.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Wednesday, January 05, 2011

0 Tidak tahu definisi dosa menjadi faktor terlanjur zina dan buang bayi (DAN MASYARAKAT TIDAK TEGUR)

Ramai terlanjur berzina kerana tiada budaya tegur menegur

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my
2011/01/05
Pasangan remaja berani buat aksi ‘melampau’ sebab masyarakat tak peduli

“BOLEH pandang-pandang, jangan pegang-pegang, duduk renggang-renggang, bertambah sayang. Biar malu-malu, biar segan-segan, kerna malu itu, perisai orang beriman.” Lirik lagu Kalau Berpacaran nyanyian Sohaimi Mior Hassan, Ana Raffali dan Altimet itu turut menghangatkan sesi Muzakarah Pakar Menangani Zina serta Pembuangan Bayi di Kalangan Remaja dan Pelajar Sekolah anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), baru-baru ini. Walaupun media dikecam sebagai antara punca golongan remaja dan pelajar terdedah gejala sosial yang kian meruncing, mahu tidak mahu, kuasa media turut diperakukan dalam usaha mencari kaedah berkesan mendidik remaja supaya tidak terbabit zina.

Rasionalnya, jika media mempromosikan gaya hidup berpandukan agama serta budaya masyarakat dalam penerbitan drama, penciptaan lagu serta penulisan baik berita atau karya kreatif, sedikit sebanyak akan memberi kesedaran kepada masyarakat.

Begitu juga lagu Kalau Berpacaran yang mengingatkan mengenai tatasusila dalam perhubungan, apabila diperdengarkan atau dinyanyikan selalu pasti akan meresap dalam jiwa seterusnya menyedarkan remaja yang tersasar selama ini.

Justeru, mungkin ada sebabnya media tersenarai dalam punca remaja terdedah gejala negatif, malah disebut berulang kali pada seminar sehari itu yang berusaha sedaya mungkin melerai kekalutan masyarakat untuk menghasilkan jalan penyelesaian berkesan.
Antaranya, komen Pengarah Kem Modal Insan Kewaja, Yahya Mohamed Yusof, bahawa hasil kreatif serta fantasi digambarkan dalam drama atau filem memaparkan hubungan intim lelaki dan wanita bukan muhrim menjadikan seolah-olah ia budaya diterima masyarakat.

Katanya, bahan porno atau internet hanya ibarat pil perangsang saja kerana punca berlakunya salah laku dan zina sudah disediakan oleh perkara yang dimesrakan seperti adegan bercinta yang perlu ada pelukan, ciuman dan bersunyi-sunyian.

“Sekarang dalam rumah bukan suami isteri saja. Kenapa ini berlaku? Kerana ada pihak menghalalkan budaya itu dalam drama atau filem mereka. Pihak penapis pun tidak mampu berbuat apa-apa,” katanya.

Beliau yang membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Mendekati Remaja Terlanjur - Kaedah dan Penyelesaian’ berkata, perkara itu bukan rekaan, tetapi realiti berlaku yang dikutip daripada pengalaman mengendalikan kes remaja hamil hasil perbuatan zina.

Pernah katanya, remaja bawah umur yang datang ke Kewaja tanpa pengetahuan keluarga ingin dibawa pulang ibu bapa apabila dimaklumkan untuk diuruskan sendiri tanpa rasa ragu atas alasan perkara itu sudah ‘biasa’ di kampung mereka.

Rumah perlindungan Kewaja ditubuhkan Yahya pada 1988 mulanya hanya menerima pelajar tidak mahu bersekolah, lari dari rumah atau terbabit penagihan dadah dan ganja. Namun, selepas 1996, apabila ramai remaja hamil datang mendapatkan bantuan, Yahya terpaksa menerima.

Sejak itu hingga kini, seramai 2,500 gadis dan wanita hamil dibantu Kewaja yang mampu menampung 70 orang pada satu-satu masa. Mengikut rekod, penghuni termuda berumur 11 tahun dan paling tua ialah 43 tahun.

Pendekatan kerohanian diamalkan selain kaunseling ialah membaca surah Yasin setiap kali selepas solat dan airnya digunakan untuk mandi serta minuman.

Yahya mengakui untuk mengharamkan adegan dalam drama memang sukar dan menyarankan supaya diwajibkan setiap penerbit menyelitkan nasihat atau meletakkan maklumat tepat mengenai adegan ditayangkan.

“Sebelum atau selepas tayangan, beritahu apa yang ditonton bukan budaya kita. Manusia ini perlu diingatkan selalu. Nak harap tonton Forum Perdana atau Al-Kuliyyah tidak ramai, jadi jika perlu selitkan ustaz dalam cerita Korea, kenapa tidak.

“Jika dalam filem itu, bukan suami isteri, letak amaran jangan tiru adegan ini. Dalam panggung wayang sebelum filem ditayangkan, siarkan ayat yang melarang zina. Gunakan pendekatan sama seperti kempen nak lawan denggi atau AIDS,” katanya.

Beliau berkata, daripada maklumat dikumpulkan sepanjang menguruskan remaja hamil, dapat dirumuskan perbuatan zina yang berlaku kebanyakannya bukan disebabkan terlanjur, tetapi sudah dirancang terutama oleh lelaki yang bijak menggunakan kesempatan.

Katanya, pengakuan ingin mencuba pula adalah jawapan standard mereka dan itu membuktikan kejahilan remaja hari ini mengenai hakikat dosa.

“Apabila saya tanya kenapa buang bayi, mereka kata tidak tahu nak pergi mana. Selalunya yang buang bayi ialah mereka yang keseorangan berhadapan masalah ini.

“Tetapi ini gambaran mereka yang melakukan perkara ini tidak faham makna dosa. Kita perlu cari definisi dosa supaya anak faham akan kesannya dan saya berharap ulama serta mereka yang arif dapat membantu,” katanya.

Beliau berkata, amalan tegur menegur yang sudah hilang dalam masyarakat perlu disuburkan semula dan jika perlu diadakan kempen menggalakkan tegur menegur sebagai cara membantu remaja yang tidak pandai mengawal urus cinta dan seks.

Yahya berkata, walaupun amalan tegur menegur sukar dilaksanakan, tetapi sikap ambil berat itu mampu menangani salah laku dalam kalangan remaja dan tidak mustahil jika dibudayakan, masyarakat bebas perbuatan zina dan buang bayi.

“Sifar zina dan buang bayi tidak mustahil kerana yang penting usaha perlu berterusan. Isteri saya setiap kali nampak pasangan menjolok mata, dia akan tegur. Mula-mula saya setuju, tetapi apabila ada yang marah dan meludah, saya nasihat isteri hentikan.

“Namun, dia kata ini tugas kita. Jadi, jika jiran sebelah rumah orang bujang, apabila nampak ada perempuan masuk, inilah tugas kita untuk menegur. Memang mencabar, tetapi kena buat juga. Jika perlu kempen untuk galak tegur menegur, pihak berkuasa anjurkanlah kempen,” katanya.

0 comments: