.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Tuesday, March 29, 2011

0 Kutipan kurang RM6 juta akan diberi insentif. Hasilkan filem bernilai RM6 juta

KPKK perkenal Insentif Tayangan Filem


Rais Yatim (kiri) bersama pengarah-pengarah filem selepas majlis penyampaian insentif tayangan filem di bilik media Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur, semalam.



KUALA LUMPUR 28 Mac - Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) telah memperkenalkan Insentif Tayangan Filem untuk para penerbit filem tempatan bagi menggantikan Skim Pemulangan Duti Hiburan yang diperkenalkan sejak 13 Februari 1986.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, Insentif Tayangan Filem yang diluluskan oleh Kabinet pada 23 Februari lalu diharap dapat mengurangkan beban kerajaan dalam memulangkan duti itu kepada para penerbit selepas tayangan sesebuah filem itu.

"Ini kerana, mulai tahun 2000 setiap kerajaan negeri kecuali Kelantan, Terengganu dan Perlis tidak menyalurkan duti hiburan di pawagam kepada kementerian melalui agensinya iaitu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

"Ia menyebabkan duti hiburan yang dipulangkan semula kepada para penerbit filem itu menggunakan peruntukan daripada bajet Finas,'' katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Sebagai contoh katanya, untuk tahun 2010 Finas telah mengeluarkan RM12,834,809.75 bagi memulangkan duti hiburan itu kepada para penerbit filem tempatan.

Sebelum ini menerusi pemulangan duti hiburan, para penerbit akan menerima semula duti hiburan sekitar 20 peratus daripada kutipan tiket filem mereka yang tamat tayangannya di pawagam.

Sementara itu, menerusi Insentif Tayangan Filem pula, Finas akan memberi insentif sebanyak RM200,000 bagi filem-filem cereka yang mengutip kutipan tiket RM2 juta.

Rais turut menjelaskan, filem cereka yang mendapat kutipan tiket RM2 juta hingga RM4 juta akan menerima insentif 10 peratus daripada kutipan tiketnya dan kutipan tiket melebihi RM4 juta hingga RM6 juta pula menerima insentif lima peratus.

''Bagi filem cereka yang mendapat kutipan tiket melebihi RM6 juta pula tidak akan mendapat sebarang insentif,'' ujarnya.

Pada majlis itu, Rais turut menyerahkan Insentif Tayangan Filem kepada empat syarikat penerbit filem iaitu Asia Tropical menerusi filem Ice Kacang Puppy Love dan Lelio Po Po, Tayangan Unggul Sdn. Bhd. (Appalam), Woohoo Pictures Sdn. Bhd. (Whoohoo) dan Zioss Films Sdn. Bhd. (Crayon).

Thursday, March 17, 2011

0 Watak yang jujur dalam filem mengangkat filem itu menjadi karya terbaik dan hebat

Karya Kurosawa di Aswara

Oleh JAGATHESWARY NARAYANAN




TIMBALAN MENTERI 11 Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Datuk Maglin Dennis D’Druz (kiri) memberi cendera hati kepada Pengarah Japan Foudation Kuala Lumpur, Toyoda Shoichi semasa perasmian Festival Filem Akira Kurosawa di Aswara.

--------------------------------------------------------------------------------



PENGARAH filem termasyhur dari India, Satyajit Ray pernah menyifatkan legenda ini sebagai kuasa magnet ataupun elektrik, sebabnya kesemua karya filem terbitannya mampu mengejut dan mempesona jiwa sesiapa saja yang menonton buat julung-julung kali.

“Dia memang ada kuasa. Saya sering bertanya-tanya setiap kali menonton filem arahannya apakah yang ada pada filem ini yang memukau jiwa dan memacu untuk menghayati dengan lebih mendalam.

Ungkapan-ungkapan begitu membanggakan yang terpacul keluar daripada sanubari tokoh ternama antarabangsa ini sebenarnya adalah hak kepada seniman Akira Kurosawa.

Sutradara filem yang berpegang teguh dengan jati diri Jepun ini merupakan insan yang memberi identiti berbeza dan yang telah pun martabatkan nilai-nilai ketimuran serta Asia di persada dunia perfileman menerusi keindahan filem yang tak makan dek zaman.

“Watak-watak dalam filem saya adalah mereka yang cuba hidup secara jujur dan akan berusaha untuk mencapai kehidupan yang diberikan itu ke tahap maksimum.

“Saya percaya kita perlu jujur dan berusaha dengan kemampuan yang ada pada diri kita sebaik mungkin. Mereka yang melakukan ini adalah hero yang sebenar.”

Sedutan kata-kata istimewa Kurosawa itu sungguh membuktikan ketinggian intelektual dan keghairahan beliau terhadap seni perfileman dalam menghasilkan karya -karya asli yang memaparkan realiti sebenar dalam hidup.

Selain disanjungi sebagai pengarah filem terunggul Asia dari Jepun, Kurosawa juga turut dikagumi sebagai penerbit, penulis skrin dan editor sehingga menjadi inspirasi kepada beberapa seniman tempatan seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarham Hussein Hanif dalam pembikinan filem Semerah Padi serta Istana Berdarah.

Lebih membanggakan lagi, Pemenang Hadiah Nobel, Gabriel Garcia Marquez pernah menonton filem Kurosawa berjudul Red Beard sebanyak enam kali kerana jalan ceritanya begitu memberi inspirasi kepada dirinya.

Sehubungan itu, mulai 10 Mac lalu hingga 20 Mac ini, Akademi Seni dan Warisan (Aswara) dengan kerjasama Japan Foundation menganjurkan Festival Filem Akira Kurosawa di Dewan Kuliah Utama (DKU), Aswara.

Festival ini diadakan di beberapa buah bandar raya di dunia sebagai memperingati ulang tahun Kurosawa ke-100 pada 23 Mac ini. Pengarah itu meninggal dunia pada 6 September 1998 pada usia 88 tahun.

Filem-filem yang ditayangkan merangkumi karya hebat Kurosawa dalam pelbagai genre. Antaranya, Rashomon, Seven Samurai, Red Beard, Sanshiro Sugata, The Most Beautiful, The Men Who Tread On The Tiger’s Tail, The Idiot, Sanjuro, Yojimbo dan banyak lagi.

Rektor Aswara, Datuk Mohamed Najib Ahmad Dawa berkata, penganjuran festival ini bertujuan membawa khalayak meninjau pemikiran seorang seniman besar pertama Asia yang menempatkan diri di pentas dunia.

“Seperti semua maklum, Kurosawa amat berpegang keras dengan jati diri ‘Jepunnya’. Penerapan nilai-nilai itu jelas dilihat dalam filem-filem arahannya misalnya elemen daripada teater noh iaitu teater tradisi Jepun diterapkan dalam filem Throne Of Blood yang naskhah asalnya adalah Macbeth oleh Shakespeare,” ujar Najib yang turut memberitahu filem itu berjaya bukan kerana Shakespeare tetapi penyatuan Timur-Barat dalam acuan budaya Jepun zaman feudal.

Wednesday, March 16, 2011

0 Krisis nuklear dan ancaman untuk seluruh rakyat Jepun

Krisis nuklear Jepun meruncing




Kombinasi imej satelit, (gambar kiri) merakamkan loji nuklear Daiichi di Fukushima pada 21 November, 2004 dan (gambar kanan) pada 14 Mac. Kelihatan kepulan asap menjulang ke udara setelah reaktor No.3 di loji itu meletup ekoran gempa bumi dan tsunami Jumaat lalu. Dalam tempoh empat hari lalu selepas gempa itu, dua reaktor di kompleks nuklear terletak 240 kilometer ke utara Tokyo itu telah meletup mencetuskan krisis nuklear paling serius di Jepun sejak Perang Dunia Kedua. – REUTERS



FUKUSHIMA 15 Mac – Krisis nuklear Jepun yang disifatkan sebagai paling serius di dunia sejak malapetaka Chernobyl di Ukraine pada 1986, semakin meruncing hari ini apabila paras radiasi didapati meningkat ke tahap membahayakan kesihatan di sekitar sebuah loji nuklear setelah beberapa reaktornya meletup dalam tempoh empat hari lalu selepas berlaku gempa bumi Jumaat lepas.

Perdana Menteri, Naoto Kan menyeru penduduk yang tinggal sekitar 30 kilometer dari loji nuklear Fukushima, 240 kilometer ke utara Tokyo, supaya tidak keluar rumah dan menjimatkan elektrik.

Ketika bercakap mengenai paras radiasi di reaktor No. 4 yang meletup hari ini, Ketua Setiausaha Kabinet, Yukio Edano mengakui terdapat kemungkinan jelas kesihatan penduduk boleh terjejas.

“Tidak syak lagi berlainan dengan situasi masa lalu, paras radiasi kini pada paras yang boleh membahayakan kesihatan manusia,” kata Edano.

Kedutaan Perancis dalam kenyataan pada 0100 GMT (9 pagi waktu Malaysia) memberi amaran, angin radioaktif paras rendah boleh sampai ke Tokyo dalam masa kira-kira 10 jam, tetapi pihak berkuasa mengesan paras radiasi melebihi normal lebih awal daripada itu di ibu negara Jepun itu.

Paras radiasi di bandar Maebashi, 100 kilometer ke utara Tokyo mencecah 10 kali paras normal, manakala hanya radiasi paras rendah dikesan di ibu negara matahari terbit itu, yang ‘tidak menjadi masalah’, kata pegawai bandar raya menurut agensi berita Kyodo.

“Berlaku kebakaran dan letupan di reaktor No. 4 dan paras radiasi di kawasan sekitar meningkat dengan ketara, kemungkinan berlaku lagi kebocoran bahan radioaktif bertambah meningkat,” kata Kan dengan wajah suram dalam ucapan ke seluruh negara.

Negara serantau juga semakin bimbang dengan risiko radiasi, termasuk China. Syarikat penerbangan Air China membatalkan penerbangan ke Tokyo sementara kerajaan Jepun mengumumkan zon larangan terbang sejauh 30 kilometer di sekitar reaktor di Fukushima.

Media Jepun mula mengkritik Kan berhubung tindakannya menangani bencana itu dan membidas kerajaan dan operator loji nuklear, TEPCO kerana gagal menyalurkan maklumat lengkap mengenai insiden tersebut, terutamanya risiko terhadap kesihatan.

“Keracunan radiasi yang sangat teruk, seperti yang berlaku di Chernobyl dan kepada pekerja Jepun di stesen tenaga nuklear itu, tidak mungkin menimpa penduduk awam,” kata pakar patologi kimia di Universiti Hong Kong, Lam Ching-wan.

Namun, letupan di reaktor itu boleh menyebabkan penduduk awam terdedah kepada radiasi jangka panjang, yang meningkatkan risiko kanser tiroid dan tulang serta leukemia terutamanya kepada kanak-kanak dan anak dalam kandungan, katanya.

Sejumlah empat letupan berlaku di loji Fukushima sejak kompleks itu mengalami kerosakan dalam gempa bumi dan tsunami pada Jumaat lalu, dengan letupan terbaru di reaktor No. 2 dan No. 4, hari ini. – Reuters