.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Monday, February 14, 2011

0 Bolehkah bisnes satay kajang menjadi seperti keunggulan bisnes KFC?

Samuri cari pelabur sate
Oleh AHMAD FADZIL ZAINOL ARIFFIN
bisnes.utusan@gmail.com



Samuri Juraimi


KAJANG 13 Feb. - Sate Kajang Haji Samuri, pemilik empayar perniagaan sate yang terkenal, kini mencari pelabur yang benar-benar berminat untuk membantu mengembangkan operasi syarikat berkenaan.
Menurut Pengasas atau Pengarah Urusannya, Datuk Samuri Juraimi, pihaknya mahu mendapatkan pelabur bersama di dalam perniagaan itu tetapi penyertaan itu hendaklah tidak mengugat kepentingannya.
''Kerjasama yang bakal terjalin itu biarlah adil dan menyediakan situasi menang-menang terutama bagi menghormati pihaknya yang memerah keringat membangunkan perniagaan itu sejak 20 tahun lalu,'' kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini.
Katanya, antara syarat yang ditetapkan adalah beliau masih mempunyai kuasa terhadap perjalanan syarikat manakala pelabur itu mampu meluaskan lagi pasaran Sate Kajang Haji Samuri.
Samuri berkata, beliau pernah menerima tawaran daripada beberapa syarikat sebelum ini tetapi menolaknya kerana syarat yang diberikan mampu menyaksikan beliau kehilangan perniagaannya.
"Saya tidak mahu Sate Kajang Haji Samuri mudah diambil alih mana-mana pihak dan akhirnya jatuh kepada orang asing," kata beliau.
Samuri memulakan perniagaan sate selepas mempelajarinya daripada pelopor sate terkenal di Kajang, Tasmin Sakiban ketika berusia 14 tahun.
Beliau, kemudiannya membuka gerai pertamanya di sebelah Stadium Kajang bersama enam orang pekerja dan kini berkembang sehingga mempunyai 22 cawangan seluruh Malaysia dengan 600 pekerja.
Menurut Samuri, beberapa syarikat yang pernah menyatakan minat untuk bekerjasama tetapi apa yang ditawarkan dilihat seolah-olah cubaan untuk 'membunuh' perniagaannya.
Pada masa yang sama, Samuri berkata, beliau akan terus mengembangkan sendiri perniagaan itu dan memperkenalkan jenama Sate Kajang Haji Samuri.
"Kami bercadang meluaskan perniagaan ini secara francais dan ia mampu dicapai sekiranya kami berjaya mendapatkan lesen Amalan Pengilangan Terbaik (GMP) pada tahun ini,'' kata beliau.
Dengan lesen GMP itu, Samuri berkata, pihak beliau turut bercadang mengeluarkan produk sate sejuk beku yang bakal dipasarkan ke luar negara.
"Dengan menekankan kepada aspek pengkomersialan, saya yakin perniagaan kami dapat diperbesarkan lagi seperti mana francais ternama yang wujud di negara ini," kata beliau.
Samuri berhasrat untuk mewujudkan sekurang-kurangnya satu cawangan di setiap negeri seluruh negara.
"Melalui pembukaan cawangan baru dan adanya lesen GMP, ia bakal menjanjikan anjakan baru kepada perniagaan ini," kata beliau sambil menambah sejumlah 70 peratus pelanggan adalah orang Melayu berbanding 30 peratus pada awal penubuhannya.
Ditanya mengenai kedudukan kewangan syarikat, Samuri berkata, kedudukannya adalah stabil meskipun mengakui pengenaan levi pekerja melibatkan jutaan ringgit menjejaskan perancangan perniagaannya.
"Kami terpaksa mengambil pekerja asing kerana sekarang sukar mendapatkan tenaga kerja tempatan yang tidak gemar bekerja di gerai sate," katanya.
Samuri berkata, perniagaannya kini dikendalikan oleh 'generasi kedua' yang terdiri daripada anak-anak serta menantunya.
"Saya harap mereka membawa perniagaan ini ke peringkat yang lebih tinggi dengan merealisasikan apa yang saya harapkan (berkembang setanding dengan nama besar lain)," kata beliau yang masih mengawasi perjalanan syarikat dan memberikan nasihat tentang perniagaan berkenaan.

0 comments: