Tamadun manusia musnah 2182?
LAKARAN artis menunjukkan kawah terbentuk akibat hentaman asteroid di Semenanjung Yucatan di Mexico sehingga mengakibatkan kepupusan dinosaur.
LONDON - Saintis-saintis memberi amaran bahawa ombak tsunami setinggi beberapa ribu meter mungkin memusnahkan tamadun manusia pada tahun 2182 kesan daripada hentaman sebuah asteroid gergasi, lapor sebuah akhbar semalam.
Kebarangkalian asteroid atau planet kecil yang dinamakan 1999 RQ36 itu menghentam bumi pada tahun berkenaan adalah satu nisbah 500 yang dianggap mungkin boleh berlaku.
Asteroid berdiameter kira-kira 548.6 meter itu yang pertama kali ditemui pada tahun 1999 merupakan sebahagian kumpulan Asteroid Berpotensi Merbahaya (PHA).
Menurut beberapa saintis, sebarang usaha termasuk letupan nuklear, untuk mengubah haluan asteroid itu perlu dilakukan 100 tahun lebih awal dari tarikh pelanggarannya sekiranya bumi ingin diselamatkan. - Agensi
Thursday, July 29, 2010
0 Kemusnahan tamadun manusia? 2182 atau filem 2012? Apa yang pasti bumi akan musnah
Wednesday, July 28, 2010
1 Lelaki mahu kahwin supaya ada anak untuk jaga bila tua tetapi wanita belum mahu kahwin kerana faktor kerjaya
Wanita Asia tak suka kahwin
2010/07/27 PARIS: Semakin ramai lelaki Asia, terutama di Jepun, Korea Selatan dan Taiwan, memilih wanita asing sebagai pasangan kerana wanita tempatan enggan berkahwin.
Menurut kajian terbaru yang diterbitkan semalam, fenomena itu mula berlaku sejak lebih sedekad lalu turut menampakkan kecenderungan terhadap perpindahan wanita.
Menurut Daniele Belanger dari Universiti Western Ontario, sejak 1990-an semakin ramai lelaki Asia Tenggara mencari calon isteri di luar negara.
Di Taiwan, katanya, 15 peratus isteri berasal dari negara luar pada 2009 dan lapan peratus di Korea Selatan.
“Di Jepun, fenomena itu berlaku lebih awal, iaitu 1980-an, tetapi perkembangannya berlaku secara sederhana apabila hanya lima dan enam peratus perkahwinan direkodkan pada pertengahan 2000 membabitkan wanita asing,” katanya dalam jurnal Institut Kajian Demografi Kebangsaan (Ined).
Di ketiga-tiga negara itu, kata Daniele, pengantin wanita menjadi imigran paling ramai berbanding pekerja sementara yang dibawa masuk.
Kebanyakan wanita yang dijadikan isteri itu berasal dari China atau Vietnam.
“Lelaki tempatan mencari pasangan hidup di negara lain kerana kekurangan wanita tempatan,” katanya.
Menurut Daniele, disebabkan taraf pendidikan wanita meningkat, penyertaan mereka dalam sektor pekerjaan juga bertambah dan sebahagian daripadanya enggan memainkan peranan tradisional sebagai seorang isteri.
“Mereka lebih suka mengekalkan status sedia ada dan mengejar kerjaya,” katanya.
Sebaliknya, kata Daniele, lelaki mahu mendapat zuriat, dan sesetengahnya mengharapkan mereka boleh bergantung harap dengan anak masing-masing ketika tua.
“Justeru, lelaki tidak sanggup kekal membujang,” katanya. - Agensi
Tuesday, July 27, 2010
1 Perbezaan personaliti merupakan punca suami mencerai isteri
SINGAPURA
Lebih separuh kes cerai pasangan Islam dimulakan isteri
Kaunselor, peguam: Kecurangan suami punca utama, bukan kerana wanita sekarang lebih berdikari
Oleh
Linilidia Abdul Hamid
LEBIH separuh kes cerai pasangan Islam tahun lalu dimulakan oleh isteri.
Tuntutan cerai itu dimulakan isteri bukan semata-mata kerana kaum wanita kini semakin mampu berdikari, tetapi lebih disebabkan faktor kecurangan suami.
Perangkaan Perkahwinan dan Perceraian 2009 menunjukkan terdapat 1,631 kes cerai pasangan Islam dan 1,084 daripadanya, iaitu 66 peratus, dimulakan isteri.
Ini berbanding 494 kes yang dimulakan suami, sementara baki 53 pasangan memutuskan secara bersama untuk bercerai.
Namun berdasarkan pengamatan peguam dan kaunselor yang dihubungi Berita Harian, keputusan bercerai bukanlah sesuatu yang diambil mudah oleh para isteri itu.
Sebaliknya, ia merupakan jalan keluar terakhir setelah segala usaha lain tidak dapat menyelamatkan rumah tangga mereka.
Daripada 1,084 kes perceraian yang dimulakan isteri, kecurangan suami menjadi sebab utama bagi 230 kes, iaitu 21.2 peratus.
Ini berbanding hanya 65 kes isteri memulakan proses cerai akibat kecurangan suami 10 tahun lalu.
Sebanyak 104 kes cerai pula dimulakan suami atas sebab isteri curang, iaitu 21.1 peratus daripada 494 perceraian yang dimulakan suami.
Ini berbanding 33 kes sedemikian 10 tahun lalu.
Kecurangan isteri sebab kedua paling utama suami memulakan proses menceraikan isteri tahun lalu.
Perbezaan personaliti menjadi sebab utama, dengan sebanyak 141 kes, iaitu 28.7 peratus.
Peguam Ahmad Nizam Abbas daripada firma Straits Law Practice LLC berkata berdasarkan kes cerai yang diurusnya, memang benar sebahagian besar wanita yang memulakan proses itu lebih berdikari, berpendidikan dan mampu menyara diri sendiri.
Namun, isteri selalunya cuba menyelamatkan rumah tangga mereka sebelum meminta cerai.
Beberapa peguam dan kaunselor sosial berkata selain kecurangan suami, mereka menerima kes isteri curang.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Ain, Encik Mohd Yusof Ismail, semasa beliau menjalankan sesi kaunseling bagi para banduan beliau pernah mendengar kisah-kisah sedemikian diceritakan kepadanya.
'Selalunya ia merupakan kes isteri kesunyian ketika suami dipenjara. Mula-mula hubungan yang dijalin hanya sekadar suka-suka kemudian menjadi lebih serius sehingga isteri akhirnya terjebak,' ujar beliau.
Encik Ahmad Nizam kerap juga mendapati kes isteri menyara suami dan bukan sebaliknya.
'Si isteri yang menyara suami dan keluarga. Ada juga kes isteri tiada lesen kereta tetapi terpaksa bekerja keras untuk bayar ansuran kereta yang akhirnya digunakan suami untuk berfoya-foya dengan perempuan lain.
'Bayangkan perasaan isteri dalam keadaan demikian,' ujar beliau.
Pengarah Pusat Sokongan Keluarga PPIS As-Salaam dan PPIS Vista Sakinah, Cik Azita Abdul Aziz, berkata:
'Daripada kes-kes yang saya tangani, wanita selalunya sanggup melalui susah payah. Jika suami bergaji kecil pun mereka tidak ambil kisah.
'Tetapi apabila suami mula curang, mereka berasa pengorbanan mereka selama ini tidak dihargai dan itulah antara punca mereka minta cerai.'
0 Sengal betul! Menggunakan perkahwinan sebagai lesen buat maksiat. Bagaimana jika keluarga tetap membantah?
Bermukah hingga anak dua
Oleh Nor Husaini Nor Majid
am@hmetro.com.my
2010/07/26 KULIM: Sepasang kekasih bukan saja hidup bersama seperti suami isteri, malah turut mempunyai dua cahaya mata hasil bersekedudukan lebih tiga tahun.
Pasangan bersekedudukan bukan kerana ketagih seks, tetapi hubungan cinta dihalang keluarga wanita.
Pasangan lelaki berusia 29 tahun tidak mahu dikenali berkata, mereka mahu berkahwin apabila teman wanitanya hamil, tetapi ditolak keluarga.
“Peminangan saya ditolak keluarga teman wanita walaupun ketika itu kami sudah terlanjur dan dia hamil,” katanya.
Katanya, walaupun tidak mendapat restu keluarga teman wanita, dia tetap mengambil keputusan untuk bersama kekasihnya itu kerana sayangkannya serta berasa bertanggungjawab.
“Saya sayangkan teman wanita dan anggap dia sebagai isteri. “Saya mempunyai dua anak bersama teman wanita iaitu berusia 20 bulan dan 30 hari, namun keluarga teman wanita saya masih berkeras tidak menerima saya,” katanya.
Pasangan itu pernah mohon bantuan Mahkamah Rendah Syariah di Perak untuk mendapatkan wali hakim bagi tujuan mengesahkan nikah.
“Ketika proses mendapatkan wali hakim bagi tujuan pernikahan, teman wanita melahirkan anak pertama menyebabkan proses ditunda dan mahkamah turut memanggil keluarga teman wanita untuk hadir ke mahkamah,” katanya.
Menurutnya, meskipun dipanggil mahkamah, keluarga teman wanitanya tetap berkeras serta tidak mahu bekerjasama.
Mahkamah terpaksa menunda tarikh sekali lagi pada Jun lalu namun ketika tarikh perbicaraan, teman wanitanya melahirkan seorang lagi anak menyebabkan perbicaraan ditunda sekali lagi.
Sementara itu, Ketua Penguat kuasa Pejabat Agama Islam Kedah (PADK) cawangan Kulim, Azmi Rejab berkata, mereka melakukan siasatan terhadap pasangan itu selepas mendapat aduan orang ramai.
Katanya, siasatan mendapati mereka bersekedudukan sehingga melahirkan dua anak selain mengesahkan pasangan itu mempunyai dokumen permohonan untuk bernikah dan mendapatkan wali hakim.
“Bagaimanapun kes ini tetap disiasat mengikut Seksyen 9(1)(2) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kedah 1988 dan sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000,” katanya.
Menurutnya, PADK menasihatkan pasangan untuk tidak tinggal bersama sementara menunggu keputusan.
Monday, July 26, 2010
0 Gadis 16 berkelakuan buruk akibat diperkosa lelaki 17, mengakhiri kehidupan dengan 30 das tembakan oleh bapa saudaranya dengan alasan maruah keluarga
Tembak anak saudara demi maruah
2010/07/26
AMMAN: Seorang lelaki warga Jordan mengaku membunuh anak saudaranya berusia 16 tahun kerana mahu menjaga maruah keluarganya.
Seorang pegawai kehakiman berkata semalam, pembunuhan itu dilakukan selepas mangsa menjadi sasaran serangan seksual.
Lelaki berusia 43 tahun itu melepaskan 30 tembakan mesingan ke arah gadis berkenaan Jumaat lalu, menyebabkan dia mati serta-merta. Lelaki itu mengaku melakukan pembunuhan kerana mahu menjaga nama baik keluarga selepas mengesyaki anak saudaranya berkelakuan buruk selepas kehilangan dara sebulan lalu akibat diperkosa seorang remaja berusia 17 tahun.
Keluarganya kemudian mengahwinkannya dengan seorang sepupunya dalam usaha menyembunyikan perkara itu, kata pegawai berkenaan.
Menurutnya, suspek dalam serangan seksual itu kini ditahan untuk dibicarakan sementara bapa saudara mangsa berdepan dengan tuduhan membunuh dengan niat.
Kesalahan membunuh dibalas dengan hukuman mati di Jordan. Bagaimanapun, bagi pembunuhan yang dilakukan kerana menjaga maruah, hakim boleh mengenakan atau mengurangkan hukuman, terutamanya jika keluarga mangsa merayu.
Antara 15 hingga 20 wanita mati dibunuh atas alasan menjaga maruah keluarga di Jordan setiap tahun meskipun kerajaan berusaha membendung jenayah seumpama itu. - Agensi
0 Menonton filem lebih terasa jika anda pernah berkunjung ke lokasi penggambarannya
Kehebatan lokasi terpancar di filem
Oleh Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my
2010/07/26 APABILA berada di lokasi penggambaran filem atau drama, tentulah memberi kenangan lebih manis apabila menontonnya di panggung atau kaca televisyen.
Itulah yang saya rasai sebaik saja tiba di lokasi filem Nur Kasih di Kampung Sawah Sempadan, Tanjung Karang, Selangor, Khamis lalu. Rumah kampung dua tingkat di tengah sawah padi itu masih segar lagi dalam ingatan ketika menonton siri Nur Kasih yang disiarkan di TV3 dari 29 Mei hingga 27 November tahun lalu. Ia adalah rumah Datuk Jalaluddin Hassan dan Liza Othman bersama anak-anaknya, Remy Ishak dan Fizz Fairuz kemudian turut dihuni Tiz Zaqyah.
Kini apabila drama yang mencetuskan fenomena mencatat jumlah penonton paling tinggi (4.3 juta) diangkat pula ke filem, rumah milik Juri Tumijan itu sekali lagi menjadi tumpuan lokasi. Ia menjadi lokasi pembukaan pada 20 Jun dan juga diakhiri di sini pada 24 Julai lalu manakala selebihnya di Kuala Lumpur untuk beberapa babak membabitkan kesan khas seperti kemalangan kereta api.
Selain Tanjung Karang, filem ini turut menjalani penggambaran di Jordan selama 10 hari. Ingatkan dapatlah melihat penggambaran filem di Jordan seperti janji produsernya sebelum ini kepada Harian Metro, namun kerana kekangan bajet, nampaknya sekadar meninjau ke lokasi di sini saja.
Sebelum ini saya berpeluang mengikuti penggambaran filem Mendam Berahi di Manila, Filipina dan Mr Cinderella 2 Di Chrischurch, New Zealand tetapi nampaknya melopong sajalah hendak ikut kru filem ini ke Jordan. Sekadar mendengar cerita pengalaman mereka sepanjang berada di sana dari 25 Jun hingga 5 Julai. Antara lokasi menarik, pemandangan indah di Petra yang pernah dipaparkan dalam banyak filem Hollywood seperti Indiana Jones.
Khabarnya, bukan mudah untuk kru sampai ke sana kerana perlu berjalan kaki sejauh empat kilometer kerana kenderaan tidak boleh menghampiri kawasan yang menjadi tarikan pelancong itu untuk mengekalkan keasliannya. Selama tiga hari di padang pasir, mereka juga mengalami cabaran ribut pasir dan keadaan kering hingga ramai kru jatuh sakit.
Baru-baru ini, saya menyaksikan filem Angels & Damon di Astro. Sebelum ini, saya tidak melepaskan peluang menyaksikan filem lakonan Tom Hanks ini di panggung tetapi ketika itu tidak cukup menghayati jalan ceritanya kerana tidak pernah menjejakkan kaki ke Rom, Itali yang menjadi lokasi filem itu. Tapi selepas berpeluang ke sana pada Jun lalu, segalanya kembali terbentang di depan mata apabila jalan ceritanya banyak berkisar mengenai tempat menarik di Rom seperti The Vatican City bersama gereja St Peter, Piazza del Popolo, Trevi Fountain dan Castel Sant' Angelo.
Filem sebelumnya, Da Vinci Code juga lebih seronok ditonton bagi mereka yang sudah berpeluang ke Paris kerana dipaparkan tempat menarik di sana. Walaupun jalan ceritanya agak sukar difahami, dapat juga mengimbau semula kenangan manis ketika berkunjung ke sana.
Itulah kehebatan filem, kalau tidak pernah menjejakkan kaki ke lokasi itu, dapat juga melihat kehebatannya di layar perak. Banyak lagi kehebatan tempat penting dipaparkan dalam filem seperti Taj Mahal di India, piramid di Mesir, Tembok Besar China dan kota romantik Venice.
Rasa tidak sabar pula menonton Nur Kasih kerana sentuhan Kabir Bhatia tidak pernah mengecewakan seperti Cinta, Sepi dan Love. Tapi saya tidak berkesempatan menyaksikan Setem. Nur Kasih pula diangkat daripada drama bersiri yang mencetuskan fenomena dengan jumlah penonton tertinggi. Bagaimana agaknya kehebatan cinta Adam dan Nur Amina lakonan Remy Ishak dan Tiz Zaqyah yang sebelum ini menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan hingga membuatkan penonton menitiskan air mata? Seperti dapat menduga keinginan penonton mahu tahu bagaimana jalan cerita filem ini, Kabir mengambil tindakan untuk merahsiakannya. Mungkin sebagai langkah berjaga-jaga apabila sebelum ini ada pihak menyebarkan jalan cerita bersirinya episod demi episod di Internet, hingga ramai yang tahu penamat cerita. Ramai juga mengeluh tidak berminat untuk terus menonton sirinya.
Filem diterbitkan Primeworks Studios bersama Filmscape Sdn Bhd dan Juita Viden Sdn Bhd ini dijangka untuk tayangan Februari atau Mac tahun depan. Pada mulanya, ia disasarkan untuk tayangan Disember tetapi nampaknya produser perlu akur dengan giliran kerana banyak filem sudah siap berbaris menanti tayangan. Daripada mengejar waktu tayangan pada Disember, agaknya lebih baik Kabir fokus dengan pembikinannya bagi memastikan filemnya ini hebat. Lebih baik begitu daripada berkobar-kobar hendak menyiapkan filem untuk ditayangkan segera di panggung tetapi akhirnya tidak tayang-tayang juga kerana macam-macam langkah perlu diambil sebelum filemnya boleh ditonton. Ada filem itu dikatakan ulang-ulang babak sama untuk memanjangkan cerita. Ada juga yang bimbang filemnya tidak mendapat sambutan hingga diperap sekian lama walaupun sudah lama siap. Contoh terbaik, filem Lembing Awang Pulang Ke Dayang ditayangkan tahun lalu selepas empat tahun siap. Tapi sayangnya hanya mencatat kutipan RM29,000.
0 Please Give Me A Job! Dan seorang pengarah membawanya untuk temuduga
Tuah penganggur minta kerja di tepi jalan
GAMBAR menunjukkan Mark Wheeldon (kanan) berjabat tangan dengan Vince Champion yang menawarkan pekerjaan kepadanya di Stoke-On-Trent, baru-baru ini.
STOKE-ON-TRENT, England - Seorang penganggur, Mark Wheeldon berumur 23 tahun yang memegang kayu mengandungi poster meminta pekerjaan bertuah kerana akhirnya dia mendapat kerja selepas 20 minit dia ditemu duga oleh seorang ahli perniagaan, lapor sebuah akhbar semalam.
Sebelum ini dia menganggur selama dua tahun. Dia mempromosikan dirinya di tepi jalan di sini bagi meminta pekerjaan selepas bosan hidup dengan mendapat elaun sara hidup kerajaan.
Selepas tiga jam berdiri dengan memegang poster itu, seorang ahli perniagaan yang merupakan pengarah sebuah kilang, Vince Champion menghampirinya setelah dia melihat lelaki tersebut dari keretanya.
Dia kemudian membawa Mark ke pejabatnya dan menemuduganya selama 20 minit sebelum menawarkannya bekerja di sebuah kilang membuat bingkai.
Menurut pengarah kilang itu: "Semasa dalam perjalanan ke tempat kerja pada pukul 8 pagi, saya melihat Mark berdiri dalam hujan memegang kayu poster itu untuk meminta pekerjaan.
"Saya berpendapat, jika terdapat seseorang yang sanggup berdiri dalam hujan, dia mesti nekad untuk mendapatkan pekerjaan. Menurut pandangan saya, dia akan menjadi aset untuk mana-mana syarikat." - Agensi






