.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Sunday, November 24, 2013

1 Astro First mesti tolong pemain industri filem negara, siar selepas 6 atau 3 bulan?

Cari solusi masalah industri filem ANTARA penggiat industri perfileman yang hadir pada sesi Dialog Bersama Industri anjuran Finas di Kuala Lumpur baru-baru ini. DUA tahun lepas, industri perfileman Malaysia mencatatkan rekod kutipan filem tertinggi menerusi KL Gangster terbitan Skop Production Sdn. Bhd. iaitu RM11.74 juta. Itulah kali terakhir filem Melayu mencapai jumlah kutipan melepasi RM10 juta. Sebenarnya, penghasilan filem cereka tempatan ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Menurut Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), sehingga September lalu terdapat lebih 50 buah filem telah diterbitkan. Jumlah itu dijangka meningkat menjelang akhir Disember nanti. Malangnya sehingga kini tiada satu pun yang berjaya mengatasi rekod KL Gangster meskipun hampir setiap minggu ada sahaja filem baharu dimainkan di panggung wayang. Ada pendapat menyimpulkan bahawa faktor lambakan filem sampah di saluran Astro First dan kualiti penceritaan yang lemah menjadi punca keterujaan khalayak untuk menonton filem di pawagam merudum. Istilah transformasi juga kerap menjadi topik bebelan pemerhati filem jika filem tempatan mahu menguasai pasaran. Lembaga Penapisan Filem turut tidak terlepas daripada menjadi sasaran kritikan. Isu rombakan dasar perfileman dan garis panduan tidak habis-habis diperkatakan. Finas sebagai badan yang ditubuhkan untuk memantau pembangunan filem negara sering berada dalam situasi berjaga-jaga. Setiap kepincangan industri pasti berbalik kepada Finas. Pertukaran pucuk pimpinan Finas kepada Raja Rozaime Raja Dalnish Shah pula pernah menimbulkan pertikaian. Kemampuan Raja Rozaime mengendalikan isu-isu dalam industri dikatakan tidak banyak meninggalkan impak. Itu antara permasalahan perfileman tempatan. Menyedari kepentingan filem dalam industri kreatif negara, satu sesi dialog bersama pihak industri diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini. Sesi dialog itu dihadiri oleh wakil-wakil daripada pelbagai persatuan yang mewakili pelakon dan pengusaha filem. Objektif sesi dialog itu dianjurkan adalah bagi mendapatkan pandangan serta idea baharu daripada penggiat industri mengenai senario terkini filem tempatan. Antara perkara yang dibincangkan termasuklah soal penyelidikan dan pembangunan modal insan, kandungan kreatif, teknikal, perundangan dan penguatkuasaan serta pemasaran dan promosi filem ke peringkat antarabangsa. Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), Jurey Latiff Rosli berkata, filem Malaysia memperlihatkan kecenderungan sesetengah penerbit memilih kuantiti dan mengabaikan kualiti. YUSOF HASLAM (berdiri, kanan) sedang memperkatakan sesuatu sambil diperhatikan wakil industri kreatif yang hadir. "Asalkan filemnya mendapat pulangan besar sudah lebih daripada mencukupi. "Inilah yang membimbangkan industri kerana lambakan filem sampah bakal merosakkan industri perfileman kerana filem sampah diterima dalam syarat wajib tayang," selar Jurey. Sementara itu, ahli lembaga pengarah Hak Artis dan Penghibur Malaysia Sdn. Bhd. (Prism), Datuk M. Daud Wahid menambah, kemerosotan jualan tiket filem di panggung juga berpunca daripada kewujudan Astro Fisrt. "Filem baru sahaja ditayangkan selama dua minggu di pawagam tetapi sudah boleh dilanggan di Astro First. Penonton ada pilihan untuk tidak perlu ke panggung sebaliknya menonton di rumah pada bila-bila masa sahaja. "Perkara sebegini harus dikawal kerana Astro First merupakan perosak filem. "Sepatutnya filem yang ditayangkan di pawagam hanya boleh disiarkan di televisyen selepas enam bulan," katanya. Pelbagai cadangan lain turut dibincangkan, antaranya setiap filem harus melalui sistem gred atau pengelasan misalnya filem gred A, B atau C. Dari situ, kualiti sesebuah filem dapat ditentukan. Setiap wakil industri yang hadir juga bercakap tentang soal kualiti seperti kualiti skrip, pelakon, teknikal dan muzik. Namun, persoalannya adakah dialog kali ini sama seperti dialog yang acap kali diadakan sebelum ini? Apa-apa pun besar harapan agar karyawan filem tempatan tidak mengaku kalah atau terus hanyut dalam masalah yang tidak pernah selesai. Solusi harus dicapai agar kerja keras mereka akan menghasilkan filem yang berkualiti sekali gus memberi ruang untuk memasarkan filem tempatan di peringkat antarabangsa. Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1124&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_04.htm#ixzz2lVw6wkHt Hakcipta terpelihara

Saturday, October 19, 2013

0 Sastera Malaysia harus berjiwa besar kalau mahu maju

Promosi sastera Melayu ke peringkat antarabangsa 2013/10/14 - 20:38:42 PM Dr Anwar Ridhwan Cetak Emel Kawan Tiada produk yang akan dikenali tanpa usaha promosi. Setiap promosi pula memerlukan peruntukan tersendiri yang dianggap sebagai elemen kos pengeluarannya. Maka program pengembangan sastera Melayu pada peringkat antarabangsa harus dipromosi secara berterusan, berskala luas dan berjangka panjang. Peranan itu turut dimainkan oleh penerbit luar negara yang bersedia bekerjasama dengan kita. Lokasinya di seberang laut akan memberi kesan ke atas penjualan serta penyebaran karya sastera kita di luar negara. Sebagai contoh, terjemahan ke dalam bahasa Perancis wajar diterbitkan oleh penerbit di Perancis; terjemahan ke dalam bahasa Inggeris wajar diterbitkan oleh penerbit di England atau Amerika Syarikat, terjemahan ke dalam bahasa Jerman wajar diterbitkan oleh penerbit di Jerman dan begitulah seterusnya. Niat baik untuk menterjemah dan menerbitkan karya sastera kita, dengan harapan ia akan tersebar pada peringkat antarabangsa, ada kalanya dihalang apabila menerbitkannya di Malaysia. Sudahlah begitu, strategi pengedarannya pula kurang berkesan. Jika karya terjemahan sastera kita diterbitkan dalam negara, penyebarannya agak terbatas yang hanya dilakukan dalam pesta buku antarabangsa (itu pun kita tidak dapat membawa semua judul buku terjemahan), atau melalui usaha promosi dan pembelian secara online (itu pun jika penerbit tempatan melakukannya secara agresif). Kerjasama dengan penerbit luar Dalam hubungan ini penerbit tempatan wajar menjalin kerjasama penerbitan dengan penerbit luar negara. Dalam kes tertentu, ada penerbit luar negara yang berminat menerbitkan karya asing (termasuk dari Malaysia), hingga tidak memerlukan apa-apa kos daripada penerbit Malaysia. Dalam sesetengah kes pula, mereka memerlukan pembabitan sebahagian kos daripada pihak kita; yang mana ini pun wajar dipertimbangkan kerana akan memudahkan penyebaran karya sastera kita di luar negara. Satu lagi yang sering diabaikan ialah pusat pengajian Melayu/Malaysia di luar negara. Sungguhpun jumlah pusat pengajian Melayu/Malaysia di luar negara tidak sebanyak beberapa dekad yang lalu, kita boleh menjalin kerjasama dengan tenaga akademik dan pelajarnya. Kerjasama ini boleh meliputi usaha penterjemahan, penjualan karya serta aktiviti seperti pelancaran buku, diskusi buku, sesi bersama pengarang, pengisian jurnalnya tentang sastera Melayu dan sebagainya. Kedutaan kita di luar negara juga wajar memperkenalkan sastera dan sasterawan kebangsaan kita. Hanya sebahagian kecil kedutaan, dalam waktu tertentu saja pula, yang mahu memberi layanan terhadap aktiviti sastera kebangsaan kita di luar negara. Yang lain, pada umumnya buta terhadap perkembangan sastera kebangsaan, jauh pula untuk turut mempromosikannya. Situasi ini harus diubah supaya kedutaan kita turut memainkan peranan memperkenalkan sastera/sasterawan kita di luar negara, terutama bagi yang karyanya telah diterjemahkan ke dalam bahasa asing. Terbit karya pengkritik sastera Satu lagi faktor yang kita abaikan ialah membina pengkritik sastera yang tulisan mereka boleh diterbitkan dalam jurnal atau majalah sastera antarabangsa. Tanpa sesiapa menulis mengenai sastera kita dalam jurnal atau majalah sastera antarabangsa, sastera kita kurang diketahui secara meluas, terutama oleh golongan pemikir sastera yang serius. Situasi ini juga harus diubah, dengan melantik dan membayar honorarium yang sewajarnya kepada mereka yang kita kenal pasti boleh memikul misi itu. Satu daripada masalah kegiatan sastera Malaysia peringkat kebangsaan dan apatah lagi peringkat antarabangsa ialah sesuatu kegiatan itu tidak tekal, tidak berkesinambungan. Kelemahan ini harus diatasi. Kita wajar mempunyai program sastera peringkat kebangsaan dan antarabangsa yang berkesinambungan, termasuk tarikh tahunan yang dikekalkan, hingga ia membentuk nama dan jenama yang dikenali secara global. Dengan cara itu sastera kita akan sentiasa diikuti perkembangannya. Kita wajar mempunyai satu atau dua kegiatan sastera antarabangsa tahunan yang kekal berpanjangan, terutama yang membabitkan penyertaan penulis dan sarjana di luar dunia Melayu. Melalui kegiatan seperti ini, akan terjalin perkenalan, interaksi serta pendedahan sastera dan sasterawan kita dengan lebih meluas lagi. Dalam era media elektronik secara perlahan melemahkan pengaruh media cetak, kita wajar mengoptimumkan penggunaan teknologi ICT untuk mempromosi sastera dan sasterawan kita dalam pelbagai bahasa dunia. Medium ini harus kita manfaatkan sebaik mungkin. Perlu ada usaha yang bersepadu dan berwawasan besar untuk tujuan berkenaan, dengan menggunakan kemudahan internet, media sosial dan sebagainya, dalam pelbagai bahasa utama dunia. Penulis ialah Sasterawan Negara dan pensyarah Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA

Friday, October 18, 2013

0 Berkat kahwin selepas 80 tahun perkahwinan

Lelaki berusia 103 tahun berkahwin lagi RIELLA duduk di atas kerusi roda di sebelah isterinya, Lopez pada majlis perkahwinan yang diadakan di belakang rumah mereka di Santa Rosa del Aquaray, Asuncion pada Selasa lalu.- AFP BUENOS AIRES - Seorang lelaki berusia 103 tahun, Jose Manuel Riella melangsungkan semula perkahwinan dengan isterinya, Martina Lopez yang berusia 99 tahun pada Selasa lalu di belakang rumah mereka di Asuncion, Paraguay. Pasangan itu sebelum ini telah melangsungkan perkahwinan buat kali pertama pada tahun 1933 tanpa dihadiri oleh seorang paderi tetapi disaksikan hanya pegawai pentadbiran. Namun, selepas 80 tahun hidup bersama, pasangan itu sekali lagi melangsungkan perkahwinan dengan dihadiri seorang paderi Kristian Katolik. Ketika majlis itu berlangsung, Riella duduk di atas sebuah kerusi roda. Majlis perkahwinan itu dihadiri oleh lapan orang anak mereka. Seramai 50 cucu, 35 cicit dan 20 piut pasangan itu turut menyaksikan majlis perkahwinan itu. - Agensi Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1018&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2i0ijaki2 Hakcipta terpelihara

Sunday, October 06, 2013

0 Apabila kerajaan AS tiada duit untuk bayar gaji kakitangan awam

Jaga-jaga jangan jadi macam Amerika 2013/10/05 - 03:43:52 AM Kunta Kinte Cetak Emel Kawan Yang kita pernah dengar, ada negara miskin tak cukup duit nak belanja sampai gaji kakitangan awam pun tak boleh dibayar atau lambat dibayar. Ada yang berhutang dengan kakitangan awam sampai berbulan-bulan. Nak bangunkan negara dan bayar hutang luar tentulah jauh sekali. Bila dah tak ada jalan lain, mereka cap duit. Mereka tambah jumlah mata wang dalam edaran. Yang tak dapat gaji, dapat gaji tapi bila nak belanja tak laku. Harga barang-barang dan perkhidmatan naik sebab yang naik bukan pengeluaran barang-barang dan perkhidmatan, tetapi jumlah duit. Kita kena ambil tahu sebab ekonomi Amerika adalah yang terbesar di dunia. Apa yang berlaku kepada Amerika jejas satu dunia” Bila jumlah duit naik, tapi tak disokong oleh harta kerajaan yang berharga macam emas dan simpanan mata wang asing, nilainya bukan saja tak naik malah turun. Lagi banyak duit dicap dan diedarkan, lagi murahlah nilainya. Lagi-lagilah kalau ekonomi negara yang cap duit tu pula lemah. Pasal itulah pengurusan ekonomi, belanjawan, cukai dan mata wang sangat penting. Sebab itulah banyak negara bila dapat Menteri Kewangan yang baik, mereka jaga betul-betul. Masalahnya, dalam dunia tak banyak orang politik yang cekap dan pandai hal kewangan. Bila tak cekap dan tak pandai, tapi ada kuasa mereka lebih banyak fikir hal politik dan populariti daripada kepentingan jangka panjang negara. Di sesetengah negara, bila dapat Menteri Kewangan yang cekap dan bagus, mereka simpan lama-lama. Tapi manusia tetap manusia. Bila dia berjaya sebagai Menteri Kewangan dan jadi popular, dia nak naik jadi Perdana Menteri pula atau rakyat jelata paksa dia jadi Perdana Menteri. Itulah yang jadi kepada Manmohan Singh di India. Dia sangat berjaya sebagai Menteri Kewangan, tapi bila dipilih jadi Perdana Menteri dia tak berjaya nak ubah ekonomi India. Akhirnya yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Pengurusan kewangan lemah, ekonomi tak berkembang dan, baru-baru ini nilai tukaran rupee merudum. Tapi itu cerita negara miskin. Pada akhir-akhir ini negara maju pun hadapi masalah yang sama. Mula-mula Iceland, lepas itu Greece. Portugal dan Sepanyol pun kena walaupun tak teruk sangat. Tak mampu bayar gaji Macam mana pun yang paling teruk hadapi masalah belanjawan ialah Amerika Syarikat. Dah banyak kali Kerajaan Amerika dekat-dekat muflis sampai nak bayar gaji kakitangan awam pun tak mampu. Di bawah Presiden Barack Obama saja dah dua kali. Kali pertama dia nasib baik bila parti dia, iaitu Demokrat berjaya dapat kerjasama parti pembangkang, Republikan. Tapi kali ini Republikan tak mahu tolong dia lagi kalau dia tak mahu dengar kehendak mereka. Obama pula tak mahu mengalah. Jadi pertengahan minggu ini, pemerintahan Kerajaan Amerika ditutup. Kerajaan tak ada duit nak bayar gaji kakitangan Persekutuan. Beratus-ratus ribu pekerja awam diperintah jangan datang kerja sebab Pentadbiran Obama tak ada duit lagi nak bayar gaji mereka. Nak tambah hutang pun tak dibenarkan lagi. Pendek kata, Kerajaan Pusat Amerika dah bankrap. Kita kena ambil tahu sebab ekonomi Amerika adalah yang terbesar di dunia. Apa yang berlaku kepada Amerika jejas satu dunia. Penutupan kerajaan Dalam bahasa Inggeris disebut government shutdown atau lebih kurang penutupan kerajaan. Kerajaan ditutup kerana tak ada duit nak uruskan pentadbiran awam. Inilah bahananya bila orang politik asyik main politik, lebih banyak cakap dan berslogan daripada buat kerja, banyak melawat ke luar negara, boros dan salah guna kewangan negara. Bila orang politik yang tak ada pengetahuan dalam pengurusan ekonomi dan kewangan jadi Presiden atau Perdana Menteri, inilah akibatnya. Obama dia peguam. Penasihat dia pun nampaknya half-past six. Negara bankrap dan rakyat jelata menderita. Itu pun ada lagi orang kita yang sanjung Obama macam dia dewa. Kerajaan Amerika dah bankrap, tapi pemimpin Amerika dok ingat mereka kuat dan berkuasa macam zaman Perang Dingin, boleh peras ugut satu dunia beli senjata dan barang-barang keluarannya. Apa yang jadi kepada Amerika dan kepada makin banyak negara maju boleh jadi kepada kita kalau kita tak belajar, tak ambil iktibar. Dan kalau kita dok ingat kita kaya, kita stabil dan kita boleh hutang bila-bila masa kita mahu. Kita pun akan muflis kalau pengurusan ekonomi, kewangan, percukaian dan mata wang kita tak cekap, kerajaan boros, rasuah dan salah guna kuasa. Artikel terkait : Impak penutupan kerajaan AS SEKUMPULAN penjawat awam menyertai tunjuk perasaan untuk menuntut Kongres menamatkan penutupan kerajaan AS di luar bangunan U.S. Capitol di Washington, Amerika Syarikat kelmarin. BALI - Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry semalam memberi amaran kepada Kongres supaya berfikir panjang mengenai impak negatif yang akan timbul berikutan penutupan operasi pentadbiran negara itu sejak lima hari lalu. Pertikaian antara Parti Demokrat dan Republikan itu disifatkan beliau sebagai 'cuai' dan boleh menjejaskan kreadibiliti AS di mata dunia jika ia tidak diselesaikan segera. Malah, ia seakan-akan memberi mesej kepada dunia bahawa AS tidak mampu menyelesaikan masalahnya sendiri. "Sekiranya krisis ini berterusan atau berulang, orang ramai akan mula mempersoalkan kemampuan AS untuk mengendalikan kerajaannya sendiri," kata Kerry dalam satu mesyuarat sewaktu Sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang berlangsung di sini. Kerry bagaimanapun menegaskan bahawa imej AS masih belum tercalar di mata pemimpin dunia dan yakin isu itu dapat diselesaikan tidak lama lagi. "AS tetap menjadi kuasa paling besar di dunia dari segi kapasiti ketenteraan dan ekonomi," tambah Kerry. Sebelum ini, Presiden AS, Barack Obama terpaksa membatalkan lawatannya ke beberapa buah negara ASEAN termasuk Malaysia, Brunei dan Filipina. Obama juga terlepas peluang menghadiri mesyuarat APEC. Kerry yang menggantikan tempat Obama untuk lawatan ke negara ASEAN menyatakan, beliau percaya tindakan Republikan menghalang perbelanjaan kerajaan di Kongres sebagai satu langkah berbahaya. Biarpun begitu, Kerry menegaskan, isu di Washington tidak akan menjejaskan komitmen AS terhadap rakan-rakannya di Asia dari aspek perdagangan dan pelaburan di rantau terbabit. Penutupan kerajaan AS berlaku apabila Republikan yang menguasai Dewan Perwakilan enggan meluluskan wang untuk operasi pentadbiran kecuali undang-undang penjagaan kesihatan yang dikenali sebagai Obamacare ditangguhkan atau tidak dibiayai. Obama dikatakan enggan untuk berunding dengan Republikan mengenai isu bajet sehinggalah mereka meluluskan rang undang-undang sementara untuk membuka kembali kerajaan AS. Selain bersetuju menaikkan had pinjaman berkanun kepada AS$16.7 trilion (RM53.1 trilion) "Undi dan hentikan sandiwara ini. Tamatkan penutupan kerajaan ini sekarang," tegas Obama. Penutupan kerajaan memberi impak besar. Dari segi polisi dana luar, ia menangguhkan bantuan keselamatan kepada Israel dan menjejaskan pemantauan terhadap sekatan yang dikenakan ke atas beberapa buah negara seperti Iran. Penutupan kerajaan AS turut memberi kesan kepada pelancong yang ingin mengunjungi Institusi Smithsonian yang terdiri daripada 19 buah muzium, galeri-galeri dan Zoo Nasional. Sementara taman-taman awam termasuklah Statue of Liberty, Yosemite dan Alcatraz juga terpaksa ditutup. Krisis itu menyebabkan ratusan ribu penjawat awam di beberapa jabatan seperti pertahanan, perdagangan, tenaga dan pengangkutan diarahkan untuk bercuti tanpa gaji. Justeru, penyelidikan saintifik juga terpaksa ditangguhkan. Kali terakhir AS menutup operasi kerajaannya adalah pada 17 tahun lalu. - Agensi Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1006&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2gsKM6VMU Hakcipta terpelihara

Saturday, September 28, 2013

0 Liga Malaysia diswastakan macam Liga-J? Ini yang sebaiknya kita mau sejak dulu

Liga-M dapat sentuhan Jepun 2013/09/28 - 07:37:05 AM Syed Riduan Ahmad | smriduan@bh.com.my Cetak Emel Kawan Liga-M dapat sentuhan Jepun FAM kerjasama dengan JFA, Liga-J selia mutu bola sepak negara Kuala Lumpur: Liga Malaysia (Liga-M) yang akan diswastakan bermula 2015 bakal mendapat sentuhan dari negara matahari terbit yang mempunyai liga terbaik di rantau Asia - Liga Jepun (Liga-J). Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang dalam proses menswastakan liga menjelang 2015, akan mengadakan kerjasama dengan Persatuan Bola Jepun (JFA) dan Liga-J bagi memastikan mutu liga dan bola sepak negara berkembang selari dengan gergasi Asia itu. “Sejak dua bulan lalu, dua kali wakil dari Liga-J dan JFA datang ke FAM untuk membincangkan kerjasama yang mampu dibentuk dan hasilnya, satu persetujuan dicapai dan kedua-dua pihak bakal menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada 21 Oktober ini,” kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin. Tukar jurulatih, pemain “Sehubungan dengan itu, satu bengkel berkenaan penswastaan liga akan turut diadakan dengan pegawai JFA dan Liga-J akan berkongsi kepakaran mereka.” Bengkel berkenaan akan diadakan di Wisma FAM Kelana Jaya untuk tempoh tiga hari. Menurut Hamidin, selain majlis menandatangani memorandum dan bengkel, dua bekas pemain Liga-J akan turut datang berkongsi pengalaman mereka dengan pemain remaja tempatan. Perisytiharan harta “Kita harap dapat dapat manfaat daripada kerjasama ini,” kata Hamidin pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan di Wisma FAM semalam. “Jepun tampak begitu komited dalam merealisasikan memorandum ini yang turut membabitkan pertukaran pemain, jurulatih dan siri perlawanan antara kelab tempatan dan Jepun.” Sementara itu, JKPT yang dipengerusikan Datuk Afandi Hamzah dalam mesyuaratnya turut memutuskan beberapa perkara untuk musim 2014 antaranya semua pegawai dan pemain perlu membuat perisytiharan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi borang yang disediakan badan induk itu.

0 Jika melayu dan cina bersatu, siapa untung siapa rugi?

Malaysia kuat jika Melayu, Cina bersatu 2013/09/28 - 07:05:14 AM Daripada Mior Kamarul Shahid di New York Cetak Emel Kawan Malaysia kuat jika Melayu, Cina bersatu Najib berucap kepada anggota Dewan Perniagaan Amerika Syarikat dan Majlis Perniagaan AS-ASEAN di New York, kelmarin. Kekayaan negara mampu disebarkan secara adil Datuk Seri Najib Razak yakin Malaysia akan menjadi sebuah negara yang kuat jika orang Melayu dan Cina memupuk hubungan yang akrab. “Jika 67 peratus orang Melayu dan 27 peratus orang Cina bekerjasama, kita akan menjadi sebuah negara yang bersatu dan kukuh,” katanya dalam wawancara Program Hubungan Luar, dihoskan oleh pengacara CNN, Fareed Zakaria yang dipancarkan serentak di sini dan Washington, semalam. Perdana Menteri berkata, walaupun kaum Cina dipujuk supaya menyokong pembangkang atas alasan tertentu, tetapi di luar tempoh pilihan raya, mereka perlu bersatu atas matlamat untuk membina negara. Najib berkata, kaum Cina tidak seharusnya terlalu memikirkan soal kaum mereka saja tetapi perlu menganggap bahawa mereka adalah rakyat Malaysia. Justeru, beliau yakin, jika kedua-dua kaum itu bekerjasama, ia mampu mewujudkan sebuah negara Malaysia yang tulen. Dalam perbincangan bertajuk Kesederhanaan: Pemodenan Baharu yang dihadiri oleh kira-kira 200 orang itu, Najib menjawab berhubung tindakan kerajaan memberi keistimewaan kepada Bumiputera yang menimbulkan rasa tidak puas hati kaum lain. Elak ketidakstabilan Najib menjelaskan, jika 67 peratus daripada penduduk asal ketinggalan di belakang, ia akan menyebabkan ketidakstabilan. “Kita tidak boleh membiarkan keadaan ini kerana di segi politik ia adakah tidak baik. Apa yang dikehendaki ialah mewujudkan sebuah negara Malaysia yang adil, saksama dan inklusif. Itu yang hendak dicapai untuk membolehkan kekayaan disebarkan secara adil. “Kita mahukan masyarakat yang inklusif dan mendapat pembahagian kekayaan yang saksama,” katanya. Bagaimanapun, Najib berkata, hari ini kaum Cina memiliki kekayaan yang lebih besar daripada Bumiputera dan berikutan itu mereka masih perlu dibantu mengikut merit. Beliau juga berkata berkata tanpa tindakan afirmatif, ia akan menyebabkan perpecahan rakyat bertambah buruk pada masa akan datang.

Friday, September 27, 2013

0 Carilah pedoman dari kisah Tegar "Aku yang dulu bukan lagi yang sekarang"

Transformasi hidup Tegar KEHIDUPAN penyanyi Tegar Septian tidak seperti kebanyakan kanak-kanak lain yang berada di alam persekolahan. Sebaliknya, jadual hariannya lebih banyak dihabiskan di jalanan. Sudah mula menjadi penyanyi jalanan sejak berusia tujuh tahun, semuanya itu terpaksa dilakukan lantaran kehidupan keluarganya yang cukup miskin. Itulah pengorbanan yang cukup besar buat kanak-kanak sepertinya demi mencari sesuap nasi tetapi itu semua tinggal sejarah dan Tegar sekarang bukan seperti yang dahulu lagi. Hari ini namanya sudah meledak gara-gara lagu nyanyiannya iaitu Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang semakin popular, bahkan salah sebuah klip video lagu berkenaan sudah ditonton sebanyak 4.9 juta kali di YouTube. Berbekalkan sebuah alat muzik yang dikenali sebagai ukulele yang sentiasa dibawa ke mana-mana sahaja, Tegar menjelajah ke seluruh Indonesia untuk membuat persembahan serta pernah berduet dengan beberapa penyanyi popular termasuk dengan kumpulan Noah, Setia Band dan Delima. Berkesempatan bertemu dengan penyanyi cilik itu dalam rangka promosi albumnya, Tegar Dan Sahabat di Malaysia minggu lalu, tidak dinafikan banyak kisah menarik tentang anak sulung daripada empat orang adik-beradik itu. "Kalau mendengar lagu Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang, itulah kisah diri saya sepanjang enam tahun menjadi penyanyi jalanan. Semuanya itu terpaksa dilakukan kerana kesempitan hidup. "Sekarang saya amat bersyukur kerana semuanya berubah dan tidak menyangka tindakan seseorang yang telah memuat naik video saya di YouTube ketika menyanyi di jalanan mengubah keseluruhan kehidupan saya," ujar penyanyi kelahiran daerah Indramayu, Indonesia itu. BERBEKALKAN ukulele, Tegar yang dahulu menjaja muziknya di jalanan kini tidak menang tangan memenuhi undangan nyanyian. Cerita Tegar berkenaan kebolehannya dalam nyanyian, dia menyatakan bakat sebagai seorang penyanyi yang dimilikinya itu diwarisi daripada ibunya yang turut bergelar seorang penyanyi jalanan. Ujarnya, pendapatan harian yang diraihnya pula sekitar RM30 sehari dan ia sekadar mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian keluarganya di sebuah kota yang besar. "Biasanya kalau ada duit lebih saya dan rakan-rakan lain gemar ke kafe siber dan sering membuka laman YouTube untuk mendengar lagu. Dengan cara sedemikian ia membantu saya mempelajari lebih banyak lagu untuk dipraktikkan semasa menyanyi di jalanan," ungkapnya. Merasakan hidup sebagai penyanyi jalanan sangat bebas dan menyenangkan, Tegar menyatakan, dia tidak terlepas daripada melakukan perkara negatif akibat kehidupan yang tidak terkawal. Tanpa berselindung menceritakan tentang cara hidup lampaunya, penyanyi berkenaan memberitahu, dia selalu menghisap rokok dan menghidu gam akibat terpengaruh dengan cara kebanyakan penyanyi jalanan di tempatnya itu. "Alhamdulillah, kehidupan saya sekarang ini sudah jauh berubah dan tidak lagi melakukan perbuatan sebegitu. Namun begitu, saya tetap merindui pekerjaan lama, meskipun sudah popular," jelasnya. Bantu keluarga Jika dahulu pendapatannya tidaklah terlalu lumayan kerana terpaksa bersaing dengan penyanyi jalanan lain, kini Tegar boleh berbangga kerana pada usia yang masih muda hidupnya jauh lebih mewah. Ujar Tegar, dia berasa gembira kerana segala yang dilakukannya sekarang telah membantu kewangan keluarga untuk mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih sempurna. "Perkara yang paling membanggakan saya sudah tentunya dapat membeli sebuah rumah dan motosikal. Ia memberikan suatu kepuasan tidak terhingga kepada diri saya. "Tidak dinafikan kehidupan saya cukup sibuk memenuhi undangan nyanyian di merata-rata tempat dan adakalanya berasa terlalu penat tetapi demi keluarga saya ketepikan semuanya," ujarnya. Memandangkan dahulu dia terpaksa menjadi penyanyi jalanan sehingga tidak ke sekolah, ia menyebabkan penyanyi cilik itu tidak dapat membaca dan menulis. "Kini pihak pengurusan saya telah mengupah seorang guru untuk mengajar saya di rumah. Disebabkan jadual saya yang padat, sudah tentu langkah sedemikian lebih berkesan berbanding masuk ke sekolah biasa," jelasnya. PERNAH terjebak sebagai penghidu gam, Tegar kini perlahan-lahan meninggalkan tabiat buruknya. Berbakat Kehadiran Tegar ke Malaysia untuk mempromosikan albumnya itu tidak berseorangan, sebaliknya ia turut ditemani pengurus yang merangkap bapa angkatnya iaitu Alfaas Hermansyah. Alfaas berkata, sebagai individu yang bertanggungjawab mengesan bakat dan membawanya ke studio rakaman Harpa Records, dia melihat Tegar seorang penyanyi berbakat besar serta memiliki tarikan sendiri. "Ternyata agak sukar untuk menjaganya dan harus bijak melayan kerenahnya. Semua ini berpunca kerana kehidupannya jalanan yang banyak mempengaruhi dirinya. "Pada usia yang masih kecil dia sudah menghisap rokok dan menghidu gam tetapi tidaklah sampai terjebak dalam najis dadah. Bagaimanapun, semuanya itu sudah ditinggalkannya, malah saya sendiri kurang merokok kerana mahu menunjukkan teladan yang baik," jelasnya. Sepanjang mengenali diri penyanyi cilik itu, Alfaas menerangkan bahawa Tegar seorang kanak-kanak yang mudah dibentuk dan berkeinginan tinggi untuk mengubah dirinya. Ujarnya, kegiatan yang kerap dilakukan iaitu pergi ke kafe siber semasa menjadi penyanyi jalanan dahulu turut membantu kerana dia selalu belajar menyanyi dengan melayari YouTube. "Kalau menyelusuri kehidupan Tegar ini cukup menarik dan disebabkan itu dia bakal terbabit dalam sebuah filem yang menceritakan tentang kehidupannya yang lalu sehingga bergelar penyanyi popular. "Mengikut perancangan dia akan mula menjalani penggambaran pada bulan hadapan, namun semuanya bergantung kepada jadualnya. Berkenaan tajuk pula kami masih belum menetapkannya lagi," jelasnya. Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0927&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm#ixzz2g2LUhb3w Hakcipta terpelihara