.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Sunday, December 19, 2010

0 Pengakuan Sukarela untuk perbicaraan kes kecil (PLEA BARGAINING)

Soal Jawab: Kaedah rundingan di mahkamah jimat masa, kos


2010/12/19



Presiden Majlis Peguam, Ragunath KesavanPengakuan bersalah boleh diringankan hanya apabila pertuduhan babit perbicaraan kes kecil

BARU-BARU ini, Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi mengumumkan kaedah ‘plea bargaining’ atau rundingan bagi pengakuan bersalah untuk kurangkan pertuduhan dan hukuman terhadap tertuduh sesuatu kesalahan jenayah akan dilaksanakan di mahkamah Malaysia tidak lama lagi, namun masih ramai tidak tahu apa sebenarnya kaedah itu serta natijahnya. Wartawan Edisi Mingguan, ROHANIZA IDRIS dan MOHD AZIS NGAH bertemu bekas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Salehuddin Saidin dan Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan untuk mengulas perkembangan terbaru ini. APA sebenarnya kaedah rundingan pengakuan bersalah ini. Ia bertujuan memudahkan perbicaraan kes jenayah ringan, bukan kes bunuh atau Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya. Prinsipnya apabila seseorang mengaku salah, mahkamah tak perlu buang masa bicara, sebaliknya terus jatuhkan hukuman. Ia jimatkan masa mahkamah dan mengurangkan beban kos ditanggung rakyat. Lebih 90 peratus kes dibicarakan mahkamah jenayah adalah kes ringan misalnya maki hamun atau curi. Kalau kes berat, sudah tentu pendakwa tak akan setuju.

Sebelum pindaan ini, kaedah sama ada diguna pakai di mahkamah, tetapi disebabkan tidak dibuat secara rasmi mengikut undang-undang, hakim kadang-kadang tak bersetuju dengan cadangan itu. Kadang-kala pendakwa tak mahu bekerjasama bagi mengelak salah tanggapan misalnya dituduh berat sebelah atau menerima rasuah kerana membenarkan tawaran. Bagi mengelakkan salah tanggapan itu, mereka tidak bersetuju guna pendekatan tawaran. Ada mahkamah berikan syarat tertuduh boleh buat akuan tetapi keputusan penuh masih di tangan hakim, maknanya tiada jaminan tempoh hukuman. Walaupun pendakwa raya bersetuju pinda tuduhan bunuh kepada bunuh tanpa niat, mahkamah boleh benarkan pengakuan tetapi hakim tegaskan hukuman akan ditentukan kemudian. Jadi, sebagai peguam bela dan tertuduh, mereka tidak pasti berapa tahun akan dipenjarakan kerana hukuman bunuh boleh penjara enam bulan hinggalah 20 tahun.

Tertuduh akan takut nak buat permohonan pengakuan dan peguam bela tak akan nasihatkan anak guam mereka terima kerana tiada jaminan keputusan hukuman akan lebih ringan walaupun hakim bersetuju dengan pengakuan. Melalui pindaan ini, apabila tertuduh mengaku bersalah, pendakwa raya boleh pinda tuduhan. Misalnya kes pergaduhan menyebabkan kematian, mereka akan didakwa atas tuduhan bunuh tetapi pendakwa raya boleh pinda tuduhan kepada bunuh tanpa niat kerana hukuman berbeza, iaitu antara enam bulan hingga 20 tahun. Melalui pindaan kanun acara jenayah, hukuman maksimum ialah 10 tahun, jadi orang yang mengaku bersalah boleh terima hukuman itu, bergantung kepada mereka untuk terima atau tidak. Mereka perlu fikirkan nak teruskan perbicaraan yang memungkinkan mereka dibebaskan atau akan didapati bersalah hingga dipenjara 20 tahun atau menerima pengakuan dengan maksimum hukuman 10 tahun.

Bagaimana kesan kaedah ini kepada tempoh penyelesaian kes pendakwaan.
Sebelum pindaan, perbicaraan kadang-kadang ambil masa tiga hingga lima tahun. Orang kena tuduh yang direman akan berada dipenjara, jika diikat jamin mereka boleh bebas sementara. Ada kes direman sehingga enam tahun. Sepanjang tempoh itu, saksi perlu hadir setiap kali perbicaraan dan membabitkan kos ditanggung kerajaan. Saya ingin tegaskan bahawa ini bukan kaedah untuk melepaskan orang bersalah. Kaedah ini cuma babitkan kes kecil di mana pendakwa raya menimbang keterangan mengurangkan pendakwaan tetapi hak mutlak bergantung kepada mereka. Keduanya, saya percaya pendakwa raya akan turunkan dakwaan sewenang-wenangnya. Contoh kes, seseorang didakwa mencuri secara kekerasan menggunakan pisau, mengaku bersalah mencuri tetapi memohon kepada pendakwa raya bahawa dia cuma cucuk pen pada mangsa untuk menakutkannya. Jadi, tertuduh merayu supaya pendakwaan dikurangkan kepada kes curi tanpa senjata.

Sejauh mana pula kesannya kepada usaha mengurangkan kes tertunggak dan kos serta menjimatkan masa mahkamah.

Mengikut anggaran Majlis Peguam, kaedah itu mampu selesaikan 20 hingga 30 kes ringan tertunggak. Contohnya tuduhan membunuh dengan memandu secara berbahaya. Peguam Negara akan tentukan kepentingan awam diutamakan, jadi tidak timbul isu kaedah ini bertujuan nak bebaskan orang bersalah atau nak menggalakkan jenayah. Rayuan itu hanya dibenarkan kepada pesalah pertama saja. Kesalahan kedua atau lebih tidak layak membuat permohonan. Ia memang terhad dan jika kes bunuh tanpa niat dikurangkan, pesalah tetap dipenjara 10 tahun, bukan dibebaskan. Kaedah ini layak diguna pakai untuk semua kes Kanun Acara Jenayah termasuk juvana, imigresen, alam sekitar, cetak rompak, tidak termasuk kes sivil seperti saman malu. Dari segi kos, ia mengurangkan beban rakyat misalnya kos saksi yang berulang alik ke mahkamah. Semua kos itu ditanggung kerajaan kerana saksi dalam senarai pendakwa raya perlu dibayar dan tempoh bersidang juga perlu diambil kira sebagai kos.

Jika perbicaraan dipendekkan atau langsung tiada, tidakkah ia menjejaskan pendapatan peguam.

Jika dilihat berdasarkan kepentingan peguam, mungkin sedikit menjejaskan pendapatan mereka tetapi Majlis Peguam lebih melihat kepada kepentingan awam, kepentingan sistem keadilan jenayah. Itu satu perkara yang kita boleh terima dan anggap sebagai keperluan serta perkembangan yang mesti ada dan diamalkan.

Dari segi pendapatan, ia terlalu kecil berbanding perkembangan dan sistem keadilan kes. Hak peguam, hak ikat jamin, hak dapatkan bicara yang adil, itu juga diambil kira dan semuanya penting. Kadang-kadang tertuduh memang bersalah berdasarkan fakta dan bukti, tetapi tidaklah boleh dianggap dia bersalah hingga langsung tak boleh diturunkan (hukuman) jika dia mengaku salah. Apa akan jadi jika dia didapati tak bersalah sedangkan kita habiskan masa beberapa tahun dan panggil berpuluh saksi. Kos sudah dibayar sepanjang perbicaraan dan akhirnya tertuduh menang dan bebas, tidakkah ia membuang masa, sedangkan pendakwa raya boleh fokus kepada kes berat, misalnya kes yang boleh menimbulkan ancaman kepada masyarakat. Kita boleh selesaikan kes dalam tempoh dua atau tiga bulan, berbanding lima tahun. Bila dakwaan diturun, mereka tetap dihukum, cuma lebih ringan.

Bagaimana mahu memastikan kaedah ini nanti berjalan lancar dan tidak mengundang persepsi negatif rakyat.

Keputusan membenarkan rayuan adalah hak mutlak pendakwa raya, peguam cuma mengkaji kes dan fakta sebelum buat permohonan, pembentangan dan bincang dengan pendakwa raya. Itu konsep yang kita amalkan. Sebelum pindaan dibuat, banyak perbincangan membabitkan pejabat Peguam Negara, Majlis Peguam dan badan kehakiman untuk tentukan satu cara dengan ambil kira konsep boleh diambil pakai. Ini satu pindaan teliti kerana babit kajian dan perbincangan selama setahun. Jika masyarakat menganggap kaedah ini boleh galakkan orang buat jenayah, ia salah. Kenapa kita perlu jaga hak orang kena tuduh hingga bagi diskaun hukuman. Sebenarnya persepsi itu tak tepat kerana kaedah ini cuma babit kes kecil. Kes ragut juga tak layak kerana babitkan kepentingan awam. Di luar bandar, misalnya kes curi kambing, curi kasut, kes juvana, boleh ditolak ansur bertujuan kurangkan beban dan bagi peluang kedua kepada tertuduh kesalahan pertama. Bagi kes direman, mereka masih berpeluang gunakan hak ini mulai tahun depan.



Artikel berkaitan:


Soal Jawab: Kaedah 'plea bargaining' tak jejas proses keadilan


2010/12/19



Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Salehuddin SaidinPendekatan wajar dilaksana di Malaysia kerana terbukti berjaya, diamalkan di AS dan India

BARU-BARU ini, Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi mengumumkan kaedah ‘plea bargaining’ atau rundingan bagi pengakuan bersalah untuk kurangkan pertuduhan dan hukuman terhadap tertuduh sesuatu kesalahan jenayah akan dilaksanakan di mahkamah Malaysia tidak lama lagi, namun masih ramai tidak tahu apa sebenarnya kaedah itu serta natijahnya. Wartawan Edisi Mingguan, ROHANIZA IDRIS dan MOHD AZIS NGAH bertemu bekas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Salehuddin Saidin dan Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan untuk mengulas perkembangan terbaru ini. PADA pendapat Datuk, apakah yang mendorong kaedah ini dilaksanakan secara rasmi di negara kita.
Kaedah ini sebenarnya bukan baru di Malaysia, cuma selama ini ia tidak dibuat secara rasmi dan tiada dalam mana-mana peruntukan undang-undang yang membolehkan pendakwa, peguam dan mahkamah berbincang mengenai pertuduhan dan hukuman terhadap tertuduh. Bererti sebelum seseorang kena tuduh di mahkamah, rundingan terhadap pertuduhan dan hukuman terhadapnya dibincangkan terlebih dulu. Pendekatan ini sudah ada dan dipraktikkan dalam kes jenayah, namun tidak termaktub dalam Kanun Acara Jenayah (CPC) atau undang-undang lain.

Saya berpendapat pindaan CPC dengan memasukkan kaedah ini langkah bagus kerana dapat mengurangkan tempoh perbicaraan. Kaedah ini sudah dilaksanakan di Amerika Syarikat (AS) dan apa yang mahu dilaksanakan di negara ini, saya difahamkan kerajaan mengambil model dilaksanakan di India. Kaedah ini juga difahamkan begitu berjaya di Amerika Syarikat dan sering dijadikan contoh pada seminar berkaitannya.

Apabila kita memasukkan rundingan bagi pengakuan bersalah dalam undang-undang dan diisytihar sebagai rasmi maka kes perbicaraan di mahkamah dapat dikurangkan. Proses perbicaraan mengambil masa kerana ia membabitkan saksi, bahan bukti, mahkamah, tertuduh, pendakwa raya dan peguam. Jika ada kaedah ini, kes jenayah yang boleh dipertimbangkan untuk dikurangkan hukuman dan tuduhan boleh dilaksanakan.
Contohnya, dalam kes berkaitan dadah, seseorang itu ditangkap kerana mengedar, namun kerana kekurangan bukti mungkin tertuduh tadi boleh dituduh memiliki dadah berbanding tuduhan mengedar yang menetapkan hukuman mandatori gantung. Jadi di sini, kita boleh nampak bagaimana proses ‘plea bargaining’ ini berlaku.

Mengambil contoh ini bermakna ‘plea bargaining’ dapat mengurangkan kes tertunggak dan melicinkan proses pentadbiran keadilan, manakala tertuduh dapat dibicara dengan cepat serta tidak menyusahkan pihak berkaitan seperti saksi dan peguam. Kes yang perlukan perhatian dan mahu dipercepatkan juga dapat dipercepatkan lagi melalui kaedah ini. Juga boleh menyelesai dan mempercepatkan pelupusan harta dirampas kerana sesetengah kes menyebabkan harta dibekukan dan mereka yang terbabit termasuk ahli keluarga atau syarikat yang berkenaan akan dapat meneruskan kegiatan atau kehidupan masing-masing. Ia juga dapat mengelakkan penganiayaan terhadap tertuduh yang ditahan reman lebih lama daripada tempoh hukuman.

Bagaimana pula dengan masa pelaksanaannya, adakah sepatutnya kaedah ini sudah lama diamalkan.

Pada saya, kaedah ini sepatutnya sudah lama dilaksanakan berikutan banyak kes tertunggak. Maka Malaysia agak ketinggalan dalam aspek ini, namun ia perlu dilakukan sekarang juga daripada tidak dilaksanakan langsung. Kaedah ini sesuai untuk negara kita dan perlu dilaksanakan segera, namun persoalan kini mengapa perlu ‘plea bargaining’ ditawar dalam masa 30 hari selepas seseorang itu didakwa. Pada saya, sepatutnya tiada tempoh masa ditetapkan kerana banyak aspek perlu diberikan perhatian termasuk bukti dari Jabatan Kimia, makmal, rekod hospital dan sebagainya.

Satu lagi persoalan ialah bagaimana dengan kes sebelum pindaan dibuat, adakah ia turut terpakai dan boleh menggunakan ‘plea bargaining’ ini, mungkin kerajaan boleh menjelaskannya.

Apa yang pasti, akan wujud pro dan kontra kaedah ini kepada tertuduh.

Kaedah ini membabitkan tiga pihak, iaitu orang kena tuduh, pendakwaan dan mahkamah. Jadi sebelum sesuatu proses rundingan itu berlaku ada beberapa perkara perlu diberikan perhatian. Perlu lihat apa isu yang terbabit, keterangan yang ada, adakah pihak pembelaan cukup keterangan untuk membela atau ada alibi, apakah dengan cara mengurangkan tuduhan dan hukuman akan membawa keadilan kepada mangsa. Itu semua diambil kira dalam proses tawar menawar ini. Mulanya dua pihak iaitu yang mendakwa dan yang dituduh perlu berbincang berdasarkan faktor tadi, apabila bersetuju dengan tuduhan atau hukuman maka ia dikemukakan kepada mahkamah. Jadi mahkamah akan tentukan hukuman paling sesuai hasil kaedah ini dan mengambil kira faktor dikemukakan termasuk keadilan kepada mangsa dan orang kena tuduh.

Akhirnya, mahkamah kena lihat sama ada hukuman dijatuhkan nanti bukan saja bagi keadilan dan kebaikan kepada tertuduh, tetapi kepada mangsa serta masyarakat keseluruhannya. Dalam pindaan ini, saya lihat seseorang yang tidak mempunyai peguam juga harus diambil kira, iaitu tertuduh diminta melantik peguam atau mahkamah melantik peguam untuknya, malah mahkamah juga perlu menentukan orang dituduh itu bersetuju ‘plea bargaining’ dilaksanakan dalam kesnya. Konsep ini menetapkan orang kena tuduh bersetuju dengan proses terbabit dan peguam bertindak menasihatnya, bukannya memaksa selain boleh memberitahu mengenai ‘plea bargaining’ kepada anak guamnya.

Kebiasaannya, pengakuan salah sering diberikan pengurangan hukuman. Apabila tertuduh mengaku salah, maka ia akan menjimatkan masa mahkamah dan saksi serta tanda kekesalan. Dalam konsep ‘plea bargaining’, secara tidak langsung tertuduh akan mengaku kesalahannya dan layak mendapat hukuman setimpal pengakuannya itu. Saya percaya, proses rundingan ini menyebabkan mahkamah akan pertimbangkan hukuman sesuai dan membolehkan tertuduh kembali kepada masyarakat dan diterima baik.

Ada yang kata kaedah ini boleh galakkan orang ramai lakukan jenayah atau ia sebenarnya dapat mendidik supaya tidak lakukan jenayah.

Saya melihat apabila seseorang disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman, ia sudah cukup sebagai pengajaran kepada masyarakat. Ramai yang berkata, tempoh yang lama dalam penjara boleh menyedarkan seseorang, namun kita tidak boleh berpandangan begitu... mungkin seseorang itu akan jadi lebih jahat atau mengulangi kesilapan atau kesalahan jenayah jika dia masih tidak rasa bersalah.
Bagi saya, apabila seseorang itu dituduh ia sesuatu yang amat berat untuk dihadapi dan apabila mengaku salah, ia satu keputusan yang besar. Apa saja hukuman hasil pengakuan itu bagi saya itu satu pengajaran kepada tertuduh.
Jadi, pada saya ‘plea bargaining’ tidak akan menjejaskan proses keadilan kepada mangsa kes jenayah atau masyarakat keseluruhannya. Tempoh masa kes itu dapat diselesaikan membawa faedah kepada mahkamah, tertuduh, mangsa, saksi dan masyarakat juga.

Bagaimana pula kesannya kepada profesion guaman, terutama dari segi kewangan apabila khidmat mereka mungkin kurang digunakan kerana tertuduh terus membuat pengakuan bersalah.

Saya tak nafikan itu, kerana kaedah ini akan menyaksikan banyak kes tidak dibawa ke mahkamah. Proses ‘plea bargaining’ menyebabkan banyak kes dapat diselesaikan, sekali gus kes akan berkurangan di mahkamah. Ia pasti menjejaskan pendapatan peguam, lagipun pembayaran kes melalui ‘plea bargaining’ akan menyebabkan kos guaman berkurangan berbanding kes yang dibawa ke mahkamah. Namun, jika kita melihat kepada penyelesaian kes yang lebih cepat, ada kemungkinan jumlah kes akan bertambah dan dapat menutup jumlah kekurangan pendapatan tadi.

0 comments: