.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Sunday, November 07, 2010

0 16 jam di laut. Syukur dan tahniah kepada semua. Terima kasih untuk pengalaman mengendali

Selawat, doa berserah kepada tuhan supaya ditemui: Mangsa bot karam


2010/11/07
KEMAMAN: Sepanjang 16 jam hanyut di lautan, kesemua penumpang bot yang karam di perairan Terengganu berhampiran Pulau Tenggol hanya mampu berdoa dan berselawat selain berserah kepada tuhan supaya mereka ditemui dalam keadaan selamat.

Pemandu bot, Zulfadly Yahya, 29, berkata dalam keadaan hujan dan kegelapan malam itu, mereka nyaris dilanggar beberapa kapal yang dipercayai tidak nampak mereka terapung di lautan. "Sebaik menyedari bot akan karam, saya menyuruh mereka yang telah lengkap dengan jaket keselamatan terjun untuk mengelakkan kejadian yang lebih buruk. "Selepas itu kami cuba berenang semula ke pulau tetapi gagal akibat ombak yang agak kuat. Apa yang boleh kami lakukan ialah pastikan kami tidak berpecah dan berada dalam keadaan berkumpulan untuk memudahkan pihak berkenaan mengesan kami," katanya ketika ditemui sejurus tiba di Pangkalan Marin Wilayah Tiga di Kemaman di sini, hari ni.

Menceritakan kembali kejadian yang berlaku semalam, Zulfadly yang sudah 11 tahun bekerja sebagai pemandu bot, berkata dalam kejadian pada jam 6.45 petang itu bot jenis D-Guardian Katamaran itu mengalami kerosakan enjin selepas mengambil pelancong dari Pulau Tenggol.

"Saya cuba membawa bot berpatah balik, tetapi gagal sebab ombak agak kuat menyebabkan bot itu karam tetapi saya sempat hubungi majikan saya bagi memaklumkan kejadian itu," katanya.

Beliau berkata, sepanjang terapung di lautan dengan keadaan malam yang gelap dan hujan, ada di kalangan mereka yang disengat obor-obor, malah ada yang menangis terutama pelancong wanita.
Namun, mereka tidak putus asa dan sentiasa berselawat serta berdoa selain memberikan kata-kata semangat antara satu sama lain dan meminum air hujan bagi menghilang dahaga.

Azhar Ahmad, 40-an dari Kuala Lumpur pula berkata pengalaman sebagai penyelam profesional banyak membantu menyelamatkan keadaan walaupun ketika itu beliau terfikir kematian telah hampir dengan dirinya.

"Kami datang dari Kuala Lumpur seramai 10 orang, kebanyakannya penyelam bertauliah dan keadaan ini membantu kami agar tidak panik, namun apa yang kami risaukan ada di antara penumpang lain adalah kanak-kanak dan seorang wanita mengandung," katanya yang mempunyai dua tahun pengalaman menyelam.

Mazli Abd Malik, 33, dari Ampang berkata pada mulanya beliau risau jika mereka tidak ditemui oleh pasukan penyelamat.

"Sepanjang 16 jam kami terapung di laut dalam keadaan gelap, banyak kapal yang lalu, tetapi semuanya tidak nampak kami," katanya yang bekerja sebagai juruperunding.

Seorang lagi mangsa, Loo Kit Chong berkata semasa saat-saat cemas sebelum bot itu karam, mereka cuba membuang air dari dalam bot setelah dimaklumkan bot yang mereka naiki mengalami kerosakan.

"Namun tidak sempat sampai daratan bot itu tenggelam, menyebabkan kami terpaksa terjun. Semasa hanyut, kami beberapa kali nampak daratan dan cuba berenang, namun gagal sebab ombak kuat.

"Jadi kami ambil keputusan untuk membiarkan diri kami hanyut sahaja untuk menjimatkan tenaga sebelum ditemui oleh pasukan penyelamat," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said melawat kesemua mangsa yang kini dirawat di Hospital Daerah Kemaman.

"Mungkin disebabkan mereka dari Kuala Lumpur dan Selangor jadi tidak faham dengan keadaan cuaca di Terengganu iaitu pulau-pulau di negeri ini tidak sesuai dikunjungi pada musim tengkujuh kerana ombak besar dan angin kencang.

"Jadi saya menasihati mereka yang ingin datang ke pulau-pulau di Terengganu supaya menunda hasrat mereka sehingga musim tengkujuh berakhir," katanya.

Tiga mangsa yang dilaporkan kritikal sebelum ini iaitu seorang kanak-kanak Mohd Danial Aiman Mohd Zulkifli, 4, ibunya yang mengandung empat bulan Noraini Sosilawati, 33, dan Mohd Azharini Mohd Amin kini berada dalam keadaan stabil. - BERNAMA

0 Tabik dengan dokumentari P Ramlee oleh Suhaimi Baba. Filem evergreen makin lama makin mahal

Belum terlewat untuk sebuah dokumentari P. Ramlee

Oleh Noraini Abd. Razak

TERPAKU menonton dokumentari biografi seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Biarpun diselang-seli dengan iklan, namun paparan saluran 555 (History) Astro itu ternyata memaku mata mata dan fikiran penonton.

Selama dua jam, penonton dibawa mengikuti perjalanan hidup P. Ramlee - bermula dari zaman kecilnya sehinggalah beliau menutup mata buat selama-lamanya.

Sememangnya paparan kisah P. Ramlee arahan Datin Paduka Suhaimi Baba itu merungkai banyak perkara tersembunyi. Malangnya yang tersembunyi itu semuanya kisah duka yang sebelum ini terlepas daripada catatan biografi seniman

agung itu.

Suhaimi ketika ditanya Datuk Ahmad Talib dalam program membicarakan kisah hidup P. Ramlee di TV3 sendiri mengakui hanya mengetahui kisah duka Allahyarham semasa melakukan penyelidikan untuk menyiapkan dokumentari tersebut. Tempoh 12 tahun yang diambil oleh Suhaimi dan pasukannya untuk menerbitkan dokumentari itu ternyata berjaya membongkar dan menyelongkar kisah hidup seniman yang karya seninya hidup sehingga kini. Memang betul kata P. Ramlee (seperti yang dipetik) dalam dokumentari itu, biar pun dia mati, namun karya-karyanya akan hidup 1000 tahun lagi.

Keseorangan

Hakikatnya bukan sahaja Suhaimi, malah rata-rata rakyat Malaysia yang meminati P. Ramlee hanya mengenali Allahyarham menerusi filem-filemnya. Sebab itu dokumentari arahan Suhaimi itu memaku mata dan fikiran banyak orang. Lantas di Malaysia, dan mungkin rantau ini tiada seniman sehebat P. Ramlee. Dialah pelakon, dia juga penyanyi, dia pelawak, dia juga pengarah - malah sentuhan Allahyarham ada di mana-mana dalam setiap filemnya. Bermula dengan filem Chinta dan Laksamana Do Re Mi menutup tirai seninya, kehebatan P. Ramlee amat diakui malah mendapat pengiktirafan di pesta-pesta filem antarabangsa.

Tetapi kegemilangan prestasi P. Ramlee dalam dunia seni, tidak membawa kegemilangan dalam kehidupan sebenarnya. Keasyikan memenuhi keinginan majikannya Shaw Brothers di Jalan Ampas menjadikan P. Ramlee sebenarnya ‘keseorangan’ dalam dunianya. Dia membina nama sebagai manusia seni yang serba boleh. Namun bukan sekadar namanya terkenal, kerja keras P. Ramlee mengangkat nama Shaw Brothers. Nama P. Ramlee dan Shaw Brothers amat sinonim. Betapa manusia bernama P. Ramlee ketika itu mampu menghasilkan satu filem dalam tempoh empat bulan dan setiap filem mendapat sambutan hebat. Bayangkan tiga filem hebat setahun dan bayangkan pula nilainya jika ditukar kepada wang. Tentulah P. Ramlee menjadi jutawan sebagaimana artis-artis di Hollywood yang kaya raya lantaran kehebatan lakonan serta filem mereka.

Namun kisah hidup P. Ramlee tidak begitu. Paparan senyum memikat di bibirnya, suara merdu menggetar jiwa yang mendengar, lakonan hebat memukau hatta kanak-kanak sekali pun tidak menjadikan P. Ramlee manusia yang bahagia hingga ke akhir hayat. Malah sekembalinya P. Ramlee ke Kuala Lumpur menumpahkan karya seninya kepada Merdeka Studio menjadikan Allahyarham hilang satu persatu termasuk rasa hormat dan penghargaan kumpulan manusia seni terhadap beliau.

Luahan Mariani, Aziz Satar, Ramli Kecik, Allahyarham biduanita Saloma, Sazali, Nasir dan insan-insan yang rapat dengan Allahyarham hakikatnya lebih banyak duka berbanding suka. Begitu juga paparan rasa Allahyarham Norizan, isteri kedua Allahyarham yang sanggup meninggalkan istana demi P. Ramlee. Namun keasyikan Allahyarham dalam dunia seninya menyebabkan ikatan perkahwinan hanya bertahan empat tahun.

Kata-kata Aziz Satar semasa nama P. Ramlee tinggi menjulang. ‘‘Semua orang datang cari dia, macam-macam orang, saya berkata kepada P. Ramlee: Ram, tahun ini bukan you cari duit tapi duit cari you.’’ Namun hari-hari duka P. Ramlee sebelum hayatnya berakhir menunjukkan bukan saja duit tidak mencari Allahyarham, malah rakan-rakannya, media malah mana-mana pihak yang rapat dengan beliau meminggirkannya.

Betapa P. Ramlee yang begitu gah namanya, hanya berlaukkan telur goreng semasa hari-hari terakhirnya. Lebih menyayat hati, urusan tercetus bimbang di hati rakan karibnya tentang urusan pengkebumian lantaran Allahyarham tidak mempunyai wang. Betapa di hati Ramli Kecik dan Saloma, tidak akan ada insan yang akan datang menziarahi jenazah Allahyarham kerana ‘penghinaan’ yang diterima beliau oleh rakan-rakan dan industri perfileman itu sendiri.

Biarpun ribuan peminat datang dan menangisi pemergian P. Ramlee, namun hakikatnya segala-galanya telah terlewat. Biar apa pun anugerah, penghormatan atau puji-pujian, tidak ada satu pun mampu mengubati kelukaan yang meninggalkan parut hingga kini. Hakikatnya P. Ramlee hebat untuk orang lain. Orang lain menjadi hebat kerana P. Ramlee.

0 Cabaran Cinta Generasi Ketiga - Kahwin Dulu Bayar Kemudian

Kenduri kahwin semakin mahal

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN
afzan.kasiman@kosmo.com.my



ANGKASAWAN Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan Dr. Halina Mohd. Yunos melangsungkan perkahwinan mereka pada 10.10.2010. Majlis perkahwinan mesti diadakan mengikut kemampuan pasangan.


CUTI penggal persekolahan akan bermula tidak lama lagi. Lazimnya, pada musim ini ramai pasangan memilih untuk melangsungkan majlis perkahwinan.

Bagi yang memilih untuk meraikan hari bahagia di bandar, para tetamu dijamu dengan keindahan hiasan kanopi dan pelamin yang diterapkan elemen moden dan eksklusif, lebih-lebih lagi jika ia disulami dengan karangan bunga segar yang menaikkan lagi seri majlis.

Di kampung pula, semangat gotong-royong atau rewang yang masih menebal pastinya menyuntik kemeriahan pada majlis perkahwinan tersebut.

Begitupun, harga sebuah perkahwinan bermula daripada majlis pertunangan hingga ke majlis persandingan menelan belanja yang besar.

Bayangkan, untuk persiapan pertunangan sahaja anggaran peruntukan yang diperlukan sekitar RM4,000. Untuk majlis perkahwinan, tidak mustahil kosnya lebih daripada RM20,000.

Kos kenduri kahwin yang semakin tinggi sering menjadi punca banyak pasangan menangguhkan perkahwinan hingga usia lewat 30-an demi mengumpul wang.

Namun, bagi yang ingin bergelar suami isteri pada usia ideal, konsep ‘kahwin dulu, bayar kemudian’ yang ditawarkan menerusi pinjaman peribadi oleh institusi-institusi kewangan menjadi pilihan.

Menurut pendapat di beberapa laman sembang berkaitan perkahwinan, lebih 90 peratus pinjaman peribadi di negara ini digunakan untuk melangsungkan perkahwinan.

Berkongsi pendapat mengenai isu itu bersama Pengarah Urusan CT Catering, Siti Fathimah Mohd. Akhir, beliau berkata, untuk mengelak majlis perkahwinan menjadi kelam-kabut, perancangan rapi sangat diperlukan.

“Semua bakal pengantin mahukan majlis yang sempurna dan kalau boleh, mereka tidak mahu kalah dengan majlis-majlis lain yang pernah diadakan di kawasan kejiranan mereka.

“Namun, tidak salah jika bersikap bersederhana dan berbelanja mengikut kemampuan.

“Selalu juga saya berdepan dengan pelanggan yang mahukan pakej perkahwinan yang meriah tapi takut untuk mengeluarkan belanja yang besar.

“Begitupun, ramai juga yang faham dan tidak mendesak kami supaya menurunkan harga.

“Kadang-kadang saya terfikir mengapa ada orang inginkan majlis tetapi akhirnya memeningkan kepala sendiri?

“Bayangkan, sewa kanopi dan hiasan dekorasi sahaja mencecah puluhan ribu ringgit, itu tidak termasuk jamuan, pelamin dan cenderahati tetamu.

“Tidakkah itu dianggap sebagai berlebih-lebih?” ujar Siti Fathimah yang berpengalaman mengendalikan perniagaan katering sejak tahun 1994.

Tidak menolak rezeki yang datang, namun Siti Fathimah lebih suka jika perancangan teliti secara bersederhana.

“Kalau ikutkan, saya sendiri tidak sampai hati hendak meletak harga yang tinggi, tetapi jika harganya terlalu rendah, payah pula untuk kita realisasikan impian raja sehari itu,” katanya kepada Jurnal.

Rewang



PERKHIDMATAN katering dan layan diri mula menjadi budaya perkahwinan di kampung.


Beliau berpendapat pada masa ini trend menggunakan khidmat katering turut berlaku di tanah rancangan Felda dan kampung-kampung berbanding amalan gotong-royong.

“Padahal kos jamuan dan kanopi akan lebih murah jika dibuat secara gotong-royong,” jelas Siti Fathimah yang menawarkan harga serendah RM15 sekepala untuk jamuan majlis perkahwinan.

Pengasas Kampung Pengantin, Fatain Mohd. Ali pula berpendapat langkah mengadakan majlis di rumah menelan kos yang lebih tinggi berbanding di dewan.

“Jika majlis dilakukan di rumah, pastinya tuan rumah akan bercadang untuk membaiki rumah, mengecat, persiapan kamar pengantin, langsir baru dan sebagainya.

“Untuk majlis pula, pastinya kanopi lengkap perlu disewa untuk persiapan jamuan.

“Jika di dewan, banyak kos yang boleh dipotong dan digunakan untuk keperluan lain,” ujarnya.

Kampung Pengantin yang terletak di Jalan Genting-Klang, Kuala Lumpur menawarkan bukan sahaja khidmat katering malah menyediakan lokasi untuk mengadakan majlis perkahwinan.

Dengan harga serendah RM35 sekepala, impian perkahwinan dalam taman boleh direalisasikan di Kampung Pengantin.

Boleh menampung sehingga 1,500 tetamu pada satu masa, ia sekali gus menjadi alternatif baru bagi pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan, terutama di bandar.