TV3, Nurul Syuhada mohon maaf Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA kamilah.mustapha@kosmo.com.my BINTULU yang juga bandar keempat terbesar di Sarawak berkembang pesat hasil pembangunan sektor minyak dan gas. KUALA LUMPUR – Stesen televisyen TV3 dan pengacara program Malaysia Hari Ini (MHI), Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd. Zin, 28, (gambar kecil) memohon maaf berhubung ulasan semasa siaran lintas langsung Perarakan Hari Kemerdekaan ke-55 pada Jumaat lalu berkenaan pemilihan lokasi sambutan Hari Malaysia di Bintulu, Sarawak yang dikatakan daif. TV3 membuat permohonan maaf dalam satu kenyataan di sini semalam sementara Nurul Syuhada pula menulisnya dalam laman sosial Facebook beliau setelah menerima kritikan serta gesaan pelbagai pihak supaya berbuat demikian. “Sebagai seorang anak jati Malaysia, saya tidak pernah dan tidak akan kritik tanah air saya atau mana-mana wilayah negara ini dan kepada orang-orang yang tersinggung, saya minta maaf,” kata Nurul Syuhada dalam laman web sosial itu semalam. Beliau turut memetik kembali ulasan yang dibuatnya dalam program itu yang menimbulkan rasa kurang senang terutama masyarakat di Bintulu yang berbunyi: “Kawasan luar bandar yang daif tapi telah melalui pelan-pelan transformasi yang ingin disampaikan...berjaya dan terus mengangkat bandar itu (Bintulu) sendiri.” Selain memohon maaf, Nurul Syuhada yang dikecam dalam Facebook sempat mengingatkan kepada mana-mana pihak yang menyemai perasaan kebencian terhadapnya bahawa mereka akan diadili oleh Tuhan. Sementara itu, Unit Perhubungan Awam TV3 dalam kenyataannya mereka semalam menyatakan, isu itu timbul ekoran salah tafsir sesetengah pihak mengenai ulasan pengacara MHI itu. “Bagi pihak TV3, kami ingin menerangkan bahawa terdapat salah tafsiran terhadap penyampaian oleh pengacara kami, Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd. Zin ketika merujuk kepada pemilihan Bintulu sebagai lokasi sambutan Hari Malaysia tahun ini semasa siaran lintas langsung Perarakan Hari Kemerdekaan ke-55 pada Jumaat lepas. “Kami meminta maaf jika salah tafsir ini menyinggung mana-mana pihak. Nurul Syuhada dan TV3 tidak mempunyai sebarang niat untuk memburukkan bandar tersebut,” jelasnya. Sejurus selepas program tersebut, pelbagai pihak termasuk Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak menggesa Nurul meminta maaf secara terbuka atas kenyataannya semasa lintas langsung itu. Naib Ketua Pemuda PBB, Pandi Suhaili dilaporkan berkata, Nurul Syuhada kurang arif mengenai Bintulu sehingga menyebabkan beliau beranggapan bahawa bandar itu sebagai daif walhal ia antara penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menerusi hasil gas dan minyak. Bintulu bakal menjadi tuan rumah perayaan sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan pada 16 September ini.
Monday, September 03, 2012
0 Program Datuk Bandar di Palestin
Gadis 16 tahun jadi datuk bandar dua bulan ALLAR - Seorang gadis berusia 16 tahun, Bashaer Othman (gambar kecil) kembali semula ke sekolah selepas beliau menamatkan perkhidmatan sebagai datuk bandar selama dua bulan di sebuah bandar kecil di Tebing Barat, Palestin. Beliau menjadi Datuk Bandar Allar yang mempunyai 8,000 penduduk. Beliau menjadi datuk bandar pada 2 Julai lalu semasa usianya 15 tahun. Bashaer menjadi datuk bandar menerusi program projek parlimen muda yang dikendalikan Forum Pemuda Sharek. Tujuan program itu diperkenalkan adalah untuk melibatkan golongan muda dalam pentadbiran tempatan Palestin. "Saya datang ke pejabat pada setiap pukul 8 pagi dan meneliti banyak fail, menandatangani dokumen selain bertemu dengan anggota-anggota majlis perbandaran. "Saya juga melakukan banyak lawatan untuk menyelesaikan masalah dengan segera," katanya. Menurutnya, dia berasa takut memegang tanggungjawab yang terlalu banyak namun menganggapnya sebagai satu cabaran. Selepas enam jam bekerja, Bashaer pulang ke rumah dan melakukan rutin harian sebagai seorang gadis termasuk bermain permainan komputer. Terdapat 11 anggota majlis perbandaran, enam daripadanya dari parti Fatah, lima lagi mewakili pergerakan Hamas yang menguasai Genting Gaza. Menurut Bashaer, semua anggota majlis tersebut memberikan sokongan kepadanya. Gadis itu diberikan kuasa penuh sebagai datuk bandar. Bagaimanapun, dia hanya dibenarkan utnuk menandatangani kelulusan kewangan setakat AS$75 (RM52.92). Menurutnya, dia berharap akan menjadi datuk bandar sekali lagi. - AFP
Saturday, September 01, 2012
0 Masuk Universiti adalah permulaan menimba banyak ilmu yang relevan
Masuk universiti bukan kemuncak pelajaran 01/09/2012 - 05:32:40 AM Ikbal Salam Cetak Emel Kawan Sejak beberapa tahun lalu ramai sahabat berstatus majikan mengeluh mengenai kualiti graduan Melayu yang menghadiri temu duga. Ramai yang tidak menggambarkan mereka lulusan institusi pengajian tinggi apabila gagal menjawab soalan pengetahuan am yang secara logiknya patut diketahui graduan. Sudah menjadi kelaziman dalam sesi temuduga hari ini seorang graduan tidak mampu menyampaikan hujah dan idea secara kritikal dan bernas. Malah ada yang tidak mampu menyatakan nama tokoh negara hingga menimbulkan kecurigaan terhadap keaslian ijazah yang dibawa. Akibat tiada pilihan, ramai majikan menutup sebelah mata dan berharap graduan berkenaan menjadi lebih matang dan menunjukkan kebolehan sebenar apabila diambil bekerja. Malangnya, kebolehan yang ditunggu-tunggu tidak juga muncul dan tahap prestasi kerja mereka hanyalah setakat memenuhkan bilangan kakitangan. Ramai juga graduan Melayu yang tidak mampu mendapatkan kerja yang sesuai dengan kelulusan kerana tidak langsung mempunyai keyakinan diri dan tiada kemahiran tambahan. Sedih bercampur geram apabila melihat bakat muda ini hanya mampu menjaja ijazah dan diploma ke sana sini sebelum akhirnya menjadi pembantu jualan langsung atau memenuhi jawatan tidak mencabar yang memerlukan kelulusan sijil persekolahan saja. Kejayaan masuk universiti bukan tanda mereka sudah menjadi pelajar cemerlang, sebaliknya ia permulaan kepada usaha menimba sebanyak mungkin ilmu yang relevan dengan kehidupan masa depan” Lemah di alam universiti Sejak kecil lagi mereka menyatakan cita-cita ke menara gading yang menjadi matlamat akhir pemburuan ilmu mereka. Mereka mengharungi persekolahan dengan bersungguh-sungguh dan melepasi satu persatu sistem peperiksaan perdana. Setiap tahun semakin ramai yang memperoleh banyak atau semua A untuk subjek yang diambil. Akhirnya mereka berjaya menempatkan diri di universiti yang semakin banyak pada hari ini. Malangnya pendaftaran sebagai seorang pelajar universiti yang sepatutnya menjadi titik mula kepada pembentukan seorang profesional tidak berjaya diterjemahkan kepada kehidupan mahasiswa dan mahasiswi ini. Ini disebabkan persepsi sebahagian mereka yang menganggap memasuki universiti adalah kemuncak kehidupan mereka mencari ilmu. Oleh kerana kemuncaknya sudah diperoleh, maka ramai pelajar Melayu yang dahulunya begitu aktif di alam persekolahan menjadi kian lemah di alam universiti dan seolah-olah hilang minat meneroka dan menguasai cabang ilmu yang luas. Lebih parah lagi ada yang mengambil kursus tidak lagi menjadi keperluan pasaran pekerjaan. Pemikiran mereka seperti mentaliti sebahagian ahli sukan kita yang menganggap penyertaan dalam Sukan Olimpik adalah kejayaan mutlak. Sebab itulah apabila ditemu ramah media Malaysia, sebahagian mereka langsung tidak menunjukkan rasa bersalah akan kekalahan mereka, seolah-olah mereka sekadar penonton temasya sukan itu. Ini berbeza dengan ahli sukan negara lain yang menganggap hanya pencapaian pingat emas boleh dianggap sebagai tercapainya kemuncak matlamat. Graduan biasa Kini ramai anak muda Melayu yang berjaya ke universiti sehingga dianggap perkara biasa. Keadaan ini berbeza berbanding zaman ibu bapa kita dulu hinggakan satu kampung berkenduri meraikan kejayaan anak jiran masuk universiti. Gambaran penghormatan anak muda dulu yang berjaya masuk universiti adalah seperti diberikan kepada Datuk Lee Chong Wei ketika kembali dari temasya Olimpik London baru-baru ini. Tuntutan terhadap graduan kini sudah jauh berbeza. Kejayaan masuk universiti bukan tanda mereka sudah menjadi pelajar cemerlang, sebaliknya ia permulaan kepada usaha menimba sebanyak mungkin ilmu yang relevan dengan kehidupan masa depan. Mereka hendaklah menjadikan universiti sebagai platform menanamkan keyakinan dan melatih ketrampilan diri. Amat mendukacitakan apabila sebahagian graduan Melayu menjadi begitu kaku dan hambar hinggakan terlalu bergantung kepada pasaran kerja ditawarkan institusi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan. Untuk berjaya dalam kehidupan hari ini, graduan Melayu perlu mempunyai selera untuk menjadi individu yang hebat. Malangnya, ramai yang hanya mampu menjadi graduan biasa hinggakan ke sesi temu duga terpaksa ditemani ibu bapa lantaran tiada keyakinan diri. Tiada apa boleh dibanggakan dalam resume mereka jika dibandingkan dengan graduan bangsa lain yang hadir dengan keyakinan diri untuk berhujah dan kemampuan menguasai beberapa bahasa. Selepas melalui proses memperkukuh ketahanan diri Ramadan lalu, pelajar Melayu hendaklah dengan serius merenung sejenak arah tuju masa depan mereka dan bertindak bagi memperbaiki tahap pencapaian orang Melayu dalam negara kita. Kadang-kadang apabila kita terlalu beralah dan perlahan, kita juga yang akhirnya dipinggir dan ditinggalkan. Anak muda Melayu hari ini adalah pewaris bagi menerus dan meningkatkan kedudukan agama Islam dan orang Melayu. Tidak mengapalah menjadi Melayu yang kiasu asalkan sikap itu tidak pula menindas orang lain.
Friday, August 31, 2012
0 Bisnes tanah oleh taikon Sime Darby
Rancang tambah bank tanah Mohd. Bakke Salleh (tengah) menjawab soalan pemberita mengenai prestasi kewangan Sime Darby Bhd. di Kuala Lumpur, semalam. Hadir pada majlis itu Ketua Pegawai Operasi, Datuk Abd. Wahab Maskan dan Ketua Pegawai Kewangan, Tong Poh Keow. KUALA LUMPUR 29 Ogos - Sime Darby Bhd. (Sime Darby) bercadang menggandakan bank tanahnya terutama untuk bahagian perladangannya menjelang 2016. Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Mohd. Bakke Salleh berkata, pihaknya sedang meninjau peluang untuk menambah bank tanah terutama di Indonesia dan Afrika. ''Cadangan peningkatan bank tanah itu adalah sangat ketara dan kami sedang bekerja keras untuk memastikan ia dapat dicapai. ''Kumpulan meletakkan sasaran menggandakan bank tanah tersebut iaitu pada 2015 atau 2016,'' katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengumumkan prestasi kewangan Sime Darby bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2012. Pada masa ini, Sime Darby mempunyai tanah perladangan seluas 522,000 hektar. Tambah Mohd. Bakke, pihaknya turut menyasarkan harga minyak sawit mentah berada antara RM2,950 hingga RM3,000 setan metrik pada tahun ini. Sementara itu, ketika ditanya mengenai cadangan penyenaraian bahagian-bahagian di bawah Kumpulan Sime Darby, Mohd. Bakke berkata, beliau tidak menolak kemungkinan untuk melaksanakan aktiviti itu. ''Kami melihat pelbagai bahagian untuk melaksanakan aktiviti perniagaan tetapi belum ada rancangan khas mengenainya. ''Ia tidak akan dilakukan dalam masa terdekat ini dan sebarang pengumuman akan dibuat bila tiba masanya,'' jelasnya.
0 Malaysia dimata pelancong luar negara?
11.6 juta pelancong lawat Malaysia hingga Jun PUTRAJAYA 30 Ogos - Jumlah kedatangan pelancong dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini menunjukkan peningkatan sebanyak 2.4 peratus dengan rekod seramai 11.6 juta orang berbanding 11.3 juta bagi tempoh sama tahun lepas. Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, peningkatan itu secara tidak langsung memperlihatkan pertambahan kepada jumlah pendapatan negara sebanyak empat peratus dengan rekod RM26.8 bilion pada tahun ini berbanding RM25.7 bilion sebelumnya. "Antara pelancong asing yang merekodkan peningkatan itu adalah Filipina (45.3 peratus), diikuti China (34.2 peratus), Jepun (32.5 peratus), Indonesia (20 peratus), India (6.9 peratus) dan United Kingdom (5.9 peratus). "Turut memperlihatkan peningkatan luar biasa adalah dari negara-negara jauh seperti Oman (33.2 peratus), Rusia (28.2 peratus), Perancis (20.6 peratus), Amerika Syarikat (AS) (18.9 peratus), Korea Selatan (18 peratus), Kuwait (17.4 peratus) dan Denmark (15.7 peratus)," katanya.
0 Sistem dua sijil untuk lepasan SPM: Survival selepas SPM
Semua pelajar tingkatan satu didedah latihan kemahiran Oleh SUHANA MD. YUSOP suhana.yusop@kosmo.com.my KUALA LUMPUR – Bermula tahun depan, sistem pendidikan negara akan melalui satu perubahan apabila semua pelajar tingkatan satu di negara ini akan didedahkan dengan latihan kemahiran sehingga tingkatan lima. Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri S. Subramaniam memberitahu, latihan kemahiran tersebut adalah bertujuan menangani isu pelajar yang tidak berminat dengan bidang akademik tetapi cenderung dengan bidang kemahiran. Menurutnya, langkah untuk merubah sistem pendidikan negara itu adalah usaha besar Kementerian Pelajaran dalam memastikan golongan tersebut tidak tercicir dan mampu berdikari biarpun tidak cemerlang dalam bidang akademik selain boleh menyumbang kepada pembangunan negara. “Kesemua mereka ini apabila tamat tingkatan lima akan mendapat dua sijil iaitu Sijil Kemahiran Malaysia dan Sijil Pelajaran Malaysia yang mana boleh digunakan untuk masa depan mereka. “Bagi yang tidak berminat dengan akademik, mereka boleh gunakan sijil kemahiran tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan cek bernilai RM1.5 juta kepada Yayasan MySkills Malaysia di sini semalam. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Yayasan MySkills Malaysia, Dr. Shanmugasiva. Subramaniam menjelaskan, latihan kemahiran yang diberikan adalah berasaskan kepada bidang yang diperlukan oleh pasaran.
0 Apa ertinya bendera negara bagi anda? Seeloknya bukan lambang ideologi politik pemerintah
Dirgahayu Malaysiaku! Saya mencemburui rakyat Indonesia 30/08/2012 - 11:05:09 AM Johan Jaafar Cetak Emel Kawan Patriotik kibar bendera sambut merdeka Maafkan saya. Saya mencemburui Indonesia dan rakyatnya. Mereka juga menyambut hari kemerdekaan pada Ogos, 14 hari lebih awal daripada kita, pada 17 haribulan. Indonesia merdeka 12 tahun terdahulu daripada perisytiharan kemerdekaan kita. Mereka memperoleh kemerdekaan dengan darah, keringat dan air mata. Bukan sedikit pejuang kebangsaan yang tumpas bagi memungkinkan perisytiharan yang dibuat di Jalan Pegangsaan Timur 56, Cikini, Jakarta Tengah oleh Sukarno dan Muhammad Hatta menjadi kenyataan. Pada setiap hari kemerdekaan, rakyat Indonesia tidak pernah melihat siapa di tampuk pemerintahan atau parti mana yang menguasai negara” Pada setiap hari kemerdekaan, rakyat Indonesia tidak pernah melihat siapa di tampuk pemerintahan atau parti mana yang menguasai negara. Mereka melihat kemerdekaan sebagai simbol perpaduan, penyatuan dan ‘kebersamaan’ (istilah mereka). Itu bukan bermakna mereka tidak bercakaran atau berbalah cuma mereka sama-sama menghargai hari kemerdekaan. Lebih penting lagi, bagi mereka ini masa terbaik memperaga identiti dan semangat patriotisme yang sebenar. Bagi rata-rata rakyat Indonesia, sehari dalam setahun, mereka menunjang kebanggaan sebagai rakyat yang berjati diri, berwibawa dan bermaruah. Mereka tidak perlu dipujuk, dipinta apa lagi dipaksa untuk mengibarkan bendera kebanggaan mereka - Bendera Negara Kesatuan Republik Indonesia yang juga dikenali sebagai Sang Saka Merah Putih. Setiap rakyat Indonesia tahu mengapa warna merah putih dipilih. Bukan secara kebetulan sebenarnya bahawa warna lambang kebesaran kerajaan Kediri, Majapahit, Batak malah Bugis satu waktu dulu juga merah putih. Merah bererti berani dan putih tanda suci. Rakyat Indonesia tidak sahaja mengibarkan bendera pada hari merdeka tetapi mencorakkan warna merah putih dalam pelbagai bentuk yang kreatif. Maka itu setiap 17 Ogos, merah putih mewarnai seluruh Indonesia - menghiasi ruang depan rumah, tiang hingga kerusi dan meja. Malah enjin carian Google Indonesia memastikan logonya berwarna merah putih, sewarna dengan bendera Indonesia pada musim kemerdekaan. Apakah makna sebuah bendera bagi Indonesia? Segala-galanya. Malah apabila segelintir rakyat Indonesia melepaskan geram pada Malaysia mereka mewujudkan Kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (ringkasnya Bendera). Kumpulan inilah yang mengisytiharkan perang terhadap Malaysia. Bendera Malaysia, Jalur Gemilang juga dijadikan bahan cemuhan dan penghinaan beberapa kumpulan pembenci Malaysia yang lain. Simbolisme bendera dan kemerdekaan amat serius bagi rakyat Indonesia. Mereka sehati, sejiwa, sederap. Mereka melihat bendera dan hari merdeka sebagai cerminan peribadi, wibawa dan maruah diri. Perayaan kemerdekaan Indonesia ialah hari bangga, hari bendera dan hari memperaga ke-Indonesia-an yang sebenar. Saya tidak pernah mendengar pujukan apa lagi desakan agar rakyat Indonesia mengibarkan bendera kebanggaan mereka pada hari merdeka. Di Malaysia kempen ‘Kibarkan Jalur Gemilang’ dibuat selama sebulan, bagi mengajak rakyat melakukannya. Teriakan itu berkumandang daripada media elektronik hingga ke media cetak dan dilaungkan oleh pimpinan politik pelbagai peringkat. Mengapa sampai begitu? Apakah rakyat kita tidak peduli, degil atau sememangnya tidak patriotik? Alasan diberikan ialah patriotisme tidak boleh diukur dari sekadar memperagakan bendera sahaja. Maka itu banyak premis perniagaan dan pejabat yang melakukannya akibat peraturan dan bukan kerelaan. Di jalan raya, bendera kecil di kenderaan juga tidak banyak kedapatan. Mungkin laluan pembinaan negara bangsa Indonesia berbeza dengan kita. Sebenarnya tidaklah menghairankan dek kompleksiti rakyatnya yang berselerak di 100,000 pulau memerlukan simbol perpaduan yang kukuh. Atau mungkin juga pemerintahan kuku besi pada peringkat awalnya. Rakyat yang dibezakan oleh ribuan bahasa, adat resam dan kepercayaan memerlukan Pancasila sebagai pengikat. Tiang seri tegak berlimanya ialah kebangsaan, internasionalisme, muafakat, kesejahteraan dan ketuhanan. Kita pula mewujudkan Rukun Negara hanya selepas kita berasakan keperluan menyatukan rakyat selepas Peristiwa 13 Mei 1969. Mungkin kita tidak melalui jalan yang mereka lalui. Mereka menumpukan pada pembentukan citra, akal budi dan kepatuhan bersama. Mereka tidak lebih maju daripada kita tetapi kita juga tidaklah begitu berjaya membina jati diri Malaysia sebenar. Mereka mempunyai kelemahan, begitu juga kita. Kita bercakap mengenai ‘1Malaysia’ hanya selepas lebih 50 tahun merdeka. Siapapun mereka, di manapun mereka dan dalam konteks apapun, identiti ke-Indonesia-an mereka unik dan kukuh. Apakah yang menyebabkan kita kurang menghormati simbol seperti bendera di negara ini? Keyakinan tinggi? Kemewahan? Ketaksuban pada hal-hal kebendaan? Atau sememangnya kita tidak peduli? Atau apakah kerana kita terlalu berpecah-belah dan dikelabui oleh kebencian sesama sendiri dek perbezaan fahaman politik? Maka itu kita menganggap apa sahaja usaha yang dibuat oleh kerajaan yang memerintah - walaupun sekadar mengibarkan bendera dan merayakan hari kemerdekaan - tidak betul dan bermotif buruk? Tidak bolehkah sekali dalam setahun, kita menghargai tarikh keramat yang telah mencorakkan destini negara dan rakyatnya? Dirgahayu Malaysiaku!







