.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Saturday, April 03, 2010

0 Penggiliran calon pilihan raya? Pernah digunakan di Sabah untuk jawatan ketua menteri

Wujudkan sistem giliran calon Hulu Selangor

SHAH ALAM 2 April - Pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) disaran supaya mewujudkan sistem penggiliran calon kerusi Parlimen Hulu Selangor mengikut parti komponen bermula pilihan raya kecil kawasan itu yang dijadualkan 25 April ini.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor, Datuk Ramli Abd. Rahman berkata, pendekatan itu dapat memberi manfaat yang besar kepada kedudukan BN di kawasan tersebut selepas kalah pada pilihan raya umum lalu.

Katanya, pada masa ini pun banyak pihak memberi pandangan berdasarkan hasrat pengundi di kawasan itu yang mengharapkan BN memilih calon UMNO.

''Tetapi dengan sistem penggiliran calon, ia dilihat lebih adil selain mampu mengelak wujudnya pertikaian antara parti komponen BN bagi menentukan siapakah yang lebih layak untuk bertanding di kawasan itu.

''Maka, adalah lebih baik dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor 25 April ini, kita letak calon dari UMNO menerusi sistem penggiliran ini.

''Malah, meletakkan calon UMNO bagi mewakili BN juga dilihat dapat memenuhi tuntutan serta hasrat pengundi di kawasan itu pada masa ini yang mahukan calon Melayu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad, 71, dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) akibat barah otak pada 25 Mac lalu.

Ramli memberitahu, berdasarkan sejarah, pemilihan calon BN di Parlimen Hulu Selangor agak unik kerana ia pernah diwakili UMNO, MCA dan kemudian MIC.

Katanya, pada pilihan raya umum pertama tahun 1955, calon yang bertanding atas tiket Perikatan pada masa itu adalah daripada UMNO, iaitu Halimaton Saadiah.

''Selepas itu, calon kerusi Parlimen tersebut diserahkan kepada MCA pada 1959 sehingga 1982 yang diwakili bekas Menteri Telekom dan Pos, Tun Omar Ong Yoke Lin dan kemudiannya Timbalan Presiden MCA, Tan Sri Lee Kim Sai.

''Pada 1986, kerusi itu diserahkan kepada bekas Naib Presiden MIC, Datuk S.S. Subramaniam sehinggalah kepada Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel yang bertanding mewakili BN pada pilihan raya umum lalu di kawasan berkenaan sebelum kalah kepada calon PKR," jelasnya.

Tambah Ramli, cadangannya itu bukan untuk menidakkan kemampuan calon parti komponen BN lain, sebaliknya ia hanya usaha bagi memastikan BN menang di kerusi berkenaan yang merupakan kubu kuat BN.

Beliau menambah, kesemua Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Hulu Selangor iaitu Hulu Bernam, Kuala Kubu Baru dan Batang Kali ketika ini dikuasai BN.

Ramli yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor turut memohon supaya pucuk pimpinan BN mempertimbangkan pandangan majoriti pengundi semua kaum serta pemimpin BN di Hulu Selangor dalam membuat sebarang keputusan berhubung soal calon.

''Namun saya harap semua pihak akan menerima keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan BN nanti selain memberikan sokongan sepenuhnya kepada calon dipilih bagi memastikan BN menang di Hulu Selangor," ujarnya.

0 comments: