.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Friday, August 27, 2010

0 Sekecil-kecil bisnes PTS tetapi tetap punyai strategi bisnes unggul. Sime Darby dipecahkan sama seperti strategi bisnes PTS

Sime Darby dipecahkan kepada 6 anak syarikat
Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2010/08/27


MOHD Bakke dan Abd Wahab pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam.Struktur baru tadbir urus korporat mulai tahun depan

SIME Darby Bhd, iaitu kumpulan perladangan hasil gabungan tiga syarikat perladangan di bawah Kumpulan Permodalan Nasional Bhd tiga tahun lalu, akan disusun semula dan pecahkan kepada enam anak syarikat utama yang masing-masing akan mengkhusus dalam segmen perniagaan tertentu. Mengumumkan langkah itu, Pemangku Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Mohd Bakke Salleh, berkata langkah yang akan dilaksanakan awal tahun depan itu diputuskan oleh Lembaga Pengarah Sime Darby bertujuan meningkatkan dan mengukuhkan semula tahap tanggungjawab dan tadbir urus korporatnya. Beliau berkata, dengan penyusunan semula itu, ia akan menyaksikan keenam-enam anak syarikat Sime Darby itu muncul sebagai pentadbir utama perniagaan teras masing-masing dengan sebahagiannya akan disenaraikan di Bursa Malaysia.

“Struktur baru itu akan menyaksikan kami kembali mempunyai anak syarikat yang menjalankan perniagaan teras dan memiliki kumpulan Lembaga Pengarah masing-masing,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan keputusan kewangan kumpulan itu di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Datuk Abd Wahab Maskan dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Tong Poh Keow.

Bakke menjelaskan, kumpulan itu akan dipisahkan kepada anak syarikat yang diberi nama Sime Plantations, Sime Property, Sime Industrial Equipment, Sime Energy & Utilies dan Sime Health Care dan setiap anak syarikat akan mempunyai ahli Lembaga Pengarah berbeza disertai pengarah bebas, pakar industri dan eksekutif kumpulan.
Beliau berkata, Sime Darby turut tidak menolak kemungkinan menjual beberapa perniagaan, termasuk aset teras, jika terus tidak menguntungkan.

Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2010, Sime Darby mencatatkan kemerosotan 43 peratus dalam keuntungan sebelum cukainya kepada RM1.74 bilion, berbanding RM3.07 bilion tempoh sama, sebelumnya.

Penyusutan itu adalah susulan kerugian dialami dalam unit minyak & gas dan kejuruteraan.

Namun, pendapatan kumpulan itu meningkat 6.2 peratus kepada RM32.95 bilion daripada RM31.013 bilion.

Bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2010, Sime Darby mengalami kemerosotan 98 peratus keuntungan sebelum cukainya kepada RM25.04 juta berbanding RM1.107 bilion dalam tempoh sama tahun lalu, manakala pendapatannya naik 22.3 peratus kepada RM9.21 bilion daripada RM7.53 bilion.

Selepas membuat peruntukan kerugian lebihan kos sehingga RM777.3 juta bagi suku keempat, bahagian tenaga dan utilitinya mencatatkan kerugian operasi RM1.752 bilion bagi tahun kewangan 2010.

Termasuk peruntukan lebihan kos RM1.308.4 bilion sehingga suku ketiga, jumlah peruntukan untuk kerugian dan susut nilai yang dijangka bagi tahun dikaji ialah berjumlah RM2.085.7 bilion.

Sime Darby mencadangkan pembayaran dividen akhir tiga sen sesaham, menjadikan jumlah dividen bagi tahun kewangan dikaji sebanyak 10 sen sesaham.


Artikel berkaitan:

‘Pemisahan mega’ mampu baiki reputasi Sime Darby
Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2010/08/28
Penyusunan semula beri tumpuan khusus perniagaan anak syarikat

CADANGAN Sime Darby Bhd untuk melaksanakan ‘pemisahan mega’ menerusi penyusunan semula perniagaan dengan menjadikan enam segmen aktiviti terasnya sebagai syarikat yang berkemungkinan disenaraikan di pasaran saham adalah langkah terbaik bagi mengelak berulang kesilapan tadbir urus korporat, kata penganalisis. Bermula 1 Januari ini, sebaik saja langkah itu dilaksanakan, Sime Darby dirancang bakal menjadi sebagai syarikat berupaya memberi tumpuan khusus terhadap membangun dan memantau enam perniagaan anak syarikatnya itu lebih terkawal. Penganalisis OSK Research, Alvin Tai, berkata sebagai sebahagian daripada langkah memperkemaskan struktur syarikat itu yang mana setiap bahagian itu akan memiliki Lembaga Pengarah dan pengurusan kanan masing-masing.

“Secara umumnya, setiap bahagian itu akan beroperasi secara cekap seperti sebelum penggabungan mega dibuat.

“Kami memandang langkah berkenaan sebagai positif dan wajar dilaksanakan,” katanya dalam nota penyelidikannya semalam.

Kelmarin, ketika mengumumkan langkah itu pada sidang media keputusan tahun kewangan kumpulan, Pemangku Presiden dan Ketua Eksekutif Sime Darby, Datuk Mohd Bakke Salleh, yakin penyusunan itu akan memudahkan setiap bahagian memainkan peranan masing-masing, sekali gus dapat meningkat dan mengukuhkan semula tahap tanggungjawab tadbir urus korporat.
Bagi tahun kewangan berakhir 30 jun 2010, Sime Darby menanggung peruntukan tambahan bagi kerugian dan susut nilai berjumlah lebih RM2 bilion susulan kerugian dalam bahagian tenaga dan utilitinya (E&U).

Penganalisis AmResearch, Alex Goh, pula berkata keputusan korporat mengasing segmen perniagaannya dijangka mampu memaksimumkan potensi setiap segmen iaitu perladangan; automotif; utiliti dan tenaga; hartanah; industri serta kesihatan.

“Langkah itu juga dapat mewujudkan budaya kerja cekap berasaskan prestasi dan menyemak pencapaian setiap perniagaan itu,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Maybank Investment Bhd (Maybank-IB), Tan Chi Wei, menyifatkan struktur korporat baru yang dicadangkan itu memberi gambaran baik kepada Sime Darby yang kini diterajui Mohd Bakke.

Penganalisis secara umumnya menyifatkan, zaman terburuk konglomerat terbesar negara itu bakal berakhir.

Semalam harga saham Sime Darby melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh dua bulan sebelum ditutup pada RM8.10 susulan peningkatan taraf terbaru oleh beberapa firma pembrokeran, termasuk JPMorgan Chase & Co.

Saham syarikat itu turut muncul antara tujuh kaunter paling aktif didagangkan di Bursa Malaysia semalam.

0 Jika anda ada RM1j, 500K mahu masuk ASB. Hitung pengiraan dividennya

Wang itu milik saya – Sosilawati

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 26 Ogos – Usahawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini bahawa wang RM1.38 juta yang digunakan untuk membayar hutang rumah serta dilaburkan dalam tiga akaun atas nama bekas suaminya, Nash adalah hasil titik peluhnya sendiri.

Beliau yang memberi keterangan secara bertulis bagi kes tuntutan ke atas wang RM1.38 juta yang diberikan kepada penyanyi itu mendakwa, sebanyak RM500,000 dikeluarkan daripada akaun peribadinya melalui dua keping cek Bank Bumiputera Commerce Berhad.

Daripada jumlah itu, kata Sosilawati, sebanyak RM400,000 dilaburkan ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020) atas nama Nash.

Beliau juga mendakwa mengeluarkan duit syarikat miliknya, Nouvelle Beauty Centre Sdn. Bhd. untuk melabur atas nama Nash di Public Mutual Berhad melalui sekeping cek bernilai RM500,000.

‘‘Keseluruhan wang pokok saham-saham diperoleh oleh saya sebelum perkahwinan saya dengan defendan (Nash) dan dilaburkan dalam tempoh perkahwinan kami.

‘‘Sementara tanah dan rumah asalnya dibeli oleh defendan sebelum perkahwinan kami dan saya telah menjelaskan hutang pinjaman rumah sebanyak RM480,000 dalam tempoh perkahwinan kami,’’ katanya.

Menurut Sosilawati, semua sijil saham berada dalam pegangan defendan dan dia tidak tahu tentang status terkini saham-saham tersebut.

Beliau juga telah mendapat perintah injunksi daripada Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 26 September 2007 bagi membekukan wang dan aset tersebut.

Bagaimanapun, jelas Sosilawati, pihak bank telah memaklumkan bahawa Nash telah mengeluarkan RM200,000 daripada kedua-dua akaun saham amanah dua hari sebelum perintah injunksi diperoleh.

Sosilawati yang merupakan pengarah urusan dan pengasas syarikat produk kecantikan itu juga mendakwa bekas suaminya tidak memiliki saham mahupun memberi sebarang sumbangan dalam syarikatnya.

Sehubungan itu, Sosilawati yakin beliau mempunyai hak ke atas harta-harta tersebut walaupun namanya tidak didaftarkan sebagai pemilik bersama.

‘‘Tiada sebarang perjanjian dibuat antara saya dengan defendan kerana semuanya diuruskan atas dasar kepercayaan serta kasih sayang di antara suami isteri pada ketika itu.

‘‘Saya tidak menyangka bahawa defendan telah enggan mengembalikan harta-harta milik saya apabila berlaku perceraian antara kami,’’ katanya lagi.

Sementara itu, peguam syarie yang mewakili Sosilawati, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain pada prosiding hari ini turut memaklumkan pihaknya berhasrat untuk memfailkan afidavit keterangan tambahan.

Hakim syarie, Mohammad Adib Husain membenarkan permohonan itu dan perbicaraan akan disambung pada 2 dan 3 Februari tahun depan.

Nash yang turut hadir di mahkamah hari ini diwakili peguam syarie, Amli Embong.

Nash atau nama sebenarnya Jamaludin Elias, 50, berkahwin dengan Sosilawati, 47, pada 16 November 2006 sebelum bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 26 Mei 2009.

Sosilawati kemudiannya memfailkan tuntutan agar wang pemberian sebanyak RM1.38 juta dikembalikan kepadanya manakala dua pertiga daripada keuntungan, bonus dan dividen daripada saham-saham turut diberikan kepadanya.

0 Kuasa minda separa sedar boleh menyelamatkan nyawa

Bayi hidup semula dalam pelukan ibu



GAMBAR menunjukkan Kate dengan anak lelakinya yang didakwa mati pada satu program televisyen di Australia baru-baru ini.



SYDNEY - Seorang bayi lelaki pramatang yang telah disahkan meninggal dunia di Australia hidup kembali selepas dia dipeluk oleh ibunya selama dua jam, lapor sebuah akhbar semalam.

Dalam kejadian pada Mac lalu yang disifatkan sebagai keajaiban Tuhan, doktor-doktor memberitahu, bayi berkenaan yang diberi nama Jamie Ogg, tidak berpeluang untuk hidup setelah dia dilahirkan pada minggu ke-27 dengan berat badannya hanya 600 gram di sebuah hospital di sini.

Bagaimanapun, kembar Jamie iaitu Emily berjaya diselamatkan selepas dia diberikan bantuan pernafasan selama 20 minit.

Doktor kemudian menyerahkan Jamie yang disahkan telah meninggal dunia kepada ibunya Kate dan pasangannya David untuk penghormatan terakhir.

Sedih dan sukar menerima hakikat bahawa anaknya telah mati, Kate meletakkan Jamie di atas dadanya dan mengusap-usap anakya sambil menceritakan mengenai apa yang mereka ingin lakukan bersama jika dia dapat membesar bersama adik kembarnya, Emily.

Selepas dua jam dipeluk, tubuh Jamie kembali hangat dan dia mula menunjukkan tanda-tanda bernafas.

Kate kemudian memberikannya susu dengan menggunakan jari.

"Saya berasa sangat sedih apabila doktor memberitahu dia tidak dapat diselamatkan. Tanpa berfikir panjang saya terus memeluknya. Dia kemudian mula bernafas dan membuka mata. Sungguh ajaib," kata Kate.

Seorang doktor yang dipanggil untuk memeriksa Jamie mengesahkan bahawa bayi itu hidup, tetapi tidak dapat menerangkan bagaimana fenomena itu berlaku. - Agensi

0 Alam semesta ini mempunyai lebih banyak planet berbanding yang kita tahu

ARKIB : 26/08/2010
Saintis temui planet paling kecil
GENEVA 25 Ogos - Saintis mengenal pasti sebuah bintang mirip matahari yang mempunyai sebanyak tujuh planet termasuk satu yang dipercayai planet paling kecil pernah ditemui di luar sistem solar.

Jika disahkan, sistem planet di sekeliling bintang HD 10180 yang terletak lebih 100 tahun cahaya dari Bumi, adalah yang paling kaya pernah ditemui.

Seorang ahli astronomi berkata, penemuan itu menguatkan lagi bukti yang semakin banyak bahawa alam semesta dipenuhi planet dan sebilangannya mungkin seperti planet Bumi.

"Penemuan sistem planet seperti itu menunjukkan terdapat banyak lagi sistem seumpamanya di luar sana," kata Alan Boss daripada Carnegie Institution for Science di Washington, yang tidak terlibat dengan penemuan tersebut.

Kebanyakan planet yang dikenal pasti adalah besar iaitu kira-kira 13 hingga 25 kali lebih besar daripada planet kita.

Namun kumpulan saintis yang terlibat dengan penemuan yang diumumkan pada satu persidangan antarabangsa di Perancis semalam berkata, mereka hampir pasti telah mengenal pasti sebuah planet yang hanya 1.4 kali saiz Bumi.

Planet yang ditemui di luar sistem solar dikenali sebagai 'eksoplanet' dan planet yang hanya 1.4 kali saiz Bumi itu adalah eksoplanet paling kecil yang pernah dikesan.

Saintis berjaya menjejaki eksoplanet sejak 15 tahun lalu dan kini sudah merekodkan kira-kira 450 buah.

Bagaimanapun kebanyakan eksoplanet yang ditemui hanya terbatas kepada satu hingga tiga planet bagi setiap bintang, selalunya berupa bola gas raksasa seperti Musytari atau Zuhal.

Dengan sejumlah tujuh planet, penemuan terbaru itu hampir menyamai sistem solar kita sendiri yang mempunyai lapan planet. - AP