Sumber: UM:
Utara Sarawak terdedah gempa bumi
KUCHING 27 Jan. - Beberapa kawasan di bahagian utara negeri ini didapati terdedah kepada risiko gempa bumi berukuran sederhana pada masa depan, kata Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof.
Beliau berkata, beberapa tempat di bahagian utara Sarawak iaitu Bintulu, Batu Niah, Suai, Miri, Limbang dan Lawas dikesan berada di garisan sesar utama gempa bumi oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM).
Namun katanya, penduduk di kawasan terlibat diminta supaya tidak panik dan bimbang dengan situasi berkenaan kerana secara relatifnya, Sarawak masih stabil dari segi seismotektonik.
Katanya lagi, gegaran kecil berukuran 3.2 pada skala Richter yang dilaporkan berlaku di Batu Niah dan Suai Isnin lalu adalah tidak begitu membimbangkan.
''Bagaimanapun keadaan agak berisiko di Sarawak dan Sabah kerana kedua-duanya termasuk dalam kawasan berisiko gempa bumi sederhana.
''Di Sarawak, kekerapannya ialah sekali bagi setiap enam hingga tujuh tahun tetapi di Sabah khususnya di Kota Belud, berlaku sekali dalam setahun," katanya di sini semalam.
Beliau ditemui pemberita selepas meninjau tapak projek pembangunan Kerajaan Pusat di Kampung Wawasan Jaya, di sini.
Thursday, January 28, 2010
0 Sabah dan Sarawak terdedah gempa bumi??? Mari kita gandakan doa kepada Tuhan Yang Maha Besar
0 Topik apakah yang boleh menarik 10K seminggu pengunjung ke blog ini? Berikan saya pendapat anda
Sumber: BH:
Istiadat pemakaman Berita Harian Online catat 20,000 pengunjung
VIDEO BH Online di Youtube boleh dicapai dengan carian di www.youtube.com/BHonline1.
KUALA LUMPUR: Berita Harian Online melakar sejarah apabila liputan khas Video@BH bagi Istiadat Pemakaman Sultan Johor, Almarhum Sultan Iskandar mendapat sambutan lebih 20,000 pengunjung untuk tempoh empat hari sejak dimuat naik 24 Januari lalu menerusi laman web perkongsian video, YouTube.
Sehingga jam 5 petang semalam, jumlah pengunjung bagi tiga paparan klip video khusus bagi upacara berkenaan mencecah 19,786 pengunjung yang dilayari
menerusi www.youtube.com/BHonline1 dan laman web Berita Harian (www.bharian.com.my).
Bagi klip video bertajuk Orang kenamaan, rakyat jelata beri penghormatan terakhir jumlah pengunjung seramai 8,043 orang manakala klip video 'Almarhum Sultan Iskandar selamat dimakamkan Bahagian 1 dan 2, masing-masing mencatatkan 6,780 dan 4,963 pengunjung sehingga semalam.
Menerusi klip video Almarhum Sultan Iskandar selamat dimakamkan - Bahagian 1 dan 2, ia memberi peluang kepada pengunjung laman web Berita Harian dan YouTube menyaksikan sendiri istiadat pemakaman Almarhum Sultan Iskandar yang mangkat jam 7.15 malam, 22 Januari lalu.
Krew video Berita Harian Online yang berada di lokasi di Makam Diraja, Kawasan Perkuburan Islam Bukit Mahmoodiah, Johor Bahru sejak jam 2 petang hingga 5 petang, Sabtu lalu, memaparkan suasana, perjalanan dan upacara pemakaman Almarhum Sultan Iskandar.
Selain itu, menerusi rangkaian sosial Berita Harian Online on Facebook, sejumlah 744 komen diterima khusus bagi orang ramai menyampaikan pandangan atau memberi ucapan takziah kepada kerabat diraja Johor sepanjang tiga hari.
0 Masa yang sesuai untuk kreatif dan inovasi untuk pembangunan negara bangsa dan diri
Sumber: BH:
PM lancar Malaysia Inovatif 2010
Oleh Johari Ibrahim dan Haika Khazi
bhnews@bharian.com.my
Usaha memperkasakan lonjakan ekonomi negara berpaksikan inovasi, kreativiti
PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak malam tadi melancarkan Malaysia Inovatif 2010 sebagai titik permulaan kepada usaha melonjakkan ekonomi negara berpaksikan kepada inovasi dan kreativiti dalam sektor awam serta swasta.
Serentak itu, Perdana Menteri mencadangkan setiap individu, kumpulan, kementerian atau agensi kerajaan yang berjaya membawa inovasi diberikan ganjaran lumayan setimpal dengan hasil yang diperoleh.
Bagi memperkasakan usaha ke arah penjanaan inovasi dalam perkhidmatan awam, beliau turut mencadangkan supaya setiap kementerian dan agensi kerajaan menubuhkan satu unit inovasi khas yang bertanggungjawab terhadap pelbagai kegiatan dan program inovasi yang dijalankan dari semasa ke semasa.
Katanya, inisiatif itu pula perlu dilaporkan secara berkala kepada Majlis Inovasi Negara.
Bagi sektor swasta pula, katanya, kerajaan berhasrat untuk merangsangkan lagi pertumbuhan firma khususnya yang memiliki komponen Hak Harta Intelek (IP) yang dijanakan oleh anak tempatan.
“Dalam masa yang sama, sistem perolehan kerajaan akan terus memberikan keutamaan kepada keluaran tempatan dalam pembelian produk, perkhidmatan dan sebagainya,” katanya berucap merasmikan Malaysia Inovatif 2010, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini.
Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Maximus Ongkili dan menteri-menteri Kabinet.
Beliau berkata konsep inovasi dan kreativiti juga bermaksud berani membawa perubahan secara terancang dan bukan hanya ‘terjah’.
Perdana Menteri berkata proses inovasi perlu diarusperdanakan membabitkan semua lapisan masyarakat sehingga ke peringkat akar umbi.
Beliau berkata inovasi bukan saja bertumpu kepada bidang sains tetapi juga turut mencakupi pelbagai disiplin lain termasuk pengurusan saintifik dan kewangan.
“Dalam menghala ke arah model ekonomi baru dan maklumat yang berpaksikan kepada pengetahuan dan inovasi, kita perlu sentiasa ingat bahawa hanya negara yang memiliki perisian intelek dan berteknologi canggih serta terkini dapat berada di barisan hadapan.
“Inovasi bukan lagi milik sesiapa, bukan milik mana-mana negara atau bangsa. Ia boleh dimiliki oleh semua dan jika ia dijadikan amalan budaya dan hidup, ia boleh memperkasakan sesebuah bangsa," katanya yang turut mencadangkan supaya Hari Kualiti Perkhidmatan Awam digantikan dengan Hari Inovasi.
Sementara itu Perdana Menteri berkata, usaha juga perlu dilakukan untuk membangunkan lebih banyak modal intelektual selaras dengan keperluan tenaga mahir negara.
Pada masa ini, katanya nisbah saintis dan jurutera bagi setiap 10,000 pekerja adalah 18 dan ia adalah rendah.
Wednesday, January 27, 2010
0 Baguslah AADK ada lokap sendiri, tidaklah menyesakkan lokap kami kata polis dan penjara. Bagus! Upgrade
Sumber: BH:
AADK guna lokap sendiri tahan suspek dadah
KOTA BHARU: Mulai tahun depan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) akan menggunakan lokap sendiri bagi menahan suspek kes penyalahgunaan dadah yang bertujuan mengurangkan penggantungan kepada lokap Polis Diraja Malaysia (PDRM) seperti sekarang.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Abd Bakir Zin, berkata dua daripadanya sedang dibina di Kelantan dan masing-masing satu di Perak, Selangor dan Kedah dengan kapasiti tahanan setiap sebuah boleh memuatkan seramai 150 orang.
"Semua projek yang dalam pembinaan itu bernilai RM35 juta dan dijangka siap sepenuhnya akhir tahun ini," katanya kepada pemberita pada majlis Malam Gemilang AADK Kelantan Bersama Media di sini malam tadi.
Abd Bakir berkata, sebelum ini tahanan yang disyaki suspek berkaitan dadah ditempatkan sementara di lokap PDRM di balai polis di seluruh negara sebelum dibicara dan kesnya diputuskan oleh mahkamah.
"Apa yang kita lihat ialah berlaku kesesakan, bercampur dengan tahanan-tahanan lain dan ini kerajaan melihat perlunya AADK mempunyai bilik tahanan sendiri," katanya.
Beliau berharap dengan adanya lokap sendiri yang dijangka bilangannya akan bertambah, dapat mengurangkan pengantungan kepada lokap-lokap PDRM.
"Disebabkan Kelantan berada bersebelahan dengan negara jiran, bilangan yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah agak ramai berbanding negeri lain," katanya.
Beliau berharap perkara itu dapat dikurangkan dengan kempen-kempen kesedaran yang berterusan dilakukan oleh kakitangan AADK ke seluruh Kelantan.
Pada majlis itu beliau turut menyampaikan Anugerah Kualiti kepada kakitangan agensi itu di Kelantan dan sijil penghargaan kepada media tempatan yang selama ini banyak membantu AADK. - Bernama
0 Berapa lama lagikah rekod ini dapat diatasi lagi? Kepada penggiat filem, cayo-cayo!
Sumber: BH:
'Avatar' ambil alih 'Titanic' filem box office tertinggi
LOS ANGELES: Filem epik sains fiksyen, 'Avatar' mencatat rekod baru filem box office mengalahkan 'Titanic' dengan jumlah kutipan terkini mencecah AS$1.85 bilion.
"Pada Isnin, 25 Januari, ’Avatar’ secara rasminya melepasi kutipan ’Titanic’ untuk mencatat satu sejarah baru dalam dunia Studion 20th Century Fox dalam kenyataannya semalam.
Pengarah “Avatar”, James Cameron yang melancarkan versi tiga dimensi (3-D) Avatar, kelmarin kini mendahului kutipan AS$16 juta daripada filem Titanic yang juga rahannya.
“Avatar” kini memperoleh kutipan AS$1.859 bilion berbanding pemenang Oscar “Titanic,” yang rekodnya berjumlah AS$1.843 bilion. - AFP
0 Sampai hati mereka letakkan kepala babi di masjid? janganlah kita jadi macam orang itu ya?
Sumber: BH:
Empat kepala babi diletak di dua masjid
KUALA LUMPUR: Empat kepala babi bersama wang tunai diletakkan di dua masjid di sini awal pagi tadi.
Masjid terbabit ialah Masjid Imam At-Tirmizi di Taman Seri Sentosa dan Masjid Jumkuriah Taman Dato' Haron di Petaling Jaya.
Masing-masing dua kepala dengan wang tunai RM35 dan RM40 diletakkan di setiap masjid berkenaan.
Sehubungan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, meminta orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.
0 Nasib baik belum dikubur dan timbus tanah. Bayangkan jika ianya sudah didalam tanah dan tiada siapa mendengarkannya? Dan yang menjerit itu anda?
Sumber: HM:
Jerit dalam keranda
2010/01/27
PENGURUS mayat, Darius Wysluchato bersama keranda Jozef.
WARSAW: Seorang penternak lebah terkejut apabila menyedari dia berada dalam keranda selepas tersedar daripada pengsan.
Juzef Guzy pengsan selepas disengat seekor lebah berhampiran kawasan ternakan lebahnya di Katowice, selatan Poland.
Sebuah ambulans dipanggil dan seorang doktor berpengalaman mengisytiharkan lelaki berusia 76 tahun itu mati.
Isterinya, Ludmila berkata: “Saya tidak percaya apabila doktor mengisytiharkan dia mati dan menutup suami saya dengan kain putih.
“Tiga jam kemudian, petugas pengurusan mayat tempatan memasukkannya ke dalam keranda dan menutupnya.” Mujur kesilapan itu disedari apabila Jozef yang cemas selepas sedar daripada pengsan, menjerit.
“Saya bernasib baik. Tidak banyak udara dalam keranda itu,” kata Jozef.
Jurucakap Perkhidmatan Ambulans Poland, Jerzy Wisniewski berkata, doktor berkenaan memohon maaf terhadap kesilapannya. Katanya, doktor terbabit tidak mengambil kira cuaca sejuk apabila memerika Josef.
“Mangsa didapati tidak bernafas dan tubuhnya sejuk - keadaan biasa bagi orang yang sudah mati.” Jozef berkata: “Pengurus mayat itu menyelamatkan saya.” - Agensi






