.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Monday, February 01, 2010

0 Selalunya idea spontan adalah sangat paling berpotensi. Mari hasilkan idea spontan yang akan jadi lumayan

Sumber: UM:

Tuah lagu ciptaan lima minit

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar WAHIDAH ZAINAL



PETE yang mengagumi bakat besar Aizat menyifatkan penyanyi dan komposer muda itu sebagai anak muda berjiwa besar.

--------------------------------------------------------------------------------



SEHINGGA ke hari ini, kalau ditanya kepada Pete Teo apakah perasaannya selepas menjuarai Anugerah Juara Lagu Ke-24 (AJL24), jawapannya akan tetap disulami ketawa kecil.

Biarpun sudah berminggu-minggu berlalu, namun kemenangan lagu Pergi tetap menjadi perdebatan dan perbualan.

Baginya, pengiktirafan tertinggi itu merupakan hadiah yang paling istimewa dalam hidupnya sepanjang bergelar anak seni hampir dua dekad.

Tidak pernah mengimpikan sebarang kemenangan pada malam gilang-gemilang itu kerana melihat saingan yang begitu sengit, hala tuju Pete dalam bidang muzik hanya satu.

Dia mahu melahirkan muzik yang penuh jujur dan ikhlas agar pendengar mampu menikmati karya itu sebaiknya menerusi mesej yang disampaikan.

"Saya berterima kasih kepada pihak juri yang telah menobatkan lagu Pergi sebagai juara dan jujurnya, saya benar-benar terkejut dengan kemenangan ini.

"Sebagai seorang komposer, saya lebih berasa puas hati dengan gaya penyampaian Aizat yang telah menghidupkan lagu ini dengan cukup cemerlang sekali.

"Rasanya, tiada siapa yang dapat membawakan lagu ini sebaik Aizat. Saya memang kagum dengan kebolehannya dan dia memiliki jiwa yang besar dalam bidang muzik," demikian luahan jujur Pete sewaktu sesi fotografi yang berlangsung di kediamannya di pinggir ibu kota, baru-baru ini.

Dengan kemenangan lagu Pergi itu, gandingan Pete bersama penulis lirik, Amran Omar dan Aizat selaku penyanyi membawa pulang hadiah kemenangan sebanyak RM35,000.

Bukan itu sahaja, Pete juga berjaya menjadi komposer bukan Melayu kedua yang memenangi gelaran tertinggi itu selepas Aubrey Suwito memenanginya pada tahun 2006 menerusi lagu Gemilang.

Cuma, Pete berasa sedikit ralat kerana tidak berpeluang mengecapi kejayaan lagu Pergi pada malam bersejarah itu kerana berada di China atas urusan kerja.

"Namun begitu, kekecewaan saya itu sedikit terubat kerana dapat menontonnya secara langsung biarpun menerusi laman web sahaja," kata Pete yang tidak putus memuji kesungguhan Aizat sewaktu merakamkan lagu tersebut di studio walaupun memakan masa selama lima jam.

Barangkali ramai yang tidak tahu apabila lagu Pergi merupakan lagu yang paling singkat pernah dicipta oleh Pete iaitu dalam tempoh lima minit sahaja!

Sekadar menyingkap sejarah kelahiran lagu Pergi, pada asalnya, lagu berkenaan merupakan lagu Inggeris yang berjudul I Go.

Kemudian, ia dialih bahasa menjadi Pergi selepas Allahyarham Yasmin Ahmad mahu menjadikan ia sebagai lagu tema untuk filem Talentime.

Mungkin sudah menjadi rezeki Pete apabila pengarah filem tersohor itu tertarik dengan melodi lagu tersebut sebaik sahaja mendengarnya di internet.

Mengimpikan untuk bekerja dengan Allahyarham Yasmin sejak mengenalinya sekitar tahun 2003, Pete tidak menunggu masa yang lama untuk memberikan persetujuan dan dengan pantas, dia mengusulkan cadangan itu kepada pihak pengurusannya.

"Daripada situ, kami berbincang dan menyenaraikan beberapa penulis lirik yang kami fikir berpotensi untuk menterjemahkan lirik I Go kepada bahasa Melayu.

"Selepas diteliti, dengan penuh yakin saya sendiri memilih Amran Omar yang saya kira layak untuk menggalas tanggungjawab itu memandangkan dia antara penulis lirik prolifik di negara ini.

"Dia baca lirik I Go dan menterjemah kepada bahasa Melayu dengan mengekalkan maksud serta emosi lagu berkenaan seperti mana yang saya mahukan," cerita Pete yang cukup peramah ini panjang lebar.

Diajukan dengan soalan tentang pertikaian segelintir pihak yang tidak puas hati dengan kemenangan lagu itu, dengan tenang Pete memberitahu dia tidak kisah tentang apa yang mahu diperkatakan.

Kerana baginya, keputusan yang telah dilakukan adalah tentang penilaian serta apa yang juri lihat serta dengar untuk setiap lagu yang bertanding.

Tambah anak kelahiran Tawau, Sabah ini lagi, dia percaya setiap komposer memiliki sentuhan dan cara menulis lagu yang tersendiri tanpa perlu mengikut orang lain.

"Saya percaya pada muzik saya sendiri dan bagi saya, setiap muzik dan karya yang saya hasilkan haruslah jujur dan ikhlas agar pendengar dapat merasakan mesejnya.

"Jujurnya, saya bukan seperti komposer lain yang berani eksperimen dengan muzik yang baru semata-mata untuk menjadikan ia sebagai muzik yang popular.

"Saya seorang yang cukup ringkas dan setiap melodi yang terhasil adalah dengan petikan gitar saya sahaja.

"Persetankan kalau ada yang mengatakan muzik saya kolot atau tidak mengikut peredaran zaman kerana hanya saya sahaja yang tahu apa yang saya mahukan," katanya dalam nada lembut namun tegas.

Hakikatnya, nama Pete sebenarnya bukanlah asing bagi mereka yang mengikuti perkembangan dunia hiburan.

Kalau ada yang tidak tahu, bakat dan muzik Pete sudah lama berkelana jauh ke negara luar seperti Hong Kong, China, Taiwan malah lagu-lagunya turut diminati oleh pecinta muzik di Russia.

Sebelum kemenangannya di AJL, Pete pernah mencipta kejayaan di Anugerah Industri Muzik dengan menggondol beberapa anugerah seperti Video Muzik Terbaik, Kulit Album Terbaik dan juga Album Inggeris Tempatan Terbaik untuk album keduanya, Television.

Lebih membanggakan lagi apabila nama Pete tersenarai antara 135 individu di Asia yang perlu diperhatikan untuk tahun 2009 oleh CNN.

Pete dengan jujur mengakui, namanya memang tidak popular seperti komposer arus perdana yang lain kerana dia lebih selesa untuk tidak terlalu menonjolkan dirinya.

Bukan mahu berlagak atau menganggap dirinya bagus dan hebat, tapi kata Pete itu adalah dirinya dan perjuangannya sejak dulu lagi.

Kerana itu jugalah, apabila ditanya nama penuhnya dan umurnya kini, Pete hanya akan tersenyum dan memberikan jawapan-jawapan yang melucukan.

Apa yang penting baginya adalah dia mahu masyarakat lebih mengenali muziknya berbanding dengan dirinya sendiri.

Inspirasi

"Namun, selepas kemenangan lagu Pergi, ia telah memberikan anjakan baru dalam kerjaya saya apabila kini semakin ramai yang mahu mengenali dan mengambil tahu tentang kerja-kerja saya.

"Memang ia satu berita yang gembira buat saya dan ia menjadi inspirasi untuk saya terus bekerja keras untuk menghasilkan muzik yang berkualiti," katanya penuh optimis.

Sempat juga ditanya kepada Pete, seandainya dia diberi peluang bekerjasama dengan artis tempatan lain, Pete tidak menunggu lama untuk memberikan jawapannya.

"Jaclyn Victor, Ning Baizura, Faizal Tahir dan Datuk Siti Nurhaliza antara nama-nama yang ingin saya bekerjasama kerana mereka memiliki bakat nyanyian yang cukup bagus.

"Tetapi, seperkara yang ingin saya ingatkan bagi mereka yang mahu merakamkan lagu dengan saya.

"Mereka perlu jujur dan menjadi diri sendiri tanpa berselindung di sebalik status mereka sebagai artis kerana jika saya mahukan karya yang jujur, begitu juga saya mahukan daripada mereka.

"Saya bukan seorang yang suka melakukan tugas sambil lewa dan saya akui, saya seorang yang cukup tegas serta cerewet kerana mahukan hasil yang terbaik," katanya tanpa selindung dalam nada yang cukup tegas.

Jika mereka tidak mengenali Pete, mungkin mereka akan beranggapan dia adalah seorang yang sombong dan berat mulut.

Tetapi, selepas hampir dua jam duduk dan bersembang dengannya, Pete sebenarnya seorang yang penuh dengan humor serta memiliki wawasan tersendiri dalam bidang muzik dan juga perfileman.

"Bagi saya, muzik itu terlalu luas dan saya sendiri tidak mahu mengehadkan diri saya.

"Kerana itu, saya kini semakin galak untuk meluaskan bakat saya dalam bidang penciptaan skor muzik untuk filem yang pada saya cukup mencabar minda serta kreativiti saya.

"Semakin sukar perkara itu dilakukan, semakin saya suka dan dapat menumpahkan ilham saya untuk perkara yang saya lakukan itu," ujarnya yang menghasilkan skor muzik dan lagu tema untuk filem Talentime dan Gubra serta filem indie, At The End Of Daybreak arahan Ho Yuhang.

Di samping itu juga, Pete juga mahu terus aktif dalam bidang lakonan dan tawaran berlakon untuknya juga semakin mencurah-curah kini.

Siapa yang dapat lupa lakonannya sebagai Uncle Lim iaitu sahabat kepada watak Saadom lakonan Afdlin Shauki dalam filem Papadom.

Begitu juga dengan filem-filem lakonannya untuk pengarah-pengarah indie seperti Ho Yuhang, Tan Chui Mui dan James Lee yang kebanyakannya meraih pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Filem terbarunya, Stretch yang menyaksikannya berlakon di samping pelakon terkenal Hollywood, mendiang David Carradine akan ditayangkan tidak berapa lama lagi.

Bagi mereka yang mahu mengenali lebih dalam lagi tentang Pete Teo, bolehlah layari laman web rasminya, www.peteteo.com.

0 comments: