.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Thursday, June 24, 2010

2 Apabila muda-mudi Sabah mahu ke Semenanjung (KL) mencari kerja. Bukan senang jika tiada kawan, tidak cukup wang saku

Rakyat Sabah merempat di ibu negara
Christine Chan

Jun 23, 10
3:53pm

Dianggarkan kira-kira 100,000 rakyat Sabah menetap di lembah Klang. Bagaimanapun kebanyakan golongan muda itu kini hidup merempat.


Menurut Hiew King Cheu (DAP-Kota Kinabalu), sesetengah rakyat Sabah itu tidak berpendidikan dan hidup mengemis bagi mendapatkan makanan di belakang restoran seperti KFC dan McDonald, manakala wanitanya ada yang terjebak dalam lembah pelacuran.

"Mereka ke mari dengan harapan mencari pekerjaan. Bagaimanapun sesetengah mereka ditipu oleh agensi pekerjaan dan terbiar tanpa sebarang wang untuk pulang. Ada juga yang malu untuk pulang semula.

“Kerajaan Sabah cuba mengaturkan supaya sesetengah mereka dihantar pulang dengan membayar tambang penerbangan dan memberi mereka wang saku, tetapi ini tidak membantu. Situasi semakin buruk apabila semakin ramai yang datang,” katanya.

Justeru, kata Hiew Pakatan Rakyat akan menganjurkan sebuah forum pada 4 Julai ini di Perpustakaan awam Petaling Jaya bagi menjemput rakyat Sabah datang dan meluahkan masalah mereka.

"Kami berharap ramai yang akan datang dan memberitahu kami masalah dan situasi sebenar mereka. Pemimpin utama Pakatan seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang and Tan Sri Khalid Ibrahim akan juga datang bagi berjumpa dengan mereka.

"Kami melihat tindakan itu sebagai tanggungjawab Pakatan kerana Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia dan menjadi tugas kita membantu mereka,” katanya.

Beliau juga mencadangkan sebuah jawatankuasa atau pertubuhan diadakan bagi membantu rakyat Sabah di Lembah Kelang dan juga seluruh semenanjung.

Kata Hiew, rakyat Sabah merantau mencari pekerjaan di semenanjung kerana kurangnya peluang pekerjaan di negeri itu.

"Gaji dan jawatan bagi golongan muda di Sabah, lazimnya dibolot oleh orang asing. Adalah lebih murah menggajikan pekerja asing di Sabah. Saya tidak menyalahkan majikan. Ada pendatang asing tanpa izin juga bekerja di sektor perladangan dan perkilangan.

“Kerajaan berjanji akan mewujudkan ribuan pekerjaan tetapi ia tidak berlaku. Ini adalah bukti kerajaan negeri gagal mencarikan pekerjaan untuk golongan muda di Sabah,” katanya.

0 Ketahui 10 kriteria apabila menerbitkan atau menterjemah buku untuk pasaran Malaysia

Laporan Khas: 10 kriteria tentukan kedudukan bahan penerbitan berunsur Islam

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my
2010/06/24

KDN bekerjasama dengan JAKIM sentiasa memantau elak orang ramai keliru, amal ajaran bertentangan agama

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) mengenakan Perintah Larangan terhadap 25 judul buku serta penerbitan mengenai agama Islam pada 2008 dan 2009 kerana didapati mempunyai fakta menyeleweng serta boleh menjejaskan akidah umat Islam. Daripada jumlah itu, 19 judul dalam bahasa Inggeris yang diterbitkan di Amerika Syarikat dan India, manakala enam tajuk lagi dalam bahasa Melayu yang dikeluarkan penerbit tempatan serta dari Indonesia. Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran KDN, Abdul Razak Latif, berkata penerbitan itu dikenakan Perintah Larangan mengikut Seksyen 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (AMCP 1984).

Katanya, Perintah Larangan itu diwartakan kepada penerbitan yang mengandungi penulisan menyentuh kesucian agama Islam, penyelewengan fakta dan ajaran Islam sebenar atau mempunyai unsur yang menyesatkan akidah serta menghina nabi dan rasul.

“Menjadi kesalahan mengikut Subseksyen 2 Seksyen 8 AMCP 1984 jika mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau memiliki bahan penerbitan larangan.

“Apatah lagi penerbitan mengenai agama kerana kita tidak mahu umat Islam keliru atau mengamalkan ajaran yang pada fikiran mereka betul mengikut apa diperoleh dalam penulisan tetapi hakikatnya menyalahi hukum syarak,” katanya.
Katanya, bagi penerbitan berunsurkan Islam atau membahaskan perkara berkaitan agama Islam, KDN mendapat kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk meneliti serta memastikan fakta dikemukakan adalah benar.

Antara tajuk buku bahasa Inggeris dikenakan Perintah Larangan ialah The Importance of Muhammad, Muslim Women and The Challenge of Islam, The Jewel of Medina dan Qabil and Habil. Sebahagian buku bahasa Melayu pula ialah Amalan Kemurahan Rezeki, Rahsia Jalan Yang Lurus, Pelik Tapi Benar Dalam Solat, Allah Paling Hebat dan Hamka Bercerita Kisah Nabi dan Rasul.

KDN menetapkan tujuh perkara mudarat memberi kesan kepada Hasil Penerbitan Tidak Diingini mengikut seksyen 7 (1) AMCP 1984 iaitu memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan, kemoralan, kepentingan awam, kepentingan negara, menggemparkan fikiran orang ramai dan berlawanan mana-mana undang-undang.

Hasil Penerbitan Tidak Diingini juga termasuk menyebarkan ajaran salah menyeleweng atau mempersendakan agama Islam bagi bahan penerbitan berunsur agama. Semua penerbitan hendaklah mematuhi garis panduan dikeluarkan JAKIM.

Garis Panduan Penapisan Bahan Penerbitan Berunsur Islam menetapkan 10 kriteria utama menentukan kedudukan bahan penerbitan berunsur Islam antaranya tidak mengandungi perkara menyentuh kesucian Islam, tidak mempropagandakan akidah, hukum dan ajaran bercanggah mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Buku tulisan isteri kedua bekas pemimpin al-Arqam, Asaari Muhammad, Hatijah Aam bertajuk Tsunami: Bukti Abuya Putra Bani Tamin, adalah contoh terkini dilihat melanggar garis panduan penerbitan ditetapkan KDN dan JAKIM.

Hatijah dalam bab tiga buku dilancarkan di Jakarta, Indonesia April lalu menulis: “Abuya Asaari itu ‘power’ yang mampu mengangkat air satu lautan sebesar gunung dan menerbangkan secepat kapal terbang Boeing ketika ketinggian 30,000 kaki iaitu 700km sejam. Senjata tsunami keajaiban ciptaan Abuya Asaari untuk memerangi orang yang gila berperang di Aceh agar kemudian tidak sanggup berperang lagi di bumi milik Abuya Asaari itu.”

Ketua Penolong Pengarah Cawangan Kawalan Media JAKIM, Mazlan Abdullah, berkata sebagai bahan media menyebarkan maklumat dan ilmu mengenai Islam, maklumat yang disampaikan hendaklah tidak menyimpang daripada ajaran sebenar.

Selain itu katanya, penjual pula jangan terlalu mengejar keuntungan hingga sanggup membiarkan orang ramai membeli buku berunsur agama yang sudah difatwakan haram oleh pihak berkuasa.

“Kita tidak mahu orang ramai terbeli buku yang sudah diharamkan pihak berkuasa. Ada antara mereka memang cetek ilmu. Bayangkan jika dapat buku mengandungi maklumat serta ilmu salah dan kemudian diamalkan pula.

“Jangan disebabkan tidak mahu menanggung rugi, buku yang sudah difatwakan haram terus dijual. Penjual perlu memikul tanggungjawab memastikan pembeli tidak mendapat bacaan yang salah kerana ini boleh memudaratkan mereka,” katanya.

Mazlan berkata, JAKIM dengan kerjasama KDN sentiasa melakukan pemantauan berkala terhadap premis menjual bahan bercetak khususnya buku berunsur agama bagi memastikan buku yang sudah difatwakan haram tidak lagi berada di pasaran.


Artikel berkaitan:

KDN, JAKIM kena profesional perjelas kesilapan penerbit


2010/06/24
PERINTAH larangan terhadap penerbitan buku berunsur Islam oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu dilakukan secara profesional, termasuk mengadakan perbincangan dengan syarikat penerbitan supaya pembetulan dapat dilakukan dan mengelak kesilapan sama berulang.

Pengarah Eksekutif Telaga Biru Sdn Bhd, Zahazan Mohamed, berkata adalah tidak adil apabila pihak penerbitan atau penulis tidak dimaklumkan mengenai perintah larangan dan tidak dipanggil mendapat penjelasan berhubung tindakan itu. Katanya, sudah pasti syarikat penerbitan serta penulis ingin mengetahui bentuk kesilapan dilakukan dan mungkin ada cara bagaimana kesilapan dapat diperbetulkan tanpa menjejaskan penerbitan serta penjualan bahan bacaan berkenaan. “Bagi Telaga Biru sendiri, kami kecewa kerana pengharaman buku Pelik Tapi Benar Dalam Solat hanya diketahui melalui RTM1 pada 2008 dan hingga kini belum menerima surat memaklumkan perkara itu.

“Kami sudah menghantar surat untuk mendapat penjelasan kepada KDN, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Fatwa Kebangsaan tetapi tiada balasan. Sudah pasti kami ingin tahu bentuk kesilapan dilakukan supaya dapat diperbetulkan,” katanya.

Beliau berkata, walaupun tidak ada hitam putih mengenai perintah larangan penerbitan buku Pelik Tapi Benar Dalam Solat itu, Telaga Biru mengambil tindakan menarik balik jualan serta melupuskan stok yang berbaki.

Bagaimanapun, sebahagiannya dikembalikan kepada penulis yang berasal dari Singapura kerana buku itu tidak diharamkan di negara berkenaan.
Katanya, Telaga Biru sentiasa berfikiran terbuka termasuk berdepan tindakan pengharaman atau perintah larangan tetapi berharap tindakan dilakukan secara profesional melalui surat serta disusuli perbincangan.

Disebabkan tiada maklum balas diterima daripada pihak berkaitan, Telaga Biru membuat kesimpulan, buku Pelik Tapi Benar Dalam Solat diharamkan kerana mengemukakan pandangan mazhab lain mengenai perkara berkaitan solat.

Zahazan berkata, kesalahan atau kesilapan berlaku perlu dinyatakan dengan cara terbaik kerana sebagai penulis pastinya tidak mahu menyampaikan maklumat salah dan menyebarkan ilmu tidak benar kepada masyarakat.

0 Tindak balas aktivis agama kepada kes Luna Maya, Cut Tari dan Ariel

Polis mahu tahan Luna Maya




JAKARTA 23 Jun - Polis Indonesia mahu 'menahan' dua bintang televisyen wanita yang didakwa terlibat dalam skandal seks dengan vokalis Peterpan, Ariel, berikutan ancaman kumpulan tertentu yang akan berbuat demikian jika pihak berkuasa berdiam diri.
Walaupun sepatutnya polis mengawal kediaman mereka atau menangkap individu yang membuat ancaman tersebut, polis berkata mereka akan menahan Luna Maya, 29, dan Cut Tari, 32, untuk 'keselamatan diri mereka sendiri'.

''Alasannya bukan sekadar untuk menahan mereka tetapi juga melindungi mereka daripada kumpulan-kumpulan yang marah terhadap skandal itu,'' kata ketua detektif, Ito Sumardi.

Kedua-dua mereka, yang merupakan model dan penyampai televisyen, didakwa sebagai pasangan Ariel atau nama sebenarnya, Nazril Ariel, 28, dalam video seks yang dirakam sendiri.

Ariel menyerah diri kepada polis semalam, dan berdepan dengan hukuman penjara maksimum 12 tahun jika didapati bersalah melanggar akta anti-pornografi 2008. Dia menafikan dirinya memuat naik video itu ke Internet.

Video tersebut telah tersebar luas kepada 40 juta pengguna Internet di Indonesia, mengundang perdebatan mengenai kebebasan Internet dan seruan supaya kawalan lebih ketat ke atas teknologi maklumat di negara paling ramai umat Islam itu.

Kontroversi itu memuncak semalam apabila kira-kira 1,000 penunjuk perasaan berarak di tengah Jakarta menuntut supaya mereka disebat di khalayak ramai atau direjam sampai mati kerana berzina.

Hari ini, sebuah kumpulan Barisan Pertahanan Islam yang diketahui pernah menyerang golongan liberal, pondan dan kelab malam, mengancam untuk menyerang Maya dan Tari jika mereka tidak ditangkap dalam tempoh tiga hari. - AFP