.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Sunday, January 02, 2011

0 Gambaran kasar bisnes filem Malaysia pada tahun 2010

Tanggungjawab perkasakan industri filem Malaysia
Oleh Mohd Mahyidin Mustakim

2011/01/02
Hasil karya cerminan bangsa menggambarkan ketamadunan, pencapaian sesebuah negara

TIRAI industri filem Malaysia tahun 2010 ditutup dengan tayangan filem Damping Malam terbitan Metrowealth Movies pada 30 Disember lalu. Prestasi positif industri ini boleh diukur melalui kutipan kasar filem tempatan yang ditayangkan menerusi rangkaian Skim Syarat Wajib Tayang (SWT) berjumlah RM67.6 juta (sehingga 21 Disember 2010) dengan 29 filem dan berjaya memikat 7.5 juta penonton. Angka ini jelas menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya yang merekodkan jumlah kutipan RM50 juta dengan 6.03 juta penonton. Senario ini adalah realiti pencapaian industri filem Malaysia dalam sektor penerbitan dan pemameran filem bagi 2010, namun begitu ia bukanlah kayu ukur atau petunjuk makro pencapaian industri filem negara. Malah, pencapaian ini juga boleh ditafsirkan sebagai cerminan terhadap usaha yang telah dijalankan Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS) dalam mencorakkan landskap pembangunan industri. Sebagai agensi Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) yang bertanggungjawab secara langsung dalam merencana pembangunan industri filem, FINAS sudah melaksanakan program pembangunan yang diberi nafas baru sejak 2007.

Ia adalah berpadanan dengan strategi pelaksanaan Dasar Perfileman Negara (DFN) yang diluluskan Kabinet pada 2005. Usaha untuk memahatkan profil industri filem Malaysia di persada dunia tidak terhad kepada filem cereka semata-mata, tetapi merangkumi pembangunan filem dokumentari, animasi dan filem kenegaraan. Usaha memartabatkan lapangan filem ini ternyata memerlukan iltizam dan komitmen tidak berpenghujung dari segenap penggiat filem.

Memetik hasrat Menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang mahu melihat industri filem Malaysia yang berdaya saing dan mampu menembusi pasaran antarabangsa, ia adalah satu azimat yang perlu disahut dan dikongsi bersama oleh semua penggiat filem. Gagasan murni ini amat perlu dihayati dan dizahirkan bersama.

Justeru, langkah proaktif diambil FINAS dengan mengadakan kerjasama penerbitan dokumentari dengan saluran antarabangsa seperti National Geographic, Discovery Channel International, AETN All Asia Networks dan Spacetoon International. Penyiaran dokumentari yang memaparkan keunikan dan kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia dapat ditonton jutaan penonton di serata dunia menerusi saluran terkemuka itu. Antara dokumentari yang berjaya mencuri tumpuan global ialah Becoming A King, Smart Tunnel, Fight Master Silat, Al-Maunah: The Malaysian Arms Heist, The Malayan Emergency dan P Ramlee: The Belated Super.
Menerusi program kerjasama pintar ini, penerbit dan tenaga produksi tempatan yang terpilih akan dibimbing badan penyiar global mengenai kaedah pembikinan dokumentari mengikut piawaian antarabangsa. Selain itu, transaksi kepakaran dan teknologi jelas dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh syarikat produksi yang terpilih menjayakan program ini.

Hasilnya, dua dokumentari yang diterbitkan FINAS menerusi pakatan strategik ini iaitu Amongst The Great Apes with Michelle Yeoh meraih Dokumentari Terbaik Kategori Hidupan Liar dan Fight Master Silat bagi anugerah Pengarah Dokumentari Terbaik di Asian Television Awards, Singapura baru-baru ini.

Bagi memantapkan lagi penerbitan dokumentari negara, program khas Dokumentari Malaysia Ke Persada Dunia sudah diadakan dengan dana khas bagi membiayai projek itu. Bahagian Produksi FINAS turut terbabit menerbitkan siri dokumentari yang berkaitan dengan subjek budaya dan sejarah negara, selain penerbitan promosi yang memaparkan nilai 1Malaysia. Paling membanggakan, FINAS diberi kepercayaan menerbitkan dokumentari proses pembinaan Jabatan Pulau Pinang Kedua.

Hasrat membawa industri ke tahap antarabangsa ini telah diterjemahkan menerusi usaha FINAS melengkapkan kemudahan peralatan perfileman dengan siapnya Studio Digital Mix Stage (SDM). Studio bernilai RM53 juta yang dibangunkan di bawah RMK-9 ini ternyata memudahkan pembikin filem melaksanakan kerja adunan muzik dengan kemudahan yang dikatakan tercanggih di rantau Asia. Pengwujudan SDM yang didirikan bersebelahan Dataran Karyawan FINAS diilhamkan sendiri oleh Dr Rais yang mahu penggiat filem tidak lagi ke luar negara menyiapkan produksi mereka.

Langkah ini diambil selepas FINAS memperoleh peralatan seperti HD kamera, mesin penyuntingan Non-Linear dan mesin Kine Transfer. FINAS juga akan memastikan proses penambahbaikan perkhidmatan mahupun memperoleh peralatan terkini ditingkatkan bagi manfaat industri mengikut keperluan semasa. Antara filem tempatan yang menggunakan kemudahan SDM ialah Estet, Hooperz, Toyol Nakal, … Dalam Botol dan filem Senjakala.

Filem Senjakala yang mendapat sentuhan Ahmad Idham meraih pujian media dalam pratonton filem itu. Ini jelas membuktikan kemampuan tenaga kerja SDM dalam memenuhi keperluan audio sesebuah filem. Kejayaan itu juga mematikan tanggapan negatif pihak tertentu yang melabelkan SDM sebagai projek ‘gajah putih’ dan menepis suara sumbang yang mempertikaikan keupayaan FINAS mengendalikan SDM.

Dalam mempromosikan produk filem dan TV pula, FINAS secara konsisten bermula 2002 menyertai pasaran filem antarabangsa, MIPCOM dan MIPTV di Cannes selain Hong Kong Filmart dan Busan Filmart. Dengan kerjasama padu MATRADE dan MDeC, pengusaha filem dan drama tempatan berpeluang memasarkan produk mereka secara berkesan dan sistematik.

Berdasarkan pemerhatian menerusi usaha pemasaran itu, filem animasi dan dokumentari Malaysia sememangnya mendapat perhatian pengedar rancangan antarabangsa. FINAS juga sudah diterima menjadi ahli Association of Film Commissioners International (AFCI) dan Asean Film Commissions Network (AFCNet) yang berjaya meletakkan profil industri filem Malaysia di peringkat global.

Potensi industri filem Malaysia jelas diperakui sebagai kandungan kreatif yang mampu menjana pendapatan kepada ekonomi negara. Dalam inisiatif Bidang Keberhasilan Ekonomi Utama (NKEA): Kandungan Komunikasi dan Infrastruktur, kerajaan telah menggerakkan My Creative Content yang terkandung di dalamnya penubuhan Suruhanjaya Perfileman, Creative Content Assocation, Creative Content Development Agency dan banyak lagi. Dalam menjana industri kreatif negara, kerajaan telah menyediakan Dana Industri Kreatif berjumlah RM200 juta sebagai suntikan kewangan bagi merancakkan lagi sektor kandungan kreatif termasuk bidang perfileman.

Pada tahun depan, filem yang bertaraf dunia bakal menemui penonton seperti filem Hikayat Merong Mahawangsa terbitan KRU Film dan filem Hanyut arahan pengarah tersohor U-Wei Haji Saari. Satu lagi petanda positif tahun ini, karyawan filem kita dilihat cuba lari dari genre komedi, seram dan aksi yang sering dihidangkan kepada penonton. Pembikin filem kita mula melebarkan kepompongnya dengan penghasilan filem berteraskan teknologi seperti Mantera dan Haq.

Oleh yang demikian, pelbagai usaha dan perancangan sudah, sedang dan akan dilaksanakan FINAS demi kebaikan industri dan pengamalnya. Oleh itu, bersama-samalah kita mempertingkatkan kualiti kerja dan daya kreatif ke arah industri perfileman yang lebih gemilang dan berjaya pada tahun depan. Kepada penggiat filem hayati dan renungi petikan kata-kata Dr Rais ini, “Filem bukan sekadar bahan hiburan, malah memainkan peranan lebih daripada itu. Filem adalah cerminan bangsa dan jendela pemikiran kita, filem menggambarkan ketamadunan dan pencapaian sesebuah negara bangsa.”

Penulis ialah Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS)

INFO
Pembangunan modal insan dan usaha merakyatkan filem


Sepanjang tahun lalu, Bahagian Latihan telah mengadakan 42 bengkel perfileman, lima bengkel Masterclass dengan 765 peserta merangkumi bidang penulisan skrip, lakonan, penyuntingan dan penerbitan dengan perbelanjaan lebih RM400,000.


FINAS dengan kerjasama GAFIM dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) turut menggerakkan siri Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM) yang berlangsung pada 20 hingga 24 Oktober lalu. FFM adalah medan rasmi pengiktirafan kerajaan terhadap dunia perfileman tanah air.


Portal perfileman sinemamalaysia.com.my telah dibangunkan sejak tiga tahun lalu dengan lebih 100,000 data seperti maklumat artis, filem, pasaran filem dan banyak lagi. Portal ini menerima kunjungan 53 juta ‘hits’ (sehingga 20 Disember 2010). Portal ini diakui amat bermanfaat sebagai rujukan media dan pengamal industri secara tepat, sahih dicapai dengan mudah dan cepat.


Bahagian Modal dan Insentif FINAS melalui Dana Pinjaman Filem Cereka (DPFC) telah meluluskan pinjaman berjumlah RM52.7 juta kepada 50 filem (sehingga Oktober 2010) di samping RM663 ribu bantuan kepada 42 permohonan di bawah Dana Pembangunan Seni Filem dan Multimedia.


Program Memasyarakatkan Filem (PMF) diadakan di Pawagam Coliseum, Jalan Tunku Abd Rahman setiap Sabtu minggu keempat saban bulan secara percuma. Penonton akan disajikan dengan filem terbaik mengikut era dan berpeluang menemui pelakon serta mengikuti diskusi ringkas yang diadakan.


Lebih 400 penonton hadir pada setiap sesi tayangan PMF. FINAS juga memperkenalkan program bulanan, Malam Bersama Bintang sejak Januari 2009 dengan matlamat yang sama - untuk membentuk generasi pelapis komuniti filem Malaysia.


Kelab Pencinta Filem telah ditubuhkan bermula di London pada Jun 2007 yang disempurnakan Dr Rais bersempena Minggu Malaysia di United Kingdom. Kelab ini sudah diperluaskan di seluruh negara dengan 71 Kelab di Sekolah Menengah dan sembilan IPTA/S dengan keahlian lebih 10,000 orang.

0 Planet bukan hanya 9 dalam sistem suria tetapi lebih banyak ditemui oleh kaji bintang

Empat planet kelilingi bintang ditemui


2011/01/02



LAKARAN artis mengenai sistem planet mengelilingi matahari.HR8799 seperti sistem suria bumi bersaiz lebih besar

FLORIDA: Sekumpulan ahli astronomi antarabangsa berjaya menemui dan mengambil gambar planet keempat terbesar di luar sistem suria, penemuan yang menguatkan lagi teori persamaan luar biasa antara sebuah planet yang jauh daripada sistem planet kita sendiri. Penyelidikan yang disiarkan secara online oleh jurnal Nature menyatakan, setakat ini sistem itu membabitkan empat planet mengelilingi bintang yang diberi nama HR8799. Pakar astronomi berkata, sistem planet berkenaan menyerupai sistem suria planet bumi, tetapi bersaiz jauh lebih besar.

“Selain mempunyai empat planet bersaiz gergasi, kedua-dua sistem juga mengandungi ‘rantaian puing’ hasil himpunan objek termasuk ais dan batu, selain zarah debu,” kata Profesor Fizik dan Astronomi Universiti California Los Angeles (UCLA), Benjamin Zuckerman, penulis bersama hasil penyelidikan itu.

Katanya, planet yang baru ditemui itu mengelilingi sebutir bintang bercahaya terang yang berada pada jarak 129 tahun cahaya dari bumi dan dapat dilihat samar-samar dengan mata biasa.

Sistem planet mengelilingi bintang HR8799 adalah amat besar berbanding sistem suria. Pakar astronomi menganggarkan saiz keempat-empat planet berkenaan mungkin 20 kali ganda lebih besar berbanding gabungan semua planet dalam sistem suria.
Penemuan planet terbaru berkenaan menyusul selepas penemuan tiga planet sebelum ini disiarkan jurnal Science pada 2008 yang melaporkan imej pertama sistem planet mengelilingi bintang selain matahari.

“Ini imej keempat planet dalam sistem berkenaan. Setakat ini, hanya sejumlah kecil planet di luar sistem suria sudah dikenal pasti dan berjaya dikesan selain sistem planet HR8799,” katanya.

Beliau berkata, semua empat planet yang mengorbit bintang itu mempunyai saiz hampir sama dan berkemungkinan lima hingga tujuh kali lebih besar berbanding planet Musytari. Planet baru itu mengorbit bintang pada jarak lebih dekat berbanding tiga planet lain.

“Jika planet itu mengorbit matahari, ia mungkin berada pada kedudukan antara planet Zuhal dan Uranus,” katanya.

Pakar astronomi menggunakan teleskop Keck ll di Pusat Pemerhatian WM Keck di Hawaii untuk mendapatkan imej planet keempat itu.

Rakan Zuckerman yang menyertai penyelidikan itu dari pusat Penyelidikan Kebangsaan Kanada (NRC), Makmal Kebangsaan Lawrence Livermore (LLNL) di California dan Pusat Pemerhatian Lowell di Arizona.

“Penemuan ini satu kejayaan besar dalam penyelidikan membabitkan ‘dunia lain’ sejak 2008, apabila sistem planet HR 8799 dikesan,” kata pakar astronomi Suruhanjaya Peraturan Nuklear (NRC) Christian Marois, yang juga ketua penulis kajian itu.

Katanya, gambar planet baru itu kemuncak kejayaan hasil usaha hampir 10 tahun, dengan pencapaian yang hebat dan memberi peluang untuk meningkatkan lagi semua aspek pemerhatian dan analisis. – Agensi

0 Hanya 1 minggu bertahan kemudian gagal! Azam baharu yang dibuat sendirian selalunya gagal. Anda memerlukan sokongan rakan untuk mencapai cita-cita

7 hari saja untuk capai resolusi Tahun Baru


2011/01/02
LONDON: Ramai orang tidak mempunyai keupayaan untuk mempertahankan azam Tahun Baru mereka melebihi tempoh seminggu, lapor satu kajian.

Agensi kempen kesihatan Jabatan Kesihatan Britain, Change4Life, berkata azam untuk berhenti merokok, makan makanan lebih berkhasiat akan lebih berjaya jika seseorang itu diberi sokongan moral. Akhbar Daily Mail melaporkan, penyelidik di Universiti Hertfordshire membuat pemerhatian ke atas 2,000 orang yang membuat azam baru selama dua minggu dan mendapati mereka yang hanya bergantung kepada diri sendiri gagal meneruskan azam hanya selepas seminggu. “Kajian mendapati hanya 30 peratus wanita menunaikan azam mereka berbanding 37 peratus lelaki, manakala mereka yang memberitahu keluarga mengenai azam masing-masing mempunyai lebih peluang untuk berjaya,” kata akhbar itu lagi.

Kajian yang diketuai Pakar Psikologi, Profesor Richard Wiseman itu turut memantau kemajuan yang dicapai ketika responden mula berubah sikap kepada lebih positif.

Hanya 26 peratus daripada responden yang bergantung kepada diri sendiri mampu mencapai matlamat mereka. Bagaimanapun 35 peratus daripada mereka yang mencuba teknik berbeza mencapai kejayaan lebih baik.

Penyelidik berkata, teknik lain termasuk menggambarkan atau membayangkan kehidupan lebih baik sebaik saja azam berjaya dicapai.
Profesor Wiseman yang juga penulis buku 59 Seconds: Think A Little, Change A Lot, berkata: “Kegagalan azam Tahun Baru amat kerap berlaku kerana ramai orang cuba melakukan terlalu banyak perkara dalam tempoh singkat dan tidak mendapat sokongan betul untuk membantu mereka.

“Mereka yang bergantung kepada diri sendiri mempunyai peluang tipis untuk berjaya berbanding mereka yang mencuba teknik lain, termasuk rakan yang menghargai kejayaan dicapai.

“Adalah penting kita menerima seberapa banyak nasihat dan sokongan untuk mencapai azam baru sambil menyedari azam kecil yang mudah, boleh dicapai dan dikekalkan,” katanya. – Agensi

0 Selamat Datang Tahun Baharu 2011! Semoga menjadi tahun yang lebih baik berbanding tahun 2010

Permulaan 2011 tidak ceria


2011/01/02


MANILA: Sambutan Tahun Baru 2011 tercemar selepas beberapa kejadian tidak diingini berlaku yang mengorbankan dan mencederakan beratus-ratus orang di seluruh dunia. Di ibu kota Filipina, dua orang terbunuh dan 546 orang cedera terkena percikan mercun dan tembakan senjata api ketika penduduk tempatan menyambut kedatangan Tahun Baru. Pegawai berkata, angka mangsa itu adalah lebih tinggi dibandingkan ketika sambutan 2010. Ramai penduduk Filipina percaya dengan tradisi masyarakat Cina bahawa sambutan hiruk pikuk menggunakan mercun dapat menghalau hantu dan nasib malang tetapi kenyataannya berbeza.

Di NARATHIWAT, dua anggota polis dari skuad pemusnah bom Thailand terbunuh manakala sembilan yang lain cedera dalam satu letupan di selatan Thailand selepas pasukan keselamatan memberi amaran mengenai keganasan yang mungkin berlaku menjelang Tahun Baru.

Pegawai polis berkata letupan bom terbabit, yang kedua dalam tempoh empat hari, berlaku di depan sebuah gerai, membunuh pegawai polis 50 tahun di tempat kejadian. Seorang lagi anggota polis meninggal sejurus tiba di hospital akibat terkena serpihan bom.

Di PESHAWAR, serangan berasingan dua peluru berpandu Amerika membunuh 14 orang dekat sempadan Afghanistan di timur laut Pakistan.
Dalam serangan pertama, 9 orang maut dan lima lagi terbunuh selepas orang ramai kena serangan ketika cuba membawa mayat mangsa serangan.

Di RAMALLAH, seorang wanita Palestin, Jawaher Abu Rahma, 36, maut selepas tersedut gas pemedih mata yang dilepaskan askar Israel ketika menyertai bantahan terhadap pembinaan tembok keselamatan Yahudi di Tebing Barat.

Tentera Israel berkata, ia menggunakan kaedah menyuraikan penunjuk perasaan bagi menamatkan protes 250 orang di perkampungan Bilin. Gambar kejadian menunjukkan asap gas pemedih mata menyelubungi penunjuk perasaan.

Di ISKANDARIAH, seramai 21 orang terbunuh selepas sebutir bom meletup di depan gereja Kristian Koptik ketika penganut agama itu keluar dari bangunan berkenaan.
Serangan itu berlaku selepas militan al-Qaeda beberapa kali mengancam menyerang penduduk Kristian Mesir.

Di KAHERAH, banjir disebabkan hujan lebat menghanyutkan sebuah bas dipenuhi 77 pelajar sekolah perempuan dan guru mereka yang melalui lebuh raya di selatan negara itu, menyebabkan kematian 15 orang, kebanyakannya pelajar.

Di ABUJA, empat orang maut dan 26 lagi cedera dalam serangan bom di sebuah pasar yang terletak di pinggir berek tentera di ibu kota Nigeria.

“Hingga ini, empat orang terbunuh termasuk seorang wanita hamil manakala 26 lagi cedera, 11 daripada mereka tenat,” kata Menteri Pertahanan, Adetokunbo Kayode. – Agensi



Artikel berkaitan:

Letupan kereta Tahun Baru, 21 maut



ORANG ramai terdiri daripada penganut Kristian menunjukkan kemarahan mereka ekoran insiden letupan kereta di hadapan sebuah gereja Coptic Orthodox di Iskandariah, Mesir ketika sambutan Tahun Baru, semalam yang mengakibatkan 21 orang terkorban. - AP



KAHERAH 1 Jan. - Sekurang- kurangnya 21 orang maut apabila sebuah kereta meletup di luar gereja Coptic Orthodox di utara bandar raya Iskandariah ketika penganut Kristian sedang berkumpul bagi menyambut Tahun Baru, malam tadi.

Kementerian Dalam Negeri Mesir sebelum itu berkata, seramai 24 orang turut mengalami kecederaan dalam letupan yang menyebabkan beratus-ratus penganut Kristian berkumpul di jalan-jalan raya bagi mengadakan bantahan.

Beberapa penganut Kristian dan penduduk Islam dilihat membaling batu ke arah satu sama lain, kata seorang saksi.

Kereta-kereta turut dibakar.

Di Mesir, 10 peratus daripada 79 juta penduduknya ialah penganut Kristian.

Mesir telah meningkatkan kawalan keselamatan di sekitar gereja-gereja dan melarang kenderaan diletakkan berhampiran kawasan gereja selepas sebuah kumpulan rangkaian al-Qaeda di Iraq mengeluarkan ugutan pada November lalu.

Kumpulan rangkaian al-Qaeda, Islamic State of Iraq yang mengaku bertanggungjawab menyerang sebuah gereja di Baghdad pada November lalu, mengugut gereja Mesir berhubung layanannya ke atas wanita Kristian yang memeluk Islam.

"Ini merupakan satu situasi seperti di Baghdad," kata seorang saksi kepada Reuters.

Polis terpaksa menggunakan gas pemedih mata bagi menyuraikan kumpulan pembantah yang mengadakan tunjuk perasaan di jalan-jalan raya.

Ambulans juga dikejarkan ke tempat kejadian di mana petugas perubatan mengumpulkan anggota badan mangsa letupan yang bertaburan di kawasan tersebut. - REUTERS



Artikel berkaitan:


2011: Lautan manusia di New York



ORANG ramai menjerit meriah ketika menyambut ketibaan tahun 2011 di dataran Times Square, New York semalam.


NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Lautan manusia memenuhi Times Square di sini semalam untuk menyambut tahun 2011 dalam acara yang dimeriahkan dengan pertunjukan bunga api disebalik pertumpahan darah di Afrika.

Sekitar sejuta orang hadir menyaksikan acara tradisi menjatuhkan bola seberat enam tan yang berisi 32,256 lampu LED dan 2,688 bola kristal di sini bagi menandakan bermulanya tahun 2011.

Parti tahun baru di seluruh dunia bermula di negara-negara rantau Lautan Pasifik dan merebak ke rantau Oseania, Asia dan Asia Barat diikuti ke serata Eropah dari Moscow hingga ke Reykjavik sebelum sambutan berpindah ke benua Amerika.

Di London, lebih 250, 000 orang berhimpun di tepi Sungai Thames bagi menyaksikan pertunjukan bunga api manakala kemeriahan tahun baru turut dirasai di kota-kota utama dunia termasuk Paris, Madrid, Vienna, Moscow, Taipei, Hong Kong, Tokyo dan Rio de Janeiro.

Namun, di bandar raya Alexandria, utara Mesir, sambutan tahun baru di cemari serangan bom berani mati keatas sebuah gereja yang meragut nyawa sekurang-kurangnya tujuh orang dengan 24 yang lain cedera.

Pihak berkuasa berkata, serangan disasarkan terhadap penganut-penganut Kristian setengah jam selepas tahun baru bermula.

Kira-kira 3,000 kilometer ke selatan Mesir di Abuja, Nigeria, sebutir bom meletup yang menyebabkan empat orang terbunuh manakala 12 lagi cedera.

Menurut pihak berkuasa, serangan berlaku di sebuah pasar dalam beberapa berek tentera di Abuja menjelang malam tahun baru.- AFP