.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Tuesday, November 23, 2010

0 Enam petua kerajaan untuk capai 10 tahun terakhir wawasan 2020. Ambil iktibar untuk kejayaan diri

Enam petua jayakan PPP - Nor Mohamed

KUALA LUMPUR 22 Nov. - Perkongsian Swasta dan Awam (PPP) akan menjadi platform pelaburan utama kerajaan dalam menjana perbelanjaan sebanyak RM150 juta setahun untuk tempoh 10 tahun akan datang.

Jumlah perbelanjaan itu adalah tekal dalam usaha mencatat pertumbuhan ekonomi sekitar enam peratus sehingga 2020.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, kerajaan yakin Malaysia berjaya melaksanakan inisiatif PPP bagi mendapatkan kekuatan yang optimistik.

''Kita perlu menjana perbelanjaan sebanyak itu (RM150 bilion) bagi mengekalkan kemampanan ekonomi negara,'' kata beliau dalam pembentangan bertajuk: 'PPP untuk infrastruktur' sempena Forum Pemimpin Perniagaan Global di sini hari ini.

Nor Mohamed berkata, terdapat enam petua yang diamalkan untuk menjayakan projek di bawah PPP.

Pertama, kata beliau, kerajaan perlu menunjukkan komitmen yang tinggi dalam pelaksanaan projek PPP.

Nor Mohamed berkata, petua kedua pula mencipta persekitaran yang berkeupayaan dan, ketiga, memilih pihak swasta yang betul dan berkeupayaan daripada sudut kewangan.

Petua keempat, kata beliau, membina kepakaran yang diperlukan dalam kapasiti sumber manusia dan kelima, mempunyai sumber kewangan untuk projek jangka panjang.

Petua keenam pula, menjalankan etika kerja di antara swasta dan awam.

''Keenam-enam petua kejayaan itu menjadi jaminan punca kelancaran projek PPP selama ini.

''Malaysia sendiri mempunyai pengalaman yang baik dalam menjalankan projek PPP yang menyakinkan kejayaannya kepada kedua-dua pihak iaitu awam dan swasta,'' tambah beliau.

0 Fenomena Harry Porter. Kehebatan Filem dari Novel Bersiri.

Harry Porter pecah rekod minggu pertama

LOS ANGELES 22 Nov. - Filem terkini Harry Potter mencatat rekod baru jualan tiket pada minggu pertama tayangannya apabila memperolehi AS$330 juta (RM1.027 bilion) di seluruh dunia.

Menurut studio Warner Brothers, Harry Potter and the Deathly Hallows: Part 1 meraih kutipan sebanyak AS$125.1 juta (RM388.8 juta) di Amerika Syarikat (AS) dan mendapat kutipan tiket terbesar dalam minggu pertama tayangannya di Britain sebanyak AS$28 juta (RM87 juta).

Di Australia, filem tersebut mencatatkan hasil jualan tiket sebanyak AS$15 juta (RM46.6 juta) dan di Rusia sebanyak AS$12 juta (RM37.2 juta), yang merupakan permulaan yang baik pada minggu pertama siri Harry Potter itu dengan sambungannya Deathly Hallows: Part 2 pada tahun hadapan.

"Ini baru benar-benar fenomena filem dan ini adalah episod permulaan daripada dua bahagian filem tersebut," kata ketua pengedaran filem studio tersebut di AS, Dan Fellman.

"Kami amat teruja melihat sambutan yang diberikan oleh penonton di seluruh dunia.

"Ini adalah bukti dari visi luar biasa yang dihasilkan penulisnya JK Rowling, bakat yang ditunjukkan oleh pelakon, pembuat filem dan semua orang yang terlibat dalam penerbitan dan kerja keras pengedaran kami dan pasukan pemasaran di seluruh dunia," tambah Ketua Pengedaran Antarabangsa, Veronika Kwan -Rubinek.

Hallows: Part 1 mempunyai peluang baik untuk menjadi filem paling terlaris tahun ini jika ia dapat mengekalkan momentum semasa musim percutian di AS.

Dalam filem baru siri keenam dan kedua akhir itu, Lord Voldemort dan konco-konco jahatnya mengawal lilitan besar dunia sihir dan Harry berada dalam keadaan yang bahaya.

Menurut anggaran kutipan mingguan oleh Exhibitor Relation di AS, filem Harry Potter memperolehi hasil jualan tiket sebanyak AS$125 juta (RM388.3 juta) seminggu mengatasi sembilan lagi filem yang berada dalam carta 10 filem terlaris.

Filem animasi komedi Megamind berada di tangga kedua dengan pungutan AS$16.2 juta (RM50.3 juta) diikuti filem aksi dibintangi Denzel Washington dan Chris Pinewith Unstoppable dengan hasil AS$13.1 juta (RM40.7 juta). - AFP

0 Ingatlah empat prinsip semasa buat urusniaga di internet bagi mengelak ditipu

RM300,000 lesap di Internet sebulan

Oleh JUNHAIRI ALYASA
junhairi.alyasa@kosmo.com.my



BUKAN semua penjualan dalam talian merupakan penipuan tetapi jika pengguna tidak berhati-hati mereka menjadi mangsa. - Gambar hiasan



KUALA LUMPUR – Para pembeli pelbagai barangan secara dalam talian melalui Internet di negara ini mengalami kerugian di antara RM200,000 hingga RM300,000 setiap bulan gara-gara tertipu dengan sindiket perniagaan yang sebenarnya tidak wujud.

Presiden Persatuan Pembekal Kandungan Mudah Alih, Azli Paat yang mendedahkan perkara itu berkata, jumlah tersebut berdasarkan lima hingga 10 peratus daripada keseluruhan transaksi urus niaga yang dibuat menerusi pelbagai kaedah pembayaran seperti kad kredit, perbankan Internet atau bayaran secara bersemuka bernilai RM2.5 juta hingga RM3 juta setiap bulan.

Setiap hari, rakyat di negara ini berbelanja kira-kira RM100,000 untuk membeli pelbagai produk secara dalam talian di Internet.

Katanya, terdapat empat proses penting ketika pembelian dalam talian iaitu carian Internet, pengesahan atau perjanjian pembelian, penghantaran dan pembayaran.

“Malangnya penipuan sering berlaku apabila proses ini tidak diikuti. Kaedah yang salah ialah pembayaran dahulu baru penghantaran menyebabkan barang tidak sampai kepada pembeli,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Monday, November 22, 2010

0 Debu gunung berapi di tengah Filipina

Bulusan hambur debu kali keenam



PENDUDUK memerhatikan hamburan debu Gunung Bulusan yang terletak di wilayah Sorsogon, tengah Filipina, semalam. - REUTERS



MANILA 21 Nov. - Beratus-ratus penduduk terpaksa melarikan diri selepas gunung berapi Bulusan di Filipina hari ini menghamburkan debu yang menghujani kampung-kampung di sekitarnya.

Penduduk di dua kampung dekat Gunung Bulusan meninggalkan rumah mereka selepas kepulan abu menjulang kira-kira dua kilometer ke udara dari gunung setinggi 1,565 meter itu.

Ia merupakan letusan debu keenam sejak beberapa minggu kebelakangan ini namun tidak ada bahaya letusan besar, kata pakar gunung berapi kerajaan.

"Penduduk yang dipindahkan adalah mereka yang paling terdedah kepada ancaman abu seperti kanak-kanak, golongan tua, wanita mengandung dan ibu yang menyusukan anak," kata ketua kawalan bencana, Jose Lopez kepada televisyen ABS-CBN.

Mangsa dibawa ke sekolah-sekolah kerajaan yang digunakan sebagai pusat penempatan sementara, katanya.

Lebih 750 penduduk telah meninggalkan rumah masing-masing sejak Gunung Bulusan mula menghamburkan abu pada 6 November lalu.

Seorang lelaki yang menghidap asma meninggal dunia akibat abu dari gunung itu pada 11November lalu. - AFP

0 Isi kandungan yang baik di FB lebih baik berbanding banyak rakan tetapi cerita kosong

Rakyat perlu guna laman sosial secara berhemah: PM


2010/11/22
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mahu rakyat Malaysia menjadi pemimpin kepada usaha membimbing pengguna jaringan media sosial supaya menggunakannya secara berhemah dan bijak.

Perdana Menteri berkata, ini disebabkan jaringan media sosial seharusnya digunakan bagi tujuan murni seperti menjadi medan perbincangan membina dan tempat menyampaikan pandangan bersifat sederhana. “Kita perlu menunjukkan teladan baik atau memimpin usaha bagaimana menjadikan media sosial sebagai tempat perbincangan membina, sama ada di Facebook, Twitter atau jaringan sosial yang lain. “Sudah pasti, akan ada kumpulan kecil yang akan memperjuangkan ideologi dan sikap ekstrim, tetapi ia tidak sepatutnya menjadi penghalang bagi kita menyuarakan pandangan bersifat sederhana serta wasatiyyah,” katanya menerusi blognya, semalam.

Perdana Menteri berkata, rakyat seharusnya tidak terpengaruh dengan provokasi dalam talian yang bersifat tidak matang dan kasar, sebaliknya perlu mengambil pendekatan yang mencerminkan kita adalah bangsa berintegriti serta berbudi bahasa.

Katanya, rakyat juga seharusnya mempelopori usaha menggalakkan pengguna media sosial melakukan perkara yang sama dan menyuarakan pandangan sederhana.

“Ia akan menjadi ukuran terhadap usaha kita membentuk mentaliti kelas pertama, bagi menggambarkan kita benar-benar 1Malaysia,” katanya.
Najib turut melontarkan persoalan apakah pandangan rakyat mengenai usaha mempromosi budaya sederhana dalam talian.

0 Masalah disiplin, kesihatan dan prestasi rendah adalah tiga masalah utama penjawat awam di Malaysia

6,133 penjawat awam bermasalah

22/11/2010 3:49pm


PUTRAJAYA 22 Nov. - Jumlah penjawat awam yang bermasalah dan berprestasi rendah meningkat kepada 6,133 orang pada tahun lepas berbanding 5,344 atau 0.84 peratus pada 2008, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Abu Bakar Abdullah.

Beliau berkata, antara masalah yang dihadapi adalah disiplin, hubungan interpersonal, psikologi, prestasi rendah serta kesihatan kronik seperti penyakit jantung, kanser dan kencing manis.

"Masalah disiplin, kesihatan dan prestasi rendah merupakan tiga masalah paling utama," katanya semasa berucap merasmikan majlis pentauliahan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) kali keenam 2010 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar rakan pembimbing membantu pihak pengurusan sumber manusia dalam mengatasi masalah yang timbul selain mempamerkan diri mereka sebagai model contoh kepada rakan sekerja yang lain dengan mengamalkan nilai-nilai positif dan menunjukkan tatalaku yang boleh dicontohi. - Bernama

Saturday, November 20, 2010

0 Planet lebih besar dari Jupiter sedang bergerak laju

Planet berputar laju ditemui di tepi Bima Sakti



Lakaran artis merakamkan HIP 13044 b, sebuah planet panas mengorbit sebuah bintang dan memasuki galaksi Bima Sakti. - AFP



WASHINTON 19 Nov. - Sebuah planet yang panas, mengandungi gas dan cepat berputar pada paksinya ditemui mengorbit bintang dan sedang mati di tepi Bima Sakti, penemuan pertama planet di luar galaksi.

Ia dikatakan menyempurnakan setiap orbit hanya dalam masa 16 hari dan mungkin sedang berada pada hujung hayatnya, tambah pakar astronomi itu.

Selain saiznya yang sedikit besar daripada Jupiter, planet terbesar dalam sistem solar kita itu juga mengorbit sebuah bintang yang berada 2,000 tahun cahaya dari bumi dan ditemui sedang menuju ke Bima Sakti.

Ia dipercayai sebahagian daripada aliran Helmi, sekumpulan bintang yang kekal selepas mini galaksinya dikuasai Bima Sakti antara enam hingga sembilan bilion tahun lalu, menurut penyelidik di Science Express.

"Penemuan ini sangat mengujakan kerana ia melibatkan jarak yang jauh. Sebelum ini, tidak ada pengesahan penemuan planet di luar galaksi kita ini.

"Namun penggabungan kosmos ini membawa planet galaksi tambahan di dalam lingkungan kita," kata Rainer Klement dari Institut Astronomi Max Planck.

Menurut penyelidik, pakar astronomi dapat menentukan kedudukan planet itu iaitu 'HIP 13044 b' dengan menumpukan pada getaran ketara sangat kecil dicetuskan oleh bintang itu dengan tanda tarikan graviti yang diorbit oleh planet itu.

Mereka berjaya mengesan planet itu menggunakan teleskop berkuasa tinggi milik European Southern Laboratory di Balai Cerap La Silla, Chile, kira-kira 600 kilometer ke utara ibu negara Santiago.

Planet itu sangat rapat dengan bintang yang diorbitnya, sekali gus menjadikannya sangat panas. - AFP