.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Wednesday, January 13, 2010

0 Terima Kasih CIAR Kerana Prihatin

Sumber: HD :

Pertubuhan Islam AS lancar dana baiki gereja dibom

E-mail
Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 13 Jan: Demi membuktikan Islam sebagai agama yang adil, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam antarabangsa, Dewan Persaudaraan Umat Islam Amerika (CAIR) semalam melancarkan tabung derma untuk membaiki beberapa gereja yang dibom di Malaysia.

Bercakap pada pemberita di Washington, Pengarah Eksekutif Kebangsaan CAIR, Nihad Awad menjelaskan dana sumbangan tersebut akan diserahkan kepada Duta Malaysia di Amerika Syarikat dalam masa terdekat.
Menurut beliau, inisiatif tersebut demi menunjukkan bahawa ajaran Islam Islam yang sebenar mengajar penganutnya melindungi semua rumah ibadat.

"(Baik) Muslim di Amerika, Malaysia hatta seluruh dunia harus membantu melindungi semua rumah ibadat, dan dengan (berbuat) demikian menunjukkan semangat (ajaran) Islam yang hakiki," kata Nihad sebagaimana dipetik dari laman web rasmi CAIR, www.cair.com
Jelas Nihad lagi, inisiatif CAIR membantu membiayai gereja-gereja yang dimusnahkan tersebut merupakan simbol komitmen umat Islam Amerika terhadap toleransi beragama dan keamanan.
"(CAIR mewakili) Muslim Amerika merupakan salah satu simbol komitmen (persaudaraan Islam) terhadap toleransi antara (penganut) agama dan menghargai kehidupan yang damai dengan membantu membaiki semula gereja-gereja yang rosak," jelasnya.
Beliau turut menyeru semua pihak berwajib yang beragama Islam supaya memandang serius beberapa insiden terbabit.
"(Sebagai) Muslim, (sepatutnya) tidak boleh berpeluk tubuh melihat mana-mana rumah ibadat sekali pun (termasuk masjid) dari diserang.
"Masyarakat kita (Muslim Amerika) seharusnya serius (memandang pengeboman gereja) dan akan mengambil beberapa inisiatif supaya (rakyat melihat) ketinggian moral sebagaimana yang ditunjukkan (pada) prinsip-prinsip Islam," jelasnya.
Beliau turut menyeru rakyat Malaysia yang berbangsa Melayu dan beragama Islam supaya mewujudkan hubungan yang baik dengan masyarakat bukan Islam melalui dialog yang konstruktif.

Tambah Nihad lagi, seruan tersebut berdasarkan perintah Allah dalam ayat 46 dari Surah al-Ankabut yang bermaksud:
"Dan janganlah kamu berdialog dengan Ahli Kitab (Kristian dan Yahudi), melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali (khususnya) dengan orang-orang cerdik pandai di antara mereka (pula), dan (lalu) katakanlah: Kami telah beriman kepada (kitab-kitab samawi) yang diturunkan kepada kami (iaitu al-Quran) dan yang diturunkan kepada kamu (iaitu Injil, Taurah dan Zabur); Tuhan kami dan Tuhanmu adalah satu dan kami hanya berserah diri kepada-Nya."
Beliau turut menjelaskan keadilan Khalifah Umar al-Khattab ketika menerima kunci Baitulmuqaddis daripada seorang Patriak Sophronius lalu diminta bersolat di dalam gereja, tetapi Umar menolak permintaan demikian kerana bimbang rumah ibadat bagi penganut Kristian tersebut akan berubah menjadi masjid disebabkan ketokohan Umar di sisi rakyat berbilang agama di kota suci tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, para pemimpin PAS serta Pakatan Rakyat sebelum ini sekeras-kerasnya mengutuk pengeboman tersebut.

Dalam pada itu, beberapa media arus perdana pula dilihat seolah-olah cuba memanipulasi emosi masyarakat Islam dan bukan Islam, sejak Mahkamah Tinggi menolak permohonan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk melarang Gereja Katholik dari menggunakan kalimah 'Allah' dalam akhbar mingguan, The Herald pada 31 Disember tahun lalu.
Manakala, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilaporkan terus membuat penafian bahawa Umno mendalangi beberapa aksi keganasan ke atas gereja-gereja terbabit.

0 Saya rasa ini boleh dijadikan respon untuk topik larangan 25 perkataan di Negeri Pahang

Sumber: MK:

Allah: Siapa pasung fikrah muslim?
Hasmi HashimJan 13, 109:06am

Sebagai salah seorang panel forum 'Allah: Siapa Punya?' kelmarin, saya berpendapat bahawa isu kalimah Allah kini tiba di peringkat persoalan sosio-budaya; bukan lagi hanya berlegar kepada persoalan hukum-hakam agama.
Dengan banyaknya surah-surah di dalam Quran, jelas sekali penggunaan nama 'Allah' oleh mingguan Herald tidak bersalahan dengan Islam.
Persoalan sekarang, bukan siapa yang berhak memakai nama 'Allah', tetapi terbau kuat akan wujudnya pihak yang mahu memiliki hak mutlak bagi menafsirkan ayat-ayat al-Quran dalam usaha menguasai doktrin Islam itu sendiri.
Selepas sekian banyak hujah yang dibentang, di hujung forum, Dr Azwira A Aziz (pensyarah kanan Jabatan Pengajian al-Quran dan as-Sunnah, Universiti Kebangsaan Malaysia) dua tiga kali berbisik kepada saya, "mengapa jadi begini?"
Maksud beliau, mengapa dalam hal ini, kedapatan cendekiawan, ahli akademik, ahli teologi bahkan ulama tidak menjadi jernih akal budinya berhubung isu yang dibincangkan.
Kita akui bahawa 'pemegang fakta' bukan bermakna 'pemegang kebenaran'; sama halnya hujah wajar dijawab dengan hujah dan bukannya penglabelan.
Memang, saya tidak punya jawapan ringkas.
Hanya yang dapat dirumuskan bahawa suasana malam itu mengingatkan ungkapan profesor Dr Tariq Ramadan kala memberikan syarahan awam bulan lalu di Kuala Lumpur bahawa ia adalah masalah pemikiran umat. Ia bukannya masalah Islam; apatah lagi masalah Illahi... bukan!
Tidak sekalipun saya cuba menolak Teks; sama ada al-Quran dan hadith, kala mana sekian banyak ayat al-Quran dipetik misalnya daripada surah Ali Imran (64), al-Ankabut (46) bahkan paling jelas, al-Hajj bermula ayat 39 sehingga 46.
Ayat-ayat, kaedah dan disiplin penafsiran juga sempat disentuh Dr Azwira.
Saya kira, pada peringkat ini, adalah keanak-anakan sekali andai ada yang masih membebelkan bahawa umat harus merujuk kepada al-Quran dan hadith (yang diingatkan setiap khutbah Jumaat!) sedangkan memang sudah dilaksanakan seruan itu. Begitu juga rujukan terhadap qias dan ijma' ulama.
Oleh kerana masalah ini adalah masalah umat, masalah pemikiran, tentang faham yang mendasarinya, maka saya dengan tegas sejak dari awal mengajak agar diteliti pengalaman Munshi Abdullah sebagai pengalaman dalam lingkungan sosio-budaya Melayu.
Apakah orang Melayu tidak punya pengalaman sejarah di atas isu serupa?
Apabila nama Munshi dibangkitkan, tuduhan, ejekan dan fitnah terhadap Munshi didendangkan semula. Paling tidak, tuduhan klise bahawa Munshi itu rapat dan terlalu memuja Barat, atau dalam bahasa hari ini dia pasti akan dituduh "agen Barat".
Hubungan baik Munshi dengan sekian ramai orang Inggeris termasuk dengan Stamford Raffles mahupun dengan paderi Kristian yang bernama Thomsen dijadikan alasan untuk menakut-nakutkan Melayu hari ini, seperti mana rasa tidak yakin diri di kalangan masyarakat Melaka kala Munshi masih hidup.
Antara lain, demi muaknya atas tuduhan (labelan) kepadanya, Munshi menuliskan: [D]an banyaklah orang menyatakan pekerjaan itu tiada baik, iaitu merosakkan agama adanya, maka apabila aku mendengar perkataan itu, tunduklah aku sambil keluar air mataku, serta berfikir: 'Dari mana gerangannya datang bencana ini? Terlalu bodoh.'
Tohmah dan fitnah seperti 'paderi Munshi' tidak lain datangnya daripada orang yang dimaksudkan itu. Bukan sahaja bodoh, tetapi penuh pula rasa curiga sebagai lambang tidak ada yakin diri ini.
Islam telah merungkaikannya di bawah makna 'iman' itu sendiri.
Membayangkan masalah sedemikian, Munshi menulis: [M]aka beberapa kali sudah aku ingatkan akan mereka itu serta memberitahu akan mereka itu, bahawa sekali-kali tiada Inggeris itu hendak memasukkan seseorang ke dalam agamanya kalau yang empunya diri tiada suka.
Kebimbangan segelintir Muslim andai nama Allah itu disalahguna pihak bukan Islam bukan alasan bagi Muslim tidak memberikan hak dan keadilan kepada yang bukan Islam.
Bahkan Allah SWT jua mengingatkan bahawa Dia jualah yang berkuasa membinasakan kaum-kaum yang berdusta dan melakukan kerosakan seperti kaum Nabi Nuh dan 'Aad, kaum Nabi Salih (Thamud), kaum Nabi Ibrahim, kaum Nabi Lut, kaum Nabi Musa dan penduduk Madyan.
Faktanya, Munshi meninggal dunia (di Jeddah pada 1854) sebagai seorang Muslim; pegangan agamanya tidak pernah goyang dan calar sepanjang beliau melakukan kerja terjemahan Injil, bahkan sepanjang hayatnya.
Begitu juga Thomsen. Dia juga orang alim bagi agamanya. Kealiman dan ketaatannya kepada Kristian sehingga menyebabkan beliau takut untuk menukar barang sepatah pun perkataan di dalam Injil. Dia mahukan Munshi menterjemah sepatah demi sepatah.
Munshi tidak bersetuju. Bagi Munshi, jalan bahasa Melayu berbeza dengan jalan bahasa Inggeris. Andai terjemahan secara literal (harfiah) seperti yang dimahukan oleh Thomsen, akan mengakibatkan maksud asal Injil akan tergelincir.
Contohnya diberikan Munshi sendiri pada halaman 201, ayat 28 dalam edisi 'kitab Injil Tuan Thomsen'. Ayatnya berbunyi: Maka tatkala itu Simeon mengangkat anak 'Isa itu pada tangannya lalu memuji Allah.
Menurut Munshi, jalan bahasa Melayu oleh Thomsen itu membayangkan bahawa Nabi Isa seolah-olah mempunyai anak, sedangkan kata Munshi, [M]aka dalam fahamku demikian kerana belum pernah aku mendengar dalam agama Islam, istimewa dalam agama Masehi, akan 'Isa itu kahwin.
Secara tidak langsung, kerja terjemahan Injil, yang kemudiannya dikenali sebagai "Injil Melayu Melaka dan Singapura", telah membuatkan keyakinan Munshi terhadap ajaran Islam semakin jelas.
Apa yang mengecewakannya, bukan kerja terjemahan itu. Munshi kecewa apabila begitu banyak kesalahan yang dilakukan oleh Thomsen, yang tidak mahu mendengar nasihatnya sebagai guru.
Di pihak Thomsen pula, beliau sangat takut untuk mengubah-ubah letak duduk perkataan daripada Injil versi King James kepada laras bahasa Melayu.
Begitu juga dengan penggunaan nama 'Allah'. Bagi istilah 'tuhan' yang tidak merujuk kepada Tuhan yang disembah, maka telah dihilangkan satu huruf 'lam', menjadi bunyinya 'Alah', sementara bagi maksud Tuhan yang disembah, dikekalkan ejaan alif-lam-lam-ha dengan bunyinya 'Allah'.
Perlu diingatkan bahawa Injil berkenaan dicetak dengan tulisan jawi. Barangkali kalau dilihat seperti mana hari ini, seperti kitab agama di sekolah-sekolah agama Islam negeri Johor. Kitab berkenaan dicetak puluhan kali, dan cetakan pertama di Melaka sebelum di Singapura.
Siapakah yang membeli dan membaca Injil dalam bahasa Melayu itu, kalau tidak kemudiannya dibaca oleh orang Melayu?
Namun, tidak wujud kes yang dapat disahkan bahawa orang Melayu di Melaka atau Singapura, atau Johor, atau Riau (Sumatera) pada zaman itu, misalnya, yang menukar agama mereka kepada seorang Kristian.
Injil Melayu Melaka dan Singapura itu bukanlah Injil yang pertama kali diterjemah ke dalam bahasa Melayu. Di zaman Belanda, iaitu sebelum Inggeris menguasai Melaka, pemerintah Belanda telah mengarahkan seorang pegawai tingginya yang bernama Klinkert untuk menterjemah Injil dalam bahasa Melayu.
Kira-kira 150 tahun Munshi meninggalkan kita. Cendekiawan, ulama bahkan muslim keseluruhannya tidak boleh mengikuti jejak Vatican dalam kes ahli sains Galileo Galilei yang ditangkap, dipenjara dan diseksa hanya kerana orang pandai itu membuktikan bahawa bumi bukan titik tengah cakerawala seperti mana doktrin Kristian.
Hanya selepas seluruhnya hidup Galileo terseksa; selepas 350 tahun kemudiannya, pada 1992 barulah Vatican mengakui kesalahannya dan memohon maaf.
Arakian, darjat umat dan Melayu tidak akan termuliakan dengan fitnah yang diangkat sebagai 'fakta'; samalah bahawa bahasa Melayu tidak akan jadi bahasa yang besar dan agung tanpa kesediaan menerima ilmu luar ke dalam bahasanya; termasuklah pengetahuan daripada kitab-kitab agama lain.
Dalam sekian banyak pertengkaran dan perbezaan, sedar tidak sedar kedua-dua orang alim itu, Munshi dan Thomsen, telah sama-sama memilih istilah 'Allah'. Mereka sama-sama mengakuinya.
Hasmi Hashim, seorang pengkritik budaya dan penulis rencana, bergiat aktif bersama PKR.

0 Modus operandi projek cacing itu sangat meyakinkan seolah-olah mereka sangat profesional

Sumber: UM:

Semak sebelum melabur, nasihat Suruhanjaya Syarikat

KUALA LUMPUR 12 Jan. – Orang ramai dinasihati menyemak senarai syarikat yang menawarkan skim pelaburan dengan agensi kerajaan dalam bidang berkaitan bagi mengelak daripada ditipu, kata Pengarah Kanan Penguatkuasaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Muhammad Redzuan Abdullah.

Beliau berkata, jika sesebuah tawaran pelaburan berkaitan bidang pertanian, pelabur dan pengusaha boleh merujuk pejabat-pejabat pertanian untuk mendapatkan pengesahan terlebih dahulu tentang kemajuan dan kemampuan syarikat tersebut beroperasi.

Muhammad Redzuan berkata, langkah itu penting bagi mengelak kejadian seperti yang berlaku terhadap 3,000 pelabur penternakan cacing di Kulim, Kedah yang kerugian lebih RM25 juta, berulang.
Beliau memberitahu, SSM tidak boleh melakukan penyiasatan dan mengganggu operasi sesebuah syarikat selagi tiada dakwaan rasmi dibuat.

“Bagaimanapun, untuk kes ini, SSM segera membuat penyiasatan, dan jika sabit kesalahan, penganjur skim itu, Kulim Worms Agrotec (KWA)(M) Sdn Bhd, boleh didakwa mengikut akta syarikat, sekali gus dikenakan denda atau dipenjara,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang tahun lepas, SSM berjaya menyelesaikan 30 daripada 61 aduan yang melibatkan 161 jenis pelaburan skim berkepentingan iaitu yang mirip dengan pelaburan penternakan cacing.

Muhammad Redzuan berkata, kes-kes penipuan berlaku kerana sesebuah syarikat yang berdaftar dengan SSM tidak melaporkan aktiviti operasi perniagaan sebagai proses pemantauan.
“Bukan kita yang sepatutnya bertanggungjawab memantau sesebuah syarikat, namun kita boleh mengenakan hukuman jika mendapati ada syarikat yang melanggar undang-undang yang diperuntukan mengikut akta SSM,” katanya.

Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) Datuk Roseley Khalid dalam kenyataan semalam berkata, kementerian itu menyediakan senarai nama syarikat yang berkemampuan menawarkan pakej latihan dan berupaya memasarkan suatu produk.

Beliau berkata, Jabatan Pertanian tidak terlibat dengan mana-mana wakil syarikat pelaburan tetapi hanya memberikan khidmat nasihat teknikal bagi membantu pengusaha mengurangkan kos pengeluaran.

Dalam laman web MOA, tersenarai 58 usahawan dan syarikat yang dipantau oleh kementerian itu.

0 Jika Ronaldo 80j, bajet untuk pembangunan keseluruhan bola sepak Malaysia adalah lapan kali ganda

RM10j untuk tabung bola sepak
Oleh Syed Riduan Ahmad dan Azrina Ahzan
NAJIB (kiri) menerima jersi Malaysia yang tertera namanya daripada Rajagobal pada majlis Shakam di PICC, semalam.
Kerajaan setuju kaji semula Shakam dengan kadar lebih tinggi: NajibDUA suntikan bagi menyemarakkan sukan negara diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak membabitkan dana RM10 juta buat Tabung Pembangunan Bola Sepak serta kenaikan insentif kecemerlangan atlit. Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) diperkenalkan sewaktu saya menjadi Menteri Belia dan Sukan pada 1986-1990 dan jika ada orang yang berhak mengkaji semula skim ini, sayalah orangnya.

Kerajaan bersetuju mengkaji semula skim ini dan akan mengumumkan kadar baru yang lebih tinggi dalam masa terdekat, kata Najib sebelum menyampaikan hadiah Shakam bernilai RM231,000 kepada semua pemenang 40 pingat emas negara di Sukan Sea Laos. Selain Shakam, Najib turut mengumumkan kesediaan kerajaan menyumbang RM10juta untuk Tabung Pembangunan Bola Sepak yang dicadangkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek selepas skuad negara merangkul emas pertama Sukan Sea sejak 20 tahun lalu. Kali terakhir kita merangkul emas bola sepak Sukan Sea ialah di Kuala Lumpur pada 1989, ketika saya menerajui Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Kali ini Ahmad Shabery pula berpeluang mengecapi kegemilangan dan kebanggaan melihat skuad negara memenangi emas.
Memandangkan bola sepak adalah sukan yang paling popular di peringkat akar umbi, kerajaan akan menyumbang RM10 juta sebagai permulaan untuk Tabung Pembangunan Bola Sepak dan berharap satu pelan pembangunan tersusun dan sistematik dilaksanakan bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Kerajaan berharap dengan dua pengumuman besar ini, ia akan menjadi suntikan semangat buat atlit dan penggerak sukan negara untuk terus bekerjasama mencapai impian menjadi kuasa sukan terbesar, bukan setakat di rantau ini tetapi di Asia dan juga dunia. Kejayaan di Laos juga diharapkan dapat menjadi batu asas dalam usaha mencapai kejayaan lebih besar. Saya mahu semua pihak fokus dan melipatgandakan usaha untuk mencapainya, katanya yang meletakkan sasaran emas Sukan Olimpik 2012 di London sebagai matlamat utama negara.

0 Bagaimana umat kristian mahu menyatakan hal iman dan rasul bagi kitabnya sendiri? Apakah rakyat di Negeri Sabah termasuk dalam larangan ini?

Pahang tak benar guna 25 perkataan bersumber Islam
Oleh Abdul Razak Raaffraaffar@bharian.com.my

10 ungkapan termasuk Allah turut dilarang untuk agama lain KUANTAN: Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam 1989 yang diwartakan kerajaan Pahang pada 1990, tidak membenarkan penggunaan 25 perkataan dan 10 ungkapan bersumberkan Islam, termasuk kalimah Allah dalam sebarang terbitan dan ucapan yang dikaitkan dengan agama lain. Perkataan lain yang tidak boleh diguna dan dikaitkan itu ialah firman Allah, ulama, hadis, ibadat, Kaabah, kadi, Ilahi, wahyu, mubaligh, syariah, kiblat, haji, mufti, rasul, iman, dakwah, injil, solat, khalifah, wali, fatwa, khutbah, nabi dan tabligh.

Ungkapan seperti Subhanallah, Alhamdulillah, Lailahaillallah, Walillahilhamd, Allahu Akbar, Insya-Allah, Astagfirullahal Azim, Tabaraka Allah, Masya-Allah, Lahaula Walaquwata IIlabillahialiyil Azim juga tidak boleh digunakan orang bukan Islam. Mengikut seksyen 9 (1) enakmen itu, adalah menjadi kesalahan bagi sesiapa jika ia menghasilkan sesuatu tulisan atau ucapan dengan menggunakan perkataan itu atau variasinya untuk menyatakan fakta kepercayaan, idea, konsep, perbuatan dan aktiviti dengan mana-mana agama bukan Islam.

Bagi Seksyen 9(2) enakmen yang sama pula, adalah menjadi kesalahan bagi bukan Islam menggunakan perkataan dan ungkapan berkenaan kecuali sebagai petikan atau rujukan.
Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Maip), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan, berkata mereka boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

"Enakmen ini adalah undang-undang yang merangkumi semua pihak, termasuk bukan Islam dan mereka yang melakukan kesalahan akan ditahan mengikut Kanun Prosedur Jenayah. "Ia juga memperuntukkan kuasa kepada pihak polis untuk menjalankan penguatkuasaan dan menangkap tanpa waran mereka yang disyaki melakukan kesalahan," katanya ketika dihubungi, di sini semalam. Wan Abdul Wahid meminta semua pihak di negeri ini menghormati dan mematuhi enakmen berkenaan yang sudah wujud sejak 20 tahun lalu.

"Jika semua pihak mematuhi enakmen ini maka tidak akan berlaku masalah berbangkit sehingga mencetuskan kemarahan umat Islam," katanya. Beliau berkata, kesalahan lain mengikut enakmen itu termasuk menghantar atau menyerahkan terbitan mengenai apa-apa agama bukan Islam kepada seorang Islam, mendedahkan seorang Islam kepada pengaruh suatu agama bukan Islam dan mendekati seorang Islam untuk mendedahkannya kepada ucapan atau pertunjukan mengenai perkara berkaitan dengan suatu agama bukan Islam.