.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Saturday, February 12, 2011

0 Rakyat Malaysia harus diajar program internet seperti di Indonesia

Budak 13 tahun cipta laman mirip Facebook




MUKA surat Muhamad Yahya Harlan dalam laman salingsapa.com.



BANDUNG - Walaupun baru berusia 13 tahun, seorang budak lelaki di Indonesia, Muhamad Yahya Harlan ternyata hebat apabila dia mencipta laman jaringan sosial mirip Facebook, lapor akhbar dalam talian, Tribunnews.com semalam.
Laman itu yang dinamakan salingsapa.com dapat disiapkan Muhamad yang belajar di Sekolah Alam Bandung, di sini, dalam masa sebulan.
Konsep salingaapa.com hampir menyerupai Facebook yang diasaskan oleh Mark Zuckerberg dari Amerika Syarikat tetapi Muhamad berkata, laman webnya menampilkan beberapa ciri tambahan.
"Pada awalnya, saya menonton berita tentang ada orang Indonesia yang mencipta laman web seperti Facebook dalam bahasa Indonesia.
"Saya terus terfikir, saya juga boleh mencipta laman web serupa, tetapi lebih baik lagi," kata Muhamad ketika ditemui di sekolahnya kelmarin.
Seterusnya, anak sulung pasangan Yan Harlan, 45, dan isterinya, Fidriana, 37, itu mulai 'mengklik' komputernya untuk merancang ciri-ciri laman sosial yang akan dihasilkan nanti.
Dia turut mendapat bantuan daripada ayahnya yang menyumbang idea tentang ciri-ciri yang diperlukan untuk menghasilkan salingsapa.com.
Kini, kejayaan pelajar cilik itu mendapat penghargaan daripada pelbagai pihak.
Menurut ibunya, Muhammad membentangkan hasil kerjanya itu di hadapan 12 mahasiswa Institut Teknologi Bandung semalam.
"Harapan kami ialah laman sosial ciptaan anak saya ini akan digunakan untuk tujuan kebaikan," kata ibunya. - Agensi

Friday, February 11, 2011

0 Galakkan anak bersekolah tinggi untuk masa depan keluarga

Pegawai kanan, anggota polis diingat beri perhatian kebajikan keluarga
10th February, 2011

KOTA KINABALU: Pegawai kanan dan anggota polis pangkat rendah diingatkan supaya memberi perhatian terhadap kebajikan keluarga dan penghidupan anak-anak mereka terutama sekali dalam bidang pembelajaran.
Pesuruhjaya Polis sabah (PjP) Datuk Hamza Taib berkata ini adalah penting kerana generasi muda merupakan aset masa depan negara.
Beliau berkata demikian dalam satu temu bual bersama New Sabah Times kelmarin.
“Ibu bapa di kalangan pegawai dan anggota polis harus memberi perhatian serius terhadap pelajaran anak-anak mereka untuk menaikkan taraf hidup mereka di masa akan datang,” kata Hamza.
Hamza berkata adalah menjadi tanggungjawab hakiki pegawai dan anggota polis dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan dan ketenteraman awam, namun janganlah tugas yang dipertanggungjawabkan itu dijadikan alasan dari memenuhi tanggungjawab dan kebajikan ahli keluarga.
“Luangkanlah masa dan tunjukkan kemesraan bersama anak-anak dan isteri di rumah setelah habis masa bertugas,” kata Hamza.
Beliau meminta para ibu bapa di kalangan komuniti polis terutama sekali ibu-ibu dan ahli Persatuan Kebajikan Polis (Perkep) supaya meluangkan masa, memberi galakan dan mengadakan majlis motivasi kepada anak-anak untuk meningkatkan tahap pelajaran akademik mereka.
“Beri galakan kepada anak-anak supaya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi di institusi pengajian tinggi untuk menaikkan taraf kehidupan keluarga,” kata beliau.
Hamza berkata terdapat segelintir anak-anak dari kalangan pegawai dan anggota polis yang berminat menurut jejak ibu bapa mereka dan menjawat jawatan dalam Pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
“Dengan kelayakan akademik yang tinggi mereka (anak-anak pegawai dan anggota polis) akan berpeluang mengisi jawatan pangkat tinggi dalam pasukan di masa hadapan,” tambah beliau.
Beliau berkata kerajaan telah memperkenalkan dan melancarkan pelbagai kaedah pembelejaran bertujuan menaikkan taraf pendidikan serta pencapaian pelajar-pelajar dalam peperiksaan termasuk progam ‘Score A’ yang dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan beberapa tahun lalu.
Hamza juga menasihatkan pegawai dan anggota polis supaya memantau aktiviti anak-anak mereka selepas habis masa sekolah.
“Sayangilah anak-anak anda (pegawai dan anggota polis) dan berikan peluang agar mereka berjaya dalam akademik pelajaran seperti kamu sayangkan negara kita dan PDRM,” kata Hamza.

0 Menurut David Teoh, kualiti filem yang baik tidak terletak pada anugerah yang diraih tetapi dari kutipannya

Hormati selera penonton
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

2011/02/10
Pungutan tinggi bukan lagi perkara mustahil buat filem Melayu

INDUSTRI perfileman tanah air menunjukkan percambahan memberangsangkan apabila semakin banyak filem Melayu mampu mengutip hasil jutaan- ringgit. Angka RM4 juta bukan lagi satu fenomena luar biasa kepada industri apabila ramai penerbit sudah berjaya menikmati pungutan sebanyak itu, malah sebahagiannya mampu mencatat angka jauh lebih baik menerusi filem mereka.

Berdasarkan fakta daripada laman web FINAS, Sembilu 2 terbitan Skop Production Sdn Bhd milik Datuk Yusof Haslam ialah filem Melayu pertama mencipta rekod kutipan tinggi apabila berjaya memungut RM6.10 juta pada 1995. Kedudukan itu berjaya dipertahankan filem yang dibintangi Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain dalam tempoh agak lama. Hanya selepas enam tahun, Lagi-Lagi Senario terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd memecahkan tembok kukuh Skop Production dengan kutipan RM6.33 juta, pada 2001. Lapan tahun selepas itu, dua filem, animasi Geng: Pengembaraan Bermula terbitan Les’ Copaque Production Sdn Bhd berjaya memungut RM6.20 juta diikuti dengan Jangan Pandang Belakang Congkak terbitan MIG Production Sdn Bhd, dengan kutipan sebanyak RM6.09 juta.

Walaupun sasaran RM6 juta mungkin dilihat tinggi, tetapi baru-baru ini beberapa filem berjaya merentas angka berkenaan. Filem pertama yang mencetuskan fenomena itu ialah Adnan Sempit yang berjaya memungut RM7.66 juta. Meskipun kutipan itu dilihat sukar ditandingi, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila Ngangkung yang diterbitkan syarikat sama (MIG), mencipta satu lagi rekod dengan kutipan RM8.18 juta.

Siapa sangka Hantu Kak Limah Balik Rumah arahan Mamat Khalid yang dilihat sebagai sebuah filem ‘underdog’ juga mampu meraih kutipan sehingga RM8.12 juta? Tidak ketinggalan, Khurafat yang baru saja menjengah pawagam pada 13 Januari lalu juga sudah mampu membuatkan penerbitnya, Yusof, tersenyum bangga apabila dalam tempoh tiga minggu ditayangkan, filem arahan Syamsul Yusof itu berjaya mencecah lebih RM 7juta.

Kutipan kasar melebihi RM4 juta kelihatan seakan mudah untuk diraih penerbit filem sejak akhir-akhir ini, tetapi adakah itu membawa makna bahawa filem Melayu sedang melalui satu transisi ke zaman yang cerah?
Bagi penerbit yang cukup aktif menghasilkan filem malah antara produser yang memonopoli senarai pecah panggung, David Teo, keadaan itu masih belum boleh dikategori sebagai satu fenomena kerana setakat ini hanya empat filem berjaya meraih kutipan melebihi RM7 juta. Bagaimanapun David berkata, setiap produser mampu meraih kejayaan sepertinya asalkan mereka menghormati penonton.

“Saya anggap semua penerbit mampu meraih kutipan RM4 juta ke atas apabila kita sedar kehendak penonton. Jika setiap penerbit tahu dan menghormati kehendak penonton, mereka pasti akan mencapai tahap itu.

“Sebagai contoh, Datuk Yusof Haslam yang memberi kepercayaan kepada anaknya untuk mengarah. Lihatlah kedudukan filem Khurafat sekarang yang berjaya meraih kutipan cukup baik.

“Sudah lama saya menanamkan kesedaran dalam diri, jika mahu berjaya, penerbit atau pengarah seharusnya menghormati penonton mereka dan jangan hampakan perasaan mereka. Kritikan mereka itu harus dijadikan sebagai satu kesedaran kepada penerbit dan pengarah untuk menghasilkan filem lebih baik dan tidak syok sendiri, supaya dapat mencatat kutipan tinggi. Segelintir orang berpendapat kualiti sesebuah filem itu diukur dengan anugerah yang diraih tetapi bagi saya pula, kualiti filem terletak kepada kutipannya,” kata David.

Menyentuh kewujudan Astro First, David berkata, saluran berkenaan tidak akan menjejaskan kutipan filem tempatan di panggung. Beliau sebaliknya menyokong usaha stesen penyiaran itu mewujudkan saluran khas terbabit.

Katanya, dia tidak faham kenapa sesetengah penerbit ‘bising-bising’ dengan kewujudan Astro First kerana penerbit seharusnya mengambil peluang berkenaan sebagai alternatif untuk menjana pendapatan yang lebih.

“Kewujudan Astro First sekurang-kurangnya boleh menolong penerbit selepas tempoh dua minggu filem ditayangkan di pawagam. Jika sebelum ini pempamer boleh sesuka hati menarik tayangan filem selepas tempoh dua minggu walaupun kutipan menggalakkan, kini dengan adanya Astro First, penerbit terutama syarikat yang kecil mempunyai sumber pendapatan lain,” katanya.

Sunday, February 06, 2011

0 Ventriloquist kembar dari Beaufort Sabah (Terry Pator adalah idola mereka)

Suara daripada perut

Oleh RAJA NORAIN HIDAYAH RAJA ABDUL AZIZ

rnorain@hmetro.com.my



VENTRILOQUIST..kembar seiras ini memiliki minat sama.

BERCAKAP melalui perut tanpa sedikit pun menggerakkan bibir mungkin kedengaran pelik dan mustahil dilakukan. Namun bagi pengamal seni ventriloguist, ia dianggap satu keistimewaan kerana tidak semua mampu melakukannya.

Pasangan kembar seiras, Mohd Syazwan Nizam Matusin dan Mohd Syazrul Nizam Matusin, 22, kembali menghidupkan seni ventriloquist di negara ini yang semakin ‘tenggelam’, walaupun satu ketika dulu ia pernah popular menerusi watak Jalut yang dimainkan oleh pelawak, Mahadi.




URUS..Jeff Omar (dua dari kiri) dan Kay Maria (kanan) bertanggungjawab membawa Wan dan Rul ke Kuala Lumpur.

DUMMY..keletah Buntak (kiri) dan Awang menarik perhatian penonton.

Menggunakan patung atau ‘dummy’ yang diberi nama Buntak dan Awang, dua beradik itu mengecapi populariti di negeri asal, Sabah.

Mohd Syazwan yang lebih mesra disapa dengan nama Wan adalah identiti sebenar kepada dummy bernama Buntak, manakala Mohd Syazrul atau Rul lebih serasi bersama Awang.




Apabila melihat persembahan mereka, dapat dirasakan Buntak dan Awang seakan-akan hidup sehingga membuat ­penonton terpana dan tertanya-tanya adakah patung itu bernyawa.



Lebih menarik, mereka bukan hanya membuat persembahan lawak jenaka, malah boleh me­nyanyi dengan melontarkan suara lantang tanpa perlu membuka mulut mahupun menggerakkan bibir sekalipun.

Wan berkata, Buntak adalah patung pertama dimilikinya apabila dibeli oleh ayahnya, Matusin Awang Damit, 57.

Katanya, dia mula meminati seni itu apabila menonton sebuah rancangan televisyen ventriloquism dari Jepun menerusi televisyen ketika berusia 15 tahun.

“Sama seperti orang lain, saya pada mulanya hairan melihat patung itu bercakap, sedangkan mulut ‘pemegangnya’ langsung tidak bergerak.

“Namun selepas melihat ­secara teliti persembahan mereka, baru saya tahu dari mana suara itu dikeluarkan,” katanya.

Bertitik tolak dari situ, anak muda ini menanam azam untuk mendalami seni itu dan mula melakukan latihan secara sendirian berpandukan maklumat dan video yang ditontonnya melalui Internet.

Pada mulanya, dia menggunakan patung yang dibuat sendiri dan berlatih di depan cermin hampir setiap hari bagi memahirkan diri.

Melihat kesungguhan dan minat mendalam untuk menjadi ventriloquist, ayahnya mengimport Buntak untuknya dan sejak itu dia terus aktif mengadakan persembahan di sekitar Sabah.

Penghijrahan dua beradik kembar ini ke Kuala Lumpur diuruskan oleh pelakon dan juga penerbit drama, Jeff Omar yang tertarik dengan bakat dimiliki mereka.

Walaupun pada mulanya timbul rasa ragu-ragu dan bimbang untuk berhijrah, apatah lagi perlu berjauhan dengan keluarga, semua itu ditolak ke tepi demi mengembangkan bakat dimiliki.

Wan berkata, sehingga kini mereka memiliki enam patung pelbagai ‘jantina’ dan mempunyai karakter dan suara berbeza.

Bercerita mengenai Buntak, Wan berkata, Buntak diberi karakter sebagai seorang yang banyak cakap, nakal dan sering mencuit hati dengan telatahnya yang lucu.

Katanya, setiap patung perlu diberi karakter ­tertentu bagi menjadikan ia benar-benar hidup dan berbeza dengan karakter mereka.

“Karakter yang diberikan itulah sebenarnya membantu menghidupkan sesuatu persembahan selain pengisian dan jalan ceritanya.

“Menjadi cabaran pada kami berdua untuk mempelbagaikan karakter dan suara supaya ia tampak berbeza antara satu sama lain,” katanya.

Berbeza dengan Wan, Rul pada mulanya hanya menjadi ‘back-up’ kepada abangnya ketika melakukan persembahan kerana dia lebih ter­arah kepada bidang nyanyian.
Ketika itu dia masih belum bersedia menjadi ventriloquist, sebaliknya lebih selesa menjadi penghibur yang meniru suara Tan Sri P Ramlee di Sabah.

“Minat saya dalam bidang ini timbul agak lambat berbanding abang saya, namun semua itu tidak dijadikan alasan untuk saya terus memantapkan diri dengan ilmu ventriloquism.

“Kami sering bertukar-tukar pendapat dan idea sebelum melakukan sesuatu persembahan supaya persembahan kami menarik perhatian penonton,” katanya.

Oleh kerana seni ini memerlukan mereka bercakap dari dalam perut dan bibir tidak boleh digerakkan, menjadi satu cabaran untuk menyebut sesetengah
perkataan.

Perkataan yang mengandungi huruf seperti B, M, P dan W sukar disebut tanpa menggerakkan bibir dan ia mengambil masa lama untuk belajar me­nyebut huruf itu.
“Walaupun pada mulanya­ sukar membiasakan diri, lama-kelamaan kami berjaya menyebut perkataan itu.

“Dua elemen penting yang ditekankan adalah kesungguhan dan kesabaran kerana ia saling bergantung antara satu sama lain dalam memastikan setiap persembahan kami sampai kepada audiens,” katanya.

Awang yang memiliki rambut berwarna kuning lebih bersifat senyap berbanding Buntak tetapi diserapkan dengan sedikit karakter gatal dan selamba.

Rul berkata, dia me­ngambil masa tiga hari dan tiga malam untuk memikirkan karakter sesuai untuk Awang dan selepas itu pula perlu menjiwai karakter berkenaan.

“Karakter dipilih mestilah berlainan dengan karakter saya supaya penonton boleh melihat perbezaan itu, sekali gus menjadikan persembahan lebih berkesan.

“Elemen komedi perlu disuntik untuk mengelak penonton berasa bosan, namun komedi dipersembahkan perlu ‘masuk’ dengan penonton bagi mengelak ‘persembahan syok sendiri’,” katanya.

Lazimnya, mereka akan duduk berbincang sebelum melakukan persembahan bagi bertukar-tukar idea supaya ­persembahan mereka selari dan berkesan.

Kebiasaannya mereka menjadi apa saja elemen yang berada di sekeliling mereka untuk dijadikan bahan komedi kerana ia lebih dekat dengan penonton.

Sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur, kembar seiras ini sering mengadakan persembahan silap mata, nyanyian dan ventriloquist di sekitar Labuan dan mempunyai pengikutnya yang tersendiri.

Tambah menarik, kedua-dua beradik ini sering menduduki tempat antara tiga teratas dalam Pertandingan Bintang P Ramlee di Sabah.

Ventriloquism berasal daripada perkataan Latin yang mana venter yang bererti perut dan loqui bermaksud bercakap.

Seni ini mula dipopularkan oleh Harry Lester (1878 - 1956), yang dilahirkan di Poland dan dikenali di atas pentas sebagai The Great Lester.

Sementara itu, Jeff Omar yang bertindak selaku pengurus dan dibantu oleh dramatis ­tanah air, Kay Maria berkata, Wan dan Rul mempunyai ­potensi yang besar untuk pergi jauh dalam bidang seni kerana mereka memiliki kelainan berbanding bakat baru yang sedia ada.

Katanya, di kala dunia seni dibanjiri bakat baru yang kebanyakannya memilih dunia nyanyian dan lakonan, mereka tampil berbeza.

“Tidak keterlaluan jika saya katakan mereka mempunyai bakat yang lengkap iaitu mampu menyanyi, menjadi pelawak dan berlakon.

“Bakat seperti inilah yang patut diketengahkan kerana jika dilihat daripada maklum balas yang diterima, kebanyakannya melahirkan rasa kagum pada bakat yang dimiliki mereka,” katanya.

Menurutnya, Wan dan Rul sering memberikan komitmen yang tinggi terhadap apa jua yang dilakukannya tanpa pernah putus asa.

Tambahnya, dia mempunyai perancangan untuk mengete­ngahkan bakat mereka dengan menerbitkan sebuah rancangan televisyen khas untuk mereka di samping memberi peluang untuk berlakon dalam mana-mana drama.

“Wan dan Buntak pernah berlakon dalam drama Selamat Hari Raya Bapak pada Aidilfitri tahun lalu dan ia adalah platform yang tepat untuk membuatkannya dikenali.

“Saya mempunyai harapan yang cukup besar iaitu ingin membawa mereka ke peringkat antarabangsa dan sekaligus melakar nama antara ­vertaloquist tersohor dunia,” katanya.


INFO



Ventriloquist ­adalah seni ­bercakap melalui perut tanpa ­menggerakkan bibir Mohd Syazwan

Nizam Matusin (Wan) ­mengendalikan ­patungnya yang diberi nama Buntak ­manakala Mohd Syazrul Nizam Matusin (Rul) ­bersama Awang

Buntak mempunyai karakter nakal, lucu dan banyak cakap. Awang pula bersifat pendiam dan gatal

Mempunyai bakat ­meniru suara artis, ­terutama seniman Tan Sri P Ramlee

Boleh dihubungi ­menerusi lama sosial facebook: www.facebook.com/wan rul magic puppet

PROFIL

NAMA: Mohd Syazrul Nizam Matusin
UMUR: 22 tahun
LAHIR: 7 April 1989
ASAL: Beaufort, Sabah
KELUARGA: Kedua daripada lima beradik
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia
IDOLA: Tan Sri P Ramlee, Terry Fator dan Cyril Takayama


PROFIL

NAMA: Mohd Syazwan Nizam Matusin
UMUR: 22 tahun
LAHIR: 7 April 1989
ASAL: Beaufort, Sabah
KELUARGA: Sulung daripada lima beradik
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia
IDOLA: Tan Sri P Ramlee dan Terry Fator

Wednesday, February 02, 2011

0 David Teoh beri angpow 10% daripada pendapatan bisnes filemnya - SURVIVAL PENERBIT CINA DI BAWAH TENAGA PRODUKSI MELAYU

David Teo beri bonus RM4.5 juta

Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my



HAMPIR semua individu yang terlibat dalam produk terbitan MIG diberi habuan setimpal tenaga yang dicurahkan mereka.


SAMA seperti tahun-tahun sebelumnya, Metrowealth International Group (MIG ) sekali lagi meneruskan tradisi pemberian bonus kepada pelakon dan kakitangan MIG yang menjayakan filem-filem terbitan MIG

Tahun ini pada acar Malam Penghargaan dan Penyampaian Bonus, 1 Dekad, 49 Filem MIG yang diadakan di Hotel One World, Damansara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIG, David Teo telah berhabis sebanyak RM4.5 juta untuk pemberian bonus kepada 200 orang.

Katanya, tahun 2010 merupakan tahun paling gemilang MIG sejak penubuhannya pada tahun 2000 apabila 29 filem yang ditayangkan 11 daripadanya merupakan filem terbitan MIG dan berjaya mengutip RM42 juta.

Justeru, pihaknya mengagih-agihkan bonus berbentuk wang ringgit, rumah, kereta dan beberapa hadiah lain kepada pelakon, pengarah, kru produksi, kakitangan syarikatnya dan pihak media sebagai tanda penghargaan serta setiap rezeki harus dikongsi bersama.

"Setiap rezeki yang saya dapat, saya harus kongsi bersama mereka yang menjayakannya, lebih banyak yang saya kongsi, maka, lebih banyak rezeki yang akan saya perolehi pada masa depan.

"Lagipun bonus ini merupakan satu motivasi kepada mereka untuk memberikan khidmat dan karya yang lebih cemerlang. Sebagai sebuah syarikat, kejayaan tidak akan diperolehi tanpa kerjasama dan sokongan daripada ramai pihak terutama kakitangan dan pekerja produksi," tuturnya.

Mendahului penerima bonus terbanyak malam itu, aktor Shaheizy Sam yang membawa banyak keuntungan kepada MIG apabila dua filem lakonannya Adnan Sempit dan Ngangkung mencatat sejarah sebagai filem paling laris.

Adnan Sempit berjaya mengutip RM7.8 juta, manakala Ngangkung pula berjaya dicatatkan di dalam Malaysia Book of Records 2011 sebagai filem dengan kutipan pecah panggung paling tinggi iaitu RM8.4 juta.

Setimpal dengan kejayaannya itu, Sam telah diberikan sebuah rumah Semi-D dua tingkat di Saujana Putra, Puchong dan pakej mengerjakan umrah untuk tiga orang sebanyak RM30,000.

Sam yang terkejut dengan pemberian bonus itu mengucapkan kesyukurannya atas limpahan rezeki yang diberikan dan segala kejayaannya itu akan dikongsi bersama keluarga terutama bersama kedua ibu bapanya.

"Saya memang sudah lama bercadang mahu mengerjakan umrah bersama ibu dan bapa saya, pakej umrah yang saya terima ini satu yang amat bermakna. Jika tidak ada aral melintang, lagi cepat lagi bagus tetapi saya belum tahu mahu pergi bila," ujarnya sambil tersenyum.

Tambah Sam, rumah yang diterimanya itu merupakan rumah pertama yang dimiliki dan akan siap pada penghujung tahun ini.

"Saya tidak sangka akan diberikan rumah, semua hadiah ini memang tidak dijangka. Terima kasih kepada peminat yang menonton filem lakonan saya, kerana tanpa mereka saya tidak akan menerima semua ini," katanya yang akan muncul dalam filem Kongsi, Sekali Lagi dan 8 Jam tahun ini.

Pengarah muda yang kini sedang sibuk di set penggambaran filem ketiganya yang berjudul Petiga, Farid Kamil pula menerima wang tunai sebanyak RM30,000.

"Saya bersyukur dengan bonus yang diberi kerana secara tidak langsung ia membuatkan saya rasa dihargai oleh MIG, saya rasa bukan saya seorang yang rasa seperti ini, tetapi semua orang yang terima bonus," ucapnya.

Selain kakitangan MIG yang masing-masing mendapat rumah Semi-D setingkat, pengarah filem Ngangkung, Ismail Bob Hasim pula menerima sebuah kereta mewah Toyota Alphard 3.5, pelakon Lisa Surihani dan Intan Ladyana masing-masing menerima RM15,000, manakala, Nora Danish, Angah Raja Lawak, Putri Mardiana, Azad Jazmin dan Yana Samsudin menerima RM10,000 setiap seorang.

Sebanyak 10 buah filem MIG yang menanti tayangannya tahun ini antaranya Kembar Siang, Keramat, Senario The Movie Ops Pocot, Sekali Lagi, 3,2,1 Cinta, 8 Jam, Flat 3A, Alamak Toyol dan yang masih dalam pembikinan Petiga.

MIG kini mempunyai 42 pelakon di bawah naungannya termasuk Shaheizy Sam, Lisa Surihani, Farid Kamil, Yana Samsudin, Intan Ladyana, Fizo Omar, Kamal Adli, Diana Amir, Pierre Andre, Angah Raja Lawak, Along Cham, Fezrul Khan, Azad Jazmin, Aeril Zafril, Putri Mardiana, Boy Iman, Zul Suphia'an dan ramai lagi.

Saturday, January 29, 2011

0 Hasil penyamaran Metroplus: Bongkar modus operandi sebuah sekolah agama menjual CD agama dan minyak kecerdasan minda

RM300 sehari kutip derma

Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my

ALOR GAJAH: Sekumpulan pelajar yang mendakwa dari sekolah agama di sebuah negeri di utara tanah air mendakwa mampu memperolehi pendapatan RM300 sehari setiap seorang dengan menjual cakera padat (CD) dan minyak untuk kecerdasan minda.

Pada masa sama, mereka turut menafikan dakwaan kegiatan berkenaan bukan meminta sedekah sebaliknya menjual barangan, sekali gus mengutip derma untuk mengisi tabung pelajaran sekolah agama terbabit.

Bagaimanapun, kegiatan terbabit dikatakan menimbulkan persepsi negatif di kalangan orang ramai berikutan dibimbangi pelajar berusia belasan tahun berkenaan dipergunakan individu tertentu demi mengaut keuntungan.

Metroplus yang melakukan penyamaran di dua lokasi berbeza, di sini, turut berpeluang untuk menemubual dua remaja perempuan bagi mengetahui modus operandi kegiatan mereka.

Gadis berusia 13 tahun yang enggan dikenali berkata, dia sudah membuat kerja berkenaan sejak tiga tahun lalu secara sukarela dan bukannya paksaan seperti didakwa, malah turut diberi tunjuk ajar cara-cara untuk melariskan jualan mereka.

Menurutnya, pada peringkat awal ibu bapanya agak keberatan untuk memberi kebenaran, namun kini mereka mulai faham selepas diterangkan tujuan sebenar dan merestui kerja amal kebajikan berkenaan biarpun terpaksa bersusah payah.

“Setiap seorang daripada kami mampu memperoleh jualan sehingga RM300 sehari dan mungkin lebih hasil daripada kutipan derma yang disumbangkan orang ramai dan setiap daerah di sesuatu negeri akan dibahagikan kepada sembilan sektor.

“Seorang remaja perempuan akan diletakkan di setiap sektor yang dipantau seorang warden untuk memerhatikan gerak geri mereka dari jauh menggunakan kenderaan agar aktiviti mereka berjalan dengan lancar.

“Kami menjual CD lagu dan beberapa jenis minyak ‘pintar’ untuk kecerdasan minda kanak-kanak serta dewasa pada harga RM20 setiap satu yang mana hasil jualan akan diserahkan kepada warden untuk dikumpulkan,” katanya.

Katanya, kebiasaannya aktiviti akan bermula dari jam 11 pagi hingga 10 malam yang mana sebelum itu mereka diberi taklimat dan dihantar ke lokasi ditetapkan.

Rakannya berusia 17 tahun ketika ditemui pula berkata, mereka melakukan kegiatan berkenaan secara sukarela tanpa dibayar upah oleh pihak sekolah, kecuali diberi duit makan antara RM10 hingga RM15 sehari.

Menurutnya, mereka datang sekadar untuk menjual barang bagi mengutip derma sebagai dana bagi mengembangkan syiar Islam berikutan peruntukan yang diterima masih tidak mencukupi untuk proses pembelajaran.

Selain itu, katanya, mereka juga sudah dilatih untuk menjawab sebarang pertanyaan orang ramai dengan tenang dan sabar apabila berdepan dengan cabaran yang mendatang.

“Kalau setakat maki hamun sudah menjadi perkara biasa, tetapi tak kurang juga ramai yang kasihan lalu membeli barang yang kami jual dan tak kurang juga yang beri duit saja. Paling penting, mereka (orang ramai) ikhlas nak derma. “Kebiasaannya kami akan berpindah dari satu tempat ke tempat lain untuk menimba pengalaman baru di sana kelak,” katanya.


Artikel berkaitan:


Pusat transit pelajar tahfiz jual barang diarah tutup

PORT DICKSON: Sebuah premis di D’Ambang Kota, Lukut, di sini, dipercayai pusat transit pelajar sebuah tahfiz di Kedah yang melakukan jualan tanpa lesen di negeri ini dan Melaka, sudah diarah tutup oleh Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) sejak kelmarin.

Yang Dipertua MPPD, Abdul Wahab Shamsuddin berkata, pihaknya menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan premis dua tingkat itu tidak dibuka semula.


“Arahan sudah dikeluarkan, namun kita tidak dapat memastikan sama ada pihak terbabit masih beroperasi atau tidak kerana perkara itu bukan di bawah bidang kuasa MPPD.


Baru-baru ini, MPPD bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dan polis menyerbu premis berkenaan yang dipercayai menggunakan kanak-kanak untuk menjual pelbagai barangan.

0 Pulangkan gaji: Gaji tiga kali lebih tinggi untuk perlawanan yang tidak pernah dimenangi

Pemain pulang semula gaji RM36.6 juta



GIL MECHE membaling bola dalam satu perlawanan besbol di bandar Kansas pada 25 Mei tahun lalu.



WICHITA, Amerika Syarikat – Seorang pemain besbol pasukan Kansas City Royals, Gil Meche memulangkan semula gaji berjumlah AS$12 juta (RM36.6 juta) pada tahun lalu kerana menganggap dia tidak layak untuk menerimanya, lapor sebuah akhbar semalam.

Meche mengambil keputusan itu kerana menganggap prestasinya tidak memuncak kerana dia hanya bermain dalam sembilan perlawanan dan pasukannya tidak pernah menang satu pun daripadanya.

Bintang sukan itu menerima gaji tiga kali lebih banyak berbanding pemain lain di dalam pasukan yang sama.

“Saya bukan hendak menjadi hero. Saya cuma mahu kembali menjalani hidup yang selesa.

“Mengambil wang sebanyak itu (RM36.6 juta) daripada pasukan yang telah memberi saya lebih AS$40 juta (RM122 juta) untuk diri dan keluarga, bukanlah perkara yang betul untuk dilakukan,” tegas Meche.

Dia yang berusia 32 tahun menandatangani kontrak selama lima tahun bernilai AS$55 juta (RM168 juta) dengan pasukan Kansas City Royals bermula pada musim 2007.

Keputusannya itu mendapat pujian daripada para blogger dan pengulas sukan. – Agensi