.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Sunday, April 01, 2012

0 Lim Kok Wing buat untuk nama Malaysia, demi Malaysia dan jenama Malaysia

Lim Kok Wing tidak pernah jemu

Oleh NORLAILI ABDUL RAHMAN
bisnes@utusan.com.my

TIDAK pernah terlintas di fikiran pengasas Lim Kok Wing University of Creative Technology (LUCT), Tan Sri Lim Kok Wing bahawa namanya akan menjadi sebutan di dunia pendidikan tempatan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Malah, bagi sesetengah negara di benua Afrika, LUCT dan Kok Wing bagaikan satu talian hayat kepada mereka untuk mendidik anak bangsa dan seterusnya menjadi tenaga penting dalam memajukan negara tersebut.

Sedangkan menurut Kok Wing ketika mula-mula menubuhkan LUCT 22 tahun lalu, niatnya cuma satu iaitu untuk menyediakan rakyat Malaysia, terutamanya golongan muda dengan ilmu dan kemahiran yang mampu memenuhi permintaan industri di negara ini.

Mempunyai penampilan dan gaya yang unik, Kok Wing, 65 tahun tidak pernah merasa lelah untuk bekerja dan tidak pernah terfikir untuk berhenti melebarkan sayap LUCT ke seluruh dunia.

"Saya gembira melakukan perkara ini kerana ia sesuatu yang saya suka. Apabila anda menyukai apa yang ada lakukan, anda tidak akan merasa seperti sedang bekerja.

"Sebaliknya, ia akan terasa seperti anda sedang melakukan sesuatu hobi sahaja di masa lapang. Saya tidak pernah rasa penat dan jemu dengan LUCT," katanya kepada Utusan Malaysia.

Berbicara lanjut dengan lelaki yang meminati dunia seni kreatif ini, jelas tergambar semangat cintakan tanah air yang dizahirkan pada setiap patah kata-katanya.

"Ramai yang terlalu memikirkan tentang keuntungan, sedangkan keuntungan dan kejayaan boleh ditafsir dengan pelbagai cara dan bukannya melalui wang ringgit sahaja.

"Apabila saya menubuhkan LUCT yang pada asalnya adalah sebuah kolej yang kecil, saya lakukannya kerana mahu anak-anak Malaysia mempunyai tempat untuk mengembangkan bakat mereka seiring dengan permintaan pasaran.

"Dan apabila LUCT mula berkembang ke luar negara, saya sebenarnya sedang membawa nama Malaysia bersama. Apa yang saya lakukan di luar Malaysia, bukan kerana LUCT sahaja sebaliknya atas nama negara, " katanya.

Menurut Kok Wing, sambutan yang diterima dan ucapan terima kasih oleh bekas-bekas graduan dan kerajaan dari negara-negara yang telah mendapat manfaat daripada penubuhan LUCT membuatkan beliau sangat teruja dan bangga.

"Saya bangga apabila orang mengenali negara ini dan menghormati kaedah pembelajaran yang dihasilkan dari sini dan apa yang penting, saya amat bangga apabila terdapat negara-negara terutama di benua Afrika melihat LUCT dan Malaysia bagaikan satu cahaya yang bakal membawa mereka keluar dari kemiskinan dan kemunduran.

"Sebagai seorang individu, saya sudah lengkap dan tidak perlukan apa-apa lagi tetapi kerana cintakan negara dan mahu Malaysia terus terkenal di mata dunia, saya tetap akan terus berusaha," ujarnya dengan penuh semangat.

Menyentuh mengenai aktiviti masa lapang, Kok Wing berkata, beliau tidak banyak mempunyai masa lapang kerana pekerjaan yang dilakukan seharian sudah dianggap sebagai hobi.

Namun apabila berkunjung ke sesuatu tempat, beliau tidak akan melepaskan peluang untuk membeli kraftangan dan barangan antik dan unik sebagai koleksi.

0 Peluang menang loteri termahal dunia ialah 1:176 juta kali


Loteri RM1.95 bilion sudah ada pemenang

ORANG RAMAI beratur untuk membeli tiket loteri Mega Millions di sebuah kedai serbaguna di Los Angeles kelmarin.

NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) – Hadiah loteri terbesar di dunia berjumlah AS$640 juta (RM1.95 bilion) dilaporkan telah dimenangi oleh sekurang-kurangnya seorang pemenang semalam dengan media tempatan menyatakan, tiket bertuah itu dijual di negeri Maryland.

Nombor kemenangan tersebut - 2, 4, 23, 38, 46 dan 23 diumumkan di sini pada pukul 11 pagi waktu AS.

Namun, firma yang mengendalikan loteri berkenaan, Mega Millions masih belum membuat pengumuman rasmi mengenainya.

Saluran televisyen AS, MSNBC memetik kenyataan seorang pegawai loteri di negeri Maryland apabila melaporkan berhubung kemenangan tersebut.

Akhbar Washington Post yang menggunakan sumber sama, melaporkan tiket kemenangan itu dijual di daerah Baltimore.

Bagaimanapun, masih belum jelas setakat ini sama ada tiket loteri di Maryland itu merupakan satu-satunya tiket kemenangan loteri berkenaan.

Beberapa pakar menyatakan, ia mungkin mengambil berhari-hari malah, hingga beberapa minggu sebelum seseorang tampil untuk menuntut hadiah cepumas itu ekoran pemenang biasanya akan berbincang mengenai aspek perundangan dengan peguam mereka sebelum mengambil hadiah.

Sebanyak 176 juta tiket atau lebih 2 tiket loteri berkenaan bagi setiap warga AS telah dijual di kedai serbaguna dan kios di seluruh negara.

Peluang untuk memenangi loteri berkenaan pula ialah satu dalam 176 juta.

“Saya tahu peluang untuk menang tipis tetapi jika saya menang, saya akan berpindah ke New Zealand kerana terdapat lebih banyak kambing daripada manusia di negara itu. Terlalu ramai orang di New York,” kata seorang imigran Romania, Cosmin Barbos, 37 selepas membeli tiket loteri Mega Millions.

Satu tiket loteri itu berharga AS$1 (RM3.06)

Pemenang boleh memilih untuk mengambil wang tunai serta-merta atau menerima wang tersebut menerusi 26 pembayaran tahunan.

Hadiah cepumas tersebut akan ditolak sejumlah cukai negeri dan persekutuan AS.

Cepumas berkenaan meningkat kepada AS$640 juta selepas tiada pemenang untuk loteri berkenaan sejak cabutan pada 24 Januari lalu.

Mengulas mengenai loteri tersebut, akhbar tempatan Kansas City Star menyatakan, cepumas itu mencukupi untuk membeli sebuah pesawat Boeing 787 Dreamliner bersama sebuah pulau persendirian di Thailand.

Namun, beberapa akhbar lain pula melaporkan tentang nasib malang yang menimpa empat pemenang loteri cepumas di AS sebelum ini.

Ia termasuk kisah Jack Whittaker yang memenangi AS$315 juta (RM964.5 juta ) pada 2002 tetapi wang kemenangannya tidak kekal lama akibat dicuri dan sifatnya yang gemar berbelanja mewah. – AFP

0 Merai anugerah tertinggi antarabangsa selepas peristiwa isu satu lagu di konsert di Malaysia?


Agnes kalahkan Justin Bieber

JUSTIN BIEBER

MENDAPAT jolokan 'The supertalented Agnes Monica' dalam kalangan media Indonesia, penyanyi lagu Matahariku itu benar-benar mahu membuktikan kepada para peminatnya bahawa dia serius mahu menawan pentas antarabangsa.

Akhir Februari lalu, namanya tercatat sebagai Penyanyi Terbaik untuk acara Shorty Awards 2012. Namanya juga tercalon dalam kategori Persembahan Busana Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Muzik Terbaik dan Selebriti Terbaik.

Bertanding dengan bintang-bintang popular seperti Justin Bieber, Greyson Chance dan Lady GaGa, Agnes bagaimanapun berjaya merangkul hadiah penghargaan untuk Artis Paling Popular berdasarkan undian.

"Saya ucap syukur kepada tuhan atas kemenangan ini. Saya dari Indonesia. Saya tidak pasti sama ada kalian semua tahu atau tidak, tetapi orang-orang dari negara sedang membangun seperti saya, pencapaian ini sangat besar maknanya," katanya ketika menerima trofi pada majlis yang berlangsung awal minggu lalu di New York, Amerika Syarikat itu.

Thursday, March 29, 2012

0 Kalau tidak sehebat Jamal Abdilah dan M Nasir, sorry to say, banyaklah berlatih dulu!

Industri kita banyak sampah

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

USAHA Zainal Abidin memupuk kecintaan terhadap alam sekitar dalam kalangan peminat dan masyarakat bukan sedikit. Menerusi lagu Hijau lebih 20 tahun lalu, yang kini masih ‘hijau’ pada deria pendengaran kita hinggalah yang terbaru, Alam ciptaan sepenuhnya oleh Ajai.

Bagi Zainal, 53, itu antara sumbangannya sebagai penyanyi kepada komuniti selain menghiburkan mereka. Muziknya dijadikan kenderaan atau medium dalam usaha menyampaikan maklumat berkaitan khabar berita alam kita yang semakin menipis ozonnya.

Sebagaimana juga nipisnya industri muzik hari ini yang bukan saja disebabkan lanun cetak rompak, malah disokong oleh pelbagai faktor termasuk sikap seseorang artis itu sendiri terhadap karier yang diceburinya. Menurut Zainal, industri hiburan kita semakin banyak sampah yang mencemar nama baik bidang seni.

Penolong Pengarang Hiburan Harian Metro, ABIE ABDULLAH ada cerita lagi mengenai bintang ini ketika ditemui di The Andaman, A Luxury Collection Resort, Langkawi minggu lalu.
Click Here


RAP: Selepas Hijau, kini anda tampilkan Alam meneruskan kempen alam sekitar. Sejauh mana Alam kali ini?

Zainal: Kalau Hijau, ramai tertarik kepada dialek liriknya tetapi Alam lebih kepada irama di mana Ajai menggunakan muzik reggae yang mudah ditangkap halwa telinga. Daripada muzik inilah saya sampaikan liriknya mengenai alam sekitar. Mungkin Hijau tiada ganti tetapi Alam meneruskan usaha saya untuk kempen ini.

Bagaimanapun CD lagu ini hanya dijual di lokasi yang saya pergi saja, selain melalui muat turun. Sekarang caranya lain dan saya tiada cara lain untuk melawan cetak rompak. Kalau cetak rompak jual RM5, saya akan turunkan RM2.50.
Saya bukannya bergantung kepada jualan album tetapi album ini perlu diedarkan untuk kempen alam sekitar.

Terus terang, saya sebenarnya tidak mahu lagi buat album. Kali akhir, enam tahun lalu dengan Puteri. Kalau fikirkan, dalam usia begini saya rasa tua sangat untuk buat album (tergelak). Saya sudah 53 tahun, bila sampai usia 50-an di dalam industri hiburan, terasa nak tutup dan buka pintu kepada orang muda.

Namun muzik meneruskan ‘nafas’ saya, macam dilahirkan semula setiap kali ada album atau lagu baru. Muzik medium terbaik untuk kempen saya. Dengan adanya twitter, facebook dan Youtube, lebih mudah untuk kita promosi atau sampaikan apa yang ingin disampaikan seperti Legendary Concert yang sudah ada dua juta orang ‘bercakap’ pasal itu. Sama juga dengan single Kamu saya sebelum ini, letak saja 15 minit, sudah ada 500 ‘Likes’. Sekali gus ia menunjukkan peminat masih menyokong muzik saya. Tetapi kalau fikirkan untuk berhenti menyanyi, mungkin saya akan ‘sakit’. Apapun saya menyanyi kerana peminat yang sentiasa menyokong.


RAP: Tetapi ramai artis terutama yang baru, ‘sakit’ untuk bertahan seperti anda?

Zainal: Ramai artis baru yang silap definisi terhadap dunia artis itu sendiri. Artis adalah mereka yang mempunyai daya kreativiti yang tinggi baik menyanyi, berlakon mahupun melukis di mana bakatnya diperakui oleh masyarakat penonton. Kalau tiada kreativiti, mana kualitinya? Bukan hanya yang cantik, tampan atau kaya saja yang masuk TV tetapi yang buta macam Stevie Wonder.
Stevie menjual bakat, bukan rupa.

Satu lagi, apabila seseorang itu dipanggil profesional, penyanyi misalnya dan kalau mereka berbakat dalam nyanyian, mereka tidak akan berlakon atau mencuba bidang seni lain kerana ia menunjukkan mereka tidak mempunyai keyakinan terhadap bakat atau kebolehan yang mereka lakukan. Kalau tukar karier saja kepada pengacaraan atau apa saja, sekali gus ia menggambarkan karier mereka semakin menurun. Mereka tiada keyakinan kerana tidak fokus. Kenapa saya, Datuk Sheila Majid atau Datuk M Nasir boleh?


RAP: Bukankah hari ini, penonton hanya mahu lihat yang cantik saja?

Zainal: Itulah silapnya artis baru hari ini. Saya tidak nafikan ‘sex sell’ tetapi itu semua untuk keuntungan jangka masa pendek semata-mata. Kalau mereka boleh kaut untung atau buat duit dengan kecantikan tanpa bakat sejati, percayalah ia tidak lama di dalam industri. Memang masyarakat kita menerima tetapi itu dalam jangka masa pendek. Pun begitu, itu bukan salah masyarakat tetapi artis yang silap definisi. Kalau formula Siti Nurhaliza berjaya, maka ramailah nak jadi macam Siti. Salah! Mustahil untuk kita ada dua Siti, untuk ada dua Michael Jackson. Sepatutnya seseorang artis ada konsep seni masing-masing dan fokus serta persembahkan yang terbaik, barulah peminat ‘beli’.

Mereka yang jual muka tanpa bakat itu, tolong keluar dari industri. Jangan jadi sampah, rosakkan industri. Jika mereka tidak sehebat Jamal Abdillah, Amy Search umpamanya, lebih baik buat latihan banyak-banyak. Inilah masalahnya kalau mereka pilih untuk jangka pendek. Maaf cakap, kita makin banyak sampah!

Kita sudah lama tiada fenomena muzik seperti zaman RAP (Roslan Aziz’s Productions) di mana syarikat yang kecil tetapi mendominasi 30% pasaran muzik tempatan. Kalau ada pun fenomena, itupun ketika Mawi menang AF (Akademi Fantasia). Tetapi naiknya mendadak, hilangnya juga mendadak.


RAP: Habis itu, macam mana nak jadi penyanyi yang baik di Malaysia?

Zainal: Banyak caranya tetapi perlu tembusi pasaran Melayu, Cina dan India barulah ruangnya luas. Kenapa penyanyi atau komposer kita tidak buat lagu macam Bollywood, Afrika atau sekarang K-Pop yang berfokuskan global. Kita banyak buat untuk pasaran dalam negara saja, itupun hanya untuk satu kaum saja. Sudah lama sepatutnya kita memikirkan global dan dengan adanya kapasiti teknologi hari ini, ia lebih mudah sebagaimana Yuna. Kenapa Yuna diterima ramai? Sebabnya dia lain daripada yang lain dan dia fikir global.


RAP: Bagaimana pula dengan sesetengah artis yang suka menyalahkan media?

Zainal: Selama lebih 30 tahun menyanyi, sumbangan media bukan kecil anak. Bukan untuk mengangkat tetapi hakikatnya begitu. Cuma satu yang boleh saya katakan, sebagai selebriti, tidak perlu pun untuk menyembunyikan kisah peribadi macam kahwin dua, janda duda atau sebagainya. Lambat-laun orang akan tahu juga dan lebih teruk kalau membiarkan orang berteka-teki. Memang pengakuan benar itu suatu kesakitan tetapi ia lebih baik. Baik berterus terang dan sepanjang saya mengenali media, mereka antara manusia yang bertoleransi dan memahami kedudukan artis sebagaimana artis perlu memahami kerja wartawan.

Ada yang kata wartawan terlalu penyibuk tetapi memang tugasnya untuk mencari berita, sama juga dengan penyanyi yang kerjanya menyanyi. Takkan nak suruh penyanyi mencari berita?

Seperkara lagi mengenai artis yang mudah melenting dengan komen negatif. Selagi ia tidak mengaibkan, saya rasa tidak perlu untuk panas badan sebab kalau betul terima sajalah dengan terbuka demi kebaikan kita sendiri. Kalau tidak kena mengena dengan kita, kenapa perlu kita marah?


RAP: Betulkah wujud diskriminasi dalam kalangan pengendali stesen radio berkaitan penyiaran lagu?

Zainal: Kalau tengok senario hari ini, ada penyanyi baru atau belum dikenali mendapat peluang lagu disiarkan berlebihan di radio tetapi penyanyi lama seperti Jamal, Ramli Sarip misalnya, walaupun mempunyai lagu bagus, bagaimanapun kurang siarannya. Saya tidak kata ia membabitkan rasuah namun kemungkinan itu boleh berlaku. Lagipun isu rasuah dan radio ini sudah lama diperkatakan dan ia masih terus dibualkan. Saya tidak berani menuduh kerana kita tiada bukti kukuh, tetapi sepanjang 30 tahun menyanyi, pengalaman seumpama itu pernah saya lalui.

Rambut sama hitam, hati lain-lain. Sebenarnya kalau ia wujud, ia memang membimbangkan. Bukan bimbangkan periuk nasi saya tetapi industri muzik Malaysia secara amnya. Bagaimana muzik kita nak berkembang?

Tuesday, March 20, 2012

0 Menjadi sasterawan negara, dapat RM60K dan 1/2 j


Dr Kemala terima watikah malam ini
Oleh Adli Shahar
adli@bharian.com.my
2012/03/20
Anugerah Sastera Negara 2011

SASTERAWAN Negara (SN) Ke-11, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah atau lebih dikenali dengan nama pena Kemala, akan diraikan pada majlis pengurniaan Anugerah Sastera Negara (ASN) jam 8 malam ini di Hotel Istana, Kuala Lumpur.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam satu kenyataan berkata, Dr Kemala yang dinobatkan sebagai SN Ke-11 tahun lalu akan menerima Warkah Penghormatan Negara, di samping wang tunai RM60,000.
“Majlis pengurniaan terbabit akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan turut akan dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, merangkap Menteri Pelajaran,” kata DBP dalam kenyataan itu.

ASN dikurniakan kerajaan kepada sasterawan yang berkarya dalam bahasa Melayu dan memberi sumbangan cemerlang dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya bermutu tinggi.

Pemilihan Dr Kemala sebagai SN Ke-11 dilaksanakan panel pemilih yang dianggotai Muhyiddin sebagai Presiden; bekas Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz sebagai Timbalan Presiden; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Sallehuddin Abang Shokeran sebagai Setiausaha dan Zaiton Ajamain serta Mohamad Yussop Ishak sebagai Penolong Setiausaha.

Panel turut dianggotai Prof Datuk Dr Md Salleh Yaapar, Prof Datuk Dr Hashim Awang, Prof Emeritus Datuk Dr Asmah Omar, Prof Datuk Dr Zainal Kling, Prof Dr A Wahab Ali, Prof Dr Mohamad Mokhtar Abu Hassan, Prof Madya Datuk Dr Baharudin Ahmad, Prof Madya Dr Krishanan Maniam dan Dr Wong Soak Koon.
Dr Kemala yang juga penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 1986 dilahirkan di Gombak, Selangor pada 30 Januari 1941 akan turut menerima kemudahan 50,000 naskhahnya RM500,000 akan disebar luas ke sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.

Beliau juga akan memperoleh kemudahan perubatan percuma dalam wad kelas satu di hospital kerajaan, kemudahan dan keselesaan untuk kegiatan mencipta karya sastera serta penterjemahan karya yang sesuai ke dalam bahasa asing,” katanya.

Beliau pernah berkhidmat sebagai guru di Tanjung Karang dan Teluk Gong, Pelabuhan Klang selain menjadi penyunting di DBP, Pemangku Ketua Bahagian Sastera di Redaksi Dewan Sastera, Ketua Bahagian Kesusasteraan Bandingan dan editor jurnal puisi, Perisa.

Kumpulan puisinya, Meditasi diterbitkan pada 1972, Titir Zikir (1995) dan MIM (1999) pernah memenangi Hadiah Sastera Malaysia/Hadiah Sastera Perdana 1972, 1995 serta 1999.

Dr Kemala pernah menjadi Setiausaha Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dari 1982 hingga 1984, Presiden Persatuan Penulis Nasional (PENA) dari 1983 hingga 1986 dan Presiden Persatuan Bandingan Malaysia (PKBM) sejak 1993.

Monday, March 19, 2012

0 Demi jaga maruah keluarga, mangsa rogol bunuh diri - kesian!

Mangsa rogol bunuh diri dipaksa kahwin dengan penyerangnya



Wanita Maghribi dan aktivis hak kemanusiaan memegang poster dan potret Amina al-Filali, 16 yang membunuh diri selepas dipaksa berkahwin dengan perogolnya dalam satu protes di luar bangunan Parlimen di Rabat, Maghribi, kelmarin. - AFP

RABAT 18 Mac - Sebanyak 200 wanita Maghribi mengadakan tunjuk perasaan di luar Parlimen semalam, seminggu selepas peristiwa seorang gadis berusia 16 tahun membunuh diri selepas dipaksa berkahwin dengan lelaki yang merogolnya.

Protes tersebut diadakan bagi mendesak pindaan terhadap undang-undang sedia ada yang membolehkan perogol tidak penjarakan sekiranya memilih untuk berkahwin dengan izin keluarga mangsa.

Sebelum ini, keluarga mangsa rogol di bawah usia 18 tahun biasanya bersetuju dengan perkahwinan kerana pada pandangan mereka wanita yang hilang dara tanpa ikatan perkahwinan ibarat satu aib kepada keluarga.

Dalam kejadian Sabtu minggu lalu, Amina al-Filali bertindak membunuh diri dengan meminum racun tikus, menggemparkan seluruh negara dan mencetus kemarahan ramai pihak yang mendesak pindaan dilakukan terhadap undang-undang yang kononnya dikatakan memelihara nilai kekeluargaan.

Bapa Amina, Lahcen al-Filali pada protes itu Khamis lalu berkata, dia membantah perkahwinan tersebut, namun isterinya mendesak supaya ia diteruskan.

"Bolehkah anda membayangkan seorang lelaki yang memaksa seorang gadis mengikutinya dengan pisau dan bertindak merogolnya, kemudian berkahwin dengannya?" soalnya.

Dalam protes yang diadakan semalam, penunjuk perasaan membawa sepanduk dengan tulisan 'Maruah wanita. Hentikan gangguan seksual'.

"Pada 2008, kerajaan memperkenalkan rang undang-undang baru dalam usaha menghentikan diskriminasi dan keganasan terhadap wanita, namun ia kemudian ditangguhkan," kata Houda Bouzil, dari Pertubuhan Demokrasi Wanita Maghribi.

Di bawah undang-undang Maghribi, kesalahan merogol akan dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun, atau antara 10 hingga 20 tahun sekiranya mangsa bawah umur dan denda sebanyak AS$24 (RM72) hingga AS$60 (RM120).

Sekiranya perogol berkahwin dengan mangsa, dia tidak akan dikenakan tindakan undang-undang, melainkan jika wanita tersebut meminta perceraian. - AFP

Tuesday, March 06, 2012

0 Bagaimana memotivasi anak untuk cemerlang dalam jiwa dan pelajaran?

Rahsia anak hebat
Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad
drasmadi@maptraining.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ANAK hebat lebih berdisiplin, ada wawasan, sasaran, matang berfikir, mudah bergaul, seimbang hidupnya, bagus akhlaknya serta taat agama.

Dia bukan sahaja disenangi ibu bapa, guru dan rakan-rakannya. Mereka cemerlang dalam akademik dan kokurikulum malah sering ditabal tokoh pelajar di sekolah.

Jadi, apa yang ada pada anak cemerlang yang tiada pada anak-anak lain?

Ada anak hebat datang daripada keluarga biasa, anak yatim atau daripada keluarga mangsa penceraian. Ini membuktikan persekitaran, keadaan keluarga, kesusahan dan kemiskinan tidak menjejaskan menjadi insan hebat.


Rahsia pertama: Anak hebat ada matlamat jelas dan tidak sanggup berkompromi dalam merealisasikan matlamatnya. Apabila ditanya cita-citanya, mereka memberi jawapan dengan pasti.


Rahsia kedua: Anak hebat pentingkan pelajaran. Dia tahu hanya pelajaran boleh mencapai cita-citanya. Justeru, mereka memberi tumpuan dalam kelas, menyiapkan kerja sekolah dan mengulang kaji pelajaran.

Malah, anak hebat menyertai program motivasi luar bagi mendorong dirinya dan memantapkan teknik dan kemahiran belajar.


Rahsia ketiga: Anak hebat tidak malu mengakui kelemahannya dan meminta bantuan mengatasi kekurangan itu. Mereka sedar tidak semua orang tahu semua perkara selain memiliki bakat dan kebolehan berbeza-beza.


Rahsia keempat: Anak hebat menjalinkan hubungan yang baik dengan semua orang, hormat ibu bapa, sentiasa mendengar nasihat, menyenang dan menggembirakan orang tua, membantu dan mesra dengan adik-beradik.


Rahsia kelima: Anak hebat sentiasa muhasabah tindak-tanduk dan memantau prestasi pencapaiannya. Dia tahu kedudukannya sama ada hampir atau masih jauh dari sasaran lalu memperbaiki prestasi tanpa menunggu arahan.


Rahsia keenam: Anak hebat melakukan sesuatu bersungguh-sungguh dan tiada istilah main-main.


Rahsia ketujuh: Anak hebat istiqamah dalam usahanya dan percaya kejayaan besar yang mahu dicapai esok hari adalah himpunan kejayaan kecil setiap hari.

Dia sentiasa membuat perancangan belajar dan konsisten belajar mengikuti perancangan tanpa bosan.


Rahsia kelapan: Anak hebat sentiasa belajar daripada orang lain dan suka hadir pelbagai program, aktiviti dan seminar yang membuka mindanya.

Anak hebat mempunyai mentor. Dia tahu kejayaan yang mahu dicapainya itu pernah dicapai orang lain.


Rahsia kesembilan: Anak hebat sentiasa ingat Allah kerana manusia hanya mampu merancang tetapi Tuhan menentukan. Dia juga tahu jika dirinya ingkar perintah Allah, bergelumang dengan dosa, Allah akan tutup hatinya dan hilang keberkatan dalam usahanya.

Mereka sentiasa menjaga solat lima waktu, melakukan banyak amalan sunat, membaca al-Quran, berpuasa sunat Isnin dan Khamis, amalan doa harian dan
basah lidah serta hatinya dengan zikir.


Rahsia kesepuluh: Anak hebat tidak sombong dengan apa yang dicapai dan sentiasa bersyukur apabila berjaya selain berkongsi kegembiraannya dengan mereka di sekelilingnya.

Anak hebat tidak pernah menunjuk-nunjuk atau mendabik dada kerana tahu sifat sombong hanya merosakkan akhlak dan amalannya. Dia berterima kasih setiap kali berjaya.


Rahsia kesebelas: Anak hebat sedar hanya dia yang boleh menolong dirinya.

Jika tidak faham satu dua perkara bolehlah bertanya pada guru tetapi bukannya menyerahkan semuanya kepada guru.


Sepanjang cuti sekolah ini, Seminar Motivasi Alihan Pelajar (MAP) selama dua hari membantu melahirkan anak hebat dan diadakan di Johor Bahru dan di Kuala Lumpur.

Motivasi ini dijalankan sejak 17 tahun lalu dan melahirkan lebih 100,000 pelajar hebat. Anak hebat perlukan satu program yang hebat dan insya-Allah, MAP adalah jawapannya.

Hubungi pejabat Motivasi Alihan Pelajar di talian 03-22734622, 016-5580719 atau 05-3134622, 016-5580619 atau layari laman web, www.laman-map.com untuk maklumat lanjut.