.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Tuesday, December 07, 2010

0 Khabar dari FFAP54. Filem MUALAF, buah tangan terakhir Yasmin Ahmad

Muallaf bukan filem rekaan

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my
2010/12/07



Orked bersyukur Yasmin mendapat pengiktirafan tertinggi pada FFAP54

HARIMAU mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Begitulah tingginya penghargaan kepada insan yang pernah menaburkan baktinya kepada negara, bangsa dan agama. Biarpun jasadnya sudah sebati bersama tanah, namun namanya masih segar bermain di bibir masyarakat, lebih lagi dengan sumbangan yang ditinggalkan hari ini. Tahniah kepada waris Allahyarham Yasmin Ahmad, menerusi filem Muallaf yang muncul sebagai filem pertama negara memenangi pengiktirafan tertinggi di Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) ke-54 yang berlangsung di Taiwan bermula 2 hingga 4 Disember lalu. Menerusi Muallaf, Yasmin diangkat sebagai Pengarah Terbaik, mengenepikan 13 negara Asia Pasifik lain yang bertanding di FFAP54.

Selain Muallaf, 36 filem lain yang bertanding termasuk empat filem tempatan lain yang dibawa seperti Magika, Lagenda Budak Setan, Pisau Cukur dan Cinta Ais Kacang yang tidak menerima sebarang anugerah.

Adik arwah Yasmin, Datin Orked berkata, menerusi kejayaan yang membawa nama negara, pihaknya berharap masyarakat kini sudah boleh menerima filem arahan kakaknya.

“Kami sedar memang ada sesetengah masyarakat tidak boleh menerima filem Muallaf, kerana apa pun saya tidak tahu, tetapi ia menjadi satu-satunya filem yang berjaya dalam FFAP seterusnya sudah membuktikan filem ini ada nilai tersendiri.
“Filem ini bukanlah filem rekaan tetapi ia adalah cerita sebenar yang pernah dilalui kami dan saya sangat berterima kasih kepada uncle Yap yang menjadi orang terpenting sehingga lahirnya filem Muallaf.

“Memang semasa tayangan filem ini pada 24 Disember tahun lalu tidak mendapat publisiti yang meluas daripada media. Ini lebih-lebih lagi ketika itu kami tidak mempunyai wang untuk mengadakan sebarang promosi di seluruh negara, jadi kami buat apa yang termampu saja,” katanya yang dihubungi Hip baru-baru ini.

Menurut Orked, bersujud tanda kesyukuran adalah perbuatan yang sering diamalkan kakaknya setiap kali menerima apa-apa anugerah sebelum ini.

“Sebaik saja saya menerima mesej daripada Ahmad Puad Onah yang mewakili filem Muallaf untuk menerima anugerah, katanya Yasmin menang, saya terus bersujud tanda kesyukuran, kerana perkara sama sering dilakukan kakak saya ketika dia masih ada.

“Sebenarnya saya sangat terkilan kerana tidak dapat mengikuti rombongan FINAS ke FFAP. Memang saya teringin sangat nak pergi untuk mewakili filem Muallaf tetapi tidak dibenarkan.

“Menurut FINAS, mereka hanya boleh membawa pengarah dan pelakon saja dan pengarah yang sudah tiada, tidak boleh diwakili oleh orang lain,” katanya.

Yasmin antara anak tempatan yang pernah menerima salah satu kategori di dalam FFAP yang dianjurkan Federation Of Motion Picture In Asia Pacific (FPA) setiap tahun.

Sebelum ini, Tan Sri P.Ramlee, Maya Karin, Datin Seri Tiara Jacquelina, Khatijah Tan dan Rosyam Nor pernah meletakkan nama negara begitu tinggi di sanjung oleh negara luar apabila memenangi salah satu kategori yang dipertandingkan.

Filem Muallaf yang diterbitkan MHZ Film Sdn. Bhd (Malaysia) dan The Picturehouse (Singapura) turut dibintangi pelakon seperti Sharifah Amani, Sharifah Aleysha, Bryan Yap, Datuk Rahim Razali dan Ning Baizura.

Filem dari India yang bertajuk ‘Janala’ memenangi anugerah Filem Terbaik di FFAP54, manakala pelakon veteran dari Filipina, Anita Linda menang Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem ‘Lola’ dan Hamid Farrokhnezhad dari Iran memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem ‘The Fateful Night’.

Yasmin meninggal dunia di Hospital Pakar Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada 26 Julai tahun lalu kerana pendarahan otak pada usia 51 tahun.

Sebelum ini, berpuluh anugerah pernah digapai baik dalam mahupun luar negara, antaranya Filem Cereka Terbaik Asia Tenggara (Mukhsin), Festival Filem Antarabangsa Cinemanila, Filipina (2007), Tempat kedua Anugerah Juri Kanak-Kanak (Mukhsin), Festival Filem Antarabangsa Berlin ke-57 (2007), Anugerah Filem Terbaik Kategori Generasi Baru (Mukhsin), Festival Filem Antarabangsa Berlin ke-57 (2007) dan Pingat perak (Mukhsin), Netpac Festival, Jojagkarta (2007).

Selain itu, menerusi filem Gubra, Yasmin memenangi beberapa kategori seperti Filem Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Poster Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-19 (FFM19) pada 2006.

Menerusi filem Sepet pula, filem itu menerima kategori Filem Reka Bentuk Terbaik ASEAN dan Anugerah Video Malaysia ke-9 (2004). Selain itu Filem Terbaik Festival Filem Wanita Antarabangsa Creteil, Perancis (2005), Cerita Asal Terbaik,

Filem Terbaik, Poster Terbaik, Filem Asia Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-18 (FFM18). Festival Filem Antarabangsa Tokyo (2005) dan Filem Terbaik Global Chinese Golden Arts, Genting Highlands (2005).

Info
Nama : Yasmin Ahmad
Jawatan: Penulis/Pengarah Filem/Penerbit
Tempat Lahir: Bukit Treh, Muar, Johor
Tarikh Lahir: 1958
Meninggal Dunia : 26 Julai 2009
Status Perkahwinan: Berkahwin
Suami: Abdullah Tan Yew Leong (berkahwin Januari 2003).

0 comments: