.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Saturday, April 03, 2010

0 RM40.06 j untuk Keningau. Inilah imbuhan apabila BN menang. Terima kasih pilihanraya

Keningau:RM40.06 juta diperuntukkan bagi pembangunan Keningau dalam jangka masa tiga tahun

Written by admin Sunday, 28 March 2010 05:04
KENINGAU: Sejumlah RM40.06 juta diperuntukkan bagi pembangunan daerah Keningau dalam jangka masa tiga tahun bermula tahun ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, peruntukan itu membiayai bekalan air di daerah ini sebanyak RM30 juta dan bekalan Elektrik Luar Bandar bagi 220 buah rumah bernilai RM 6 juta.

Katanya, turut dibiayai dengan peruntukan itu adalah pembinaan parit bagi Kg. Bayangan, Bayangan Atas dan Kg. Purakagis bermilai RM 110,000 dan pembinaan jalan di Kg. Masak sepanjang 850 meter bernilai RM 100,000.

Selain itu katanya, RM 3.2 juta untuk membiayai pembinaan 80 rumah PPRT dan RM 650,000 diperuntukkan bagi 47 projek peningkatan pendapatan membabitkan 65 peserta.

Shafie yang juga Naib Presiden Umno berkata, semua projek ini akan dilaksanakan sebelum ahun 2012.

“Peruntukan tersebut adalah sebahagian daripada peruntukan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Dato’Seri Mohd. Najib Tun Razak berjumlah RM 18 billion untuk Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di seluruh Negara,” katanya semasa berucap di majlis Program Mesra Rakyat di Gerakan Daya Wawasan (GDW) Kg. Bayangan dekat sini, kelmarin.

Hadir sama Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Haji Sairin Haji Karno, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bingkor Justin Guka, Adun Pantai Manis Datuk Abdul Rahim Ismail, Pegawai Daerah Keningau Amar Mohd. Yusof, Ketua Daerah Keningau OKK Amir Datuk Arif, Ketua Pemuda Umno Sabah Azman Haji Ruslan, Exco Pemuda Umno Malaysia Jamawi Jaafar, Ketua-Ketua Jabatan dan pemimpin-pemimpin masyarakat.

Dalam masa yang sama Shafie berkata, Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui oleh Perdana Menteri begitu komited pembangunan di negara ini dengan memberi keutamaan dengan pembangunan prasarana di luar bandar.

Katanya, pembangunan bukan sahaja tertumpu di negeri-negeri di Semenanjung tetapi Sabah dan Sarawak juga diberi keutamaan.

“Kerajaan akan memastikan semua pembangunan prasarana di luar bandar akan menepati keperluan rakyat” katanya.

Jelasnya, kewangan kerajaan haruslah memberi manafaat kepada seluruh rakyat di negara ini.

“Kita tidak mahu projek yang dirancang oleh kerajaan hanya memberi kemudahan kepada pihak pemaju dan kontraktor sahaja” tegasnya.

Ini katanya, selaras dengan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang merangkumi perkara iaitu Penurunan Jenayah, Pembangunan Pendidikan, Sistem Pengangkutan Awam, Peningkatan Pendapatan Masyarakat Luar Bandar, Membenteras Rasuah dan Pembangunan Prasarana Luar Bandar.

Enam perkara pokok dalam NKRA ini adalah penting bagi mencapai hasrat keajaan untuk meletakkan negara ini sebagai negara maju dan membangun.

Pada majlis itu Shafie menyempurnakan penyerahan kunci rumah PBR, penyampaian cek Pembiayaan Mara, Bantuan Ekonomi Kecil (BEK), sumbangan Kelab Pencinta (bukubuku prospectus untuk sekolah-sekolah Daerah Keningau dan Tambunan dan sumbangan satu set komputer dari Pencinta kepada Tabika Kemas GDW Kg. Bayangan.

0 Kasih ibu untuk anak yang mahu kahwin muda. Mari ambil iktibar

'Tunai janji lepas nikah'
Oleh Hamzah Osman
am@hmetro.com.my
2010/04/02 LANGKAWI: “Apa saja yang berlaku, saya mahu Halimaton terus bersekolah,” kata Normah Abd Mutalib, 46, ibu kepada Halimaton Abd Rashid, 15, yang akhirnya dibenarkan berkahwin dengan jejaka pilihannya, Mohamad Noor Abdullah, 19, apabila keluarga kedua-dua pihak bersetuju untuk menikahkan mereka dalam tempoh terdekat ini selepas berbincang selama tiga setengah jam, di sini, awal pagi semalam.



SEDIH...Halimaton (kiri) bertemu ibunya, selepas persetujuan dicapai. Normah ketika ditemui semalam, turut berpesan kepada bakal menantunya itu supaya menunaikan janjinya iaitu membenarkan Halimaton, antara pelajar terbaik UPSR Kedah 2007, terus bersekolah walaupun sudah bergelar isterinya.

“Saya juga mahu Halimaton ingat ketika saya mendukungnya ketika kecil dan membawanya ke kebun getah ketika saya menoreh... dialah harapan untuk mengubah nasib keluarga kami dan saya tidak mahu hasrat itu terbantut,” katanya.


Normah kelihatan tertekan dan kusut dengan situasi itu, tetapi reda dengan apa yang berlaku.


“Saya pun dah tak tahu nak cakap apa. Sebelum ini dia anak yang baik dan tidak pernah keluar rumah, tapi tiba-tiba jadi macam ini dan saya langsung tidak pernah terfikir keadaan ini,” katanya.


Perbincangan disertai Normah dan beberapa saudaranya bersama keluarga Mohamad Noor yang diwakili ibunya, Azizah Senapi, 49, dan bapa tirinya, Abd Razak Md Hashim, 51, diadakan di rumah Ketua Pemuda Umno Langkawi, Norsaidi Nanyan, di sini.



Ia berakhir pada jam 2.04 pagi dengan kedua-dua pihak bersetuju pasangan remaja itu dikahwinkan selepas urusan pentadbiran termasuk kebenaran Mahkamah Syariah Baling diperoleh dan turut disertai Ketua Pemuda Umno Baling, Mohd Khairul Azhar Abdullah yang menyaksikan kedua-dua pihak bertolak ansur.


Terdahulu, perbincangan peringkat pertama di hadapan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Langkawi, Asisten Superintendan Mohd Ismail Ibrahim di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi di antara jam 10.30 malam hingga 11.45 malam kelmarin menemui jalan buntu.


Normah juga dilihat hampir pengsan dan terpaksa ditenangkan ahli keluarganya selepas perbincangan peringkat pertama di IPD Langkawi dalam suasana tegang gagal.


Malah, turut berlaku situasi tegang di pekarangan IPD Langkawi ketika Halimaton mahu dibawa ke rumah Norsaidi apabila remaja terbabit menjerit dan memarahi sekumpulan jurugambar media dengan berkata, “Awat, Kodak banyak sangat ke?” Ketika mahu dibawa ke rumah berkenaan, Halimaton juga enggan menaiki kereta bersama ibunya, sebaliknya mahu menaiki kereta lain bersama ibu Mohamad Noor. Bagaimanapun, remaja terbabit akhirnya mengalah apabila diminta saudaranya supaya menemani ibunya.


Halimaton sebelum ini dilaporkan hilang dari rumah kakaknya di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, sejak 11 hari lalu. Dalam tempoh itu, gadis yang berasal dari Kampung Lanai, Kupang, Baling itu tinggal bersama keluarga Mohamad Noor di Kampung Kisap, di sini.



Halimaton sebelum ini ketika ditemui berkata, dia sanggup meredah segala kepayahan bagi memastikan dia dan Mohamad Noor dapat berkahwin dalam tempoh terdekat.


Sementara itu, Norsaidi ketika ditemui berkata, perbincangan yang menyaksikan situasi menang-menang itu turut memutuskan supaya Halimaton akan meneruskan persekolahan selepas dikahwinkan dengan pemuda pilihannya dan ia adalah janji dibuatnya sendiri.


“Selain itu, kedua-dua pihak juga masing-masing bersetuju untuk menarik balik laporan polis yang dibuat selain memberi komitmen tinggi untuk memastikan apa yang diputuskan malam ini menjadi kenyataan,” katanya.


Sementara itu, Mohd Khairul berkata beliau bersyukur kerana perbincangan yang berlangsung dalam suasana tegang pada peringkat awal berakhir elok selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk mengahwinkan pasangan berkenaan.


“Insya-Allah saya akan balik ke Baling dan berbincang lanjut dengan bapa Halimaton selaku wali untuk selesaikan urusan permohonan nikah di Pejabat Agama Daerah Baling kerana dia masih di bawah umur.


“Kalau urusan (memperoleh kebenaran Mahkamah Syariah) selesai hari ini (semalam), rombongan lelaki dari Langkawi akan bertandang ke Baling pada Ahad ini, begitulah seterusnya,” katanya.

0 Kenali wajah pengasas facebook. Kisah idea yang dicuri. Mari ambil ikhtibar

Dikhianati pengasas Facebook


GAMBAR menunjukkan Cameron (kiri) dan Tyler (kanan).

--------------------------------------------------------------------------------


LONDON - Bintang pendayung perahu lumba iaitu kembar seiras Tyler Winklevoss dan Cameron Winklevoss yang juga pelajar Universiti Oxford mendakwa mereka dikhianati oleh pengasas laman sosial Facebook, Mark Zuckerberg, lapor akhbar Daily Mail semalam.

Zuckerberg didakwa mencuri idea mereka untuk menghasilkan laman sosial tersebut ketika mereka masih belajar di Universiti Harvard Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2003.

Menurut Tyler dan Cameron, pada mulanya Zuckerberg diminta membantu mereka dalam program laman web Connect U bagi mencari teman wanita.

Namun, apa yang berlaku kemudiannya ialah pada Februari 2004, Zuckerberg melancarkan Facebook.

"Kami rasa dikhianati dan sangat terkejut. Namun, rasa terkejut itu bertukar menjadi usaha untuk membetulkan keadaan tanpa mengambil kira berapa banyak wang atau masa yang akan diambil," kata Tyler.

Dalam tempoh enam tahun, Facebook menjadi satu fenomena dengan nilai mencecah AS$5 bilion (RM16.2 bilion) dan 400 juta ahli.

Sehingga kini, perebutan secara undang-undang masih belum berakhir berhubung isu Facebook.

Walaupun telah dibayar AS$65 juta (RM211 juta) dalam bentuk tunai berhubung satu penyelesaian mengenai kes Facebook, kembar itu masih membuat tuntutan saham ekuiti.



ZUCKERBERG

--------------------------------------------------------------------------------



Kembar yang berketinggian 198.12 sentimeter dengan berat badan 89.8 kilogram itu juga bakal terlibat dalam filem blockbuster terbitan Paramount Pictures bertajuk The Social Network, berkaitan fenomena Facebook.

Mereka yang berasal daripada keluarga kaya di Connecticut, Amerika Syarikat akan mewakli Oxford dalam acara perlumbaan mendayung perahu dengan Universiti Cambridge hari ini. - Agensi

0 Genap setahun Najib sebagai PM. Tahniah atas usaha-usaha yang gigih. Terima kasih PM!

Tahun pertama menyeronokkan

KUALA LUMPUR 2 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tahun pertama beliau memegang jawatan merupakan satu "perjalanan yang menyeronokkan" dan beliau menemui makna yang mendalam dalam kehangatan senyuman rakyat biasa dan bersalaman dengan mereka.

Semasa 12 bulan kebelakangan ini, beliau telah memaksa dan mencabar diri sendiri untuk mencapai tahap yang boleh diteladani untuk menyampaikannya kepada rakyat walaupun beliau telah mengamanahkan kepada Kabinetnya untuk melaksanakanya dengan lebih berkesan, katanya dalam entri blognya 1Malaysia hari ini.

"Tidak dapat dielakkan, terima kasih kepada kesibukan, hari-hari saya semakin panjang dan malam-malam saya semakin pendek. Ia mungkin disebabkan tuntutan-tuntutan seperti ini yang saya temui makna yang besar dalam perkara-perkara yang kecil seperti kehangatan tulen senyuman dan berjabat salam dengan rakyat biasa Malaysia, yang kadang-kadang memberikan saya begitu banyak keseronokan seperti berjabat tangan dengan para pemimpin dunia," katanya.

Najib mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Keenam pada 3 April tahun lepas.

Tahun lepas telah menyaksikan Perdana Menteri menjelajah seluruh negara dan mengadakan kunjungan mesra untuk bertemu dengan rakyat dan mendengar masalah dan pendapat-pendapat mereka.

Dalam blognya, Najib juga menceritakan kehidupannya di luar pejabat, buku-buku yang dibacanya dan latihannya dengan alat injakan.

"Saya pasti ramai antara anda setuju dengan saya bahawa adalah sangat penting untuk melalui hari-hari yang seimbang di antara kerja dan kehidupan peribadi. Bukan sahaja ia membenarkan kita untuk menghabiskan masa yang berkualiti dengan keluarga dan rakan-rakan, kehidupan yang seimbang dapat meningkatkan produktiviti, pemikiran dan membuat keputusan," katanya.

Senaman fizikal membawa ketenangan dan tenaga bagi memenuhi jadual hariannya dan membenarkan beliau untuk memberi fokus dengan lebih baik berhubung perkara-perkara penting dan mencapai waktu-waktu yang lebih produktif, katanya.

Perdana Menteri berkata beliau juga berlatih dengan alat injakan dua atau tiga kali seminggu untuk membantunya mengatasi jumlah perjalanan yang dibuat di dalam negara dan seberang laut.

"Dalam arena antarabangsa, kita mesti terus meletakkan Malaysia secara positif, Ini penting memandangkan kita merupakan sebuah ekonomi terbuka yang kecil yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa," katanya.

Najib juga mendedahkan bahawa beliau membaca beberapa buah buku pada satu-satu masa dengan yang terbaru ialah When China Rules The World oleh Martin Jacques dan Blink oleh Malcolm Gladwell.

Walaupun amat jarang pada masa ini, beliau cuba bermain di sekeliling atau golf atau menonton televisyen, katanya.

"Dengan melihat ke depan saya memepertimbang sasaran-sasaran penting yang telah kita tetapkan pada 2010, saya menerima bahawa bukan semuanya dapat berjalan lancar pada sepanjang masa dalam beberapa bulan ke depan.

"Bagaimanapun, saya percaya bahawa dengan berkongsi bebanan itu dan sama-sama menuju ke arah tujuan yang sama, kita boleh mencapai matlamat kita," katanya. - Bernama

0 Kahwin bawah umur melibatkan pelajar pintar. Mari ambil ikhtibar

Nasihat Nooh kepada Halimaton

KUALA LUMPUR 2 April - Pelajar cemerlang, Halimaton Abdul Rasyid, 15, perlu memikirkan semula niatnya untuk berkahwin muda kerana tanggungjawab yang akan digalas bukan hanya sebagai isteri, namun juga sebagai ibu kepada anak-anak yang bakal dilahirkan.

Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadut berkata, perkara tersebut perlu diberi perhatian kerana perkahwinan adalah untuk selamanya, bukannya untuk sementara waktu.

"Apabila telah berkahwin tanggungjawab bukan hanya kepada suami tetapi juga kepada anak-anak. Semua ini perlu difikirkan oleh Halimaton, oleh itu jangan membuat keputusan kerana terlalu ikutkan nafsu sebaiknya buatlah solat istikharah dahulu,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 22 Mac lepas, Halimaton menghilangkan diri dari rumah kakaknya di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, Kedah kerana ingin berkahwin dengan teman lelakinya, Mohamad Noor atau lebih dikenali sebagai Adam.

Pelajar yang mendapat keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2007 itu tetap dengan pendiriannya untuk bersama dengan Adam atas alasan teman lelakinya seorang yang kacak.

Menurut Nooh, sesuatu perkahwinan perlu mendapat restu ibu bapa kerana perkahwinan tanpa restu akan mengundang malapetaka.

''Hampir 90 peratus perkahwinan tanpa restu ibu bapa membawa kepada penceraian. Sebagai seorang pelajar cemerlang, Halimaton perlu cemerlang dalam berfikir dan orang yang cemerlang tidak akan menyusahkan ibu bapa,'' katanya.

Nooh memberitahu, 30 peratus keruntuhan rumahtangga adalah berpunca daripada faktor kewangan dan ia wajar diambil perhatian oleh pelajar itu dan teman lelakinya sebelum berumahtangga.

0 Penggiliran calon pilihan raya? Pernah digunakan di Sabah untuk jawatan ketua menteri

Wujudkan sistem giliran calon Hulu Selangor

SHAH ALAM 2 April - Pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) disaran supaya mewujudkan sistem penggiliran calon kerusi Parlimen Hulu Selangor mengikut parti komponen bermula pilihan raya kecil kawasan itu yang dijadualkan 25 April ini.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor, Datuk Ramli Abd. Rahman berkata, pendekatan itu dapat memberi manfaat yang besar kepada kedudukan BN di kawasan tersebut selepas kalah pada pilihan raya umum lalu.

Katanya, pada masa ini pun banyak pihak memberi pandangan berdasarkan hasrat pengundi di kawasan itu yang mengharapkan BN memilih calon UMNO.

''Tetapi dengan sistem penggiliran calon, ia dilihat lebih adil selain mampu mengelak wujudnya pertikaian antara parti komponen BN bagi menentukan siapakah yang lebih layak untuk bertanding di kawasan itu.

''Maka, adalah lebih baik dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor 25 April ini, kita letak calon dari UMNO menerusi sistem penggiliran ini.

''Malah, meletakkan calon UMNO bagi mewakili BN juga dilihat dapat memenuhi tuntutan serta hasrat pengundi di kawasan itu pada masa ini yang mahukan calon Melayu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad, 71, dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) akibat barah otak pada 25 Mac lalu.

Ramli memberitahu, berdasarkan sejarah, pemilihan calon BN di Parlimen Hulu Selangor agak unik kerana ia pernah diwakili UMNO, MCA dan kemudian MIC.

Katanya, pada pilihan raya umum pertama tahun 1955, calon yang bertanding atas tiket Perikatan pada masa itu adalah daripada UMNO, iaitu Halimaton Saadiah.

''Selepas itu, calon kerusi Parlimen tersebut diserahkan kepada MCA pada 1959 sehingga 1982 yang diwakili bekas Menteri Telekom dan Pos, Tun Omar Ong Yoke Lin dan kemudiannya Timbalan Presiden MCA, Tan Sri Lee Kim Sai.

''Pada 1986, kerusi itu diserahkan kepada bekas Naib Presiden MIC, Datuk S.S. Subramaniam sehinggalah kepada Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel yang bertanding mewakili BN pada pilihan raya umum lalu di kawasan berkenaan sebelum kalah kepada calon PKR," jelasnya.

Tambah Ramli, cadangannya itu bukan untuk menidakkan kemampuan calon parti komponen BN lain, sebaliknya ia hanya usaha bagi memastikan BN menang di kerusi berkenaan yang merupakan kubu kuat BN.

Beliau menambah, kesemua Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Hulu Selangor iaitu Hulu Bernam, Kuala Kubu Baru dan Batang Kali ketika ini dikuasai BN.

Ramli yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor turut memohon supaya pucuk pimpinan BN mempertimbangkan pandangan majoriti pengundi semua kaum serta pemimpin BN di Hulu Selangor dalam membuat sebarang keputusan berhubung soal calon.

''Namun saya harap semua pihak akan menerima keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan BN nanti selain memberikan sokongan sepenuhnya kepada calon dipilih bagi memastikan BN menang di Hulu Selangor," ujarnya.

0 Skandal seks paderi: Paderi yang bersalah wajar dihukum, mereka tidak layak jadi paderi

Gereja Eropah gesa paderi bertaubat


2010/04/02


PENUNJUK perasaan menggesa Pope Benedict bertindak tegas terhadap paderi yang menganiayai kanak-kanak di depan gereja Los Angeles.VATICAN: Pope Benedict XVI menyifatkan skandal seks membabitkan paderi sebagai satu ujian kepada beliau dan gereja ketika paderi di seluruh Eropah menggesa mereka terbabit bertaubat dan berhenti mendera kanak-kanak dari segi seksual.

Paderi kanan Switzerland menggesa mangsa salah laku seks paderi membuat aduan jenayah, paderi kanan Jerman membuka satu talian untuk mangsa manakala di Denmark satu soal siasat dijalankan terhadap aduan yang disifatkan sudah lama. Paderi kanan Austria, Kardinal Christophe Schoenborn mengakui gereja bersalah kerana beliau mengetuai khidmat bagi mangsa untuk bertaubat. “Terima kasih kerana memaklumkan perkara ini,” kata Schoenborn kepada mangsa. “Banyak yang sudah dibongkar. Tetapi, masih banyak yang perlu dilakukan.”

Seminggu selepas Pope Benedict menegur paderi Ireland kerana silap penilaian dalam kes menguruskan paderi yang merogol kanak-kanak, seorang demi seorang paderi Eropah mengakui kesilapan, menemui mangsa dan berjanji untuk bertindak apabila mengetahui mengenai penderaan terbabit.

Mereka berjanji untuk lebih terbuka dan bekerja sama dengan polis, menyamai tindakan dilakukan paderi Amerika ketika munculnya skandal penderaan paderi di Amerika Syarikat pada 2002.

Ia berlaku berikutan kemarahan orang awam terhadap gelombang baru dakwaan penderaan di seluruh Eropah dan apa yang disifatkan mangsa sebagai cuba ditutup oleh paderi dan Vatican sendiri.
Ia diumumkan ketika minggu kemuncak dalam kalendar gereja. Paderi Switzerland pula berkata, ‘Holy Week’ adalah masa untuk bertaubat apabila mereka perlu mengakui kesalahan, mencari jalan untuk menjadi baik dan meminta keampunan Tuhan dan orang lain.

Ditanya bagaimana Benedict menangani skandal itu, jurucakap Vatican, Federico Lombardi berkata: “Pope adalah seorang yang jujur. Beliau melihat ini sebagai ujian kepadanya dan gereja. – AP

0 Bilangan anak luar nikah. Bagaimana status mereka kelak?

17,303 anak luar nikah didaftar 2009
Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my
2010/03/21
KUALA LUMPUR: Seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim, berkata bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun sebelumnya. Pada 2008 seramai 16,541 anak luar nikah didaftarkan di JPN manakala pada 2007 seramai 16,100 orang.
Alwi menjelaskan dalam tempoh lima tahun lalu, JPN mencatatkan 74,723 pendaftaran anak luar nikah adalah membabitkan orang Melayu/Islam. Ini tidak termasuk kes buang bayi yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). “Sepanjang tempoh ini, 214,033 bayi pelbagai bangsa didaftarkan dengan status anak tidak sah taraf, termasuk kes anak yang tidak berbapa 104,834 orang dan 109,199 orang mengikut Seksyen 13, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299),” katanya kepada Berita Minggu.

Mengikut Seksyen 13, bayi itu dianggap anak yang dilahirkan hasil ikatan perkahwinan tidak teratur atau tidak sah mengikut undang-undang negara.

Ini termasuk anak hasil hubungan luar nikah bagi orang Melayu/Islam atau pernikahan tidak didaftarkan mengikut undang-undang negara. Bayi yang lahir kurang enam bulan dari tarikh pernikahan ibu bapanya juga termasuk dalam status sama.

Bagi anak pasangan bukan Islam, kebanyakan kes merujuk kepada anak dilahirkan sebelum tarikh pendaftaran perkahwinan atau anak yang tidak mempunyai bapa.
Dalam tempoh lima tahun dari 2005 hingga 2009, pendaftaran ‘anak luar nikah’ membabitkan orang Melayu menduduki tempat kedua dengan 74,723 kes, di belakang kaum-kaum lain dengan 91,922 kes, diikuti India (23,696 kes) dan Cina (23,692 kes).

Beliau berkata, bayi tanpa bapa daripada keturunan Melayu/Islam diletakkan nama diikuti ‘bin’ atau ‘binti’ Abdullah atau mana-mana nama pilihan Asma Al-Husna (nama-nama Allah).

“Keputusan itu selaras ketetapan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan ia juga selaras format baru sijil kelahiran yang memerlukan nama penuh bayi berserta bin atau binti dipaparkan pada sijil kelahiran.

“Bagaimanapun, hanya maklumat ibu akan dimasukkan dalam sijil kelahiran bayi berkenaan dan nama pada MyKad kanak-kanak itu kekal menggunakan nama dalam sijil kelahiran,” katanya.

Bagi kes bayi pasangan yang berkahwin di luar negara tanpa mendaftar semula di Malaysia, beliau menasihatkan mereka menyelesaikan urusan dengan pihak berkaitan termasuk majlis agama atau mahkamah.

“Jika anak dilahirkan di luar negara, daftar dengan kedutaan dan apabila pulang ke Malaysia, daftar semula dengan JPN.

“Bagi kes yang tidak mendaftar perkahwinan mereka tetapi sudah mempunyai anak, mereka boleh mendaftar terus untuk dapatkan sijil kelahiran tanpa perlu dokumen daripada mahkamah, tetapi nama bapa tidak akan dimasukkan dalam rekod.
“Maklumat itu boleh diganti dengan nama sebenar bapa selepas mendapat pengesahan status perkahwinan,” katanya.