.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Saturday, June 05, 2010

0 Rahsia Lagu P Ramlee jadi evergreen. Mari ambil pelajaran

Rahsia hebatnya lagu P Ramlee

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

2010/05/29

HARI ini genap 37 tahun, Allahyarham Tan Sri P Ramlee meninggalkan kita.

Beliau pergi tetapi meninggalkan khazanah seni yang tidak ternilai harganya.

Filem dan lagunya terus menjadi santapan jiwa kita. Bakat seni yang dimilikinya luar biasa dan belum ada tandingan. Bukan saja mereka yang pernah hidup sezaman dengannya memujanya malah kanak-kanak hari ini pun kenal siapa P Ramlee. Masakan tidak, saban waktu filemnya terus diulang siar di TV dan lagunya berkumandang di radio. Setiap kali menjelangnya raya, lagu Dendang Perantau begitu menggamit perasaan perantau untuk segera pulang ke kampung halaman.


Lagu lain yang cukup sinonim dengan P Ramlee termasuklah Getaran Jiwa, Azizah, Engkau Laksana Bulan, Tunggu Sekejap, Bunyi Gitar, Anakku Sazali, Berkorban Apa Saja, Dalam Air Terbayang Wajah, Jangan Tinggal Daku, Jeritan Batinku, Tiru Macam Saya dan banyak lagi.


Apakah yang membezakan komposisi lagu karya P Ramlee dengan pencipta zaman ini dan kenapa ada yang mampu bertahan untuk beberapa ketika saja. Justeru Harian Metro mendapatkan pandangan daripada komposer terkenal tanah air iaitu Adnan Abu Hassan, Ramli MS, Helen Yap dan Aizat.




Adnan Abu Hassan:
"Lagu P Ramlee macam lagu Hindustan yang mana penonton dan pendengar boleh kaitkan lagu dengan filem. Menjadi trend di Bollywood dari dulu sehingga sekarang, mereka buat filem dan muatkan lagu yang mana liriknya turut menceritakan situasi hero dan heroin dalam filem itu. Kemudian barulah semua itu diterbitkan dalan bentuk CD. Jadi setiap kali orang mendengar lagu itu langsung teringatkan cerita filem itu.

"Sama juga dengan P Ramlee, lagu dan filemnya (audio dan visual) saling membantu. Kebanyakan daripada kita, sudah pun menonton filem Ramlee buka sekali tetapi berpuluh kali. Tidak puas menonton di televisyen mereka beli CD dan VCD pula untuk mendengar lagunya. "Lagu P Ramlee adalah kisah hidup kita. Bila ada kawan hendak berkahwin lagi satu, dia akan menyanyikan lagu Madu Tiga. Kebanyakan lagunya mewakili hidup kita seharian.


"Bagaimanapun keadaan sekarang berbeza. Kalau komposer buat banyak lagu untuk sesebuah filem, mahukan stesen radio memainkannya? "Stesen radio zaman dulu tiada masalah untuk menyiarkan lagu apa saja. Sekarang banyak sangat halangan. Seperti saya katakan, audio dan visual mesti saling menyokong sehingga semua lagu itu melekatkan kuat dalam minda pendengar. "Filem dan drama sekarang pun ada lagu tema tetapi lagu itu jarang bertahan dan orang tidak ingat pun. Cuba kita dengar lagu Azizah, secara tidak langsung terus terbayangkan pelakon Zaiton yang membawakan watak Azizah dalam filem itu."

RAMLI MS:
"LAGU P Ramlee mempunyai melodi yang ringkas, seni kata padat dan tidak terlalu kompleks. Banyak juga lirik lagunya yang berbunga-bunga tetapi tidaklah keterlaluan seperti lagu Hindustan yang membuatkan hero dan heroinnya terpaksa menari keliling pokok. Saya akui melodi lagu P Ramlee sangat indah dan merdu. Penyanyi dulu juga tidak suka menyanyi dengan nada tinggi dan terjerit-jerit macam artis sekarang. "Pun begitu kita kena faham zaman P Ramlee tidak sama dengan keadaan sekarang dan kita terpaksa menerima perubahan itu. Apapun juga, tiada siapa yang dapat memiliki bakat sehebat P Ramlee. Apa yang boleh saya katakan, komposer sekarang ramai yang merapu. Orang dulu hendak jadi komposer bukan senang, kini sesiapa pun boleh buat lagu. "Untuk menjadi komposer yang hebat mesti ada skil yang bagus. Orang dulu buat semua benda sendiri, daripada mencipta lagu, menulis lirik dan menggubah muzik semuanya idea sendiri. Sebab itu lagu yang dihasilkannya begitu dekat di hati kita. "Sekarang satu lagu, ramai yang buat. Orang lain buat lagu, orang lain gubah muzik dan akhirnya, jadi 'caca marba'. Sekejap saja orang dengar, lepas itu sudah basi kerana lagu itu tidak berjiwa.

"Dulu, kita boleh kenal identiti pencipta lagu itu menerusi lagu karyanya seperti Datuk Ahmad Nawab, Fauzi Marzuki, Saari Amri dan M Nasir. Lagu sekarang susah hendak ingat kerana gubahannya tidak sedap disebabkan komposernya cetek pengalaman. Mereka gagal menyelami lagu yang dicipta.


"Jika mereka sendiri gagal untuk memahami lagu sendiri, macam mana pendengar hendak jatuh hati dengan lagu itu? Suatu waktu dulu juga komposer buat lagu untuk satu atau dua penyanyi saja. Sekarang seorang komposer terpaksa buat lagu untuk ramai artis, sampai 10 hingga 20 orang! "Oleh itu dia gagal menghasilkan lagu itu dengan sepenuh jiwa raganya. Penyanyi sekarang pula, hanya tahu mereka mesti ada album. Lagu itu sedap atau tidak, belakang kira. Allahyarham Sudirman dulu mengkaji setiap ayat dan nota lagu. Sebab itulah lagunya turut bertahan sampai sekarang."

HELEN YAP:
"Saya meletakkan P Ramlee sebagai ikon dan komposer Melayu sejati. Melodi ciptaannya semua indah belaka. Lagu dan muzik P Ramlee sentiasa 'evergreen' dan lagu yang paling saya suka, Getaran Jiwa. Bagi saya lagu ini mewakili suara hati rakyat Malaysia dan lagu ciptaannya ada rasa antara bangsa. Kita tak akan malu membawa lagu P Ramlee ke luar negara. "Susah hendak cari orang macam P Ramlee. Dia anak seni sejati. P Ramlee manusia unik dan tiada pengganti. Kepada pencinta seni tanah air, P Ramlee adalah segala-galanya iaitu sebagai pelakon, penyanyi, pencipta lagu, pelawak dan pembikin filem.

"Lagu P Ramlee lain yang saya suka ialah Engkau Laksana Bulan dan Tunggu Sekejap kerana ia sangat klasik. Kalau boleh, saya juga ingin menjadi seperti P Ramlee meninggalkan legasi yang sangat berharga untuk peminat kelak.




AIZAT:
"SAYA mula mendengar lagu P Ramlee sejak usia 14 tahun lagi. Allahyarham meninggalkan karya yang sungguh hebat untuk generasi demi generasi. Kita semua tahu setiap lagunya, jatuh cinta dengan karektor selambanya dan tertarik dengan lakonannya yang bersahaja itu.

"Sejak kecil saya menonton filem-filem P Ramlee dan mendengar lagunya berulang kali. P Ramlee manusia terpilih yang dianugerahkan bakat luar biasa untuk menghiburkan masyarakat.


"Dalam berkarya, saya mahu ambil kejujuran dan semangat P Ramlee. Orang sekarang saya lihat terlalu serius mencipta lagu sampai tidak tahu hendak melawak. "Mungkin sebab itulah karya kita menjadi tidak menarik macam P Ramlee. Tapi P Ramlee menyuntik pelbagai elemen dan rasa dalam setiap lagunya dan ia begitu dekat dengan dunia seharian kita. Saya paling suka lagu Di Mana Kan Ku Cari Ganti."

0 comments: