.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Tuesday, December 07, 2010

0 Pengertian Maal Hijrah dalam erti kata sebenar dan praktikkan dalam masyarakat berbilang kaum

Maal Hijrah bukan sekadar tahun baru


2010/12/07
Umat Islam mesti bersemangat, tanam cita-cita untuk berubah

RAMAI beranggapan Maal Hijrah hanyalah cuti umum atau permulaan tahun baru dalam kalendar Islam yang semakin kurang dihayati pengertiannya sehingga ia semakin tidak membawa apa-apa makna, selain waktu senggang untuk berehat. Maal Hijrah sering digambarkan sebagai permulaan yang baru, tetapi apa yang lebih penting ia adalah detik untuk setiap individu melakukan penilaian diri melalui proses muhasabah agar menjadi individu lebih baik. Tahun baru dalam Islam bukanlah sambutan perayaan atau simbolik semata-mata, tetapi membawa maksud yang lebih mendalam.

Faktanya, umat Islam memahami bahawa tahun Hijrah yang kini sudah mencapai angka 1432 menandakan perpindahan besar Nabi Muhammad SAW serta pengikut Baginda dari Makkah ke Madinah. Hijrah Rasulullah menandakan lembaran baru terhadap penyebaran Islam yang lebih makmur.

Hijrah menurut pengertian umum ialah meninggalkan larangan Allah dan melaksanakan perintah-Nya, bagaimanapun dalam pengertian yang lebih luas, ia membawa maksud keluar daripada medan perjuangan yang sempit ke gelanggang yang lebih luas dan ia adalah pemisah di antara yang hak dengan yang batil.

Konsep hijrah yang dianjurkan Islam sangat sesuai dijadikan model dalam masyarakat berbilang kaum supaya hidup dalam kesepakatan dan aman sejahtera. Semangat itu juga konsisten dengan semangat Aidiladha yang baru berlalu. Di sebalik semua saranan itu, masih ramai umat Islam masih terhimpit dengan desakan globalisasi, kemiskinan dan kemunduran.

Kemunduran berpunca daripada sempitnya akal fikiran, ketidaksanggupan manusia untuk berubah, kejahilan serta sikap tamak dan rakus yang natijahnya memakan diri dan masyarakat.

Setiap umat Islam mesti bersemangat dan menanam cita-cita untuk berubah. Berubah daripada sifat yang kurang baik kepada yang lebih bermakna untuk diri dan masyarakat. Hakikat ini juga bermakna umat Islam harus berani melakukan perubahan dan pengorbanan.

Hijrah tidak akan terjadi jika umat Islam belum bersedia mengorbankan tabiat lama yang kurang baik seperti membuang masa, suka berhibur serta tidak berfikiran terbuka.

Hijrah sepatutnya membawa perubahan dalam hidup ke arah yang lebih baik, sempurna dan diredai Allah, di mana hasilnya ialah kemenangan kita dalam mempertahankan akidah, agama, cara hidup dan nilai yang kita amalkan.

Pengorbanan yang dilakukan dengan ikhlas dan penuh yakin pasti akan membuahkan hasil terbaik. Perlu difahami bahawa hijrah adalah syiar keimanan, sama ada hijrah dari suatu tempat kekufuran, kemusyrikan dan kejahilan kepada tempat yang dinaungi akidah keimanan dan hakikat kebenaran.

Mengulas transformasi konsep hijrah, bekas Mufti Johor, Datuk Noh Gadut berpendapat berubah ke arah kebaikan dari sudut agama itu sendiri menepati maksud hijrah dan ia dipraktikkan kepada agensi kerajaan yang pertama adalah perpindahan turut berkait dengan FELDA yang menjadi satu agensi kerajaan bertugas untuk menangani penempatan penduduk luar bandar pada suatu ketika dulu.

“Berpindah membuka ladang di kawasan hutan pada zaman dulu sebenarnya bertujuan menyelamatkan akidah masyarakat. Ia termasuk membina satu komuniti baru umat Islam baik dari segi ekonomi dan sosial,” katanya.


Artikel berkaitan:

Peristiwa Hijrah pencetus semangat ukhuwah, transformasi
Oleh Mohd Ayop Abd Razid

2010/12/07
Ummah perlu pertingkat keimanan, bekerja keras bentuk sebuah negara maju supaya tidak ketinggalan

HARI ini, umat Islam mula melangkah masuk tahun 1432 Hijriah. Di negara kita, Maal Hijrah disambut pada setiap 1 Muharam. Sambutan Maal Hijrah tahun ini bertema '1Malaysia, 1Ummah'. Hijrah adalah perkataan Arab yang bermaksud meninggalkan negara atau berpindah dari 'badiah' (padang pasir) ke kampung atau kota. Sejarawan Islam merujuk hijrah sebagai peristiwa perpindahan Nabi Muhammad dan umat Islam dari Makkah ke Madinah. Peristiwa itu mencatatkan bahawa Rasulullah berjaya menjejakkan kakinya di bumi Madinah pada 16 Rabiulawal, bersamaan 20 September 622 Masihi. Justeru, bagi sejarawan dan ulama Islam, peristiwa itu menjadi garis pemisah antara ‘zaman Makiyyah’ dan ‘zaman Madinah’. Jika di Makkah, umat Islam ditekan dan ditindas tetapi di Madinah pula umat Islam berjaya menjadi umat cemerlang dan dihormati. Satu perkara yang harus difahami ialah peristiwa hijrah dilaksanakan atas perintah Allah. (al-Isra’:76 dan an-Nisa’:97). Sebelum perintah berhijrah ke Madinah diturunkan, Rasulullah pernah mengizinkan pengikutnya yang disiksa dan dizalimi berhijrah ke Habsyah secara sulit. Hijrah ke Habsyah berlaku sebanyak dua kali, iaitu pada 615 Masihi dan pada 617 Masihi. Raja Habsyah ketika itu adalah seorang Nasrani yang meyakini akan kelahiran rasul akhir zaman. Raja Habsah terkenal sebagai raja yang bersifat adil dan bersedia memberikan perlindungan kepada orang yang dizalimi.

Di Madinah, Rasulullah berjaya membina negara Islam Madinah yang kuat. Untuk membina negara Islam yang kuat, Baginda terlebih dulu membina perpaduan yang kukuh di kalangan penduduknya. Ia bermula dengan mempertautkan persaudaraan atau ukhuwah Islamiah antara kumpulan al-Muhajirin dari Makkah dan golongan al-Ansar di Madinah. Kemudian, baginda turut memikirkan penyatuan seluruh penduduk Madinah yang bersifat majmuk itu.

Untuk tujuan itu Rasulullah menggubal perlembagaan bertulis yang dikenali sebagai ‘Shahifah Madinah’ atau Piagam Madinah. Isi Piagam Madinah dapat disimpulkan kepada empat asas utama iaitu: mempersatukan seluruh umat Islam dari berbagai suku menjadi satu ikatan; menghidupkan semangat penerimaan serta saling bekerjasama sesama penduduk (warga); menetapkan bahawa setiap penduduk Madinah mempunyai kewajipan melindungi dan mempertahankan tanah air serta keamanan negara, dan menjamin persamaan serta kebebasan bagi semua kaum dan kepercayaan agama.

Asas itu jelas menggambarkan bahawa Piagam Madinah turut memasukkan orang bukan Islam ke dalam kesatuan ummah. Misalnya dalam Pasal 25 Perlembagaan itu menyebut, “Kaum Yahudi Bani 'Auf bersama dengan warga yang beriman adalah satu ummah.”
Dalam fasal Pasal 44 pula disebut: “Semua warga akan saling bahu membahu dalam menghadapi serangan pihak lain yang melancarkan serangan terhadap Yasthrib.”

Jelaslah bahawa, walaupun dari segi sejarahnya, istilah negara (state) dan bangsa (nation) mula muncul pada awal abad ke-20, namun konsep ummah seperti yang terkandung dalam Piagam Madinah itu mencerminkan wujudnya semangat faham negara atau faham kebangsaan. Konsep ummah itu telah berjaya menyatukan masyarakat Madinah menjadi suatu masyarakat yang saling bertanggungjawab mempertahankan tanah air serta bertanggungjawab mempertahankan keamanan dan kesejahteraan sosial mereka bersama.

Justeru, tema sambutan Maal Hijrah ’1Malaysia, 1Ummah’ adalah sesuai dalam konteks negara kita dan selari dengan konsep 1Malaysia.

Kandungan Piagam Madinah juga mengandungi ‘perjanjian sosial’. Ini dapat difahami apabila perlembagaan itu menetapkan bahawa setiap penduduk Madinah tanpa mengira keturunan dan agama bertanggungjawab mempertahankan Madinah dari sebarang ancaman. Dalam kehidupan sosial pula, mereka berjanji akan hidup bersatu padu, toleransi dan saling bantu membantu antara satu sama lain. Mana-mana penduduk yang didapati tidak setia, khianat atau melanggar perlembagaan maka hukuman setimpal akan dikenakan terhadap mereka.

Piagam itu adalah satu-satu perlembagaan bertulis yang pernah berdaulat sepenuhnya dalam sejarah dan tamadun manusia. Prof Muhammad Hamidullah (1973), menyebut bahawa walaupun sudah wujud perlembagaan tertua di Greek, China dan India ketika itu, namun semua perlembagaan itu tidak dapat dianggap sebagai perlembagaan sebenar (a true constitution).

Phillip K Hitti dalam bukunya History of the Arabs pula menyebut, walaupun di Athens sudah wujud sebuah negara kota (city state) yang pernah melakukan beberapa pindaan dan pembaharuan perlembagaan mereka tetapi ia bukanlah perlembagaan yang sebenar. Ia hanyalah kumpulan undang-undang lisan yang berasaskan adat resam.

Umat Islam patut mengambil pengajaran dan hikmah dari peristiwa besar itu. Antara pengajaran yang perlu difahami dari peristiwa Hijrah itu ialah perlunya kita memiliki misi dan visi dalam sesuatu perjuangan. Kita juga perlu memahami secara realistik tentang cabaran dan tentangan yang dihadapi supaya kita dapat menyediakan rangka strategi dan bertindak yang berkesan. Setiap anggota masyarakat harus memainkan peranan masing-masing secara berkesan serta patuh kepada perlembagaan dan peraturan negara.

Peristiwa Hijrah juga membuktikan bahawa Rasulullah berjaya meletakkan asas utama dalam perkara berkaitan politik dan pemerintahan, menegakkan hak rakyat dan hak asasi manusia, mengatur sistem ekonomi dan sosial serta hubungan diplomatik dengan negara luar. Kejayaan membina peradaban dan tamadun di Madinah yang menjadikan Islam sebagai peneroka zaman pencerahan turut membawa perubahan di dunia Barat. Fakta ini diakui oleh banyak sejarawan Barat.

Misalnya, Edward Mc Nall Burns, Robert E Lesner dan Standish dalam buku Western Civilization, Their History and Culture menyebut bahawa Islam yang pada asalnya diterima penduduk gurun pasir di Makkah, akhirnya berupaya dan berjaya mencetuskan idea pembaharuan di Eropah sejak abad ke-12. Arthur Glyn Leonard dalam bukunya Islam, Her Moral and Spiritual Value: a Rational and Psychological Study pula menyebut bahawa dunia Barat terhutang budi kepada Islam kerana agama inilah yang membuatkan Barat mengenal dan membangun ilmu pengetahuan moden.

Peristiwa ini bukan sekadar persoalan menyelamat dan menegakkan akidah tauhid tetapi juga bagaimana kecemerlangan kehidupan dunia diatur oleh Rasulullah melalui pembentukan negara Islam Madinah.

Oleh itu, dalam konteks moden hari ini, umat Islam sepatutnya bukan saja menghayati makna hijrah dari konteks akidah semata-mata. Malah sambutan Maal Hijrah sewajarnya difahami sebagai landasan untuk melakukan transformasi ke arah membentuk sebuah negara maju yang memiliki kekuatan dalam segenap aspek kehidupan supaya umat Islam tidak terus tinggal dalam kebekuan dan keterbelakangan dalam kehidupan duniawi.

Pengertian ini selari dengan maksud doa yang selalu dibaca oleh umat Islam yang bermaksud, ”Wahai Tuhan kami, berikanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat” . Ingatlah bahawa Rasulullah ketika membina negara Islam Madinah, bukan saja menekankan soal kerohanian (akidah) tetapi juga baginda turut membangunkan sistem sosioekonomi negara Islam yang maju.

Oleh kerana begitu signifikan peristiwa Hijrah ini, maka Saidina Umar Al-Khatab telah menjadikannya sebagai asas melahirkan kalendar Islam yang dikenali sebagai Tahun Hijrah (Hijriyah). Pada hakikatnya, kelahiran kalendar Islam itu adalah kesan daripada sebuah peristiwa sejarah yang penuh hikmah. Ia memiliki kedalaman agama kerana hijrah adalah perintah Allah yang menuntut kesabaran dan pengorbanan yang mulia.

Kesimpulan, sempena sambutan Maal Hijrah ini maka marilah kita tingkatkan keimanan dan ketakwaan. Untuk kepentingan negara pula, maka marilah kita mempertingkatkan usaha menjayakan transformasi seperti yang dihasratkan kerajaan. Produktiviti kerja harus dipertingkatkan, sama ada di sektor awam, sektor swasta atau mereka yang bekerja sendiri sebagai usahawan, peniaga, petani, penternak atau apa saja kerjaya yang halal.

Penulis adalah Ketua Unit Penerbitan di Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan

0 comments: