaimana pelaksanaan itu yang perlu dikupas. Sekarang ini saya sedang membuat dokumentari yang menggambarkan how lucky i am that i was born in Malaysia. Syukur. Ke mana saya pergi saya akan kata Malaysia the best. Kita lihat kejayaan angkasawan kita. Kita tidak kata angkasawan pertama adalah orang Melayu tetapi kita akan sebut orang Malaysia. Nicol David diiktiraf sebagai pemain tenis nombor satu dunia, kita tidak sebut orang Serani tetapi kita akan sebut orang Malaysia. Di mana kita ingin membawa wajah Malaysia kerana ketika zaman P.Ramlee lagi konsep 1Malaysia telah diguna pakai untuk filem-filem terbitannya. Dengan mengaku kita hidup dalam perpaduan kaum yang berpaksikan lima rukun negara kita perlu menghormati antara kaum yang ada. Dalam konteks filem kita kena cari pendekatan yang sesuai. Bukan sekadar mencampak watak Melayu, Cina dan India dalam satu filem. Bagaimana dengan kaum Kadazan, Bajau dan lain-lain etnik yang terdapat di Sabah. Bukankah mereka juga orang Malaysia?

SM : Tahniah kepada En. Ahmad Idham yang dilantik sebagai Ahli Perbadanan FINAS. Sebagai Ahli Perbadanan FINAS yang baru bagimanakah En. Ahmad Idham melihat senario industri perfileman negara ketika ini.

IDHAM : Terima kasih, pada mulanya saya juga terkejut apabila dilantik menjadi ahli Perbadanan FINAS. Sebelum ini saya hanya melihat sebagai practitioner yang melihat FINAS dari luar dan jauh. Apabila menjadi ahli Perbadanan FINAS saya melihat banyak orang luar tidak tahu tentang FINAS dan FINAS tidak nampak apa yang orang industri perlukan. Saya menjadi jambatan untuk merapatkan jurang antara FINAS dan penggiat filem dari peringkat akar umbi. Saya sebagai ahli Perbadanan lebih khusus kepada technicality untuk unit produksi dalam Skim Pinjaman Filem Cereka (SPFC). Saya menjadi pemaklum kepada gambaran sebenar senario industri hari ini yang patut FINAS tahu dan apa pula yang FINAS lakukan yang patut orang industri tahu dan sokong. FINAS dan orang industri perlu dirapatkan bagi menjelaskan sesuatu dasar yang ditetapkan dan cara perlaksanaannya.

0 Bukan tidak buat filem 1malaysia tetapi selalunya idea itu tidak mendapat sambutan dan penerbit tidak berani ambil risiko. Skrip kena baik dulu

18 Mei 2010
MEMAHAMI PERFILEMAN BERKONSEP 1MALAYSIA
GAGASAN 1Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak adalah kesinambungan usaha kerajaan untuk membentuk semangat keharmonian dan nasionalisme pelbagai kaum di kalangan rakyat di negara ini. Dalam erti kata lain, semangat itu harus bertunjangkan semangat kekitaan bersama di bumi watan ini untuk saling toleransi dan hormat-menghormati sesama warga negara mengikut hak dan kebersamaan rakyat seperti yang sudah termaktub dalam Perlembagaan serta berganding bahu membangunkan negara tercinta ini biarpun kita berbeza kaum, latar belakang, ideologi politik dan status hidup.

Gagasan ini bukan satu pernyataan politik tetapi atas semangat kenegaraan untuk membawa Malaysia ke mercu lebih berjaya untuk membina kecemerlangan dalam segala aspek membina jati diri dan identiti atas perpaduan kaum meskipun secara realitinya di Malaysia ada pelbagai kaum, sub-etnik dan bahasa serta budaya kehidupan yang berbeza. Gagasan 1Malaysia bukan retorik politik untuk mengadu domba atau satu pernyataan untuk mengajak menyokong kerajaan sebaliknya tiupan angin baru supaya keamanan dan kesejahteraan yang dinikmati selama ini di negara tercinta akan berterusan buat selama-lamanya.

Justeru, kefahaman dan penghayatan terhadap gagasan 1Malaysia dengan slogan – ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ harus bertolak kepada pemikiran, kesedaran dan kebangkitan . Kita harus ingat pada pepatah, kalau menang jadi abu, kalah jadi arang – maka perjuangan berlandaskan kaum untuk memenangi kaum tertentu tidak akan mencapai jalan penyelesaian sebaliknya pemupukan rasa hormat-menghormati itu berasaskan sejarah, kontrak sosial dan kepercayaan yang disemai sejak zaman nenek moyang kita di negara ini harus dipertahankan. Sebab itu ada perkara yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia harus menjadi inti pati kepada gagasan 1Malaysia kerana masing-masing terjamin haknya di negara ini dan ia sudah terbukti hingga menjadikan Malaysia dikagumi kerana rakyatnya yang berbeza kaum mampu hidup penuh sentosa.



Sebab itu 1Malaysia dicetuskan dengan perkataan baru supaya semua warga sedar bahawa perpecahan kaum dan perjuangan yang berteraskan chauvinistik tidak akan membentuk masa depan lebih baik, malah mungkin bertukar menjadi padah jika ada pihak mencabar pihak yang lain. Perpaduan kaum dan semangat muhibbah yang dibina dan disemai sejak negara ini merdeka pada 31 Ogos 1957 harus ditatang bagai minyak yang penuh. Tragedi berdarah yang berpunca daripada semangat perkauman melampau sebagaimana detik 13 Mei 1969 seharusnya menjadi iktibar paling berharga jika kita mahu melihat negara ini sentiasa aman damai dan sentosa. Elemen sensitiviti kaum dan agama, perjudis terhadap hak Bumiputera, mempersoalkan hak bukan Bumiputera serta apa saja yang menjadikan ketegangan antara kaum dan agama boleh membinasakan keharmonian dan keselamatan negara.

Dalam apa saja kegiatan, acara dan pelaksanaan sama ada dasar dan tindakan, kerajaan dan rakyat sedar, ia harus bertindak atas semangat gagasan 1Malaysia. Gagasan ini bukan sekadar untuk memenuhi semangat perpaduan kaum tetapi untuk berkongsi rasa kekitaan dan hak menghormati bersama antara kaum. Melayu mengormati apa yang kaum Cina lakukan, India menghormati apa yang dianjurkan dibuat kaum Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak tetap berbangga kerana dihormati oleh kaum lain. Semuanya kerana atas kesedaran untuk saling menghormati selagi terjerumus kepada sensitivity perkauman. Contoh ketara ialah sambutan perayaan mengikut agama apabila masing-masing kaum akan tumpang merayakan sambutan Hari Raya Aidilfitri, Aidiladha, Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas, Hari Wesak, Hari Gawai, Good Friday, Thaipusam dan sebagainya.

Begitu juga dalam bidang kesenian dan kebudayaan, masing-masing kaum boleh meneruskan hak mereka dalam bentuk upacara atau produk tradisional mahupun apa saja berkaitan identiti, jati diri, bahasa, budaya, adat mahupun corak pemikiran kaum mereka. Tarian, lagu, muzik, seni pementasan atau apa saja bentuk produk seni budaya termasuk kerja seni filem masih tetap dibolehkan untuk memenuhi kehendak sesuatu kaum itu.

Namun, ada andaian menganggap apabila gagasan 1Malaysia diperkenalkan, perlulah filem dari negara ini harus menterjemahkan konsep 1Malaysia dengan memasukkan watak-wataknya dari tiga kaum utama di negara ini iaitu Melayu, Cina dan India. Memang ia bukan kesalahan dan lebih bagus jika naratif sesebuah filem mampu menggabungkan elemen ini tetapi pada masa sama kita juga harus ingat tidak boleh mengabaikan kaum lain yang juga menjadi penduduk di negara ini terutama kaum peribumi Sabah dan Sarawak ia dikategorikan sebagai Bumiputera. Penduduk Sabah dan Sarawak juga ada hak untuk dimasukkan dalam seni filem jika memberi alasan sebegini tetapi kita harus berbalik kepad keperluan sesebuah filem itu dihasilkan mengikut cerita dan motifnya.

Gagasan 1Malaysia tidak harus disempitkan dengan pemahaman filem Malaysia selepas ini harus berpaksikan wujudnya tiga kaum utama di Malaysia dalam cerita filem yang mahu dihasilkan. Andaian ini terpesong daripada gagasan ini kerana ia seolah-olah menafikan hak kaum lain dan lebih malang, kerja seni filem itu disempitkan dengan teori perpaduan kaum yang mengelirukan.



Filem dalam konteks filem cereka atau drama TV dihasilkan kerana ada tujuan dan nilai moralnya. Filem selalunya bercakap atas nama bangsa dan bangsa yang wujud di negara Malaysia ialah bangsa Malaysia. Ini adalah istilah dari sudut kenegaraan. Dalam sisi lain, filem juga bercakap atas nama bangsa mengikut kaum mengikut kefahaman keturunan etnik yang wujud di negara ini – tidak kira asalnya sebagai peribumi atau pendatang - kerana ia adalah inti pati kesusasteraan, cerminan sosial, rakaman budaya dan ekspresi pemikiran serta luahan emosi terhadap sesuatu bangsa. Bangsa mengikut keturunan seperti Melayu berhak menghasilkan filem Melayu, keturunan Cina berhak menerbitkan filem Cina, keturunan India juga berhak menghasilkan filem Tamil. Begitu juga jika ada kaum Sikh atau keturunan Kadazandusun mahupun apa saja ethik di Sabah dan Sarawak mahu menghasilkan filem berteraskan keturunan mereka, ia masih dibolehkan kerana filem itu bebas bercakap sebagai suara anak bangsanya.

Jika disempitkan pemahaman filem harus ada tiga watak - Melayu, Cina dan India sebagai kaum dalam filem, ia bukan saja tidak diterima sebagai satu kerja seni yang bebas untuk setiap bangsa itu mengutarakan topik mengenai tokoh, budaya, latar kehidupan dan proses sosialisasi sesuatu kaum itu malah zalim untuk menafikan kerja filem itu sebagai sebuah kerja seni yang bertindak sebagai perakam budaya sesuatu bangsa mengikut etnik, bahasa dan keturunan.

Bagi industri perfileman atau penyiaran, hak kaum utama seperti Melayu, Cina dan India tetapi diberi peluang untuk menghasilkan kerja filem dalam lingkungan budaya, bahasa dan corak pemikiran mereka. Namun, realitinya dari dulu hingga kini filem yang dihasilkan dalam bahasa Melayu, yang kebanyakannya dilakonkan dan berkisar masyarakat Melayu sering mendapat perhatian dari segi pasaran. Bukan tidak ada filem tempatan dalam bahasa Tamil atau Mandarin. Bukan tidak ada filem mengenai masyarakat Cina dan India atau kaum lain tetapi selalunya filem daripada etnik ini sering gagal mendapat sambutan di pasaran dan ramai pihak tidak berani membuat pelaburan untuk tujuan berkenaan.

Faktor utamanya ialah kerana konflik kepercayaan itu sendiri. Dari segi tinjauan, memang kita dengan jelas melihat sokongan kaum lain terutama bukan Melayu lebih terdorong kepada filem import. Bukan saja filem Hollywood tetapi senario ini ketara seperti masyarakat Cina di Malaysia masih berkiblatkan filem dari Hong Kong, China mahupun Taiwan, manakala penduduk India di negara ini masih mengagungkan filem Tamil dan seumpamanya dari India. Hakikat ini bukan berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini malah inilah tradisi dan budaya kepenontonan filem di pawagam yang berlaku sejak sebelum negara ini merdeka.

Bukan tidak ada cubaan beberapa produser mahupun pengarah memasukkan elemen rakyat pelbagai kaum di negara ini dalam filem tetapi selalunya tujuan ini sering gagal dari segi pasaran dan penerimaan masyarakat keseluruhannya. Sejak zaman P Ramlee lagi sudah ada kesedaran pada Seniman Agung itu untuk menghasilkan filem berteraskan semangat perpaduan kaum dalam filem dengan memuatkan elemen watak utamanya berbangsa Melayu, Cina dan India seperti filem Gerimis (1968 – Studio Merdeka) dan Sesudah Subuh (1966 – Studio Merdeka).

Sepanjang alaf baru sejak tahun 2000, memang ada usaha daripada pengarah bukan Melayu menghasilkan filem cereka yang menggunakan bahasa Mandarin dan Tamil tetapi malangnya filem mereka diabaikan oleh kaum Cina dan India di negara ini. Meskipun filem terbabit sering dicanangkan menang di festival filem antarabangsa, ia tidak mampu untuk menjerat masyarakat bukan Melayu untuk menyokong kehadiran filem tempatan yang bukan berbahasa Melayu.

Usaha seperti Yasmin Ahmad memuatkan filem dengan alasan filem untuk semua kaum seperti Sepet, Gubra dan Talentime mahupun Mualaf, hakikatnya ia sekadar retorik kerana apa yang dihasilkan itu bukan contoh terbaik imej 1Malaysia atau memenuhi konsep filem perpaduan kaum – malah tidak mendapat sambutan baik di pawagam - kerana cerita yang dipaparkan menerusi karya Yasmin seolah-olah satu artificial, dibuat-buat dan klise. Skop cerita disempitkan dengan gambaran jika hendak melihat perpaduan kaum dan agama, ia harus ada watak Melayu bercinta dengan watak Cina atau India. Pemikiran ini sempit dan terkongkong dengan kefahaman jika menghasilkan filem yang ada elemen kaum, ia harus bertunjangkan aspek cinta antara dua insan yang berbeza kaum dan agama. Ini sama juga seperti mana sentuhan P Ramlee menerusi Sesudah Subuh dan Gerimis – hampir 40 tahun yang lalu!

Kita harus faham, bahawa gagasan 1Malaysia itu masih membenarkan apa saja filem dibuat atas nama bangsa mengikut keturunan masing-masing. Ia boleh dihasilkan dengan baik untuk memenuhi kehendak dan selera sesiapa saja yang menontonnya selagi tidak melanggar sensitivity dan mengikut peraturan ditetapkan. Filem menggunakan bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan adalah simbolik bahawa filem Melayu diterima baik oleh masyarakat di negara ini sejak dulu lagi, waima sejak sebelum negara ini mencapai kemerdekaan. Kita boleh merenung semula kenapa filem Melayu yang muncul sejak 1933 berterusan boleh hidup dan terus bernafas sehingga ke hari ini.

Jika dulu negara ini bukannya berbahasa Kebangsaan kerana ia berada di bawah penjajahan British tetapi tauke filem dari Hong Kong dan pengarah filem yang dibawa dari India menghasilkan filem berbahasa Melayu – mendapat sambutan dan mencipta survival filem Melayu hingga mencetuskan suasana zaman kegemilangan filem Melayu pada era 1950-an dan 60-an. Ketika itu juga penggunaan bahasa Ingeris lebih dominant dalam urusan rasmi seharian dengan kerajaan Inggeris dan penggunaan bahasa Mandarin lebih menguasai ekonomi menerusi peniaga Cina yang mendominasi dan memonopoli kegiatan perniagaan di bandar dan pekan utama di negara ini terutama Singapura, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Ipoh, Melaka dan bandar-bandar lain.

Seperti juga filem arahan Afdlin Shauki yang memuatkan elemen perpaduan kaum yang lebih natural dan jujur menerusi karyanya, Papadom dan Buli Balik, ia lebih realistik meskipun bahasa pengantarnya ialah bahasa kebangsaan – bahasa Melayu atau bahasa Malaysia. Ada andaian untuk menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar untuk filem tempatan kerana alasan ia lebih bersifat universal dan boleh memberi jaminan ke pasaran antarabangsa. Teori ini selalunya diputar-belitkan dan belum terbukti filem Malaysia yang menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya atau lebih separuh isi filemnya mampu mencapai sambutan di pasaran luar negara. Kita lihat apa yang berlaku terhadap filem The Red Kebaya serta banyak lagi filem - filem lain terutama daripada sentuhan pengarah muda atas nama generasi karyawan filem indie tetap belum dapat membuktikan secara meyakinkan mengenai teori ini. Begitu juga filem Hikayat Merong Mahawangsa (2009) yang dikatakan menggunakan lebih 80 peratus dialognya dalam bahasa Inggeris untuk tujuan pemasaran di luar negara. Kita tunggu dan lihat sejauh mana filem arahan Yusry KRU itu boleh mencipta sejarah baru? Atau, mungkin kelak terpaksa juga menggigit ibu jari!

Untuk kepentingan bersama atas nama sinema nasional, filem Malaysia harus juga berpaksikan kepada hakikat dan realiti di negara ini. Jika negara jiran lain yakin dengan bahasa rasmi negara masing-masing untuk menghasilkan filem atas semangat bahasa kebangsaan mereka - maka seni filem juga boleh membantu untuk membentuk semangat perpaduan atas nama kaum dan agama. Memang tugas filem bukan untuk mempromosikan bahasa tetapi sekurang-kurangnya atas semangat 1Malaysia – perpaduan kaum itu boleh dicetuskan dengan semangat murni menerusi penggunaan bahasa kebangsaan. Selain bahasa kebangsaan, elemen seperti falsafah Rukun Negara juga harus diterapkan dalam filem Malaysia meskipun apa saja cerita yang dipaparkan. Konsep perpaduan, integrasi nasional, masyarakat majmuk dan kebebasan berkarya dengan menghormati sikap antara kaum yang ada mampu menjadikan filem di Malaysia lebih bertanggungjawab bukan saja kepada pengkarya tetapi untuk masyarakat dan negara. Gagasan 1Malaysia harus diterjemahkan dengan kesedaran bahawa filem meskipun berkisarkan budaya dan pemikiran yang berbeza tetapi ia menyatu dan mengakrabkan hubungan rakyat di negara ini.

Filem tetap berdiri dengan sendirinya selagi ia mendapat sokongan daripada masyarakat dan selagi ia dekat di hati mereka – meskipun apa saja alasan diberikan. Filem Melayu boleh mendapat sokongan bukan Melayu, filem Cina dan India tempatan juga boleh memikat bangsa Melayu dan etnik lain selagi apa yang dipaparkan itu memenuhi cita rasa dan titik pemikiran dan spiritual yang bersatu sebagai produk yang memberi kesan ermosi dan menghiburkan. Mampukah perfileman kita era baru mampu memenuhi kehendak ini?

0 Senarai tajuk filem di pawagam untuk panduan menulis skrip dalam bidang ini

13 Mac 2010 : Harian Metro

Industri Filem Makin Galak
Oleh Wan Asrudi Wan Hasan

Industri perfileman tanah air menunjukkan peningkatan sepanjang 2009 bukan hanya menerusi peningkatan jumlah filem dihasilkan, malah kegigihan karyawan meneroka pelbagai genre untuk tatapan penonton. Jika tahun sebelumnya penghasilan filem cereka banyak tertumpu kepada kelompok genre seram, komedi dan cinta, kini muncul genre berbeza.

Karyawan kita membuktikan mampu menghasilkan filem dengan teknologi moden penggunaan imej janaan komputer (CGI) selain minat yang ditunjukkan produser baru yang melihat industri filem mempunyai masa depan yang cerah. Jika 10 tahun lalu penonton hanya berpeluang menyaksikan tidak sampai 10 judul filem Melayu setahun, kini jumlahnya bertambah hampir lima kali ganda. Pada 2009 saja, 26 filem tempatan ditayangkan bermula dengan Maut pada 15 Januari, diakhiri dengan Duhai Si Pari-Pari pada 31 Disember. Filem Geng: Pengembaraan Bermula terbitan Les' Copaque mencatat sejarah bukan saja kerana penggunaan CGI, malah kejayaannya mencatat kutipan lebih RM6.2 juta.

Filem lain yang turut mendapat sambutan ialah Jangan Pandang Belakang Congkak ( RM6.1 juta) dan Bohsia: Jangan Pilihan Jalan Hitam (RM4 juta). Filem Papadom terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd dan sebuah lagi produk MIG Production, Jangan Tegur turut melakar kejayaan tersendiri apabila masing-masing memungut lebih RM3 juta manakala tujuh judul lain memberikan sedikit keuntungan kepada produser apabila mereka berjaya mengaut lebih RM2 juta sewaktu tayangan.

Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Mohd Mahyidin Mustakim berkata perkembangan baik yang dapat dilihat dari industri perfileman tempatan melalui jumlah filem dihasilkan, kutipan mahupun panggung yang menayangkan filem berkenaan. "Tahun 2010 mungkin menyaksikan sehingga 30 judul filem tempatan ditayangkan kepada penonton, manakala penambahan jumlah panggung terutama di pantai timur akan menyemarakkan lagi sambutan orang ramai terhadap filem keluaran syarikat tempatan. "Kami harap perkembangan ini akan berterusan dari semasa ke semasa ke arah memperkasakan filem tempatan sehingga ke peringkat antarabangsa," katanya.

Bagi pengarah, Azizi Chunk Adnan perkembangan industri filem tanah air melihatkan petanda positif dengan wujudnya pelbagai genre baru yang mampu memberi variasi pilihan kepada peminat seni tempatan. "Perkembangan dunia seni tanah air nampak semakin baik dari segi wujudnya penghasilan genre baru. Macam-macam bentuk cerita dihasilkan. Bukan seperti suatu masa dulu terikat kepada satu genre semata-mata iaitu cinta atau seram saja. Kalau kita lihat pembikin filem kini berani menghasilkan genre baru seperti komedi penyiasatan, seram komedi, drama dan lawak slapstik.

"Saya yakin pembikin filem tempatan kini semakin berani menuju ke arah satu cerita yang seakan-akan siri filem cakera ala Hollywood. "Justeru keberanian pembikin filem dalam mencuba menghasilkan sesuatu genre baru perlu diberikan galakan dan sokongan. Pada saya sebagai pembikin filem kita tidak dapat melakukan sesuatu benda jika tidak mencuba," katanya. Secara kasar, pungutan keseluruhan bagi tahun ini berjumlah hampir RM50 juta.

Jumlah itu mengatasi catatan RM43.93 juta yang dilakukan pada 2008. Pada tahun hadapan, dengan jumlah judul hampir sama bakal menemui penonton, pungutan lebih baik dijangka mampu dicapai apabila lebih banyak panggung dibuka. Pembukaan kira-kira enam lagi panggung wayang terutama di wilayah pantai timur yang selama ini ketandusan hiburan dalam bentuk filem, pasti menambah jumlah penonton filem. Sehingga Oktober lalu, sebanyak 98 pawagam beroperasi di negara ini yang menyediakan 489 skrin serta 96,700 kerusi buat kaki filem.

Bagi mengatasi judul antarabangsa seperti filem dari Hollywood dengan bajet ratusan juta ringgit seperti 2012, Transformers dan Avatar mungkin masih menjadi mimpi buat kita. Tetapi, dengan hidangan judul lebih baik, dari segi cerita, kerja teknikal dan genrenya, maka tidak mustahil peluang untuk mencuri perhatian penggemar filem. Jika Geng dan Jangan Pandang Belakang Congkak mampu melakukannya, tiada alasan untuk filem tempatan lain menyerah kalah. Kerjasama lebih erat perlu diperbanyakkan antara pelabur dengan pembikin filem supaya judul lebih menyerlah dapat dihasilkan.

Bagaimanapun, sikap pelabur yang beriya-iya ingin membabitkan diri dalam dunia perfileman, sepatutnya mencari pembikin yang bagus dan bervisi. Dalam sesetengah kes, duit yang dilabur tidak ke mana apabila filem gagal di pasaran dek ketidakupayaan pembikin, yang datang entah dari mana, merealisasikan impian mereka. Malah, ada juga sesetengah pembikin filem mempunyai impian menggunung, tetapi tidak mempunyai dana yang cukup. Lalu, projek filem yang dimulakan akhirnya tersadai.

Antara filem yang gagal memberi keuntungan kepada produser kerana mencatat kutipan kurang dari RM500,000 ialah Sayang U Can Dance, Talentime dan Muallaf. Paling menyedihkan apabila ada filem sekadar mencatat kutipan sekitar RM30,000 seperti Lembing Awang Pulang Ke Dayang terbitan Dayang Digital Sdn Bhd dan Pulau Asmara (Alakazam Production Sdn Bhd). Apa yang lebih penting ketika ini setiap pembikin filem perlu berusaha ke arah meningkatkan mutu penghasilan filem tempatan.

Sebagai pembuka tirai 2010, filem Adnan Sempit mula ditayangkan di pawagam mulai 14 Januari diikuti 2 Hati 1 Jiwa (28 Januari), Lu Fikirlah Sendiri De Movie (11 Februari), Niyang Rapik (25 Februari) manakala pada 11 Mac dua filem ditayangkan serentak sempena cuti sekolah iaitu V3: Samseng Jalanan dan Magika manakala KL Drift 2 pada 25 Mac. Filem lain yang memohon untuk tayangan 2010 ialah Semerah Cinta Stilleto (8 April), Hooperz (22 April) dan Belukar (6 Mei).

Turut menunggu giliran untuk tayangan tahun depan ialah Zoo, Jangan Pandang Belakang Congkak 2, Estet, Senario Asam Garam, Mentera, Aku Masih Dara, Misteri Dendam Balan-Balan, Shh...Dia Datang, Janin, Hilang, Eee.. Hantu, Kantoi, Gentayangan, Seremmm..., Brave (Berani Punya Budak), Jibam The Movie, Taiko, Kecoh Betul, Kapoww!!, Syirik, Johnny Bikin Filem dan Dimensi Cinta.

Kutipan Filem Cereka 2009

Judul Filem/Tarikh tayangan/Kutipan kasar (RM)

Maut/ 15 Januari/1.60 juta
Sifu & Tongga/29 Januari/2.57 juta
Geng: Pengembaraan Bermula/12 Februari/6.20 juta
Rasukan Ablasa/26 Februari/0.82 juta
Jin Hutan/12 Mac/0.23 juta
Sayang You Can Dance/12 Mac/0.37 juta
Talentime/ 26 Mac/0.42 juta
Jangan Tegur/9 April/3.42 juta
Bohsia...Jangan Pilih Jalan Hitam/23 April/4.14 juta
Sell Out?/7 Mei/0.16 juta
Syurga Cinta/21 Mei/2.38 juta
Jangan Pandang Belakang Congkak/4 Jun/6.09 juta
Skrip 7707/16 Julai/1.91 juta
Setem/30 Julai/1.27 juta
Jin Notti/20 September/2.05 juta
Momok The Movie/20 September/2.10 juta
Pappadom/8 Oktober/3.40 juta
Lembing Awang Pulang Ke Dayang/22 Oktober/0.09 juta
Pisau Cukur/5 November/2.30 juta
Senario The Movie Episode 2: Beach Boys/19 November/3.10 juta
Jalang/26 November/0.68 juta
My Spy/3 Disember/1.20 juta
Pulau Asmara/17 Disember/0.03 juta
Santau/ 10 Disember/3.36 juta
Muallaf/ 24 Disember/0.04 juta
Duhai Si Pari Pari/31 Disember

Filem untuk 2010

Judul filem/Tarikh

1. Adnan Sempit - 14 Februari
2. 2 Hati 1 Jiwa - 28 Januari
3. Lu Fikirlah Sendiri De Movie - 11 Februari
4. Niyang Rapik - 25 Februari
5. V3: Samseng Jalanan - 11 Mac
6. Magika - 11 Mac
7. KL Drift 2 - 25 Mac
8. Semerah Cinta Stilleto - 8 April
9. Hooperz - 22 April
10. Belukar - 6 Mei

Thursday, June 17, 2010

0 Masihku ingat masa Azrinaz Mazhar Hakim di TV3

Sultan Brunei ceraikan Azrinaz talak satu



GAMBAR fail menunjukkan Sultan Hassanal Bolkiah (tiga dari kiri) dengan isteri pertamanya, Raja isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (kiri) dan Azrinaz Mazhar Hakim pada sambutan ulang tahun keputeraan baginda yang ke-60 di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan pada 15 Julai 2006.

--------------------------------------------------------------------------------


BANDAR SERI BEGAWAN - Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah mengumumkan perceraian dengan isterinya dari Malaysia, Azrinaz Mazhar Hakim yang merupakan bekas wartawan penyiaran stesen televisyen TV3 malam semalam di sini.

Sultan Hassanal Bolkiah, 63, yang merupakan salah seorang lelaki terkaya di dunia berkahwin dengan Azrinaz pada 2005.

Azrinaz yang berumur 30 tahun melahirkan dua cahaya mata iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan.

Berita mengenai perceraian itu diumumkan oleh Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana, Pengiran Haji Alaudin bin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Haji Abu Bakar menerusi pengumuman khas di stesen televisyen Radio Televisyen Brunei pada pukul 8 malam.

Beliau membacakan kata-kata pujian kepada Allah sebelum mengumumkan mengenai berita perceraian itu.

Semasa membuat pengumuman tersebut, beliau lengkap berkot dan bersongkok dan menyampaikan berita yang mengejutkan itu dengan tenang.

"Maka pada petang Rabu tiga haribulan Rejab 1431 Hijrah bersamaan dengan 16 haribulan Jun tahun 2010 Masihi (baginda) telah menjatuhkan talak satu kepada isteri baginda, Duli Yang Teramat Mulia Pangeran Isteri Azrinaz Mazhar binti Hakim Mazhar," katanya.

Beliau turut mengumumkan semua gelaran dan pingat kebesaran yang diberikan kepada bekas isteri Sultan Hassanal Bolkiah telah ditarik balik mulai tarikh perceraian.

Pada pengumuman khas itu, beliau menyatakan perceraian itu dilakukan atas sebab-sebab khas tanpa memberikan butiran lanjut.

Beliau kemudian menjelaskan bahawa perceraian itu dibuat dengan dipandu dan ditentukan dengan hukum syarak dan menepati ayat suci al-Quran, surah al-Baqarah dari sebahagian ayat 229 iaitu menikahi dengan baik dan melepaskan juga dengan baik.

Pengumuman itu dibuat selepas tersebarnya khabar angin mengenai perpisahan mereka di Bandar Seri Bagawan.

Menurut agensi berita AP, ia merupakan perceraian yang kedua buat Sultan Hassanal Bolkiah yang mempunyai anggaran kekayaan sekurang-kurangnya AS$20 bilion (RM65.25 bilion).

Baginda bercerai buat pertama kali dengan seorang bekas pramugari, Mariam Abdul Aziz yang mempunyai darah keturunan Brunei, Jepun dan Scotland pada Februari 2003 selepas 21 tahun mendirikan rumah tangga.

Namun, Sultan Hassanal Bolkiah mengekalkan perkahwinan dengan isteri pertama, Raja Isteri Pangiran Hajah Anak Saleha yang dikahwininya pada 1967.

Putera sulung baginda, Putera Al-Muhtadee Billah Bolkiah kini merupakan Putera Mahkota dan bakal mewarisi tampuk pemerintahan.

Sultan Hassanal Bolkiah mula memerintah pada 5 Oktober 1967 selepas ayahanda baginda turun takhta.

Kekayaan Sultan Hassanal Bolkiah menjadi legenda di kalangan golongan kaya.

Semasa bermain polo dengan pewaris kedua takhta diraja Britain, Putera Charles, kasut baginda untuk bermain polo telah dihantar dengan menggunakan helikopter. - Agensi

0 Artikel popular? Bagaimana atrikel ini boleh keluar dalam tiga akhbar berbeza dalam tempoh dua minggu?

Perniagaan internet lubuk rezeki generasi milineum


2010/06/16
HARI ini perniagaan internet di Malaysia bukanlah sesuatu yang asing lagi. Perniagaan seumpama ini semakin digemari lantaran keberkesanan Internet sebagai medium komunikasi dan pemasaran.

Sehubungan itu, peningkatan jumlah pengguna internet juga dilihat sebagai tanda positif untuk berkecimpung dalam perniagaan seumpama itu. Bagi usahawan internet, Mohd Suhaimy Abu Bakar, 30, atau lebih dikenali sebagai Shuth, perniagaan internet adalah satu bentuk perniagaan untuk masa depan kerana kebanyakan perniagaan dan kedai baru akan dibuka dalam bentuk perniagaan internet berbanding perniagaan kovensional. “Kedai buku terbesar di dunia bukanlah terletak di Amerika, China atau Jepun tetapi di internet iaitu amazon.com manakala pasar raya terbesar di dunia pula ialah eBay. Tidak mustahil suatu hari nanti semua orang akan lebih gemar membeli-belah di internet berbanding pasar raya,” katanya kepada Bernama.

Menceburi bidang perniagaan bukanlah impian Shuth ketika kecil. Tetapi setelah memasuki alam pekerjaan, beliau mula bercita-cita menjadi usahawan. Hal ini kerana Shuth menyedari kebaikan dan keburukan antara bekerja makan gaji dengan bekerja sendiri.

Pada masa ini Shuth menjalankan beberapa jenis perniagaan
internet yang lebih menumpukan kepada perkhidmatan penyewaan ‘webhosting’, penerbitan serta penjualan ‘eBook’.
Sebelum menceburi bidang perniagaan, anak kelahiran Muar ini pernah bekerja sebagai eksekutif IT yang menguruskan bahagian multimedia dan juga pembangunan web di sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Menyedari betapa pentingnya memiliki kebebasan masa dan juga kewangan, beliau cuba menceburi bidang perniagaan kerana percaya bidang ini mampu memberikan semua itu. ‘Saya sedar, cara terbaik untuk memiliki kedua-dua kebebasan itu ialah dengan menceburi diri ke dalam dunia perniagaan,’ jelasnya.

Sedia mengambil tanggungjawab 100 peratus dan sentiasa berfikiran positif ialah prinsip hidup Shuth untuk menjadi seorang usahawan berjaya. Beliau juga berpendapat, untuk menjalani kehidupan yang lebih gembira dan bebas, berniaga dan menjadi seorang usahawan adalah pilihan paling tepat.

Menurut Shuth, ada kajian yang menyatakan bahawa golongan yang bekerja sendiri dan berniaga mempunyai kehidupan yang lebih gembira dan memuaskan berbanding golongan yang makan gaji.

Bagi lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dan Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini, setakat ini tiada halangan terlalu besar dihadapi beliau kecuali sedikit kritikan ketika melancarkan ‘eBook’ yang pertama pada 2005.

“Saya menerima e-mel dan juga panggilan telefon daripada seseorang yang mencerca saya dan mengatakan saya penipu sebab menjual ‘eBook’ di internet.
Pada masa itu, saya sedikit kecewa tetapi kembali bersemangat apabila melihat semakin ramai orang membeli ‘eBook’ dari sehari ke sehari.

“Pada pendapat saya, saya menjual ilmu dan maklumat, bukannya menjual fail kosong. Dunia sudah maju dan zaman sudah berubah, zaman ini ialah zaman informasi dan maklumat. Pada zaman ini, maklumat ialah sesuatu yang sangat penting dan berharga, jadi tidak hairanlah jika orang ramai akan mula memperdagangkannya di alaf baru ini,” jelasnya.

“Kejayaan yang saya rasa paling besar dalam hidup saya selepas menceburi bidang ini ialah apabila saya dapat meluangkan banyak masa bersama keluarga dan melihat anak-anak saya membesar di hadapan mata saya setiap hari,” katanya bangga.

Penulis buku terlaris, Rahsia Blogger ini didorong oleh seorang rakannya yang mahu beliau berkongsi ilmu mengenai blog kepada orang ramai. Buku itu menceritakan peluang yang ada untuk mendapatkan wang di internet.

Harapan Shuth adalah selepas membaca buku berkenaan, mereka dapat melihat dan bertindak merebut peluang yang ada.

Generasi milineum atau nama lainnya, generasi Y, yang membesar dengan kewujudan internet, lebih gemar menggunakan internet untuk tujuan bersosial dan berhibur seperti Facebook, Myspace, ‘games’ (permainan mata) dan sebagainya.

Menurut Shuth, golongan ini mempunyai peluang cerah dalam bidang perniagaan internet selagi mereka mempunyai minat untuk berniaga serta menyedari kepentingan internet bagi tujuan perniagaan.

Shuth berkata golongan belia harus bijak mengambil peluang dan menggunakan ruang sedia ada ke arah sesuatu yang berfaedah dan menguntungkan. – BERNAMA