.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Sunday, November 07, 2010

0 Tabik dengan dokumentari P Ramlee oleh Suhaimi Baba. Filem evergreen makin lama makin mahal

Belum terlewat untuk sebuah dokumentari P. Ramlee

Oleh Noraini Abd. Razak

TERPAKU menonton dokumentari biografi seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Biarpun diselang-seli dengan iklan, namun paparan saluran 555 (History) Astro itu ternyata memaku mata mata dan fikiran penonton.

Selama dua jam, penonton dibawa mengikuti perjalanan hidup P. Ramlee - bermula dari zaman kecilnya sehinggalah beliau menutup mata buat selama-lamanya.

Sememangnya paparan kisah P. Ramlee arahan Datin Paduka Suhaimi Baba itu merungkai banyak perkara tersembunyi. Malangnya yang tersembunyi itu semuanya kisah duka yang sebelum ini terlepas daripada catatan biografi seniman

agung itu.

Suhaimi ketika ditanya Datuk Ahmad Talib dalam program membicarakan kisah hidup P. Ramlee di TV3 sendiri mengakui hanya mengetahui kisah duka Allahyarham semasa melakukan penyelidikan untuk menyiapkan dokumentari tersebut. Tempoh 12 tahun yang diambil oleh Suhaimi dan pasukannya untuk menerbitkan dokumentari itu ternyata berjaya membongkar dan menyelongkar kisah hidup seniman yang karya seninya hidup sehingga kini. Memang betul kata P. Ramlee (seperti yang dipetik) dalam dokumentari itu, biar pun dia mati, namun karya-karyanya akan hidup 1000 tahun lagi.

Keseorangan

Hakikatnya bukan sahaja Suhaimi, malah rata-rata rakyat Malaysia yang meminati P. Ramlee hanya mengenali Allahyarham menerusi filem-filemnya. Sebab itu dokumentari arahan Suhaimi itu memaku mata dan fikiran banyak orang. Lantas di Malaysia, dan mungkin rantau ini tiada seniman sehebat P. Ramlee. Dialah pelakon, dia juga penyanyi, dia pelawak, dia juga pengarah - malah sentuhan Allahyarham ada di mana-mana dalam setiap filemnya. Bermula dengan filem Chinta dan Laksamana Do Re Mi menutup tirai seninya, kehebatan P. Ramlee amat diakui malah mendapat pengiktirafan di pesta-pesta filem antarabangsa.

Tetapi kegemilangan prestasi P. Ramlee dalam dunia seni, tidak membawa kegemilangan dalam kehidupan sebenarnya. Keasyikan memenuhi keinginan majikannya Shaw Brothers di Jalan Ampas menjadikan P. Ramlee sebenarnya ‘keseorangan’ dalam dunianya. Dia membina nama sebagai manusia seni yang serba boleh. Namun bukan sekadar namanya terkenal, kerja keras P. Ramlee mengangkat nama Shaw Brothers. Nama P. Ramlee dan Shaw Brothers amat sinonim. Betapa manusia bernama P. Ramlee ketika itu mampu menghasilkan satu filem dalam tempoh empat bulan dan setiap filem mendapat sambutan hebat. Bayangkan tiga filem hebat setahun dan bayangkan pula nilainya jika ditukar kepada wang. Tentulah P. Ramlee menjadi jutawan sebagaimana artis-artis di Hollywood yang kaya raya lantaran kehebatan lakonan serta filem mereka.

Namun kisah hidup P. Ramlee tidak begitu. Paparan senyum memikat di bibirnya, suara merdu menggetar jiwa yang mendengar, lakonan hebat memukau hatta kanak-kanak sekali pun tidak menjadikan P. Ramlee manusia yang bahagia hingga ke akhir hayat. Malah sekembalinya P. Ramlee ke Kuala Lumpur menumpahkan karya seninya kepada Merdeka Studio menjadikan Allahyarham hilang satu persatu termasuk rasa hormat dan penghargaan kumpulan manusia seni terhadap beliau.

Luahan Mariani, Aziz Satar, Ramli Kecik, Allahyarham biduanita Saloma, Sazali, Nasir dan insan-insan yang rapat dengan Allahyarham hakikatnya lebih banyak duka berbanding suka. Begitu juga paparan rasa Allahyarham Norizan, isteri kedua Allahyarham yang sanggup meninggalkan istana demi P. Ramlee. Namun keasyikan Allahyarham dalam dunia seninya menyebabkan ikatan perkahwinan hanya bertahan empat tahun.

Kata-kata Aziz Satar semasa nama P. Ramlee tinggi menjulang. ‘‘Semua orang datang cari dia, macam-macam orang, saya berkata kepada P. Ramlee: Ram, tahun ini bukan you cari duit tapi duit cari you.’’ Namun hari-hari duka P. Ramlee sebelum hayatnya berakhir menunjukkan bukan saja duit tidak mencari Allahyarham, malah rakan-rakannya, media malah mana-mana pihak yang rapat dengan beliau meminggirkannya.

Betapa P. Ramlee yang begitu gah namanya, hanya berlaukkan telur goreng semasa hari-hari terakhirnya. Lebih menyayat hati, urusan tercetus bimbang di hati rakan karibnya tentang urusan pengkebumian lantaran Allahyarham tidak mempunyai wang. Betapa di hati Ramli Kecik dan Saloma, tidak akan ada insan yang akan datang menziarahi jenazah Allahyarham kerana ‘penghinaan’ yang diterima beliau oleh rakan-rakan dan industri perfileman itu sendiri.

Biarpun ribuan peminat datang dan menangisi pemergian P. Ramlee, namun hakikatnya segala-galanya telah terlewat. Biar apa pun anugerah, penghormatan atau puji-pujian, tidak ada satu pun mampu mengubati kelukaan yang meninggalkan parut hingga kini. Hakikatnya P. Ramlee hebat untuk orang lain. Orang lain menjadi hebat kerana P. Ramlee.

0 comments: