Sumber: BH:
Tekad membara Chong Wei kuasai 2012
Oleh Meor Hisham Zulkifli
sham@bharian.com.my
KETUA Pegawai Pemasaran Maxis, Matthew Wilsher (tengah) bersalaman bersama Chong Wei dan Datuk Misbun Sidek (kiri) selepas menandatangani kontrak bersama Maxis, semalam.
TAHUN 2012 menjadi musim terakhir buat Lee Chong Wei bergelar pemain badminton sepenuh masa, namun jaguh nombor satu dunia itu bertekad dia akan memastikan dapat merebut semua gelaran termasuk pingat emas Olimpik sebelum bersara.
"Tumpuan saya ketika ini adalah terhadap badminton dan matlamat saya adalah merangkul semua gelaran yang belum pernah saya menang seperti Kejuaraan Dunia, Seluruh England dan Olimpik. Saya akan cuba," katanya.
Diajukan soalan apakah dia akan mengikut jejak pemain Indonesia, Taufik Hidayat yang membuka akademi dan pusat latihan badminton apabila bersara, Chong Wei menegaskan, dia belum berfikir lagi perkara berkenaan kerana tumpuan kini adalah terhadap menyumbang yang terbaik untuk negara.
"Sekarang ini saya mahu tumpu kepada badminton dan cuba meraih gelaran termasuk membantu negara dalam saingan Piala Thomas nanti. Selepas ini saya akan ke saingan Seluruh England dan Terbuka Switzerland.
"Selepas itu saya akan beri tumpuan terhadap Piala Thomas dan mungkin tidak akan menyertai Kejuaraan Badminton Asia," katanya selepas majlis menandatangani perjanjian membabitkan dia dan jurulatihnya, Misbun Sidek sebagai duta produk syarikat telekomunikasi, Maxis, semalam.
Di majlis berkenaan, Chong Wei dan Misbun turut menyampaikan hadiah kepada 30 pemenang peraduan dalam talian yang diadakan oleh Maxis Berhad. Mereka yang berjaya mencipta slogan terbaik mengapa mereka menjadi peminat setia Chong Wei, menerima hadiah raket yang ditandatangani pemain itu.
Wednesday, January 27, 2010
0 Selamat maju jaya Lee Chong Wei. Apakah azam yang besar kita boleh buat agar tahun ini lebih bererti berbanding tahun lepas?
0 Apabila Hiroshima dan Nagasaki dibangunkan dengan sangat singkat. Kaitkan pembangunan ini untuk memajukan diri, berapa lama untuk berjaya?
Sumber: UM:
Sedekad untuk bangunkan semula Haiti
MONTREAL 26 Jan. - Perdana Menteri Haiti, Jean-Max Bellerive semalam merayu kepada negara-negara penderma supaya membantu usaha untuk membangunkan semula negaranya yang musnah akibat gempa bumi.
Hampir dua minggu selepas bencana yang mengakibatkan lebih 150,000 orang terkorban dan sejuta lagi hilang tempat tinggal, kuasa-kuasa antarabangsa yang bersidang di ibu negara Kanada ini diberitahu tempoh sekurang-kurangnya sedekad diperlukan untuk membangunkan semula negara Caribbean itu.
Bellerive yang turut berada di Montreal berkata, dunia perlu mengatur strategi jangka panjang bagi membangunkan semula negara termiskin di benua Amerika itu, selepas memenuhi keperluan terdekat untuk bekalan makanan, air, tempat perlindungan dan penjagaan kesihatan.
"Saya hanya mahu mengatakan rakyat Haiti akan perlu dibantu untuk menghadapi usaha pembangunan semula yang amat besar ini," kata beliau kepada para pegawai dunia
0 Setuju subjek sejarah atau sastera penting supaya masyarakat tidak kasar malah mampu menonjolkan identiti sendiri yang hebat!
Sumber:
Pembelajaran sejarah ditingkat
Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my
PULAU PINANG 26 Jan. - Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, mana-mana masyarakat yang tidak mengenali sejarah atau sastera akan menjadi masyarakat yang kasar dan tidak mampu menonjolkan identiti sendiri.
Kata beliau, sehubungan itu kementeriannya berhasrat membantu mempertingkatkan pembelajaran sejarah di sekolah-sekolah bagi membolehkan para pelajar lebih mengenai sejarah dan identiti bangsa dan negara.
"Subjek Sejarah penting untuk memupuk gagasan 1Malaysia di kalangan pelajar menerusi kegiatan kebudayaan, kesenian serta warisan dan ia memerlukan penglibatan pelbagai kaum.
"Kementerian melihat ia sebagai satu dividen untuk pelajar dan sekali gus mampu meningkatkan perpaduan dan kecintaan terhadap seni budaya pelbagai kaum daripada konteks sejarah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas Majlis Ikrar Gemilang Bagi Meraikan Ulang Tahun Ke-125 penubuhan Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan St. George dan perasmian muzium dan Galeri Puteri sekolah berkenaan.
Kata beliau, bagi menjayakan usaha itu, kementeriannya akan membantu sekolah-sekolah terpilih dan aktif menjalankan aktiviti sekolah termasuk kebudayaan, kesenian dan muzium.
Menurut Rais, pemahaman tentang sejarah dan sastera negara akan membantu mempercepatkan pencapaian gagasan 1Malaysia seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Gagasan itu akan lebih mudah tercapai menerusi perpaduan dan pergaulan pelajar berbilang kaum di sekolah terutama apabila mereka saling mengenali budaya dan warisan satu sama lain.
"Dan perlu diingat, konsep 1Malaysia ini bukanlah soal politik, ia adalah soal kehidupan rakyat Malaysia yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum," tegasnya.
Sementara itu, Rais menyifatkan SMK (P) St. George sebagai sekolah yang berjaya dalam memartabatkan kegiatan seni dan sangat terserlah dalam aspek amalan 1Malaysia setakat ini.
"Apa yang saya nampak, gagasan 1Malaysia di sekolah ini sudah pun terjalin baik di kalangan guru mahu pun murid kerana masing-masing begitu menghargai sumbangan setiap kaum melalui seni dan sejarahnya," katanya.
0 90% kekayaan adalah dari berniaga, bisnes hartanah adalah perniagaan
Sumber: UM:
Projek usahasama RM1 bilion
Oleh WAN NAJIB WAN DAUD
najib.daud@utusan.com.my

TUNKU Putra Badlishah (kiri) bersama Tong Kooi Ong melihat model kawasan yang akan dibangunkan selepas majlis menandatangani perjanjian usaha sama projek pembangunan pusat komersil di Bukit Jelutong, Shah Alam, semalam.
--------------------------------------------------------------------------------
SHAH ALAM 26 Jan. - Dua syarikat hartanah terkemuka Sime Darby Property Bhd. dan Sunrise Bhd., hari ini memeterai perjanjian kerjasama untuk melaksanakan projek pembangunan bersepadu di Bukit Jelutong, di sini bernilai RM1 bilion.
Syarikat kerjasama yang dikenali Sime Darby Sunrise Development Sdn. Bhd., akan membangunkan tiga lot tanah komersial pegangan bebas seluas 8.38 hektar dalam lima fasa mulai 2012.
Pengarah Urusan Sime Darby Property, Datuk Tunku Putra Badlishah berkata, kerjasama dengan Sunrise ini merupakan perkongsian pertama membabitkan pihaknya dengan syarikat luar kerana sebelum ini kesemua projek pembangunan dilakukan sendiri oleh Sime Darby.
"Perkongsian itu membolehkan kedua-dua syarikat berkongsi pengalaman dan kepakaran di dalam memajukan hartanah komersial serta kediaman sekali gus memberi faedah kepada para pembeli nanti," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama dan jual beli tanah di sini hari ini. Turut hadir ialah Pengerusi Eksekutif Sunrise, Datuk Tong Kooi Ong.
Selain daripada kerjasama itu, syarikat usaha sama itu juga akan membeli tanah dari anak syarikat Sime Darby Property bernilai RM114.08 juta atau RM125 sekaki persegi bagi membangunkan projek berkenaan yang dijangka siap keseluruhannya dalam tempoh tujuh tahun dari pelancaran fasa pertama.
Menurut Tunku Putra Badlishah, bagi mewujudkan syarikat usaha sama itu sebanyak RM25 juta disediakan sebagai modal berbayar.
Bagaimanapun, tambah beliau, sebarang keputusan berkaitan kewangan akan diumumkan kelak kerana masih terlalu awal bagi kedua-dua pihak mengumumkannya memandangkan ia masih di peringkat permulaan.
Ujarnya, pembangunan di atas tanah itu melibatkan kewujudan pusat komersial, peruncitan, pejabat dan pusat gaya hidup serta hiburan, akan memberi kemudahan kepada penduduk setempat dan kawasan sekitarnya.
Sementara itu, Tunku Putra Badlishah memberitahu pihaknya ketika ini memiliki simpanan tanah kira-kira 14,800 hektar yang boleh dimajukan bila-bila masa kebanyakannya berada di kawasan Lembah Klang.
"Tanah simpanan yang banyak ini berikutan tanah perladangan milik Sime Darby telah ditukar kepada status kediaman dan ini membolehkan kami memajukan lagi hartanah-hartanah yang mampu milik serta kediaman yang sesuai dengan persekitaran," katanya.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas nilai tanah simpanan yang dimilikinya berikutan nilai sesuatu tanah itu bergantung kepada nilai setempat serta keadaan persekitaran sekeliling.
0 Semoga YDA cepat sembuh, selamat maju jaya untuk pemangku Agong!
Sumber: UM:
Sultan Kedah Pemangku Yang di-Pertuan Agong

TUANKU Abdul Halim Mu'adzam Shah menurunkan tanda tangan pada Istiadat Menandatangani Watikah Pengisytiharan bagi menjalankan tugas-tugas rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Darul Aman, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA
--------------------------------------------------------------------------------
KUALA LUMPUR 26 Jan. - Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang juga Sultan Kedah, hari ini diisytihar sebagai Pemangku Yang di-Pertuan Agong.
Watikah perisytiharan itu dibaca oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu istiadat di Istana Darul Aman, Jalan Kedah, Bukit Persekutuan di sini.
Baginda kemudiannya menandatangani watikah perisytiharan bagi menjalankan tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong selama sebulan.
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dijadual menjalani rawatan fisioterapi selama 21 hari di Medical Park, St.Hubertus, Bad Wiessee, Jerman.
Sultan Abdul Halim yang ditabalkan sebagai Sultan Kedah pada 20 Februari 1959 adalah Yang di-Pertuan Agong kelima dari 20 September 1970 sehingga 20 September 1975.
Istiadat hari ini turut dihadiri puteri baginda, Tunku Panglima Besar Datuk Seri Puteri Intan Safinaz, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah.
Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan beberapa anggota Jemaah Menteri.
Terdahulu, Sultan Abdul Halim dan Sultanah Kedah Tuanku Haminah Hamidun tiba di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA di Sepang pada 11 pagi bagi menghadiri istiadat itu.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Najib dan Rosmah. - Bernama
Tuesday, January 26, 2010
0 Alahai 250K????
Sumber: Kosmo:
NEGARA
Suri rumah rugi RM250,000
Oleh FIRDAUS HASSAN
berita@kosmo.com.my
KUALA LUMPUR – Malang menimpa seorang suri rumah apabila kerugian RM250,000 selepas wang dan barang kemasnya dilarikan tiga wanita yang mendakwa hendak digunakan dalam upacara sembahyang bagi membuang sial dan roh jahat baru-baru ini.
Lebih malang apabila nilai wang tersebut bersamaan dengan dua biji buah oren, dua bungkus mi segera, sebungkus roti, sebotol air mineral dan dua bungkus garam.
Kejadian pukul 11 pagi itu berlaku apabila Lee Yoke Chan, 61, didatangi dua wanita tempatan dan seorang wanita China berusia dalam lingkungan 40-an ketika dia pergi ke pasar pagi Taman Cheras, di sini 18 Januari lalu.
Dalam kejadian itu, suspek mengatakan dia dan keluarganya dikelilingi oleh roh jahat dan akan mendapat bencana dalam masa tiga hari.
Bagi mengelakkan malapetaka itu, suspek kemudiannya telah mencadangkan kepada mangsa supaya melakukan upacara membuang sial dan roh jahat yang akan dilakukan oleh seorang sifu bergelar ‘Master’.
Ia kononnya untuk menjamin kesejahteraan suami dan empat anaknya.
“Bagi tujuan itu, mereka telah meminta saya menyerahkan semua wang simpanan dan barang kemas saya sebagai syarat untuk tujuan tersebut dan berjanji akan memulangkan semula selepas selesai.
“Saya kemudian telah mengajak salah seorang wanita itu pulang ke rumah berhampiran pasar itu untuk mengambil barangan kemas bernilai RM70,000 manakala dua rakannya tunggu di situ,” kata Yoke Chan ketika ditemui di Wisma MCA Jalan Ampang di sini semalam.
Tambahnya, suspek kemudian telah mengarahkannya supaya mengeluarkan wang di dalam bank berjumlah RM186,565 dan memasukkannya ke dalam beg plastik hitam untuk diserahkan kepada dua rakan suspek yang menunggu di pasar tersebut.
Menurut Yoke Chan lagi, sebaik bungkusan itu diserahkan, mereka memberitahu ‘Master’ terbabit tidak dapat datang kerana mempunyai urusan lain.
“Mereka kemudian telah memulangkan semula bungkusan yang seakan-akan sama dan memberitahu supaya jangan membukanya sehingga keesokan harinya bagi mengelakkan bala,” ceritanya lagi.
Ujar Yoke Chan, sebaik tiba di rumah, dia yang curiga dengan syarat itu telah membuka bungkusan tersebut dan terkejut apabila mendapati ia hanya mengandungi dua biji buah oren, dua bungkus mi segera, sebungkus roti, sebotol air mineral dan dua bungkus garam.
0 Inilah yang ditulis oleh akhbar tentang Pitt dan AJ
Sumber: HM:
Pitt berpisah demi keluarga?
2010/01/26 LOS ANGELES: Adik Brad Pitt, Doug, dilaporkan merayu kepada pelakon popular itu supaya segera meninggalkan pasangannya, Angelina Jolie, kerana keluarga mereka kini berantakan.
Media semalam melaporkan, Pitt, 46, kini berada di Los Angeles bagi menyokong kempen telethon membantu mangsa gempa bumi Haiti anjuran George Clooney.
Angelina pula berada di New York bagi menjayakan sesi fotografi.
Walaupun tidak pernah diketahui berkahwin, pasangan itu didakwa bertemu peguam terkenal di Beverly Hills untuk membincangkan perpisahan itu.
Pasangan itu juga dilaporkan menandatangani perjanjian bagi membahagikan kekayaan bersama yang bernilai RM1.13 bilion.
Laporan itu mendakwa, Pitt dan Angelina akan berkongsi hak penjagaan terhadap semua anak mereka, tetapi kanak-kanak terbabit akan menetap bersama aktres berkenaan.
Dough, 41, menemui Pitt ketika Krismas baru-baru ini dan mendesaknya menamatkan hubungan dengan Angelina kerana ia tidak disenangi keluarga mereka.
Walaupun tampil di khalayak umum sebagai pasangan bahagia, sumber mendakwa kemesraan hubungan Pitt dengan Angelina sebenarnya pudar sejak setahun lalu.
Kata sumber, amat jarang pasangan itu menghabiskan masa bersama dan jika kedua-dua mereka bersama, keadaan sangat muram.
“Di antara Pitt dan Angelina, mereka mahukan sesuatu yang berbeza,” katanya.
Menurut sumber itu, keluarga Pitt lantang mempertikaikan keserasian hubungan itu.
Bagi mereka, katanya, faktor tunggal menyatukan Pitt dengan Angelina adalah anak-anak mereka.
Pada Krismas lalu, pasangan itu sekali lagi berselisih pendapat apabila Angelina enggan menghabiskan cuti bersama keluarga Pitt.
Pada masa sama, Angelina juga semakin rapat dengan seorang guru Russia yang dikenalinya ketika berlakon filem terbaru, Salt.
Sejak beberapa bulan lalu, Pitt dan Angelina bertentangan pendapat mengenai anak angkat.
Sumber berkata, sebelum ini Angelina mahukan anak angkat dari Syria dan bertukar kepada Haiti, tetapi Pitt menganggap enam anak yang dibesarkan kini lebih daripada mencukupi.
Isu lain yang memburukkan hubungan mereka adalah hasrat Pitt berpindah ke New Orleans bagi membolehkan dia meluangkan lebih banyak masa bersama rakannya.
Sementara itu, ibu Pitt, Jane, tidak pernah mesra dengan Angelina, sebaliknya terus mengekalkan hubungan baik dengan bekas menantunya, Jennifer Aniston. - Agensi






