.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Sunday, February 05, 2012

0 Sasterawan perlu dihargai sama hebat dengan ahli sukan?

Antara karyawan dan ahli sukan

Siti Jarum

TIDAK ada negara yang begitu menghargai ahli sukan seperti negara kita. Negara lain yang sukan mereka jauh lebih hebat pun tak seperti negara kita yang limpahkan itu dan ini kepada ahli sukan.

Kononnya ahli sukan telah “mengharumkan” nama negara. Kononnya ahli sukan kita telah “mencatat” nama negara di peta dunia.

Alasan ini diberikan oleh orang yang malas. Mereka malas berfikir dan malas terima kenyataan. Di negara kita, penjaga gol Khairul Fahmi dapat sebuah banglo. Di negara kita, ahli sukan dapat ganjaran berganda, menang di pertandingan lagi, kerajaan bagi lagi.

Negara lain bangunkan prasarana sukan sebagai cara menghargai sukan. Tapi kita longgokkan duit kepada ahli sukan. Kita terkepung dalam ruang fikir sempit kononnya inilah cermin kejayaan bangsa dan negara. Ini mengarut namanya.

Eh, betulkah ahli sukan “mengharumkan” nama negara? Mana ada, semua itu temberang saja. Cuba bagi satu contoh ahli sukan di dunia yang “mengharumkan” nama negaranya? Kita yang syok sendiri saja yang kata begitu.

Boleh tak Siti tanya sikit. Betulkah bintang bola sepak dunia Pele, Maradona, Ronaldo dan banyak lagilah dalam sukan lain pun yang “mengharumkan” nama negara mereka? Sebenarnya yang mengharumkan nama negara dan menyebarluas pemikiran bangsa adalah karyawan. Tidak kiralah sasterawan, pelukis atau dramawan. Pemikiran karyawan mewakili bangsa dan negaranya. Penyair Victor Hugo dan pelukis Van Gogh misalnya turut mengangkat nama Perancis walaupun Van Gogh bukan dilahirkan di Perancis.

Agak-agaknya apakah yang disumbangkan Maradona kepada bangsa dan negaranya seperti Van Gogh kepada Perancis? Mereka minat sukan, mereka gila sukan. Tapi mereka terima kenyataan bahawa yang menyumbang kepada bangsa dan negara adalah karyawan. Sebabnya karyawan itu adalah cermin kepada tamadun bangsa.

Tapi bagi kita lain pula, pemain badminton atau bola sepak mengambil tempat karyawan. Ahli sukan dapat penghargaan berjuta ringgit. Tak kisahlah kalau pemurah sangat. Tapi ini menunjukkan kita tak tahu menilai. Sasterawan kita yang karya mereka ke seluruh dunia tidak mendapat ganjaran sama. Bukan tidak boleh menghargai ahli sukan, tapi berpada-padalah dan adil kepada yang lain. Banyak sasterawan kita yang pemikiran mereka menjelajah seluruh dunia dianggap lebih rendah daripada penjaga gol atau pemain badminton.

Kita berbangga tak kena tempat. Kita tak tahu bahawa sukan adalah produk konsumerisme. Sukan tempat kapitalis kaut kekayaan. Sukan tidak ada kena mengena dengan tamadun bangsa. Sukan itu duit. Dulu Maradona atau Tiger Wood dijulang, esok atau lusa mereka dilupakan. Mereka tak tinggal apa-apa pun kecuali kekayaan peribadi.

Tapi karyawan seperti Shakespeare, Albert Camus, Van Gogh misalnya sentiasa hidup dalam bangsa yang tahu menilainya. Di negara kita, banyak sasterawan telah menjelajah benua asing. Usman Awang, A. Samad Said, Arenawati, Anwar Ridhuan sudah lama mengharumkan nama bangsa dan negara. Pelukis kita Latiff Mohidin, Ibrahim Hussein, Raja Azhar Idris sudah lama mengharumkan nama negara apabila mengemukakan karya tentang negara dan bangsanya. Siapa peduli?

Baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan dana RM5 juta untuk Persatuan Penulis Nasional (PENA) menerbit buku. RM1 juta lagi untuk membaiki Rumah PENA yang uzur. Tapi Siti fikir ada pihak yang tidak dapat baca mesej Perdana Menteri supaya hargai sasterawan. Balik-balik mereka hanya lihat ahli sukan. Terimalah kenyataan, rakyat Argentina pun tidak pernah bangga dengan Maradona. Sebabnya Maradona tidak menyumbang apa-apa kepada Argentina seperti sumbangan Shakespeare kepada England. Mesti banyak yang tak setuju tapi Siti peduli apa.

0 comments: