.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Thursday, April 08, 2010

0 MEB? Mari masuk gelanggang bola jangan hanya jadi penonton

MEB: Salah sendiri jika gagal





UTUSAN : Bagaimana Datuk melihat MEB secara keseluruhannya?

AZMAN : Secara umumnya ia merupakan satu pelan yang bagus kerana ia telah dibuat berdasarkan pandangan ramai pihak. Terdapat ahli pemikir, ahli perniagaan, ahli politik dan pegawai kerajaan yang terlibat. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan kerana mereka berasal dari latar belakang yang berbeza tetapi mereka juga telah diberi peluang untuk didengari. Apa yang dinyatakan Perdana Menteri itu adalah satu rangka kerja yang cemerlang dan ia perlu dilakukan. Masa untuk bercakap sudah berlalu dan sudah sampai masa untuk membuat kerja. Apa yang berlaku sekarang adalah berbeza kerana sekarang apa yang berlaku di seluruh dunia turut sama menjejaskan kita tidak seperti dulu.

Saya terlibat dalam perniagaan perhotelan dan secara langsung saya banyak mengembara dan melihat pembangunan yang berlaku di seluruh dunia. Semua negara turut terasa kesan kemelesetan ekonomi dan semua mereka mahu memenangi perlumbaan untuk meningkatkan ekonomi. Namun persoalannya bagaimana kita perlu pantas memenangi perlumbaan itu dan dan semua ini tertumpu kepada bagaimana kita melakukan perubahan dalam ekonomi negara. Jika kita terlambat atau buat tidak tahu kita hanya boleh menyalahkan diri kita. Kalau dibuat perbandingan Indonesia lebih baik ekonominya berbanding kita dan saya melihat hotel saya di sana lebih baik perniagaannya dari hotel di sini. Jadi kita kena peka tentang semua ini. Memang banyak pembangunan yang telah berlaku di negara ini sejak 30 tahun lalu namun negara-negara lain seperti Filipina dan Vietnam juga semakin membangun seperti kita. Oleh itu pendekatan yang digunapakai tidak lagi sesuai dengan 30 tahun lepas dan seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri sektor swasta yang akan memacu ekonomi negara.

Dari sudut majikan mampukah kerajaan mencapai negara berpendapatan tinggi dengan gaji yang disasarkan?

Insya-Allah, kita boleh. Jika kita melihat kepada keadaan sekarang gaji pekerja kita adalah sekitar AS$7,000 (RM23,100) setahun dan untuk mencapai sasaran sekali ganda gaji dalam tempoh 10 tahun, banyak perkara yang perlu dilakukan. Mungkin yang menjadi masalah ialah dalam 10 tahun ia merupakan satu tempoh yang pendek. Kalau kita mencapai sasaran itu mungkin negara lain juga akan mencapai perkara yang sama. Dan mungkin apa yang dicapai kita lebih kurang sama dengan negara-negara lain. Memang dari segi sasaran kenaikan gaji ini boleh dicapai dan rekod telah menunjukkan. Namun kita juga perlu berusaha untuk mencapai lebih dari apa yang disasarkan dalam tempoh 10 tahun itu.

Kita perlu berusaha untuk mencapai bukan sahaja gaji tetapi ekonomi yang lebih baik dari negara-negara jiran supaya kita sentiasa mendahului. Namun ini memerlukan usaha yang berganda bukan sahaja dari pihak kerajaan tetapi juga majikan dan masyarakat secara umumnya. Kalau dahulu jika kerajaan membuka tanah baru atau membuka kilang, kita boleh mencapai sasaran yang dikehendaki dengan mudah namun keadaan kini jauh berbeza. Perancangan sekarang perlu melihat kepada keadaan ekonomi dunia. Contohnya, jika ekonomi di Britain meningkat sebaiknya kita perlu melabur di sana tetapi jika ekonominya kurang baik kita perlu mencari alternatif lain seperti di negara Asia Tengah atau di China. Jika dahulu kita mengeksport ke sana dan boleh mencapai sasaran namun keadaan sekarang berbeza. Kita tidak boleh bergantung kepada hanya satu dua pasaran sahaja dan kena cari alternatif. Kita kena berubah jika mahu mencapai sasaran dan terus bernafas dalam industri atau perniagaan yang diceburi.

Bila naik gaji bukankah ia sedikit sebanyak membebankan majikan secara tidak langsung.?

Dalam isu gaji ini kita tidak boleh memisahkan dengan soal produktiviti. Ini kerana jika kita berterusan bergantung kepada undang-undang di Malaysia dalam soal gaji minimum, ia masih boleh diperdebatkan. Kalau syarikat tidak boleh membuat keuntungan kita tidak boleh memberi gaji yang besar. Kalau pekerja tidak menyumbang kepada produktiviti dan tidak mahu berusaha lebih untuk memajukan syarikat, bagaimana syarikat hendak bayar lebih. Malah syarikat akan terjejas kerana tidak boleh menampung gaji pekerja yang tidak produktif. Tapi jika pasaran boleh menjadi lebih fleksibel maka majikan boleh terlibat dalam pelbagai jenis perniagaan lain.

Tapi jika kita bercakap mengenai soal taraf hidup yang tinggi kita kena bersyukur bahawa dalam banyak perkara kerajaan banyak memberi bantuan dalam bentuk subsidi kepada masyarakat. Maka ia bukan masalah besar kepada rakyat kerana jika dibandingkan dengan negara-negara lain masyarakat negara ini lebih baik. Tapi kita tetap tidak boleh bergantung kepada wang gaji rendah seperti sekarang. Perubahan dalam soal ini perlu melibatkan semua pihak namun ia tidak boleh berlaku dalam tempoh yang singkat. Biar ia menjadi lebih fleksibel. Itu masalah kita yang paling besar sekali. Kita perlu mengurangkan kos produksi namun pada masa yang sama menzahirkan kualiti yang tinggi.

Kalau kita lihat pada pihak yang mahu melabur di Malaysia sekarang mereka bukan melihat kepada pekerja murah tetapi kualiti pekerja, teknologi dan produk yang dihasilkan. Ambil contoh produk berteknologi tinggi seperti tenaga solar, mereka melihat kepada kualiti teknologi dan pekerja kita. Namun negara masih mempunyai kualiti yang diperlukan oleh pelabur yang mahu melabur berbilion dolar antaranya kerajaan yang stabil, kemahiran pekerja yang tinggi serta tahap penguasaan bahasa Inggeris pekerja kita yang baik berbanding mereka di Vietnam dan sebagainya.

Dari segi gaji, jika kita mendapat keuntungan yang lumayan pastinya kita mahu menjaga kebajikan pekerja kita. Namun dalam proses untuk mendapat gaji yang lebih tinggi kita perlu bergerak ke arah ekonomi yang lebih terbuka kerana keadaan ekonomi semasa memerlukan kita pergi ke peringkat lebih jauh dan pada masa sekarang dunia itu sendiri adalah padang permainannya.

Salah satu perkara yang dinyatakan oleh Perdana Menteri ialah mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing. Bagaimana Datuk melihat perkara ini?

Kategori pekerja asing ini pelbagai. Namun ia adalah satu usaha yang baik dalam mengurangkan pergantungan pekerja asing. Tetapi yang menjadi masalahnya ialah pekerja yang datang tanpa permit yang sah. Ataupun mereka yang datang sebagai pelancong tetapi kemudian bekerja secara tidak sah.

Maka ada pihak yang mungkin menyalahgunakan kemudahan yang disediakan untuk memasuki secara sah dan kemudian tinggal lebih lama untuk bekerja. Ini antara faktor tarikan bagi mereka masuk ke negara ini kerana bagi mereka negara ini dilihat sebagai lubuk untuk mencari rezeki kalau dibandingkan dengan negara asal mereka.

Namun dalam soal kebergantungan terhadap pekerja asing kita sudah semakin tidak bergantung kepada mereka. Jika satu ketika dahulu ramai ekspatriat berada di Malaysia seperti dari Jepun dan Korea. Namun jumlah mereka semakin berkurangan kerana peranan mereka diisi oleh pekerja tempatan. Rakyat tempatan ramai yang mampu menanggung kerja mereka dahulu seperti pengurus atau jurutera. Namun secara keseluruhannya kita tidak boleh bergantung kepada pekerja asing namun kita masih perlu memberi peluang kepada mereka dalam sektor-sektor tertentu seperti pertanian dan sebagainya. Dari segi jumlah pekerja yang terdapat di Malaysia terdapat 11 juta pekerja yang bekerja di sektor formal. Yang selebihnya sekitar enam juta adalah pekerja di sektor tidak formal seperti berniaga kecil-kecilan, berniaga nasi campur atau warung dan sebagainya. Hidup mereka ini ada yang mewah dan ada yang ala kadar sahaja.

Apa yang perlu dilakukan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing?

Perkara utama yang saya lihat adalah produktiviti pekerja di negara ini masih sangat rendah. Dari segi persijilan kemahirannya adalah sangat kurang. Kalau mereka masuk kerja hanya dengan kelulusan SPM dan itulah sijil yang mereka ada sehingga pencen nanti. Perlu ada pemantauan dari segi kemahiran pekerja dengan sijil yang mereka perolehi supaya tahap produktiviti mereka meningkat. Soal produktiviti ini adalah penting untuk diberi keutamaan.

Para pekerja perlu mempunyai kemahiran yang pelbagai supaya produktiviti boleh dipertingkat dan gaji juga boleh dibayar lebih lumayan. Seperti contoh, sebuah restoran mereka hanya mempunyai jumlah pekerja yang lebih kecil tetapi berupaya membuat pelbagai kerja dan mereka produktif maka gaji mereka pasti lebih lumayan berbanding restoran yang mempunyai pekerja yang ramai tetapi tidak produktif. Jika kita boleh mendapatkan pekerja yang mempunyai pelbagai kemahiran dan boleh membuat pelbagai kerja lain ia membantu menjadikan kita lebih produktif.

Inilah yang saya katakan sebagai peningkatan produktiviti. Kita perlu lebih kreatif dan inovatif dalam menjenamakan semula pekerjaan. Ini membantu meningkatkan kemahiran yang diperlukan dalam sesetengah pekerjaan supaya ia menarik minat masyarakat tempatan untuk bekerja dalam sektor tersebut. Kita tidak boleh bergantung kepada kerja yang hanya mempunyai satu kemahiran. Jika perkara ini tidak ditangani maka usaha untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di negara ini dalam menuju negara yang berpendapatan tinggi tidak akan terhasil. Maka adalah penting untuk melihat peningkatan tahap produktiviti pekerja di negara ini.

0 Kakitangan boleh berpolitik? Banyak yang berbakat. kaji dulu lah

Larangan kakitangan berpolitik perlu dikaji


2010/04/08
SHAH ALAM: Arahan yang melarang kakitangan awam terbabit dengan politik perlu dikaji semula jika ingin menarik kembali sokongan mereka terhadap kerajaan dan seterusnya Barisan Nasional (BN), kata Pakar Sejarah Datuk Prof Ramlah Adam.

Sehubungan itu, beliau berkata, sudah tiba masanya larangan berpolitik menerusi Perintah Am pekeliling kerajaan dikaji semula kerana arahan itu jelas memberi kesan kepada keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 sehingga menyebabkan BN kehilangan banyak negeri. "Kalau kita lihat bekas pemimpin negara seperti Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak, mereka adalah penjawat awam yang berjaya membuktikan kepemimpinan yang terbaik dalam politik negara. Malah, zaman dulu juga tidak ada larangan kepada pegawai kerajaan untuk terbabit dalam politik. "Sekarang keadaan berubah apabila pegawai kerajaan tidak lagi dibenarkan terbabit dalam politik di bawah Perintah Am. Larangan ini dilihat satu sekatan kepada mereka untuk turut serta dalam aktiviti politik di negara ini," katanya ketika menyampaikan ucapan pada sesi bual bicara segmen Tokoh Bicara : Politik sempena Konvensyen BN Selangor 2010 di sini, semalam.

Ramlah berkata, larangan itu turut menyekat potensi seseorang pegawai kerajaan itu, sekali gus dilihat antara faktor mengapa BN kekurangan pemimpin pelapis berbanding pembangkang.

Sementara itu, bekas Naib Presiden MCA, Yap Pian Hon turut meminta pemimpin BN membuang sikap angkuh yang menjadi punca kekalahan BN di beberapa negeri pada PRU lalu, selain memupuk sikap toleransi dengan rakyat.

"Barisan kepemimpinan BN perlu merangka satu strategi agar rakyat faham terhadap perjuangan BN dan seterusnya mengembalikan kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap parti itu," katanya.
Pemangku Pengerusi Universiti AIMST, Prof Datuk Dr T Marimuthu, berkata BN perlu meneliti trend penurunan sokongan semua kaum di negara ini terhadap parti itu antara 1995 hingga 2008.

0 Dana Filem 1Malaysia. Namewee mahu, Sabah pun mahu. Sarawak pun mahu. Berilah 1 Negeri 1 Set

Rais layan jika Namewee mohon

Salhan K Ahmad
Mac 17, 10
10:59am


Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kesenian, Datuk Seri Rais Yatim hari ini meminta Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee supaya mengajukan permohonan rasmi kepada kementerian untuk mendapatkan dana bagi menghasilkan filem 1Malaysia.


"Kena tulis surat dulu, baru kita layan," kata Rais (kanan) apabila diminta mengulas niat Namewee untuk memohon dana berkenaan bagi menjayakan filemnya.

Namewee semalam dilaporkan berkata beliau telahpun menyiapkan skrip bagi filem berkenaan.

"Tak bolehlah cakap mulut saja. Dia kena tulis surat dulu," kata Rais lagi apabila diminta mengulas sekiranya ada syarat tertentu ditetapkan untuk Namewee.

Dana pembangunan kreatif diumumkan kerajaan Oktober lalu dalam bajet 2010.



Namewee yang pernah dilanda kontroversi melalui klip video 'Negarakuku', pada sidang medianya semalam berkata dia bercadang untuk memohon geran kerajaan bagi membiayai filemnya yang berkonsepkan '1Malaysia.'


Katanya, dia ingin menggunakan cara sendiri untuk menampilkan konsep 1Malaysia, dan yakin gayanya itu akan diterima dengan baik oleh generasi muda Malaysia.

Menurut Namewee (kiri), walaupun kebanyakan daripada kawan-kawan penerbit filemnya yang berbangsa Cina memberitahu bahawa dia tidak akan mendapat sokongan kewangan itu, namun dia mahu membuktikan tanggapan itu adalah tidak benar.

Katanya, mereka semua adalah rakyat 1Malaysia, dan tanpa mengira bangsa Melayu, India atau Cina, mereka termasuk dirinya berhak menerima sokongan daripada kerajaan.

Namewee juga berkata skrip filem 1Malaysia telah siap dan ini adalah filem pertama arahannya, yang dicadang ditayang pada tahun ini.

Tambahnya, beliau akan mengumumkan perkembangan permohonannya itu melalui video di laman Youtube.



Inilah artikel terdahulu:


Namewee mohon geran k'jaan keluar filem 1M'sia
Mac 16, 10 7:51pm

Artis Namewee yang pernah dilanda kontroversi melalui klip video 'Negarakuku' kini bercadang untuk memohon geran kerajaan bagi membiayai satu filem berkonsepkan '1Malaysia.'


Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee berkata beliau layak untuk mendapatkan geran berkenaan, yang diumumkan kerajaan melalui dana pembangunan industri kreatif berjumlah RM200 juta yang diumumkan dalam Bajet 2010.

"Saya ingin terlibat dalam kempen khas ini menggunakan cara sendiri untuk menampilkan konsep 1Malaysia, dan saya percaya gaya saya telah terbukti diterima dengan baik oleh generasi muda Malaysia.

"Saya berharap untuk dapat menyampaikan mesej 1Malaysia kepada mereka melalui filem saya," kata Namewee dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, beliau berhak mendapat bantuan berkenaan, seperti juga rakyat Malaysia lain yang rajin berusaha dan beliau juga telah menyediakan dokumen-dokumen yang diperlukan untuk membuat permohonan berkenaan.

"Kebanyakan daripada kawan-kawan penerbit filem (berbangsa) Cina memberitahu saya bahawa saya tidak akan mendapat sokongan kewangan itu.

"Tetapi saya mahu mereka mengetahui bahawa (kita) semua adalah rakyat 1Malaysia, dan tanpa mengira bangsa saya Melayu, India atau Cina, saya berhak menerima sokongan daripada kerajaan sama seperti mana-mana rakyat Malaysia rajin yang lain," katanya.

Menurutnya, beliau telahpun menyiapkan skrip filem 1Malaysia - filem pertama arahannya - yang dicadang ditayang pada tahun ini.

Tambahnya, beliau akan mengumumkan perkembangan permohonannya itu melalui video di laman Youtube.

"Saya mempunyai harapan yang tinggi terhadap kerajaan, jadi saya berharap mereka tidak akan mengecewakan saya," kata Namewee.

0 Kisah Triple Six. Ada usaha untuk penyiasatan semula. Apa sebenarnya yang berlaku?

Harris: 'Ada niat jahat siasat nahas udara 1976'

Joe Fernandez
Apr 8, 10
11:13am


Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Harris Salleh (atas) mempertikaikan keperluan membangkitkan semula penyiasatan nahas udara 6 Jun 1976 yang meragut nyawa ketua menteri ketika itu, Donald Mohd Fuad Stephens dan beberapa pemimpin yang lain.

Nahas itu menyebabkan majlis pemeteraian perjanjian berhubung hasil minyak kerajaan negeri Sabah dan Petronas yang dijadualkan di Labuan itu tergendala. Ia kemudiannya ditunda dan dimeterai di Kota Kinabalu.

Pemimpin PKR Sabah, Jeffrey Gapari Kitingan dan presiden Parti Progresif Sabah, Datuk Yong Teck Lee baru-baru ini menuntut siasatan diadakan semula.

Harris melabelkan tuntutan supaya siasatan baru diadakan sebagai “berniat jahat dan bertujuan memalu dan memfitnahkanya secara peribadi.


Jumaat lalu, bekas pengerusi Petronas dan juga bekas menteri kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah pada satu majlisnya di Kota Kinabalu menimbulkan semula insiden nahas udara itu.

Razaleigh dilaporkan berkata beliau juga berada di pesawat yang membawa Stephen tetapi diarahkan keluar oleh Harris (yang ketika itu adalah Ketua Menteri) sebelum pesawat itu dijadualkan berlepas.

Menurut Harris, apa yang didakwa itu sebenarnya tidak benar.

Katanya, dua pesawat Nomad dijadualkan berlepas dari Labuan pada waktu yang hampir sama. Sebuah pesawat dijadualkan ke Kudat manakala sebuah lagi ke Kota Kinabalu.

“Penumpang bagi pesawat ke Labuan termasuk Abdul Rahman Yaacob, Razaleigh, diri saya dan beberapa yang lain,” kata Harris dalam satu kenyataan.

Harris bersumpah bahawa Razaleigh tidak dijadualkan terbang bersama Stephens ke Kota Kinabalu tetapi sebaliknya menuju ke Kudat dahulu sebelum ke Pulau Banggi.

“Tujuan lawatan adalah supaya Razaleigh menyaksikan sendiri projek ternakan lembu yang pertama di Sabah,” katanya.

Oleh itu, katanya, dakwaan yang Razaleigh diarah keluar dari pesawat malang itu pada saat terakhir adalah satu kesilapan.

0 Isu konvensyen BN Selangor, parti dan pemimpin, dengarlah suara rakyat. Jangan takutkan rakyat

Percayalah, UMNO Tidak Akan Berubah

Posted on April 7, 2010 by Prasert E.C.

Konvensyen BN, wakil MCA bertindak keluar dewan

Usaha Barisan Nasional untuk merampas Selangor dari Pakatan Rakyat dengan agenda konvensyennya di Shah Alam, hari ini menerima tamparan apabila 15 perwakilan MCA Kapar bertindak meninggalkan majlis itu.

Ketua MCA Kapar, Datuk Song Kee Chai yang dihubungi melalui telefon berkata antara punca tidak puas hati mereka ialah kerana MCA dianak-tirikan pada konvensyen berkenaan.

Antaranya, hanya lagu BN dan Umno dinyanyikan sedangkan lagu parti komponen lain tidak diendahkan.

“Konvesyen itu dianjurkan oleh BN, jadi menyanyikan laguUmno tidak mencerminkan semangat BN dan juga 1Malaysia,” kata Song lagi.

Selain itu, katanya, hanya tetamu dan pemimpin utama dari Umno yang dijemput duduk di pentas utama. Mereka termasuk Datuk Mohd Zin, Datuk Seri Noh Omar, Shafei Abdullah dan seorang lagi.

Tiada tetamu ataupun pemimpin parti komponen lain yang dijemput ke pentas utama.

Menurut Song apa yang menghangatkan lagi suasana ialah ketika ucapannya, Noh Omar yang juga timbalan pengerusi perhubungan Umno Selangor berkata orang Melayu telah banyak berkorban demi rakan-rakan bukan Melayu.

Menurut Noh, rakyat bukan Melayu sepatutnya berterima-kasih kerana diberikan kerakyatan.- (Malaysiakini)

UMNO tetap UMNO dan tidak akan berubah – tidak mempedulikan sensitiviti parti komponen BN dan tidak menghiraukan perasaan orang-orang bukan Melayu, termasuk mereka yang berdiri teguh di belakang UMNO sejak sekian lama.

UMNO bercakap seolah-oleh mereka ialah wakil Melayu seMalaysia. Sedarlah wahai pemimpin UMNO, majoriti Melayu kini telah sedar siapa kawan, siapa lawan. Satu bangsa tidak semestinya satu hati, satu matlamat. Siapakah pembunuh bangsa paling kejam kalau bukan bangsa itu sendiri.

Pemimpin UMNO tidak habis-habis mengungkitkan perihal kemurahan hati dan pengorbanan orang Melayu demi orang-orang bukan Melayu, khususnya orang Cina dan India. Semua orang tahu, dan tidak siapa mempersoalkan pengorbanan orang-orang Melayu itu. Tetapi sampai bila isu ini akan diungkitkan?

Pengorbanan itu sesuatu yang mulia dan tidak seharusnya diungkit-ungkitkan kerana takut akan hilang kemuliaannya.

Sekarang sudah lebih 50 tahun kita merdeka, adakah kita masih membangitkan isu “pengorbanan” Melayu seolah-olah sehingga hari kiamat pun pengorbanan itu tidak mungkin dapat dibalas?

Perkara ini tidak seharusnya dibangkitkan lagi kerana majoriti orang bukan Melayu warganegara Malaysia hari ini dilahirkan di bumi ini. Mereka yang mendapat kerakyatan melalui kemurahan hati Melayu (atau British?) sudah lama masuk kubur. Jikalau UMNO mahu menuntut budi, pergilah menuntut di kubur. Mahu melucutkan kerakyatan mereka pun rasanya tiada siapa larang.

UMNO jangan jadi seperti ceti haram atau ah long. Bapa pinjam, tetapi anak cucu yang diminta membayar hutang setelah bapa meninggal dunia.

Pemimpin UMNO entah sedar atau tidak bahawa mereka dapat membentuk kerajaan, menduduki barisan Kabinet dan menjadi raja kepada rakyat sehingga hari ini kerana “pengorbanan” orang-orang bukan Melayu juga.

Sekiranya bukan kerana “pengorbanan” orang-orang bukan Melayu setiap kali PRU, adakah pemimpin UMNO mampu membentuk kerajaan? PAS yang tidak pernah menerima “pengorbanan” orang-orang bukan Melayu, tidak pernah membangkitkan isu “kemurahan hati” orang-orang Melayu kepada bukan Melayu. Jikalau diperhitungkan, PAS (sebelum PRU 2008) tidak berhutang budi kepada orang bukan Melayu kerana PAS tidak pernah mendapat undi mereka. Sedangkan UMNO-BN dalam beberapa kali PRU diselamatkan oleh undi Cina dan India. Jadi, UMNOlah yang sebenarnya harus sedar bahawa orang-orang bukan Melayu banyak berkorban untuk mereka.

Melihat kepada sikap pemimpin UMNO yang tidak habis-habis “menyakitkan hati” orang-orang bukan Melayu, maka tidak hairanlah sekiranya undi bukan Melayu akan terus kekal bersama Pakatan Rakyat pada PRU akan datang.

0 Konsep Malaysia adalah idea yang baik. Sabahkah model 1Malaysia terbaik? Sarawak? Johor?

1Malaysia strategi bijak erat perpaduan kaum


2010/04/08
SEKALI air berubah, sekali pasir berubah. Begitulah peribahasa Melayu yang membayangkan betapa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selama satu tahun menempa kegemilangan demi kegemilangan. Bermula dengan konsep 1Malaysia, beliau melonjakkan pemikiran rakyat betapa demi kelangsungan hidup negara bangsa Malaysia - asas perpaduan tulen perlu di pupuk dan dibudayakan.

Konsep 1Malaysia memperihalkan jika rakyat bersatu di bawah satu bumbung dan berpaksikan perlembagaan, Rukun Negara dan prinsip penerimaan kepelbagaian kaum dan memahami rentetan sejarah pembentukan negara Malaysia, maka tiada usaha luar mahupun dalam yang boleh mengikis jati diri kita. 1Malaysia bukan retorik politik bahkan gagasan mencerminkan satu realiti dan hakikat sejarah serta perkembangan politik negara. Kita bersatu teguh di dalam konteks prinsip penerimaan, bahawa semua kaum sebagai rakan setia, prinsip kenegaraan bertunjangkan semangat cintakan negara yang diterapkan sejak Perdana Menteri pertama dan prinsip keadilan sosial di kalangan kaum dari segi kebajikan dan aspek sosial yang penting. Natijah yang dituntut daripada amalan kebersamaan bukan kesamarataan dalam 1Malaysia ialah rasa saling menghormati sesama kita bahawa segala tindakan kita perlu mengutamakan kepentingan negara.

Nilai murni yang cuba diterapkan seperti kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, kesetiaan, pendidikan dan integriti perlu dilestarikan ke arah membina negara bangsa Malaysia yang bersatu padu. Ia menuntut rakyat memahami warisan sejarah dan budaya, sekali gus melonjakkan pemikiran dan perasaan kekitaan bukan sebaliknya.

Malaysia memerlukan Wawasan 2020 direalisasikan segera jika negara ingin maju, walaupun syarat utama pencapaiannya memerlukan pertumbuhan ekonomi sebanyak 6.5 peratus setiap tahun.

Jika sejak suku tahun pertama 2010, ekonomi negara semakin pulih mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan, maka Najib sewajarnya disanjungi dan dipuji kerana berjaya mengatasi kemelut kemelesetan ekonomi negara.
Ia sesuatu yang bukan mudah direalisasikan tanpa kepemimpinan bijak lagi strategis dalam era globalisasi yang mengganas.

Justeru, ketika kecemerlangan kepemimpinan Najib, kita juga harus berwaspada terhadap musuh dalam dan luar yang saban hari cuba mempengaruhi rakyat dengan pelbagai taktik dan strategi yang memesong pemikiran rakyat. Hanya jauhari yang mengenal manikam .

Oleh itu, kita mesti bersyukur bilamana politik negara semakin stabil dan ekonomi negara memberikan peluang untuk rakyat menikmati kemewahan yang sewajarnya dengan memperlihatkan sikap positif bersama membantu melestarikan tindakan proaktif Perdana Menteri yang di usahakan selama ini.

PROF MADYA MOHAMAD MD YUSOFF,
Pensyarah Pusat Pengajian Komunikasi USM,
Pulau Pinang.