.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Friday, August 31, 2012

0 Apa ertinya bendera negara bagi anda? Seeloknya bukan lambang ideologi politik pemerintah

Dirgahayu Malaysiaku! Saya mencemburui rakyat Indonesia 30/08/2012 - 11:05:09 AM Johan Jaafar Cetak Emel Kawan Patriotik kibar bendera sambut merdeka Maafkan saya. Saya mencemburui Indonesia dan rakyatnya. Mereka juga menyambut hari kemerdekaan pada Ogos, 14 hari lebih awal daripada kita, pada 17 haribulan. Indonesia merdeka 12 tahun terdahulu daripada perisytiharan kemerdekaan kita. Mereka memperoleh kemerdekaan dengan darah, keringat dan air mata. Bukan sedikit pejuang kebangsaan yang tumpas bagi memungkinkan perisytiharan yang dibuat di Jalan Pegangsaan Timur 56, Cikini, Jakarta Tengah oleh Sukarno dan Muhammad Hatta menjadi kenyataan. Pada setiap hari kemerdekaan, rakyat Indonesia tidak pernah melihat siapa di tampuk pemerintahan atau parti mana yang menguasai negara” Pada setiap hari kemerdekaan, rakyat Indonesia tidak pernah melihat siapa di tampuk pemerintahan atau parti mana yang menguasai negara. Mereka melihat kemerdekaan sebagai simbol perpaduan, penyatuan dan ‘kebersamaan’ (istilah mereka). Itu bukan bermakna mereka tidak bercakaran atau berbalah cuma mereka sama-sama menghargai hari kemerdekaan. Lebih penting lagi, bagi mereka ini masa terbaik memperaga identiti dan semangat patriotisme yang sebenar. Bagi rata-rata rakyat Indonesia, sehari dalam setahun, mereka menunjang kebanggaan sebagai rakyat yang berjati diri, berwibawa dan bermaruah. Mereka tidak perlu dipujuk, dipinta apa lagi dipaksa untuk mengibarkan bendera kebanggaan mereka - Bendera Negara Kesatuan Republik Indonesia yang juga dikenali sebagai Sang Saka Merah Putih. Setiap rakyat Indonesia tahu mengapa warna merah putih dipilih. Bukan secara kebetulan sebenarnya bahawa warna lambang kebesaran kerajaan Kediri, Majapahit, Batak malah Bugis satu waktu dulu juga merah putih. Merah bererti berani dan putih tanda suci. Rakyat Indonesia tidak sahaja mengibarkan bendera pada hari merdeka tetapi mencorakkan warna merah putih dalam pelbagai bentuk yang kreatif. Maka itu setiap 17 Ogos, merah putih mewarnai seluruh Indonesia - menghiasi ruang depan rumah, tiang hingga kerusi dan meja. Malah enjin carian Google Indonesia memastikan logonya berwarna merah putih, sewarna dengan bendera Indonesia pada musim kemerdekaan. Apakah makna sebuah bendera bagi Indonesia? Segala-galanya. Malah apabila segelintir rakyat Indonesia melepaskan geram pada Malaysia mereka mewujudkan Kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (ringkasnya Bendera). Kumpulan inilah yang mengisytiharkan perang terhadap Malaysia. Bendera Malaysia, Jalur Gemilang juga dijadikan bahan cemuhan dan penghinaan beberapa kumpulan pembenci Malaysia yang lain. Simbolisme bendera dan kemerdekaan amat serius bagi rakyat Indonesia. Mereka sehati, sejiwa, sederap. Mereka melihat bendera dan hari merdeka sebagai cerminan peribadi, wibawa dan maruah diri. Perayaan kemerdekaan Indonesia ialah hari bangga, hari bendera dan hari memperaga ke-Indonesia-an yang sebenar. Saya tidak pernah mendengar pujukan apa lagi desakan agar rakyat Indonesia mengibarkan bendera kebanggaan mereka pada hari merdeka. Di Malaysia kempen ‘Kibarkan Jalur Gemilang’ dibuat selama sebulan, bagi mengajak rakyat melakukannya. Teriakan itu berkumandang daripada media elektronik hingga ke media cetak dan dilaungkan oleh pimpinan politik pelbagai peringkat. Mengapa sampai begitu? Apakah rakyat kita tidak peduli, degil atau sememangnya tidak patriotik? Alasan diberikan ialah patriotisme tidak boleh diukur dari sekadar memperagakan bendera sahaja. Maka itu banyak premis perniagaan dan pejabat yang melakukannya akibat peraturan dan bukan kerelaan. Di jalan raya, bendera kecil di kenderaan juga tidak banyak kedapatan. Mungkin laluan pembinaan negara bangsa Indonesia berbeza dengan kita. Sebenarnya tidaklah menghairankan dek kompleksiti rakyatnya yang berselerak di 100,000 pulau memerlukan simbol perpaduan yang kukuh. Atau mungkin juga pemerintahan kuku besi pada peringkat awalnya. Rakyat yang dibezakan oleh ribuan bahasa, adat resam dan kepercayaan memerlukan Pancasila sebagai pengikat. Tiang seri tegak berlimanya ialah kebangsaan, internasionalisme, muafakat, kesejahteraan dan ketuhanan. Kita pula mewujudkan Rukun Negara hanya selepas kita berasakan keperluan menyatukan rakyat selepas Peristiwa 13 Mei 1969. Mungkin kita tidak melalui jalan yang mereka lalui. Mereka menumpukan pada pembentukan citra, akal budi dan kepatuhan bersama. Mereka tidak lebih maju daripada kita tetapi kita juga tidaklah begitu berjaya membina jati diri Malaysia sebenar. Mereka mempunyai kelemahan, begitu juga kita. Kita bercakap mengenai ‘1Malaysia’ hanya selepas lebih 50 tahun merdeka. Siapapun mereka, di manapun mereka dan dalam konteks apapun, identiti ke-Indonesia-an mereka unik dan kukuh. Apakah yang menyebabkan kita kurang menghormati simbol seperti bendera di negara ini? Keyakinan tinggi? Kemewahan? Ketaksuban pada hal-hal kebendaan? Atau sememangnya kita tidak peduli? Atau apakah kerana kita terlalu berpecah-belah dan dikelabui oleh kebencian sesama sendiri dek perbezaan fahaman politik? Maka itu kita menganggap apa sahaja usaha yang dibuat oleh kerajaan yang memerintah - walaupun sekadar mengibarkan bendera dan merayakan hari kemerdekaan - tidak betul dan bermotif buruk? Tidak bolehkah sekali dalam setahun, kita menghargai tarikh keramat yang telah mencorakkan destini negara dan rakyatnya? Dirgahayu Malaysiaku!

0 comments: