.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Wednesday, December 01, 2010

0 Projek Petronas di 9 projek baru bakal menjana lebih RM50b menjelang tahun 2030

Lebih RM50b dijana dalam tempoh 20 tahun

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Lebih RM50 bilion pendapatan tambahan bakal dijana dalam tempoh 20 tahun melalui medan minyak marginal berikutan pengumuman sembilan lagi pembangunan dan Projek Permulaan Baharu di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pendapatan itu bakal diraih daripada lima insentif baharu yang dicadangkan oleh Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) seperti termaktub dalam Akta Cukai Pendapatan Petroleum (Pita).

Insentif-insentif itu adalah:-

n Elaun cukai pelaburan antara 60 hingga 100 peratus daripada perbelanjaan modal yang ditolak melalui pendapatan berkanun untuk menggalakkan pembangunan projek berintensif modal.

n Pengecualian cukai bagi mengurangkan kadar daripada 38 peratus kepada 25 peratus untuk pembangunan medan minyak marginal baru bagi meningkatkan pengkomersilan pembangunan.

n Elaun modal dipercepatkan kepada lima tahun daripada 10 tahun untuk pembangunan medan minyak marginal, yang mana penggunaan penuh kos modal yang ditolak akan meningkatkan daya maju projek.

n Potongan perbelanjaan cari gali yang layak di antara perjanjian perkongsian petroleum yang tidak berkongsi sepadan dengan syarikat perkongsian atas nama sama bagi mengurangkan risiko kontraktor aktiviti cari gali lebih tinggi.

n Pengecualian duti eksport terhadap minyak yang dihasil dan dieksport dari pembangunan lapangan minyak pinggiran bagi meningkatkan pengkomersilan projek.

Perdana Menteri berkata, pengenalan insentif ini akan hanya melibatkan kehilangan hasil nosional (kos cukai bukan sebenar) sebanyak RM8.1 bilion dalam bentuk elaun cukai pelaburan, pengurangan cukai dan pengecualian duti eksport bagi bidang marginal.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan pusingan kedua ETP di sini hari ini. Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu).

Najib turut mengumumkan yang Tanjung Agas Supply Base & Marine Services Sdn. Bhd. (Tanjung Agas) akan membangunkan Taman Perindustrian Minyak dan Gas serta Logistik Tanjung Agas membabitkan pelaburan sebanyak RM3 bilion.

Pembangunan pusat sehenti untuk pangkalan perkhidmatan dan luar pesisir itu dijangka menyumbang RM30 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (GNI) sepanjang 10 tahun akan datang dan menyediakan 30,000 peluang pekerjaan menjelang 2020.

Perdana Menteri turut menyatakan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) akan melabur RM4 bilion tahun depan bagi projek loji jana kuasa baharu iaitu Hidroelektrik Ulu Jelai dan Pembangunan Skim Hidroelektrik Hulu Terengganu serta pembangunan tambangan Manjung, sebuah loji penjanaan kuasa arang batu.

Syarikat utiliti itu turut menyediakan dana mengukuhkan projek infrastruktur bagi memastikan bekalan elektrik di seluruh negara termasuk di Salak Selatan-Mahkota Cheras, Pantai Selatan dan Puchong Perdana-Olak Lampit.

Najib menambah, Hotel YTL pula akan melabur RM250 juta bagi memperbaharui Hotel Majestic, sebuah hotel mewah yang diramal mewujudkan 600 pekerjaan.

Bagi melengkapkan inisiatif pelancongan, sebanyak RM50 juta diperuntukkan bagi meningkatkan daya saing negara melalui Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB).

''Ini termasuk bajet RM25 juta setiap tahun untuk program menyediakan insentif kewangan dan bukan kewangan yang menyokong acara perniagaan antarabangsa.

''Dengan dana ini, pelancong perniagaan dijangka tumbuh sehingga lapan peratus, atau pertambahan daripada 1.2 juta pelancong perniagaan kepada 2.9 juta menjelang 2020, yang menyumbang RM3.9 bilion kepada GNI,'' ujar beliau.

Untuk mempercepatkan modal insan terbaik dan meningkatkan pengkomersilan penyelidikan akademik di Malaysia, Kelompok Kejuruteraan, Sains dan Inovasi Lanjutan dibangunkan dengan diketuai Taman Teknologi Malaysia (TPM) dengan kerjasama Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dan Universiti Multimedia Cyberjaya.

Pelaburan berkelompok itu berjumlah RM374 juta sepanjang 10 tahun dengan meramalkan GNI sebanyak RM636 juta, tambahnya.

Kementerian Pendidikan dengan kerjasama 10 institusi pendidikan pula akan melatih guru prasekolah di 10 buah negeri bagi meningkatkan kelayakan mereka.

Pemilihan institusi berkenaan akan dibuat melalui bidang kompetitif dan terbuka pada nilai RM11.4 juta.

Najib berkata, Cisco yang melabur dalam produk penghalaan dan pensuisan di Malaysia, akan melatih 1,000 rakyat Malaysia selama tiga tahun akan datang menggunakan geran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

0 comments: