Pemusnah bumi?
Oleh Hazirah Che Sab
2011/02/20
Saintis ramal asteroid Apophis seberat 25 (juta) tan hentam bumi seawal 2029
JIKA mengambil kira pandangan saintis Barat bahawa kiamat bakal terjadi akibat bumi dihentam asteroid, penduduk planet ini sudah tidak punya banyak masa untuk bersedia berdepan dengan malapetaka paling dahsyat itu.
Ia disebabkan sudah banyak kali bumi terselamat dan mengelak daripada menjadi sasaran pelanggaran asteroid. Malah, tanpa disedari sejak awal bulan ini, sudah lebih 40 objek berhampiran bumi yang ditemui dan dicatatkan, termasuk ancaman tahi bintang yang melintasi bumi tetapi dapat ‘ditepis.’ Namun, apakah kemungkinan bumi untuk terus bernasib baik daripada ancaman asteroid atau merujuk batu atau himpunan batuan pejal bahan logam besi atau nikel yang dalam, pelbagai saiz ini termasuk batu gergasi? Terbaru, saintis Russia - Leonid Sokolov daripada Univesiti St Petersburg, meramalkan bumi bakal dihentam asteroid Apophis pada 13 April 2036. Ini bukan kali pertama ramalan impak maut bakal dicetuskan Apophis kerana pada 2004, saintis Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) meramalkan asteroid ini akan menghentam bumi pada 2029. NASA turut meramalkan pertembungan hampir Apophis-bumi pada 2068.
Ringkasnya, berdasarkan kedua-dua ramalan itu, hayat bumi didakwa mereka cuma tinggal antara 18 - 25 tahun kerana impak Apophis boleh meragut jutaan nyawa selain mencetuskan kekalutan di seluruh dunia.
Menurut ramalan saintis Russia itu, asteroid sepanjang 270 meter, ukur lilit 330 meter itu dan ketinggian bangunan 90 tingkat dengan berat sekitar 25 juta tan, itu bergerak pada jarak 37,014 kilometer sejam dan dianggarkan merentasi lohong graviti pada 2029 lalu melanggar bumi tujuh tahun kemudian.
Ketua Program Objek Menghampiri Bumi NASA, Deo Yeomans, berkata pengiraan lebih tepat laluan Apophis dalam tempoh beberapa tahun sudah pasti menyaksikan usaha pakar mengeluarkannya daripada mana-mana kemungkinan perlanggaran dengan Bumi pada 2036.
“Kemungkinan senario yang berlaku adalah Apophis akan menghampiri bumi pada akhir 2012 dan awal 2013. Namun, kehadirannya pasti dipantau hebat deretan teleskop optikal di daratan serta sistem radar sofistikated.
“Andai ia berada di laluan membahayakan, NASA akan bertindak menggunakan kelengkapan serta peralatan bagi mengubah laluan Apophis dan sekali gus mengurangkan ancamannya menghentam bumi,” kata Yeomans.
Ibarat menghangatkan lagi permusuhan AS dan Russia menawan cakerawala, Ketua Agensi Angkasa Lepas Russia, Anatoly Perminov, pula menegaskan kemungkinan mengerah sebuah angkasa lepas bagi memusnahkan Apophis. Malah, penyelidik NASA, Agensi Angkasa Lepas Eropah dan China juga akan dipelawa menyertai misi Apophis.
Dengan nada optimis, Perminov mengiyakan ancaman Apophis dengan mendakwa nyawa penghuni bumi kini terancam.
“Kita perlu mewujudkan satu sistem yang akan membenarkan kami menghalang satu perlanggaran, berbanding hanya duduk dan menunggu apa yang akan berlaku dan membunuh ramai,” kata Perminov.
Ketika saintis dua negara itu terus bertikam lidah mengenai ancaman Apophis, ada beberapa lagi laporan penemuan asteroid yang berhampiran bumi. Terbaru, juga awal bulan ini, penemuan apa dikenali asteroid berpotensi bahaya (PHA) yang baru diumumkan dan kali ini ia juga melepasi bumi dengan selamat.
Asteroid yang dilabelkan sebagai CU46 cuma 505,000 kilometer tersasar daripada laluan bumi tetapi masih dianggap sebagai terlalu hampir dalam terma astrologi. CU46 mempunyai keluasan diameter 20 meter hingga 50 meter dan objek ini berkemungkinan besar menghasilkan bebola api gergasi dan memberikan kerosakan besar jika berlanggar dengan bumi di kawasan padat.
Di sebalik ramalan maut dilontarkan saintis Russia dan Barat, ada baiknya dikaji kepentingan asteroid kepada manusia. Ini termasuk statusnya sebagai sumber asal usul sistem solar atau suria. Ini berikutan material dalam asteroid itu mewakili pembinaan blok dalam planet dan sekali gus membolehkan .
Timbalan Penyiasat Misi Dawn NASA, Carol Raymond, berkata kewujudan asteroid juga akan membantu manusia lebih memahami asal usul kehidupan. Saintis tidak tidak memahami sepenuhnya bagaimana kehidupan pertama terbentuk daripada bahan organik bukan kehidupan dan asteroid mungkin membantu mereka mempelajari lebih banyak benda.
Sesungguhnya manusia cuma menunggu masa sebelum pengumuman dibuat mengenai Bumi akan berdepan impak daripada asteroid yang cukup besar menyebabkan kerosakan teruk. Inilah sebabnya mengapa lebih banyak kajian perlu dibuat mengenai objek itu - bagi membantu mendalamkan pemahaman dengan harapan memberikan kita pilihan pertahanan lebih baik.
Laser tangkis ancaman
PELBAGAI idea dan kaedah diketengahkan dalam usaha mengelak bumi dilanggar asteroid. Antaranya, laser yang dikatakan boleh digunakan untuk memesongkan laluan asteroid yang berpotensi bertembung dengan bumi.
Berita ini mungkin satu kelegaan kepada pakar kaji bintang yang menunggu penuh debar ancaman Apophis atau asteroid gergasi yang diramal menghampiri bumi pada 2029 dan 2036.
“Walaupun hentaman berkemungkinan besar tidak berlaku, ia masih berpotensi memberikan malapetaka buruk,” kata Prof Madya Gregory L Matloff dari Kolej Teknologi New York.
Penyelidikan pakar fizik itu menyatakan laluan Apophis boleh dialihkan dengan memanaskan permukaannya untuk mencipta pancutan arus, yang akan mengubah laluannya dan menyebabkannya tersasar.
Pasukannya sedang menghasilkan pengumpul solar - solar dua sauh untuk bertindak sebagai pemekat cahaya matahari, membakar sebahagian permukaan dan menghasilkan pancutan arus.
“Bagi melakukannya, penting untuk mengetahui sedalam mana diperlukan cahaya untuk menembusi permukaan objek berhampiran Bumi (NEO). Pancaran yang menembusi terlalu dalam akan memanaskan asteroid.
“Namun pancaran yang menembusi pada kadar mencukupi, mungkin satu persepuluh milimeter akan menghasilkan arus yang boleh dikemudi dan mencapai matlamat memesongkan asteroid,” katanya.
Matloff dan pasukannya membuat uji kaji dengan laser merah dan hijau untuk melihat sedalam mana mereka dapat menembusi batu asteroid, menggunakan contoh daripada tahi bintang Allende yang jatuh di Chihuahua, Mexico pada tahun 1969.
Dalam satu kajian berkaitan, seorang lagi pakar fizik, Prof Madya Lufeng Leng, menyempitkan sinaran laser merah dan mengimbas permukaan nipis contoh itu, dan mendapati perbezaan dalam kedalaman cahaya yang dipindahkan wujud, bergantung kepada kandungan material pada laluan yang dilalui sinaran itu.
Hasil kajian merumuskan laser yang disasarkan daripada kedudukan angkasa lepas berhampiran NEO boleh membantu menentukan kandungan permukaan. Menggunakan maklumat itu, teknologi solar boleh memberi tumpuan lebih tepat sinaran matahari untuk menembusi permukaan asteroid dan kedalaman bersesuaian, memanaskan pada suhu tepat untuk menghasilkan pancutan arus yang akan memesongkan asteroid.
Sunday, February 20, 2011
0 Ramalan Sains Barat: Jangka Hayat Bumi hanya 18 -25 tahun? Apa sumbangan kita terhadap peradaban baru?
Thursday, February 17, 2011
0 Senarai baru Orang Kaya Malaysia
ARKIB : 16/02/2011
Robert Kuok dahului senarai 40 individu terkaya Malaysia
16/02/2011 8:08pm
KUALA LUMPUR 16 Feb. – Robert Kuok, “Raja Gula” yang memiliki rangkaian hotel lima bintang di rantau ini, mengekalkan kedudukannya sebagai individu terkaya di Malaysia dengan aset bernilai RM50.04 bilion.
Beliau disusuli taikun telekomunikasi, T. Ananda Krishnan, yang bernilai RM45.78 bilion.
Di tempat ketiga ialah Pengerusi Public Bank, Tan Sri Teh Hong Piow, yang meningkat satu tangga dengan jumlah kekayaan sebanyak RM12.77 bilion, demikian menurut majalah Malaysian Business berdasarkan kepada kajian 40 individu terkaya dalam negara.
Sebagaimana tahun sebelumnya, kekayaan 40 individu terkaya negara dinilai berasaskan kepada pegangan mereka dalam syarikat tersenarai.
Kajian itu juga mendedahkan 40 individu terkaya Malaysia secara kolektifnya bernilai RM206.27 bilion sehingga pada 21 Januari, naik 30 peratus berbanding dengan RM156.7 bilion tahun lepas, dirangsang oleh pasaran saham yang memberangsangkan dan pengembangan ekonomi.
Di tempat keempat ialah Tan Sri Lee Shin Cheng dari IOI Corporation Bhd, yang bernilai RM12.74 bilion, disusuli dengan Tan Sri Lim Kok Thay dari Genting Group, kekal pada kedudukan kelima dan bernilai RM10.89 bilion.
Tan Sri Quek Leng Chan dari Hong Leong Group pada kedudukan keenam dengan jumlah kekayaan sebanyak RM10.75 bilion, manakala di tempat ketujuh ialah usahawan bumiputera, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary dari Yayasan Albukhary, yang bernilai RM8.84 bilion. – Bernama
Artikel berkaitan:
Wajah-wajah bilionair Malaysia
KUALA LUMPUR - Raja Gula, Tan Sri Robert Kuok Hock Nien yang telah kembali ke perniagaan gula tahun lalu mendahului senarai orang terkaya di Malaysia dengan memiliki kekayaan bernilai RM50.04 bilion, demikian menurut kaji selidik majalah Malaysian Business keluaran semalam.
Tempat kedua pula diduduki oleh taikun telekomunikasi, T. Ananda Krishnan (RM45.78 bilion) dan diikuti oleh Pengerusi Kumpulan Public Bank, Tan Sri Dr. Teh Hong Piow yang naik satu kedudukan kepada tempat ketiga dengan jumlah kekayaan dianggarkan RM12.77 bilion.
"Usahawan bumiputera dan pengasas Yayasan Al-Bukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary pula menduduki tempat ketujuh dengan nilai kekayaan sebanyak RM8.84 bilion," jelas kenyataan tersebut.
Tempat kelapan senarai berkenaan diduduki oleh isteri mendiang Tan Sri Lim Goh Tong, pengasas Kumpulan Genting, Puan Sri Lee Kim Hua dengan kekayaan yang dianggarkan bernilai RM7.43 bilion.
"Terdapat tiga pendatang baru dalam senarai itu dengan dua daripadanya merupakan kemasukan kali pertama.
Mereka ialah Pengarah Urusan Mah Sing Group Bhd., Tan Sri Leong Hoy Kum; Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Supermax Corporation Bhd., Datuk Seri Stanley Thai dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Tan Chong Motors Holdings Bhd., Datuk Tan Heng Chew," ujarnya.
0 Semenanjung Malaysia adalah Tanah Melayu dari dahulu, sekarang dan selama-lamanya kata Penulis
Salasilah orang Melayu, keterbukaan 1Malaysia
Oleh Teo Kok Seong
2011/02/16
Pembentukan bangsa Malaysia perlu berasas sejarah lampau
KOMEN bahawa negara ini kepunyaan kaum Melayu dan kaum bukan Melayu perlu menghormati kekuasaan Melayu, kedengaran lagi. Secara umumnya, komen ini atau lebih tepat lagi hakikat ini tidak disenangi sesetengah pihak dalam kalangan bukan Melayu. Sehubungan itu, Semenanjung Malaysia yang sebelum ini dikenali dengan nama Tanah Melayu, bagi mereka ini adalah nama geografi semata-mata dan wujud dalam konteks sejarah lampau saja. Mereka mendakwa nama ini tidak relevan lagi dalam konteks zaman moden ini, lebih-lebih lagi dalam Gagasan 1Malaysia. Politik, yakni pendapat dan kepercayaan mengenai salasilah negara ini, khususnya Semenanjung, yang berbeza-beza sepatutnya tidak timbul lagi, khususnya pada masa ini, selepas negara merdeka sejak 54 tahun lalu. Penduduk asal dan dominan rantau ini dan Malaysia, Indonesia dan Filipina sebagai wilayah terasnya, dulu, sekarang dan selama-lamanya adalah dihuni dengan dominannya oleh rumpun yang dikategorikan sebagai Melayu. Oleh sebab alam Melayu lebih menerima budaya luar daripada memantapkan budaya sendiri pada era awalnya, mereka ini menganggap perkembangannya sebegini yang banyak dipengaruhi reaksinya terhadap pertembungan dengan budaya luar, khususnya di Semenanjung sebagai wilayah yang tidak mempunyai dasar Melayu yang kuat. Justeru, ia tidak boleh dipanggil Tanah Melayu.
Tidak dapat dinafikan pertembungan dengan India adalah banyak sekali sehinggakan ia meninggalkan kesan budaya dan politik yang besar di rantau ini. Ia dapat dilihat pada pengaruh Hindu dalam struktur sosial dan politik alam Melayu. Sehubungan ini, bawah pengaruh Hindu, ketua dalam masyarakat Melayu feudal dijadikan raja, yang takhtanya diwarisi. Kosa kata bahasa Melayu ikut diserapi kata Sanskrit.
Walau bagaimanapun, pengaruh Hindu ini tidak sekali-kali menguasai struktur asas masyarakat Melayu, sama ada yang bersifat politik mahupun sosial. Pengaruh Hindu ini adalah lapisan budaya semata-mata dan tidak pun mengubah struktur feudal masyarakat Melayu dulu dalam apa jua cara. Ia masih wujud dengan utuh dalam tata tingkat raja dan rakyat.
Islam tiba di rantau ini pada abad 11 dan didapati sudah bertapak dengan mantapnya pada abad ke-13. Pada masa itu, Pasai dan kemudian Aceh di Sumatera menjadi pusat penyebaran Islam yang masyhur. Walaupun Sumatera Utara adalah pusat pengajian Islam di Asia Tenggara pada bahagian awalnya, sesungguhnya Melaka adalah pusat di mana Islam tersebar ke seluruh alam Melayu kemudian.
Sehubungan pengaruh Islam yang kuat di rantau ini melalui Melaka, ia menjadi pelabuhan yang dikunjungi pelbagai jenis pedagang. Walaupun banyak bahasa dituturkan di sana, bahasa Melayu ialah lingua franca yang paling banyak digunakan. Ia digunakan untuk tujuan komunikasi bukan saja antara penduduk tempatan dengan pedagang, tetapi sesama pedagang asing dari segenap pelosok dunia.
Walaupun Melaka ditawan Portugis pada 1511, Kerajaan Melaka tidak terus lenyap. Sehubungan ini, seluruh empayar Melaka diperintah dari Johor sehingga ia dan lain-lain ditakluk Aceh. Dengan ini, seluruh Semenanjung Malaysia berada di bawah kuasa Aceh, kecuali Melaka yang diperintah Portugis dan kemudian Belanda.
Kekuasaan Aceh diakhiri dengan penaklukan Bugis pada abad ke-18. Penaklukan Bugis dari Sulawesi ini berlaku dalam bentuk halus. Mereka tidak sekali-kali menggulingkan pemerintah di Semenanjung. Yang dilakukan ialah mereka menguasai beberapa negeri dengan meresapi struktur politik yang sedia wujud, melalui naungan di sebalik takhta. Antaranya ialah Kedah, Perak, Pahang dan Johor. Hanya di Selangor, mereka berjaya menduduki takhtanya.
Kemunculan dan kejatuhan kekuasaan Aceh dan Bugis ini sebetulnya memperlihat bangun jatuhnya pusat kuasa watan alam Melayu, khususnya di Semenanjung. Sebaliknya, kehadiran Portugis dan Belanda perlu dilihat sebagai semata-mata campur tangan di Melaka saja dan kawasan berdekatan. Di luar Melaka, di Semenanjung dan seluruh Nusantara, tamadun Melayu terus berkembang tanpa sebarang pengaruh Barat yang signifikan.
Melaka adalah Kerajaan Melayu pertama untuk tempoh 1402-1511, sesungguhnya adalah kemuncak tamadun Melayu dalam alam Melayu. Selepas tempoh ini, ia berpindah ke Johor. Dari sinilah pengaruh dan kekuasaan Melaka terus berkembang ke seluruh Semenanjung dan di pantai timur Sumatera.
Menjadi kesalahan besar untuk menganggap era kekuasaan Aceh dan Bugis di Semenanjung sebagai pemerintahan oleh kaum bukan Melayu, seperti didakwa sesetengah pihak. Masyarakat Aceh dan Bugis berasal dari Sumatera dan Sulawesi, adalah wilayah utama dalam alam Melayu. Justeru mereka bukan pendatang ketika berpindah ke Semenanjung. Mereka sebetulnya adalah watan alam Melayu dan peribumi Nusantara!
Sehingga abad ke-18, kewujudan alam Melayu di rantau ini, khususnya secara dominan di Nusantara kecuali Melaka, berterusan tanpa campur tangan Barat. Hanya pada abad ke-19, keadaannya berubah melalui penjajahan Inggeris. Untuk beberapa abad lamanya, Semenanjung dihuni rata-ratanya masyarakat Melayu. Tetapi awal abad ke-20 memperlihat kependudukan alam Melayu ini bertukar secara mendadak dengan kemasukan buruh secara besar-besaran dari China dan India.
Dengan latar sejarah yang sebegini jelas keMelayuannya, bagaimanakah Semenanjung tidak boleh dikaitkan lagi dengan nama Tanah Melayu pada masa kini khususnya dalam Gagasan 1Malaysia?
Gagasan 1Malaysia yang walaupun menganjurkan keadilan sosial yang memastikan keterlibatan semua kaum, tidak boleh sekali-kali ditafsirkan dari segi kenegaraan, khususnya mengenai salasilah negara ini sebagai betul-betul satu fenomena moden yang langsung tidak mahu mengambil kira sejarah lampau.
Penolakan unsur kesinambungan antara bentuk sebelum moden dengan yang moden oleh sesetengah pihak, yang menganggap nama Tanah Melayu itu tidak sesuai lagi digunakan pada masa ini, khususnya dalam pembentukan bangsa Malaysia dan negara moden Malaysia itu sendiri, adalah bukan saja sikap buruk. Tetapi yang lebih mudarat lagi ialah kesan buruk yang boleh timbul daripada sikap ini yang menafikan sejarah lampau negara ini sebagai jajahan Melayu.
Sesungguhnya pembinaan mana-mana negara, walaupun pada zaman moden ini perlu dikaitkan secara eksplisit dengan bentuk sebelum moden dengan mengambil kira sejarah lampau, khususnya yang berkenaan dengan beberapa identifikasi politik yang penting. Sehubungan ini, Semenanjung adalah Tanah Melayu pada masa dulu, kini dan selama-lamanya. Ini adalah kenyataan nasionalisme Malaysia dan bukan etnosentrisme Melayu!
Penulis ialah Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Tuesday, February 15, 2011
0 Menguasai kemahiran sebagai pelengkap akademik akan jadi penentu siapa lebih hebat di pasaran pekerjaan
Rosmah mahu golongan muda kuasai kemahiran
2011/02/15
ROSMAH diiringi Sharifah Hapsah (dua dari kiri) dan Dzulkifli beramah mesra bersama peserta Program Kem Perkasa Remaja Siri 2 di UKM, semalam.BANGI: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menyeru golongan belia supaya menguasai kemahiran berpotensi bagi membolehkan mereka mempunyai daya kelangsungan untuk menghadapi arus pembangunan yang semakin mencabar.
Sehubungan itu, beliau meminta golongan belia menggunakan usia muda untuk menimba ilmu dan kepakaran kerana mereka mempunyai kuasa untuk mencipta serta melakukan transformasi negara ke tahap paling tinggi pada masa hadapan. Beliau berkata, selain itu golongan terbabit perlu mengikis sikap membuat kerja sambil lewa bagi memastikan dapat mencapai kejayaan dalam bidang diceburi serta dipandang tinggi masyarakat. “Sekiranya belia melakukan sesuatu perkara dengan tekun, dedikasi serta komitmen tinggi, mereka pasti menjadi semakin mahir dan berjaya dalam kerjanya,” katanya berucap pada Majlis Penutupan Kem PERKASA Remaja siri II yang disertai 29 peserta di kalangan anak peneroka FELDA di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, semalam.
Turut hadir, Naib Canselor UKM, Profesor Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan Pengarah Besar FELDA, Datuk Dzulkifli Abdul Wahab.
Rosmah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Dasar Program Permata Negara (PERMATA) berkata, belia juga perlu ada ikon tertentu yang dapat dijadikan penanda aras menentukan tahap pencapaian supaya setanding dengan ikon terbabit.
Selain itu, beliau juga menyeru badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta menggembleng tenaga secara proaktif dengan PERKASA Remaja dalam usaha mewujudkan persekitaran hidup bebas daripada gejala sosial.
Terdahulu, Rosmah berterima kasih kepada FELDA kerana memberi peluang dan keutamaan kepada belia FELDA menjadi peserta PERKASA Remaja yang dapat menjadi perintis belia FELDA yang lain.
“Kem PERKASA Remaja ini dapat membantu FELDA menangani masalah sosial dan melahirkan generasi baru yang lebih produktif dan sentiasa berdaya saing, kreatif dan berinovasi.
“Belia seperti ini sangat diperlukan dengan harapan dapat menyumbang kepada pembangunan untuk mencapai tahap negara maju menjelang 2020,” katanya.
0 Sudah sampai masanya untuk penganut islam cuba memahami bukan islam kerana banyak mereka belum tahu tentang agama lain termasuk kristian
Pemikiran ekstrem punca gawat
Oleh Johari Ibrahim
joib@bharian.com.my
2011/02/15
NAJIB berbual dengan pemimpin agama pada majlis bersama pemimpin agama sempena sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia, di PICC, Putrajaya, semalam. Malaysia jadi contoh perbezaan agama bukan penyebab ketegangan: Najib
PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata, pemikiran ekstrem dikenal pasti adalah punca kepada ketegangan dalam sesebuah negara dan bukan disebabkan perbezaan agama yang dianuti penduduknya. Sambil menyifatkan kefahaman ekstrem dalam apa juga agama sebagai ancaman kepada usaha mewujudkan negara yang aman, Perdana Menteri berkata, sikap itu juga membawa kesan buruk kepada manusia jika tidak dibendung. “Malaysia sudah tunjukkan (contoh), perbezaan agama tidak semestinya membawa kepada permasalahan besar dalam sebuah negara, tetapi yang menjadi kekangan, hambatan dan yang punca ketegangan ialah kerana pemikiran ekstrem sama ada di kalangan orang Islam, Kristian, Buddha, Hindu atau apa-apa juga agama.
“Jika kita ada kefahaman ekstrem dan keterlaluan, kita akan membawa padah buruk kepada negara dan manusia sejagat,” katanya pada majlis bersama pemimpin agama sempena sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.
Najib turut menyampaikan sijil lantikan kepada Ahli Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama yang diwakili pengerusinya, Datuk Ilani Isahak; Datuk Azman Amin Hassan; Pengerusi Jawatankuasa Gabungan Penyelarasan Badan Bukan Kerajaan Islam, Datuk Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir; Presiden Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao, Dr Thomas Philips dan Pengerusi Interfaith Spiritual Fellowship (INSaF), Dr Amir Farid Isahak.
Ilani yang tidak hadir diwakili Ketua Pengarah Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Azman Amin Hassan yang turut mewakili ilmuan serta anggota dari Sabah dan Sarawak.
Sambutan julung kali diadakan pada minggu pertama setiap Februari itu adalah hasil pandangan Putera Ghazi dari Jordan ketika berucap pada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun lalu, bertujuan menjalin hubungan dan kemesraan antara pemimpin negara dengan pemimpin agama.
Najib juga berkata, konsep 1Malaysia bukan hanya slogan, sebaliknya inti patinya yang menuntut pada anjakan paradigma dari segi cara berfikir rakyat yang serendah-rendahnya, iaitu sikap bertolak ansur sehingga kepada menerima kepelbagaian dan kemuncaknya ialah setiap pihak raikan kepelbagaian itu.
Malah, Perdana Menteri berkata, isu kefahaman ekstrem menyebabkan beliau membawa cadangan diwujudkan Gerakan Kesederhanaan Global pada Persidangan PBB, tahun lalu kerana percaya itu saja jalan ke hadapan yang boleh menyelamatkan bukan saja negara, tetapi dunia serta ketegangan di banyak tempat.
Beliau berkata, kestabilan dan keharmonian negara adalah tonggak utama ketika kerajaan membentangkan iltizam memajukan negara dan rakyat menerusi pelbagai inisiatif seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP), Model Baru Ekonomi (MBE) dan Rancangan Malaysia KeSepuluh (RMKe-10).
Monday, February 14, 2011
0 Bolehkah bisnes satay kajang menjadi seperti keunggulan bisnes KFC?
Samuri cari pelabur sate
Oleh AHMAD FADZIL ZAINOL ARIFFIN
bisnes.utusan@gmail.com

Samuri Juraimi
KAJANG 13 Feb. - Sate Kajang Haji Samuri, pemilik empayar perniagaan sate yang terkenal, kini mencari pelabur yang benar-benar berminat untuk membantu mengembangkan operasi syarikat berkenaan.
Menurut Pengasas atau Pengarah Urusannya, Datuk Samuri Juraimi, pihaknya mahu mendapatkan pelabur bersama di dalam perniagaan itu tetapi penyertaan itu hendaklah tidak mengugat kepentingannya.
''Kerjasama yang bakal terjalin itu biarlah adil dan menyediakan situasi menang-menang terutama bagi menghormati pihaknya yang memerah keringat membangunkan perniagaan itu sejak 20 tahun lalu,'' kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini.
Katanya, antara syarat yang ditetapkan adalah beliau masih mempunyai kuasa terhadap perjalanan syarikat manakala pelabur itu mampu meluaskan lagi pasaran Sate Kajang Haji Samuri.
Samuri berkata, beliau pernah menerima tawaran daripada beberapa syarikat sebelum ini tetapi menolaknya kerana syarat yang diberikan mampu menyaksikan beliau kehilangan perniagaannya.
"Saya tidak mahu Sate Kajang Haji Samuri mudah diambil alih mana-mana pihak dan akhirnya jatuh kepada orang asing," kata beliau.
Samuri memulakan perniagaan sate selepas mempelajarinya daripada pelopor sate terkenal di Kajang, Tasmin Sakiban ketika berusia 14 tahun.
Beliau, kemudiannya membuka gerai pertamanya di sebelah Stadium Kajang bersama enam orang pekerja dan kini berkembang sehingga mempunyai 22 cawangan seluruh Malaysia dengan 600 pekerja.
Menurut Samuri, beberapa syarikat yang pernah menyatakan minat untuk bekerjasama tetapi apa yang ditawarkan dilihat seolah-olah cubaan untuk 'membunuh' perniagaannya.
Pada masa yang sama, Samuri berkata, beliau akan terus mengembangkan sendiri perniagaan itu dan memperkenalkan jenama Sate Kajang Haji Samuri.
"Kami bercadang meluaskan perniagaan ini secara francais dan ia mampu dicapai sekiranya kami berjaya mendapatkan lesen Amalan Pengilangan Terbaik (GMP) pada tahun ini,'' kata beliau.
Dengan lesen GMP itu, Samuri berkata, pihak beliau turut bercadang mengeluarkan produk sate sejuk beku yang bakal dipasarkan ke luar negara.
"Dengan menekankan kepada aspek pengkomersialan, saya yakin perniagaan kami dapat diperbesarkan lagi seperti mana francais ternama yang wujud di negara ini," kata beliau.
Samuri berhasrat untuk mewujudkan sekurang-kurangnya satu cawangan di setiap negeri seluruh negara.
"Melalui pembukaan cawangan baru dan adanya lesen GMP, ia bakal menjanjikan anjakan baru kepada perniagaan ini," kata beliau sambil menambah sejumlah 70 peratus pelanggan adalah orang Melayu berbanding 30 peratus pada awal penubuhannya.
Ditanya mengenai kedudukan kewangan syarikat, Samuri berkata, kedudukannya adalah stabil meskipun mengakui pengenaan levi pekerja melibatkan jutaan ringgit menjejaskan perancangan perniagaannya.
"Kami terpaksa mengambil pekerja asing kerana sekarang sukar mendapatkan tenaga kerja tempatan yang tidak gemar bekerja di gerai sate," katanya.
Samuri berkata, perniagaannya kini dikendalikan oleh 'generasi kedua' yang terdiri daripada anak-anak serta menantunya.
"Saya harap mereka membawa perniagaan ini ke peringkat yang lebih tinggi dengan merealisasikan apa yang saya harapkan (berkembang setanding dengan nama besar lain)," kata beliau yang masih mengawasi perjalanan syarikat dan memberikan nasihat tentang perniagaan berkenaan.
Saturday, February 12, 2011
0 Rakyat Malaysia harus diajar program internet seperti di Indonesia
Budak 13 tahun cipta laman mirip Facebook
MUKA surat Muhamad Yahya Harlan dalam laman salingsapa.com.
BANDUNG - Walaupun baru berusia 13 tahun, seorang budak lelaki di Indonesia, Muhamad Yahya Harlan ternyata hebat apabila dia mencipta laman jaringan sosial mirip Facebook, lapor akhbar dalam talian, Tribunnews.com semalam.
Laman itu yang dinamakan salingsapa.com dapat disiapkan Muhamad yang belajar di Sekolah Alam Bandung, di sini, dalam masa sebulan.
Konsep salingaapa.com hampir menyerupai Facebook yang diasaskan oleh Mark Zuckerberg dari Amerika Syarikat tetapi Muhamad berkata, laman webnya menampilkan beberapa ciri tambahan.
"Pada awalnya, saya menonton berita tentang ada orang Indonesia yang mencipta laman web seperti Facebook dalam bahasa Indonesia.
"Saya terus terfikir, saya juga boleh mencipta laman web serupa, tetapi lebih baik lagi," kata Muhamad ketika ditemui di sekolahnya kelmarin.
Seterusnya, anak sulung pasangan Yan Harlan, 45, dan isterinya, Fidriana, 37, itu mulai 'mengklik' komputernya untuk merancang ciri-ciri laman sosial yang akan dihasilkan nanti.
Dia turut mendapat bantuan daripada ayahnya yang menyumbang idea tentang ciri-ciri yang diperlukan untuk menghasilkan salingsapa.com.
Kini, kejayaan pelajar cilik itu mendapat penghargaan daripada pelbagai pihak.
Menurut ibunya, Muhammad membentangkan hasil kerjanya itu di hadapan 12 mahasiswa Institut Teknologi Bandung semalam.
"Harapan kami ialah laman sosial ciptaan anak saya ini akan digunakan untuk tujuan kebaikan," kata ibunya. - Agensi






