.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Wednesday, December 01, 2010

0 Penerbit mahu pengusaha pawagam kurangkan nisbah agihan pendapatan dari 50:50 ke 60:40 untuk menampung kos salinan filem

Duti hiburan filem dihentikan?

Oleh Zainuri Misfar
zainuri@bharian.com.my
2010/12/01
Penerbit bakal kehilangan pendapatan pemulangan cukai hiburan yang mungkin dimansuhkan serta-merta

PENERBIT filem kemungkinan kehilangan satu lagi punca pendapatan apabila ada ura-ura daripada kerajaan menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) untuk menghentikan pemulangan sebanyak 20 peratus duti hiburan yang dikutip daripada setiap penayangan filem mereka. Difahamkan pemulangan duti hiburan itu yang dianggap sebagai Skim Galakan Penerbitan akan dihentikan dengan serta merta pada bila-bila masa sahaja. Menurut sumber industri perfileman, pemansuhan duit hiburan kepada penerbit filem sudah dipersetujui oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan ia sudah dimaklumkan kepada Ahli Lembaga FINAS.

“Sebenarnya sudah lama kerajaan negeri sudah tidak mengembalikan 20 peratus daripada duti hiburan ini kepada syarikat penerbitan filem. Selama ini, pemberian duti hiburan kepada syarikat penerbitan filem adalah wang kerajaan yang diperuntukkan untuk operasi FINAS.

“Bagaimanapun, FINAS terpaksa menggunakan lebih RM10 juta setahun sebagai ganti duti hiburan ini yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan dan operasi perbadanan itu kerana sesetengah kerajaan negeri sudah menghentikan pemulangan duti hiburan ini.

“Akibat daripada perkara ini, FINAS menghadapi masalah kewangan untuk menampung aktiviti pembangunan dan pemasaran perfileman. Ini kerana hampir separuh peruntukkan kerajaan untuk FINAS sudah digunakan untuk membayar duti hiburan kepada penerbit filem.
“Memang perkara ini tidak diketahui oleh produser filem. Kami meminta FINAS supaya dapat menjelaskan kedudukan sebenar mengenai status duti hiburan ini,” katanya.

Duti hiburan adalah cukai yang dikenakan kerajaan. Dalam industri perfileman 14 peratus daripada 20 peratus keseluruhan duti hiburan itu akan dibayar balik kepada penerbit filem. Duti hiburan dipulangkan semula sebagai galakan kewangan untuk membantu penerbit filem.

Setiap tahun FINAS akan membayar semula antara RM4 juta hingga R5 juta kepada penerbit filem tertakluk kepada jumlah kutipan kasar daripada keseluruhan filem yang ditayangkan pada tahun berkenaan.

Sumber industri itu juga menegaskan, tanpa pemberian semula duti hiburan itu menyebabkan pendapatan syarikat penerbitan filem daripada setiap penayangan filem mereka semakin mengecil, malahan tidak memberikan sebarang keuntungan.

Ketika ini, syarikat penerbitan filem tempatan dalam keadaan amat tertekan apabila kutipan kasar untuk setiap filem yang ditayangkan terpaksa diagihkan kepada pihak panggung dengan nisbah 50:50.

“Mengikut sistem ini, ia sebenarnya sangat tidak adil kerana pihak pemamer tidak mengeluarkan sebarang kos berbanding penerbit. Sedangkan penerbit terpaksa membelanjakan kos promosi dan pemasaran. Penerbit juga terpaksa membayar kos membuat salinan filem bagi setiap panggung.

“Sekiranya satu salinan filem bernilai RM3,500, bayangkan berapa banyak kos yang dikeluarkan oleh syarikat perfileman yang mahu menayangkan filem mereka menerusi 50 hingga 60 panggung. Kos untuk ini saja sudah RM150,000 hingga RM200,000. Ini tidak termasuk sekurang-kurangnya RM100,000 untuk kos pemasaran.

“Jadi dalam hal ini, kami mendesak pihak panggung supaya membiayai kos membuat salinan filem kerana mereka sudah mengaut 50 peratus daripada setiap kutipan kasar filem yang kita tayangkan,” katanya.

Menurutnya, jumlah panggung yang bertambah tidak bermakna kutipan kasar filem tempatan meningkat kerana semakin banyak tempat untuk menayangkan filem, bermakna kos untuk membayar setiap salinan filem juga terus bertambah.

“Untuk mendapatkan pulangan modal sahaja, setiap penerbit filem harus memperolehi kutipan kasar sekurang-kurangnya RM3 juta. Selepas separuh atau 50 peratus diagihkan kepada pihak pemamer, kita (penerbit filem) dapat RM1.5 juta.
Kos untuk buat sebuah filem sudah dalam lingkungan RM1.2 hingga RM1.5 juta.

“Jadi, kalau kerajaan atau FINAS hendak menghentikan pemulangan duti hiburan itu, penerbit filem kita sudah tidak mendapat apa-apa keuntungan langsung.
Malahan, pemulangan duti hiburan itu juga masih tidak dianggap sebagai keuntungan, sebaliknya digunakan untuk menampung mana-mana kos yang belum dibayar.

“Sebab itulah, kita desak pihak pemamer supaya mengurangkan nisbah agihan itu kepada 60 peratus atau 70 peratus kepada penerbit filem. Mereka (pemamer) tidak berbuat apa-apa untuk membantu filem tempatan kerana tidak mahu langsung membiayai kos promosi, pemasaran dan salinan filem yang hendak ditayangkan,” katanya sambil membayangkan pemberhentian duti hiburan akan menjadikan industri perfileman semakin suram.

0 comments: