.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Tuesday, December 21, 2010

0 Wajah bawah Kolong KL

Masih ramai warga Kuala Lumpur tagih peluang pekerjaan
Oleh Abd Razak Hussin

2010/12/21
APABILA Prof Dr Rohany Nasir, pensyarah Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia (PPPPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memaklumkan bahawa pelajar pasca siswazahnya terbabit sebagai sukarelawan membantu PERTIWI sebuah badan bukan kerajaan mengagihkan makanan kepada warga kota Kuala Lumpur yang miskin dan tidak mempunyai rumah, penulis teruja untuk menyertainya.

Memandangkan penulis tidak berkesempatan, lalu meminta Ghani dan Saliman, membuat liputan aktiviti itu pada Jumaat malam Sabtu. Agihan makanan dilakukan pada setiap Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad bermula jam 9 malam. Keesokannya tersiarlah berita aktiviti berkenaan yang ditulis Ghani dengan gambar yang diambil oleh Saliman dalam Portal Berita UKM. Tulisan itu mendorong penulis untuk mengalaminya sendiri lantas sejak sebulan lalu pada setiap Jumaat, penulis menyertai kumpulan sukarelawan PERTIWI dalam aktiviti yang dipanggil ‘PERTIWI Soup Kitchen’. Pada minggu kedua, penulis memberanikan diri mendekati seorang pemuda yang sedang menunggu ketibaan kenderaan PERTIWI di belakang Hotel Tune. Hassan, pemuda berusia 36 tahun berasal dari Kuantan, Pahang sudah tiga tahun menjadi warga Kuala Lumpur. Niat asalnya berkelana di Kuala Lumpur untuk mendapat kerja tidak pernah pudar walaupun sehingga kini beliau masih menganggur. Apabila ditanya selepas ini hendak ke mana, Hassan mengatakan ke KLCC. Penulis bertanya bukankah KLCC sudah hampir tutup, beliau mengatakan dengan tersenyum KLCC adalah rumahnya. Beliau juga mengambil kesempatan meminta penulis mencarikannya kerja.

Di situ juga, penulis sempat bertanya khabar kepada Arpah, wanita berusia 30-an yang mendahului barisan penerima bekalan makanan. Berasal dari Terengganu, beliau memaklumkan bekerja sebagai pencuci di bangunan sebuah bank berhampiran dan pada sebelah malam membuat kerja sambilan untuk menampung keperluan hidup di kota bersama dua orang anak yang masih kecil. Apabila penulis bertanya kerja apa dan di mana suaminya, Arpah hanya tersenyum pahit sambil mengangkat kedua-dua bahunya dan penulis hampir mengetahui makna senyumannya.

Selepas semua yang berbaris menerima bungkusan makanan, sukarelawan bergerak pula ke dataran Kompleks Kotaraya. Di situ sudah kelihatan barisan panjang warga kota untuk mengambil makanan yang bakal diagihkan. Berseri-seri wajah mereka melihat ketibaan kenderaan PERTIWI sumbangan Kelab Rotary Diraja itu. Sukarelawan yang sebahagiannya adalah pelajar UKM menjalankan tugas dengan ramah dan mesra.

Walaupun pada malam itu, PERTIWI menyediakan 250 bungkusan makanan, ia tidak mencukupi. Kira-kira 10 orang tidak mendapat makanan dan hanya menerima minuman. Daripada air muka mereka ternyata mereka sangat kecewa dan kelihatan marah. Barangkali reaksi sedemikian adalah disebabkan mereka sememangnya sedang kelaparan dan selama ini berasa diri sebagai golongan terpinggir daripada arus perdana pembangunan negara.
Penulis menghampiri seorang lelaki yang sedang makan roti di bawah pohon besar. Lelaki berusia 50-an mengatakan namanya Kee Lian berasal dari Kluang, Johor. Sudah lebih 10 tahun beliau menjadi pengungsi Kuala Lumpur tetapi sudah hampir dua tahun beliau tidak bekerja kerana sakit. Katanya, beliau belum pernah berkahwin dan kini tinggal di pelbagai tempat apabila saja berkesempatan di sekitar Lembah Pantai. Beliau enggan pulang ke Kluang kerana menurutnya sudah tiada sesiapa di sana.

Tanpa diundang, Shanker berusia 49 tahun dari Cheras, seorang penerima sumbangan PERTIWI Soup Kitchen yang ‘regular’ bercerita kepada penulis. Hampir setahun beliau tidak bekerja. Sebelum itu beliau bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan beberapa syarikat keselamatan.

Seperti Hassan, Shanker juga meminta penulis mendapatkannya pekerjaan kerana beliau mempunyai empat anak yang masih bersekolah. Hassan, Arpah, Kee Lian dan Shanker adalah sebahagian daripada denyut nadi kota Kuala Lumpur yang megah dan gagah. Suara mereka adalah teriakan kecil yang berasakan diri mereka golongan terpinggir. Penulis menjangkakan personaliti Hassan, Arpah, Kee Lian dan Shanker bukanlah sekadar berjumlah 270 orang di kota besar ini.

Penulis berkhidmat di Pusat Komunikasi Korporat, UKM

0 SPA rasmi pusat sehenti pusat temuduga di luar kawasan

SPA lantik lebih 41,000 calon pelbagai jawatan hingga November


2010/12/20
ALOR SETAR: Sehingga 30 November lalu, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) telah melantik seramai 41,840 calon ke pelbagai jawatan dalam perkhidmatan awam tahun ini.

Pengerusi SPA, Tan Sri Jamaluddin Ahmad Damanhuri, berkata dalam tempoh sama sebanyak 1,207,921 calon mengemukakan permohonan dengan SPA, manakala daripada jumlah itu sebanyak 20,288 calon adalah dari Kedah. "Bagi Kedah saja untuk tahun ini sehingga 30 November seramai 4,551 calon dilantik ke dalam perkhidmatan awam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pusat sehenti pusat temuduga SPA di Wisma Persekutuan, di sini hari ini. Sehingga Disember ini, SPA mensasarkan akan mencapai lantikan lebih 50,000 petugas pelbagai jawatan kerana masih ada sesi temuduga yang dijalankan sepanjang tahun ini, katanya.

Beliau berkata pada 2009, SPA menerima sebanyak 1,527,070 permohonan calon secara online, manakala sebanyak 50,756 calon dilantik ke dalam perkhidmatan awam.

Mengenai pusat temuduga SPA, Jamaluddin berkata Alor Setar merupakan lokasi kelima dibuka selepas Kota Baharu, Kelantan; Kuantan, Pahang; Ipoh, Perak dan Johor Bahru, Johor.

"Selain pusat temuduga ini SPA memang sudah mempunyai pusat tetap di Putrajaya, Jalan Cenderasari di Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching.
"Objektif pembukaan pusat temu duga ini adalah untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada calon-calon yang berurusan dengan SPA khususnya bagi yang akan menghadiri temuduga," katanya.

Pusat temuduga Alor Setar yang dilengkapi infrastruktur moden dan lengkap itu mampu menampung 320 calon bagi satu-satu masa, mempunyai sembilan bilik temuduga, satu bilik pemeriksaan fizikal dan ruang menunggu dengan kemudahan komputer berinternet. - BERNAMA

0 28/35. Nahas paling ngeri membabitkan bas ekspress

Nahas bas terburuk negara


2010/12/20
KUALA LUMPUR: Kemalangan bas di Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai, hari ini yang meragut 28 nyawa adalah yang paling dahsyat dalam sejarah negara.

Dalam nahas pada 11.10 pagi tadi, 22 orang mati di tempat kejadian, empat meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital dan dua lagi di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh. Kemalangan terburuk melibatkan sebuah pas sebelum ini berlaku pada 13 Ogos 2007, apabila 20 orang terbunuh dan sembilan cedera di KM229 Lebuh Raya Utara-Selatan, di Bukit Gantang dekat Taiping. Berikut kemalangan bas yang berlaku tahun ini, tidak termasuk nahas pagi tadi.

16 DIS -- Empat kakitangan Jabatan Penjara Tawau terbunuh apabila bas jabatan itu terbabas lalu terjatuh dalam gaung di Kampung Moyog, 35 kilometer dari Penampang dekat Kota Kinabalu.

14 DIS -- Seramai 14 orang pekerja kilang cedera apabila bas kilang yang mereka naiki terbabas lalu terbalik di Km 156.2 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Nibong Tebal, Pulau Pinang, selepas bergesel dengan sebuah treler yang turut terhumban ke dalam parit.

11 DIS -- Tiga pelajar Institut Kemahiran Mara Jasin, Melaka parah apabila bas yang mereka naiki terbabas dan terbalik di kilometer 304.5 Lebuhraya Utara Selatan, dekat Gopeng, Perak.
4 NOV -- Seorang maut dan dua cedera parah selepas bas ekspres yang mereka naiki terbabas sebelum terbalik ke dalam sebuah tali air di Kampung Sungai Miang, di km20 Jalan Pekan-Nenasi, Pahang.

29 OKT -- Tujuh penumpang maut dan 39 cedera termasuk 17 parah apabila sebuah bas terlibat dalam kemalangan di KM36 Lebuhraya Karak ke Kuala Lumpur.

10 OKT -- 13 penumpang maut dan 40 cedera apabila bas ekspres terlibat kemalangan di KM223 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke utara berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat-Rembau.

2 SEPT -- Lapan belas orang cedera apabila bas persiaran yang dinaiki terbabas dan terbalik di Km 35.1 Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur.

27 OGOS -- Seorang pemandu bas ekspres terbunuh manakala tiga cedera parah dan enam cedera ringan apabila bas yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Km306.2 Lebuhraya Utara-Selatan.

17 APRIL -- Seorang penumpang patah tulang rusuk manakala enam yang lain cedera ringan apabila sebuah bas ekspres yang dalam perjalanan dari Johor Baharu ke ibu negara terbabas di KM32 Lebuh Raya Utara-Selatan, dekat Kulai Jaya, Johor.

20 MAC -- 40 penumpang sebuah bas ekspres nyaris maut apabila kenderaan berkenaan terbabas dan terperosok ke dalam tali air di Km 42 Jalan Kuantan-Kemaman.

4 FEB -- 15 penumpang bas Ekspres Konsortium yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur nyaris maut selepas bas berkenaan melanggar dua kenderaan lain di Plaza Tol Sungai Dua, Pulau Pinang. - BERNAMA




Artikel berkaitan:


Nama 28 korban nahas bas Simpang Pulai


2010/12/20
IPOH: Pihak polis setakat ini mengeluarkan senarai nama dua rakyat Malaysia dan 22 rakyat Thailand daripada 28 orang semuannya yang terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai, 11.40 pagi tadi.

1. Omar Shahidan, 48, pemandu, rakyat Malaysia 2. Soontorn a/l Kian, 38, (pemandu pelancong lelaki keturunan Siam Malaysia) 3. Charcart Knagsuwan, 48, (lelaki) 4. Thanvaraj Poolsang, 36, (perempuan) 5. Nutthiya Inyyim, 50, (perempuan)
6. Poonporn poolsaene, 41, (lelaki)
7. Sumruay Swatphet, 48, (lelaki)
8. Putharee Akkrarachaw Wanont, 42, (perempuan)
9. Ponethanest Akkrarachaw Wanont, 45, (lelaki)
10. Suchanchida Chaiaueai, 40, (perempuan)
11. Sriwai Swatphet, 42, (perempuan) 12. Prinya Prassakulchai, 48, (perempuan)
13. Chutima Throukool, 25, (perempuan)
14. Thitisak Pongtanarat, 51, (lelaki)
15. Junpen Pongtanarat, 50, (perempuan)
16. Phayong Kruanjinli, 59, (lelaki)
17. Ekachai Na Bangxang, 64, (perempuan)
18. Mantana Phromduag, 51, (perempuan)
19. Rung Da (perempuan)
20. Darunee Songserm (perempuan)
21. Isariya Thiangtham, 25, (perempuan)
22. Ampaiwan Thiangtham, 50 (perempuan)
23. Malinan Mekmahaprom, 53, (perempuan)
24. Achara Wiwat, 36, (perempuan) - BERNAMA


Artikel berkaitan:


Nahas paling ngeri




ANGGOTA polis serta Bomba dan Penyelamat mencari mangsa yang terlibat dalam kemalangan bas persiaran mengakibatkan 27 maut di Kilometer 15, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, semalam. - UTUSAN/MOHD. NAJIB MOHD. NOR dan CHINA PRESS



IPOH 20 Dis. – Percutian sekumpulan 35 pelancong warga Thailand ke pusat peranginan Cameron Highlands, Pahang bertukar menjadi tragedi apabila 25 daripada mereka maut manakala 10 lagi parah dalam nahas yang disifatkan terburuk dalam sejarah kemalangan membabitkan bas ekspres di negara ini.

Nahas ngeri kira-kira pukul 11.50 pagi di Kilometer 15, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands itu turut meragut nyawa dua rakyat tempatan iaitu pemandu bas, Omar Shahidan (gambar), 48, dan Soontorn Kian, 38, pemandu pelancong berketurunan Siam.

Ketika kejadian, terdapat seramai 37 orang dalam bas tersebut. Seramai 15 yang terbunuh dalam nahas itu adalah wanita manakala selebihnya 12 orang lelaki.

Dengan angka 27 kematian itu, nahas tersebut disifatkan terburuk dalam sejarah nahas kemalangan jalan raya di negara ini.

Ia meragut paling banyak nyawa selepas kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres di Kilometer 229, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Bukit Gantang, Perak, meragut 21 nyawa dan mencederakan lapan yang lain pada 13 Ogos 2007.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata, seramai 22 mangsa mati di tempat kejadian, empat ketika dalam perjalanan ke hospital manakala seorang lagi meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

“Bas persiaran dua tingkat itu dikatakan hilang kawalan sewaktu menuruni laluan berbukit sebelum merempuh pembahagi jalan konkrit berdekatan Kampung Juang di sini.

“Bas itu kemudian terpelanting ke laluan bertentangan sebelum terbalik ke dalam longkang sedalam satu meter,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Menurut Zakaria, bas itu menuruni Cameron Highlands kira-kira pukul 11 pagi menuju ke Kuala Lumpur kerana pelancong berkenaan dikatakan akan mengambil penerbangan pulang ke Bangkok melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Polis terpaksa menutup laluan kedua-dua arah selepas kemalangan tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata, bas dua tingkat milik San Express Holiday dengan nombor pendaftaran AFX 2266 itu didaftarkan di Perak tetapi berpusat di Changloon, Kedah.

Sementara itu, pengarah urusan syarikat berkenaan, Sor Eng Hock yang kini berada di Bangkok kerana urusan perniagaan ketika dihubungi Bernama berkata, sebelum ini tidak pernah berlaku kemalangan melibatkan syarikat itu.

“Tak sangka jadi macam ini. Saya tak tahu punca... saya kena balik dan bincang,” katanya.

Menurut Eng Hock, syarikat yang didaftarkan pada 2007 itu mempunyai enam buah bas. Ditanya mengenai bentuk bantuan kepada mangsa, beliau berkata syarikat akan merancang sesuatu.

Laluan Simpang Pulai-Cameron Highlands dibuka kepada lalu lintas pada 2003 dan merupakan laluan alternatif ke Cameron Highlands selain jalan dari Tapah.

Jalan tersebut juga digunakan bagi mereka yang mahu pergi ke Gua Musang melalui Lojing, Kelantan.

Zakaria ketika ditanya sama ada kemalangan itu berpunca daripada kegagalan brek atau dipandu laju tidak menafikan kemungkinan tersebut dan akan menyiasat dua faktor berkenaan.

“Siasatan lanjut punca sebenar nahas akan dilakukan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros),” katanya.



Artikel kemaskini:


Senarai mangsa nahas bas persiaran


2010/12/21
IPOH: Berikut senarai nama mangsa kemalangan bas persiaran di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini semalam.

Senarai maut: Rakyat Malaysia 1. Omar Shahidan, 48 (pemandu bas) 2. Soontorn Kian, 38 (pemandu pelancong)
Rakyat Thailand:
1. Nutthiya Inyim, 50 (Perempuan)
2. Poonporn Poolsaeng, 41 (Lelaki)
3. Sumruay Swatphet, 48 (L)
4. Puthnaree Akkrarachawwanont (P)
5. Pongthanest Akkrarachawwanont (L) 6. Sriwai Swatphet, 42 (P)
7. Prinya Prassakulchai, 48 (P)
8. Chutima Throukool, 25 (P)
9. Thitisak Pongtanarat, 51 (L)
10. Junpen Pongtanarat, 50 (P)
11. Phayong Kruanjili, 59 (L)
12. Ekachai Na Bangxang, 64 (L)
13. Mantana Phromduag, 51 (P)
14. Isariya Thiangtham, 25 (P)
15. Ampaiwan Thiangtham, 50 (P)
16. Maliwan Mekhmahaprom, 53 (P)
17. Natkritta Poolsaeng, 6 (P)
18. Weera Chuntanagon,48 (L)
19. Pimontip Kodsa-at, 48 (P)
20. Pongsak Swatphet,40 (L)
21. Malee Boonchun,43 (P)
22. Phuwadit Thanasaktheenakum, 63 (L)
23. Tananthon Thanasaktheenakum, 63 (P)
24. Piyanon Klingchuay, 48 (P)
25. Uraiwan Laddaklom, 61 (P)


Senarai cedera:
Rakyat Thailand
1. Somchai Polanan, 63 (L)
2. Chirarot Bunthicinwiwatn, 43 (L)
3. Achara Wiwat, 36 (P)
4. Pramuaalrat Phimpahu,44 (P)
5. Suchanchira Chaiaueai, 40 (P)
6. Thanvarat Poolsaeng, 36 (P)
7. Chucart Klungsuwan, 48 (L)
8. Rungnapa Klungsuwan, 53 (P)
9. Areena Songserm, 19 (P)
10. Darunee Songserm, 59 (P) - BERNAMA


Lanjutan artikel:


25 mayat dihantar pulang

Oleh MOHD.AZLI ADLAN dan AQMAR ALLADAD
berita@kosmo.com.my



KERANDA 25 mayat warga Thailand disusun selepas dibawa keluar dari Rumah Mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh semalam.


IPOH – Suasana pilu menyelubungi Rumah Mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini semasa waris 25 mangsa warga Thailand yang terbunuh dalam nahas melibatkan sebuah bas persiaran di Kilometer 15, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands melakukan pengecaman mayat semalam.

Mereka yang diterbangkan dengan dua pesawat Hercules C-130 dari Bangkok, Thailand itu tiba pada pukul 11 pagi di pekarangan hospital dengan diiringi oleh Duta Thailand di Malaysia, Thana Duagratana.

Selepas proses pengecaman mayat selesai, kesemua 25 keranda yang mengandungi mayat mangsa nahas disusun di pekarangan Rumah Mayat HRPB bagi menjalani upacara keagamaan Buddha yang diketuai lima sami Tokong Wat Sri Bunyawana di sini.

Semasa upacara itu berlangsung, beberapa waris kelihatan sebak dan meraung meratapi pemergian insan tersayang.

Aummarine Kamolkunpipat yang merupakan suami kepada mangsa, Piyanon Klingchuay, 48, tidak dapat mengawal kesedihan dan memeluk keranda yang menempatkan mayat isterinya sebelum ditenangkan oleh seorang wakil Kedutaan Thailand.

0 Berfikir di luar kotak untuk survival selepas SPM

Transformasi vokasional lahirkan ramai usahawan

Oleh Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom

TAHUKAH anda bahawa terdapat ramai di kalangan peniaga yang menjalankan perusahaan kecil seperti pembuatan roti, menghasilkan makanan ringan atau menternak ikan dan ratusan jenis perusahaan kecil lain yang boleh mendapat pendapatan bulanan bersih mencecah puluhan ribu ringgit? Atau dengan kata lain mereka boleh mendapat pendapatan bersih lebih daripada 'lima angka' sebulan.

Pengusaha atau peniaga kecil ini bergerak di pasar-pasar malam, bazar-bazar, pasar-pasar basah, bengkel-bengkel atau kedai-kedai biasa di seluruh negara.

Mereka ini sebenarnya bukanlah pengusaha yang besar. Memulakan perniagaan dengan modal yang kecil dan sebahagian besar daripada mereka tidak pernah menjejakkan kaki ke menara gading. Tetapi mereka boleh berbangga kerana mendapat pendapatan yang lumayan, mengagumkan dan boleh digolongkan orang yang berpendapatan tinggi.

Siapakah mereka ini sebenarnya?

Mereka ini dikenali sebagai usahawan atau 'entrepreneur'. Mereka merupakan orang yang menjalankan perniagaan dan perusahaan. Apa yang menarik dalam masa yang sama, mereka dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada orang lain.

Kumpulan usahawan ini sangat penting kepada pembangunan negara. Ia selari dengan matlamat kerajaan untuk menghasilkan lebih ramai rakyat berpendapatan tinggi dan menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.

Pendapatan kasar tahunan berjumlah RM23,700 pada masa kini akan ditingkatkan kepada RM48,000 pada 2020. Dalam masa yang sama akan diwujudkan 3.3 juta pekerjaan baru dan akan berusaha untuk menambah bilangan pekerja mahir daripada 23 peratus sekarang kepada 37 peratus.

Siapakah sebenarnya kumpulan usahawan ini?

Usahawan sering dikaitkan dengan mereka yang berani menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan perusahaan walaupun mempunyai modal yang kecil. Mereka juga biasanya mempunyai daya kreativiti dan inovasi yang tinggi, suka menggunakan idea baru atau sekarang ini biasa dikatakan 'berfikir di luar kotak kebiasaan'. Mereka juga mempunyai sikap berani mencuba dan yang penting ialah sikap tidak takut gagal.

Ada yang berpendapat bahawa kebanyakan golongan usahawan ini dilahirkan daripada kalangan keluarga usahawan juga. Logiknya ialah sejak kecil mereka sudah terdedah dengan dunia perniagaan yang diusahakan oleh ibu bapa atau kaum keluarga.

Bagaimanapun tidak semestinya kewujudan golongan ini kerana faktor warisan semata-mata. Tetapi sebenarnya untuk menjadi usahawan ia boleh dipelajari. Andainya seseorang itu tidak mempunyai pengalaman dalam dunia keusahawanan, mereka masih boleh menerokai bidang itu dengan cara belajar iaitu berusaha mendapatkan pendidikan serta ilmu pengetahuan yang berkaitan dengannya.

Di negara kita pendedahan tentang ilmu keusahawanan boleh didapati melalui institusi pendidikan vokasional. Ketika ini terdapat sebanyak 88 buah sekolah vokasional di seluruh negara dan telah berjaya mengeluarkan puluhan ribu pelajar dan ramai di kalangan mereka yang menjadi usahawan berjaya.

Baru-baru ini Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tentang peluasan bidang vokasional dan kemahiran serta dijadikan Bidang Keberhasilan Utama Kementerian (NKRA).

Tambah beliau bilangan pelajar aliran vokasional yang berjumlah 87,188 pelajar atau kira-kira 10 peratus pada 2010 akan ditingkatkan kepada 196,000 pelajar atau 20 peratus menjelang 2015.

Menteri Pelajaran memberikan penekanan kepada aliran vokasional kerana ia berkaitan dengan keperluan negara melahirkan lebih ramai pekerja mahir dan separuh mahir serta berusaha melahirkan ramai golongan usahawan.

Dalam lawatan beliau ke Perancis, Australia dan Indonesia baru-baru ini, didapati bilangan pelajar dalam aliran tersebut di negara-negara berkenaan ada yang melebihi 50 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar.

Mengapakah aliran vokasional menjadi bidang pendidikan yang penting pada masa kini?

Tidak dapat dinafikan bahawa soal mencari pekerjaan sering merupakan isu besar yang dihadapi oleh pelajar-pelajar yang baru menamatkan pendidikan menengah.

Setiap tahun kira-kira seramai 500,000 orang pelajar mengambil peperiksaan SPM. Menurut beberapa kajian hanya kira-kira 30 peratus sahaja daripada kumpulan tersebut yang akan melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi. Sudah tentu selebihnya akan berusaha memasuki pasaran pekerjaan.

Dalam isu mencari pekerjaan ini sudah tentulah tidak dapat ditampung sepenuhnya oleh perkhidmatan awam atau dengan kata lain makan gaji dengan kerajaan. Di samping itu, pihak swasta juga tidak mampu menyediakan pekerjaan dalam jumlah yang sebesar itu.

Cuba bayangkan dalam tempuh tiga tahun sahaja jumlah pelajar yang meninggalkan bangku sekolah atau yang menamatkan peperiksaan SPM boleh mencecah satu setengah juta orang.

Mungkin ada yang akan mencadangkan mengapa tidak anak-anak muda itu disarankan melakukan pekerjaan sendiri. Sesungguhnya saranan ini tidak adil kepada mereka kerana bagaiman mereka yang masih mentah dan tidak arif tentang selok-belok perniagaan atau sesuatu pekerjaan disuruh terus terjun ke bidang tersebut.

Mereka seharusnya dibekalkan dengan ilmu dan pengalaman awal yang berkaitan dengan perniagaan atau bidang yang akan diceburi.

Dalam hal ini sekolah vokasional adalah jawapannya kerana ia boleh menyediakan bekalan awal dalam bentuk ilmu pengetahuan, kemahiran dan memberi sedikit pengalaman melalui latihan praktikal.

Peranan yang dimainkan oleh pendidikan vokasional untuk melahirkan ramai golongan usahawan akan dapat membantu negara dalam usaha mewujudkan lebih banyak pekerjaan. Bukan sahaja untuk diri mereka sendiri tetapi dalam masa yang sama memberi peluang kepada orang lain untuk bekerja.

Dengan kata lain lebih ramai golongan usahawan dilahirkan, maka peluang pekerjaan akan bertambah.

PENULIS ialah bekas Ketua Pengarah Pelajaran

tansrialimuddin@yahoo.com

0 Tahun 2010 merupakan tahun paling tragik menyaksikan banyak bencana alam berlaku

Suku juta penduduk dunia maut dalam bencana alam

WASHINGTON 20 Dis. - Sekurang-kurangnya suku juta penduduk dunia maut dalam bencana alam seperti gempa bumi, banjir, letusan gunung berapi, kemarau dan tanah runtuh tahun ini, lebih ramai berbanding kematian akibat serangan keganasan dalam tempoh 40 tahun lalu.

Pentadbir Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan Amerika Syarikat (AS), Craig Fugate berkata, tahun 2010 juga merupakan tahun paling tragik dalam tempoh lebih satu generasi yang menyaksikan begitu banyak bencana alam berlaku.

"Tahun ini, bencana alam terjadi tanpa henti dalam banyak gelombang. Istilah 'peristiwa dalam masa 100 tahun' tidak boleh lagi diguna pakai tahun ini," katanya.

Saintis dan pakar bencana alam menjelaskan, manusia perlu dipertanggungjawabkan di atas semua malapetaka yang berlaku.

Mereka berkata, walaupun kebanyakan bencana alam boleh berlaku bila-bila masa, campur tangan manusia menyebabkan lebih banyak kematian, kemusnahan selain keadaan yang lebih buruk.

Sebagai contoh, gabungan aktiviti pembinaan dan amalan pembangunan yang tidak mengikut standard, boleh menyebabkan kesan gempa bumi yang lebih buruk di samping mengakibatkan lebih banyak kematian.

"Bencana alam seperti gempa bumi dan letusan gunung berapi berlaku secara tetap. Semua perubahan yang terjadi adalah disebabkan campur tangan manusia," kata Naib Presiden Swiss Re, syarikat insurans kedua terbesar dunia.

Menurut saintis, iklim Bumi juga berubah disebabkan fenomena pemanasan global yang berpunca daripada kegiatan manusia, sekali gus menyebabkan cuaca yang ekstrem seperti kepanasan melampau serta banjir.

Ogos lalu, cuaca panas melanda Rusia, sementara jauh di selatan, sebahagian besar Pakistan ditenggelami banjir. Cuaca ekstrem di kedua-dua negara itu membunuh hampir 17,000 orang, kematian yang lebih ramai berbanding jumlah korban nahas udara dalam tempoh 15 tahun lalu.

"Kematian ini dilihat sebagai tindakan membunuh diri. Kita membina rumah yang boleh membunuh jika gempa bumi berlaku. Kita juga membina rumah di zon banjir yang boleh melemaskan kita," kata profesor sains geologi di Universiti Colorado, Roger Bilham. - AP



Artikel berkaitan:


Sorotan 2010: Bencana alam ragut 500,000 penduduk dunia

Oleh Shamsiah Sanin
bhnews@vharian.com.my
2010/12/20


TAHUN 2010 akan melabuhkan tirainya tidak lama lagi. Pelbagai peristiwa berlaku di seluruh dunia, ada yang menggembirakan dan ada juga yang menyedihkan. Bagaimanapun, suatu perkara yang amat ketara sepanjang 2010 ialah bencana alam begitu banyak berlaku di seluruh dunia, tidak kira sama ada ia bencana semula jadi atau akibat kecuaian manusia.Ketika kira-kira setengah juta penduduk dunia terbunuh akibat bencana alam sepanjang tahun ini, pakar kaji cuaca meramalkan lebih banyak bencana luar biasa akan berlaku pada 2011.
Pengarah Projek Penyelidikan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ghassem Asrar, berpendapat bencana alam berlaku akibat perubahan iklim.

“Perubahan ini umpama masalah baru kerana menyebabkan kelembapan dan suhu panas tidak dapat beredar secara semula jadi, mengakibatkan suhu sejuk, panas dan ribut yang berpanjangan,” katanya.

Seawal 12 Januari, dunia dikejutkan dengan kejadian gempa bumi berkekuatan 7.0 skala Richter di Haiti menyebabkan sekurang-kurangnya 220,000 orang terbunuh, manakala satu juta lagi hilang tempat kediaman, menjadikan ia gegaran paling dahsyat pernah melanda Hemisfera Barat.
Gempa yang berpusat kira-kira 16 kilometer ke barat daya Port Au Prince mengakibatkan gegaran kuat yang memusnahkan sebahagian besar bandar itu. Kebanyakan bangunan yang dibina dengan bahan bermutu rendah runtuh dan berkecai seolah-olah ia dibuat daripada kertas.

Penduduk yang selamat pula menderita kebuluran dan jangkitan penyakit, manakala bantuan antarabangsa tidak sampai ke akar umbi, ketika pengkaji meramalkan satu gempa bumi besar boleh melanda negara itu pada bila-bila masa.

Walaupun tahun 2010 akan berakhir, keadaan di Haiti masih jauh daripada pembinaan semula. Negara itu tidak mampu membantu rakyatnya memulihkan semula kehidupan mereka.

Lebih buruk lagi, Haiti kini dilanda wabak taun dan setakat ini ia sudah mengorbankan lebih 2,000 nyawa, manakala 5,000 lagi sedang berdepan dengan maut.

Pada 27 Februari, enam minggu selepas gempa bumi di Haiti, gempa berukuran 8.8 melanda pesisir pantai Maule di Chile. Gelombang tsunami melanda perkampungan nelayan, menggegar enam negeri menyebabkan 500 orang terbunuh manakala kerugian dianggarkan AS$30 bilion (RM93.6 bilion).

Di Pakistan, hujan monsun yang turun pada Julai setiap tahun adalah fenomena biasa dan dinanti ramai petani untuk mengairi ladang dan tanaman mereka.

Malangnya, hujan monsun kali ini adalah yang terburuk dalam tempoh 100 tahun.
Apabila hujan lebat akhirnya berhenti, satu perlima wilayah Pakistan ditenggelami air, wilayah yang sama besar dengan negeri Minnesota dan Texas di Amerika Syarikat.

Selain itu, lebih 2,000 penduduk mati manakala enam juta lagi hilang tempat tinggal. Kerugian pula dianggarkan AS$9.6 bilion (RM30.11 bilion) manakala lebih dua juta hektar tanah pertanian musnah.

Lebih memburukkan keadaan, bantuan yang diharapkan tidak sampai seperti yang diharapkan penduduk, manakala masalah kekurangan bekalan air bersih, pelbagai penyakit berjangkit termasuk taun dan demam denggi menambahkan lagi penderitaan penduduk.

Di Eropah pula, gunung berapi Eyjafjallajokull di Iceland meletus pada 14 April, memuntahkan 330,000,000 meter padu wap, batu kecil dan debu halus serta tajam ke udara dan menjejaskan dengan teruk jadual penerbangan di semua bandaraya Eropah.

Debu gunung berapi boleh memasuki enjin pesawat menyebabkan pesawat gagal berfungsi, sekali gus mampu mengakibatkan nahas udara.

Kesatuan Eropah (EU) yang bimbang keadaan lebih buruk, menghentikan semua penerbangan di 23 negara Eropah selama enam hari. Lebih 100,000 penerbangan dibatalkan manakala lapan juta penumpang terpaksa mencari alternatif lain.

Pelakon, pelawak dan penerbit filem John Cheese dilaporkan terpaksa membayar AS$5,500 (RM17,520) kepada seorang pemandu teksi untuk membawanya dari Oslo, Norway ke Brussels di Belgium kerana tiada jalan lain lagi.

Pembatalan jadual mengakibatkan syarikat penerbangan kerugian AS$250 juta (RM784.2 juta) sehari, manakala syarikat pembekal makanan untuk penumpang kehilangan sumber perniagaan.

Kerajaan di Eropah juga ‘menggaru kepala’ memikirkan bagaimana mahu membayar balik wang penumpang yang terkandas.

Kira-kira 800 penduduk yang tinggal di sekitar kawasan gunung itu dipindahkan, na mun suatu fakta luar biasa ialah tiada mangsa terbunuh akibat letusan itu.
Pada hari yang sama, gempa bumi 7 skala Richter di kawasan terpencil Tibet dekat China menyebabkan lebih 2,200 orang maut dan meruntuhkan beribu-ribu kediaman.

Pada 20 April pula, satu letupan berlaku di pelantar minyak BP di Teluk Mexico, mengorbankan 11 pekerja dan mencederakan 17 yang lain.

Empat hari selepas kejadian syarikat itu mendapati kebocoran berlaku pada penutup telaga minyak, menyebabkan tumpahan besar di Teluk Mexico, menjejaskan dengan teruk kehidupan ratusan ribu penduduk pesisir pantai yang bergantung hidup kepada hasil laut. Kebocoran yang berlaku mengakibatkan kemusnahan ekonomi paling besar dan paling mahal berikutan ia berlaku di kawasan perairan paling produktif di Amerika.

Di Indonesia, gunung berapi Merapi yang meletus dan memuntahkan lahar, memaksa kerajaan memindahkan lebih 19,000 penduduk di kawasan sekitar ke tempat selamat. Pihak berkuasa merekodkan 500 gegaran dalam tempoh dua hari dari 23 hingga 24 Oktober.

Selepas gegaran muntahan lahar berterusan, letusan Merapi semakin berkurangan pada 10 November. Bagaimanapun, ketika itu lebih 320,000 orang hilang tempat tinggal, manakala 324 orang terkorban termasuk penjaga gunung itu Mbah Marijan.

Di Russia, suhu panas melampau pada bulan Julai mencetuskan kebakaran besar di kawasan hutan di negara itu menyebabkan ruang udara negara dipenuhi asap beracun. Malah asap tebal turut melitupi Moscow, menjadikan ruang udara bandaraya itu berwarna kemerahan sehingga dapat dilihat dari angkasa lepas.

Lebih 50 terbunuh, manakala 3,000 lagi kehilangan kediaman. Perdana Menteri Vladimir Putin juga ikut serta dalam operasi memadam kebakaran menggunakan helikopter.

Bagaimanapun, Russia bernasib baik apabila suhu tiba-tiba menurun dan hujan turun dengan lebat membantu memadamkan kebakaran dan memulihkan keadaan alam sekitar.

Tahun 2011 bakal menjelang dan pelbagai ramalan mengenai kejadian bencana alam sudah dibuat. Penganalisis meminta semua kerajaan membuat persediaan bagi menangani fenomena ini, bagi mengurangkan kesan kemusnahan dan kehilangan nyawa.