.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Sunday, January 31, 2010

0 Datin Zizie Bung Mokthar menjawab tentang karier selepas mendirikan rumahtangga

Sumber: Metro Ahad

Tiada bezanya

Oleh SHAKILAWATI ABD RAHMAN
shakilawati@hmetro.com.my



2010/01/31 TIADA apa yang berubah dalam hidup pelakon berkulit putih gebu, Zizie Ezzette, biarpun kini bergelar isteri kepada Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin.



Berkahwin dengan orang kenamaan juga tidak bermakna ada istilah naik harga atau perlu lebih selektif kerana perjuangannya sebagai anak seni tidak pernah diletakkan sempadan atau ‘standard’ tertentu.


“Tidak ada bezanya dulu dan sekarang. Kalaupun ada cuma daripada segi status, di mana saya sekarang isteri orang dan kena tahu batas yang perlu dijaga. Selebihnya, kehidupan berjalan seperti biasa.


“Alhamdulillah, suami memahami saya tidak betah duduk diam di rumah kerana sudah biasa bekerja. Dia tidak pernah menghalang saya daripada terus berkecimpung dalam industri, malah katanya, bekerjalah seperti biasa.


“Bagaimanapun, buat masa sekarang saya berehat seketika kerana tawaran yang datang kurang sesuai. Insya-Allah jika ada yang sesuai nanti dan berkenan di hati, saya akan kembali ke lokasi.


“Bukan bermakna suami akan campur tangan dalam menentukan watak sesuai atau tidak kerana dia sebenarnya tidak kisah tetapi sebagai isteri, saya kena hormati perasaan serta pandangannya,” kata Zizie seraya ketawa mesra ketika dihubungi baru-baru ini.


Sambungnya, memandangkan 2121 Vision Pictures masih baru, banyak perkara perlu diberi perhatian, terutama pra-produksi sebelum boleh beroperasi.


“Banyak kerja yang menanti. Saya mahu pastikan syarikat ini menghasilkan produk berkualiti serta mendapat tempat di hati orang ramai.


“Buat masa sekarang perhatian saya lebih kepada syarikat ini dan kalau kena masa dan tawaran berlakon yang datang tidak menuntut tempoh kerja yang panjang, saya akan terima.


“Saya tahu ada yang tersalah anggap saya tidak lagi seperti dulu. Untuk makluman semua, masa saya lebih banyak di Semenanjung, jadi tiada masalah untuk terima tawaran berlakon andai ada kelapangan dan saya tidak pernah meletakkan harga. Itu tidak ada dalam kamus Zizie Ezette,” katanya yang berharap pengertian ramai.


Apabila gambar pasangan pengantin baru ini terpampang di media beberapa hari lalu, ramai berpendapat Zizie dan suami sudah bersedia dan semakin terbuka berkongsi kebahagiaan dengan masyarakat.


Pun begitu, bagi Zizie, dia cuma menjadi diri sendiri dan tidak pernah terniat untuk menayang kemesraan kerana kehadiran media di lapangan terbang pada hari itu bukan menanti ketibaan mereka, sebaliknya gambar berkenaan dirakam secara kebetulan.


“Mungkin itu rezeki mereka. Saya difahamkan mereka menanti ketibaan pelumba basikal negara yang pulang dari Beijing dan kebetulan ternampak saya dan suami yang baru sampai dari Sabah.


“Terbuka atau tidak bukan isunya. Sebagai suami isteri, kami tiada masalah berjalan atau bertembung dengan sesiapa. Kami mengharungi hidup yang normal seperti biasa. Sebelum kahwin dulu pun kami keluar dan tak pernah menyorok. Ketika itu kami jaga batas-batas pergaulan.


“Sama juga dengan sekarang. Walaupun bergelar suami isteri kenalah berpada-pada, jangan sampai orang meluat.


“Tidak dinafikan sebagai selebriti, saya sudah biasa dengan publisiti tetapi bila keluar cerita perkahwinan terlalu banyak, saya kurang selesa. Saya tak suka perkara ini digembar-gemburkan kerana kami sama seperti pasangan suami isteri lain.


“Namun berbalik kepada soal profesional, saya faham tugas media dan bila ditanya, saya kena jawab. Cuma harap rakan wartawan faham prinsip saya yang tidak suka bercerita lebih-lebih mengenai kebahagiaan yang saya kecapi kini,” katanya.

0 comments: