.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Friday, August 27, 2010

0 Sekecil-kecil bisnes PTS tetapi tetap punyai strategi bisnes unggul. Sime Darby dipecahkan sama seperti strategi bisnes PTS

Sime Darby dipecahkan kepada 6 anak syarikat
Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2010/08/27


MOHD Bakke dan Abd Wahab pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam.Struktur baru tadbir urus korporat mulai tahun depan

SIME Darby Bhd, iaitu kumpulan perladangan hasil gabungan tiga syarikat perladangan di bawah Kumpulan Permodalan Nasional Bhd tiga tahun lalu, akan disusun semula dan pecahkan kepada enam anak syarikat utama yang masing-masing akan mengkhusus dalam segmen perniagaan tertentu. Mengumumkan langkah itu, Pemangku Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Mohd Bakke Salleh, berkata langkah yang akan dilaksanakan awal tahun depan itu diputuskan oleh Lembaga Pengarah Sime Darby bertujuan meningkatkan dan mengukuhkan semula tahap tanggungjawab dan tadbir urus korporatnya. Beliau berkata, dengan penyusunan semula itu, ia akan menyaksikan keenam-enam anak syarikat Sime Darby itu muncul sebagai pentadbir utama perniagaan teras masing-masing dengan sebahagiannya akan disenaraikan di Bursa Malaysia.

“Struktur baru itu akan menyaksikan kami kembali mempunyai anak syarikat yang menjalankan perniagaan teras dan memiliki kumpulan Lembaga Pengarah masing-masing,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan keputusan kewangan kumpulan itu di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Datuk Abd Wahab Maskan dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Tong Poh Keow.

Bakke menjelaskan, kumpulan itu akan dipisahkan kepada anak syarikat yang diberi nama Sime Plantations, Sime Property, Sime Industrial Equipment, Sime Energy & Utilies dan Sime Health Care dan setiap anak syarikat akan mempunyai ahli Lembaga Pengarah berbeza disertai pengarah bebas, pakar industri dan eksekutif kumpulan.
Beliau berkata, Sime Darby turut tidak menolak kemungkinan menjual beberapa perniagaan, termasuk aset teras, jika terus tidak menguntungkan.

Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2010, Sime Darby mencatatkan kemerosotan 43 peratus dalam keuntungan sebelum cukainya kepada RM1.74 bilion, berbanding RM3.07 bilion tempoh sama, sebelumnya.

Penyusutan itu adalah susulan kerugian dialami dalam unit minyak & gas dan kejuruteraan.

Namun, pendapatan kumpulan itu meningkat 6.2 peratus kepada RM32.95 bilion daripada RM31.013 bilion.

Bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2010, Sime Darby mengalami kemerosotan 98 peratus keuntungan sebelum cukainya kepada RM25.04 juta berbanding RM1.107 bilion dalam tempoh sama tahun lalu, manakala pendapatannya naik 22.3 peratus kepada RM9.21 bilion daripada RM7.53 bilion.

Selepas membuat peruntukan kerugian lebihan kos sehingga RM777.3 juta bagi suku keempat, bahagian tenaga dan utilitinya mencatatkan kerugian operasi RM1.752 bilion bagi tahun kewangan 2010.

Termasuk peruntukan lebihan kos RM1.308.4 bilion sehingga suku ketiga, jumlah peruntukan untuk kerugian dan susut nilai yang dijangka bagi tahun dikaji ialah berjumlah RM2.085.7 bilion.

Sime Darby mencadangkan pembayaran dividen akhir tiga sen sesaham, menjadikan jumlah dividen bagi tahun kewangan dikaji sebanyak 10 sen sesaham.


Artikel berkaitan:

‘Pemisahan mega’ mampu baiki reputasi Sime Darby
Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2010/08/28
Penyusunan semula beri tumpuan khusus perniagaan anak syarikat

CADANGAN Sime Darby Bhd untuk melaksanakan ‘pemisahan mega’ menerusi penyusunan semula perniagaan dengan menjadikan enam segmen aktiviti terasnya sebagai syarikat yang berkemungkinan disenaraikan di pasaran saham adalah langkah terbaik bagi mengelak berulang kesilapan tadbir urus korporat, kata penganalisis. Bermula 1 Januari ini, sebaik saja langkah itu dilaksanakan, Sime Darby dirancang bakal menjadi sebagai syarikat berupaya memberi tumpuan khusus terhadap membangun dan memantau enam perniagaan anak syarikatnya itu lebih terkawal. Penganalisis OSK Research, Alvin Tai, berkata sebagai sebahagian daripada langkah memperkemaskan struktur syarikat itu yang mana setiap bahagian itu akan memiliki Lembaga Pengarah dan pengurusan kanan masing-masing.

“Secara umumnya, setiap bahagian itu akan beroperasi secara cekap seperti sebelum penggabungan mega dibuat.

“Kami memandang langkah berkenaan sebagai positif dan wajar dilaksanakan,” katanya dalam nota penyelidikannya semalam.

Kelmarin, ketika mengumumkan langkah itu pada sidang media keputusan tahun kewangan kumpulan, Pemangku Presiden dan Ketua Eksekutif Sime Darby, Datuk Mohd Bakke Salleh, yakin penyusunan itu akan memudahkan setiap bahagian memainkan peranan masing-masing, sekali gus dapat meningkat dan mengukuhkan semula tahap tanggungjawab tadbir urus korporat.
Bagi tahun kewangan berakhir 30 jun 2010, Sime Darby menanggung peruntukan tambahan bagi kerugian dan susut nilai berjumlah lebih RM2 bilion susulan kerugian dalam bahagian tenaga dan utilitinya (E&U).

Penganalisis AmResearch, Alex Goh, pula berkata keputusan korporat mengasing segmen perniagaannya dijangka mampu memaksimumkan potensi setiap segmen iaitu perladangan; automotif; utiliti dan tenaga; hartanah; industri serta kesihatan.

“Langkah itu juga dapat mewujudkan budaya kerja cekap berasaskan prestasi dan menyemak pencapaian setiap perniagaan itu,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Maybank Investment Bhd (Maybank-IB), Tan Chi Wei, menyifatkan struktur korporat baru yang dicadangkan itu memberi gambaran baik kepada Sime Darby yang kini diterajui Mohd Bakke.

Penganalisis secara umumnya menyifatkan, zaman terburuk konglomerat terbesar negara itu bakal berakhir.

Semalam harga saham Sime Darby melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh dua bulan sebelum ditutup pada RM8.10 susulan peningkatan taraf terbaru oleh beberapa firma pembrokeran, termasuk JPMorgan Chase & Co.

Saham syarikat itu turut muncul antara tujuh kaunter paling aktif didagangkan di Bursa Malaysia semalam.

0 comments: