Selamat tinggal memori gelap 13 Mei
Wartawan Malaysiakini | May 12, 10 8:14pm
Lebih empat dekad peristiwa berdarah 13 Mei 1969 berlalu. Sejak sekian lama, rakyat Malaysia dihantui oleh memori ngeri tragedi hitam tersebut.
Esok genap 41 tahun berlakunya keganasan dan rusuhan kaum di di ibu negara Kuala Lumpur. Dan, mereka yang ditemui Malaysiakini, sepakat bahawa sudah tiba masanya untuk mereka melangkah meninggalkan memori hitam itu.
Ahli-ahli politik dari semasa ke semasa menggunakan taktik menakut-nakutkan rakyat dengan menyatakan bahawa ancaman rusuhan kaum boleh berulang dan seterusnya menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara.
Dari sudut lain pula, ia juga membawa kepada langkah memperkukuhkan lagi undang-undang seperti Akta Hasutan, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Peristiwa itu juga melahirkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1971 - yang dianggap sebagai jalan penyelesaian kepada masalah ketegangan kaum akibat pengagihan kekayaan negara yang tidak saksama, khususnya antara Melayu dan Cina.
Seorang saksi kejadian yang menyaksikan peristiwa berdarah itu ketika berumur 18 tahun memberitahu Malaysiakini, bahawa keadaan sudah berubah dan hubungan antara semua kaum juga kini semakin baik.
"Pembangkang pun sudah bergabung dan hubungan kaum telah menjadi lebih erat," kata seorang peniaga di Kampung Baru yang berusia 59 tahun.
Dengan mengambil contoh Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat, peniaga itu berkata, mursyidul am PAS dan tokok agama itu, kini boleh "makan-makan" dengan orang Cina daripada DAP.
Katanya, contoh yang ditunjukkan oleh menteri besar Kelantan itu memberi kesan kepada masyarakat, di samping menunjukkan bahawa sikap perkauman sudah berlalu.
Satu lagi faktor mengapa tragedi 13 Mei tidak akan berulang lagi ialah kerana kini kebanyakan generasi muda tidak mengetahui mengenai peristiwa tersebut, tambahnya.
"Jika tahu pun mereka tidak berasa apa-apa kerana kurangnya semangat patriotik dan nasionalisme dalam diri mereka. Mereka hanya cuma mahu bekerja, mencari duit dan kemewahan kerana mereka tidak berada semasa kejadian itu dan tidak merasainya.
Sementara itu, seorang pekerja kedai alat ganti yang hanya mahu dikenali sebagai Teoh berkata, beliau masih ingat peristiwa 40 tahun lalu yang berlaku di sekitar Kuala Lumpur.
Teoh, 67, berkata masih segar dalam ingatannya kereta yang lalu-lalang mundar-mandir ketika ketegangan kes tersebut.
"Ia sudah jadi sejarah. Semua ini sudah berubah sekarang," katanya.
Manakala seorang pelajar sekolah 17 tahun yang belum lahir ketika insiden tersebut berlaku, pula dilihat kesal dengan kejadian yang tidak sepatutnya berlaku itu.
Menurut Mohd Hafizin, perbalahan kaum pada masa ini walaupun masih ada, ia tidak menonjol.
Namun begitu, tambahnya, jika dilihat pada kesan peristiwa 13 Mei, isu tersebut tidak relevan lagi dibangkitkan semupa pada pada zaman kini.
"Peristiwa ini tidak akan berlaku lagi kerana walaupun orang ramai tidak gembira (dengan sesuatu dasar), mereka tidak akan bertindak ganas lagi," katanya.
Artikel yang berkaitan:
Perhimpunan 'Melayu Bangkit' ditangguh
Regina Lee | May 12, 10 4:04pm
Perhimpunan 'Melayu Bangkit' bersama Tun Dr Mahathir Mohamad yang dijadual berlangsung di di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu esok sempena ulang tahun peristiwa berdarah 13 Mei 1969, telah ditangguhkan.
Pengerusi Gerakan Kebangkitan Rakyat (GERTAK), Razali Idris berkata penganjur bersamanya, Institut Integriti Terengganu telah meminta supaya perhimpunan itu ditangguhkan selepas nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"Ramai yang belum faham objektif sebenar kami. Kami tidak mahu isu ini dipolitikkan oleh mereka yang tidak tahu," katanya ketika dihubungi.
Perhimpunan itu diadakan dalam usaha untuk "memotivasikan" masyarakat Melayu serta bagi memperingati ulangtahun ke-41 peristiwa berdarah 13 Mei.
Mengikut perancangan awalnya, kira-kira 10,000 akan berhimpun di stadium tertutup Gong Badak di Kuala Terengganu esok.
Berita Harian Online memetik pengarah Jabatan Integriti Terengganu, Arpin Draman, berkata program bersama bekas perdana menteri itu terpaksa ditangguhkan berikutan bantahan beberapa pihak yang tidak mahu ia diadakan pada 13 Mei.
"Kita sepatutnya mengadakan raptai jam 3 petang ini tetapi terpaksa membatalkan semuanya," katanya.
Dr M lapang pada 13 Mei
Sebenarnya, inisiatif Jabatan Integriti mengadakan program ini dengan kerjasama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) timbul selepas melihat ramai golongan muda Melayu terbabit dengan kes jenayah dan salah laku sosial serta moral.
“Program bertujuan membangkitkan kesedaran di kalangan generasi muda Melayu mengenai peranan mereka dalam menentukan hala tuju negara pada masa depan ditangguhkan selepas kita menerima nasihat Perdana Menteri yang disampaikan wakil Menteri Besar, Datuk Ahmad Said kira-kira jam 2 petang,” katanya pada sidang media petang ini.
Sebelum ini, MCA dan PAS membantah pemilihan tarikh 13 Mei iaitu ulang tahun peristiwa berdarah sebagai hari perhimpunan Program Melayu Bangkit dan menyifatkan tindakan itu boleh menjejaskan hubungan perpaduan antara kaum di negara ini.
Mengulas lanjut, Arpin berkata, tarikh 13 Mei yang dipilih pihaknya tidak langsung berkaitan dengan peristiwa berdarah seperti didakwa beberapa pihak, sebaliknya ia diputuskan selepas Dr Mahathir tidak mempunyai kelapangan pada tarikh awal yang dijadualkan iaitu 11 Mei.
"Tarikh 13 Mei tidak ada makna apa-apa bagi penganjuran program ini. Tarikh asal dicadangkan ialah 11 Mei, tetapi Dr Mahathir tidak lapang pada hari itu, begitu juga dengan Menteri Besar menyebabkan kita ubah kepada 13 Mei.
Bagaimanapun, saya harap isu ini tidak diperbesarkan kerana pihak yang membuat provokasi tidak tahu pengisian sebenar program ini," katanya.
Thursday, May 13, 2010
0 Peristiwa 13 Mei, tentu ramai kita tidak mengetahuinya dan tidak pernah ingin tahu? Malaysia Kini ada butirannya. Terima Kasih atas artikel ini
0 32, 000 kes kanser baru? Bukan murah kos rawatan kanser, belum masuk kos sampingan. Itulah sebabbya ramai mengalah sebelum berjuang. Apa ikhtiar kita?
32,000 pesakit baru kanser dijangka tahun ini, kata Liow
12th May, 2010
KANGAR: Sebanyak 32,000 kes baru kanser dijangka dikesan tahun ini dan ia merupakan antara 10 punca utama penduduk negara ini dimasukkan ke hospital kerajaan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata walaupun kanser bukan penyakit berjangkit, namun jumlahnya terus bertambah.
Berucap pada program Perlis Sihat Sejahtera bertemakan “Kenali Kanser” di sini hari ini, beliau berkata lima jenis kanser paling utama bagi lelaki di negara ini ialah kanser usus besar, paru-paru, nasofrinks, prostat dan hati manakala bagi pesakit wanita ia membabitkan kanser payu dara, usus besar, serviks, ovari dan tiroid.
Bagi pesakit kanak-kanak, kanser yang sering menyerang ialah leukemia, kanser otak dan tulang.
Liow berkata diagnosis awal kanser penting kerana ia mempengaruhi keberkesanan rawatan.
“Jika dikesan awal, peluang untuk pesakit kanser pulih adalah lebih tinggi,” katanya.
Liow berkata Kementerian Kesihatan akan meneruskan promosi kesedaran dan pendidikan supaya masyarakat dapat mengambil langkah pencegahannya melalui amalan gaya hidup sihat.
Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Abdul Rashid ketika merasmikan program itu, berharap rakyat dapat menjaga kesihatan diri dan keluarga masing-masing kerana kos merawat adalah tinggi berbanding kos menjaga kesihatan.
0 Ibu muda di PLKN. Ambil pengajaran ini wahai warga Keningau
PELATIH PLKN OVAI LAHIRKAN ANAK DI TANDAS 
DUA orang jururawat memberi rawatan kepada bayi Kem Ovai di Hospital Daerah Papar.
12th May, 2010
PAPAR: Seorang pelatih wanita Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mela- hirkan bayi di Kem PLKN Ovai, Papar, awal pagi kelmarin.
Pelatih berusia 18 tahun dan berasal dari Keningau itu telah melahirkan bayi lelaki seberat 2.63kg di dalam tandas kem itu kira-kira jam 2.30 pagi.
Lima orang rakannya yang masuk ke tandas terkejut apabila melihat bayi itu di atas lantai tandas berlumuran darah bersama ibunya.
Rakan-rakan pelatih itu kemudian memberi pertolongan kepada ibu dan bayi itu yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Papar dan dalam keadaan baik.
Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) telah pergi ke Kem Ovai untuk menjalankan siasatan setelah dimaklumkan tentang kejadian pada jam 5 pagi.
Pelatih itu merupakan salah seorang pelatih PLKN Kumpulan 2, Siri 7, 2010, yang dihantar menjalani latihan di kem itu bermula 27 Mac tahun ini dan akan menamatkan latihan pada 12 Jun.
Siasatan mendapati pelatih berkenaan telah mengadakan hubungan seks dengan teman lelakinya sebelum menyertai program di kem itu.
Ketua Polis Daerah (KPD) DSP Nik Zaidi Nik Zakaria yang mengesahkan kejadian ketika dihubungi oleh New Sabah Times kelmarin, berkata, pelatih itu memberitahu polis dia mengadakan hubungan seks dengan teman lelakinya juga berasal dari Keningau atas kerelaannya sendiri.
Nik Zaidi berkata polis akan menghu- bungi teman lelaki pelatih itu untuk hadir ke IPD Papar bagi tujuan membantu siasatan.
Berikutan kejadian itu, Nik Zaidi mencadangkan agensi yang terlibat dengan pengambilan pelatih PLKN supaya menjalankan ujian air kencing ke atas semua calon wanita yang dipanggil untuk menyertai PLKN dan memastikan mereka (pelatih wanita) tidak hamil.
Beliau berkata ujian sedemikian perlu bagi menghalang kejadian yang tidak diingini berlaku.
“Semua pelatih akan menjalani pelbagai latihan termasuk beberapa latihan lasak dan latihan menembak, kemungkinan pelatih yang tidak diketahui hamil semasa mengikuti latihan ini akan mengalami kecederaan serius dan memudaratkan nyawa bayi dalam kandungannya,” kata Nik Zaidi.
Menjawab soalan, Nik Zaidi berkata setakat ini polis belum ada cadangan mengambil tindakan ke atas pelatih tersebut memandangkan dia (pelatih) tidak ada niat mahu mencederakan atau membuang bayinya.
Monday, May 10, 2010
0 Gaji, kerja dan hutang. Kehidupan makin mencabar. Sesuatu perlu dilakukan untuk menanganinya
Lelaki muda boros
KUALA LUMPUR 9 Mei – Wanita sering dikaitkan dengan hobi ‘membuang duit’ iaitu membeli-belah, namun hakikatnya lelaki muda merupakan golongan yang paling ramai dibelenggu hutang kerana kegagalan menguruskan kewangan.
Golongan itu mula mengumpul hutang sejak awal bekerja dan apabila berumah tangga, hutang semakin menimbun sehingga gagal dibayar menyebabkan mereka terpaksa mendapatkan khidmat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk keluar daripada masalah itu.
Menurut statistik yang dikeluarkan AKPK, dari 2007 hingga Februari 2010, seramai 25,107 atau 69 peratus daripada 36,547 pelanggan perkhidmatan pengurusan kredit di agensi itu adalah lelaki.
Lelaki berusia 30 hingga 40 tahun merupakan golongan yang paling tinggi iaitu 44.6 peratus atau 16,286 orang mendapatkan khidmat itu bagi melangsaikan hutang masing-masing diikuti 14,622 orang golongan berusia lebih 40 tahun (40 peratus) dan 5,639 orang golongan berusia antara 20 hingga 30 tahun (15.4 peratus).
Golongan yang berkahwin paling ramai mendapatkan khidmat itu iaitu 28,068 orang (76.8 peratus) diikuti bujang seramai 6,260 orang (17.1 peratus) dan bercerai seramai 1,508 orang (4.1 peratus) sementara kematian pasangan seramai 711 orang (dua peratus).
Menurut statistik itu, masing-masing 25 peratus punca golongan tersebut tidak mampu membayar balik pinjaman adalah disebabkan kegagalan merancang kewangan sejak mula bekerja dan perbelanjaan perubatan yang tinggi.
Penyumbang ketiga terbesar pula ialah penggunaan kad kredit di luar kawalan iaitu sebanyak 17 peratus diikuti gagal dalam perniagaan dan hilang pekerjaan iaitu masing-masing 12 peratus.
Faktor lain ialah kematian ketua keluarga (dua peratus) diikuti kegagalan dalam pelaburan (satu peratus) dan lain-lain (enam peratus).
0 Mungkir janji perjanjian kontrak. Hati-hati dengan semua komitmen anda, anda akan dituntut
Kes saman RM546 juta BN diselesaikan di luar mahkamah
10/05/2010 10:58am
KUALA LUMPUR 10 Mei - Kes saman yang difailkan oleh sebuah syarikat pembekal papan iklan, yang menuntut ganti rugi RM546 juta terhadap Barisan Nasional (BN) atas dakwaan parti itu telah menamatkan perjanjian secara salah, hari ini berjaya diselesaikan di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Penyelesaian itu direkodkan oleh Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin tanpa kebebasan memfailkan semula tindakan yang sama.
Peguam Datuk Hafarizam Harun yang mewakili BN memberikan bayangan bahawa jumlah penyelesaian tidak melebihi 0.01 peratus daripada jumlah tuntutan ganti rugi dan ia berbentuk ex-gratia.
Bagaimanapun, jumlah sebenar penyelesaian itu tidak dapat diberikan oleh beliau kerana menurutnya, pihak-pihak yang terbabit masih lagi berbincang.
Hafarizam turut melahirkan rasa lega kerana kes terhadap BN terutama yang melibatkan jumlah tuntutan yang begitu besar dapat diselesaikan tanpa penghakiman sebarang liabiliti oleh BN dan plaintif. - Utusan
Sunday, May 09, 2010
0 Orang tempatan memerlukan pekerjaan. Orang asing pun mahu kerja. Jika anda majikan, anda bagaimana?
Majikan perlu utamakan pekerja tempatan: Najib
Oleh Rohaniza Idris dan Mohd Azis Ngah
bminggu@bharian.com.my
2010/05/09
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak meminta semua majikan mementingkan pengambilan pekerja tempatan dan memberi keadilan serta upah yang wajar, bukannya mencari jalan mudah dengan membawa pekerja asing menguasai pasaran kerja di negara ini. Perdana Menteri berkata, majikan sepatutnya mencari jalan bagaimana mahu meningkatkan produktiviti pekerja tempatan. “Adalah tidak wajar pekerja tempatan diabaikan. Jangan salahkan kerajaan jika kita tidak meluluskan tambahan pengimportan pekerja asing. Kita nak lihat bagaimana pekerja tempatan boleh diberi keutamaan dalam pertimbangan majikan mengambil pekerja,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena sambutan Hari Pekerja 2010 anjuran Kementerian Sumber Manusia di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MIECC) di Mines Resort City, Seri Kembangan di sini, semalam.
Hadir sama Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam; Timbalannya, Datuk Maznah Mazlan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam.
Najib dalam amanatnya kepada 8,000 pekerja berkata, Malaysia antara negara yang terbaik dari segi rekod perhubungan perusahaan berbanding kebanyakan negara lain di dunia.
“Pencapaian itu kerana pekerja di negara ini tidak melihat semata-mata dari sudut kepentingan pekerja saja, tetapi mengambil kira dan sentiasa membuat pertimbangan bagaimana dan apa yang dikehendaki dan dituntut oleh mereka itu munasabah, wajar dan mampu disediakan pihak majikan mahupun kerajaan.
“Ia juga berlandaskan prinsip muafakat yang mana wujud pemuafakatan antara pekerja, majikan dan kerajaan. Hubungan tiga penjuru ini menjadi titik pertemuan untuk mencari penyelesaian kepada masalah yang timbul dengan semua pihak mengutamakan suasana kerja yang lebih positif dan kondusif,” katanya.
Najib berkata, dengan pendekatan pemuafakatan itu, negara akhirnya berjaya melepasi cengkaman krisis ekonomi global yang hebat sedangkan bukan semua negara berada pada landasan pemulihan kukuh seperti yang dilalui Malaysia.
Malah katanya, semalam (kelmarin) bursa saham seluruh dunia terganggu kerana krisis pinjaman yang terlalu tinggi di Greece, iaitu sebuah negara Kesatuan Eropah (EU) yang dikategorikan sebuah negara maju, tetapi mengalami krisis ekonomi dan tidak mampu ditangani mereka sehingga kini.
“Alhamdulillah, negara kita kini pulih daripada krisis berkenaan berkat rancangan dan dasar kerajaan yang tegas serta wujudnya permuafakatan antara pekerja dalam sektor awam dan swasta yang faham kedudukan kerajaan. Tahun lalu ada kita dengar mereka membuat pelbagai tuntutan, tetapi bila kerajaan kata tunggu tahun ini, kerana bukan tahunnya (buat tuntutan), mereka faham. Mereka kata tak apalah kita terima,” katanya.
Najib berkata, jika pemulihan ekonomi semakin rancak, beliau sebagai ketua kerajaan mengamalkan sikap bahawa pekerja patut mendapat upah, gaji dan imbuhan yang lebih tinggi.
0 Sorry PDRM silap sapu? Rupanya berperikemanusiaan juga mereka, tapi?

Penjenayah silap 'sapu'
Oleh Hardi Effendi Yaacob
hardi@bharian.com.my
2010/05/09
ANGGOTA polis memeriksa kenderaan rasmi Khalid yang ditemui semula di tepi jalan di Prima Damansara menghala Sungai Buloh, semalam.Kenderaan rasmi Khalid ‘dipulang’ selepas dua hari
PETALING JAYA: “Sorry PDRM... silap sapu,” demikian nota ringkas ditinggalkan penjenayah dalam kenderaan rasmi Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang ditemui semula pagi semalam selepas dilaporkan dicuri di Seksyen 9, Shah Alam dua hari lalu. Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, ketika dihubungi, berkata Proton Perdana V6 berwarna hitam itu ditemui kira-kira jam 8.45 pagi semalam di tepi jalan di Prima Damansara menghala ke Sungai Buloh. “Ia ditemui anggota peronda (MPV) dari Balai Polis Damansara ketika melakukan rondaan rutin di taman perumahan itu yang turut ditugaskan mengesan kereta berkenaan sejak dilaporkan hilang di Shah Alam, Khamis lalu.
“Difahamkan, kereta itu ditemui dalam keadaan baik tanpa sebarang kerosakan atau ada komponennya hilang. Malah, tiada pengubahsuaian dilakukan pada nombor pendaftarannya seperti yang biasa berlaku pada kereta curi,” katanya.
Bagaimanapun, agak melucukan apabila anggota peronda terbabit menemui sekeping nota ditinggalkan penjenayah yang memohon maaf kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana tersilap mencuri kereta rasmi pihak berkuasa berkenaan.
Katanya, kereta itu dihantar ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor untuk siasatan lanjut, termasuk ujian forensik bagi mengenalpasti jumlah sebenar suspek terbabit dalam kes berkenaan serta identiti mereka.
“Siasatan masih berjalan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor atau mana-mana bahagian komponen, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan antara satu hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Kereta Khalid dilaporkan hilang kira-kira jam 9 pagi, Khamis lalu ketika pemandunya yang dalam perjalanan menghantar dokumen dari IPK Selangor ke Ampang, berhenti bersarapan di sebuah restoran di Jalan Tengku Ampuan Zabedah, Shah Alam.
Dalam tempoh tidak sampai 24 jam, sebuah lagi kereta model sama milik peribadi Timbalan Menteri Luar, Senator A Kohilan Pillay dilaporkan dicuri di hadapan rumah pembantunya di Taman Kepong, pagi kelmarin.
Difahamkan, kenderaan terbabit dilarikan bersama lambang dan pelekat `Ahli Dewan Negara – Parlimen Malaysia’ yang dikhuatiri disalahgunakan, termasuk dijual kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk tujuan tidak baik.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, ketika dihubungi memaklumkan kenderaan terbabit yang didaftarkan atas nama abang tokoh politik itu belum ditemui sehingga semalam.
“Semua pegawai dan anggota dikerah mengesan kenderaan itu, termasuk penjenayah yang melarikannya secepat mungkin melalui sekatan jalan raya di sekitar bandar raya,” katanya.






